Selasa, 27 November 2012

JANGAN KITA MAIN CADANG AJE...TAK BINCANG LAGI MASALAH HUKUM...WANITA SEKARANG DAH BANYAK TERDEDAH DALAM MASYARAKAT...TAKUT HILANG TUGAS2 WANITA SEBENAR...BERCAMPUR GAUL DALAM PEKERJAAN MENYUMBANG MASALAH MORAL...LEBIH2 ZINA

Salon unisex: PAS sambut baik keterbukaan Kelantan

Salmiyah Harun, 27 Nov 2012
KUALA LUMPUR: PAS Pusat sangat mengalu-alukan sikap keterbukaan kerajaan Kelantan menimbangkan cadangan bagi membincangkan isu salon rambut unisex dan mencari jalan terbaik bagi menyelesaikan isu ini mengikut konsep hak kebebasan anutan orang bukan Islam.

"PAS sentiasa komited menyelesaikan apa jua permasalahan melalui pintu rundingan," kata kenyataan yang dibuat oleh Presiden PAS hari ini.

Kenyataan itu dibacakan oleh Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub sekejap tadi.

Kenyataan ini dibuat berikutan kenyataan Exco kerajaan negeri, Datuk Dr Fadzli Hassan yang menyatakan kesediaan kerajaan negeri Kelantan untuk membincangkan isu ini.

Mesir runding gencatan senjata Hamas-Israel

Terjemahan Mohamad Yahya, 27 Nov 2012

(Pemimpin Hamas, Khaled Meshal mahukan pergerakan yang bebas di Gaza sebagai sebahagian dari perjanjian gencatan senjata..foto Reuters)


KAHERAH: Mesir telah memulakan rundingan berasingan dengan Hamas dan Israel untuk memberi butiran lebih lanjut perjanjian gencatan senjata yang dipersetujui minggu lepas yang mengakhiri konflik lapan hari di Gaza.

Seorang pegawai Mesir memberitahu Reuters bahawa rundingan tersebut akan membincangkan permintaan Palestin untuk pembukaan lebih banyak lintasan Israel ke Gaza - satu langkah yang akan membantu mengakhiri sekatan selama enam tahun terhadap enklaf yang diperintah oleh pergerakan Hamas.

Beliau juga berkata bahawa Kaherah akan menggesa kedua-dua pihak untuk mengukuhkan lagi komitmen mereka terhadap perjanjian gencatan senjata.

Pemimpin kanan Hamas, Mahmoud al-Zahar memberitahu pemberita Sabtu lalu bahawa kumpulan itu mahu melihat pembukaan kesemua empat lintasan barangan dengan Israel yang dulunya beroperasi sebelum tahun 2006.

Hanya satu lintasan barangan beroperasi buat masa ini, dengan terminal penumpang kedua dikhaskan untuk segelintir rakyat Palestin dan warga asing yang dibenarkan masuk dan keluar dari wilayah itu.

Cho Ha perlu lawat projek parah RM358 juta

Harakahdaily, 27 Nov 2012
GEORGE TOWN: Datuk Seri Kong Cho Ha harus menunaikan tanggungjawab sebagai Menteri Pengangkutan dan melawat dua projek parah iaitu projek RM250 juta untuk menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan projek RM43 juta Tanjung City Marina serta projek bermasalah Swettenham Pier yang bernilai RM65 juta.
“Kerajaan negeri Pulau Pinang amat terkejut dengan dakwaan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) bahawa kerja-kerja ubah suai dan naik taraf di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang di Bayan Lepas sudah ‘banyak yang siap,” kata Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

Katanya, bagaimanakah boleh MAHB mengenepikan kepentingan awam dengan kenyataan itu sedangkan bumbung belum habis dipasang, air masih lagi bocor apabila hujan, tandas-tandas berada dalam keadaan kotor dan seluruh tempat itu kelihatan seperti tapak pembinaan dengan bunyi dan habuk.

Kong juga, katanya harus memeriksa projek RM43 juta Tanjung City Marina yang terbengkalai.

Menurutnya, walaupun disiapkan pada tahun 2007 pada harga RM43 juta, ia kini berada dalam keadaan reput dengan tanjakan yang separuh tenggelam dan barisan-barisan pontun konkrit yang terapung serta membahayakan kapal-kapal persiaran dan feri serta membawa risiko keselamatan akibat lampu-lampu yang rosak.

Katanya lagi, Kong juga harus memeriksa Swettenhem Pier yang bernilai RM65 juta untuk mengelak daripada nasib yang sama.

Menurutnya, aduan telah diterima daripada kapal-kapal persiaran yang penting kepada sektor pelancongan Pulau Pinang bahawa perkhidmatan dan kemudahan yang disediakan tidak memuaskan.

Beliau berkata, ketiga-tiga projek itu adalah di bawah Kementerian Pengangkutan yang berjumlah RM358 juta yang akan menjadi pembaziran besar dan penyelewengan amanah awam sekiranya Kong tidak mengambil langkah segera untuk mengelakkan kegagalan dalam pengurusan projek serta menyelamatkannya.

Katanya, daripada membazirkan masa dengan nombor pendaftaran kereta dan pemasangan 831 kamera 1Malaysia di bawah Sistem Pengkuatkuasaan Automatik (AES), Kong harus datang segera ke Pulau Pinang dan menyelamatkan keadaan.

Kes Scorpene: Malaysia digesa beri kerjasama

Mohd Rashidi Hassan, 27 Nov 2012
SINGAPURA: Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Md Ramli menggesa kerajaan Malaysia memberikan kerjasama sepenuhnya kepada penyiasatan kes pembelian kapal selam Scorpene yang sedang disiasat kerajaan Perancis.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai berkata, berdasarkan fakta yang dibentangkan peguam Apolene Cagnat mewakili Suaram hari ini, memberikan keyakinan bahawa dakwaan pemberian komisyen pembelian kapal selam kepada individu tertentu mempunyai asas.

Tegas beliau, penyiasataan yang dibuat dua orang hakim Perancis sedang berjalan sekarang dan pihak pendakwa memang mengambil isu ini secara serius kerana ia membabitkan komisyen sebanyak RM500 juta.

Tegasnya untuk menyegerakan siasatan yang akhirnya pendakwaan boleh dilakukan, pihak Perancis memerlukan kerjasama orang-orang yang disapina, khususnya tujuh nama yang disenarikan peguam Perancis.

"Namun kita masih belum pasti bagaimana kerjasama itu akan dibuat. Tetapi saya rasa, jika kita mahu menyegerakan lagi siasatan ini, kita perlu mempunyai sebuah kerajaan yang mahukan kebenaran. Justeru kita tidak boleh mengharapkan kerajaan Barisan Nasional memberikan kerjasama, kerana mereka terbabit," ujarnya.

Oleh yang demikian kita menyeru pada PRU ini rakyat bersama kita membuat perubahan dan mengheret orang yang terbabit ke muka pengadilan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad yang menghadiri taklimat Scorpene menjelaskan, kes yang sedang disiasat itu membuktikan kerajaan Perancis benar-benar serius untuk membongkar penyelewengan yang didakwa wujud.

Walaupun katanya, ia masih lagi belum sampai ke peringkat perbicaraan, tetapi pihak pendakwaraya sudah menyerahkan kes ini kepada dua orang hakim untuk membuat penyiasatan terperinci, membuktikan ianya suatu kes yang mempunyai asas yang kukuh.

"Berdasakan kepada penjelasan yang disampaikan peguam tadi, jelasa ada orang-orang yang akan dikenakan sapina dan kita menggesa mereka hadir untuk memberikan penjelasan kepada hakim terbabit," ujar beliau.

Tegasnya isu yang disiasat adalah berkaitan rasuah, sama ada  membabitkan orang Perancis atau rakyat Malaysia.

Ujar beliau, jika kerajaan Malaysia yakin transaksi pembelian kapal selam itu tidak menyeleweng, tiada sebab kerajaan takut untuk memberikan kerjasama dengan kerajaan Perancis.

"Kita pun ragui kenapa peguam Perancis sebelum ini dilarang masuk, dan kenapa Parlimen menghalang taklimat Scorpene diadakan secara terbuka?" soal beliau.

Morsi tetap pertahankan dekri

Al Jazeera terjemahan Mohamad Yahya, 27 Nov 2012


KAHERAH: Presiden Mesir, Mohamed Morsi memberitahu hakim kanan Mesir bahawa dia tidak mencerobohi kuasa mereka apabila dia mengEluarkan dekri baru-baru ini.

Seorang pembantu Morsi berkata undang-undang itu terhad kepada "isu-isu berkaitan kedaulatan,'' tetapi kenyataan tersebut tidak memuaskan hati pengkritik beliau.

Pendirian tanpa kompromi tersebut diberitahu semasa mesyuarat antara Morsi dan ahli-ahli Majlis Kehakiman Agung Isnin lalu dalam usaha untuk menyelesaikan krisis selama empat hari yang telah meletakkan Mesir dalam pusingan kekacauan yang baru dengan pertempuran antara kedua-dua pihak yang mengakibatkan seorang penunjuk perasaan mati dan ratusan tercedera.

Badan kehakiman, sasaran utama dekri Morsi, juga telah mula memberi respons, memanggil dekri tersebut sebagai rebutan kuasa dan serangan ke atas "kebebasan badan tersebut".

Hakim dan pendakwa mogok dan tidak hadir ke mahkamah di Kaherah dan bandar-bandar lain pada Ahad dan Isnin lalu.

Sementara itu, Ikhwanul Muslimin telah membatalkan demonstrasi besar-besaran di Kaherah, yang dirancang diadakan Selasa ini, "sehingga notis lanjut" bagi "mengelakkan pertempuran".


Melindungi Revolusi

Pentadbiran Morsi mempertahankan dekri tersebut sebagai usaha untuk mempercepatkan pembaharuan yang akan melengkapkan transformasi demokrasi Mesir.

Tetapi seruan beliau untuk berdialog telah ditolak oleh ahli-ahli Barisan Penyelamat Kebangsaan (NSF), pakatan pembangkang baru liberal, berhaluan kiri dan lain-lain ahli politik dan parti, yang sukar untuk bersatu sehinggalah pengumuman dekri Morsi.

Barisan tersebuk termasuk Sabahy, pemenang Hadiah Nobel Keamanan, Mohamed ElBaradei dan bekas ketua Liga Arab, Amr Moussa.

Pihak tentera tidak melibatkan diri dengan krisis selepas mengetuai Mesir melalui peralihan selama 16 bulan untuk pilihan raya presiden pada bulan Jun.

Penganalisis berkata Morsi telah meneutralkan tentera apabila beliau memecat jeneral tertinggi  tentera Ogos lalu, dan melantik satu generasi baru yang kini berhutang budi kepada presiden.

Morsi menyatakan keputusan beliau Khamis lalu sebagai keperluan untuk melindungi revolusi yang menggulingkan Mubarak hampir dua tahun yang lalu dan untuk mengukuhkan peralihan negara kepada pemerintahan demokrasi.

Morsi juga mengarahkan perbicaraan semula Mubarak dan pembantu kanan beliau atas tuduhan membunuh penunjuk perasaan semasa pemberontakan.

"Dia terpaksa bertindak untuk menyelamatkan negara ini dan melindungi revolusi," ujar Pakinam al-Sharqawi, pembantu Morsi.

"Ia adalah satu peringkat utama dalam proses melengkapkan revolusi 25 Januari," katanya merujuk kepada hari bermulanya pemberontakan terhadap Mubarak pada tahun lepas.

Beliau juga mencipta badan kehakiman 'perlindungan revolusi' yang baru untuk menjalankan pendakwaan secepat mungkin.

Kes 92 pensyarah UPNM, Zahid jangan lepas tangan

Muhammad Faizal, 27 Nov 2012
KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi didesak agar campurtangan dalam isu 92 orang pensyarah kontrak yang ditamatkan perkhidmatan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Berkata kepada Harakahdaily, Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub menjelaskan, sebagai menteri yang bertanggungjawab kepada angkatan tentera dan juga bekas angkatan tentera, Zahid tidak boleh lepas tangan dari isu tersebut.

Malah, Zahid perlu memastikan kebajikan pensyarah-pensyarah yang merupakan anggota angkatan tentera itu terus terbela.

"Saya mahu Zahid turut campurtangan dalam kemelut yang berlaku di UPNM dan beliau sebagai menteri perlu bertanggungjawab mencari jalan penyelesaian.

"Hak dan kebajikan mereka yang telah ditamatkan perkhidmatan perlu dipastikan terjamin, ini merupakan kebajikan untuk mereka meneruskan kehidupan," jelasnya.

Menurutnya lagi, biarpun Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah menjelaskan tindakan tersebut sebagai penamatan kontrak, namun Zahid perlu berperanan bagi memastikan ada kesinambungan kepada hak-hak pensyarah-pensyarah yang telah ditamatkan kontrak itu.

"Matlamat sebenar penubuhan UPNM adalah untuk melahirkan tenaga pakar dalam bidang pertahanan.

"Jadi atas sebab itu, Zahid perlu bertanggungjawab kerana kebanyakkan mereka yang diambil sebagai pensyarah merupakan individu yang mempunyai pengalaman dalam bidang pertahanan," sambung beliau lagi.

Beliau yang turut mengulangi kenyataannya bahawa tindakannya ini bukan untuk mencampuri urusan pentadbiran di universiti tetapi demi keperihatinan terhadap masalah yang dihadapi oleh 92 orang pensyarah tersebut.

Hasad dengki warisan kederhakaan iblis

Akademi Tarbiyah DPPM , 27 Nov 2012
Hasad atau dengki adalah satu daripada maksiat batin yang boleh membinasakan seseorang. Kata Imam Al-Ghazali di dalam kitabnya Hidayatus Salikin, "(Dengki) ia sebesar-besar kejahatan manusia yang dicela oleh syarak. Ketahuilah hasad itu haram dan makna-(dengki)nya ialah engkau suka hilang (luput)nikmat daripada orang yang engkau dengki atau engkau berkehendak agar turun bala kepada orang itu".

Sifat hasad itu mendatangkan kemurkaan Allah. Ia boleh membinasakan diri seseorang dan himpunan amalannya. Rasulullah SAW bersabda bermaksud, "Takutlah kamu semua akan sifat dengki kerana sesungguhnya dengki itu memakan segala kebaikan sebagaimana api memakan kayu bakar." Riwayat Abi Daud daripada Abi Hurairah

Perbuatan dengki dilakukan pelbagai cara, asalkan orang yang didengki itu menerima kesan buruk. Perbuatan itu boleh berlaku melalui penyebaran fitnah, cacian dan umpatan. Sifat dengki mungkin juga dilakukan secara tindakan fizikal seperti memukul dan membunuh seperti sejarah pertama pembunuhan manusia yang berlaku dalam peristiwa Qabil dan Habil. Menurut Imam Al-Ghazali, dengki itu ada tiga macam :

Pertama; Menginginkan agar kenikmatan orang lain itu hilang dan digantikan (beralih) kepadanya.

Kedua; Menginginkan agar kenikmatan orang lain itu hilang sekalipun ia sendiri tidak dapat menikmatinya, sama ada kerana merasa mustahil dirinya akan dapat merasai nikmat tersebut ataupun kerana memang kurang senang memperolehnya atau sebab lain. Asalkan orang itu jatuh, ia tersenyum gembira. Yang ini lebih jahat daripada peringkat dengki yang pertama.

Ketiga; Tidak ingin kenikmatan yang diperoleh oleh temannya hilang tetapi ia benci kalau temannya itu mendapat kenikmatan lebih daripada kenikmatan yang dimilikinya.

Dengki hanya dimiliki orang yang berjiwa rendah, tidak berwawasan dan sifat itu mendorongnya berangan-angan kosong untuk mendapatkan kenikmatan yang dimiliki orang lain. Dalam diri setiap manusia, memang ada keinginan kepada persaingan untuk melebihi atau mendapat nikmat yang sama. Sifat ingin bersaing secara sihat adalah halal. Ia dikenal sebagai "ghibtah".

Seseorang yang menyedari dirinya serba kurang, apabila melihat orang lain maju maka ia wajar berusaha bersungguh-sungguh seperti yang dilakukan oleh orang lain itu. Ini bukanlah dengki sebenarnya. Ibnu Mas'ud meriwayatkan, bahawa Rasulullah SAW bersabda (maksudnya), "Tidak digalakkan adanya perasaan iri hati melainkan pada dua keadaan. Pertama, keadaan orang yang dikurniakan Allah harta benda lalu dia membelanjakannya kepada jalan kebajikan. Dan kedua, keadaan orang yang dikurniakan ilmu pengetahuan agama lalu ia beramal dengannya dan mengajarkannya." Riwayat Bukhari, Muslim dan Tirmizi

Nikmat dan Ujian Semuanya daripada Allah

Allah sentiasa menguji keimanan setiap daripada kita. Sesiapa yang redha dan menerima dengan terbuka apa yang terjadi kepadanya memperoleh balasan baik di sisi Allah. Sesuatu yang tidak disenangi menimpa seseorang mungkin tersimpan kebaikan di sebaliknya. Oleh itu, tidak wajar sama sekali seseorang menunjukkan sifat dengki atas apa yang diperoleh orang lain. Anggaplah orang yang menerima kebaikan itu sebenarnya sedang diuji Allah. Sekiranya dia berada di jalan benar, pasti Allah melimpahkan lebih banyak nikmat kepadanya.

Allah lebih mengetahui apa yang menimpa setiap orang. Dia berkuasa memberi dan menentukan setiap kejadian di dunia ini. Sesiapa menyimpan dengki terhadap orang lain, samalah dia cuba mengubah apa yang ditentukan Allah terhadap orang lain.

Betapa bahayanya sifat ini (dengki) disebut di dalam banyak kitab. Antaranya kitab Tanbih al-Ghafilin oleh Imam Abu Laith al-Samarqandi, yang meriwayatkan daripada al-Hasan, bahawa sabda Rasulullah SAW bermaksud, "Hasad dan dengki itu keduanya akan memakan habis kebaikan (hasanaat) sebagaimana api memakan kayu."

Daripada Abd al-Rahman bin Mu'awiyah berkata, Nabi SAW bersabda (maksudnya), "Tiga jenis sifat yang tidak dapat selamat seorangpun (daripadanya) iaitu berprasangka buruk, hasad dan takut sial kerana sesuatu."

Lalu Baginda ditanya, "Wahai Rasulullah, bagaimana untuk selamat daripada semua itu?"

Jawab Baginda Nabi SAW, "Jika kamu hasad maka jangan kamu lanjutkan. Dan jika menyangka maka jangan kamu buktikan (jangan kamu cari-cari kenyataannya). Dan jika merasa takut daripada sesuatu, maka teruskanlah (jangan mundur kerana merasa tidak yakin)."

Yakni jika hasad dalam hatimu maka jangan kamu lahirkan dalam amal perbuatanmu, kerana selama mana hasad itu masih dalam hati, maka Allah memaafkan selama mana belum keluar dengan lidah atau perbuatanmu. Jika prasangka buruk maka jangan pula kamu cuba buktikan dengan mencari kesalahannya, atau berusaha menyelidiki untuk mencari kenyataannya. Demikian pula jika terbit dalam hati perasaan was-was dalam hati kerana petanda-petanda yang dianggap mendatangkan sial, maka teruskan hajatmu dan jangan mundur.

Kedengkian Yahudi Terhadap Umat Islam

As-Syeikh Mutawalli Sya’rawi berkata di dalam tafsirnya, "Ketika Peperangan Uhud, Rasulullah SAW telah meminta kumpulan pemanah yang ditempatkan di sebuah bukit kecil supaya jangan turun, sama ada orang Islam menang atau kalah. Tetapi tatkala kemenangan hampir menjelma pada peringkat awal, sebahagian golongan pemanah terlupa arahan Rasulullah SAW itu dan ingin menyertai rakan taulannya memungut harta ghanimah. Hal ini mengakibatkan mereka mengalami kekalahan. Walaupun begitu, golongan kuffar tidak mampu menyatakan kemenangan yang mutlak iaitu menjajah kota Madinah dan kekal di sana. Sebaliknya mereka pulang ke Mekah."

"Dalam situasi kekalahan seperti ini, orang Yahudi Madinah mengambil kesempatan dengan cuba memujuk Sahabat Nabi seperti Huzaifah bin al-Yamani, Tariq bin Yasir dan lain-lain supaya kembali kepada ajaran nenek moyang mereka. Tetapi pujukan mereka tidak berjaya. Dengan tegas Para Sahabat Rasulillah menjawab dan menolak pujukan tersebut.

"Antara lain, kata Ammar ibn Yassir di dalam jawapannya; Sesungguhnya aku beriman dengan Allah sebagai Tuhan, aku beriman dengan Muhammad sebagai Rasul, aku beriman dengan Kitab sebagai penghulu, aku beriman dengan Kaabah sebagai kiblat, aku beriman bahawa seluruh orang beriman sebagai saudara dan sentiasalah aku dalam keadaan ini selama mana nyawa dikandung badan.”

Rasulullah SAW amat gembira dengan sikap mereka yang terus kekal beriman seperti yang yang dimiliki oleh Para Sahabat.

Benarlah seperti firman Allah Taala:

"Banyak di antara Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) suka kalau kiranya mereka dapat mengembalikan orang yang beriman menjadi kafir, kerana dengki yang timbul daripada diri mereka sendiri, walaupun sesudah nyata kepada mereka kebenaran (Nabi Muhammad SAW). Oleh itu, maafkanlah dan biarkanlah oleh kamu (akan mereka), sehingga Allah datangkan perintah-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu."  (Surah al-Baqarah: ayat 109)

Kata Imam Abu Laith As Samarqandi dalam tafsirnya yang dikenali dengan "Bahr al-'Ulum" menyebut, "Ayat ini diturunkan tatkala orang Islam diuji dalam Peperangan Uhud, golongan Yahudi mengambil kesempatan memujuk Ammar bin Yasir dan Huzaifah bin al-Yaman seraya berkata; Kamu telah terkena bala dan musibah. Justeru, eloklah kamu kembali kepada kami yang jauh lebih baik bagimu. Lantas turunnya ayat ini." Inilah juga pendapat Muqatil.

Tafsiran lain menyatakan bahawa Ka`ab bin Al-Asyraf telah memaki Nabi Muhammad SAW di samping mengajak dan menyeru kepada golongan kafir Quraish dalam bentuk syairnya menentang Rasulullah. Golongan musyrikin dan Yahudi Madinah menyakiti Rasulullah ketika mula datangnya Baginda SAW dalam peristiwa hijrah, tetapi Nabi SAW menyuruh Para Sahabat supaya mengabaikan mereka. Kemudian turunnya ayat ini. Inilah pendapat Abdullah bin Ka`ab bin Malik.

Dan makna hasad yang dilakukan oleh orang-orang Yahudi di sini ialah benci nikmat yang dikurniakan kepada orang beriman, dan berharap untuk menghilangkan nikmat tersebut sekalipun mereka tidak mendapatkannya. Inilah perasaan hitam yang hina yang melimpah dalam jiwa kaum Yahudi terhadap Islam dan kaum Muslimin, dan perasaan ini masih terus melimpah. Perasaan inilah yang melahirkan semua komplot dan perancangan jahat kaum Yahudi yang berterusan.

Hasad Melahirkan Sifat Benci-Membenci

Banyak faktor yang menyebabkan seseorang bersifat hasad, antaranya ialah kerana 'adaawah (permusuhan), takabbur (bongkak), ta'azzuz (benci jika ada orang lain dapat mengatasi reputasinya), bakhil (kedekut), khubthun nafsi (busuk hati), dan hubbul jaah (gila kuasa). Mu'awiyah bin Abi Sufyan berkata kepada puteranya, "Wahai anak, berhati-hatilah (waspadalah) daripada hasad dengki kerana hal itu akan nyata pada dirimu sebelum bahayanya nampak nyata pada musuhmu."

Manakala kata Imam Abu Laith as-Samarqandi berkata, "Tiada sesuatu yang lebih jahat daripada hasad, kerana orang yang berlaku hasad itu akan terkena lima bencana;
1. Hati yang tidak putus-putus merasa risau.
2. Ditimpa bala yang tidak berpahala.
3. Terpalit sifat dan label cela.
4. Dimurkai Allah Taala.
5. Tertutup padanya petunjuk Allah."

Hasad menimbulkan keinginan merampas kebaikan orang lain. Mengapa? Mereka yang berlaku hasad bukan kerana jiwa mereka yang jahat itu tidak tahu, tetapi mereka bersifat begitu kerana mereka benar-benar mengetahui. Al-Quran mendedahkan motif hasad ini kepada kaum Muslimin supaya mereka tahu dan menyedari bahawa hasad dengki itulah punca yang wujud di belakang setiap usaha kaum Yahudi yang mahu menggugat akidah dalam jiwa mereka dan mengembalikan mereka selepas itu kepada kekufuran seperti mereka.

Sabda Baginda Nabi SAW, maksudnya : "Janganlah kamu saling membenci, dan janganlah kamu saling memutuskan silaturrahim, dan janganlah kamu saling berdengkian (hasad), janganlah kamu saling membelakang (tidak berteguran), jadilah kamu sebagai hamba-hamba Allah yang bersaudara." Riwayat Bukhari dan Muslim

Salah satu larangan keras Baginda Rasul SAW dalam hadis di atas ialah agar kita jangan saling berdengkian (hasad). Hasad adalah dosa yang membawa keingkaran besar pertama kepada Allah iaitu sifat buruk inilah yang mendorong Iblis enggan sujud kepada Nabi Adam. Sifat tercela ini jugalah yang mendorong terjadinya pembunuhan pertama di atas muka bumi antara Qabil dan abil, dan sifat dengki juga menyebabkan Nabi Yusuf Alaihissalam hampir-hampir dibunuh oleh saudara-saudaranya.

Antara Hasad, Ghibtah dan Munaafasah


Hasad, ghibtah dan munaafasah adalah tiga istilah yang hampir bersamaan maknanya. Tetapi sebenarnya masing-masing mempunyai makna yang tersendiri.

Hasad (Dengki) : Engkau suka jika hilang (luput) nikmat daripada saudaramu seagama tanpa sebab yang dibenarkan oleh syarak (agama). Hukumnya adalah haram. Ia bukan sekadar mendatangkan maksiat hati dan amalan dosa, bahkan ia adalah kejahatan sehingga Allah mengajarkan kepada manusia agar memohon perlindungan kepada-Nya daripada sifat tersebut:

"Dan dari kejahatan orang yang dengki apabila ia dengki." (Surah al-Falaq: ayat 5)


Ghibtah (Iri Hati): Engkau menginginkan sesuatu nikmat seperti nikmat yang diperoleh oleh saudaramu, tetapi engkau sendiri tidak pula menginginkan agar nikmat tersebut hilang daripada saudaramu itu. Sifat ini tidak mendatangkan dosa selagi tidak melampau ke peringkat hasad.

Munaafasah (Kompetisi): Engkau berusaha keras untuk mencapai sesuatu sebagaimana yang telah dicapai oleh rakanmu, atau engkau bekerja keras kerana ingin mengatasi pencapaian saudaramu. Oleh sebab itu, kadang-kadang kompetisi ini dianjurkan oleh Allah Taala seperti yang terkandung di dalam al- Quran:

"Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa." (Surah Ali Imran: ayat 133)

http://tarbawi.my

PAS cadang lantik wanita sebagai speaker

Salmiyah Harun, 27 Nov 2012
KUALA LUMPUR: Parlimen disaran melantik seorang speaker daripada kaum wanita kerana mereka lebih memahami khususnya menyentuh isu sensitiviti kaum wanita ketika dibangkitkan di dalam dewan.

Perkara itu dicadangkan oleh Ahli Parlimen Rantau Panjang Siti Zailah Mohd Yusoff sewaktu berbahas usul pindaan untuk Peraturan Tetap 36(4) mengatakan: “Adalah menjadi kesalahan bagi Ahli-ahli Dewan yang menggunakan bahasa kurang sopan (biadap)".

"Selepas ini, speaker pula di kalangan wanita, kerana mereka lebih memahami dalam isu-isu wanita," katanya.

Beliau berkata, setiap ahli parlimen harus menggunakan bahasa yang sopan dan menghormati antara satu sama lain termasuklah tidak mementingkan soal gender.

Katanya, ahli parlimen perlu menunjukkan tatacara yang baik sewaktu berbahas di dewan dan tutur kata yang tidak menyinggung lelaki dan perempuan.

Sebelum itu, ketika mencelah Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh berkata kebanyakan ahli parlimen BN yang sering mengeluarkan kata-kata berunsurkan seksis ketika berbahas.

"Banyak yang keluarkan seksis, adalah di sebelah sana," katanya yang tuju kepada ahli parlimen BN.

Malah beliau turut mencadangkan agar Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memberikan kursus khas kepada semua ahli parlimen terutama berkaitan sensitiviti kaum wanita.

Katanya, kursus itu penting kerana ia dapat membantu ahli parlimen mengetahui garus panduan dalam isu-isu sensitif.

“Saya cadangkan Kementerian supaya memberikan kursus kepada MP mengenai soal gender ini. Ia supaya mereka ini dapat mengikut garis panduan daripada bercakap perkara-perkara sensitif,” kata Fuziah.

Ekoran itu, Fuziah dikecam kerana beliau menegaskan kursus itu wajib diberikan kepada ahli parlimen BN.

“Kursus ini juga harus diberikan kepada MP BN khususnya. Ini memandangkan mereka yang banyak bercakap tentang soal-soal sensitif ini,” ujar Fuziah.

Menyambung perbahasan, Zailah turut bersetuju dengan Fuziah dan menyifatkan cadangan itu sebagai usaha untuk memartabatkan dewan yang mulia ini tanpa mengira perbezaan gender.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan