Khamis, 21 Jun 2012

SATU MEMILIH MEMPERJUANGKAN ISLAM....ADA PULA MEMPERJUANGKAN BANGSA....FIKIRLAH MANA YANG BENAR...MANA YANG LEBIH MENYELURUH PERJUANGANNYA....NAK KAEDAH AGAMA ADA....PILIHLAH DENGAN MELAKUKAN SOLAT SUNAT ISTIHARAH...MOHON PERTUNJUK DARI ALLAH SWT....

Pengundi baru Selangor akan dibersihkan

Muhammad Faizal, 21 Jun 2012
SHAH ALAM: PAS Selangor mensasarkan nama pengundi baru yang dimasukkan dalam senarai pemilih mereka untuk dibersihkan melalui program pendemokrasian dalam 'Kempen SelangorKU Bersih'.

Melalui tindakan ini, PAS berhasrat untuk mengenalpasti mereka dan seterusnya membersihkan senarai pemilih di Selangor menjelang pilihan raya umum akan datang ini.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abdul Rani Osman (gambar) menjelaskan, tumpuan akan diberikan kepada golongan pengundi yang baru dibawa masuk.

"Pendemokrasian ini merupakan salah satu kempen 'Selangorku Bersih' yang mana kita memberi fokus sepenuhnya untuk membersihkan daftar pemilih.

"Bagi Dun Meru yang saya wakili misalnya, pertambahan pengundi adalah seramai lapan ribu orang jadi tumpuan kita adalah kepada golongan tersebut," jelasnya.

Pertambahan jumlah pengundi baru yang amat mendadak di Selangor untuk Suku Ketiga 2011 berjumlah  316,788 berbanding daftar pemilih induk 2008 mengejutkan pimpinan Pakatan Rakyat di Selangor.

Rekod Daftar Pemilih Terkini Suku Tahun Ketiga 2011 menunjukkan pertambahan pengundi baru di Sabak Bernam ialah 5,711, Sungai Besar 6,049 , Hulu Selangor 15,481, Tanjong Karang 4,307, Kuala Selangor 10,083, Selayang 16,189, Gombak 15,467, Ampang 9,467, Pandan 13,175, Hulu Langat 23,334, Serdang 23,748, Puchong 19,772, Kelana Jaya 13,714.

Manakala di Petaling Jaya Selatan berlaku pertambahan sebanyak 4,143, Petaling Jaya Utara 5,603, Subang 27,765, Shah Alam 15,417, Kapar 21,606, Klang 11,702, Kota Raja 22,256, Kuala Langat 17,172 dan di Sepang 14,627.

Ekoran itu, ramai pihak yang beranggapan usaha Umno untuk merampas balik negeri Selangor ini sama seperti usaha Umno merampas balik Terengganu dalam pilihan raya 2004 lalu.

Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim pula berjanji, pilihan raya peringkat negeri Selangor tidak akan diadakan selagi daftar pemilih ini tidak bersih walaupun Parlimen telah dibubarkan di peringkat pusat.

Menurut Dr Rani, gerak kerja untuk membersihakan daftar pemilih ini dilakukan oleh jentera kerajaan negeri iaitu Ketua Kampung dan juga Penghulu yang mana setiap nama yang diperolehi akan diberikan bayaran oleh kerajaan negeri.

"Kerja pendemokrasian ini dilakukan sepenuhnya oleh Ketua Kampung mahupun Penghulu dengan dibantu oleh jentera parti.

"Setiap nama yang diragui ditemui oleh mereka kerajaan negeri akan menbayar RM3 setiap nama tersebut.

"Setelah kesemua nama kita perolehi dan kumpulkan maka Ketua Kampung akan membuat laporan polis dan kalau perlu ia turut dibawa ke mahkamah," sambungnya lagi.

Dr Rani turut menyatakan pihaknya telah dapat mengesan nama-nama yang meragukan tetapi jumlah sebenar belum diperolehi.

"Kita dapat mengesan nama-nama yang meragukan tetapi buat masa kini kita belum mengetahui jumlah sebenar.

"Sehingga kesemua maklumat kita kumpul barulah jumlah itu kita maklumkan beserta dengan laporan polis," tambahnya lagi.

Sebelum itu, Kerajaan Negeri telah mengumumkan sedia bekerjasama dengan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam usaha membersihkan daftar pemilih khususnya di negeri Selangor melalui “Kempen SelangorKU Bersih”.

Kerajaan negeri telah memperuntukkan RM5 juta untuk Program Pendemokrasian di bawah Geran Selangorku ini.

Program tersebut adalah satu inisiatif khusus bagi membolehkan semua pihak tanpa mengira parti politik membuat bantahan jika terdapat mana-mana pengundi yang meragukan.

Presiden PAS ketuai Himpunan Oren 14 Julai ini

Khairil Abdul Rahim, 21 Jun 2012
KUALA LUMPUR: Himpunan Oren Selamatkan Felda pada 14 Julai ini dijangka akan disertai 20,000 orang dan akan diketuai sendiri oleh Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang akan berarak dari Masjid Wilayah Persekutuan ke Istana Negara.

Presiden Persatuan Anak Peneroka Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman berkata himpunan raksasa melibatkan warga Felda serta NGO lain itu sebagai kemuncak kepada tuntutan agar kerajaan membatalkan penyenaraian Felda Global Ventures Holding (FGVH) di Bursa Malaysia.

“Pihak kami juga sedang mempertimbangkan kemungkinan menghalang penyenaraian FGVH di Mahkamah kerana bagi Anak, apa sahaja akan dilakukan demi untuk menyelamatkan Felda dan kepentingan warganya daripada golongan pengkhianat yang berselindung di sebalik nama transformasi.

“Kami sedar ujian dan cabaran cukup hebat menanti, namun kepada Allah kami memohon pertolongan,” tegasnya.

Jelasnya lanjut, perhimpunan di luar masjid di Jalan Duta itu akan turut disertai lain-lain NGO iaitu Bersih, PPSMI, GMI dan lain-lain akan mula berarak pada jam dua petang.

Berdasarkan pengumuman Najib sebelum ini, FGVH akan mula menyenaraikan saham pada 25 Jun ini.

Mengulas perkembangan lain, Mazlan berkata kemenangan terbaru keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menggantung keahlian Tan Sri Isa Samad dalam Koperasi Permodalan Felda (KPF) sekali gus menggagalkan usaha Isa menjadi Pengerusi KPF, sangat menggembirakan Anak.

Jelasnya lagi, tindakan mahkamah selanjutnya ialah 100 orang lagi peneroka akan memfailkan pembatalan Borang Pinjaman Saham.

Mazlan berkata, ia akan diikuti saman malu ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang menghina peneroka dengan ungkapan ‘haram jadah’ berjumlah RM80 juta akan difailkan tak lama lagi.

“Pendek kata, perisythiharan 'perang' yang saya umum sebelum ini bukan olok-olok dan yang kami tentang bukan calang-calang iaitu daripada Isa Samad, Ahmad Maslan hinggalah kepada Najib sendiri,” katanya ketika ditemui di sini.

Tambah Mazlan, road show sedang bergerak merata Felda oleh penceramah-penceramah Anak bersama pimpinan Pakatan Rakyat dan NGO lain sedang rancak berceramah, berdialog selain daripada edaran risalah dan VCD telah beredar.

Beliau berkata, Anak berkeyakinan penyenaraian FGVH akan gagal dan Mesyuarat Agung KPF hari ini di Dewan Perdana Felda bukti jelas Isa Samad tersungkur.

Sementara itu media melaporkan, mesyuarat agung ke-31 koperasi itu di ibu pejabatnya di Kuala Lumpur pagi tadi tidak meneruskan pelantikan Isa sebagai anggota lembaga pengarahnya.

Keputusan tersebut diambil berikutan keahlian Isa yang dibekukan sementara oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam selepas Hakim Abang Iskandar Abang Hashim mendapati terdapat merit untuk membenarkan empat peneroka Felda mencabar keahlian Isa dalam KPF.

Tapak SAR: PAS Gopeng pertahan prinsip Islam

Salmiyah Harun, 21 Jun 2012
IPOH: PAS Gopeng mempertahankan prinsip Islam apabila menyokong sekumpulan penduduk yang mempertahankan tanah mereka daripada dirampas walaupun untuk membina sekolah agama.

Prinsip itu adalah menentang assobiyah iaitu tidak membela kezaliman yang dibuat hatta untuk kepentingan golongan sendiri.

Namun PAS kawasan itu tidak pernah membantah usaha mana-mana pihak sama ada kerajaan Umno BN ataupun Pakatan Rakyat yang mahu membina sekolah apatah lagi Sekolah Agama Rakyat (SAR).

Bagaimanapun dalam isu kononnya PAS dan PKR membantah pembinaan SAR di Taman Pegoh Aman, Ipoh di atas tapak sebuah padang awam telah disalah ertikan.

Semalam Utusan melaporkan PAS membantah pembinaan sekolah agama rakyat di Gunung Rapat.

Menurut Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Gopeng, Radzi Zainon, yang turut terlibat dalam kemelut itu, menafikan sekeras-kerasnya mereka membantah pembinaan SAR sebagaimana yang dilaporkan akhbar milik Umno itu.

Apa yang tidak dipersetujui PAS dalam hal ini, katanya tindakan pihak terbabit yang mengambil tapak padang tersebut tidak mengikut prosedur yang sah.

"Cara mereka mengambil tanah tersebut tidak ikut prosedur, (seolah-olah dirampas sahaja) dan saya hanya melahirkan simpati terhadap penduduk disitu,"katanya.

Radzi pernah didatangi penduduk terbabit sambil menceritakan kekecewaan mereka apabila memorandum bantahan pembinaan sekolah yang dihantar kepada Adun Sungai Rapat Datuk Hamidah Osman, langsung tidak diendahkan.

Pada 4 Mei 2012,  penduduk telah menghantar memorandum kepada Hamidah meminta diadakan sesi dialog bersama penduduk, malangnya ia telah tertangguh selama dua minggu.

Beliau juga difahamkan tahan lapang itu adalah milik penduduk bersama selepas mereka membayar lebih RM1000 kepada pemaju bagi mendapatkan tanah itu.

"Adun BN berkenaan tidak hirau langsung masalah penduduk terbabit, akhirnya mereka datang jumpa PAS dan Ahli Parlimen Gopeng Dr Lee Boon Chye," katanya.

Ekoran itu, PAS dan PKR telah membuat sidang media pada 29 Mei 2012  di padang Taman Pegoh Aman dan disertai oleh seramai 80 penduduk tempatan.

Bahkan, beliau juga dimaklumkan pihak Datuk Hamidah telah  mengumumkan perutukan RM100 000 untuk membina sekolah agama secara tergesa-gesa.

Tambahnya, sekolah terbabit dibina dalam keadaan tanpa perancangan awal sepertimana jawatankuasa SAR yang biasa, tanpa prosedur Majlis Bandaraya Ipoh, Jabatan Kerja Raya, dan Bomba.

"Tanpa pagar keselamatan atau papan tanda projek yang selalunya mengambil masa enam bulan hingga setahun.  Projek tersebut dibuat tanpa sesiapa tahu apakah status bangunan dan untuk apakah bangunan misteri itu dibina.

"Jika ditinjau dari segi pengalaman Jawatankuasa SAR Desa Perlancongan, jangkamasa untuk memohon tapak sahaja memakan masa hingga setahun," katanya.

Pelakon Hairie Othman pula sertai PAS

Muhammad Faeez, 21 Jun 2012


(Hairie [berjaket tiga dari kanan] bergambar bersama selepas ceramahnya semalam)

BATU GAJAH: Pelakon, seniman, sastrawan kini berbondong-bondong menyertai PAS dan yang terbaru, pelakon filem Leftenan Adnan, Hairie Othman pula akan menyertai PAS.

Menurut Hairie, beliau bersama-sama pelakon, Zulkifli Ismail akan menyerahkan borang permohonan keahlian kepada Timbalan Presiden PAS, Tuan Hj Mohammad Sabu dalam satu program di Taman Melewar, Gombak 6 julai ini.

Beliau tampil dalam siri ceramah PAS di Batu Gajah bersama Leman Raja Lawak yang baru sahaja sertai PAS, semalam.

Turut menyampaikan ceramah ialah Pengarang Berita Harakah,  Tarmizi Mat Jam, Setiausaha Pakatan Rakyat Perak, Dr Khairuddin Abdul Malik dan Bekas Setiausaha Dewan Negara, Salleh Bakar.

Dalam ucapan sulungnya di pentas PAS, Hairie berkata, faktor mendorongnya untuk menyertai PAS ialah atas kesedarannya sendiri.

"Tidak sesiapa yang mempengaruhi dan memaksa saya masuk perjuangan ini tetapi atas kesedaran saya sendiri," katanya di hadapan ratusan hadirin.

Katanya, ramai artis yang menyokong BN kerana untuk mencari 'makan' dan meneruskan karier dalam bidang hiburan.

Anak kelahiran Negeri Kedah ini sangat kesal dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapha Mohamad yang mendakwa artis yang menyertai PAS ini bukanlah untuk berdakwah sebaliknya untuk berpolitik.

"Kenapa jika artis yang tidak sealiran dengan mereka dihina dan dijadikan isu sedangkan yang menyertai Umno tidak pula dibangkitkan?

"Saya telah memberikan komen tentang kenyataan menteri itu di facebook dan ramai yang menyokong komen saya itu," jelasnya.

Hairie berkata, ramai yang memberi sokongan kepadanya selepas komen-komennya dalam laman facebook seolah-olah pro kepada pembangkang.

"Ramai yang memberi sokongan dan mengajak saya sertai PAS dan hari ini, hari bersejarah saya berucap pertama kami dipentas PAS," katanya dalam nada gembira.

Beliau mengakui tindakan ini akan memberi kesan kepada karier lakonannya namun beliau sanggup menghadapinya.

"Kalau saya fikir dunia, saya tidak akan membuat keputusan menyertai perjuangan ini namun saya sanggup menerima risiko kerana yang memberi rezeki bukannya BN tetapi Allah ," jelasnya.

Hairi menjelaskan, umat Islam perlu mengetahui serta mengakui politik dan Islam tidak boleh dipisahkan.

Oleh itu, katanya Umat Islam perlulah menyokong parti yang memperjuangan Islam iaitu PAS dan menolak parti yang memperjuangkan assobiyyah.

"Saya akan bersama-sama membantu  dalam misi menawan Putrajaya dan saya sanggup untuk turun ke seluruh negara untuk bantu berkempen dan memberi ceramah kepada rakyat," jelasnya.

Opss 2020: Mahasiswa dikerah kempen untuk BN

Hazayani Zakaria, 21 Jun 2012

(Edikoup Lakip Sediyanto [dua dari kanan] menyerahkan memo kepada Firdaus di bangunan Parlimen)

KUALA LUMPUR:  Pro-Mahasiswa Nasional (Pro-MN) mendesak siasatan dilakukan berhubung Opss 2020 dan mahu pihak yang terlibat membuat penjelasan terbuka mengenai konspirasi ini.

Opss 2020 didakwa satu konspirasi terancang oleh Umno BN yang menggunakan institusi awam termasuk  mahasiswa untuk memenangkan mereka pada pilihan raya umum ke-13.

Antara yang terlibat ialah Biro Tata Negara (BTN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bahagian Hal Ehwal Pelajar Universiti (HEP) setiap universiti dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Menurut jurucakap Pro-MN, Edikoup Lakip Sediyanto, Opps 2020 menyebabkan pilihan raya kampus ditangguhkan mengakibatkan hampir keseluruhan universiti tidak mempunyai Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).

"Opss 2020 membunuh aktivisma dan idealisma mahasiswa di kampus serta menghalang kebangkitan mahasiswa sebelum PRU ke-13 dan bertujuan menakluk kampus di Malaysia untuk menjadi pro kepada Umno BN," kata beliau pada sidang media di lobi Parlimen semalam.

Sidang media sempena penyerahan memorandum mengenai perkara itu kepada Sekretariat Benteng Negara Dari Jenayah (Benar) yang dipengerusikan Ahli Parlimen Jerai, Firdaus Jaafar.

Edikoup juga berkata, Opss 2020 dilakukan dengan sangat terancang melalui pertemuan-pertemuan sulit yang dirangka pejabat perdana menteri sendiri.

"Setiausaha politik KPT dan pegawai khas KPT dan pegawai KPT lain turut terlibat dalam mesyuarat bersama wakil kampus pada 25 Januari lepas," dakwanya sambil menunjukkan  bukti kehadiran mereka dalam minit mesyuarat tersebut.

Sehubungan itu Pro-MN menuntut penjelasan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berhubung perkara ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan