Khamis, 12 Julai 2012

PERTIKAI ITU TAK PENTING...YANG PENTING TIADA PENIPUAN .. BERSIH SERTA BERLAKU KEADILAN YANG NYATA....

Individu hantar 'Imam Mahadi' ke JPM sudah dikesan

11 Julai 2012
Amuk di JPM
Amuk di JPM
KUALA LUMPUR - Polis telah mengenalpasti individu yang bertanggungjawab menghantar seorang lelaki dan seorang wanita di luar perkarangan Kompleks B, Jabatan Perdana Menteri (JPM), Putrajaya, Isnin lepas sebelum mereka mengamuk.
 
Ketua Polis Daerah Putrajaya, ACP Abdul Razak Abdul Majid berkata individu tersebut dikesan melalui siasatan polis sejurus selepas kejadian itu.
 
Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan identiti individu terbabit kerana dikhuatiri akan menjejaskan siasatan.
 
"Kita sekarang sedang mencari pemilik kenderaan yang menghantar pasangan itu. Kita juga turut menyiasat latar belakang lelaki dan wanita yang mengamuk itu," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
 
Pada hari berkenaan, Khalil Afandi Hamid, 47, yang mengaku dirinya "Imam Mahadi" dan pasangannya yang bersenjatakan dua bilah pedang samurai dan sebilah pisau pemotong daging mengamuk di perkarangan Kompleks B, JPM di Putrajaya.
 
Dalam kejadian 2.30 petang itu, Khalil Afandi mati ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya selepas terkena tembakan di tangan dan bahagian ari-ari manakala wanita berkenaan, bekas penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, terkena tembakan di paha kanan dan dirawat di hospital sama.  - Bernama
Fatwa: Pelaburan emas Genneva Malaysia tak sah
Wartawan Sinar Harian
11 Julai 2012
Profesor Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin
Abdul Shukor Husin
KUALA LUMPUR - Transaksi jual beli dan pelaburan emas Syarikat Genneva Malaysia Sdn Bhd didapati tidak mematuhi sepenuhnya peraturan hukum syarak dan undang-undang negara.

Ini disahkan oleh Pengerusi Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia, Prof Emeritus Tan Sri Abdul Shukor Husin dalam satu kenyataan dikeluarkan di sini hari ini.

Beliau berkata, muzakarah tiga hari majlis itu bermula Rabu lepas meneliti  laporan dan hasil siasatan Bank Negara Malaysia terhadap operasi jual beli dan pelaburan emas syarikat itu.

Katanya, operasi syarikat tersebut didapati tidak mematuhi sepenuhnya Parameter Pelaburan Emas seperti diperakukan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa

Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke 96 yang diadakan pada 13 hingga 15 Jun lepas.

Kenyataan itu menasihatkan umat Islam tidak melibatkan diri dalam aktiviti atau transaksi jual beli dan pelaburan emas oleh mana-mana pihak, sama ada syarikat di dalam negara atau luar negara yang bertentangan dengan prinsip jual beli emas seperti yang digariskan oleh syarak dan undang-undang negara.

Abdul Shukor berkata, transaksi jual beli mestilah memenuhi semua rukun jual beli yang digariskan hukum syarak, dan sesuatu transaksi dikira tidak sah sekiranya tidak memenuhi salah satu rukun jual beli.

Beliau berkata transaksi juga hendaklah bebas daripada unsur-unsur riba, perjudian, gharar yang berlebihan dan kezaliman. – Bernama
Ajaran sesat dorong jadi imam 'Mahadi' palsu

11 Julai 2012
Fathul Bari Mat Jahaya
Fathul Bari Mat Jahaya
KUALA LUMPUR - Cetek pengetahuan dalam ilmu agama; terikut-ikut dengan ajaran sesat dan terlalu ingin menjadi manusia hebat dengan kebolehan luar biasa mendorong seseorang itu menjadi imam 'Mahadi' palsu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda Malaysia Fathul Bari Mat Jahaya berkata seseorang tidak boleh sewenang-wenangnya mempercayai dirinya Imam Mahadi kerana terdapat ciri dan sifat tertentu membezakan Imam Mahadi dengan manusia biasa.

"Antara sifat Imam Mahadi digambarkan Nabi Muhammad SAW dalam hadis riwayat Abu Daud ialah beliau bangkit memimpin dan menjadi imam kepada seluruh umat manusia," katanya ketika diminta mengulas mengenai kejadian amuk seorang lelaki dikatakan mengaku imam Mahadi di Kompleks B, Jabatan Perdana Menteri (JPM) Isnin lepas.

Lelaki berusia 47 tahun itu meninggal dunia di hospital selepas terkena tembakan pada tangan dan bahagian ari-ari, yang dilepaskan polis bagi mempertahankan diri daripada serangan lelaki terbabit. Seorang wanita 28 tahun pengikut lelaki itu juga terkena tembakan dan masih dirawat di Hospital Putrajaya.

Fathul Bari berkata Imam Mahadi tidak bangkit secara mengaku "akulah Imam Mahadi yang ditunggu-tunggu" sebalik ciri-ciri dan sifatnya diketahui sendiri orang ramai menerusi kepimpinannya membawa dan mengisi keadilan kepada seluruh dunia.

Ditanya mengapa sejak akhir-akhir ini banyak individu dikultuskan sebagai imam 'Mahadi', Fathul Bari berkata tindakan itu merupakan modus operandi kelompok yang tersasar daripada akidah Islam yang sebenar.

"Pertama sekali mereka ingin diikuti dan dijadikan sebagai ikutan, mereka akan membina kultus mereka sendiri, dia akan tanam bukti-bukti dan ciri-ciri sebagai Imam Mahadi seperti yang berlaku dalam beberapa ajaran sesat.

"Bila mereka mula ke tahap melampau mereka akan mengangkat diri mereka dan mensucikan diri mereka sampai ke tahap apa yang mereka kata mesti benar dan tepat, apa yang mereka kata tak boleh dikritik dan tak boleh disanggah, sehinggakan pengikut mereka kena terima bulat-bulat," katanya.

Bekas Presiden Persatuan Ulama Malaysia (PUM) Salleh Ahmad berkata salah satu cara membendung kejadian seperti itu ialah memberi pendidikan ilmu akidah berterusan kepada umat Islam sejak kecil.

"Perkara ini berpunca dari kejahilan mereka dan ada yang cuba untuk berlagak jadi orang hebat dengan mengaku bahawa dia Imam Mahadi.

"Pihak berkuasa harus mempergiatkan gerakan dakwah bagi memastikan perkara ini tidak berulang," katanya. - Bernama
SPR: Jangan pertikai dakwat kekal
NURUL AINI MOHAMED ALI
11 Julai 2012
Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof
PUTRAJAYA - Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, penggunaan dakwat kekal dalam urusan pengundian Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) tidak wajar dipertikaikan oleh mana-mana pihak.

Menurutnya, sebelum ini ramai yang mempertikaikan kewibawaan SPR apabila menggunakan "finger print" dan kini sistem pengundian ditukar dengan penggunaan dakwat kekal.

"Dakwat kekal ini halal digunakan dan boleh dibawa (kekal pada jari ketika) solat bagi para pengundi yang beragama Islam.

"Jadi tiada sebab bagi mana-mana pihak  mempertikaikan penggunaan dakwat kekal yang digunakan dalam PRU akan datang," tegas beliau ketika Sesi Khas SPR Bersama Media-Demonstrasi Susun Atur Tempat Mengundi di sini, hari ini.
MB Terengganu tolak debat, dakwa tidak beri kebaikan
NURUL HUDA HUSAIN
12 Julai 2012
Datuk Seri Ahmad Said
Datuk Seri Ahmad Said
KUALA TERENGGANU – Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said menyifatkan cadangan untuk menganjurkan debat terbuka antara Kerajaan Negeri dengan pembangkang tidak membawa sebarang kebaikan.
Beliau berpendapat program tersebut tidak perlu, apatah lagi apabila usul berkenaan datangnya daripada pihak yang secara jelas menyebelahi parti pembangkang.
“Saya tidak nampak debat membawa kebaikan, kita bukan budak sekolah yang berdebat untuk melihat siapa yang menang, malah jelas dalam beberapa debat yang dianjurkan sebelum ini tidak menemui sebarang keputusan dan kesudahan yang baik.
“Justeru, saya melihat cadangan dan kesediaan pihak tertentu untuk menjadi orang tengah bagi menganjurkan debat antara Kerajaan Negeri dan pembangkang hanyalah bertujuan menterjemahkan kebaikan mereka (pembangkang) semata-mata,” katanya kepada pemberita sebaik selesai mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Wisma Darul Iman di sini, semalam.
Menurut Ahmad, beliau tidak sesekali akan terperangkap dengan mainan politik pembangkang yang sememangnya diketahui umum sekadar untuk menjaja idea semata-mata dan menjadikan debat sebagai landasan.
“Mereka ini (pembangkang) kalau hendak timbul sentimen (melalui debat) bolehlah.. tetapi saya yakin dan percaya rakyat hari ini mampu menilai sendiri apabila berbahas dalam dewan isu yang dibawa mereka iaitu kemiskinan, sedangkan perkara itu telah berjaya diatasi di bawah kepimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN),” katanya.
Sinar Harian 9 Julai lalu melaporkan Angkatan Amanah Merdeka (Amanah) Terengganu mencadangkan agar satu debat terbuka diadakan antara Kerajaan Negeri dengan pembangkang bagi menjawab pelbagai isu.
Menawarkan Amanah sebagai orang tengah, Pengerusinya Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah berkata, debat atau dialog tersebut wajar diadakan sebagai ruang kerajaan dan pihak pembangkang memberi penjelasan kepada rakyat.
Syed Husin: Wan Azizah wajar tanding PRU13
Jamilah Hamzah
11 Julai 2012
Syed Husin: Wan Azizah wajar tanding PRU13
Syed Husin
KUALA LUMPUR - Bekas Timbalan Presiden PKR, Senator Dr Syed Hussin Ali berkata, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail wajar bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Menurutnya, Presiden PKR itu ada kelayakan dan memenuhi kriteria sebagai seorang calon untuk bertanding.

"Beliau ada kelayakan, kebolehan dan pengalaman, mengapa tidak kita gunakannya.

"Namun keputusan tersebut bergantung kepada parti sama ada ingin meletakkan Wan Azizah sebagai calon untuk bertanding nanti," katanya pada sidang media di ruang legar bangunan Parlimen, hari ini.

Dalam satu kenyataan semalam, Dr Wan Azizah berkata, beliau kemungkinan akan bertanding kerusi Dun pada PRU13.

Bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata, beliau masih lagi boleh bertanding kerusi Dun walaupun tidak dibenarkan bertanding di peringkat Parlimen kerana meletak jawatan untuk memberi laluan kepada suaminya Anwar bertanding pada Ogos 2008.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan