Khamis, 27 September 2012

KISAH2 MISTERI YANG LAIN AKAN TERBONGKAR JUGA JIKA ADA IZIN DARI ALLAH...PENYAMUN2 TARBUS TU TAK BOLEH LARI HUKUMAN ALLAH SWT...YANG JAHAT DAN PENIPU TETAP DAPAT BALASAN...TUNGGU SAJA TAKDIR ALLAH YANG MENENTUKANNYA

Rapid Pengerang: Banyak misteri akan terbongkar

Abdul Aziz Mustafa, 27 Sep 2012
KUALA LUMPUR: Banyak misteri yang akan terbongkar berikutan bantahan dan cabaran debat mengenai Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid), kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.

"Apabila ada bekas menteri yang mencari nafas baru dalam politik Umno mencabar untuk berdebat berikutan bantahan penduduk Pengerang terhadap Rapid, banyak lagi kecurigaan yang didedahkan kepada kita sejak Petronas dikuasai (Perdana Menteri, Datuk Seri) Najib (Tun Razak)," katanya.

Menurut Salahuddin, Seksyen 3(2) Akta Pembangunan Petroleum 1974 meletakkan Petronas di bawah penguasaan dan arahan Perdana Menteri.

Katanya, antara perkara awal yang didedahkan kepadanya ialah mengenai begitu banyak projek Petronas, termasuk Rapid, yang dimanfaatkan oleh Dialog Group Berhad.

Mengenai Rapid, Salahuddin berkata, beliau difahamkan bahawa projek itu adalah projek Petronas yang pertama yang mengambil alih kawasan penempatan rakyat.

"Saya difahamkan oleh para pegawai Petronas bahawa sejak ditubuhkan pada tahun 1974, syarikat minyak nasional itu tidak pernah mengambil alih kawasan penempatan rakyat dan apa yang berlaku di Pengerang hanya berlaku di zaman Najib menguasai Petronas.

"Contohnya, tapak kawasan Loji Penapis Minyak Terengganu di Kerteh asalnya ialah kawasan kebun kelapa dan tidak melibatkan kawasan perkampungan atau penempatan rakyat," kata beliau.

Malah, kata Ahli Parlimen Kubang Kerian itu, pegawai-pegawai Petronas yang memberi maklumat juga memberitahu, telah menjadi piawaian dunia bahawa projek minyak dan gas tidak dibuat di kawasan penempatan rakyat seperti yang dilakukan di Pengerang.

"Para pegawai Petronas yang berkenaan juga banyak mengadu mengenai Presiden dan CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) Petronas (Tan Sri) Shamsul Azhar (Abbas) dan mereka memberitahu bahawa banyak perkara yang tidak berlaku sebelum ini berlaku di zaman Shamsul Azhar termasuk pengambilalihan kawasan penempatan rakyat untuk projek Petronas.

"Ia satu perubahan dasar Petronas yang luar biasa," katanya.

Bagi Salahuddin, apabila ia melibatkan perubahan dasar Petronas, kesalahan besar bukan lagi sekadar melibatkan Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman yang beliau sifatkan bersekongkol meluluskan pengambil alihan kawasan penempatan penduduk berkenaan untuk projek itu, tetapi dalang utamanya ialah Najib.

"Najiblah orang yang paling bertanggungjawab ke atas segala masalah dan keperitan yang dihadapi oleh penduduk Pengerang yang dimangsakan pengambil alihan itu," katanya.

Salahuddin juga kesal dengan sikap Ghani yang hanya mengikut sahaja telunjuk Najib dan menjadi antara sekongkol utama dalam projek yang dibantah oleh penduduk Pengerang itu.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Penduduk Pengerang, Kasran Abdullah sebelum ini menyatakan, kajian yang dijalankan November tahun lalu di tujuh kampung terbabit, menunjukkan 96 peratus penduduk membantah projek Rapid.

Salahuddin juga menuntut penjelasan Najib mengapa Dialog kini mendapat begitu banyak projek Petronas.

"Para pegawai Petronas berkenaan memberitahu, trend monopoli sedemikian tidak pernah berlaku sebelum ini dan hanya berlaku ketika Najib berkuasa ke atas Petronas.

"Menurut mereka, banyak penganugerahan projek Petronas yang menimbulkan kesangsian dan pertikaian dan yang paling mereka persoalkan ialah projek-projek Petronas kepada Dialog," kata beliau.

Para pegawai petronas itu juga, kata Salahuddin, mempersoalkan bagaimana Dialog mendapat manfaat di medan minyak Balai Bentara dan dijangka akan mendapat manfaat pula di medan minyak D35 di Balai Cluster.

Beliau bagaimanapun tidak mengulas lanjut mengenai perkara itu kerana kenyataan khusus mengenai perkara itu akan dibuat.

Pemuda PAS kongsi kemelut penjaga gol T’ganu

Khairul Azlam Mohamad, 27 Sep 2012

KUALA TERENGGANU: Kemelut yang melanda penjaga gol pasukan Terengganu, Mohd Sharbinee Allawee Ramli turut dikongsi bersama Dewan Pemuda PAS negeri sebagai tanda sokongan moral kepada pemain tersebut.
Ketuanya, Ustaz Mohd Nor Hamzah melahirkan rasa dukacita dengan kemelut tersebut serta memberi suntikan semangat agar Sharbinee meneruskan karier dalam bidang bola sepak.

Katanya, sebagai pemain yang profesional Sharbinee perlu kuat semangat dan jadikan kemelut tersebut sebagai ujian bagi kemantapan diri.

“Kami, Pemuda PAS Terengganu datang untuk lawatan ziarah kepada Saudara Sharbinee yang sebelum ini pelbagai kemelut melanda penjaga gol (Terengganu) ini.
“Kita harap, dia kuat semangat sebagai pemain profesional, kemelut itu sebagai ujian dan jika ada rezeki Allah swt akan beri yang lebih baik, Insya Allah,” ujarnya ketika menziarahi Sharbinee di rumah ibunya di Kampung Pulau Duyung, semalam.

Hadir sama mengikut rombongan tersebut Timbalan Ketua Pemudanya, Ustaz Ridhuan Hasyim, Setiasaha Pemuda PAS Terengganu, Mohamad Zaidan Abdullah dan Pengarah MTD Seberang Takir, Ustaz Zakaria Dagang.

Sharbinee berkata tuduhan menjual perlawanan oleh pihak terbabit terhadapnya adalah tidak benar serta berunsur fitnah.

“Saya sendiri yang pergi jumpa pihak SPRM minta siasat kes (jual perlawanan) ini setelah ada orang tuduh saya buat begitu…tapi saya tidak pernah buat seperti yang dituduh.

“Ini macam fitnahlah kepada saya dan saya tidak pernah buat perkara (jual perlawanan) itu. Saya telah bersihkan nama dan SPRM telah sahkan,” ujarnya.

Menurutnya, pelbagai pihak memberi tawaran untuk menyertai pasukan lain seperti Pahang, Selangor, Perak dan lain-lain lagi.

Namun, kata beliau masih berfikir panjang dan sebaiknya masih mahu bersama pasukan Terengganu demi masa depan bidang tersebut.

Pada 18 September lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan penjaga gol Terengganu, Mohd Sharbinee Allawee Ramli tidak bersalah atas tuduhan jual perlawanan dan kes ditutup.

(Gambar: Mohd Nor Hamzah menyampaikan hamper kepada Mohd Sharbinee.) 

PRK: Gantung keputusan, bentuk jawatankuasa bebas

Harakahdaily, 27 Sep 2012
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mendesak supaya semua keputusan Pilihanraya Kampus (PRK) di kampus-kampus yang mahasiswanya mempertikaikan proses perjalanan pilihanraya digantung buat sementara dan sebuah jawatankuasa bebas ditubuhkan.

Sehubungan itu, DPPM merakamkan rasa kesal terhadap kekecohan yang berlaku di dalam PRK sesi 2012/2013 yang berlaku kelmarin khususnya di Universiti Malaya, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Ketuanya, Nasrudin Hassan menyatakan demikian ekoran Pilihan raya Kampus yang berlangsung kelmarin telah menyaksikan penyelewengan dan penindasan ke atas hak demokrasi mahasiswa.


Katanya, kekecohan, bantahan dan pengundian semula yang berlaku ini berpunca dari pengendalian PRK oleh pihak Hal Ehwal Pelajar yang memang sejak dari dulu lagi dipertikaikan kewibawaan dan keberkecualiannya dilihat mengambil sikap memihak kepada kumpulan pelajar tertentu terutamanya dari kumpulan Pro Aspirasi.

DPPM, ujarnya buat kesekian kalinya ingin menegaskan bahawa soal pemilihan kepimpinan mahasiswa seharusnya ditentukan sendiri oleh mereka secara bebas dan terbuka tanpa campurtangan pihak yang berkepentingan.

Beliau berkata, budaya mengugut dan memaksa mahasiswa untuk hanya mengundi sesuatu kumpulan adalah pencabulan terhadap kedudukan mahasiswa selain dari mencabul hak asasi mereka.

Begitu juga, katanya sikap memihak yang amat ketara yang ditunjukkan oleh kebanyakan pentadbir universiti samada daripada HEP atau pentadbir Kolej Kediaman yang menyokong kumpulan pro Aspirasi hingga hanya kumpulan tersebut diberi ruang yang luas untuk berkempen dan mendekati pelajar dan pada masa yang sama menafikan hak tersebut kepada kumpulan pro Mahasiswa.

“DPPM mendesak supaya semua keputusan PRK di kampus-kampus yang mahasiswanya mempertikaikan proses perjalanan pilihanrayanya digantung buat sementara dan sebuah jawatankuasa bebas ditubuhkan oleh kerajaan untuk menyiasat segala aduan ketidakadilan dan penipuan yang berlaku dalam PRK sesi ini,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Di samping itu, katanya para mahasiswa yang bertanding hendaklah diberi hak sama rata untuk berkempen serta melantik agen-agen mereka bagi memantau dan mengikuti dari dekat proses pembuangan undi dan pengiraan undi.


Selain itu, ujar beliau aturan dan peraturan perjalanan pilihanraya hendaklah diperkemaskan dan digubal selaras dengan standard universal perjalanan pilihanraya yang adil dan telus.


“Para pegawai universiti, pengetua-pengetua kolej kediaman, felo-felo dan juga para dekan dan pensyarah dilarang sama sekali menggunakan pengaruh dan kedudukan mereka untuk memaksa para mahasiswa menyokong mana-mana calon yang bertanding.


“Pemantau pilihanraya dari luar seperti dari Suhakam dan Majlis Peguam hendaklah dibenarkan untuk memantau seluruh perjalanan PRK.


Tambahnya, DPPM juga mendesak supaya menolak perlaksanaan kaedah pengundian secara online (e-voting) kerana system tersebut membukan ruang kepada penyelewengan lantaran pulak system tersebut sudah tentu dikawal oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP).

Selain itu, juga, katanya pengendaliaan PRK di kampus-kampus tidak diletakkan secara eksklusif pengendaliannya di bawah HEP, tetapi di bawah satu Suruhanjaya Pilihanraya Kampus yang dilantik oleh Senat Universiti.

Belanjawan PR 2013 ke arah Negara Berkebajikan

Nasrudin Hassan at-Tantawi, 27 Sep 2012
Dewan Pemuda PAS Malaysia mengalu-alukan pembentangan Belanjawan PR 2013 yang bertemakan "Ekonomi Rakyat Negara Berkat". Ianya dengan tepat memberi penekanan kepada tiga agenda memacu kebajikan rakyat;
a] meningkatkan pendapatan sebenar rakyat dan mengurangkan tekanan kos sara hidup,

b] membina kumpulan rakyat berkeusahawanan dengan daya saing kompetitif dan

c] mendaya masyarakat untuk mencapai keadilan dengan kemuliaan dan rasa penuh bangga.

Belanjawan PR ini menjadi satu lagi bukti kemampuan Pakatan Rakyat di dalam merangka strategi alternatif ekonomi nasional  yang amat relevan untuk diangkat sebagai tawaran yang membawa pembaharuan sebenar untuk Malaysia.

Kelak UMNO-BN dan pengampu-pengampu mereka tidak boleh lagi berhujah bahawa Pakatan Rakyat cuma pandai beretorik dan membuat omongan kosong kerana Belanjawan PR ini buat kesekian kalinya telah menjelaskan tawaran kita secara objektif, profesional dan bijaksana tanpa bersikap apologetik terhadap cabaran ekonomi yang seolah-olah cuba disembunyikan oleh pemerintah.

Belanjawan ini tidak membuaikan rakyat dengan gula-gula politik dan strategi perbelanjaan melampau seperti  Bajet kerajaan pada 2012  yang telah disifatkan oleh Tun Mahathir Mohamad sendiri sebagai suatu rasuah politik.

Sebaliknya belanjawan setebal 98 mukasurat ini menyusun program perbelanjaan konstruktif untuk membina jaringan keselamatan sosial bagi golongan miskin dan kelas ekonomi menengah secara mapan dengan penekanan terhadap aspek perumahan, belanja isirumah, pemilikan kenderaan dan pendidikan tinggi percuma tanpa bebanan dari PTPTN.

Di dalam hal ini, kita juga komited untuk merungkai monopoli UMNO-BN yang terus menerus menjerut dan menghambat potensi sebenar sistem ekonomi kita, sama ada di dalam soal bayaran tol sehinggalah amalan kolusi syarikat-syarikat besar yang menjadi penyumbang dana kepada kelangsungan politik wang pemerintah yang telah membarah.

Belanjawan ini penting sebagai bukti kepada rakyat bahawa amalan korupsi, kolusi dan nepotisme UMNO-BN ini boleh ditamatkan dengan langkah-langkah jitu dan realistik bersandarkan kemahuan politik kuat pemerintah yang cuma akan hadir melalui Pakatan Rakyat mentadbir Putrajaya pasca PRU ke13 nanti insyaallah.

Agenda-agenda besar Belanjawan PR ini juga boleh dicapai berdasarkan kepada kebijakan yang terjana hasil dari pengalaman mentadbir negeri Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor yang pastinya berguna untuk diaplikasikan di peringkat nasional.

Rakyat telah menyaksikan prestasi kepimpinan PR yang telah berjaya mengekalkan integriti bebas rasuah di samping kompeten, telus dan berhemat di dalam urusan pentadbiran walau terus dimomok dengan pemberitaan berat sebelah dan layanan tidak adil dari kerajaan pusat.

Malah kerendahan hati dan kesederhanaan pemimpin menyantuni rakyat menjadi pembeza kepada gaya mewah pimpinan UMNO-BN dan keluarga mereka. Atas dasar ini jugalah, kita yakin dengan aspirasi untuk meningkatkan hasil mahsul negara sehingga 18% sebagai sesuatu yang realistik bersandarkan kesungguhan dan keikhlasan kepimpinan PR untuk mendepani isu ketirisan, rasuah dan kecekapan di dalam urusan negara.

Dewan Pemuda PAS melihat Belanjawan PR ini sebagai suatu lagi terjemahan kepada konsep Negara Berkebajikan yang dicadangkan oleh PAS bagi memastikan kekayaan negara tidak lagi berkisar di kalangan penguasa dan pemodal semata-mata, sedang ianya adalah  merupakan satu bentuk kezaliman.

Belanjawan ini menjadi satu manifestasi strategi untuk merakyatkan kekayaan negara secara adil dan saksama agar rezeki yang ada dirasakan cukup untuk semua orang dan semua urusan sekaligus membebaskan rakyat dari cengkaman mafia ekonomi.

Bermula dari nurani tersebut, timbul kesungguhan untuk terus berusaha mencambah kekayaan negara dan lahir pula keikhlasan dari rakyat untuk memanjat doa dan pengharapan kepada tuhan agar kebajikan dan kesejahteraan ini berpanjangan. Inilah kitaran keberkatan yang cuba dicapai, bermula dengan perbentangan strategi Belanjawan PR ini.

Aspek rububiyyah inilah yang tidak mungkin dapat difahami oleh pemerintah yang terus menerus merasakan penguasaan terhadap kekayaan negara adalah hak istimewa mereka secara tradisi.

Dewan Pemuda PAS dengan ini mengucapkan syabas dan tahniah di atas pembentangan belanjawan rakyat ini. Kita akan melangkah penuh yakin untuk ke lapangan bagi menjelaskan visi dan strategi Pakatan Rakyat membawa kemakmuran kepada rakyat.

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

Berapa kos terkini LPT 2, bila siap – Abdul Wahid

Harakahdaily, 27 Sep 2012
KUALA LUMPUR: Menteri Kerja Raya diminta menyatakan jumlah keseluruhan kos terkini Projek Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT 2), tarikh jangka siap dan jumlah kos yang telah dibayar oleh Kerajaan Negeri Terengganu yang menanggung 50% pembiayaan kos projek tersebut sehingga kini.


Demikian soalan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Mohd. Abdul Wahid Endut (gambar) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Ahli Parlimen PAS yang mengemukakan soalan bagi jawab lisan hari ini sebagaimana di bawah.

Mohd. Abdul Wahid Endut [Kuala Terengganu] minta Menteri Kerja Raya menyatakan jumlah keseluruhan kos terkini Projek Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT 2), tarikh jangka siap dan jumlah kos yang telah dibayar oleh Kerajaan Negeri Terengganu yang menanggung 50% pembiayaan kos projek tersebut sehingga kini.

Nasharudin Mat Isa [Bachok] minta Menteri Pengajian Tinggi menyatakan setakat ini apakah sumbangan dan pencapaian sebenar yang diperolehi oleh Majlis Profesor Negara yang diwujudkan dan sehingga kini, apakah manfaat yang diperolehi Kerajaan dan rakyat dengan pewujudannya itu.

Datuk Mahfuz Omar [Pokok Sena] minta Menteri Kerja Raya menyatakan apakah tujuan cadangan Kerajaan menswastakan pemantauan dan penyenggaraan cerun di seluruh Semenanjung Malaysia.

Muhammad Husain [Pasir Puteh] minta Menteri Sumber Asli Dan Alam Sekitar menyatakan sempadan kelautan bagi negeri-negeri Semenanjung Malaysia terutama bagi negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang, sebelum pembentukan Persekutuan Tanah Melayu berbanding selepas menyertai Persekutuan.

Belanjawan PR terbaik untuk Sabah, Sarawak

Muhammad Faizal, 27 Sep 2012
KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Seri Lajim Ukin melihat belanjawan Pakatan Rakyat 2013 yang dibentangkan memberi satu impak yang amat besar kepada rakyat Sabah dan Sarawak.

Malah menurut beliau, perancangan Pakatan Rakyat yang ingin membina lebuhraya Pan-Borneo (Pan-Borneo Highway) amat dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat Sabah dan Sarawak selama ini.

Pakatan Rakyat melalui belanjawan bertemakan 'Ekonomi Rakyat Negara Berkat' yang dibentangkan semalam meletakkan pembinaan lebuhraya Pan-Borneo serta penambahbaikan rangkaian landasan keretapi di Sabah dan Sarawak.

Pakatan Rakyat melihat kemudahan jalanraya di Sabah dan Sarawak amat jauh ketinggalan berbanding di Semenanjung Malaysia.

Di mana rakgkaian jalan di Semenanjung mencapai 35,735 km menjelang 2009, manakala gabungan jalan di Sabah dan Sarawak hanya 10,171 km.

Menurut Lajim lagi, kerajaan Umno-Barisan Nasional sebelum ini telah menjanjikan pembinaan lebuhraya tersebut namun sehingga kini belum ada sebarang tanda mahupun isyarat yang mereka ingin laksanakan.

"Sabah dan Sarawak adalah sebuah negeri yang kaya dan merupakan pengeluar minyak dan sumber hasil bumi yang amat banyak.

"Namun apa yang rakyat di sana dapat, malah tidak ada satu pun pembangunan mega dilakukan terutamanya pembinaan lebuhraya yang menghubungkan ke dua-dua buah negeri," jelasnya yang juga Ahli Parlimen Beaufort.

Beliau yang cukup yakin dengan apa yang dibentangkan oleh Pakatan Rakyat kerana agenda yang dibawa adalah untuk memastikan dan memberi keutamaan kepada rakyat terutamanya rakyat Sabah dan Sarawak yang jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan rakyat di Semenanjung.

"Jadi harapan saya agar rakyat Sabah dan Sarawak memberi sokongan kepada Pakatan Rakyat jika ingin melihat pembangunan serta kehidupan mereka berubah pada masa yang akan datang.

"Atas dasar itulah saya dan kawan-kawan meletak jawatan serta meninggalkan Barisan Nasional adalah semata-mata untuk berjuang demi kesejahteraan rakyat di sana," sambung beliau lagi.

Lajim yang ketika ditanya pengalaman beliau sewaktu berada di dalam Barisan Nasional dengan apa yang dilaksanakan oleh Pakatan Rakyat terutamanya dalam urusan belanjawan.

"Bagi Barisan Nasional mereka memang bentang bajet seperti biasa dengan mengumumkan peruntukan untuk kebaikan rakyat tapi pada masa yang sama kita boleh nampak rakyat Sabah dan Sarawak yang miskin semakin miskin manakala yang kaya terus mengaut kekayaan.

"Saya tidak mempunya satu harapan yang tinggi kepada kerajaan Barisan Nasional tetapi dengan adanya pendekatan Pakatan Rakyat, saya yakin bahawa apa yang akan dilaksanakan di negeri-negeri tersebut memberi impak yang besar kepada kedua-dua negeri, apatah lagi dengan pemberian 20 peratus royalti minyak," kata beliau lagi

Beliau yang yakin dengan peruntukan 20 peratus royalti minyak itu bukan sahaja pembangunan di Sabah dan Sarawak dapat ditingkatkan malah rakyat negeri itu akan keluar dari garis kemiskinan.

Pakatan Rakyat selain daripada perancangan pembinaan lebuhraya Pan-Borneo yang menghubungkan Kuching dan Kota Kinabalu itu turut akan memperluaskan dan menaiktaraf rangkaian landasan keretapi di Sabah dan Sarawak yang kini terdiri hanya pada 134 km sahaja.

Pakatan Rakyat berpendapat dengan terlaksananya pembinaan lebuhraya dan juga naiktaraf landasan keretapi itu, pembangunan di Sabah dan Sarawak akan setanding dengan negeri-negeri di Semenanjung Malaysia.

Suruhanjaya Perkhidmatan SPRM perlu ditubuhkan

Muhammad Faizal, 27 Sep 2012
KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang bermesyuarat di Parlimen semalam mencadangkan dipinda Perlembagaan supaya satu Suruhanjaya Perkhidmatan SPRM dapat ditubuhkan.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub yang ditemui menjelaskan Jawatankuasa SPRM akan membawa perkara tersebut ke Parlimen bagi membuat satu pindaan pada Perlembagaan bagi tujuan itu.

Beliau yang juga merupakan anggota Jawatankuasa SPRM, pada mesyuarat semalam Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abu Kassim Mohammed termasuk Pengarah Jabatan turut dipanggil bagi membincangkan perkara yang menyentuh SPRM demi kepentingan dan masa depan agensi itu.

"Pada mesyuarat tersebut banyak perkara kita sentuh mengenai SPRM dalam usaha kita meningkatkan imej dan masa depan SPRM.

"Selain itu juga perbincangan turut ditekankan pada halangan-halangan yang timbul dalam undang-undang melibatkan kesalahan rasuah dan terdapat beberapa halangan yang juga memerlukan pindaan dan penyemakkan semula undang-undang," jelasnya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian kepada Harakahdaily di lobi Parlimen.

Tambahnya perkara tersebut telah dicadangkan kepada jawatankuasa untuk dibawa kepada kerajaan, yang mana ada beberapa kelemahan dari akta dan seksyen yang jelas menghalang SPRM untuk bertindak khususnya dengan isu-isu besar yang selalu menjadi isu dalam masyarakat.

"Ada beberapa keperluan lagi yang kami bincangkan secara serius dan ia akan dibawa ke pihak kerajaan oleh jawatankuasa ini selari dengan peranan kami sebagai penasihat kepada Perdana Menteri atas isu melibatkan rasuah," kata beliau.

Ketika ditanya berkenaan dengan maklum balas SPRM dengan perkara yang dicadangkan itu.

Salahuddin menjelaskan SPRM memang mengharapkan jawatankuasa membawa isu-isu tersebut kepada pihak kerajaan memandangkan jawatankuasa SPRM adalah panel yang dilantik oleh Parlimen.

Jawatankuasa SPRM terdiri dari enam anggota yang dipengerusikan oleh Ahli Parlimen Kangar, Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad.

Manakala anggotanya pula adalah Timbalan Pengerusi DAP, Dr Tan Seng Giaw, Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub, Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Doris Sophia Brodia, Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Rahman Dahlan dan Ahli Parlimen Maran, Datuk Ismail Abdul Muttalib,

PRK: Pro-M UM kesal laporan Berita Harian

Salmiyah Harun, 27 Sep 2012
KUALA LUMPUR: Pro Mahasiwa Universiti Malaya (UM) kesal dengan laporan sebuah akhbar  arus perdana yang telah membuat beberapa kesalahan fakta dalam membuat liputan berhubung pilihan raya kampus yang berlangsung 25 Sept.

Akhbar Berita Harian semalam di muka surat 12  yang bertajuk  ‘Kumpulan Pro-M tumbang di UM’ melaporkan  "berlaku kejutan di UM semalam apabila calon Pro-A buat pertama kali menang lebih banyak kerusi di universiti itu sejak sekian lama dikuasai Pro-M. Pro-A menang 21 kerusi berbanding Pro-M 20 kerusi".

Sedangkan menurut  Pemangku Pengerusi Pro Mahasiswa UM  Syis Abdul Kadir, berdasarkan fakta yang sebenarnya adalah Pro Mahasiswa menang 20 kerusi, Pro Aspirasi menang 19 kerusi, bebas memenagi dua kerusi dan dua lagi adalah seri.

Bagaimanapun, katanya sehingga kini tiada keputusan muktamad diumumkan dan Pro Mahasiswa masih mendahului jumlah kerusi yang dimenangi.

Katanya, Pro Mahasiswa melihat perkara ini sangat serius dan boleh mencalar imej dan maruah mereka, justeru mereka menggesa Berita Harian  memohon maaf secara terbuka dengan segera dan menyiarkan kenyataan maaf tersebut.

Beliau mengingatkan agar pihak akhbar lebih berhati-hati dan adil dalam membuat liputan dan mengambil rujukan yang berautoriti.

Oleh itu katanya, Pro Mahasiswa menggesa pihak Berita Harian bertanggungjawab di atas kesilapan yang dilakukan dan pihaknya bersedia untuk mengambil tindakan lanjut kerana kesalah fakta ini adalah satu fitnah buat Pro Mahasiswa UM.

Hari ini, Berita Harian muka surat 13 dalam liputan yang bertajuk "Proaspirasi rampas UM". Kesilapan fakta pada pernyataan "Kumpulan Proaspirasi (Pro-A) buat pertama kali menguasai Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaya (UM) apabila calonnya menang 21 kerusi dalam pemilihan semalam berbanding Promahasiswa (Pro-M) yang menang 20 kerusi."

Manakala halaman yang sama dalam liputan jadual keseluruhan keputusan pilihanraya kampus yang bertajuk "Info:  Keputusan semasa PRK" di mana kesilapan fakta di jadual tersebut apabila menyatakan Pro-A menang 21, Pro-M menang 20 dan bebas tidak memenangi sebarang kerusi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan