Isnin, 19 November 2012

KELUAR ISLAM/BATAL ISLAM ATAU MURTAD LEBIH MUDAH DARIPADA MENELAN AIR LIUR...NI DINUKIL DALAM KITAB LAMA/KITAB MERAH

Muktamar bersemangat menyerlah kehebatan Abdul Hadi

Mohd Sayuti Omar, 18 Nov 2012
ULASAN MUKTAMAR

Muktamar tahunan Pas kali ke 58 yang berlangsung di Pusat Tarbiyah Islamiyah (Putik) di Kelantan selama tiga hari telah pun melabuhkan tirai lewat petang ini dengan sempurna seadanya. Selama empat hari tiga malam ahli, penyokong Pas dan pemerhati berkampung di Kota Bharu Kelantan. Muktamar bermula dengan sidang oleh ketiga-tiga dewan yang merupakan sayap kepada Pas, Dewan Ulamak, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat pada 14 November hingga 15 Novermber.


Muktamar penuh bermula pada 16 November dengan dihadiri oleh hampir 2,000 perwakilan dan 4,000 para pemerhati dari seluruh negara. Turut sama hadir dimajlis perasmian ialah Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail, Naib Pengerusi DAP, Dr Tan Seng Giaw dan lain-lain jemputan kenamaan.

Menambahkan kemeriahan dan 'kesumringahan'  muktamar itu juga ialah himpunan rakyat yang diadakan pada sebelah malam 16 November bertempat di Stadium Sultan Mohamad Ke IV. Kehadiran lebih 40,000 dengan menampilkan pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat termasuk Anwar Ibrahim memberi petanda sihat yang Pas dan Pakatan Rakyat kian mendapat sambutan.

Saya tidak hadir ke muktamar kali ini dan mengikuti menerusi internet dari jauh. Ramai menduga muktamar kali menjadi perhatian umum memandangkan ia adalah muktamar terakhir sebelum pilihan raya umum yang bakal menjelang tidak lama lagi.

Orang ramai khasnya dari kalangan ahli dan pendokong Pas dan Pakatan Rakyat mahu menyaksikan apakah aura yang ada dalam muktamar berkenaan. Pihak musuh pula menanti untuk mengkritik muktamar itu seboleh-bolehnya. Sekiranya maktamar itu lembab dan kurang bermaya maka ia akan digunakan untuk memperlecehkan Pas. Ia akan dijadikan isu kononnya orang Melayu sudah minggat dari Pas. Ada seorang kawan saya yang sinis dan sudah terpesong akidah dengan Pas memberi gambar muktamar Pas kali ini kurang bermaya?

Entah dari sudut mana diperhatikannya. Kalau perhatian itu untuk memberi muka dan satu laporan buat Umno Kelantan ternyata ia adalah satu kesilapan. Mungkin apa yang saya hendak sebut ini perkara kecil saja, tetapi ia salah hakikat. Tanpa sesiapa sedar muktamar itu juga turut diperhati oleh dua rakan saya bergelar sastera dan penyair hebat di Kelantan. Sebelum ini mereka tidak pernah menjejak kaki ke halaman Pas. Manakala dari segi realiti sebenarnya pemandangan kawan saya itu (yang mengatakan muktamar kali ini kurang bermaya) sudah kurang jelas akibat mungkin dibaham kencing manis sampai 25 mmHg ke atas.

Sesuatu yang dicari dan mahu disaksikan dari muktamar itu, ialah sejauh mana kesediaan ahli Pas dalam menghadapi pilihan raya. Mahu melihat sehebat manakah ahli dan penyokong Pas menitiskan peluh untuk memastikan UBN gugur. Justeru ianya mengharap pandangan dan juga idea-idea yang dilontar untuk diguna pakai oleh semua pihak dalam pilihan raya nanti.

Bagaimana pun berlainan pula dengan pihak musuh mereka menanti muktamar itu dengan harapan dapat mencuri sesuatu isu bagi mengocak Pas dan meretakkan kepaduan Pakatan Rakyat. Ada beberapa isu yang diharap dibahas di dalam muktamar itu kemudian akan dikutip menjadi isu sampah, seperti kenyataan Nurul Izzah mengenai kebebasan beragama, isu hudud, isu pemecatan Hasan Akidah dan kenyataan-kenyataan 'sumbang berduit' oleh bekas timbalan presiden Pas. Namun isu-isu itu nampaknya tidak terjamah dan terhidu oleh perwakilan muktamar. Tidak ada seorang pun daripada hampir 2,000 yang menjadi perwakilan simpati kepada Hasan Akidah dan juga bekas timbalan presiden Pas. Nampaknya para muktamirin tidak termakan hasutan dan terkena lesetan cenua pangan.

Alhamdulilah
nampak para perwakilan muktamar khasnya mereka yang mengambil bahagian dalam perbahasan semuanya matang, dan dapat menghidu apa yang diingini oleh musuh. Perwakilan nampaknya membuat home work dan dapat membaca mesej presiden. Perwakilan lebih merasakan persediaan untuk menghadapi pilihan raya dengan tidak menimbulkan soal-soal furu' lebih penting dari membincang isu untuk menumbangkan kerajaan UBN yang merupakan isu pokok.
Di sidang mutamar baik dari ketiga dewan dan sidang muktamar penuh tidak ada apa yang menjadi kontroversi dan dapat dicuri oleh pihak musuh khasnya media PB. Semuanya berjalan dengan lendik dan nampak para perwakilan waspada.

Sidang dewan Pemuda yang sangat-sangat diharapkan dapat memberi sesuatu cetusan untuk meretakkan hubungan dengan Pakatan ternyata tidak menjadi.  Ada pihak tertentu dan media tertentu mengharapkan sesuatu kejutan berlaku dalam sidang dewan pemuda. Namun malang harapan itu tidak menjadi kenyataan. Bayangan mereka sebelum muktamar menjadi jauh panggang dari api.

Semua isu-isu yang dibahas atau diperkatakan di dalam Pemuda adalah isu yang bersifat untuk memperbaiki dan memperkuatkan dewan berkenaan dan juga Pas keseluruhannya. Begitu juga dengan sidang dewan muslimat. Muslimat juga berhati-hati dalam melontarkan idea dan juga mengkritik pihak lawan. Muslimat tidak mudah dicokek pinggang dan latah dengan mengeluarkan kata-kata penuh emosi yang boleh memberi bahan kepada media. Syabas dan tahniah untuk kedua sidang berkenaan kerana dapat mengharmonikan sidang dan memanfaatkan sidang selama sehari itu demi kepentingan parti.

Kalau pun boleh dianggap kontroveri sedikit ialah dalam sidang dewan ulamak menyentuh hudud. Namun kalau difahami betul-betul apa ditegaskan ketua dewan ulamak Harun Taib mengenai hudud ialah satu kewajiban. Sentuhan itu masih relevan. Satu pengesahan bahawa Pas masih belum melencong atau tergelecah ril seperti tanggapan orang-orang yang kecewa kini berada di luar Pas.

Namun dalam masa sama dewan ulamak mengendorcekan bahawa Pas masih bersih dan masih sihat. Pas masih Pas seperti mana termaktub dalam perlembagaan dan tidak berubah. Dewan ulamak membuka mata mereka yang termasuk habuk yang nampak Pas sudah menyeleweng setelah mereka mulai merasai enak makan di hotel lima bintang dan tahu mengandar duit dari komisyen 3% daripada kontrak diluluskan semasa mereka berkedudukan dalam kerajaan Pakatan Rakyat.

Begitu juga dengan sidang dalam muktamar penuh selama tiga hari bermula 16 hingga 18 November. Tidak ada perwakilan yang degil atau pun menimbulkan apa-apa keributan. Nampaknya semua perwakilan sporting memahami mesej dan juga semangat muktamar kali ini. Boleh dikatakan kesemua pembahas memahami dan menjaga tata adab masing-masing. Apakah ini wujud selepas tiadanya beberapa pengacau dalam Pas yang bersifat parasit sebelum ini? Mungkin!

Adapun kritikan kecil atau isu mengenai golongan profesional yang cuba hendak mengubah dasar dan prisnip Pas, itu hanya imaginasi atau naluri pembahas yang mungkin termakan teh tarik golongan oportunis. Ia bersifat peringatan dari pembahas itu mungkin kerana beluam sedar hakikat yang berlaku di dalam Pas. Mungkin pembahas itu masih merasakan dia berdiri dalam muktamar semasa dua atau tiga tahun lepas atau pun obses yang dia lebih Islamik?

Namun isu masih wujud konon golongan profesional itu dijelaskan dengan tuntas oleh timbalan presiden Mohamad Sabu dan ketiga-tiga Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub, Mahfuz Omar dan Husam Musa. Penjelasan itu diterima apabila tidak ada lagi ungkitan selepas itu.

Saya merumuskan, muktamar Pas kali ke-58 ini adalah muktamar terbaik dan penuh bermutu yang jarang dapat disaksikan sebelum ini. Misalnya kemunculan empat muslimat yang mengambil bahagian dalam perbahasan, Siti Zailah Yusuf, Atirah Al Jundi, Cikgu Mala dan wakil dari Temerloh menyerlahkan akan kehebatan dan kepetahan muslimat Pas. Bukan saja daya cakap, tetapi daya fikir mereka juga hebat, bersemangat dan penuh komitmen.
Entah mengapa tatkala mendengar keempat  muslimat itu berbahas tiba-tiba ingatan saya melayang kepada arwah Dr Lo' Lo' Ghazali yang telah pergi meninggalkan kita semua. Tercetus di hati saya apakah mereka adalah pokok-pokok yang dibajai oleh Dr Lo' Lo' sebelum ini? Al fatihah untuk serikadi Pas yang hilang di mata namun masih kejap di hati, Allahyarham Dr Lo' Lo'.

Bila berbicara mengenai muktamar kali ini pujian tertinggi tentulah untuk presiden Pas, Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Entah kenapa kali ini kehebatan Abdul Hadi terserlah. Paling menonjol ialah isi ucapannya yang padat dan bernas. Seperti saya katakan sebelum ini, isi ucapan Abdul Hadi kali ini sangat berilmu dan sekaligus menjadi matan-matan yang akan menjelaskan sikap, pendirian dan iltizam Pas untuk menang dalam pilihan raya.

Pandangan yang dilontarkan berlandaskan sejarah, sirah, al-Qur'an, al-Hadith. Bukan tidak pernah digunakan sumbr-sumber itu sebelum ini, tetapi kali ini ia mempunyai jiwa dan roh yang berpadu apabila ia dikombinasikan dengan penyampaian yang menarik. Ikhlas saya katakan ucapan Abdul Hadi kali ini menjadikan saya ralik, terhibur dan mempunyai azam yang tinggi.

Kali ini saya tidak mengantuk dan merasakan ucapannya seperti khutbah di masjid. Ia adalah ucapan penuh bersemangat dan bertanggungjawab laksana di medan perang yang mana pendengarnya sedang siapa dengan segala macam senjata untuk meraduk musuh, hanya menunggu peliut perang dari presiden itu saja. Saya tertanya-tanya dari mana Abdul Hadi memperolehi kelebihan sebegitu kali ini.

Beliau yang sebelum ini agak kaku dan kekok untuk berdepan dengan media massa yang meminta ulasan dan jawaban spontan, nampaknya menjadi sangat yakin. Tenguk jawaban beliau berhubung cadangan beliau dilantik menjadi Perdana Menteri. Kesudiannya hanya sanggup menjadi khadam adalah jawaban yang tepat dalam situsi sebegitu. Kemudian jawaban dan huraian lanjut ke atas pertanyaan itu disimpul dengan 'kemah kemin' semasa ucapan penangguhan yang berbunyi; "cita-cita saya ialah mahu lihat Islam menang, lepas itu kalau saya mati pun tidak apa."

Itulah luahan rasa dari sanubari seorang bernama Tok Guru. Kebendaan bukan cita-cita, pangkat bukan menjadi buruan, tetapi keredhaaan Allah dan kejayaan Islam yang ditagih dan diharapkan. Apa yang ditunjukkan Abdul Hadi sepanjang muktamar ini adalah satu keistimewaan dan keluarbiasaan yang beliau perolehi. Apakah semua kelebihan itu dipacu oleh sebuah keyakinan (khsyafah) yang Islam akan menang sedikit masa nanti? [wm.kl.7:27 pm 18/11/12] - http://msomelayu.blogspot.com/

Boleh murtad jika perlekeh Islam

Harakahdaily, 18 Nov 2012
KOTA BHARU: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, sesiapa sahaja orang Islam yang memperlekeh agama Islam dengan sengaja maka ia boleh jatuh kepada murtad (terkeluar dari Islam).

Katanya, tindakan memperlekeh Islam boleh berlaku dengan banyak cara termasuk menolak Islam sebagai dasar perjuangan kerana menganggap Islam itu sudah lapuk dan tidak sesuai lagi zaman ini.

"Tak kira siapa pun kalau tok guru berserban berjanggut sekalipun kalau tolak islam dengan hati yang sengaja, dia kata Islam tak guna, dia murtad sekalipun tak ada mufti bagitau dia.

"Umno tolak Islam maka nampak dia telah memperlekeh Islam. Dia buang Islam macam buang ubat habis tempoh. Boleh jadi yang tolak Islam tu murtad dah, boleh jadi dia jahil, boleh jadi dia tak faham," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Muktamar Tahunan PAS kali ke 58 di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (Putik) di sini hari ini.

Menteri Besar Kelantan itu juga berkata, bagaimana PAS boleh percaya dengan ajakan Umno untuk bersama-sama mereka membela Islam sedangkan sejarah membuktikan Umno sendiri menolak ulamak dalam biro agama Umno waktu perjuangan kemerdekaan dahulu.

"PAS bukan dicipta oleh orang PAS tapi oleh biro agama Umno. Kami hanya jaga sahaja.

"Sekarang (Umno) nak ajak PAS (bersama-sama) bela Islam. Alim ulamak kamu pun kamu tolak, takkan kamu nak terima ulamak kami pula. Itu logiknya," tegasnya memberi analogi.

Sementara itu, dalam sidang media berasingan, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang turut ditanya wartawan berhubung kenyataan Mursyidul Am PAS itu yang mengaitkan Umno dengan murtad.

Presiden PAS itu bagaimanapun berkata, huraian berhubung murtad boleh dirujuk dalam Kitab Mustika Hadis yang diterbitkan Jabatan Perdana Menteri.

"Baca kitab itu, ada hukum mengenai orang yang memperlekehkan Islam. Itu kitab yang ditandatangani Tun Dr Mahathir," katanya tidak mahu mengulas panjang.

Carian Harakahdaily terhadap kitab dimaksudkan itu mendapati, bahagian kedua di bawah tajuk 'Iktikad kepercayaan yang bertentangan dengan dasar-dasar Islam', menyebut;

Melalui percakapan, iaitu tiap-tiap perkataan yang mencaci, menghina, merendah-rendah, mengecil dan mempermain-mainkan nama Allah, sifat-sifat-Nya, malaikat-malaikat-Nya, rasul-rasul-Nya, kitab-kitab-Nya, ayat-ayat-Nya dan hukum-hukum-Nya serta hukum-hukum yang diterangkan oleh rasul-Nya.

Dan juga perkataan yang menolak, menafi dan mengingkari segala perkara yang sekata alim ulamak mensabitkannya atau menafikannya serta diketahui oleh orang ramai bahawa perkara itu dari agama.

Misalnya seperti katanya mengenai mana-mana hukum Islam:

1. “Hukum apa ini?”

2. “Hukum ini sudah lapuk.”

3. “Zaman sekarang tak patut diharamkan riba kerana mnghalangi kemajuan.”

4. “Dalam zaman yang serba maju ini kaum wania tak perlu dibungkus-bungkus.”

5. “Berzina kalau suka sama suka apalah haramnya?”

6. “Minum arak kalau dengan tujuan hendak menyihatkan badan untuk beribadat apa salahnya?”

7. “Berjudi kalau masing-masing sudah rela menerima untung ruginya apa salahnya?”

8. “Kalau hendak sangat menurut hukum-hukum Islam sampai kiamat kita tak maju.”

9. Berkata: “Perbuatan yang demikian tidak beradab” – apabila diceritakan bahawa Nabi Muhammad s.a.w selepas makan: menjilat sisa makanan dijarinya.

10. Berkata: “Aku tak mahu memotong kuku sekalipun sunat” – apabila diberitahu bahawa memotong kuku adalah sunat.

11. Berkata: “Si anu dah mulai menyalak” – semasa ia mendengar azannya.

12. Membaca ayat-ayat suci, hadis-hadis Nabi dan nama-nama Tuhan dengan cara mempersenda dan mempermain-mainkannya.

13. Kata-kata mengkafirkan seseorang Islam, pada hal orang itu tidak diyakini ada padanya sesuatu sebab yang menjadikannya kafir, sebagaimana yang diterangkan oleh hadis Ibnu Umar yang diriwayatkan oleh Muslim.

PAS siap hadapi PRU di tahap maksima

Hazayani Zakaria, 18 Nov 2012

(Ustaz Hadi bersama Mohamad Sabu dan Mustafa menjawab soalan dari para perwakilan dalam sidang media selepas selesai muktamar)

KOTA BHARU: Persiapan PAS bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 berada pada tahap maksimum di seluruh negara, kata Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata, persediaan rapi bukan sahaja ditunjukkan di negeri-negeri di bawah PAS tetapi juga di negeri-negeri di bawah pemerintahan BN.

"Saya bukan sahaja melihat mood perwakilan tapi melawat seluruh negara, ke kawasan-kawasan parlimen dan saya dapati persediaan pilihan raya sangat baik dan sangat memuaskan hati saya.

"Bukan sahaja di negeri-negeri PAS sudah memerintah tetapi termasuk di negeri bukan PAS memerintah termasuk Sabah dan Sarawak," kata beliau pada sidang media sejurus berakhirnya Muktamar Tahunan PAS kali ke-58 di Putik hari ini.

Muktamar PAS yang berakhir petang ini dalam suasana yang sangat ceria di kalangan semua pihak yang menyertainya kali ini.

Ucapan penggulungan yang dibuat oleh Presiden PAS dianggap yang terbaik dan memberikan motivasi kepada semua.

Muktamar dewan-dewan bermula Khamis lalu dengan pelbagai warna telah ditutup dengan paling baik oleh Tuan Guru Abdul Hadi.

Perwakilan dan semua pemimpin PAS telah berdiri tanda penghormatan di atas ucapan beliau yang amat bermakna itu.


Menang tumpuan utama



Menjawab soalan wartawan yang membangkitkan isu bakal Perdana Menteri selepas Pakatan Rakyat mengambil alih Putrajaya pula, Ustaz Hadi tetap menegaskan ia bukan fokus utama.

"Tiada ketetapan siapa jadi Perdana Menteri," jawabnya ringkas lalu disambut Setiausahanya, Datuk Mustafa Ali, "nak jadi Perdana Menteri kena menang sebanyak mungkin. Kalau tak menang tak boleh jadi Perdana Menteri,"

Muktamar berakhir kira-kira jam 2.30 petang selepas ucapan penangguhan dari Ustaz Hadi.

Saya rela mati selepas Islam menang - Presiden PAS

Salmiyah Harun, 18 Nov 2012
KOTA BHARU: Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, beliau tidak berminat untuk menjadi perdana menteri dan "biarlah Islam menang dahulu sebelum beliau mati."

"Saya minta tuhan jadikan cita-cita saya menangkan Islam dahulu, lepas tu nak mati-matilah," ujarnya ketika dalam ucapan penangguhan
Muktamar Tahunan PAS kali ke-58 di Putik, petang tadi.

Beliau memberi respons itu ekoran ada perwakilan mencadangkan Abdul Hadi diangkat menjadi Perdana Menteri sekiranya menang dalam pilihan raya nanti.

Ustaz Hadi bagaimanapun mengucapkan ribuan terima kasih diatas kepercayaan Dewan Ulamak untuk melihat beliau menjaedi perdana menteri tetapi katanya, yang lebih penting Islam yang menang.

Sewaktu ucapan penangguhan hari ini, wakil Ulama dan Muslimat sekali lagi menegaskan hasrat itu.

Abdul Hadi sebelum ini, juga memberitahu beliau sanggup menjadi nelayan semula dan seboleh-bolehnya mahu menjadi khadam rakyat.

Ucapan Tuan Guru Abdul Hadi kali ini disifatkan yang terbaik pernah beliau berikan dengan pelbagai ragam ucapan dan gelak ketawa dan kadang-kadang serius.

"Bagi saya, Ustaz Hadi telah berjaya menjadi ayah kepada semua pemimpin, ahli dan pihak-pihak dalam PAS dalam ucapannya kali ini," kata seorang pemerhati muktamar ini.

Para petugas media juga membuat penilaian yang sama dan mereka menyifatkan ini adalah ucapan terbaik dari Presiden PAS yang berlangsung kira-kira satu jam itu.


Hanya satu parti Islam




(Sebahagian pemerhati muktamar yang setia sehingga akhir muktamar)

Dalam pada itu, Abdul Hadi turut bangga apabila PAS satu-satunya parti Islam yang terus bertahan di Malaysia sehingga hari ini.

"Kita berjaya wujudkan satu sahaja parti Islam di negara ini. Di Indonesia, lebih dari satu parti Isam wujud. Kita bersyukur hanya PAS satu-satunya, tetapi kita ada banyak NgO Islam yang turut memberi pandangan kepada kita,"katanya.

Di akhir penangguhan itu, Abdul Hadi turut berpesan kepada para perwakilan agar membuat persiapan pilihan raya mengikut kemampuan dan kewangan yang ada tidak semestinya sama dengan musuh.

Tetapi katanya, dengan kesediaan dan keikhlasan yang ada, pasti akan datang pertolongan daripada Allah SWT.

"Kena ingat, BN jadi kuat dan menang pun sebab mereka pakai tongkat, dengan penipuan, politik wang, guna jentera kerajaan.

"Umpama kalau kita main bola, pemain BN 30, penjaga gol mereka 10 orang, lepas tu pula pengadil pun sepak bola masuk gol yang dijaga oleh seorang sahaja penjaga gol," katanya diringi sorakan dan tepukan para perwakilan.

Justeru, beliau mengajak semua perwakilan terus yakin dengan PAS kerana PAS merupakan bahtera yang paling kukuh dan kuat kerana dapat bertahan sehingga ke hari ini.

"Bahtera PAS terus bertahan walaupun menghadapi perjalanan yang jauh dan dilanda ribut. Tetapi jangan kita terjun! Kalau mabuk makan ubat kalau pening rehat sebentar. Jangan terjun sebab dibawah ada jerung!," katanya yang disambut Allahuakbar para perwakilan.

Muktamar PAS terus perkukuh Pakatan Rakyat

Aslani M, 18 Nov 2012
KOTA BHARU: PAS terus beriltizam memperkukuhkan Pakatan Rakyat dengan mengambil kira parti itu tidak boleh bersendirian di Malaysia dalam suasana masyarakat majmuk, kata Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Begitu juga kata Presiden PAS itu, Umno tidak boleh bersendirian memerintah negara dalam suasana masyarakat yang pelbagai.

“Kita memerintah dalam suasana masyarakat majmuk. Melalui Pakatan Rakyat kita berjaya menghasilkan resolusi dalam tiga konvensyen yang diadakan,” katanya ketika menyampaikan ucapan penangguhan pada hari akhir muktamar di Putik hari ini.

Ucapannya mengambil masa lebih sejam itu mempertegaskan kesepakatan dalam Pakatan Rakyat menyentuh perkara yang sudah termaktub dalam perlembagaan.

Menurutnya apa yang telah ada dalam perlembagaan iaitu Islam agama persekutuan, keadilan kepada agama lain, hak istimewa bumiputera, bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan raja berperlembagaan sudah disepakati.

“Kita menerima kerana ini sudah ada dalam perlembagaan. Apa yang dihalal agama lain sebaliknya diharam agama Islam, kita tidak boleh ganggu. Amalan ini sudah dilaksanakan di Kelantan dan Terengganu.

“Kita halalkan perkara halal dan haramkan perkara haram. Sebaliknya sekarang Melayu dan Bumiputera di Sabah dan Sarawak diketepikan.

“Misalnya bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang boleh menyatukan semua bangsa di Malaysia. Melalui bahasa dapat menyatukan antara satu sama lain, cuma kalau hendak tambah ilmu bolehlah menggunakan bahasa asing,” ujarnya.

Kata Ustaz Abdul Hadi semua orang tahu bahasa adalah jiwa bangsa.

Sebaliknya kata beliau Umno pinggirkan bahasa kebangsaan, di  mana pemimpin negara lebih berminat menggunakan bahasa asing.

Katanya, pemimpin negara lain bercakap di PBB menggunakan bahasa ibunda masing-masing, sebaliknya pemimpin negara kita lebih suka menggunakan bahasa Inggeris.

Felda jual sawit ke Israel, PAS akan serah memo

Hazayani Zakaria, 18 Nov 2012
KOTA BHARU: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mazlan Aliman menunaikan janjinya untuk mendedahkan bukti penjualan kelapa sawit oleh Felda kepada syarikat yang dimiliki oleh negara haram Israel ketika negara itu sedang membunuh umat Islam Palestin di Gaza.

(Mazlan menunjukkan invois jualan kelapa sawit Felda kepada Israel)


Beliau mendedahkan dokumen berupa invois jualan itu semasa berucap di Muktamar Tahunan PAS yang ke 58 di Putik hari ini.

Sehubungan itu, beliau mengajak seluruh pimpinan dan ahli parti bersama-sama menyertai penyerahan memorandum ke pejabat Felda di Kuala Lumpur, 23 November ini.

Beliau berkata, memorandum itu bagi membantah tindakan Felda menjual minyak sawit kepada syarikat Yahudi dan menuntut penjelasan Felda berhubung RM400 juta saham syarikat judi, Genting Berhad dalam Felda.

Mensasarkan 5,000 rakyat ke penyerahan memorandum tersebut, Mazlan yang juga Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) berkata, Anak akan bergabung dnegan NGO-NGO lain berarak ke ibu pejabat Felda di Jalan Semarak di ibu negara.

"Saya menyeru pimpinan dan ahli bersama-sama Anak berarak dari masjid berdekatan pejabat Felda ke pejabat Felda di Jalan Semarak untuk menyerahkan memorandum kepada Felda.

"Anak akan gerakkan jentera dan bergabung dengan NGO untuk penuhkan masjid sekurang-kurangnya 5,000 orang untuk serah memorandum mendesak penjualan minyak sawit kepada syarkat Yahudi sejak 2010," katanya sewaktu perbahasan usul di Muktamar Tahunan PAS Kali ke-58 di Putik, hari ini.

Sementara itu, Mazlan juga mencabar pimpinan Umno menafikan perkara ini dalam Perhimpunan Agung parti itu akhir bulan ini.

"Tak perlulah Umno berkokok lagi dan kita cabar di perhimpunan agung untuk Umno jawab seperti yang dia nafikan sebelum ini.

"Saya ada bukti invois penjualan minyak sawit ini dan pasal saham Genting pun saya ada bukti," katanya.

Undi calon bukan Islam untuk politik Islam

Hazayani Zakaria, 18 Nov 2012
KOTA BHARU: Majlis Syura Ulama PAS mengarahkan ahli parti mengundi calon PAS dari bukan Islam bagi melawan BN pada Pilihan Raya Umum ke-13.

Naib Ketua Dewan Ulama, Datuk Dr. Mahfodz Mohamed berkata, Majlis Syura Ulama sudah berijtihad bahawa PAS boleh bekerjasama dengan parti bukan islam dalam mencapai matlamat politik Islam.

"Untuk mencapai matlamat politik Islam, ulama telah berijtihad untuk menentukan wasilahnya.

"Antaranya ulama dalam PAS berijtihad dengan merujuk kepada ijmak dan qias telah membenarkan tahaluf siyasi dengan parti lain baik parti Islam atau bukan Islam sebagai satu wasilah mencapai kemenangan dalam PRU ke-13.

"Rentetan daripada tahaluf siyasi maka ahli PAS diarah mengundi calon-calon bukan Islam daripada DHPP dalam pilihan raya akan datang," katanya sewaktu menyampaikan ucapan penangguhan di Muktamar Tahunan PAS kali ke-58 di Putik hari ini.

Justeru beliau mengingatkan ahli PAS agar tidak mempertikai ijtihad yang ditetapkan Majlis Syura Ulama.

"Jangan sesiapa mempertikai ijtihad yang telah ditetapkan oleh Majlis Syura Ulama.

"Kalau ada ahli yang berceramah mempertikai tahaluf siyasi maka dia tidak walak pada Majlis Syura," tegasnya yang juga Pesuruhjaya PAS Johor..

Sementara itu, Dr. Mahfodz turut melahirkan rasa gembira apabila seluruh perwakilan menunjukkan keprihatinan terhadap Dewan Ulama.

"Ulama rasa syukur dan gembira kerana perwakilan ambil perhatian serius tentang kepimpinan ulama.

"Naib-naib presiden pun kata tak ada seorang pun tolak kepimpinan ulama dan saya yakin semua beri sokongan kepada kepimpinan ulama," katanya.

Kalau membaca Utusan, bacalah dengan terbalik

Aspan Alias, 18 Nov 2012
Banyak kritikan terhadap Utusan Malaysia kerana akhbar itu memainkan isu-isu untuk memecah belahkan rakyat. Utusan merupakan akhbar untuk UMNO kerana akhbar itu kepunyaan UMNO. Utusan itu merupakan ‘kuda pelejang’ untuk UMNO dan apa sahaja yang dilakukan oleh UMNO itu adalah kerja baik dari sudut pandangan Utusan. Utusan sudah hilang kredibiltinya yang tidak mungkin dapat dipulihkan lagi.
Tetapi kalau kita pandang dari sudut yang lain ada caranya untuk menganggap Utusan itu akhbar yang mampu untuk memberikan kita berita dan rencana yang baik untuk kita. TETAPI untuk melakukannya ia bersyarat.

Syaratnya hanya satu: iaitu kita mesti ada formula untuk melakukannya. Seperti matematik formula adalah penting untuk mendapat jawapan yang tepat. Formulanya ialah, kita mesti membacanya dengan terbalik. Membaca dengan terbalik adalah jalan terbaik untuk mendapat kebenaran dari Utusan.

Maksud saya jika Utusan mengatakan yang mereka akan dapat merampas Selangor, P Pinang, Kedah dan Kelantan maka yang benarnya ialah ia tidak mungkin tercapai. Jika Utusan kata Himpunan Kebangkitan Rakyat di Senawang dan Kota Bharu  itu tidak berjaya ia bermakna himpunan itu telah berjaya.

Utusan pernah berkata yang BN akan mendapat 140 kerusi parlimen dalam pilihanraya nanti, ia bermakna 140 kerusi itu akan didapati oleh Pakatan Rakyat. Kita juga telah melihat Utusan sentiasa mengatakan yang negeri-negeri tadbiran Pakatan Rakyat tidak berkemampuan tetapi yang sebenarnya negeri-negeri inilah yang telah menunjukkan prestasi yang baik dan diakui oleh Ketua Audit Negara.

Utusan mengatakan yang PR tidak berkepimpinan maka yang sebenarnya BN lah yang tiada kepimpinan sehinggakan ahli-ahli UMNO sendiri tertanya-tanya siapa yang akan menjadi MB Selangor jika BN memenangi Selangor. Begitu juga di NS tidak ada siapa yang mampu untuk menggantikan Mohamad Hasan jika BN masih berkuasa dan mendapat mandat sedangkan Mohamad Hasan wajib diganti. Bagaimana Utusan boleh mengatakan UMNO itu sarat dengan kepimpinan. Utusan tidak sedar yang kepimpinan UMNO sudah mula susut sejak Mahathir mengambilalih kepimpinan negara.

Saya menulis isu ini kerana masih ramai yang terpedaya dengan dakyah Utusan yang tidak bertanggungjawab itu. Utusan sekarang sudah hilang matlamat dan tujuan asal penubuhannya. Matlamat Utusan ialah untuk memenjarakan pemikiran rakyat terutamanya orang Melayu. Utusan tidak mampu menyedari yang rakyat boleh menilai mana yang baik dan mana yang buruk. Utusan masih dengan sifat dan ‘attribute’ lamanya iaitu mengeliru dan menyesatkan pemikiran ramai untuk mengekalkan kuasa.

Saya juga menulis tentang isu ini kerana kita boleh agak apa yang akan dilakukan oleh Utusan dalam pilihanraya nanti. Saya juga pernah menulis tentang TV3 kerana TV3 juga mempunyai ‘attribute’ yang sama seperti Utusan. Itulah sebabnya saluran TV itu sudah mula turun ‘rating’nya dan ia tidak mustahil menghadapi pengalaman yang sama seperti yang dialami oleh Utusan.

Satu lagi formula apabila hendak membaca Utusan itu, dengan membaca ‘auzubillah’ 33 kali sebelum membuka dan membaca akhbar itu.. Jangan lupa apabila membacanya, mesti membacanya dengan terbalik. - http://aspanaliasnet.blogspot.com

Pemuda tubuh dana khas untuk guru Pasti

Salmiyah Harun, 18 Nov 2012
KOTA BHARU: Setelah dikritik di dalam Muktamar Dewan Muslimat Khamis lalu berhubung masalah gaji atau elaun guru-guru Pasti yang rendah, hari ini Dewan Pemuda PAS Pusat mengambil inisiatif menubuhkan dana khas bagi membantu nasib mereka.

Ketuanya Nasruddin Hassan ketika ucapan penggulungan di Muktamar Tahunan PAS berkata, dengan adanya dana ini beliau percaya ia boleh mengatasi masalah gaji guru-guru Pasti.

Malah beliau juga mencadangkan agar mana-mana kerajaan dalam Pakatan Rakyat menyumbang satu dana khas melalui dana pendidik terus kepada Pasti.

Jelasnya, guru-guru Pasti pada asasnya diberi gaji antara RM400 hingga RM800 sebulan bagaimanapun ia tertakluk kepada pengurusan cawangan Pasti masing-masing.

"Gaji mereka ini bergantung kepada jumlah murid dan jumlah yuran yang dibayar oleh murid.

"Sebab itulah ada yang dapat gaji lebih dan ada yang dapat gaji kurang," katanya.

Tambahnya, Pemuda juga memberi kenaikan elaun sebanyak lima peratus malah juga memberi bonus hari raya dan permulaan masuk sekolah kepada guru-guru Pasti.

Khamis lalu, Dewan Muslimat di dalam penggulannya mendesak Dewan Pemuda agar mengambil serius berhubung masalah gaji guru-guru Pasti memandangkan 99.9 peratus yang terlibat di dalam Pasti adalah di kalangan muslimat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan