Isnin, 27 Ogos 2012

JIKA WAKIL RAKYAT MACAM LEMBU...TAK MUSTAHIL RAKYAT DILEMBUKAN

Jangan perdagangkan wakil rakyat macam lembu

Roketkini.com, 27 Ogs 2012
KUALA LUMPUR: Penentangan Umno BN terhadap cadangan pindaan Perlembagaan Negeri Pulau Pinang untuk mengharamkan gejala lompat parti oleh wakil rakyat disifatkan sebagai sebuah amalan pecah amanah terhadap mandat yang diberikan rakyat.
Menurut Ketua Menteri Pulau Pinang; Lim Guan Eng, BN dilihat menentang keras cadangan ini kerana ia akan menghalang mereka dari memperdagangkan wakil rakyat.

“Tentangan BN ini kita sudah duga dari awal lagi,” kata beliau kepada pemberita dalam sebuah sidang media di ibu pejabat DAP hari ini.

“Kita tidak mahu wakil rakyat melompat kerana dibeli. Adakah kita mahu melihat wakil rakyat yang dipilih diperdagangkan seperti lembu?” soalnya.

“Sekiranya seseorang wakil rakyat itu melompat parti maka mereka juga harus meletak jawatan dan perlu dipilih semula melalui pilihanraya,” ujar beliau, sambil menambah bahawa cadangan tersebut tidak akan menghalang mana-mana individu bertukar-tukar parti kerana itu hak yang dijamin Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan itu menyifatkan budaya lompat parti di kalangan wakil rakyat bukanlah budaya demokrasi yang baik dan mengkhianati mandat rakyat yang memilih calon atas tiket parti politik dan bukan sebagai calon persendirian.

Menurut Guan Eng, undang-undang sedia ada menghalang wakil rakyat yang mengosongkan kerusinya kerana melompat parti untuk bertanding demi mendapat mandat baru melalui pilihanraya kecil. Cadangan yang diutarakan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang bertujuan bagi membolehkan perkara tersebut dilaksanakan.

Sekirnya cadangan pindaan Perlembagaan Negeri untuk mengharamkan lompat parti ini mendapat sokongan EXCO negeri, ia akan menjadi sebuah budaya baru yang sihat. “Kita lihat, kita akan mulakan budaya baik ini di Pulau Pinang dahulu,” ujar beliau, yang juga Setiausaha Agung DAP.

Kerajaan Pusat perlu timbang naik subsidi padi

Azamin Amin, 27 Ogs 2012
ALOR SETAR: Cadangan para petani supaya Kerajaan Pusat menaikkan harga subsidi padi sebanyak 50 peratus amat wajar dipertimbangkan semula.

Exco Industri dan Pelaburan, Perumahan, Kerja Raya, Pertanian dan Industri Asas Tani serta Bioteknologi, Datuk Ir. Amiruddin Hamzah (gambar) berkata, cadangan itu memang wajar dikaji semula kerana tiada kenaikan sebelum ini.

"Tiada kenaikan harga subsidi padi sejak berpuluh-puluh tahun dan cadangan untuk menaikkan harga subsidi padi wajar dipertimbangkan kerana kos dan kesan kewangan (kenaikan 50 peratus) tidak setara mana,"katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke Kampung Kubang Siam, Alor Janggus, di sini bagi meninjau perkembangan proses kacukan benih padi variati baru yang dihasilkan oleh seorang petani, Ishak Mahmud, 52 tahun.

Usaha Ishak Mahmud melakukan proses kacukan benih padi MR276 dengan Radin Emas atau benih Jarum Emas berjaya menghasilkan benih baru yang berbeza dengan benih padi lain.

Usaha yang dilakukan kira-kira dua tahun lalu dengan hanya mencuba empat bekas berjaya menghasilkan benih yang diberi nama KS299.

Ishak yang menjadi petani hampir 30 tahun lalu memberitahu, benih padi yang dihasilkan itu mempunyai tangkai yang lebih panjang dan isinya lebih padat serta warnanya seakan-akan berwarna perang.

Beliau memberi nama benih padi itu KS299 sempena nama tempat tinggal beliau iaitu Kubang Siam atau Kota Setar sebagai penghargaan kerana beliau berjaya menghasilkan benih padi yang berkualiti.

Mengenai variati benih padi baru yang berjaya dihasilkan oleh Ishak Mahmud itu, Amiruddin memberitahu, ciri-ciri yang terdapat pada benih padi itu amat baik sekali.

"Kita mendapati tiada padi angin di sawah berkenaan dan padi itu dijangka masak pada Ogos ini,"katanya.

Tambahnya, Jabatan Pertanian Negeri Kedah akan mengambil data mengenai padi berkenaan.

Turut hadir ialah Penolong Pegawai Pertanian di Jabatan Pertanian Negeri Kedah, Muhamad Hilmi Mahidin dan Pembantu Pertanian di Jabatan Pertanian Negeri Kedah, Abu Hassan Mat.

Rumah terbuka MB Kedah dibanjiri lautan manusia

Azamin Amin , 27 Ogs 2012

(Lautan manusia membanjiri Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Besar Kedah 25 Ogos lalu pada Syawal keenam di kediaman rasmi Seri Mentaloon.)

ALOR SETAR: Saban tahun, rakyat Malaysia khususnya penduduk Kedah tidak sesekali melepaskan peluang merasai nikmat kemeriahan sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Besar Kedah dan tahun ini kunjungan orang ramai di luar kebiasaan, apabila lebih 40,000 menghadirinya.

Orang ramai dari pelbagai kaum mula membanjiri Seri Mentaloon seawal jam 9.00 pagi walaupun majlis pada 25 Ogos itu bermula sekitar 11.00 pagi sehingga berlaku kesesakan lalulintas malah ada sanggup berjalan kaki lebih dua kilometer untuk ke kediaman rasmi pemimpin yang mereka hormati itu.

Kemeriahan majlis turut diserikan dengan keberangkatan Tunku Bendahara Kedah yang merupakan Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah Yang Teramat Mulia Datuk Seri Utama Tan Sri Tunku Annuar Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Badlishah dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan Bendahara Kedah serta Ahli-Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah.

(Adun Kubang Rotan, Nasir Mustafa sedang melayan ketua-ketua Sami Siam yang datang ke majlis rumah terbuka MB Kedah.)

Tanpa kecuali kehadiran para Exco Kerajaan Negeri serta Ahli Dewan Undangan Negeri turut memeriahkan majlis ini sekaligus dapat menyantuni dan mendekati rakyat Kedah.

Antara hidangan yang disajikan ialah nasi dagang, sate, murtabak, laksa, soto, lontong, bihun sup, mee goreng mamak, tapai, koey teow kerang, keropok lekor, kuih raya, buah-buahan, ketupat dan rendang.

(Anakanda Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong Tunku Panglima Besar Kedah,  Datuk Seri DiRaja Datuk Seri Tunku Puteri Intan Safinaz disambut Adun Kubang Rotan Nasir Mustafa ketika menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Besar.)

Rendang dan ais krim adalah sajian yang paling awal habis berbanding menu lain manakala kegembiraan dan keriuhan kanak-kanak untuk mendapat duit raya tidak pernah dikesampingkan apabila pihak penganjur menyediakan puluhan ribu ringgit untuk diberikan kepada mereka.

Rata-rata menyifatkan bahawa sambutan Majlis itu senantiasa mendapat perhatian dan amat dinantikan saban tahun, kerana inilah peluang terbaik mereka untuk melihat sendiri dan bertemu mesra dengan para pemimpin kerajaan dan wakil rakyat yang disanjungi sunggunhpun terpaksa meredah lautan manusia yang membanjiri pekarangan Seri Mentaloon yang saban tahun meningkat kehadirannnya.



(Orang ramai sanggup beratur panjang untuk mendapat juadah istimewa antaranya sate dan ais krim.)



(Exco Kedah Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi sedang memilih juadah di Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Besar Kedah. Di belakangnya (baju melayu biru) ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah Datuk Paduka Haji Rasli Basir.)

Maik: Ada sesuatu yang wajib dibaiki

Ahmad Fadli Shaari, 27 Ogs 2012
Pepatah Inggeris menyebut, revenge is a dish best served cold. Maksudnya dendam ialah hidangan yang terbaik jika dihidangkan dalam keadaan sejuk.

Khabarnya disebut oleh Shakespeare, ia bermaksud seseorang yang ingin membalas dendam perlu melakukannya dalam keadaan dirinya tidak dikuasai emosi.

Pembalasan dendam boleh dirancang dengan teliti dan penuh strategi. Dalam keadaan tiada siapa yang menduga di sebalik senyuman manis yang diukir secara bermuka-muka, pembalasan dendam akan disempurnakan. Di waktu itu, ia lebih sempurna berbanding jika dendam dilepaskan ketika dikuasai emosi.


Di dunia ini, ramai yang mengambil pendekatan begini. Sekalipun sewajarnya dengan usia yang begitu lama berada bersama-sama, pahit manis dijunjung bersama, tetapi rupa-rupanya dalam berkawan, tangan masih menggenggam keris. Leka sedikit mata memerhati, hujung belikat menjadi mangsa.

Orang begini biasanya manis senyumannya lebih daripada orang lain, bahkan jika bersalam hampir tunduk mencium lutut.

Bukan tujuan saya untuk menujukan kepada sesiapa, ia hanya lumrah di dalam alam ini tanpa mengira masa dan tempat.


Saya datangkan pepatah ini hanya sebagai perbandingan. Saya teringat tentangnya apabila membaca laporan Harakahdaily pada 26 Ogos 2012 di bawah tajuk Khutbah Raya: Pihak mana sebenarnya berpolitik.

Rupa-rupanya masalah di MAIK yang berlaruran sejak dahulu masih belum selesai sekalipun sudah bertukar teraju jawatan Yang Dipertua kepada Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Kelantan.

Permainan ini tetap berterusan yang saya yakin tanpa pengetahuan pihak Yang Teramat Mulia sendiri. Bacalah laporan tersebut, ia dengan jelas menggambarkan kekecewaan anak muda Kelantan terhadap isu manipulasi teks khutbah yang sedang berlaku sekarang.


Petikan-petikan seperti "Kita turut menyatakan kesyukuran kerana dapat berhimpun dalam masjid, dalam rumah Allah, bukan di medan-medan, di padang-padang atau di jalanan untuk menimbulkan keadaan keresahan dan mencetuskan perbalahan dan pergaduhan" jelas sekali 'atas darat' ditujukan kepada himpunan BERSIH yang diwar-warkan sebagai pencetus kepada huru hara.

Begitu juga dengan petikan seperti, "Kenapa kita perlu dan bersungguh-sungguh untuk terus menerus membelah bangsa Melayu, umat Islam kepada belahan-belahan, kepada kabilah-kabilah yang boleh melemah dan merosakkan umat Islam, pada hal bangsa Melayu pada keseluruhannya adalah bangsa yang mempunyai potensi untuk membangunkan Islam, untuk meletakkan Islam di tempat yang tertinggi.."

Dari sudut maksudnya tidaklah salah tetapi dalam suasana politik hari ini yang semua pihak pandai membaca akhbar dan menonton televisyen, masyarakat tahu di atas kepala siapa batu ini mahu dilemparkan.


Saya kira, sewajarnya zaman berlindung di dalam pagar Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) untuk kepentingan politik telah berlalu. Paling tidak, tunjukkan budaya profesional dalam mengarang teks khutbah. Dalam hal solat di jalanan, perlu diingatkan bahawa sunnah Rasulullah SAW di dalam mengerjakan solat hari raya ialah di padang dan di tempat yang terbuka, bukannya di masjid.

Benar, ia bukanlah hal utama untuk dibincangkan di sini, tetapi merendah-rendahkan solat di jalanan di dalam khutbah Idulfitri menampakkan bahawa panel khutbah agar kurang sensitif bila berbicara tentang ibadat yang ada tatacaranya di dalam sunnah Rasulullah SAW!


Hakikatnya, ada pihak yang memainkan peranan mengarang teks khutbah sedemikian rupa untuk dibaca oleh para imam. Jika imam mengubahnya, tindakan bakal dikenakan. Ia lebih jelas lagi di dalam teks khutbah khas sempena hari kemerdekaan 31 Ogos ini yang telah diedarkan kepada para imam. Bacalah petikannya :

"Di kalangan orang-orang Melayu sering menyebut madah kata daripada Hang Tuah, bahawa tidak Melayu akan hilang di dunia, namun tidak ada jamiman sesuatu bangsa dapat mempertahankan dan mengekalkan kuasa dan kedudukannya apa lagi kalau bangsa Melayu sendiri pun sudah benci mendengar perkataan Melayu, sudah tidak bangga lagi jadi Melayu. Bukankah sudah banyak umat, bangsa yang terusir dari tanah air sendiri malah bukan sedikit yang telah hilang ditelan zaman?"


Orang yang celik politik tahu untuk siapa ayat-ayat di atas ditujukan. Pemimpin mana yang pernah didakwa tidak bangga menjadi Melayu kalau tidak YAB Tuan Guru Menteri Besar sendiri? Inilah yang telah dimanipulasi laporannya oleh Utusan Malaysia pada 19 September 2010 di bawah tajuk Nik Aziz tak bangga jadi bangsa Melayu?

Sedangkan hakikatnya kenyataan Tuan Guru ialah "saya tidak bangga menjadi Melayu tetapi saya bangga menjadi Islam..". Sama sekali Tuan Guru tidak anti Melayu, tetapi kenyataan tersebut hanyalah bertujuan meletakkan nilai agama melebihi nilai bangsa. Ia sama seperti seorang ayah berkata kepada anaknya, "Ayah tidak bangga kamu belajar tinggi-tinggi, tetapi bangga jika kamu berakhlak mulia.."


Sindiran sebegini sangat jelas mesejnya di dalam teks khutbah yang akan dibaca 31 Ogos ini. Saya hanya menukilkan satu ayat sahaja dari teks khutbah yang kita sendiri akan dengar kandungannya pada hari kemerdekaan ini nanti.

Yang jelas, ada sesuatu yang ingin disampaikan oleh teks ini. Bukanlah telinga saya alergic dengan perkataan Melayu bahkan saya dilahirkan sebagai seorang Melayu. Namun, mengulangi berkali-kali nama Doktor Burhanuddin Helmi yang diperkenalkan sebagai TOKOH KEBANGSAAN MELAYU bersama-sama petikan di atas tidak syak lagi ada agenda yang tersendiri.


Saya hanya menukilkan contoh sahaja. Permainan politik di dalam teks khutbah yang diwajibkan ini hakikatnya bukan rahsia lagi. Dikhabarkan pemainnya hanya beberapa orang sahaja, tetapi masih tidak malu-malu bersembunyi sambil melontarkan batu. Saya kira masa sudah tiba untuk melakukan usaha pembersihan. Tunjukkan sahaja pintu keluar.



­-----------------------------------------------------
Penulis ialah Setiausaha Akhbar YAB Menteri Besar Kelantan. Tulisan ini hanyalah merupakan pandangan peribadi beliau semata-mata.  Bertarikh 27 Ogos 2012.

Bukit Koman: Ancaman baru selepas Lynas

Zulkefly Mohamad Omar, 27 Ogs 2012
Kita semua tahu bagaimana Pahang, sebuah negeri yang terbesar di Semenanjung telah dikurniakan khazanah Alam Semulajadi yang luas sehingga sebahagian darinya dijadikan sumber rezeki kepada penduduknya malah hasil tanaman, ternakan malah sumber air dari negeri itu disalurkan pula ke negeri-negeri yang lain.
(Antara kesan Cyanide di Bukit Koman)

Kawasan tanahnya pula terlalu luas sehingga ada sahabat-sahabat saya dari PAS Negeri adakalanya mengeluh letih sehingga ada yang demam beberapa hari kerana terpaksa bergerak jauh menunaikan tanggungjawab masing-masing ke seluruh pelusok negeri.

Sumber yang terhad, kos yang tinggi (selalunya dari poket sendiri) serta keringat badan yang semakin lemah kerana dimakan usia malah ada yang menghidap penyakit kronik tidak menghalang mereka untuk mengharungi ujian itu pada pandangan saya agak besar berbanding di negeri-negeri yang lain.

Di atas bantuan merekalah, pendedahan demi pendedahan jenayah Alam Sekitar di negeri itu dipaparkan buat pengetahuan umum. Saya dimaklumkan ada di antara petugas-petugas kita yang terdedah kepada ancaman keselamatan oleh pihak yang tertentu ketika proses mengumpulkan bukti jenayah itu.

Inilah komitmen PAS untuk melindungi keselamatan, kesihatan dan pemuliharaan alam sekitar di negara ini sehingga sanggup meletakkan misi itu melebihi kepentingan diri dan keluarga.

Ancaman sisa radioaktif LYNAS di Gebeng Kuantan, pencemaran Sungai di Cameron Highlands, Bentong dan di Kuala Lipis, pembangunan dan penerokaan tanah tidak terkawal dilereng bukit di sekitar Cameron Highlands, pusat insinerator di Blue Valley, projek Hidroelektrik di Ulu Jelai, pembalakan haram,  serta pencemaran Tasik Chini yang dijangka akan pupus menjelang tahun 2030 adalah sebahagian dari bukti jelas kerakusan pemerintah khususnya di negeri itu yang meratah sumber alam ini seolah-olah alam yang kita pinjam ini tidak perlu dipulangkan kembali seperti sediakala kepada anak-anak dan keturunan kita.

Bukankah kita hanya meminjam? Tetapi kenapakah kerajaan negeri di bawah UMNO dan Barisan Nasional menjadikan semua itu MILIK dan HAK KEKAL mereka?

Ketika semua lokasi yang saya sebutkan tadi sedang diratah oleh pihak tertentu, penduduk sebuah perkampungan di Bukit Koman Raub pula sedang berjuang selama lebih 3 tahun demi nyawa keluarga mereka dari ancaman bahan kimia Cyanide yang amat bertoksik itu malah dikatakan antara bahan kimia yang paling merbahaya di dunia ini dan pernah diberi gelaran ‘agen pembunuh’ ketika Perang Dunia Pertama dan Kedua.

Tahukah anda bahawa rakyat terpaksa membayar dengan harga yang tinggi dan tanpa pengetahuan mereka akan bahaya sebenar yang wujud disekeliling kita?

Kenapakah industri berat atau berisiko tinggi seperti ini sentiasa menjadi pilihan UMNO dan Barisan Nasional? Adakah kerana lebih tinggi risikonya, maka lebih besar pulangannya kepada negara atau adakah kerana besar pulangannya kepada kroni-kroni mereka?

PAS pernah menegur wakil MITI kerana tidak berhati-hati ketika menerima kemasukan industri berisiko tinggi seperti LYNAS kerana terlalu teruja untuk mencapai sasaran ‘FDI’ atau ‘Foreign Direct Investment’ negara.

Tidak salah untuk menerima pelaburan luar asing tetapi biarlah keutamaan kepada keselamatan dan kesihatan penduduk diambil kira terlebih dahulu sebelum pelaburan luar asing itu diluluskan.

Bukankah banyak industri luar lain yang boleh dibawa masuk oleh MITI? Industri di mana Malaysia mahir dan berpengalaman di dalam menguruskannya.

Tidak yakinkah kita untuk mencapai sasaran FDI itu tanpa industri berisiko tinggi seperti itu? Walaubagaimanapun saya tidak pernah menyalahkan tenaga kerja MITI termasuklah Setiausaha Kementerian itu kerana mereka hanyalah pelaksana arahan pembuat dasar yang terdiri daripada kalangan ahli politik UMNO dan Barisan Nasional yang tamak haloba dan angkuh itu.

Memandang industri nadir bumi adalah industri yang baru di negara ini ditambah pula dengan krisis keyakinan rakyat terhadap kegagalan kerajaan persekutuan dan negeri dari kalangan UMNO dan Barisan Nasional di dalam menyelia dan menyediakan kekuatan yang mencukupi untuk agensi-agensi penguatkuasaan  di dalam menjalankan tugas mereka dengan baik, ditambah pula dengan kelemahan undang-undang serta proses yang sedia ada yang terdedah kepada manipulasi pihak tertentu untuk ‘menghalalkan’ industri yang tidak halal itu, maka PAS telah mengambil pendekatan mencegah adalah lebih baik dari mengubati untuk tidak menyokong industri berisiko tinggi seperti itu.

Dan kerana kelemahan yang sedia ada kerana kegagalan UMNO dan Barisan Nasional di dalam mentadbir negara ini, PAS juga menolak industri perlombongan emas yang menggunakan ‘agen pembunuh’ Cyanide ini.

Terlalu banyak fakta dan bukti jelas akan bahayanya Cyanide ini kepada nyawa manusia dan alam sekitar di seluruh dunia sehingga terdapat beberapa negara yang sudah mengharamkan kemasukan bahan berisiko tinggi itu ke negara mereka, tetapi kenapakah Malaysia tidak mengharamkannya? Kenapa pula apabila ia tidak diharamkan, tidak pula diwujudkan panduan yang jelas seperti yang dilakukan Kesatuan EU untuk mengawal selia sektor perlombongan emas yang menggunakan bahan kimia yang amat bertoksik itu? Bukankah ini bukti jelas bahawa pembuat dasar yang terdiri dari kalangan ahli politik UMNO dan Barisan Nasional tidak sensitif maklumat?

Ketika PAS mempertikaikan kelulusan membina kilang LAMP milik LYNAS yang dikeluarkan SEBELUM kelulusan Kajian Impak Alam Sekitar(PEIA) oleh Jabatan Alam Sekitar termasuk pengabaian tuntutan konsultansi pihak awam melalui Lokal Agenda yang digunapakai oleh Majlis Perbandaran yang akhirnya diakui oleh Jawatankuasa PSC LYNAS, PAS juga mempertikaikan bagaimanakah sebuah syarikat perlombongan emas yang menggunakan bahan kimia yang amat bertoksik ini ditambah pula dengan bukti kemalangan demi kemalangan yang melibatkan banyak kemusnahan alam sekitar dan kemalangan jiwa di seluruh dunia, kelulusan tetap diberikan kepada sebuah syarikat yang dikatakan mempunyai hubungan dengan veteran politik dari MCA itu walaupun lokasi syarikat perlombongan itu hanyalah kurang dari 500 meter dari kawasan penempatan penduduk Kampung Bukit Koman termasuklah sebuah Kem Tentera. Kenapakah INDUSTRI BERAT seperti ini tidak diletakkan di dalam Kawasan Perindustrian agar proses kawalan yang lebih ketat dapat dikuatkuasakan?

PAS juga mempertikaikan atas dasar apakah syarikat perlombongan itu dikurniakan pajakan tanah seluas 300 ekar selama 19 tahun? Termasuk tiadanya ‘Emergency Response Plan (ERP)’ atau Pelan Tindakan Kecemasan yang seharusnya diwajibkan ke atas industri berat seperti itu.

Kenyataan yang dipetik dari wakil Jawatankuasa Bertindak Penduduk Bukit Koman jelas membuktikan tiada satu pun latihan bersama yang dibuat oleh pihak syarikat dengan penduduk setempat malah dengan pihak berkuasa khususnya polis dan bomba jika berlaku apa jua kemalangan dari operasi syarikat perlombongan emas itu.

Potensi kemalangan dan kesan akibat kemalangan khususnya dari ‘CIL Plant’ atau Loji CIL termasuklah ‘Detoxification Plant’ atau Loji Detoksifikasi khususnya pelepasan gas dan letupan termasuklah kebakaran adalah tinggi serta mampu melebihi tahap pendedahan yang dibenarkan malah kenyataan yang dipetik dari Pusat Kawalan Penyakit dan Pencegahan Amerika Syarikat(CDC), ketika berlakunya kemalangan yang melibatkan bahan Cyanide itu, penduduk haruslah dipindahkan sejauh 800 meter dari lokasi kebakaran atau bencana itu.

Bagaimanakah proses pemindahan penduduk itu mampu dilaksanakan dengan baik jika tidak ada kekerapan latihan bersama yang pernah dilakukan oleh pengurus syarikat perlombongan itu dengan penduduk setempat dan pihak berkuasa?

Bagaimanakah keselamatan penduduk setempat termasuklah anggota tentera dari Kem yang terdekat terjamin jika lokasi penempatan mereka hanya kurang dari 500 meter apabila CDC mencadangkan pemindahan penduduk haruslah melebihi 800 meter?

Pemantauan dari wakil Lajnah Alam Sekitar PAS Pusat jelas menunjukkan jika tiadanya latihan bersama yang berterusan seperti yang dituntut oleh Pelan Tindakan Kecemasan (ERP) itu termasuk faktor kepadatan perumahan di sekitar lokasi penempatan 3000 penduduk disitu, proses pemindahan penduduk akan menjadi sukar dan perlahan sedangkan aspek MASA dan ALATAN PERLINDUNGAN atau ‘PERSONAL PROTECTIVE EQUIPMENT(PPE)’ yang harus dipakai penduduk amatlah dititikberatkan ketika proses pemindahan itu.

Inilah kelemahan ketara UMNO dan Barisan Nasional khususnya Ahli Parlimen Raub mereka yang juga Menteri Pelancongan dari MCA itu yang jelas tidak mengambil kira aspek-aspek mandatori yang perlu ditekankan oleh syarikat perlombongan emas itu untuk memastikan keselamatan dan kesihatan penduduk di kawasan parlimen beliau sentiasa terjamin.

Selepas lebih 3 tahun wakil Jawatankuasa Penduduk Bukit Koman merintih perhatian dan tindakan dari beliau, MCA masih gagal bertindak untuk menyelesaikan isu ini.
Mungkinkah kerana MCA sibuk mempertikaikan isu Hudud sehingga lupa kebajikan rakyat di kawasan mereka? atau mereka hanya meletakkan kepentingan syarikat perlombongan emas itu yang dikaitkan juga dengan veteran MCA itu berbanding kepentingan rakyat?

Agak memalukan apabila Menteri Kesihatan yang juga Ahli Parlimen dari Bentong itu serta berjiran dengan Menteri Pelancongan itu juga gagal menyelami masalah penduduk di Bukit Koman.

Sepertimana beliau berdolak-dalik dalam isu LYNAS di Gebeng Kuantan, beliau juga kini dilihat berdolak-dalik dalam isu Bukit Koman di Raub. Jelas inilah kepakaran ahli politik dari UMNO dan Barisan Nasional yang dilihat mahir berdolak-dalik demi menyelamatkan karier politik mereka daripada nyawa pengundi-pengundi mereka yang tidak berdosa.

Mereka pernah mengeluarkan kenyataan mengelirukan bahawa sisa buangan radioaktif LYNAS akan disimpan di negara ini, kadang-kala hanya sementara dan ada pula kalanya akan dihantar kembali ke negara asalnya, sehingga rakyat keliru yang mana satukah keputusan mereka kesan dari kerap berdolak-daliknya mereka itu. Mungkinkah ini tabiat semulajadi semua wakil rakyat dari MCA itu?

Saya juga dimaklumkan bahawa sebuah syarikat petro-kimia dari Taiwán yang ditolak oleh Kerajaan Taiwán sendiri kerana isu potensi pencemaran alam sekitar di negara itu mungkin akan diberi kelulusan untuk pelaburan berbillion ringgit dalam projek Rapid di Pengerang Johor.

Jika ini berlaku, maka jelaslah bahawa pembuat dasar dari UMNO dan Barisan Nasional sama ada diperingkat persekutuan dan negeri yang diperintah mereka hanyalah mengutamakan keuntungan ekonomi semata-mata khususnya kroni-kroni mereka sehingga membelakangkan keselamatan dan kesihatan rakyat di negara ini serta pemuliharaan alam sekitar.

Adakah negara ini tempat pembuangan sisa-sisa yang ditolak oleh negara asal mereka? (Taiwán dan Australia) Jika YA, maka tiadalah beza kita dengan negara dunia ketiga dan tersasar jauhlah kita dari matlamat asal negara untuk menjadi sebuah negara maju.

Saya amat yakin, jika UMNO dan Barisan Nasional terus diberi mandat untuk memerintah negara ini selepas PRU-13, segala-galanya akan hancur berkecai sehingga tiada apa lagi yang boleh kita wariskan kepada anak dan cucu kita. Semoga Allah S.W.T menyelamatkan kita dari kerosakan yang dibawa pimpinan UMNO dan Barisan Nasional.

Sekali lagi saya ingin menyeru, seluruh rakyat Malaysia yang prihatin terhadap kezaliman ini untuk sama-sama turun ke Raub Pahang pada 2hb September ini (Ahad) sebagai satu tindakan solidariti bantahan penggunaan ‘agen pembunuh’ Cyanide serta suara rintihan rakyat terhadap kemusnahan alam sekitar khususnya di negeri Pahang.

------------------------------------
Penulis adalah AJK PAS Pusat dan Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS.

Khutbah hasilkan perpecahan dakwaan melampau

Harakahdaily, 27 Ogs 2012

KOTA BHARU: Isu khutbah yang dibangkit Ibrahim Ali adalah satu tuduhan yang melulu dan tidak benar sama sekali serta berniat jahat untuk melagakan kerajaan negeri pimpinan PAS dengan Majlis Agama Islam Kelantan (Maik).

Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Kelantan, Ustaz Hasan Mahmood berkata, bagi mana-mana pihak yang meneliti isi khutbah tersebut, sekalipun ia adalah keluaran Dewan Ulama PAS namun tidak satu pun nama pertubuhan politik yang disebut sama ada PAS mahupun Umno.

“Sebaliknya, sebagaimana tajuk yang tertera pada khutbah iaitu menentang kerosakan dan kezaliman di dalam negara adalah jihad yang paling afdhal.

"Khutbah secara umumnya mengajak umat Islam agar sentiasa berjihad dan jihad paling utama dalam konteks masa kini adalah jihad untuk mempertahankan Negara umat Islam daripada kezaliman dan kerosakan yang ingin dilakukan oleh mana-mana pihak.

“Kenyataan ini sebagaimana yang diucapkan oleh ulama terulung dunia Islam iaitu Prof. Doktor Yusof Al-Qaradhawi, penerima anugerah tokoh maal hijrah oleh kerajaan Malaysia dalam kitab beliau min fiqh daulah,” katanya.

Presiden Perkasa dan juga ahli Parlimen Pasir Mas, Ibrahim Ali  dilaporkan oleh Utusan Malaysia bertarikh 24 Ogos mendakwa kandungan khutbah Dewan Ulama PAS Negeri Kelantan berunsur perpecahan dan berbaur politik. (gambar)

Tambah Hassan, khutbah tersebut juga mengajak agar masyarakat memanfaatkan sistem demokrasi dalam negara Malaysia untuk mendaulatkan Islam di tempat yang tertinggi sesuai dengan kedudukannya yang mulia.

Selain itu, khutbah Dewan Ulama PAS mengambil pendekatan yang berbeza dengan teks-teks khutbah lain dengan menyeru umat Islam agar dapat menggunakan saluran Pilihanraya untuk memilih calon yang dapat menjalankan tangungjawab yang diamanahkan sebagaimana yang dianjurkan oleh Agama sekaligus menjadikan ia sebagai aspek terpenting dalam pentadbiran Negara.

Perkara ini diingatkan oleh Dewan Ulamak PAS sebagai kandungan penting Agama dan bukannya sebagai agenda politik kotor sebagaimana didakwa.

Beliau juga turut menyelar kenyataan pengasas pondok genting tumpat, Abdullah saamah sebagaimana yang dilaporkan oleh Mingguan Malaysia bertarikh 26 Ogos yang mengaitkan kerajan PAS Kelantan dengan membenarkan imam dan khatib membaca khutbah Aidilfitri yang berunsur politik serta membawa anasir perpecahan umat Islam.

Tindakan beliau ini seolah-olah hanya menjadi ‘pak turut’ kepada Ibrahim Ali yang hanya pandai menuduh tanpa usul periksa. Beliau sebelum ini lantang dengan ‘fatwa’nya yang penuh kontroversi apabila menyatakan DAP adalah kafir harbi dan haram mengundinya.
Iklan Teks

Tiada ulasan:

Catat Ulasan