Khamis, 30 Ogos 2012

KATA DULANG PAKU SERPIH....KALAU DIBONGKAR...ATAU ALLAH BONGKAR ....SUDAH TENTU ADA YANG LEBIH DAHSYAT...ALLAH SAJA YANG TAU

Bantah Seksyen 114A: Najib juga mesti dipanggil

zulsulung, 29 Ogs 2012

(Kempen hentikan Akta 114A)

KUALA LUMPUR: Kabinet diminta turut menyenaraikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk dipanggil kerana menyuarakan pendapat dan bantahan terbuka terhadap Seksyen 114A Akta Keterangan 1950.

Ini kerana, beliau adalah antara orang yang pertama berkata akan mempertimbangkan tuntutan agar akta itu dikaji balik.

Pada 14 Ogos Najib mengarahkan kabinet untuk membincangkan Seksyen 114A Akta Keterangan 1950 yang menjadi isu besar dalam alam maya.

Seksyen 114A adalah satu daripada dua pindaan yang dibuat terhadap Akta Keterangan yang telah digazetkan pada Julai lepas.



"Saya telah meminta kabinet untuk membicangkan Seksyen 114A Akta Keterangan 1950. Apa saja yang kita lakukan, kita mesti mendahulukan kepentingan rakyat," kata Najib ringkas dalam ruang Twitternya dari Mekah.

Kempen-kempen tentangan terhadap akta itu dibuat oleh pertubuhan Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) dan sepanduk yang dibuat oleh pertubuhan itu melalui laman facebook dengan tajuk "Stop 114A" itu telah dimuat turun oleh pelbagai pengguna internet negara ini.

Akta 114A dikatakan bersifat berat sebelah kerana undang-undang boleh mendakwa mereka yang menyiar dan menyalin semula atau memaparkan kandungan seperti hasutan dan fitnah walaupun bukan mereka yang menghasilkan bahan itu.

Kabinet dikatakan telah menerima cadangan supaya tiga pemimpin BN diberi amaran kerana menyuarakan bantahan terbuka mereka terhadap Seksyen 114A Akta Keterangan 1950.

Mereka ialah adalah Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah; Timbalan Menteri Belia dan Sukan Gan Ping Sieu (kiri) dan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin.
Yang menariknya, cadangan ini dibuat ketika Kabinet sedar Najib juga membuat kenyataan serupa dan kajian itu dikemukakan ketika mesyuarat Kabinet dipengerusi Tan Sri Muhyidn Yassin.

Sumber-sumber kerajaan memberitahu Malaysiakini bahawa kabinet membuat keputusan itu dalam mesyuarat yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 15 Ogos.

Satu sumber mendedahkan bahawa dicadangkan perdana menteri atau timbalan perdana menteri perlu memanggil dua timbalan menteri berkenaan dan memberi mereka amaran
kerana tindakan mereka bertentangan dengan pendirian kerajaan.

Katanya, ia juga telah mencadang supaya Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz supaya bertemu dengan dua timbalan menteri dan Khairy untuk mendengar pandangan mereka, dan menyediakan kepada mereka penjelasan kerajaan."

Kerajaan tolak dakwaan pembangunan punca banjir

Rizal Tahir, 29 Ogs 2012
KOTA BHARU: Kerajaan negeri menafikan pembangunan sebuah pulau berhadapan Pangkalan Kerepok di Kampung Laut, Tumpat akan memberi masalah kepada penduduk di musim tengkujuh.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, dakwaan penduduk tidak tepat kerana pembangunan yang dirancang di kawasan berkenaan dijangka tidak memberi kesan berlakunya banjir.

“Berdasar kepada rekod yang ada khususnya dalam tempoh 50 tahun ini sejak 1926, hanya pada 2004 paras banjir direkod paling tinggi iaitu tujuh meter daripada paras bahaya.

“Selepas tahun itu khususnya sejak bermula projek pembangunan di Lembah Sireh, keadaan mula berubah dari segi paras banjir,” katanya selepas mesyuarat Exco, di Kota Darulnaim hari ini.

Semalam akhbar melaporkan penduduk Kampung Laut mendakwa mereka kemungkinan diancam banjir buruk pada musim tengkujuh sekiranya kerajaan negeri membangunkan sebuah pulau berhadapan Pangkalan Kerepok.

Kata mereka pulau seluas 404.7 hektar yang terletak di seberang Sungai Kelantan bermula dari Kampung Cina sehingga Kampung Kijang, Kota Bharu dibangunkan sekarang.

Timbalan Menteri Besar berkata, setiap pembangunan yang dirancang terlebih dahulu diambil kira aliran dan paras air termasuk ekologi sungai.

“Kalau nak dikira banjir besar direkod pada 1926 dan 2004, tetapi selepas kerja-kerja mendalamkan Sungai Kelantan dilakukan tidak ada lagi banjir besar yang melanda sekarang,” ujarnya.

Katanya juga kerajaan negeri turut mengambil pandangan semua pihak sebelum projek diluluskan termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran.

Tiada bukti tahanan ISA bersalah dikatakan insaf?

Hazayani Zakaria, 29 Ogs 2012
KUALA LUMPUR: Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) menyelar kenyataan Menteri Dalam Negeri bahawa 12 tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dibebaskan kerana mereka telah pulih dan tidak lagi menjadi ancaman kepada keselamatan negara.

Pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh (gambar) berkata, kenyataan itu tidak masuk akal kerana tahanan tidak pernah dibicarakan dan dibuktikan bersalah di mahkamah.

"Bagaimana menteri boleh mengatakan tahanan telah insaf sedangkan kesalahan mereka tidak pernah dibuktikan dan mereka tidak pernah diberi peluang untuk membela diri.

"Ironinya kenyataan menteri itu seolah-olah mengambarkan orang yang tidak bersalah tetapi telah insaf daripada kesalahan," kata beliau dalam satu kenyataan.

Seramai 12 orang yang dibebaskan itu terdiri daripada tujuh warga tempatan, tiga Indonesia dan dua Pakistan.

Manakala tahanan masih berbaki seramai 30 orang iaitu 12 warga tempatan, Indonesia (tiga), Sri Lanka (enam), Pakistan (satu), India (dua), Bangladesh (satu), Iraq (dua) dan Filipina (tiga).

Justeru GMI menggesa Menteri Dalam Negeri mendedahkan  secara terperinci proses pemulihan yang dilalui oleh tahanan semasa kem tahanan dan menjelaskan sama ada penyeksaan dalam tahanan juga merupakan proses pemulihan yang terpaksa dilalui tahanan.

"Menteri Dalam Negeri juga mesti mendedahkan laporan keselamatan yang dijadikan penilaian untuk menentukan samada tahanan boleh dibebaskan atau tidak seterusnya membebaskan kesemua baki tahanan," katanya.

Syed Ibrahim juga yakin pembebasan itu hasil perjuangan berterusan GMI dan rakyat Malaysia dan turut disokong oleh tindakan nekad tahanan ISA yang telah melancarkan mogok lapar.

Bersama al-Quran – suatu pesanan daripada Rasulallah

Nik Mohamad Abduh Bin Nik Abdul Aziz, 29 Ogs 2012
Syeikh Dr Solah Abdul Fatah al-Khalidi menyebut hadis ini sebagai sahih, merujuk kepada tahqiq kitab di bawah. Mari memahami...

“Ketahuilah, sesungguhnya roda Islam terus berpusing (berdepan penentangan musuh). Maka hendaklah kamu berpusing bersama al-kitab (al-Quran) di mana saja ia berpusing.

Ketahuilah, sesungguhnya penguasa dan al-kitab akan berpisah. Maka janganlah kamu berpisah daripada al-kitab (al-Quran).

Ketahuilah, suatu masa kamu akan diperintah oleh para penguasa yang jika kamu taati mereka, mereka akan sesatkan kamu. Jika kamu melawan mereka, mereka akan membunuh kamu.

Sahabat bertanya: Ya Rasulallah, bagaimana harus kami lakukan saat itu?

Baginda menjawab: Jadilah seperti mana pengikut-pengikut Nabi Isa alaihissalam. Mereka dipasung pada tiang-tiang dan dihiris dengan gergaji (tetapi mereka kekal beriman dan menolak taat pada penguasa). Mati di jalan Allah adalah lebih baik daripada hidup dalam maksiat kepada tuhan pencipta.”

(Hadis Riwayat at-Tabarani)


Ini sebuah hadis yang indah. Ia pesanan jelas daripada baginda Rasulallah SAW agar umatnya,

1) Terus bersama dan berpegang pada al-Quran pada saat para penguasa negara mula mengikut nafsu dan meninggalkan pengajaran al-Quran.

2) Sanggup mati demi mempertahankan hak untuk berlindung hidup dengan al-Quran.

3) Kehinaan hidup dalam maksiat dan kemuliaan mati dalam perjuangan pada jalan Allah.

Semoga Allah memuliakan kita dengan perjuangan Islam.

*(Hadis ini walau bagimanapun menerima kritikan pada sanadnya. Ada yang melihatnya sebagai hadis Dhaif)

http://nikabduh.com

Projek Penapis Air 1 Malaysia ada E.coli?

Harakahdaily, 29 Ogs 2012
KOTA BHARU: Saban hari media harian memaparkan keprihatinan kerajaan pusat mengatasi masalah bekalan air di Pasir Mas dan Tumpat di bawah projek Penapis Air 1 Malaysia.

Projek berkenaan dikendalikan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) menggunakan penapis Ultra BIO Pure, di mana dilaporkan berharga antara RM65,000 hingga RM95,000 seunit.

Sehingga kini beberapa lokasi sudah dipasang peralatan tersebut termasuk Kampung Belukar di Pasir Mas dan Kampung Derdap, Tumpat.

Di Kampung Belukar dipasang di sebelah rumah Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan, Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP).  Dan Projek Penapis Air 1 Malaysia Padang Tok La difahamkan akan dibina berhampiran rumah Ketua Umno Pasir Mas, Datuk Hanafi Mamat.

Secara jelasnya projek berkenaan biar pun di bawah peruntukan kerajaan pusat sebanyak RM2 juta, namun ia ada kaitkan secara langsung dengan Umno.

Biar pun rakyat Kelantan di kawasan yang dikenal pasti menghadapi tekanan rendah sebelum ini sekarang menerima tambahan bekalan air melalui projek berkenaan, namun ada isu lain pula yang tidak diketahui umum.

Berdasar kepada keputusan makmal yang dikeluarkan sebuah badan daripada kajian sampel air di Kampung Derdak, Tumpat didapati banyak yang tidak menepati piawaian ditetapkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Antaranya ujian pH didapati gagal di mana keputusan didapati 6.050 sedangkan standard ditetapkan 6.5.

Begitu juga ujian baki klorin didapati gagal di mana hasil diperolehi 0.01 mg/l sedangkan ditetapkan SPAN tidak kurang 0.2 mg/l.

Manakala kandungan besi juga gagal menepati ketetapan SPAN, di mana ujian mendapati  0.62 mg/l, sedangkan sepatutnya tidak melebihi 0.3 mg/l.

Bagaimanapun menurut kajian tersebut paling membimbangkan ujian kandungan coliform didapati melebihi 200 cfu/100ml sedangkan sepatutnya tiada bahan tersebut.

Begitu juga dengan ujian kandungan  E.coli didapati terdapat 4 cfu/100ml, sedangkan sepatutnya 0 cfu/100ml.

Sumber pakar dalam industri air berkata, sepatutnya SPAN dan Jabatan Kesihatan tidak berdiam diri terhadap isu yang dibangkit tersebut kerana dibimbangi boleh memudaratkan orang ramai.

Suspek kes sumbang mahram kaji fail saman

Harakahdaily, 29 Ogs 2012
KUALA LUMPUR: Suspek utama yang dikaitkan dengan isu ‘sumbang mahram’ yang sedang hangat diperkatakan sekarang, Mohd Nor Jaafar (gambar) akan memfailkan tindakan saman terhadap mana-mana media arus perdana dan blog, lapor pahangdaily.blogspot.com.

Ini ekoran pihak berkenaan sewenangnya mengekploitasikan isu kononnya beliau telah didapati bersalah atas tuduhan melakukan perbuatan itu terhadap anaknya sendiri hingga melahirkan anak beberapa hari yang lalu.

“Malah ada blog-blog yang sewenangnya mengeluarkan gambar saya dengan dakwaan seolah-olah saya telah didapati bersalah oleh pihak mahkamah.

"Saya hanyalah suspek yang telah dipanggil untuk membantu siasatan pihak polis. Tetapi mereka melayan saya seolah-olah keputusan mahkamah telah dibuat atas kes ini dan saya didapati bersalah. Maruah dan imej saya sebagai pemimpin politik kini tercalar gara-gara penyiaran gambar saya serta ahli keluarga yang dilakukan oleh pihak-pihak tertentu sekarang ini. Peguam saya telah melakukan siasatan dan akan mengambil tindakan terhadap mana-mana blog yang didapati cuba menghukum saya dan mendahului mahkamah. Ini tidak adil dan satu hukuman yang jelas untuk menghancurkan masa depan saya,” kata beliau kepada pahangdaily (PDO) sebentar tadi.

Menurut blogger itu, tinjauan pihaknya terhadap kebanyakan blog-blog pro UMNO mengaitkan kes itu dengan pembangkang terutamanya Pakatan Rakyat (PR), kononnya moral beliau (Mohd Nor) rosak gara-gara terikut-ikut dengan pemimpin yang rosak moral seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Malah, ulasnya lagi laporan yang dibuat oleh media arus perdana juga dilihat sengaja mahu menjatuhkan hukuman terhadap Pakatan Rakyat sedangkan, Mohd Nor sudah lama meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bersama Datuk Zaid Ibrahim dan kini memimpin parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) peringkat negeri Pahang.

“Tuduhan-tuduhan ini seolah-olah menggambarkan satu usaha terdesak media menyerang pembangkang menjelang PRU-13 ini sebenarnya,” tulis blogger itu lagi.

Selangor anjur Malam Kemerdekaan ke-55 esok

Harakahdaily, 29 Ogs 2012
KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Selangor akan menganjurkan Sambutan Malam Kemerdekaan ke-55 dan Hari Malaysia peringkat negeri pada malam esok, 30 Ogos di Dataran Kemerdekaan Shah Alam bermula pada jam 8.30 malam.

“Saya bagi pihak barisan pimpinan Kerajaan Negeri Selangor mengucapkan  selamat menyambut ulang tahun kemerdekaan yang ke-55, dan selamat merayakan Hari Malaysia yang ke-49 kepada seluruh bangsa Malaysia di Semenanjung, Sabah dan Sarawak,” kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Katanya, pelbagai acara disediakan kepada orang ramai  antaranya perbarisan dan perarakan 56 kontinjen yang terdiri daripada pasukan tentera, jabatan kerajaan serta badan bukan kerajaan.

“Kita juga menyediakan persembahan kebudayaan dan keseniaan serta persembahan istimewa iaitu kawad senyap oleh pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM),” ujarnya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, Penasihat Ekonomi Negeri Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga akan menyampaikan ucapan sempena sambutan kali ini.

Tambahnya, tema bagi sambutan tahun ini sama dengan negeri-negeri Pakatan Rakyat iaitu Sebangsa, Senegara, Sejiwa.

Justeru, ujarnya orang ramai khususnya rakyat Selangor dijemput datang bagi memeriahkan sambutan itu.

Obama dan Romney sudah lupakan Afghanistan?

Al Jazeera terjemahan Mohamad Yahya, 29 Ogs 2012

(Tentera Amerika di Afghanistan)

WASHINGTON: Perang Amerika Syarikat di Afghanistan telah berlarutan hampir 11 tahun dan meragut nyawa kira-kira 2,000 rakyat Amerika.

Jadi mengapa Barack Obama, Presiden Amerika Syarikat, dan Mitt Romney, calon presiden Republikan, tidak menyentuh mengenai isu ini dalam kempen pilihan raya AS 2012?

Obama mewarisi situasi rumit antara Amerika dengan Afghanistan dari presiden sebelumnya, George W Bush, tetapi dia menangani misi ini sepenuh hatinya, menggelar peperangan ini sebagai 'peperangan yang diperlukan'.

Pada Disember 2009, Obama melancarkan strategi baru untuk penglibatan Amerika Syarikat di Afghanistan dalam apa yang dikenali sebagai ‘the surge’ atau lonjakan – dengan menghantar 30,000 tentera tambahan AS ke Afghanistan.

Antara perkara penting yang lain adalah pelaksanaan strategi awam yang lebih berkesan termasuklah pengawalan ke atas agensi-agensi kerajaan Afghanistan yang tidak efektif dan menerima rasuah, dan juga taktik untuk mempunyai hubungan yang lebih kukuh dengan Pakistan yang dibina di atas dasar saling menghormati dan mempercayai.

Tetapi sebahagian penganalisis berpendapat taktik Obama ini sebagai satu kegagalan dengan kira-kira 1,000 tentera AS kehilangan nyawa mereka, jumlah angka korban yang hampir sama dalam tempoh lapan tahun sebelumnya.

Di samping angka korban Taliban dan pemberontak yang  tidak diketahui, dianggarkan bahawa lebih daripada 10,000 tentera Afghanistan telah kehilangan nyawa mereka dan sekurang-kurangnya 10,000 orang awam telah menjadi korban sejak peperangan itu bermula pada tahun 2001.

Pada bulan Mei 2012, Obama dan Presiden Afghanistan, Hamid Karzai, menandatangani perjanjian yang tidak jelas tentang butirannya.

Tetapi tujuannya adalah untuk menyerahkan tanggungjawab berperang kepada tentera Afghanistan sehingga akhir 2014, sambil memberi AS peluang untuk mengekalkan anggota tenteranya di Afghanistan untuk tahun-tahun yang mendatang.

Terdapat sedikit tanda-tanda yang menunjukkan Taliban akan dikalahkan.
Pelan penyerahan kuasa pula menjadi rumit dengan timbulnya isu yang dipanggil ‘serangan hijau ke atas biru’, merujuk kepada serangan tentera Afghan terhadap tentera AS dan lain-lain tentera NATO.

Dua puluh dua tentera AS telah dibunuh oleh sekutu mereka, tentera Afghanistan tahun ini.

Serangan terbaru berlaku Isnin lalu apabila dua tentera AS terbunuh selepas seorang askar Afghanistan melepaskan tembakan di wilayah Laghman.

Tetapi dengan kempen presiden AS yang bergerak di tahap optimum, tiada pihak yang kelihatan mahu membincangkan isu Perang Amerika Syarikat di Afghanistan.

Mitt Romney, calon Republikan khususnya, tampak tidak pasti tentang perbezaan yang akan beliau lakukan dalam isu ini.

Peperangan Amerika Syarikat di Afghanistan

-    AS melancarkan perang ke atas Afghanistan pada 2001 selepas serangan 11 September.

-    Kini terdapat 88,000 tentera AS di Afghanistan, turun dari jumlah tertinggi sebanyak 101,000 pada tahun 2010.

-    AS akan mengeluarkan kira-kira 23,000 tentera dari Afghanistan, meninggalkan 68,000 kakitangan.

-    Dianggarkan sebanyak 2,000 tentera AS telah terbunuh sejak konflik itu bermula di Afghanistan, dengan separuh daripada mereka berlaku dalam tempoh tiga tahun Obama menjadi Presiden.

-    Hampir 16,000 tentera AS telah cedera ketika berkhidmat di Afghanistan sejak permulaan perang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan