Isnin, 27 Ogos 2012

BILA KEBIMBANGAN TAK DAPAT DISELINDUNG...BILA MANA ALLAH NAK MENGHUKUM MEREKA YANG SOMBONG DAN MEMBELAKANGKAN PERINTAH ALLAH SWT

Air: Serang Pakatan tetapi negeri BN yang kering

Harakahdaily, 27 Ogs 2012

(Laporan Sinar Harian masalah air di Jengka 7, negeri PM sendiri)

TEMERLOH: Ketika media Umno saban hari menyerang kononnya kerajaan negeri Selangor, Kedah dan Kelantan tidak pandai menguruskan bekalan air, media yang agak bebas melaporkan masalah bekalan air sedang  melanda negeri BN.

Hampir setiap tahun, penduduk negeri Perdana Menteri iaitu Pahang menghadapi masalah air.

Nak dikatakan air tidak cukup, Kerajaan BN lah saban hari berkempen agar projek Langat 2 dilaksanakan  kerajaan negeri Selangor untuk hadapi krisis air.

Langat 2 adalah projek untuk menyalurkan bekalan air dari Sungai Pahang melalui sungai dan terowong buatan manusia ke Lembah Klang.

Namun rupa-rupanya, penduduk Pahanglah saban hari menghadapi masalah air.

Menurut laporan Sinar Harian, penduduk Jengka 7 menghadapi masalah bekalan air hampir setiap tahun khasnya di hari raya Aidil Fitri.

Pada hari itulah mereka terpaksa berbaris panjang untuk mendapatkan bekalan air untuk minuman, membersihkan pakaian bahkan membersihkan pinggang mangkuk yang bertimbun-timbun di hari raya.

"Jika begitu, yang tidak pandai mengurus air sebenarnya kerajaan BN. Air banyak tetapi tidak sampai kepada pengguna...inilah kelemahan mengurus yang nyata," kata salah seorang mangsa ketiadaan air ini.

(Muhyidin wajar membantu Najib menyelesaikan masalah air di Pahang dahulu sebelum membuat kenyataan sebegini supaya orang tidak ketawa.)

Media Umno selalu sahaja memaparkan kerajaan negeri Selangor, Kelantan dan Kedah tidak pandai menguruskan air di negeri masing-masing.

Padahal apa yang dibangkitkan tidak ada pun bahkan sekadar reka-rekaan semata-mata dan bukan isu.

Di Selangor misalnya, kerajaan negeri mendakwa amaran Syabas untuk mencatu air di negeri itu hanya retorik politik untuk menekan kerajaan negeri dan menggusarkan rakyat Selangor.

Padahal air di empangan penuh bahkan melimpah apabila hujan turun. Semuanya bertujuan mahu menekan kerajaan negeri agar meluluskan projek Langat 2.

Bagi kerajaan negeri Selangor, mereka keberatan untuk meluluskan projek ini kerana kosnya terlalu tinggi dan tidak wajar.

Ia hanya bertujuan untuk mengisi tokoh-tokoh korporat kroni BN sahaja.

"Ia akan menyebabkan tarif air terpaksa dinaikkan nanti. Ini akan menyusahkan rakyat," kata Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Bagi penulis blog Cucu Mat Kilau (CMK), cerita ketiadaan air ini memalukan.  "Inikah yg dikatakan masyarakat 'Janji ditepati'?" soal beliau dalam blognya.

"Hari ni eksklusif keluar di Sinar Harian Pahang. Mana PM?... Kelantan dan Selangor dikatakan tidak pandai mengurus air.. Tapi di Pahang lebih teruk rupanya.. Hampir 40 tahun masa
lah berlaku... kasihan mereka yg teraniaya," tulis beliau merujuk kepada laporan Sinar Harian itu.

Lebih memalukan JBA Pahang baru dikorporatkan awal tahun ini.. sekarang dah jadi Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP), tapi servis makin HANCUR dan cukup mengecewakan, tulisnya lagi.

AKSB mohon pinjaman bank tingkatkan bekalan air

Aslani M, 27 Ogs 2012
PASIR MAS: Keseriusan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) mengatasi masalah bekalan air di sini dapat dilihat apabila terpaksa mendapat pinjaman bank bagi membina telaga tiub untuk menambah kapasiti pengeluaran air.

Setiap telaga tiub bernilai RM130,000 dan sehingga sekarang tiga telaga tiub yang dibina di Loji Rawatan Air Kelar sudah beroperasi.

Dan sebuah lagi telaga tiub akan dibina di Slow Machang. Sehingga sekarang pengeluaran air di Loji Kelar sebanyak 67 juta liter padu (MLD) sehari, melebihi kadar biasa sebelum ini.

Pengurus Besar AKSB, Ir Mohamad Hanapi Mahmud berkata, kapasiti pengeluaran air di loji berkenaan akan dipertingkat kepada 80 MLD bagi menampung keperluan air bersih di jajahan ini dan Tumpat.

“Sebuah telaga jejari juga akan dibina di tepi Sungai Kelantan berhampiran Loji Kelar. Di kawasan muka sauk di Kelar juga akan dipasang empat pam baru yang berharga kira-kira RM1.2 juta.

“Selain itu AKSB juga merancang mengoperasikan semula loji lama di Kampung Lemal yang dijangka dapat menyumbang tambahan pengeluaran air sebanyak 8 MLD sehari,” katanya di sini.

Kata beliau berdasar kepada usaha berterusan dilakukan AKSB didapati pengeluaran air bersih bagi jajahan Pasir Mas dan Tumpat sudah melepasi tahap biasa.

Menurutnya juga masalah tekanan rendah yang dialami di beberapa kampung di Tumpat dijangka dapat diatasi sepenuhnya apabila Loji Rawatan Air di Wakaf Bharu yang sedang dipertingkatkan siap sepenuhnya.

Katanya, projek berkenaan yang dibiayai di bawah peruntukan Kementerian Pembangunan Luar Bandar membabitkan kos RM5 juta dijangka siap sepenuhnya tahun hadapan.

Sementara itu pegawai Komunikasi Korporat AKSB, Azhari Ab Rahman berkata, tekanan air Kampung Padang Tok La dan Kampung Belukar, Kubang Bemban antara 2mH hingga 4mH.

Katanya, berdasar kepada tinjauan dilakukan kakitangan AKSB di dua kampung berkenaan semalam didapati kesemua rumah mendapat bekalan air bersih sepenuhnya.

Beliau berkata, terdapat 240 akaun pengguna di Kampung Padang Tok La dan 310 akaun pengguna AKSB di Kubang Bemban.

Dan sejak 15 Ogos sehingga semalam tiada aduan berkenaan tekanan rendah diterima Kaunter Khidmat Pelanggan, AKSB Pasir Mas,

Hanapi juga berkata, AKSB berusaha mendapatkan sumber pembiayaan bagi melaksanakan projek meningkatkan pengeluaran air di Pasir Mas.

Menurutnya masalah itu menjadi hambatan memandangkan kerajaan negeri hanya diberi pinjaman mudah hampir RM600 juta pada 2003 selepas 13 tahun dinafikan hak.

Syaitan: Kenyataan Mahathir bahaya – Nik Aziz

Rizal Tahir, 27 Ogs 2012
MACHANG: Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, mempersoalkan bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad yang mengenali syaitan berbanding malaikat.
Katanya, umat Islam diperkenalkan kedua-duanya sekali, iaitu syaitan dan malaikat.

“Syaitan ni, punyalah pandai belitnya dia, sampaikan Nabi Adam yang dah duduk dalam syurgapun terpaksa dihalau keluar kerana kejayaan godaan syaitan,” ujarnya.

Beliau menyifatkan kenyataan Mahathir itu sebagai bahaya sambil mengingatkan umat Islam supaya mengenali kedua-duanya agar tidak terpesong dengan bisikan syaitan.

“Kenyataan sedemikian memang bahaya,” ujarnya ketika diminta mengulas kenyataan Mahathir yang mendakwa baik menyokong syaitan yang dikenali daripada malaikat yang tidak dikenali dua hari lalu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis meraikan pelajar Yayasan Islam Kelantan yang bakal melanjutkan pengajian masing-masing ke Timur Tengah dan Majlis Aidilfitri di Markaz Ulama PAS (Madu), dekat sini tengah hari tadi.

Sementara itu ketika diminta mengulas kes anggota Parlimen Bachok, Nasharudin Mohd Isa, beliau enggan mengulas.

Katanya, keputusan anggota Parlimen itu biar diputuskan oleh Majlis Syura Ulamak PAS.

“Saya tak mahu ulas tentang tu, biarlah Majlis Syura sendiri yang tentukan, tak boleh saya,” ujarnya.

Unisel akan terus bincang isu penempatan pelajar

Muhammad Faizal, 27 Ogs 2012
KUALA LUMPUR: Universiti Selangor (Unisel) akan terus mengadakan perbincangan dengan Jana Niaga Sdn Bhd (JNSB) bagi menyelesaikan masalah penempatan pelajar.
Naib Canselor Unisel, Prof Dr Anuar Ahmad (gambar) menjelaskan pihak universiti akan mencari jalan terbaik melalui perbincangan syarikat JNSB demi kebajikan pelajar.

Malah menurutnya, walaupun pihak pengurusan hostel telah membenarkan pelajar-pelajar Unisel memasuki hostel tersebut namun perbincangan tetap diteruskan bagi mencari jalan penyelesaian jangka panjang terutama melibatkan kos yang terlalu tinggi ditanggung oleh pihak universiti.

"Pihak JNSB telah membuka semula pejabat residen di kampus induk universiti itu di Bestari Jaya, Kuala Selangor apabila persetujuan dicapai pada sesi pendengaran mahkamah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Jumaat sebelum cuti hari raya lalu selepas Unisel memfailkan permohonan perintah.

"Walaupun perintah tersebut telah diperolehi, kita akan mengadakan perbincangan dengan pihak JNSB berhubung dengan soal kos yang ditanggung oleh Unisel setiap bulan yang bagi kami ia agak tinggi," jelasnya kepada Harakahdaily.

Tambahnya, kos yang dikenakan kepada pelajar sebanyak RM200 sebulan adalah satu jumlah yang agak tinggi jika dibandingkan dengan kos penginapan di luar kampus.

Selain itu juga, pihak Unisel terpaksa membayar hampir RM1 juta setiap bulan untuk tempoh setahun (12 bulan).

"Walaupun jumlah pelajar yang menginap di asrama tidak sepenuhnya iaitu sekitar 3,500 orang pelajar namun Unisel terpaksa membayar penuh mengikut jumlah penempatan pelajar iaitu 5,000 orang," katanya.

Jelas Dr Anuar, kontrak selama 20 tahun yang akan berakhir pada 2025 adalah satu tempoh yang amat panjang dan jika isu sedemikian tidak dapat diselesaikan ia akan merugikan pihak Unisel dan juga pelajar.

"Saya tidak mahu memberi penjelasan terperinci mengenai tindakan selanjutnya Unisel selagi kita tidak mengetahui keputusan dari perbincangan yang akan diadakan nanti.

"Apa yang pasti kita mahu lakukan suatu yang terbaik untuk pelajar-pelajar Unisel," tambahnya lagi.

Beliau sebelum ini cukup kecewa dengan isu penginapan yang dimainkan oleh pelbagai pihak.

Sedihnya seorang ibu meninggal memeluk anaknya

http://aiyangdisayang.blogspot.com, 27 Ogs 2012

Sedihnya melihat seorang ibu meninggal dunia dalam keadaan memeluk anaknya


Kelu lidah untuk berkata-kata apabila melihat gambar ini, dan tanpa sedar mengalir air mata melihat gambar yang penuh tragis ini.

Gambar sebelah kiri menunjukkan seorang ibu meninggal dunia dalam keadaan memeluk anaknya. Mereka di antara syuhada' yang gugur syahid dibunuh dan disembelih oleh rejim Basyar dalam pembunuhan besar-besaran di Darayya, sekitar Dimasyq semalam.


Gambar kanan pula menunjukkan gambar yang hampir sama, tetapi ia berlaku ketika peritiwa Hama pada tahun 1982 yang dilakukan oleh ayah Basyar, Hafeez Asad. Peristiwa Hama merupakan di antara peristiwa paling tragis berlaku kepada rakyat Syria yang menyaksikan pembunuhan seramai 40 000 ribu Sunni di Syria.


Ya Allah, hancurkanlah mereka dan hinakanlah mereka di atas segala kezaliman yang telah dilakukan kepada umat Islam.



Lihatlah betapa mulianya akhlak seorang pejuang kebanggaan Rasulullah ini. Video ini menunjukkan seorang mujahidin Syria berusaha menyelamatkan seorang sahabatnya yang terkena tembakan ke tempat yang lebih selamat.

Dan dalam masa yang sama sahabatnya yang lain cuba menembak tentera rejim dari sudut yang lain.


Sehinggakan beliau sanggup menanggalkan baju kalis pelurunya untuk menyelamatkan sahabatnya itu. Sehingga akhirnya, beliau juga ditembak oleh tentera rejim la'natullah.

Ya Allah, sesungguhnya video ini sudah cukup untuk kami mengatakan bahawa merekalah pemuda yang menjadi kebanggaan Rasulullah.

Photo: Tergempar!  Penyembelihan terbaru yang dilakukan oleh tentera rejim Basyar di bandar Darayya, sekitar Dimasyq semalam (25/8/2012) sehingga mengorbankan lebih 400 orang.  Pembunuhan terbesar tersebut dilakukan oleh para syabbihah (tali barut Basyar) dan juga tentera rejim dengan menyembelih dan menembak masyarakat awam di Darayya dari kalangan kanak-kanak, wanita, lelaki dan juga orang tua.  Semoga Allah melaknat mereka di atas pertumpahan darah yang dilakukan ke atas umat Islam tanpa hak.  Lihat pautan ini : http://www.youtube.com/watch?v=mkbkheAZ7sI
Penyembelihan terbaru yang dilakukan oleh tentera rejim Basyar di bandar Darayya, sekitar Dimasyq semalam (25/8/2012) sehingga mengorbankan lebih 400 orang.

Pembunuhan terbesar tersebut dilakukan oleh para syabbihah (tali barut
Basyar) dan juga tentera rejim dengan menyembelih dan menembak masyarakat awam di Darayya dari kalangan kanak-kanak, wanita, lelaki dan juga orang tua.
Semoga Allah melaknat mereka di atas pertumpahan darah yang dilakukan ke atas umat Islam tanpa hak. sumber

Mahathir rampas kuasa Najib?

Muhammad Adam Lee Bin Abdullah,
Teruja sekali saya membaca analisa Blog MsoMelayu yang dipaparkan menerusi ruangan "Terbaik Dari Blog" yang disiarkan dalam Harakahdaily (26 Ogos, 2012) ini. Segala yang dikatakan Mohd Sayuti Omar itu adalah fakta-fakta sejarah yang pasti tidak mampu dinafikan, kecuali para penyokong tegar Dr Mahathir dan mereka yang masih belum sedar daripada lena panjang yang membawa mimpi ngeri.

Juga, antara tragedi kemanusiaan yang masih segar di ingatan saya dan kebanyakan kita ialah syahidnya Almarhum Ustaz Ibrahim Libya dalam Tragedi Memali, Baling, November, 1985. Kemudiannya fakta sebenar telah diselewengkan menerusi penyiaran klip video polis mengenainya kira-kira sebulan kemudian.

Belum lagi kita mengimbas kembali konflik dalaman Umno sendiri pada mesyuarat agungnya pada tahun 1987-88 yang menyebabkan tertubuhnya Umno Baru, sehingga ditentang kedua-dua bekas pemimpin tertingginya sendiri.

Lantas, marilah kita bersama-sama memerdekakan Malaysia dengan sebenar-benarnya dan hanya taatkan Allah dan Rasul-Nya serta menunjung dasar-dasar kemanusiaan dan keadilan sejagat. Dengan itu juga, saya menyarankan kepada BN, khasnya Umno, agar bermuhasabah kembali terhadap prinsip yang kalian canang kepada masyarakat bahawa kalianlah pejuangnya yang tulen, walhal kalianlah sebenarnya para penentangnya, tetapi rajin menyalahkan pihak lain.

Bayangkan, jika kuasa-kuasa demokrasi lama di barat hanya berkonfrantasi lidah dengan pembangkan di dewan-dewan persidangan, tetapi masih boleh bermesra dengan mereka di luar dewan, serta berani mengaku salah dengan meletakkan jawatan apabila kesalahannya terdedah demi kebaikan bersama, mengapa kita tidak boleh?

Kami, warga Malaysia sekalian, bimbang, dengan ketidakstabilan prestasi kita saban tahun, tidak seperti semasa awal merdeka dahulu, sejarah kehebatan kita nanti akan hanya tinggal catatan sebagaimana yang pernah menimpa umat dan bangsa sebelum ini yang menderhakai para utusan-Nya. Insafilah hidup ini ibarat roda yang berputar; justeru, bersedialah kiranya kalian pula setelah in terpaksa menjadi "pembangkang"!

Kedah nafi swasta ambil alih Kuin

Salmiyah Harun, 27 Ogs 2012
KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Kedah menafikan dakwaan bahawa pengurusan Kolej Universiti Insaniah (Kuin) akan diambil alih oleh sebuah syarikat swasta.

Exco Agama, Pelajaran, Koperasi Negeri Kedah, Datuk Mohamed Taulan Mat Rasul (gambar) berkata, perkara tersebut tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat kerajaan negeri.

Apatah lagi, katanya di dalam mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Kuin langsung tidak membincangkan perkara itu.

"Siapa yang nak ambil alih, tidak pernah disebut dalam mesyuarat kita," katanya yang juga Ahli Lembaga Pengarah Kuin.

Malah beliau turut menolak tuduhan bahawa kerajaan negeri Kedah telah menerima surat daripada syarikat antarabangsa berkenaan dengan pengambil alihan pengurusan Kuin sejak dua bulan lepas.

Taulan langsung tidak menerima surat tersebut dan tidak pernah dibentangkan dalam mesyuarat lembaga pengarah.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak dakwaan itu timbul kerana surat terbabit yang diemelkan kepada rektor universiti kemudian dipanjangkan di kalangan rakan-rakan mereka.

"Saya percaya surat tersebut hanya di kalangan rakan-rakan rektor sahaja. Saya pun tidak jelas tentang isi kandungan surat itu, sebab ia tidak sampai pun di kalangan lembaga pengarah," katanya ketika di hubungi Harakahdaily.

Terdahulu, Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Kedah Datuk Seri Mahdzir Khalid mendakwa pengurusan Kuin akan diambil alih oleh sebuah syarikat swasta.

Beliau juga berkata, pengambilalihan itu akan memberi kesan kepada pelajar kerana pihak swasta sudah pasti mahu mengaut keuntungan yang tinggi berbanding dengan kerajaan negeri.

Kenyataan Mahathir cepatkan kejatuhan Umno

Wan Nordin Wan Yaacob, 27 Ogs 2012
Bukan sekali mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad membuat kenyataan yang agak mengecutkan Umno-BN berdepan sebarang kemungkinan perubahan dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Terkini, bekas Presiden Umno itu dalam blognya dan beberapa portal lain menyebut kononnya peralihan kuasa kerajaan pusat adalah sebesar-besar bahaya.

Lebih menghairankan, Mahathir seolah-olah sudah mula meroyan dan tidak segan menyatakan "Lebih baik syaitan yang anda kenali dari malaikat yang anda tidak kenal".

Pada penafsiran biasa, rakyat akan melihat bahawa syaitan yang dimaksudkan Mahathir mungkin sekali adalah BN kerana pada frasa ayatnya jelas menyatakan bahawa lebih baik memilih syaitan yang anda kenal daripada malaikat yang anda tidak kenal.

Rakyat tidak merasakan ia suatu yang sangat pelik kerana Mahathir juga pernah menyebut Umno itu busuk hingga ke ususnya.

Begitupun, perkembangan itu membawa kegusaran kepada Umno-BN.

Malah, Mahathir juga kini terdedah 'kulat-kulat' kronismenya yang diamalkan dizaman beliau yang membelenggu sistem pemerintahan hari ini.

Namun, Mahathir sentiasa bongkak dan hanya menyalahkan penggantinya, Tun Abdullah Abhmad Badawi kononnya zaman pemerintahan Ahli Parlimen Kepala Batas itu sebagai pemusnah kepada keyakinan rakyat terhadap BN khasnya Umno.

Namun bekas Perdana Menteri yang pernah menerajui negara selama 22 tahun itu tidak perasan akan kenyataan beliau itu juga penanda bahawa beliau akur dan mengakui trend sokongan rakyat tidak mampu dibendung lagi.

Keresahan Umno-BN melalui 'old-timer' mereka ini menggambarkan keresahan seluruh koloni Umno-BN yang mana kapal mereka kini semakin berat dan akan tenggelam bila-bila masa sahaja.

Telahan Mahathir ini ada benarnya kerana melihat kepada usaha rakyat yang meneruskan fasa kebangkitan tsunami 2008 yang menyaksikan empat buah negeri BN tumbang pada PRU-12.

Malah, kemaraan rakyat tidak mampu dibendung dengan 'gula-gula' Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M), bonus kakitangan awam dan segala jenis bantuan rakyat atau program turun padang babitkan Najib dan kabinetnya.
Ramai yang melihat bahawa keresahan Umno-BN ini bukan kerana bimbang akan masa depan generasi akan datang, namun mereka resah jika kes-kes penyelewengan, skandal dan segala jenis kronisme akan dibongkar lagi selepas mereka hilang kuasa.

Lebih-lebih lagi Mahathir kini terpaksa menelan malu kerana terdedahnya isu kaitan pembekal minyak kepada MAS yang dikaitkan dengan syarikat Petron-San Miguel yang sahamnya dimiliki Mirzan Mahathir.

Mahathir juga resah dengan kebangkitan rakyat di Sabah dan Sarawak dalam beberapa bulan kebelakangan ini setelah beberapa tokoh besar seperti bekas Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dato' Seri Lajim Ukim dan Ahli Parlimen Tawau, Wilfred Bumburing yang keluar BN dan menyokong Pakatan Rakyat.

Malah terdahulu, bekas orang kuat PBB di Sarawak suatu ketika dahulu, Dato' Salleh Jaafarudin telah menyertai PAS dan menyerahkan borang kepada Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menambah keresahan Umno.

Umum mengetahui, Sabah dan Sarawak adalah simpanan tetap BN yang berjaya mengekalkan BN berkuasa terus pada pilihan raya umum yang lalu meskipun hakikatnya BN tewas di Semenanjung.

Situasi inilah yang menjadikan Mahathir semakin resah dan gelisah apakah usia tuanya nanti akan tersembam di tirai besi setelah semua kes-kes yang berlaku dizamannya berkuasa akan didedahkan.

Maka terkeluarkan kenyataan berbaur ugutan dan cubaan menakutkan pengundi datang dari mulut seorang yang bernama Mahathir.

Bak kata Pegarah Propaganda Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Edy Noor Riduan, mungkin Mahathir terlupabahawa limakerajaan negeri telah berubah pada Mac 2008 dengan peralihan kuasa kerajaan negeri ini berlaku dengan aman, tiada kucar-kacir.

Jika ada pun kucar-kacir, ia hanya berlaku pada malam kemenangan Barisan Rakyat (Kini Pakatan Rakyat) di mana staf kerajaan negeri yang tiba-tiba bertugas pada malam tersebut bertungkus lumus melupuskan dokumen 'rahsia' ke dalam mesin 'shredder'.

Tidak cukup dengan itu, dokumen yang telah terkirai itu dibakar pula bagi menghilangkan 'bukti' dan bagi Edy Noor kejadian seumpama ini mungkin berlaku pada malam pengiraan undi PRU-13 dengan lebih panik kucar-kacirnya di Putrajaya sekiranya BN tumbang.

Bak kata Edy Noor, nyata sekali kenyataan Mahathir kononnya bahaya menukar kerajaan pusat adalah umpama ugutan dari 'ular sawa lumpuh kekenyangan' yang dihimpit usia dan tidak perlu ditakuti oleh rakyat yang kian celik membuat perhitungan.

Rakyat sudah semakin celik dan dicelikkan lagi dengan keangkuhan Umno-BN mempertahan sistem rasuah, penyelewengan dan kronisme  yang berpanjangan.

Tidak salah jika analisis bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir bahawa Umno-BN akan kalah dalam PRU-13 boleh sahaja menjadi tepat kerana bunga-bunga kejatuhan sudah mula berserakan.

Najib dan dogma lapuk ‘BN sahaja layak memerintah’

Harakahdaily, 27 Ogs 2012
KUALA LUMPUR: Sepatutnya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengajar rakyat berfikiran positif dan melihat jauh ke depan, bukan berundur ke belakang dan duduk statik tanpa perubahan.
Demikian kata Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia, Riduan Mohd Nor (gambar) sebagai respons kepada kenyataan Najib yang meminta rakyat supaya tidak membuat perubahan yang belum pasti menjamin kemakmuran dan kesejahteraan kepada rakyat.

“Saya menganggap kenyataan PM ini sebagai ucapan paling dangkal atau pendek akal dari seorang pemimpin negara terhadap rakyatnya.

“PM seperti mahu rakyat berfikiran negatif terhadap perubahan,” katanya dalam satu kenyataan.

Persoalannya, kata beliau apakah PM seorang penentu takdir rakyat dan negara ini sehingga boleh tahu bahawa Pakatan Rakyat akan memerintah kelak lebih teruk daripada BN.

“Agak dikesali  kerana meskipun tindakannya dalam bentuk dasar negara sentiasa berbeza daripada PM sebelumnya, namun pemikirannya tetap terbelenggu dengan dogma lapuk iaitu hanya ‘BN sahaja layak memerintah’,” ujarnya.

Kata Riduan lagi, kenyataan PM menunjukkan bahawa beliau seorang diktator yang sombong, angkuh serta enggan menerima keputusan rakyat.

Baginya, PM gagal memahami bahawa Malaysia adalah sebuah negara demokrasi yang memberikan hak kepada rakyat memilih parti yang mereka inginkan.

Hak demokrasi juga, ujarnya membenarkan mana-mana parti untuk memerintah jika mendapat mandat daripada rakyat.

“Kenyataannya, memang PR belum mempunyai rekod memerintah negara, tetapi rekod akan tercatat sebaik sahaja PR menang kelak,” katanya lagi.

Riduan menambah, rekod itu juga yang dicatat oleh BN sewaktu mula-mula memerintah dahulu.

Rakyat, tambah beliau boleh menilai perkhidmatan PR secara telus dan jujur dan membuat perbandingan  pula dengan BN jika memerintah kelak.

Malah, ujarnya negara akan terus maju dan membangun dengan baik apabila kedua-dua pihak, sama ada BN atau PR berlumba-lumba memberikan perkhidmatan dan dasar yang terbaik untuk rakyat.

“Sepatutnya beliau memahami bahawa BN telah diberikan peluang memerintah selama lebih dari 50 tahun negara ini.

“Rakyat telah melihat tahap kemampuan BN dan menilai apakah tawaran PR yang gagal dilaksanakan oleh BN,” katanya.

Ternyata, kata Riduan tawaran PR jauh lebih baik untuk rakyat berbanding apa yang diberikan oleh BN selama ini.

Justeru, ujarnya elok juga PM menginsafi bahawa perubahan adalah perlu kepada setiap diri, masyarakat, rakyat dan negara.

Beliau berkata, perubahan akan mematangkan rakyat dan negara ini.

Justeru, tambah beliau lagi tidak wajar beliau gerun pada perubahan yang diinginkan oleh rakyat apabila tiba pada masanya.

Jika tidak, katanya rakyat sendiri akan mengajar beliau erti perubahan yang diingini sebagaimana yang dibuat oleh rakyat di negara Timur Tengah pada hari ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan