Jumaat, 13 Julai 2012

ALLAH LAH YANG GERAKKAN HATI2 MEREKA AGAR MENYERTAI GERAKAN ISLAM...BEGITU JUGA BAGI NON MUSLIM MENYOKONGNYA....KEKUATAN SERTA KEKUASAAN ALLAH TAK TERBATAS...

Noh Omar beli tanah murah, buat projek udang?

Selangorku.com, 13 Jul 2012

SHAH ALAM: Dewan Negeri Selangor (DNS) semalam digemparkan tentang skandal pembelian tanah oleh Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar di Bagan Tengkorak, Tanjong Karang pada 1995.

Lebih lagi, Noh, yang sekarang Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, telah memulakan projek ternakan udang pada tahan 30 ekar itu bersama sebuah syarikat Pristine Agrofood Sdn Bhd.

Penglibatan Noh di dalam syarikat itu, kata Ng Suee Lim (DAP-Sekinchan) yang mendedahkan skandal tersebut, menimbulkan persoalan percanggahan kepentingan kerana Noh merupakan menteri yang bertanggungjawab mengelola industri itu.

Noh membeli tanah 30 ekar itu dengan hanya membayar RM100,000 berbanding harga asal kira-kira RM3 juta pada ketika itu, kata Suee Lim.

Katanya, tanah itu yang asalnya berstatus komersil kemudiannya ditukar kepada tanah pertanian demi menjayakan projek ternakan udang itu pada 2011.

(Kolam ternakan udang di atas tanah milik Noh Omar)

“Rakyat susah untuk mendapat tanah tetapi seorang pemimpin kanan diberi tanah dengan mudah pada ketika itu. Saya telah melawat kawasan itu dan mendapati statusnya adalah untuk ternakan udang,” katanya semasa sesi perbahasan di hari terakhir persidangan DNS.

Suee Lim dalam pada itu turut mendedahkan surat akuan sumpah yang membuktikan usahasama Noh bersama pengarah Pristine Agrofood Sdn Bhd, Chu Bak Teck.

Mengikut dokumen yang didedahkan Suee Lim, Noh mendapat tanah itu pada 13 Jun 1995.

Hasil carian di laman web Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) menunjukkan Noh memenangi kerusi Ahli Parlimen Tanjong Karang buat kali pertama pada April 1995.

“Kes ini saya anggap sebagai skandal tanah dan bukti wujudnya percanggahan kepentingan kerana beliau ketika ini ialah seorang menteri yang memegang portfolio pertanian dan industri asas tani yang secara terang terlibat secara langsung dalam industri itu.

“Di manakah maruah Umno-BN yang kononnya memperjuangkan hak rakyat tetapi parti terlibat dalam kes sapu tanah rakyat?” soalnya.


Beli tanah kerajaan

Sementara itu, DNS meluluskan Rang Undang-undang yang dicadangkan Suee Lim supaya tidak membenarkan wakil rakyat, ahli majlis dan pihak berkuasa tempatan membuat sebarang permohonan untuk memiliki tanah kerajaan negeri.

Usaha TV Selangor menghubungi Noh bagi mendapatkan respon beliau bagaimanapun gagal.

Panggilan dan mesej pesanan ringkas yang dihantar kepada nombor telefon beliau tidak dibalas.

Padang Kota akan ada surau tidak lama lagi

Mohd Sabri Said, 13 Jul 2012
GEORGETOWN: Hasil cadangan Ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dari PAS akhirnya Kerajaan Negeri Pulau Pinang meluluskan peruntukan RM200,000 untuk membina sebuah surau berhadapan Pusat Peranginan Padang Kota Lama.

Ahli Majlis MPPP, Mohd Yusuf Mohd Noor memberitahu, pembinaan surau tersebut meleraikan kegelisahan Umat Islam untuk menunaikan solat takkala berada di tepian pantai menghirup udara nyaman bersama keluarga.
(Yusof menunjukkan tapak surau yang akan dibina)


Baginya, ia satu kejayaan apabila suara PAS didengari walaupun PAS hanya mempunyai dua orang wakil dalam MPPP.

"Umat Islam patut bersyukur ke hadrat Ilahi kerana adanya dua orang wakil PAS dalam MPPP pembinaan surau di Padang Kota Lama menjadi kenyataan.  Nak biarkan Umno bersuara sampai bila pun tidak berani, " jelasnya ketika bersama Harakahdaily meninjau lokasi surau berkenaan.

Pembinaan surau itu tambahnya, tetap mengutamakan warisan asal dengan mengekalkan tiang dan bumbung sedia ada di tempat letak kenderaan memandangkan kawasan Georgetown telah diiftiraf 'Tapak Warisan Dunia' oleh Unesco.

Di sana nanti akan dibina dua bilik sembahyang lelaki dan perempuan, tempat wuduk serta tandas.

Sejak 50 tahun lalu katanya, Umno samada melalui Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) atau pun Ahli Majlis MPPP langsung tidak berminat untuk menyuarakan betapa pentingnya sebuah surau di lokasi tersebut.

Mereka sambungnya, hanya mementingkan hiburan dan pembinaan infrastruktur di keliling Padang Kota seperti lampu hiasan, laluan pejalan kaki dan medan selera walhal perkara wajib untuk Umat Islam tidak difikirkan langsung.

"Inilah yang dikatakan Umno mereka tidak berfikir untuk kebaikan umat Islam keseluruhanya melainkan perkara menuju keseronokan semata-mata.

"Mana dia pemimpin Umno dan Ahli Majlis yang dilantik ketika era pemerintahan Barisan Nasional (BN) dulu, " tegasnya yang juga Yang Dipertua PAS Jelutong.

Sekarang ini sebut harga telah dikeluarkan oleh MPPP di mana lima kontraktor melayu telah membida untuk masuk tender.

"Kelulusan tersebut merupakan lonjakan politik PAS di kaca mata masyarakat Islam terutamanya.  Umat Islam boleh menilai yang mana untung berada di era BN atau Pakatan Rakyat, " ujar beliau.

Pada bulan Mei lalu buat pertama kalinya juga laung azan Magrib dan Insya berkumandang di padang Kota Lama  di progran santai bersama Ustaz Azhar Idrus, Bob Lokman, Sham Kamekaze dan Ali XPDC sempena Karnival Kepenggunaan Pulau Pinang.

Rintihan Oren anak peneroka

Gaya Peneroka, 13 Jul 2012
Suatu dinihari pada tahun 1977, aku dikejutkan ibu. Dipimpin dan dimandikan di bawah pokok kabung, di celah rimbunan rumbia. Di sebuah kampong bernama Temelong, dalam daerah kecil Lenggong. Dalam negeri Perak yang belum berdarul ketika itu.


Semua orang sibuk dinihari itu. Sebuah lori, dua buah kereta sedang dimuatkan bebarang. Lantas kami sekeluarga bergerak meninggalkan Temelong. Atok dah opah melinangkan air di mata. Seusia 5 tahun aku tidak mengerti erti tangisan itu. Ah pedulikan, dah tua2pun nak nangis lagi, bentak hatiku.


Kereta ku naiki membelah kedinginan subuh. Good by Perak. Tanjung Malim menggamit. Kuala Kubu mengalu. Bukit Freser didaki. Menerobos hutan Pahang. Singgah di Masjid Ketari (yang kini aku berkuliah di dalamnya).


Jalan berliku menuju ke daerah Maran. Mencari di mana terlantarnya dada Sena Jengka 16. Di kiri dan kanan jalan tiada yang lain selain hutan belantara dan tapak-tapak semaian sawit dan getah. Hampir senja, kami tiba di Felda Sena Jengka 16.


“Abah kata kita nak ke ‘Kolumpo’. Bila nak sampai,” tanyaku. Abah menjawab, “Ni kolumpo la ni.” Abah memang suka bergurau dengan anak-anak. Aku bongsu tika itu. Abang dua tahun atas daripadaku. Kakak dua tahun atas daripada abang.


Rumah Felda tersergam di hadapan mata. Sekelilingnya penuh semak dan samun. Celahan lantai dimasuki pokok tutup bumi. Paip air tiada. Elektrik tiangpun tak nampak. Telefon jauh panggang dari bara. Di situ aku dibesarkan. Bermula dengan elaun (pinjaman) sara hidup sekitar RM60. Abah cuba berniaga kecil-kecilan. Namun semua orang tiada berpendapatan tika itu, menyebabkan perniagaan abah tak ke mana.


Abah mengayuh basikal lebih 30km ke Sg Tekam mencari pokok getah untuk ditoreh buat menyara 5 perut. Beberapa lama mengambil upah menorah, tiba-tiba tuan kebun menuduh abah mencuri getahnya. Abah berhenti. Merayap pula ke kilang rotan di Bandar Jengka (dulu Bandar Pusat Jengka, kini dinamakan pula dengan nama bapa Najib, Bandar Tun Razak Jengka). Entah berapa upahnya aku tak pasti. Tapi aku pernah mengikuti abah dan mak bekerja di situ. Dari pagi hingga senja. Suasana panas, berhabuk.


Setelah pokok getah boleh ditoreh, abah menoreh pokok sendiri. Pendapatan tak seberapa. Tolak hutang kantin Felda (kemudian dipanggil kedai PNF dan kemudian dinamakan D-Mart). Tolak hutang ladang, hutang tanah tapak rumah, kos baja, kos jalan ladang (walaupun tak ada sebatang jalanpun masuk ke ladang abah), kos macam-macam. Yang tinggal hanya beberapa ringgit.

Orang sawit lagi teruk. Sawit dihantar sampai selori dua lori. Duit yang dapat hanya seringgit dua ringgit. Selebihnya semua masuk kantong Felda, dengan pelbagai nama hutang yang diadakan. Ada peneroka yang terpaksa beli beras di kantin Felda dan menjualnya di pasaran gelap dengan harga lebih rendah semata-mata untuk mendapatkan tunai buat membayar yuran anak.


Ada yang ‘menonjol’ atau ‘mengombet’ getah mereka untuk dijual di luar. Tengah malam, mereka membawa guni getah menerusi ‘jalan tikus’ untuk dijual kepada pembeli getah swasta. Tujuannya tidak lain, untuk mendapatkan wang tunai buat belanja dapur. Seringkali juga mereka terpaksa berhambat dengan Felsco (polis bantuan Felda) dan tidak sedikit juga yang jatuh longkang, getah berterabur di atas jalan.


Felda memaksa peneroka menjual hasil ladang kepadanya bagi membolehkan ia membuat seribu satu jenis potongan. Sejenis aqad yang fasid. Dengan bahasa beradabnya, “Tanah itu bapak aku punya. Bukan Felda punya. Ikut aku la aku nak jual kepada siapa.”


Walhasilnya, Felda jadi kaya. Felda boleh beli dan bina bangunan besar-besar. Boleh bayar gaji dan elaun ribu-ribu kepada pegawai tingginya. Felda boleh belanjakan 370 ribu ringgit untuk jamuan hari raya bossnya. Felda tubuh 47 anak syarikat. Dalam negara ada, di luar negarapun banyak. Bahkan Felda ada restoren di hadapan Masjidil Haram. Jun lalu, aku minum teh O ais di sana. RM4 segelas.


Ketika aku bertugas di Seremban, aku berkenalan dengan seorang rakan yang bekerja sebagai eksekutif Felda. Dia letak jawatan dan berniaga sendiri. Aku Tanya, kenapa berhenti? Dia jawab, “Aku tak sampai hati makan duit Felda. Peneroka berhempas pulas mengusahakan ladang dan hasilnya diberi kepada Felda. Tiba-tiba kami yang duduk kat atas, sewenang-wenangnya guna duit itu dengan mewah. Adakalanya kami para eksekutif hendak bermesyuarat satu jam, pihak pengurusan buat keputusan mesyuarat akan diadakan di sebuah hotel 5 bintang di Johor Bharu. Masing-masing bawa anak bini pi joli 2 minggu di sana. Semua kos selama 2 minggu itu Felda tanggung sedangkan mesyuarat hanya satu jam sahaja.”

Penghujung tahun 80an, Felda menghentikan pembukaan tanah rancangan Felda yang baru. Tanah-tanah yang diperuntukkan kerajaan-kerajaan negeri menerusi Akta GSA itu tidak lagi dibuka kepada para peneroka baru. Felda ingin tanah itu menghasilkan RM yang hanya akan mengalir kepada Felda sahaja, tidak kepada yang lain. Maka tanah-tanah itu dijadikan ladang Felda. Pekerja diimport dari Indonesia. Digajikan. Cukup tempoh mereka dihantar pulang. Dan hasil ladang itu masuk ke kantong Felda kesemuanya. Itulah dia Felda Plantation.


Bukan sedikit jumlahnya. 367,710 hektar. Jika diagihkan kepada anak-anak peneroka satu hektar seorang, 0.368 juta anak-anak peneroka yang merempat di tanah rancangan sekarang ini akan dapat tanah dan mampu membina kehidupan sendiri. Tidak perlu lagi menumpang di rumah orang tua yang sudah uzur.


Kini apabila Isa mengambil alih ‘tampuk pemerintahan’ Felda, semua harta Felda ini disatukan di bawah kangkangnya. Lembaga pengarah anak-anak syarikat ini dibubarkan. Isa melantik dirinya sendiri menjadi taukeh bagi tiap syarikat. Dilantik beberapa orang pengurus dan kerani dari kalangan suku sakatnya untuk menguruskan syarikat itu. Bahkan koperasi milik para peneroka yang dikenali sebagai KPF, turut dijajah Isa. Pengerusi KPF, Datuk Dzul disingkir. Datuk Dzul bukan orang luar. Dia Pengarah Besar Felda. Isa kemudian melantik dirinya sendiri sebagai pengerusi KPF. Isa bukan peneroka Felda. Dia bukan kakitangan Felda. Dia tak layak jadi ahli koperasi Felda. Tetapi Isa rakus. Dia melantik dirinya sendiri jadi ketua koperasi ini.


Ditubuhnya FGVH (Felda Global Venture Holding). Dijemput orang yang telah merugikan ratusan juta RM beberapa syarikat gergasi sebelum ini untuk mengemudi FGVH. Semua anak syarikat Felda duduk bawah FGVH. Ladang-ladang juga di bawah FGVH.


Lalu FGVH itu diletak di atas meja lelongan di Bursa Malaysia. “Lelong lelong! Sapa mau beli. Sapa mau beli. Mai mai. Satu unit empat ringgit lima kupang lima duit.”


Kenapa nak jual? Kata mereka, untuk meningkatkan taraf hidup warga Felda. Ya kah? Betul ke? Siapa yang akan kaya memperdagangkan titik peluh peneroka ini? Penerokakah? Atau pak-pak menteri?


Modalnya dari titik peluh peneroka.
Pemegang sahamnya siapa?
Isa Samad dapat 180,000 unit.
Ahmad Sabri dapat 180,000 unit.
Dato’-dato’ dan tan sri para pemimpin umno dapat puluhan ribu unit.
Peneroka dapat berapa? Hanya 800 unit. Itupun dipaksakan berhutang dengan bank yang cagarannya adalah tanah peneroka itu sendiri.


Letih, lelah, penat abah dan peneroka-peneroka Felda, yang dapat hasil ialah Dato’ Tan Sri yang tak ada kena mengena dengan Felda. Yang bakal memiliki segala aset ini ialah kapitalis-kapitalis yang rakus dari kalangan Yahudi, Nasara, komunis dan lain-lain yang mempunyai wang.


Adapun peneroka seperti abah…. Hanya memandang dan melihat. Menghitung hari tua. Memetik biji tasbih. Menunggu Malakul Maut sambil memerhati hasil titik peluh mereka diratah oleh Isa Samad dan konco-konconya….


Dan hari ini aku terbaca satu entry FB dari sahabatku saudara Mazlan Aliman:


“Terdapat 112,635 peneroka Felda seluruh negara,
Ada 23,000 kakitangan Kumpulan Felda
Ada 45,000 pekerja Ladang Felda Plantation,
Terdapat 537,738 hektar tanah kebun peneroka,
Terdapat 367,710 hektar tanah Felda Plantation. . .


Ada 317 Tanah Rancangan Felda seluruh negara,
Ada 150 Ladang Felda Plantation,
Ada 47 Anak2 Sykt Felda,
97 peratus peneroka Felda adalah orang melayu,


FELDA adalah Institusi yang diwujudkan pada 1 Julai 1956
Ia sedang dipertaruhkan oleh Najib dan kuncu2nya....
Penyenaraian FGVH ke Bursa Msia membuka ruang kepada pemilikan asing
Sykt Yahudi, Bonge Limited dan Louis Dreyfus telah menjadi Rakan Strategik kpd FGVH
melabur dalam FGVH.
Yahudi dan Komunis telah menjadi sahabat akrab FGVH?


Adakah kita tergamak membiarkan Felda lingkup akibat pengkhianatan pemimpin Umno?
Adakah kita lupa nasib peneroka Felda Cahaya Baru, Sg Buaya, Labu Johnson, Sendayan dan Bukit Cherakah?
Menang sorak kampung tergadai....


Jom ke Himpunan Oren Selamatkan Felda 14 julai ini,
Tunjukkan sokongan dan dokongan melalui Himpunan terbesar warga Felda,
Jangan pentingkan diri sendiri;
Bersama kita mengiringi memo kepada Yang Di Pertuan Agong di Istana Negara
Hentikan penyenaraian FGVH di Bursa Msia,
Kembalikan hak peneroka Felda,


Gabungkan kekuatan menentang penkhianat dan petualang negara,
Najib, Ahmad Maslan dan Isa Samad adalah perompak harta rakyat,
Nyahkan mereka dlm PRU 13 ini,


Mulakan melalui,...Himpunan Oren Selamatkan Felda!” - http://gayapeneroka.blogspot.com


KM bangga kerjasama dengan TYT Pulau Pinang

Mohd Sabri Said, 13 Jul 2012
PULAU PINANG: Pulau Pinang bertuah mempunyai seorang Yang Dipertua Negeri (Gabenor) yang dapat bekerjasama merealisasikan matlamat kerajaan Pakatan Rakyat walaupun Tun Datuk Seri Utama Dr. Haji Abdul Rahman Abas berlatar belakangkan Umno, kata Ketua Menteri, Lim Guan Eng.
(Pelancaran buku TYT Pulau Pinang semalam)


Sikap profesional beliau itu membolehkan perjalanan pentadbiran Kerajaan Pakatan Rakyat lincin serta mencapai matlamat ke arah negeri yang maju dan berstrateji terhadap pembangunan melibatkan semua aspek.

"Pulau Pinang bertuah mempunyai seorang Yang Dipertua yang bertanggungjawab, prihatin dan lebih penting ialah dapat bekerjasama dengan baik terhadap dasar Kerajaan Negeri yang baru walaupun semua orang tahu beliau berlatar belakangkan politik Umno.

"Itulah yang patut dicontohi oleh Ahli Dewan Undangan Negeri dari pembangkang sebab apa yang diperbuat oleh Kerajaan Negeri sekarang bermatlamat menyelamatkan rakyat dari
terus tertindas, " ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika memberikan ucapan sempena pelancaran buku sejarah hidup TYT serta meraikan sambutan hari lahirnya di Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Pulau Pinang, Seberang Jaya semalam.

Bagi Lim, sikap profesional yang ditunjukan oleh beliau amat membanggakan Kerajaan Negeri kerana sepanjang perkhidmatan bersama Pakatan Rakyat beliau tetap memberikan komintmen dan padangan yang bernas demi rakyat tercinta.

Kerajaan Negeri sendiri tambahnya, begitu senonim dengan Tun maka bila sampai tempoh berakhir perkhidmatan sebagai Yang Dipertua, Kerajaan Negeri terus menamakan beliau untuk menyambung perkhidmatan sehinggalah sekarang.

Kematangan beliau berfikir jelasnya, dapat membantu Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat mengurangkan kontroversi tidak sepertimana yang selalu dibuat oleh individu dari kalangan parti lawan.

"Kita begitu senang dengan perkhidmatanya maka tidak hairan namanya terus diangkat sebagai Yang Dipertua Negeri beberapa
tahun.

"Beliau juga berupaya menasihati Kerajaan Pakatan Rakyat ketika ucapan dipersidangan Dewan Undangan Negeri agar mendekati rakyat dengan program kebajikan.  Saranan itu kita ambil perhatian, " terangnya lagi.

Buku setebal 152 mukasurat itu diterbitkan oleh Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Pulau Pinang (PPAPP) sebagai penghargaan jasa dan pengorbanannya yang tidak terhingga sebagai Gabenor.

Pengisahan buku tersebut mencangkupi dunia kanak-kanak yang sering ke sawah menangkap ikan bersama rakan-rakan, zaman persekolahan, zaman remaja, menceburi bidang politik, bidang penulisan, kegemaran dan sehinggalah dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang.

Hadir sama dalam majlis berkenaan ialah Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah PPAPP, Datuk Saleh Man, Speaker Dun, Datuk Abdul Halim Husein, Pengarah PPANPP, Puan Shukriah Yon, Pegawai Kewangan Kerajaan Negeri, Datuk Mokhtar Jait, Ahli Parlimen Bukit Bendera, Liew Ching Tong dan ramai lagi pegawai kerajaan.

Bawa pembunuh Beng Hock ke pengadilan - MB Selangor

Harakahdaily, 13 Jul 2012
SHAH ALAM: Kerajaan Malaysia bertanggungjawab untuk membawa orang-orang yang bersalah dalam kes Teoh beng Hock kemuka pengadilan, kata Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Bagi beliau, Beng Hock adalah seorang anak muda yang telah bekerja keras bagi memastikan acara reformasi kerajaan Pakatan Rakyat supaya ia dijalankan dengan berjayanya.

Malahan, katanya, kejadian yang berlaku pada Teoh Beng Hock adalah satu kes malang bukan sahaja kepada keluarga mangsa, tetapi juga kepada negara terutamanya institusi kerajaan iaitu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Terdapat banyak insiden kematian dalam tahanan yang telah berlaku sebelum ini tetapi kes Teoh Beng  Hock telah membuka mata orang ramai terhadap professionalism SPRM, katanya.

"Kerajaan negeri tidak pernah menghalang SPRM untuk menyiasat mana-mana individu, agensi atau jabatan kerajaan negeri bagi membanteras rasuah tetapi kita menuntut SPRM supaya bersikap telus dan bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas dan menjadikan kes Teoh Beng Hock sebagai satu pengajaran," kata Khalid dalam satu kenyataannya.

Kenyataan ini juga disampaikan melalui rakaman suara MB sempena majlis pengenangan kematian Teoh Beng Hock ketiga yang berlangsung di Dewan Orang Ramai Seri Kembangan pada 12 Julai 2012.

"Pada masa yang sama, saya juga menuntut Kerajaan Malaysia bertanggungjawab dalam hal ini dengan membawa orang-orang yang bersalah kemuka pengadilan," katanya.

PAS Perak rai 6 ikon ahli baru

Muhammad Faeez Azahar, 13 Jul 2012

( Bekas Pengarah Pelajaran Datuk Adnan [berbaju hijau] berbual dengan hadirin yang hadir)

IPOH: PAS Perak melalui Lajnah Penerangannya mengambil inisiatif untuk meraikan ikon-ikon dan ahli baru PAS dari kalangan bekas pegawai tinggi kerajaan.

Hi-Tea bersama Ikon Ahli Baru PAS ini telah diadakan di Hotel Hillcity, Ipoh pada 7 Julai lalu dan telah dihadiri oleh lebih 500 hadirin.

Tetamu istimewa dalam program tersebut ialah Timbalan Presiden PAS, Haji Mohammad Sabu, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Haji Abdul Wahid Endut, Mantan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin dan pimpinan PAS Negeri.

(Leman Raja Lawak menceritakan kenapa beliau menyertai PAS)


Ramai bekas pegawai tinggi kerajaan telah menghadiri program yang julung kali diadakan ini termasuklah Bekas Pengarah Pelajaran Negeri, Datuk Adnan Ibrahim, Bekas OCPD Slim River, Haji Abdullah Omar, Bekas pegawai tinggi TLDM, Laksamana Pertama (B) Mohamad Imran Abd Hamid, bekas Ketua Jemaah Nazir Kementerian Pelajaran Malaysia, Tuan Haji Ahmad Zabidi Shamsuddin dan ramai lagi.

Pelakun yang terkenal dengan watak Lefternan Adnan, Hairie Othman bersama Leman Raja Lawak turut hadir memeriahkan majlis.

Lebih memeranjatkan lagi ialah kehadiran Bekas Setiausaha Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak , Abdullah Antong Sabri yang pernah dilanda kontroversi apabila dilihat menjadi alat Barisan Nasional untuk merampas kerajaan negeri Perak suatu ketika dahulu.

(Gelagat si kecil yang mengambil peluang bergambar dengan Bekas Pegawai Tinggi TLDM Laksamana Imran [kiri])

Abdullah Antong yang turut berucap berkata, kehadirannya ke program tersebut untuk menzahirkan sokongannya terhadap PAS dan Pakatan Rakyat.

Ujarnya, Pakatan Rakyat sangat berbeza dan jauh lebih baik daripada BN yang semakin tidak releven dan ianya telah dibuktikan di zaman pemerintahan Pakatan Rakyat walaupun hanya sempat memerintah selama 11 bulan.

Beliau katanya masih merasai roh pemerintahan Pakatan Rakyat Perak yang dipimpin oleh Dato’ Seri Nizar Jamaluddin.

Jenayah meningkat, jangan sorok fakta - Musa Hassan

Harakahdaily, 13 Jul 2012
KUALA LUMPUR: Ketika kerajaan cuba memberitahu rakyat bahawa kadar jenayah negara ini berkurang, rakyat dikejutkan dengan kenyataan bekas Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Musa Hassan (gambar) bahawa ia sedang meningkat.

Beliau mendakwa kadar jenayah di Malaysia sememangnya telah meningkat dan meminta agar pihak berkuasa tidak menyorokkan fakta sebenar kepada orang ramai.

“Rakyat perlu tahu perkara sebenar, tidak perlu sorok-sorok tentang masalah jenayah.

“Sewaktu saya memikul tanggungjawab sebagai KPN dahulu, saya sering sebut tentang peningkatan kadar jenayah,” kata Musa dalam wawancara bersama The Malaysian Insider semalam.

Bekas KPN itu turut mengakui kadar jenayah di Malaysia pada hari ini berada di tahap yang membimbangkan.

“Jika jenayah tak teruk, tak perlulah menteri-menteri dan orang kaya guna ramai ‘bodyguard’.

“Kerana banyak jenayahlah menteri-menteri dan orang-orang besar perlukan ‘bodyguard’,” kata Musa.

Musa Hassan telah berkhidmat untuk Polis Di Raja Malaysia (PDRM) selama empat dekad dan memimpin pasukan tersebut selama empat tahun semenjak tahun 2006 sebelum digantikan oleh Tan Sri Ismail Omar pada 13 September 2010.

Walaupun berlakunya kes serangan, rompakan dan penculikan, polis, Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) dan kementerian dalam negeri (KDN) mengeluarkan statistik kadar jenayah negara telah menurun semenjak kerajaan memperkenal Program Transformasi Kerajaan (GTP).

Unit Pencegahan Jenayah Pemandu dalam majlis bersama media semalam — langkah untuk mengurangkan kerisauan orang ramai, menyatakan statistik kadar jenayah menurun sebanyak 10.1 peratus pada lima bulan pertama tahun ini.

Sebelum ini, Unit Pencegahan Jenayah Pemandu telah mengeluarkan angka untuk menunjukkan penurunan indeks jenayah sebanyak 11.1 peratus dari 2010 sehingga tahun lalu manakala jenayah jalanan menurun 39.7 peratus pada tempoh sama.

Pemandu turut merayu agar media membantu mereka mengubah persepsi rakyat dan mendesak agar laporan seimbang diberikan.

Ketika ditanya mengenai kenyataan Pemandu berkenaan statistik jenayah yang menurun, Musa mencadangkan kerajaan agar melantik pihak ketiga yang lebih bebas seperti universiti untuk memberikan data seperti statistik jenayah kerana mereka lebih bebas.

“Sewaktu zaman saya dulu, saya minta Universiti Sains Malaysia untuk keluarkan statistik jenayah.

“Ini turut dilakukan oleh pasukan polis di Amerika yang sering menggunakan universiti agar data yang diperolehi tepat dan tidak menyorokkan apa-apa fakta,” kata Musa lagi.

Menurut bekas KPN itu lagi, kadar jenayah diseluruh dunia meningkat akibat daripada kemerosotan ekonomi dunia akibat dariapada kemelesetan ekonomi yang berlaku di Eropah.

“Globalisasi menyebabkan sukar untuk sesebuah negara untuk mencegah berlakunya jenayah.

“Globalisasi menyebabkan ramai orang luar masuk ke Malaysia, yang kita tak tahu latar belakang dia, ‘especially’ dari Nigeria tentang kehidupan dadah mereka.

“Ini adalah diantara punca berlakunya peningkatan jenayah dalam negara,” kata Musa lagi.

Untuk mencegah masalah jenayah yang berleluasa hari ini, bekas KPN mencadangkan agar polis membuat penambahbaikan dari segi mengubah teknik dalam memerangi jenayah sekarang ini kepada ‘intelligence procurement’ atau ‘perolehan risikan’.

“Kita perlu mendapatkan maklumat-maklumat risikan terdahulu.

“Jika maklumat risikan polis bagus dari segi perolehannya, mempunyai hubungan rapat dengan penguatkuasa luar negara, maka kita boleh mengetahui awal berkenaan latarbelakang seseorang dan boleh memantau jika mereka penjenayah.

“Sama seperti dalam negara kita, kita perlu pantau geng-geng jahat dan penjenayah-penjenayah ni,” kata bekas KPN itu lagi.


JAUHILAH TAGHUT

Firman Allah s.w.t:

وَلَقَدْ بَعَثْنَا فِي كُلِّ أُمَّةٍ رَسُولًا أَنِ اُعْبُدُوا اللَّهَ وَاجْتَنِبُوا الطَّاغُوتَ فَمِنْهُمْ مَنْ هَدَى اللَّهُ وَمِنْهُمْ مَنْ حَقَّتْ عَلَيْهِ الضَّلَالَةُ فَسِيرُوا فِي الْأَرْضِ فَانْظُرُوا كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الْمُكَذِّبِينَ


Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah taghut. Maka di antara mereka (yang menerima seruan Rasul itu), ada yang diberi hidayat petunjuk oIeh Allah dan ada pula yang berhak ditimpa kesesatan. Oleh itu mengembaralah kamu di bumi, kemudian lihatlah bagaimana buruknya kesudahan umat-umat yang mendustakan Rasul-rasulnya.
(Surah Al-Nahl 16: Ayat 36)

Tiada ulasan: