Ahad, 30 September 2012

ADA BERANI....YANG SORANG NI SIBUK NAK MENEGAKKAN BENANG BASAHNYA...ADAKAH DIA INGAT RAKYAT NI BODOH BELAKA...JANGAN TERSILAP BODEK DAN TERSILAP LANGKAH

PRU: Laluan Zambry, Nizar tidak semudah dijangka?
SITI SAFA MOHD NOR & SITI KHAIRULNISAH MOHAMMED BAJURI.
30 September 2012
Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin - Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir
Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin - Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir
MAMPUKAH kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Pasir Panjang dan Sitiawan kekal di bawah Pakatan Rakyat (PR) dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) atau  kedua-dua kerusi itu jatuh ke tangan Barisan Nasional (BN) di bawah kepimpinan Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir?

Mungkinkah kerusi Parlimen Lumut dan Dun Pangkor juga kekal selamat di bawah BN atau satu tsunami politik bakal berlaku dan mengubah segala-galanya pada PRU-13 nanti? Analisis dan komen berkaitannya menjelang PRU13 dibawakan oleh SITI SAFA MOHD NOR & SITI KHAIRULNISAH MOHAMMED BAJURI.

Walaupun Adun Pasir Panjang, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menyatakan keyakinannya bahawa kawasan yang dipegangnya diramal kekal milik PR pada PRU akan datang, namun pengumuman Menteri Besar baru-baru ini sedikit sebanyak menjejaskan keyakinan pihak pembangkang bagi mempertahankan kawasan itu.

Sebelum ini, Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir mengesahkan MIC akan menyerahkan kerusi dewan undangan negeri Pasir Panjang kepada Umno dalam satu proses pertukaran kerusi.

Walaupun Zambry enggan mendedahkan kerusi mana yang akan diserahkan Umno kepada MIC sebagai ganti, namun MIC telah memberikan lampu hijau untuk memberikan laluan kepada Umno bertanding dalam PRU yang akan datang.

Ini berikutan, ada desakan daripada pemimpin akar umbi agar kedua-dua parti itu bertukar kerusi memandangkan kawasan Pasir Panjang didominasi pengundi Melayu.

Pada 2008, calon MIC, Dr S Vasan tewas kepada Nizar (Pas) dengan perbezaan  4,474 undi.

Nizar dalam komennya amat yakin PR tidak mempunyai masalah walaupun seramai 500 pengundi di Felcra Lekir dipindahkan dari pusat undi Dun Pasir Panjang ke Dun Sitiawan.

Keyakinan itu kerana seramai 3,500 pengundi baru khususnya golongan muda di Dun Pasir Panjang dikatakan akan terus memberi sokongan kepada PR ditambah pula Dun Sitiawan adalah rakan seperjuangan iaitu Datuk Ngeh Koo Ham yang dilihat  boleh memberikan kemenangan kepada parti itu.

Namun, adakah 3,500 itu bakal menyokong PR sepenuhnya, BN pula dikatakan bakal membuat kejutan calon di situ.

Bekas Menteri Besar itu tetap berhadapan risiko untuk tewas memandangkan jumlah pengundi baru itu mampu memecahkan majoriti yang dimenanginya pada PRU12.

Dalam hal ini, Nizar dan rakan PR dilihat masih perlu berjaga-jaga.

Kedua-dua parti baik BN mahupun PR dilihat mempunyai peratusan kemenangan yang agak sama, di antara Umno dan juga Pas hanya pengundi di kawasan Dun Pasir Panjang akan menjadi penentu siapa wakil mereka kelak.

Sementara di kawasan Dun Sitiawan, Zambry melaungkan amaran bahawa BN mampu memecahkan tradisi di kawasan yang dikatakan kubu kuat DAP sejak dulu lagi.

Namun begitu, kerja kuat yang dijalankan Koo Ham tidak dapat disangkal apabila beliau membuka empat pusat khidmat Adun bagi memudahkan rakyat menyalurkan permasalahan.

Ini dibuktikan apabila DAP kekal di Dun Sitiawan tanpa rekod kalah sejak dulu. Tetapi kenyataan yang dikeluarkan Koo Ham dalam laman sosial, baru-baru ini boleh menggoyah kedudukan Pengerusi DAP Perak itu di Sitiawan.

Ini dikaitkan dengan keputusan beberapa individu yang mendakwa ahli DAP Parlimen Beruas  keluar parti itu baru-baru ini.

Sebelum ini, mereka yang menyertai DAP sejak 2008 itu mengambil tindakan drastik keluar parti berpunca kegagalan DAP mengotakan janji yang ditabur kepada pengundi di kerusi Dun Pantai Remis dan Parlimen Beruas.

Berlainan dengan Dun Pangkor menjadi anak emas buat Zambry,  bermula dengan perkampungan nelayan kini bertukar rupa kepada satu pusat pelancongan terkenal di Perak mahupun Malaysia.

Pelbagai usaha yang dijalankan Zambry bukan sahaja di Pangkor, malahan di Manjung itu sendiri apabila daerah itu kini menjadi antara daerah termaju di Perak.

Walaupun kedudukan Zambry di Dun Pangkor kelihatan kukuh, namun pastinya pihak pembangkang tidak lepas pandang dalam pemilihan calon yang dikatakan mampu menggugat kerusi panas itu sekali gus merampas kedudukan milik Umno.

Khabar angin bertiup kencang mengatakan pihak pembangkang akan meletakkan seseorang yang mempunyai nama, berpengaruh serta popular serta pernah berkhidmat di Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), yang bakal memberikan persaingan kepada Zambry nanti.

Masyarakat Parlimen Lumut mungkin akan terus mengekalkan Ahli Parlimennya dikatakan rapat dan sering memenuhi jemputan rakyat.

Kesibukan sebagai Menteri Pengangkutan, tidak menghalang Datuk Kong Cho Ha mendampingi pengundinya. Kemungkinan untuk Cho Ha menang di Parlimen Lumut jika dicalonkan  semula agak tinggi.

Namun segalanya terletak kepada pilihan rakyat, Kuasa mengundi dan memilih di tangan mereka.

Zambry: Tsunami politik mungkin berlaku

“Jangan terkejut jika akan berlaku tsunami politik sekali lagi dan kemenangan akan berpihak kepada Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (Dun) Sitiawan yang dikatakan kubu kuat DAP," demikian tegas Zambry.

Fakta itu bersandarkan kepada rakyat sudah yang dikatakan terlalu benci dengan politik pembohongan, maki-hamun dan fitnah.

Menurutnya, jika rakyat merasakan jika parti berkenaan memerintah boleh mendatangkan huru-hara mereka akan memilih parti yang membawa keamanan.

Menurutnya, BN  akan memberi tentangan di kawasan itu dan pembangkang jangan terkejut jika tsunami yang berlaku kepada parti BN dahulu boleh berlaku kepada mereka pula akibat perbuatan mereka sendiri.

“Kami sebagai wakil rakyat akan terus melaksanakan kerja. Sokongan ini semakin bertambah apabila jamuan hari raya yang kita anjurkan baru-baru ini dihadiri lebih dari 20,000 penduduk.

“Kita juga akan membuat kejutan dengan mengambil kembali Dun Pasir Panjang dan calon yang akan kita letakkan nanti adalah calon yang boleh menang yang memang mewakili rakyat,” katanya.

Zambry yang juga Menteri Besar Perak berkata, jika sebelum ini,  kekalahan BN dikatakan berpunca oleh calon namun untuk kali ini, pihaknya  akan mengadakan perbincangan yang lebih mendalam berkenaannya.

'PRU13 sebelum AGM Gerakan 2013', gurau PM
RAZIATUL HANUM A. RAJAK
30 September 2012
Najib Razak
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak
KUALA LUMPUR - Susulan pembentangan Bajet 2013 kelmarin, ramai menanti bayangan baru kepada teka-teki tarikh Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Pagi ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ada menyentuh mengenai PRU13. Jaminan beliau, PRU13 akan diadakan sebelum Persidangan Perwakilan Nasional Gerakan 2013.

Gurauan beliau itu disusuli dengan sorakan daripada mereka yang menghadiri persidangan yang berlangsung di Menara PGRM di Cheras di sini.

"PRU13 nanti, yang pasti akan tiba sebelum perhimpunan Gerakan yang akan datang, saya boleh dedahkan ini," katanya yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN).

Semalam, Persidangan Perwakilan Nasional Gerakan meluluskan beberapa cadangan pindaan perlembagaan parti itu termasuk usul menangguhkan pemilihan parti yang dijadualkan Mac tahun depan, lapan bulan selepas tarikh PRU13.

Dua minggu lalu, Najib yang juga Presiden Umno menasihatkan jemaah haji tidak risau mengenai tarikh pilihan raya, sekali gus membari bayangan PRU13 hanya akan diadakan selepas Disember.

Berdasarkan Bajet 2013 dibentangkan kelmarin, penganalisis melihat PRU13 akan diadakan Mac depan.

Mandat Kerajaan Pusat akan berakhir 28 April depan dan PRU13 perlu diadakan dalam tempoh dua bulan daripada tarikh pembubaran.

Dalam ucapannya, Najib juga mengulas soal perjuangan Gerakan di Pulau Pinang dan menggesa parti itu merampas negeri tersebut pada PRU-13 akan datang.

Malah beliau yakin parti itu dapat mentadbir Pulau Pinang dengan lebih baik kelak.

Sementara itu, Presiden Gerakan Nasional, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata, Pulau Pinang sentiasa menjadi tumpuan utama Gerakan dalam PRU-13 meskipun gagal mendapat satu kerusi pada pilihan raya lalu.

"Pulau Pinang sentiasa menjadi jantung hati. Sekiranya kita benar-benar bersatu hati, rakyat tentu akan beri peluang kepada kita memecahkan angka kosong.

"Gerakan sedang bekerja keras dengan parti komponen untuk memastikan kerajaan dapat dikekalkan dan memenangi semula empat negeri yang dirampas pembangkang," katanya yang menyifatkan PRU-13 sebagai sengit dan kasar.

Naib Presiden Gerakan, Datuk Mah Siew Keong pula menggesa agar kekalahan di Pulau Pinang tidak akan berulang kembali pada PRU13.

"Gerakan gagal mendapat kerusi di Pulau Pinang dalam pilihan raya lalu, jadi perkara ini tidak boleh dibiarkan berlaku lagi. Kita mesti bersatu untuk menghadapinya," katanya ketika sesi Jawapan persidangan tersebut.

Setiausaha Agung Gerakan, Teng Chang Yeow pula berkata musuh parti tersebut adalah Pakatan Rakyat (PR) bukan ahli dalam Gerakan.

"Musuh kita PR di luar sana, bukan ahli Gerakan. Kita sudah masuk masa kecederaan. Paling cepat PRU-13 dalam dua bulan ini dan paling lama April depan, jadi kita perlu kerjasama," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Daerah Manjung terutamanya di Parlimen Lumut adalah daerah yang termaju sekali di Perak.

Pihaknya akan memberi perhatian untuk menyeimbangkan kemajuan yang ada menerusi peluang kerja, kemudahan sosial dan juga sumbangan khidmat masyarakat.

Manakala dari segi masalah setempat, beliau yakin ia tidak melangkaui masalah yang serius dan hanya dimainkan oleh pihak tertentu sahaja untuk meraih undi.

Jelasnya, masalah-masalah ini melibatkan penyusunan masyarakat, masalah kemiskinan di kawasan nelayan, bandar, masalah penempatan yang diperlukan rakyat.

Katanya, bagi  Dun Pangkor, terdapat dua pecahan iaitu kawasan nelayan dan juga kawasan penempatan tentera malah pihaknya sentiasa mengambil tindakan proaktif dengan mencari jalan penyelesaian masalah.

“Ini adalah antara perkara penting yang kita ambil perhatian, selain  menyediakan pelbagai pendekatan baru termasuklah menyediakan peluang pekerjaan baru dengan melibatkan diri mereka menjadi nelayan tulen iaitu menyediakan sampan atau bot baru.

“Kita juga melibatkan mereka dalam bidang pelancongan supaya mereka dapat keluar daripada seorang nelayan kepada mereka yang terlibat dalam mengusahakan bidang pelancongan,” katanya.

Nizar: Yakin walaupun ada cabaran

Keyakinan bahawa Dun Pasir Panjang akan terus dimonopoli PR dinyatakan Nizar, hasil sokongan rakyat yang berterusan di kawasan itu.

Menurut Nizar, situasi penduduk yang bersikap terbuka dan boleh berbincang antara ramuan bahawa PR akan terus kekal di kawasan itu walaupun pelbagai strategi telah dibuat Umno.

Katanya, walaupun  tindakan mengalihkan sejumlah 500 pengundi daripada Felcra Lekir dari Pasir Panjang dibawa ke Dun Sitiawan, ia tidak menjejaskan parti itu dalam PRU akan datang.

"Ada pihak tertentu menukar tempat pengundian semasa PRU12 tetapi DAP menang kerusi dengan majoriti hampir 12,000. Bermakna mereka tidak ada peluang untuk menang di Dun Sitiawan.

“Kami  tidak mempunyai sebarang masalah mengenai perkara itu kerana di Dun Pasir Panjang  sahaja, kami mempunyai seramai 3,500 pengundi baru khususnya golongan muda akan terus memberi sokongan kepada PR.

“Saya kira mana-mana calon yang mewakili PR akan diberikan kemenangan warga pengundi bukan hanya kaum Cina atau India malahan kaum Melayu,” katanya.

Menurutnya, semasa rampasan kuasa dahulu  pihaknya telah mendapat gambaran bahawa BN cuba untuk menukarkan Dun Pasir Panjang daripada MIC kepada Umno.

Namun begitu, BN terpaksa mengakui bahawa kawasan itu kubu kuat MIC dan besar kemungkinan tempat ini akan diberikan semula kepada MIC.

Mengenai isu pembinaan tokong di Pasir Panjang yang mengaitkan beliau sebagai individu yang meluluskannya, beliau menjawab itu tidak benar.

Katanya, tokong itu sudah lama wujud dan ia telah diluluskan oleh mereka yang berkuasa di dalam Umno. Perkara  itu diyakini tidak menggugat PR.

Mengenai pembangunan katanya, Dun Pasir Panjang punyai potensi besar untuk membangun tetapi malangnya tiada fokus daripada kerajaan sedia ada menyebabkan potensi untuk maju itu hilang.

“Membawa masuk kilang-kilang seperti Vale memang menjejaskan kerana rakyat di sini tidak berkenan. Saya juga difahamkan sehingga kini masih ada lagi janji-janji yang dibuat melalui Vale kepada BN belum dipenuhi.

“Kita sebenarnya memerlukan industri yang berteknologi tinggi dan saya pernah berhubung dengan pihak pengurusan pelabuhan Lumut untuk perkara ini.

"Malangnya, cadangan yang dibentangkan kepada Kerajaan Negeri ditolak,” katanya.
Umum Kabinet bayangan, Najib cabar Pakatan
RAZIATUL HANUM A. RAJAK
30 September 2012
Najib Tun Razak
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak
KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mencabar Pakatan Rakyat (PR) menubuhkan Kabinet bayangan sebelum berangan-angan menubuhkan kerajaan sebenar dengan memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Katanya, sehingga kini janji PR mahu menubuhkan kerajaan bayangan masih belum ditunaikan kerana takut mahu mengagih jawatan sesama sendiri.

"Jangan mahu tubuhkan kerajaan, tubuhkan dahulu Kabinet bayangan itu. Tetapi tidak ada kerana apa?

"Kerana takut mahu bagi jawatan apa kepada (Penasihat DAP) Lim Kit Siang, (Presiden Pas, Datuk Seri) Haji Hadi (Awang) dan (Timbalan Presiden Pas, Mohamed Sabu) Mat Sabu. Menteri Kewangan (atau) Pendidikan?" katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Nasional 2012, pagi ini.

Najib juga berkata, PR sepatutnya mendaftar sebagai parti dan mempunyai simbol yang sama tetapi mereka tidak berdaftar, malah tidak ada simbol yang sama.

"Kita (Barisan Nasional) ada simbol yang sama. Semua calon kita bertanding atas BN, komited ke atas BN dan jika berlaku perbezaan pendapat, kita bincang dan hadapinya sebagai parti BN.

"Pembangkang ada imej bulan, roket dan mata. Imej roket itu kononnya mahu bawa ke bulan dan bintang. Ada parti nampak mata, very funny looking (rupa yang sangat kelakar)," kata beliau yang juga Pengerusi BN.

Beliau juga menyatakan bahawa pembangkang tidak mempunyai kredibiliti untuk menguruskan sebuah kerajaan berikutan ketidaksefahaman, termasuk dalam isu undang-undang hudud.

"Isu hudud, Pas kata kita tetap laksanakan, DAP kata No way! (Tidak mungkin) dan Karpal Singh pula kata over my dead body (langkah mayat saya).

"Mungkin Pas nak langkah mayat dia (Karpal). Mereka tidak ada kredibiliti untuk menguruskan sebuah kerajaan," katanya.

Katanya, pembangkang gagal menunaikan janji terhadap negeri Selangor berikutan masih ada 75 peratus janji di negeri itu masih belum ditunaikan.

"Pilihan raya akan datang merupakan pilihan raya yang meminta mandat pada rakyat, akan ada banyak janji manis akan ditabur. Rakyat perlu fikir.

"Pembangkang mempunyai tiga senjata iaitu kutuk, hasut dan janji. Mula-mula kutuk kemudian mesti cucuk akhirnya, berjanji bulan dan bintang malah galaksi," katanya.

Beliau juga menolak dakwaan mengatakan Bajet 2013 yang dibentang Jumaat lalu hanya bajet populis.

"Bajet itu bukan populis politik. Apabila kita bentang bajet, mereka kata politikal gimik. Apa-apa yang kita buat mesti untuk rakyat, bajet ini tentang rakyat.

"Jangan dodoikan rakyat dengan janji yang macam-macam," pesan Najib yang juga Menteri Kewangan.

Tambahnya, "mereka buat Bersih 2.0, kita buat BR1M 2.0."

Mengulas pemberian baucer buku kepada pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), beliau menegaskan tujuan pemberian itu adalah kerana kerajaan mahu mendidik golongan terlibat.

"Kita beri baucer buku kerana mahu mereka beli buku, baca buku, tambah ilmu. Kita mesti ajar dan didik mereka. Bukan ajar hutang tak perlu bayar.

"Mana ada hutang yang tak perlu bayar? Pinjaman PTPTN, mahu dimansuhkan. Seseorang kena bayar. Siapa yang kena bayar? Kamu, rakyat kita melalui cukai. Akan datang macam mana? Mereka yang sudah bayar akan tuntut duit mereka," jelasnya.
Mufti Perak: Beza pendapat OK, tapi jangan taksub parti politik
NURUL AINI MOHAMED ALI
30 September 2012
Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria
Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria
SHAH ALAM - Mufti Perak, Tan Sri Dr. Harussani Zakaria menasihatkan umat Islam negara ini tidak terlalu taksub dengan parti politik masing-masing bagi mengelak perpecahan ummah.

Katanya, umat Islam negara ini semakin menjurus kepada perpecahan, hanya kerana berbeza parti politik.

"Tiada masalah jika berbeza pendapat mengikut parti politik masing-masing, tetapi apa yang tidak dibenarkan dalam Islam ialah jika pengikut sesebuah parti politik itu terlalu taksub, itu yang tidak boleh," katanya pada program Himpunan Ke Arah Penyatuan Ummah di sini, hari ini.

Beliau yang pernah menggerakkan usaha kerjasama politik Pas dan Umno susulan Pilihan Raya Umum 2008 berkata demikian ketika menjadi panel sesi "Bahaya Ketaksuban".

Beliau menambah, apabila umat Islam sendiri mula mencipta puak mereka sendiri di kalangan masyarakat, perpecahan ummah pasti berlaku.

"Bagi membentuk sebuah masyarakat harmoni, perpaduan ummah cukup penting," katanya.

Pengerusi Yayasan Darul Hanan, Prof. Madya Dr. Asyraf Wajdi Dasuki yang juga ahli panel turut bersetuju dengan kenyataan Harussani.

Menurut Asyraf, umat Islam negara ini mestilah sentiasa bersikap sederhana dan berpada-pada jika melibatkan diri dalam parti politik.

"Tidak salah jika berbeza parti politik, tetapi jangan sampai meletakkan keutamaan parti melebihi agama kita sendiri," tegasnya.

Tambah beliau, biarlah berbeza parti politik sekalipun asalkan umat Islam negara ini tetap bersatu agar masyarakat kekal harmoni.

Hasan: Pas 'beralih' akibat DAP, PKR
Wartawan Sinar Harian
30 September 2012
Dr Hasan Mohamed Ali
Hasan ketika memberi penjelasan dalam Himpunan Ke Arah Penyatuan Ummah, semalam
SHAH ALAM - Bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali mendakwa, perjuangan Pas menegakkan negara Islam beralih menjadi negara berkebajikan, berpunca akibat desakan DAP dan PKR.

Beliau yang juga Presiden Jalur Tiga (Jati) berkata, konsep negara Islam itu merupakan perjuangan Pas, bukan sekadar ‘kosmetik’ untuk mencantikkan perjuangan parti Islam itu.

“Kenyataan bahawa negara Islam atau (pelaksanaan) hukum hudud ini tidak terkandung dalam Buku Jingga itu memang benar.

“Bila Pas masuk PR, tiada lagi perkara ini, bagaimana hendak buat? Mereka sepatutnya fikir dulu (sebelum menyertai PR),” katanya ketika menjawab pertanyaan hadirin berhubung penukaran konsep negara Islam kepada negara berkebajikan.

Beliau berkata demikian dalam Himpunan Ke Arah Penyatuan Ummah bertajuk ‘Perbezaan Ideologi Politik: Adakah Menjadi Penghalang kepada Penyatuan’ anjuran Ikatan Kebajikan dan Dakwah Selangor (IKDDAS), di sini, semalam.

Hasan menegaskan, beliau tidak terlibat dalam penukaran konsep itu, tetapi keputusan tersebut dicemari oleh ‘parasit’ dalam Pas.

Mengulas mengenai gabungan yang dilihat mampu mempertahankan Islam dan Melayu, Hasan berkata, Umno dan Pas sepatutnya boleh bersatu membentuk gabungan itu, namun terdapat kekangan menyatukan kedua-dua parti berkenaan.

“Orang Pas kena buka fikiran mereka untuk melihat isu penyatuan ini,” katanya.
Zul Nordin: Pas kuat tapi lemah dalam PR
NURUL AINI MOHAMED ALI
30 September 2012
SHAH ALAM - Pas walaupun mempunyai ahli lebih sejuta orang, tetapi sebuah komponen yang lemah dalam Pakatan Rakyat (PR) kerana ia tidak mempunyai kuasa sebenar dalam perikatan itu.
Ahli Parlimen Kulim Bandar Bharu, Datuk Zulkifli Nordin mendakwa Pas seolah-olah telah dilunyaikan oleh PKR dan DAP.

"Situasi ini berlaku akibat ketaksuban kebanyakan ahli PR terlalu cintakan dunia dan mengejar kuasa hingga sanggup mengetepikan peranan Pas dalam perikatan itu.

"Tanpa Pas, percayalah yang PR takkan ke mana kerana segala persiapan ceramah atau program dianjurkan PR, ahli Pas juga yang akan membantu dari segi persiapan," katanya dalam program Himpunan Ke Arah Penyatuan Ummah di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel sesi "Mencari Persamaan, Memahami Perbezaan".

Zulkifli menambah, program keagamaan yang dianjurkan PR juga ditunjangi pemimpin Pas dalam memberi ceramah atau khutbah.

"Kalau kita lihat, dalam program mereka (PR), yang beri kuliah, semuanya orang Pas, kadang-kala hingga lima atau enam kuliah setiap hari di pelbagai tempat.

"Walaupun dari pandangan mata kasar orang luar Pas mempunyai sebuah jentera yang lengkap, namun kuasa mereka seakan-akan hilang apabila bergabung dalam pakatan itu," dakwa beliau lagi.

Sehubungan itu, beliau turut menyeru rakyat negara ini menggunakan kuasa dalam menentukan tampuk kepimpinan negara di masa akan datang.


Isu hudud: Pas diingat tidak cepat melatah
Wartawan Sinar Harian
30 September 2012
Azman Shapawi
Azman Shapawi
KUALA TERENGGANU – Pemimpin dan penyokong Pas diingat tidak cepat melatah terhadap laporan akhbar yang ‘galak’ menyiarkan percanggahan berhubung pendirian Pas dan DAP mengenai pelaksanaan hudud.

Timbalan Ketua Penerangan Pas negeri, Azman Shapawi Abdul Rani berkata, laporan media khususnya arus perdana mengambil isu tersebut untuk menimbulkan kekeliruan kepada rakyat dan menggambarkan pertelingkahan berpanjangan wujud sejak sekian lama antara Pas dan DAP.

Beliau berkata, laporan sedemikian juga secara tidak langsung cuba mengganggu gugat kerjasama politik atau ‘tahalluf siyasi’ yang telah dibentuk dalam Pakatan Rakyat (PR).

“Kita sedar sudah lama DAP tidak setuju dengan hudud sebelum bersama (PR) lagi. Bagaimanapun, ‘tahalluf siyasi’ ini adalah perjuangan isu yang sama antara DAP dan Pas.

“Jangan satu benda kerana tidak bersetuju, kita bertelingkah, itu tidak betul. Kita ada persamaan dari sudut penentangan terhadap rasuah dan Akta Dalam Negeri (ISA). Ini persamaan bersama dengan PR. Bukannya kalau tidak bersetuju dengan satu perkara kita tidak boleh bekerjasama,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Beliau berkata sebagai mengulas laporan sebuah akhbar tempatan mengenai pendirian Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang senada dengan pemimpin veteran DAP lain iaitu Karpal Singh dan Lim Kit Siang bahawa hudud bukan dasar pakatan pembangkang.

Azman Shapawi berkata, DAP sebenarnya sudah memahami Pas dan begitu juga sebaliknya.

Beliau percaya, kebaikan  yang diperoleh hasil daripada kerjasama itu juga telah menyebabkan timbulnya musuh politik yang cuba memperbesarkan isu hudud dalam media.

“Saya melihat dari sudut yang luas iaitu hubungan ini boleh diteruskan walaupun tidak bersetuju dengan satu perkara kerana banyak kebaikan hasil daripada kerjasama tersebut,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau bagaimanapun mengakui bahawa Pas belum berbincang mengenai pelaksanaan hudud secara khusus sekiranya PR menang pada pilihan raya umum akan datang.

Bagaimanapun, pihaknya akan menerangkan satu persatu perkara berbangkit bagi menyelesaikan kekeliruan yang timbul khususnya dalam kalangan pimpinan DAP.

“Memang PR tidak bincang semua sekali kalau menang. Secara terperincinya, perkara yang melibatkan hak orang Islam, orang bukan Islam tidak boleh ganggu, begitulah sebaliknya kerana itu hak mereka,” katanya.
20 pemimpin PKR di Kabinet jika PR menang
RUWAIDA MD ZAIN
30 September 2012
20 pemimpin kanan PKR anggotai Kabinet jika PR menang
Ketua Umun PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama pemimpin tertinggi parti pada Rapat Pimipinan Nasional PKR di Shah Alam, semalam
SHAH ALAM – Seramai 20 pimpinan kanan PKR dijangka mewarnai jemaah menteri Kerajaan Pusat yang baru sekiranya berjaya menawan Putrajaya dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafiei berkata, kepimpinan baru negara itu semakin menampakkan bayangan dengan sebahagian kecil pimpinan kanan mungkin diangkat sebagai menteri dan timbalan menteri mengikut tradisi yang wujud di dalam hierarki kepimpinan politik tanah air.

“Secara tradisi pimpinan kanan iaitu peringkat presiden sehingga pengurusan parti merangkumi timbalan, lima naib presiden, setiausaha, bendahari, ketua penerangan, pengarah pilihan raya, pengarah strategik, pengarah komunikasi, ahli majlis pimpinan.

“Sebahagiannya sudah tentu berada dalam senarai mereka yang biasanya akan berada dalam jemaah menteri,” katanya berkongsi pandangan ketika ditanya inti pati ucapan penutup Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Rapat Pimpinan Nasional PKR 2012 yang diadakan di Shah Alam Convention Centre, semalam.

Bagaimanapun katanya, barisan jemaah menteri itu tidak akan berada di ruang lingkup pengurusan kanan sahaja, sebaliknya anggota parti yang berpotensi juga akan diberi peluang.

“Mereka yang mempunyai kepakaran tertentu seperti undang-undang, ekonomi tetapi tidak berada dalam peringkat pengurusan parti, saya percaya mereka juga akan dipertimbangkan bagi memantapkan jemaah menteri Malaysia yang baru,” katanya.

Shuhaimi berkata, Anwar juga mengingatkan anggota parti tidak terpilih menjadi calon wakil rakyat sama ada di peringkat Dewan Undangan Negeri (Dun) atau Parlimen, tidak perlu rasa putus asa atau merajuk kerana PR adalah parti dinamik.

“Apa yang saya faham, mereka mungkin mengetuai agensi atau jabatan di mana pengalaman mereka itu akan digunakan di tempat yang sesuai. Parti mahu semua kepimpinan bersedia, jangan fikir golongan itu baru sertai parti atau telah lama.

“Yang penting calon itu boleh bantu rakyat, boleh menyumbang kepada PR dan mereka yang dipilih ini adalah mereka yang benar-benar boleh membawa visi PR, membentuk sebuah kerajaan baru yang bertanggungjawab, telus dan tidak rasuah,” kata beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri.
Isteri guna darah haid dan air mani gajah sihir suami
NORFARHIZA MOHD ATAR
30 September 2012
Isteri guna darah haid dan air mani gajah sihir suami
Halim menceritakan kepada penulis mengenai nasib dirinya yang menjadi mangsa sihir isteri sejak lima tahun lalu.
SEORANG isteri tergamak menggunakan darah haidnya dan air mani gajah untuk menyihir suami supaya menurut segala perintahnya, manakala dia bebas melakukan apa saja.

Selain dua bahan jijik itu, isteri durjana berkenaan turut menggunakan minyak pengasih, tangkal pengikat nafsu dan wafak (gambar rajah yang dilukis di atas kain kuning dalam bentuk tulisan Jawi dengan menggunakan kalimah ALLAH) supaya dia kelihatan hebat pada pandangan orang lain.

Bagi memastikan kemujaraban tangkal darah haid itu, ia  dibalut dalam kertas bertulisan Jawi dicelup dalam minuman suami.

Apabila meminum air itu, suami menjadi lemah, tidak mampu melawan kata-kata isteri, menurut arahannya atau menjadi pak turut, selain mengalami sakit badan dan kepala serta jiwa yang tidak tenteram.

Kesengsaraan itu diceritakan seorang suami yang mahu dikenali sebagai Halim, 30-an, apabila menjadi mangsa sihir isteri sejak lima tahun lalu.

Dia yang berasal dari daerah Lipis dan pernah bekerja di Petaling Jaya, Selangor, mendakwa menjadi mangsa kezaliman isterinya sejak sebelum berkahwin sehingga rahsia ilmu hitam yang dipraktikkan itu terbongkar Disember lalu.

Menurutnya, dia terkejut apabila menemui pelbagai jenis tangkal yang disimpan di rumah, termasuk didakwa darah haid yang digunakan untuk menundukkannya.

“Selama ini memang banyak perubahan berlaku pada diri saya. Saya jadi malas hendak bekerja, bila bergaduh dengan isteri saya cepat mengalah meskipun ada ketika dia salah, selalu sakit badan dan kepala, manakala hati selalu tidak tenteram.

“Segala masalah itu terbongkar apabila saya menemui nota jampi serapah di atas meja isteri. Hasil pencarian di dalam rumah, saya menemui pelbagai jenis tangkal yang dia simpan rapi di dalam sebuah kotak.

“Saya turut menemui SMS isteri yang dipercayai menjalin hubungan sulit dengan suami orang yang juga pelanggannya. Sebenarnya dia mahu kelihatan berkuasa dan pernah berkata kepada saya, jika dia hendak sesuatu dia akan lakukan walau apa cara sekalipun. Mungkin kerana itu, saya menjadi sasaran,” katanya di sini, kelmarin.

Halim berkata, dia ada bertanya isterinya mengapa sanggup berbuat demikian, tetapi seperti diduga wanita itu menafikan dia melakukan perbuatan berkenaan.

“Menurut sepupu saya, sebelum kami berkahwin lagi isteri saya sediakan sejenis air untuk saya yang tidak diketahui tujuan. Rakan yang pernah datang ke rumah kami juga berasa tidak sedap hati apabila hendak masuk.

“Apabila saya bertanya isteri, dia tak mengaku dengan memberi pelbagai alasan. Saya tidak tahu mengapa dia sampai hati menyihir saya,” katanya.

Dia berkata, akibat perbuatan isteri, kerjayanya sebagai perunding dana amanah terjejas sehingga bayaran bulanan rumah tertunggak sembilan bulan.

“Kerja saya terjejas teruk. Jika dulu pendapatan mencecah RM20,000 tetapi sekarang jauh merosot, malah pernah dapat tidak sampai RM2,000 sebulan. Apabila hendak jumpa orang, saya malas pergi apabila tiba masanya.

“Sebaliknya isteri saya yang bekerja bidang sama mampu memperoleh RM20,000 ke RM50,000 sebulan, malah dalam bidang ini dia terkenal antara yang berjaya mencatat perolehan tertinggi,” katanya.

Halim berkata, apabila keadaan itu berlaku isterinya hidup dalam serba kemewahan, tetapi dia sebaliknya.

“Apabila isteri hidup dalam keadaan bertuhankan duit, dia mula berubah, rasa diri hebat, bongkak, meninggi diri serta sombong. Saya seperti orang suruhan dia. Begitupun sebagai suami, saya masih menjalankan tugas dan tanggungjawab saya,” katanya.

Menurutnya, selepas mengetahui dirinya disihir, dia menemui empat bomoh, termasuk pakar perubatan Islam, untuk membuang sihir berkenaan.

“Ada yang saya jumpa beritahu, saya sudah lama kena (sihir). Melalui seorang ustaz, saya diberitahu, dalam satu tangkal, isteri saya menggunakan darah haidnya manakala tangkal lain menggunakan minyak kelapa, kertas wafak yang didakwa ada jin serta tulisan jampi serapah.

“Ada juga memberitahu, tangkal itu dihasilkan daripada air mani gajah,” katanya.

Menurutnya, tangkal berkenaan diserahkan kepada pengamal perubatan Islam untuk `dimatikan’ sihirnya dan dia kini masih mendapatkan rawatan pemulihan berterusan.

“Saya masih sayangkan isteri demi anak kami yang berusia tiga tahun namun, melihat isteri semakin jauh menyimpang, saya tiada pilihan selain memfailkan permohonan nusyuz di mahkamah. Buat sementara ini juga saya masih bercuti di kampung untuk memulihkan semangat,” katanya.

Halim yang berharap akan pulih segera daripada ilmu hitam itu merancang membina kembali kerjayanya, selain hidup dalam keadaan tenang dan bahagia.

Disihir minyak dagu

Sementara itu, akibat disihir dengan minyak dagu mayat, seorang wanita di sini membuat pengakuan pernah meninggalkan suami dan tiga anaknya semata-mata untuk bersekedudukan dengan seorang lelaki warga Kemboja yang baru dikenali walaupun ketika itu dia hamil tiga bulan.

Mangsa mendakwa ilmu hitam itu menyebabkan dia seolah-olah menjadi hamba seks lelaki terbabit selama lebih dua tahun sekitar 2007 hingga 2009.

Sepanjang tempoh itu juga, semua pendapatan bulanannya turut diserahkan kepada lelaki berkenaan.

Lebih tragis lagi, wanita berusia 33 tahun dan hanya mahu dikenali sebagai Dee berkata, dia juga terlantar selama sebulan di wad psikiatri, Hospital Selayang selepas mengalami gangguan mental.

“Segala-galanya bermula selepas saya berkenalan dengan seorang penghantar surat yang kerap datang ke pejabat saya atas urusan kerja.

“Entah mengapa saya tiba-tiba seperti hilang pertimbangan diri kerana sentiasa dihantui wajah lelaki berusia 24 tahun itu seolah-olah ada satu daya tarikan istimewa pada dirinya.

“Saya gagal mengawal diri sehingga tidak mampu menolak setiap arahan yang diberikan, malah tidak teragak-agak meninggalkan suami dan anak untuk tinggal serumah dengan lelaki itu,” katanya.

Dee berkata, sepanjang tinggal dengan lelaki itu, dia dilayan seperti pembantu rumah apabila diarah melakukan semua kerja rumah selain terpaksa menyerahkan semua wang pendapatannya.

“Biarpun dimaki-hamun dan disepak terajang saban hari, saya tidak pernah terfikir untuk meninggalkannya, malah hati saya tetap menyayanginya. Setiap kali saya berhasrat mahu pulang ke pangkuan anak-anak, seolah-olah ada satu kuasa mematikan niat itu,” katanya.

Menurutnya, hampir tiga tahun bersama lelaki durjana itu, dia langsung tidak pernah menjenguk orang tuanya di kampung dan suaminya juga gagal menjejaki tempat tinggalnya.

“Saya juga seperti dirasuk kerana setiap kali ada pihak melarang hubungan kami, saya tidak teragak-agak memarahi serta memaki-hamun mereka,” katanya.

Kemuncaknya, keadaan diri Dee menjadi tidak keruan apabila lelaki itu menghilangkan diri. Dia mula meracau siang dan malam memanggil nama lelaki itu hingga akhirnya terpaksa dimasukkan ke hospital.

Menurutnya, selepas berubat dengan dua pakar perubatan tradisional, dia diberitahu lelaki itu menggunakan ilmu hitam dengan mencalitkan minyak dagu mayat pada badannya.

Dee bersyukur kepada Allah kerana hasil rawatan tradisional dia semakin pulih dan kini sudah mampu melupakan lelaki berkenaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan