Isnin, 18 Jun 2012

RAKYAT TAHU YANG MANA INTAN YANG MANA KACA...TAHU YANG MANA BENAR2 IKUT AGAMA YANG TIDAK....NILAIAN ALLAH LAGI TEPAT...AKHIRAT NANTI KITA TAHU SAPE KENA HUMBAN DALAM NERAKA....

PAS lancar stesen TV internet, ajak rakyat pilih yang terbaik

Hazayani Zakaria, 17 Jun 2012

(Abdul Hadi melancarkan TV Impian dengan dilihat oleh semua pimpinan PAS Selangor dan Dr Hatta Ramli)

SHAH ALAM: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang hari ini melancarkan stesen TV berasaskan internet dan sekaligus mengajak semua ahlinya bersaing untuk mengajak rakyat memilih pemimpin yang betul.

Pelancaran stesen TV Impian itu dibuat beliau di majlis penutup Himpunan Hijau Menuju Putrajaya 1 peringkat negeri Selangor.

Stesen ini sebuah stesen televisyen internet yang menyediakan lima saluran alternatif untuk dinikmati rakyat Selangor dan lain-lain negeri.

Pengguna hanya perlu membeli dekoder untuk mendapatkan siaran dan tiada bayaran bulanan dikenakan.

TV ini diwujudkan bagi memberi peluang kepada rakyat Selangor untuk mendapat maklumat tepat yang tidak disiarkan media kerajaan.

Bersaing untuk pilih pemimpin yang betul

Menurut Abdul Hadi, PAS bukan parti yang bersaing untuk menonjolkan kehebatan sendiri tetapi bersaing untuk menyedarkan rakyat agar memilih pemimpin yang betul pada pilihan raya umum.

Abdul Hadi Awang berkata, Malaysia sedang menghidapi penyakit 'rakyat diperbodoh' dan menjadi tanggungjawab PAS sebagai parti Islam untuk mengubati penyakit ini.

"Zaman Firaun dahulu, mereka berjaya memperbodoh rakyat. Hanya Firaun yang boleh beri ini, boleh beri itu. Kerajaan lain tidak boleh.

"Rakyat diperbodoh merupakan bencana yang dihadapi dunia Islam," kata beliau ketika berucap pada majlis penutup Himpunan Hijau Menuju Putrajaya Fasa 1 Peringkat Negeri Selangor, di Dewan Jubli Perak, Bangunan SUK, dekat sini petang tadi.

Abdul Hadi juga berkata, PAS tetap memilih demokrasi kerana demokrasi memberi peluang kepada PAS untuk menyampaikan hidayah Allah kepada rakyat.

"PAS mempunyai moral yang tinggi dan diyakini banyak pihak.

"Umno pun puji tapi puji senyap-senyap. Kalau PAS buat salah, masuk muka depan akhbar. Kalau Umno BN buat salah, muka belakang.

"Sebab kalau PAS buat salah nampak pelik sebab pemimpin Islam. Umno kata, takkanlah pemimpin Islam nak buat salah, ini menujukkan mereka pun tahu PAS susah nak buat salah," katanya di hadapan kira-kira 2,000 jentera parti yang hadir.

Ahli Parlimen Marang itu juga mengingatkan jentera berhubung tanggungjawab menjalinkan hubungan baik dengan badan bukan kerajaan (NGO) Islam.

"PAS kena bersatu dengan NGO Islam untuk melawan BN.

"Ada NGO Islam yang berminat dengan politik, ada yang langsung tak minat. Minat atau tidak, kita harap mereka tidak menjadi alat parti politik," katanya.

Sebelum itu, Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dr Hatta Ramli membentangkan kertas kerja mengenai maklumat pilihan raya.

Gelombang Hijau empat negeri

Abd Shukur Harun shukurharun@yahoo.com, 18 Jun 2012
Bermula dengan kejayaan besar PAS melancarkan Himpunan Hijau di Stadium Darul Aman, Alor Setar 1 Jun lalu dengan mengumpulkan lebih 100,000 ahli dan penyokong,  kini himpunan itu menjadi gelombang hijau dan sudah sampai ke Johor, Perak dan Selangor.
Gelombang hijau di Batu Pahat dan Muar Johor dan di Bagan Serai Perak dua hari lalu disertai lebih sepuluh ribu orang. Bagi negeri Johor yang selama ini dianggap oleh sesetengah pihak sebagai kubu Umno, kini sudah semakin jelas kubu itu akan runtuh segera, walaupun ia dinafikan oleh pemimpin Umno. Ini berdasarkan sambutan rakyat Johor terhadap PAS semakin meningkat.

PAS Selangor pula merancang mengadakan Himpunan Hijau 2 di Stadium Kuala Selangor, kawasan parlimen Dr. Dzulkefly Ahmad dari PAS. Himpunan tersebut akan berlansung pada 15 Julai dan sasarannya ‘seramai yang boleh’ , kata Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr. Rani Othman.

Semalam (Ahad), PAS Selangor telah mengadakan Himpunan Hijau Fasa 1 peringkat negeri di Dewan Jubli Perak, Bangunan SUK, Shah Alam. Kira-kira 2,000 petugas pilihanraya PAS Selangor telah hadir. Ia berupa pembentangan kertas kerja oleh Dato’ Kamarudin Jaafar. Dr. Khairuddin At-Takiri dan Dr. Hatta Ramli.

Himpunan di Shah Alam itu dirasmikan oleh Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dan penutupnya mendengar amanat Presiden, Datuk Seri Tuan Guru Abd Hadi Awang. Di majlis itu, Muhamad Sabu melancarkan laman sosial facebook PAS Selangor, sementara Presiden melancarkan stesen TV Impian. Ia adalah sebuah stesen televisyen internet yang menyediakan lima saluran alternatif untuk dinikmati rakyat Selangor dan lain-lain negeri.
Pengguna hanya perlu membeli dekoder untuk mendapatkan siaran dan tiada bayaran bulanan dikenakan. TV ini diwujudkan bagi memberi peluang kepada rakyat Selangor untuk mendapat maklumat tepat yang tidak disiarkan oleh media kerajaan BN.

Sementara itu, dua hari lalu di Johor , ribuan rakyat pelbagai kaum telah hadir di Himpunan Hijau negeri itu di Ledang, sebuah kawasan tidak jauh dari Gunung Ledang. Rekod kehadiran memperlihatkan bahawa sokongan rakyat Johor terhadap PAS demikian menyerlah.

Program itu bermula dengan jamuan rakyat pada paginya yang turut dihadiri oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum disambung sebelah petangnya dengan majlis Hi-Tea bersama Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Kemuncak program malam itu ialah munajat dan ceramah oleh pimpinan PAS khususnya mendengar amanat Presiden yang menyaksikan lebih 5,000 hadir.
Ketua Penerangan PAS Negeri Johor, Ghazaley Ayub berkata, sasaran kehadiran ahli dan penyokong PAS Sabtu itu tercapai.

"Jadi kita anggarkan ahli dan penyokong yang hadir pada Himpunan Hijau ini bermula dari jamuan rakyat hingga ke program kemuncak adalah mencapai sasaran lebih 10,000 orang," katanya.

Presiden PAS telah menyampaikan amanat dan turut berucap Naib Presiden Salahuddin Ayub, Pesuruhjaya PAS Johor Datuk Dr. Mahfodz Mohamed. Turut hadir, Tuan Guru Abdullah Hussin dan Saudara Hassan Karim.

Sementara itu Himpunan Hijau PAS Perak di Bagan Serai pada hari yang sama juga dihadiri lebih 10,000 orang yang kebanyakanya para pesawah, menunjukkan mereka juga mendukung perjuangan PAS.

Di majlis tersebut, seorang lagi bekas pegawai tinggi kerajaan telah menyertai PAS, iaitu bekas Ketua Jemaah Nazir Kementerian Pelajaran Malaysia,  Ahmad Zabidi Shamsuddin. Beliau telah menyerahkan borang menyertai PAS kepada Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat yang hadir dan menyampaikan ucapan di majlis tersebut.

Zabidi sebelum ini pernah berkhidmat dengan kerajaan selama 33 tahun, dengan 10 tahun beliau diletakkan di Kementerian Pelajaran. Selain itu, beliau juga pernah menjadi Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu dan bertugas sebagai pengetua di beberapa buah sekolah.

Turut menyerahkan borang keahlian PAS ialah AJK Umno Bahagian Gopeng Haji Nazri Nordin.

Sebelum Zabidi, Ketua Setiausaha Kementerian Tanah dan Koperasi Prof Datuk Dr Nik Zain Nik Yusof telah pun menyertai PAS awal bulan lalu. Nik Zain telah menjawat jawatan sebagai KSU sejak 1998 hingga 2002 di kementerian tersebut.

Sebelum ini, bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Fauzi Shaari  telah menyerahkan borang keahlian PAS secara rasmi dan sebelum ini juga, PAS telah menerima keahlian bekas penyanyi terkenal, Aishah atau Wan Aishah.

Di Melaka, Himpunan Hijau ke Putrajaya peringkat negeri Melaka akan diadakan pada 24 Jun 2012 di mana Mohamad Sabu menjadi tetamu utama program tersebut. Di samping itu PAS turut mengundang pimpinan Pakatan Rakyat Negeri ke Himpunan tersebut.

Wakil daripada NGO Anti Lynas juga turut dijemput. Di samping itu Zulkifly Mohamad Omar selaku pengerusi Lujnah Alam Sekitar PAS Malaysia yang akan turut hadir.

Semua perkembangan menarik ini adalah sebahagian usaha PAS/Pakatan Rakyat menyusun gerak kerja yang menyeluruh untuk menang dalam PRU Ke-13 nanti, yang akan menghantarnya ke pusat kuasa di Putrajaya.

Negeri Johor, Perak dan Selangor menjadi negeri tumpuan perhatian pelbagai pihak, terutama penganalisis politik, justru pertarungan di tiga negeri tersebut dalam PRU akan datang sangat crucial. PAS Johor bersama rakannya dalam Pakatan Rakyat berusaha keras untuk meruntuhkan tembok kekuatan Umno/BN di negeri itu. Jika  temmbok ini berjaya diruntuhkan, ia menjadi sejarah penting tanah air, bahawa kerajaan Umno yang mendominasi negeri itu sejak lebih setengah abad akan mengakhiri zamannya.

Selangor pula sedang dicabar dengan hebatnya oleh BN untuk merampasnya kembali setelah kalah pada 2008 di tangan Pakatan Rakyat. Demikian juga Perak, di mana Pakatan Rakyat pula bertekad untuk ‘mengambil semula’ negeri itu dari Umno/BN yang merampasnya dua tahun lali. Gelombang atau Himpunan Hijau akan diadakan di negeri yang belum mengadakannya dalam waktu terdekat.

Gelombang hijau bukan sekadar air yang berombak, tetapi ia gelombang rakyat yang secara simbolis mahukan perubahan. Tidak mustahil gelombang hijau ini akan menjelma menjadi kuasa yang menakutkan Umno/BN.

Ops 2020 dan Setpol Najib

Ahmad Lutfi Othman, 17 Jun 2012
Saya pernah membongkarnya tujuh tahun lalu semasa menjadi Ketua Pengarang akhbar Siasah. Ada komplot membabitkan Pemuda Umno (dan juga sayap Puterinya) bersama Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar 17 IPTA, yang turut dihadiri para pelajar kumpulan Aspirasi pro-Umno.

Pertemuan diatur pegawai khas Kementerian Pengajian Tinggi, yang dipinjamkan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (juga seorang pengetua kolej kediaman), serta didalangi Dr Adham Baba, bekas Setiausaha Parlimen KPT. Menteri ketika itu Dr Shafie Salleh.

Tujuannya, untuk memenangi dengan mudah pilihan raya kampus (PRK) dengan mengetepikan cabaran kumpulan pelajar Islam yang dilihat bebas dan lebih dekat dengan pembangkang (kini dikenali Pro-M).

Mereka bertemu secara tetap, mulanya dalam kekerapan mingguan, di Tingkat 38,  Menara Dato' Onn, PWTC, yang menempatkan Ibu Pejabat Umno Malaysia. Bayangkan, Umno dan sekutunya dalam BN (melalui biro pendidikan masing-masing) berkomplot dengan HEP 17 IPTA seluruh negara, termasuk dari Sabah dan Sarawak, bagi memenangkan kumpulan Aspirasi dalam PRK.

Mesyuarat turut meminda dan memanipulasi peraturan PRK bagi menyukarkan percubaan seteru Aspirasi. Bayangkan, pihak berkepentingan, seperti calon yang bakal bertanding PRK, iaitu daripada kumpulan Aspirasi dapat mengatur strategi, sekali gus membentuk helah untuk mengalahkan saingannya, di Ibu Pejabat Umno, bersama sekumpulan Timbalan Naib Canselor dan pegawai HEP, yang sepatutnya bertindak bebas dan adil sebagai pengadil pertandingan.


Bukan itu saja,  dalam satu pertemuan yang dipindahkan dari Ibu Pejabat Umno di PWTC (selepas didedahkan Siasah) ke  Kolej Kediaman Pelajar Keris Mas, UKM, pada 13 September 2005, wang tunai RM10,000 diagih-agihkan kepada setiap wakil universiti untuk digunakan dalam kempen mahasiswa pro-Umno.

Selepas tujuh tahun, rupanya kisah tersebut belum berakhir. Situasi politik ketika itu memang menyebelahi Umno-BN, yang menang besar dalam pilihan raya 2004. Namun, ia tidak menghalang mereka "bermain kotor" bagi menghapus terus elemen propembangkang di kampus. Ironinya, yang tersisih akhirnya adalah Dr Shafie dan Dr Adham sendiri!

Kini, berdepan PRU13 yang mencemaskan, pimpinan Umno makin resah dan gelabah. Kampus juga tidak terlepas daripada tumpuan perancang politik di Pejabat Perdana Menteri. Kalau dulu, ia hanya berlegar di kalangan KPT tetapi sekarang membabitkan pegawai kanan Najib.

Melalui Ops 2020 (jangan silap faham maknanya; ia bermaksud mahu memastikan kumpulan Aspirasi berjaya memenangi semua PRK 20 IPTA),  Shahlan Ismail dan Irmohizam Ibrahim, masing-masing Setiausaha Politik dan Pegawai Khas Perdana Menteri, bersama "strategis" lainnya, berpusat di bilik operasi, Rumah Meranti 1, Jalan Bellamy, Kuala Lumpur, mempunyai perancangan besar.

Nama-nama lain yang terbabit sama ialah Ketua Pengarah Biro Tata Negara, Raja Arif Raja Ali; Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Razali Ibrahim; Setiausaha Politik Menteri Pengajian Tinggi, Khairi Abd Malik; SAC Mohd Sofian Md Makinuddin, Cawangan Khas PDRM bersama tiga pegawai polis Bukit Aman; Mohamed Maliki Mohamed Rapiee, Presiden Majlis Belia Malaysia; serta sekumpulan pegawai KPT, BTN dan pemimpin Pemuda-Puteri Umno.

Menerusi dokumen yang didedahkan, Ops 2020 "berperanan untuk memastikan pemilihan kampus kali ini (sesi 2012/13) tidak memberi sebarang KEBANGKITAN MORAL kepada parti pembangkang sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13". (Anda sendiri boleh tafsirkan apa definisi terbaik kepada "kebangkitan moral kepada parti pembangkang").

Justeru, PRK yang sepatutnya perlu dijalankan selepas minggu kedua Mac 2012 ditangguhkan ke tarikh yang belum dipastikan. (Ini bermakna, untuk kebanyakan kampus, sudah empat bulan Majlis Perwakilan Pelajar-- MPP -- tidak lagi berfungsi). Daleh penangguhan itu berbeda-beda di antara universiti. Apabila diajukan kepada KPT, jawapannya, tarikh PRK diserahkan kepada setiap kampus bagi menentukannya.

Sedangkan Sekretariat Kampus yang dipengerusikan Shahlan inilah yang akan menentukan tarikh paling sesuai PRK, seperti dinyatakan dalam objektif keempatnya, iaitu bagi "memastikan mahasiswa yang menyokong kerajaan memenangi semua pilihan raya kampus 20 IPTA di seluruh negara".

Dalam mesyuarat penyelarasan pemilihan MPP IPTA, pada 25 Januari 2012, di Akademi Kenegaraan, Jalan Bellamy, dicadangkan tarikh PRK dilewatkan ke bulan April "bagi memastikan segala persiapan ke arah kemenangan dirancang dengan rapi".

Setpol Menteri Pengajian Tinggi menekankan agar perlu diberikan tumpuan yang lebih kepada empat IPTA, yang dikatakan "sangat bermasalah", iaitu Universiti Malaya, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Universiti Pertanian dan UKM.

Saya tidak berhasrat untuk memperincikan kandungan minit mesyuarat yang sudah terbongkar itu. Prinsipnya tetap sama, seperti tujuh tahun lalu. Pihak Umno, seperti juga parti-parti politik lain, boleh saja melakukan proses perkaderan di kalangan mahasiswa, hatta untuk memberi sumbangan dan sokongan kepada mana-mana calon yang bertanding dalam PRK.

Masalah besar timbul apabila Umno memperalatkan kemudahan awam dan jentera kerajaan, seperti Cawangan Khas Polis, BTN, KPT dan lebih dahsyat lagi apabila membabitkan Sekretariat Hal Ehwal Pelajar, termasuk Timbalan Naib Canselornya, di semua 20 IPTA.

Bukankah HEP itu sendiri berperanan sebagai Suruhanjaya Pilihan Raya dalam PRK, yang sepatutnya bertindak bebas dan berkecuali? Begitu juga dengan Kementerian Pengajian Tinggi yang merupakan bapa atau penaung kepada semua mahasiswa, termasuk kumpulan-kumpulan pelajar yang menyertai PRK.

Lebih mengaibkan apabila Najib sendiri merestui penangguhan PRK semata-mata kerana Sekretariat Kampus yang dipengerusikan Setpolnya masih belum dapat menemui satu tarikh paling sesuai, agar  "pemilihan kampus tidak memberi sebarang KEBANGKITAN MORAL kepada parti pembangkang sebelum PRU13".

Dengan itu, saya percaya PRK hanya akan diadakan selepas PRU13. Juak-juak Najib bimbang, jika diadakan sebelum pilihan raya umum, momentum PRK itu mungkin melonjakan sokongan kepada Pakatan Rakyat.

Soalnya, apakah jika tarikh PRU13 melewati hujung tahun ini, maka mahasiswa terus dinafikan hak untuk berpersatuan selama hampir setahun? Waduh! Mengapa sanggup memperjudikan kepentingan dan kebajikan pelajar dengan alasan tidak munasabah dan terlalu sarat dengan motif politik?

Sepanjang mengikuti perkembangan politik kampus sejak tahun 80-an, saya tidak pernah menjangka pemimpin Umno-BN akan bertindak sebebal ini. Jika anak-anak muda kita di kampus pun dipolitikkan semahunya, apakah anda masih mengharapkan PRU13 ini akan berjalan secara adil, bersih dan bebas?

Sokongan terhadap Nizar, tempelak buat Umno

Mohd Rashidi Hassan, 17 Jun 2012
Bagi manusia yang waras dan boleh berfikir, tiada apa-apa kesalahan yang boleh disabitkan terhadap Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berhubung dengan twitter beliau mengenai plat nombor WWW1 yang dibida Sultan Johor dengan harga RM520,000.

Nizar tidak derhaka, Nizar tiada unsur-unsur untuk menghina Raja. Serangan terhadap Nizar sengaja digembar-gemburkan dan diambil kesempatan media talibarut Umno-Barisan Nasional, bertujuan hendak mengeruhkan hubungan PAS dengan Istana Johor.

Lagi teruk Nizar diserang, lagi ramai rakyat yang bangkit menyokong mantan Menteri Besar Perak itu.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub menegaskan, serangan terhadap Nizar dan imej buruk yang cuba dipalitkan terhadap Pakatan Rakyat, sama sekali tidak menjejaskan peluang Pakatan Rakyat di Johor.

“Saya tidak rasa sama sekali peluang PAS termasuklah Pakatan Rakyat di negeri ini terjejas kerana rakyat Johor sudah dapat untuk membuat sesuatu keputusan berdasarkan  kematangan mereka dalam berpolitik. Isu seperti ini tidak menjejaskan kita kerana rakyat boleh faham tentang isu dibangkitkan.

“Mengenai penentangan terhadap Raja-Raja Melayu, saya rasa Umno mempunyai sejarah yang begitu panjang. Mengenai kebiadapan dan keterlanjuran mereka menghina Raja-Raja Melayu. Rakyat boleh faham dan ada maklumat mengenai hal ini.

“Jadi saya rasa ia tidak akan memberikan apa-apa kesan terhadap peluang Pakatan Rakyat dalam Johor kerana kita tidak langsung menyentuh isu yang sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutusan dan undang-undang negeri sekali gus Pas menghormati prinsip raja berpelembagaan,” katanya

Tegas Salahuddin, Nizar sudah menjalankan tanggungjawabnya untuk memohon perkenan mengadap Sultan Johor bagi menjernihkan suasana.

Isu berkaitan Nizar ini sama seperti isu Bukit Kepong yang membabitkan fitnah terhadap Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu. Ia berkaitan dengan Johor juga kerana Bukit Kepong terletak dalam Parlimen Pagoh yang diwakili Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Saban hari media talibarut Umno memainkan isu Mohamad Sabu mengkhianati negara, menyokong komunis, menghina polis dan sebagainya. Habis seluruh juak-juak Umno bangkit mengecam Mohamad Sabu, sehingga berlaku kekasaran dan gangguan sewaktu beliau berceramah.

Tetapi hari ini, segala tohmahan, himpunan gerombolan bodoh penyokong-penyokong Umno yang memaki hamun dan memfitnah Mohamad Sabu, terpaksa menjilat ludah mereka sendiri, apabila saksi polis (pendakwaraya) yang sendiri mengaku bahawa tindakannya membuat laporan polis terhadap Timbalan Presiden PAS itu tidak betul sama sekali.

Fitnah terhadap Mohamad Sabu ini sama dengan Nizar. Yang jahat dan dangkal di sini adalah Umno. Mereka berselindung di sebalik kedaulatan negara, berselindung di sebalik perjuangan Melayu dan dalam kes Nizar Umno berselindung di sebalik Raja Melayu.

Umno-BN harus ingat. Kita semua, sama ada PAS, KeADILan dan DAP serta mana-mana parti politik yang pembangkang lain, adalah rakyat Malaysia. Kami warganegara Malaysia yang cintakan keamanan, keharmonian serta menyanjungi prinsip-prinsip yang terkandung di dalam Perlembagaan Malaysia.

Setiap kita warganegara Malaysia, adalah rakyat sentiasa berpegang teguh dengan lima prinsip Rukun Negara iaitu: Kepercayaan Kepercayaan kepada Tuhan; Kesetiaan Kepada Raja dan Negara; Keluhuran Perlembagaan; Kedaulatan Undang-Undang; Kesopanan dan Kesusilaan.

Rakyat juga sebulat suara untuk mendukung cita-cita Malaysia untuk; Mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakatnya; Memelihara cara hidup demokratik serta mencipta satu masyarakat yang adil di mana kemakmuran negara akan dapat dinikmati secara adil dan saksama.

Inilah keunikan Malaysia. Walaupun kita mempunyai rakyat yang mempunyai kepercayaan agama yang berbeza, dari pelbagai kalangan etnik dan latar belakang, walaupun berbeza fahaman politik, rakyat tetap mendukung satu cita-cita yang sama, iaitu mahu memelihara keharmonian dengan menghormati antara satu sama lain.

Bagi memelihara keharmonian ini, sesuai dengan prinsip Rukun Negara, Raja atau pemerintah yang harus disandarkan kepada mereka kesetiaan, mestilah melaksanakan tugas mereka secara adil dan saksama, mengikut lunas-lunas demokrasi.

Adil dan saksama bermakna berimbang. Sesiapa yang salah diperbetulkan. Sesiapa yang benar disanjungi. Dan yang paling penting sekali, semua kita adalah makhluk yang harus mentaati kehendak-Nya yang Satu, iaitu Allah SWT.

Semua kita dijadikan dari asas yang sama, iaitu dari tanah, setitis air benih, air mani dan segumpal darah. Justeru tiada apa yang membezakan kita pada pandangan-Nya, melainkan mereka yang bertakwa. Di atas prinsip takwa inilah dirangka prinsip Kepercayaan kepada Tuhan.

Walaupun kita ada Raja-Raja, kita ada undang-undang, kita ada penguasa yang menjaga keamanan, namun kepercayaan yang utama, harus kita asaskan kepada Allah, yang bagi orang-orang Melayu, mentaati Allah dengan mengamalkan sepenuhnya ajaran Islam.

Di dalam Islam, tiada siapa yang maksum melainkan Nabi Muhammad s.a.w. Tiada siapa yang tidak boleh ditegur. Cuma Islam menekankan soal pendekatan dengan hemah dan hikmah.

Dalam konteks penghormataan dan ketaatan kepada Raja misalnya. Islam menggariskan dengan jelas bahawa, kalangan ahli agama, kalangan al-mala (pemimpin) terutamanya, mestilah mentaati mereka, selama-mana mereka tidak melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan syariat.

Misalnya jika Raja tidak solat, Raja meminum arak, Raja melakukan perkara-perkara yang maksiat kepada Allah, maka haram sama sekali mereka ditaati secara mutlak. Bagaimana kita boleh mentaati makhluk yang melakukan perkara yang dilarang Allah SWT?

Maka sebaliknya bagi Raja-Raja yang adil dan soleh. Selain mendapat penghormatan dan keampunan daripada Allah, mulia disisi Malaikat-Nya, malah mendapat sanjungan yang tidak berbelah bahagi dari kalangan rakyat. Raja sebeginilah yang kita idam-idamkan memayungi kita. Iaitu payungan mereka bukan sahaja di dunia, malah sehingga ke akhirat.

Dalam konteks politik di Malaysia, kita merasakan bahawa terdapat suatu situasi yang amat buruk apabila terdapat golongan yang memperalatkan Raja untuk kepentingan politik mereka.

Golongan ini adalah Umno. Merekalah yang mengkhianati Raja, tetapi mereka mendakwa mereka mendukung Raja. Merekalah yang merosakkan sistem negara dengan rasuah dan penggadaian Tanah Rizab Melayu, tetapi mereka berjaya berselindung di sebalik Raja.

Kita, rakyat jelata berasa terlalu kerdil untuk menasihatkan Raja-Raja, maupun memperingatkan semula sejarah hitam lampau mengenai kebiadapan melampau para pemimpin Umno mencaci hina institusi Raja-Raja Melayu yang dikenali sebagai Krisis Perlembagaan 1993.

Tetapi demi Allah dan demi Agama, Raja-Raja tak perlulah begitu sensitif dengan sebarang teguran dari rakyat, melainkan teguran itu menderhakai Raja-Raja.

Menderhakai itu membawa maksud menentang Raja-Raja, menentang Raja-Raja berperlembagaan, menghina Raja-Raja dengan perkara yang tidak betul, mempersoalkan kedudukan Raja-Raja seolah-olah Raja-Raja tidak dipertahankan oleh Undang-Undang dan Perlembagaan.

Selepas Pindaan Perlembagaan yang disetujui oleh semua Raja-Raja, kecuali keatas beberapa perkara yang khusus, Raja-Raja di Malaysia hampir menyamai Raja (Takhta) di England, iaitu berbentuk "ceremonial".

Pindaan Perlembagaan itu dipaksakan keatas Raja-Raja oleh Kerajaan Umno-BN dan semasa proses pindaan itu berlangsung seluruh jentera Kerajaan Umno-BN ketika itu mengambil sikap yang sangat biadap terhadap Raja-Raja dan admin masih ingat terlibat bersama PAS mempertahankan kedudukan Raja-Raja Melayu,

Amat sedih dan pilu pada waktu itu bila membaca Utusan Malaysia dan Berita Harian yang begitu "kurang ajar" dan biadap tiada taranya terhadap Raja-Raja.

Tetapi kuasa politik berada ditangan Umno. Malangnya tiada Raja-Raja yang murka di atas tulisan-tulisan yang menghina Raja-Raja yang dipaparkan walau sehodoh manapun mereka memaki hamun dan menghina Raja.

Akhir kata, sekadar renungan buat Raja-Raja Melayu, dipaparkan gurindam Raja Ali Haji pasal yang kedua belas (gurindam XII):

Raja mufakat dengan menteri, seperti kebun berpagarkan duri.
Betul hati kepada raja, tanda jadi sebarang kerja.
Hukum adil atas rakyat, tanda raja beroleh inayat.
Kasihkan orang yang berilmu, tanda rahmat atas dirimu.
Hormat akan orang yang pandai, tanda mengenal kasa dan cindai.
Ingatkan dirinya mati, itulah asal berbuat bakti.
Akhirat itu terlalu nyata, kepada hati yang tidak buta.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan