Khamis, 19 April 2012

SAMSENGLAH...PERBUATAN KITA TETAP DAPAT BALASAN ALLAH..CUMA DAPAT BALASAN SEGARA ATAU LAMBAT AJE...TERMASUK ORANG MENYURUH ATAU MENGARAHNYA...DOA ORANG YANG DIZALIMI SANGAT MAKBUL...MENGADU SAJA PADA ALLAH SWT


Samseng serang mahasiswa di Dataran Merdeka

KeadilanDaily,19 Apr 2012
KUALA LUMPUR, 19 April: Sekumpulan antara 40 hingga 80 samseng berkelakuan biadap apabila menyerang perkhemahan mahasiswa di Dataran Merdeka, kira-kira jam 2.30 pagi, lapor KeadilanDaily.

Berpakaian serba hitam, samseng itu turut meroboh khemah, memukul mahasiwa dan orang ramai yang menyokong perkhemahan dengan menumpu sasaran terhadap mereka yang membawa kamera dan perakam video.

(Kanan: Mahasiswa dan orang ramai berkumpul menceritakan detik-detik cemas, namun semangat mereka tidak luntur.)

Kejadian itu menyebabkan seorang lelaki terpaksa dihantar menaiki ambulans ke hospital manakala beberapa orang termasuk mahasiswa, ditendang, ditampar dan ditumbuk.

“Saya sedang tidur dalam khemah sebelum terjaga apabila muka saya ditendang dari luar,” kata penuntut sarjana Universiti Putra Malaysia (UPM), Nur Ruqayyah Abdul Rahman yang berpurdah itu kepada Keadilan Daily, awal pagi ini.

Beliau yang turut kehilangan telefon bimbit akibat insiden itu berkata demikian ketika berkongsi detik cemas itu bersama mahasiswa dan orang ramai.

Kebanyakan mereka kesal kerana kumpulan samseng itu dibiar bermaharaja lela walaupun balai polis bergerak terletak hanya 10 meter dari lokasi perkhemahan.

Seorang saksi lain kesal kerana polis enggan memberi bantuan walaupun beliau merayu bantuan tetapi anggota pihak berkuasa itu memberi alasan ‘bimbang keselamatan mereka terancam’.

(Kiri: Khemah mahasiswa yang dirosakkan kumpulan samseng.)

Dalam kejadian itu, samseng turut melontar kata-kata kesat dan mencampakkan cermin mata aktivis sosial, Fahmi Reza manakala rakannya, Boon Kia Meng, seorang pensyarah institusi pengajian tinggi swasta, ditumbuk.

“Sebaik saja keluar khemah akibat kekecohan itu, saya hanya duduk tanpa membalas cercaan mereka. Sebaliknya, mereka ambil dan campak cermin mata saya. Kia Meng di sebelah pula ditumbuk,” katanya.

Kamera Nurul Haniza Mohamad, 24, pula rosak selepas ia dirampas ketika dikerumuni lima atau enam samseng.

“Mereka tarik baju dan beg saya. Ada seorang tunjal kepala saya sambil menghambur kata-kata kesat,” katanya yang berasal dari Batu Arang, Selangor.

(Kanan: Kebiadapan samseng tidak mematahkan semangat mahasiswa untuk terus berkhemah sehingga 28 April ini.)

Seorang ahli Unit Amal PAS Batu, Mohd Kassim Abdullah, 24, pula ditampar dua kali, malah disiram air oleh sekumpulan samseng berkenaan.

Sungguhpun berdepan kekasaran samseng itu, semua mahasiswa dan kumpulan penyokong tetap bersemangat, malah membuat ketetapan untuk terus kekal berada di situ.

Jangan minta simpati kerana Umno serang?

Abdul Aziz Mustafa,19 Apr 2012
KUALA LUMPUR: Adakah para pelajar anti skim Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang diserang tidak boleh meminta simpati kerana Umno yang serang mereka?

Soalan itu terus dilontar oleh Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu apabila diberitahu tentang kata-kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang menyindir para pelajar yang diganasi itu.

"Takde siapa pun suruh berkhemah di Dataran, bila berlaku apa2 perkara, jgn tagih simpati," kata menteri Umno itu dalam laman twitternya.

Beliau bagaimanapun mengucapkan tahniah kepada Khaled kerana kenyataan tidak bertanggungjawabnya itu.

"Tahniahlah, Umno! Selepas ini senanglah kita pusing negara beritahu rakyat terutama ibubapa para pelajar Melayu yang anak-anak mereka dibebani hutang PTPTN bahawa menteri Umno bukan sahaja tak simpati kepada para pelajar yang minta dihapuskan beban PTPTN itu malah menyindir mereka dengan kata-kata yang sangat sinis dan kejam.

"Tahniahlah kerana menteri itu buktikan sekali lagi kepada kita semua tentang sifat sebenar Umno," kata Mohamad.

Beliau juga yakin "orang baik tak akan cakap begitu".

Beliau juga mengecam kenyataan tidak bertanggungjawab Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang bukan sahaja tidak mengecam serangan ganas itu malah cuba menggambarkan kononnya serangan itu adalah dakwaan yang dibuat dengan tujuan untuk mencetuskan kebencian umum.

Mohamad yakin, sikap kedua-dua pemimpin Umno tersebut terhadap serangan itu akan memarakkan lagi api kemarahan rakyat terutama orang-orang Melayu sendiri terhadap parti itu.

"Mereka bukan sahaja enggan kecam serangan itu malah bersikap sinis pula, ia akan menimbulkan tanggapan dan sangkaan bahawa Umnolah yang melakukan serangan ganas itu.

"Ia dengan sendirinya akan menyebabkan rakyat terutama orang-orang Melayu semakin benci kepada Umno," kata beliau sambil menyatakan majoriti peminjam PTPTN ialah anak-anak Melayu.

Mohamad (gambar)  juga yakin para pelajar itu akan tetap meneruskan perjuangan mereka.

"Apa yang berlaku pagi tadi sama seperti yang berlaku di Dataran Tahrir di Kaherah. Di Dataran Tahrir, rakyat yang berjuang menuntut kebebasan diserang pengganas-pengganas upahan Hosni Mubarak.

"Tetapi akhirnya, perjuangan rakyatlah yang menang," kata beliau.

Jika di Mesir, pengganas-pengganas yang menyerang rakyat yang berjuang adalah upahan Mubarak, katanya, di sini rakyat semakin membuat kesimpulan siapakah yang mengupah pengganas-penggas yang menyerang para pelajar yang berkhemah di Dataran Merdeka itu.

"Kalau tak ada pihak yang mengupah mereka, pengganas-pengganas itu tak mahu ambil risiko buat kerja ganas itu," katanya.

Meskipun begitu, beliau yakin apa yang berlaku itu juga akan mengukuhkan lagi semangat para pelajar tersebut untuk mencetuskan fenomena Dataran Tahrir di Dataran Merdeka.

Mahasiswa diserang jangan tagih simpati - menteri

Harakahdaily,19 Apr 2012
KUALA LUMPUR, 19 April: Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, mahasiswa yang berkhemah di Dataran Merdeka menuntut PTPTN dimansuhkan, 'tidak perlu menagih simpati' apabila berlaku apa-apa perkara tidak diingini terhadap mereka.

Menulis dalam twitter @khalednordin, beliau berkata ia kerana tiada sesiapa pun menyuruh mahasiswa berkenaan berkhemah di situ.

"Takde siapa pun suruh berkhemah di Dataran, bila berlaku apa2 perkara, jgn tagih simpati," tulisnya.

Khaled sebelum ini turut mencabar mahasiswa tersebut yang sebelum ini berdemonstrasi menuntut kerajaan mansuhkan PTPTN itu memulangkan semula pinjaman itu jika mereka anak jantan.

Sementara itu, dalam insiden pagi ini seorang siswa dilaporkan cedera apabila kumpulan mereka yang berkhemah di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur diserang sekumpulan lelaki yang didakwa 'samseng'.

Kumpulan itu mengepung pelajar di tapak khemah tersebut dan mula mengganggu serta mengasari dan merobohkan khemah mereka kira-kira jam 2.45 pagi.

Pelajar yang mengalami kecederaan itu dilaporkan dibawa ke hospital dengan ambulans.

Kumpulan samseng itu juga didakwa mensasarkan serangan mereka pelajar yang cuba merakam insiden serangan itu.

Hari ini merupakan hari keenam mereka berkampung di Dataran Merdeka itu.

Biarpun berdepan pelbagai halangan termasuk serangan fizikal pagi tadi, mereka tetap dengan pendirian mahu berada di situ hingga hari himpunan duduk bantah Bersih 3.0 pada 28 April ini.

Mahasiswa: Kami sanggup dikasari dengan syarat...

Hazayani Zakaria,19 Apr 2012
KUALA LUMPUR: Kumpulan mahasiswa yang berkhemah di Dataran Merdeka sanggup berdepan apa sahaja risiko termasuk dikasari bagi menuntut pendidikan percuma.

Pengerusi Mahasiswa Bangkit, Mohd Syahid Mohd Zaini (gambar) berkata, serangan sekumpulan samseng terhadap mereka awal pagi tadi tidak mematahkan semangat mereka untuk terus berkhemah di situ sehingga 28 April dan sehingga tuntutan mereka didengari.

"Kami sanggup menghadapi pelbagai perkara, kami sanggup dikasari dan kami redha tapi semangat kami tak akan pudar untuk menuntut pendidik percuma.

"Kami buat semua ini bukan untuk kepentingan kami tapi demi kepentingan mahasiswa dan ibu bapa yang tidak berkemampuan. Lagipun kami yakin kami tidak membuat perkara yang bercanggah dengan undang-undang," kata beliau pada sidang media di Dataran Merdeka, hari ini.

Beliau juga memberitahu, sebanyak lima laporan polis telah dibuat pagi tadi berhubung insiden serangan itu.

Kira-kira jam 2.30 pagi tadi, sekumpulan antara 40 hingga 80 samseng berpakaian serba hitam menyerang perkhemahan mereka dan mengeluarkan kata-kata kesat.

Samseng itu turut meroboh khemah, memukul mahasiwa dan orang ramai yang menyokong perkhemahan dengan menumpu sasaran terhadap mereka yang membawa kamera dan perakam video.

Kejadian itu menyebabkan seorang lelaki terpaksa dihantar menaiki ambulans ke hospital manakala beberapa orang termasuk mahasiswi ditendang, ditampar dan ditumbuk.

Mengulas kejadian itu, Syahid berkata, mahasiswa mengecam tindakan yang disifatkan sebagai budaya samseng itu.

"Kami mengecam keras tindakan kurang ajar mereka dan berharap polis menyiasat perkara ini secara adil," katanya.

Ditanya sama ada samseng tersebut diketuai oleh individu yang sama dalam serangan di Jalan Kebun, Klang, Syahid berkata pihaknya tidak dapat mengenal pastinya kerana kebanyakan rakaman dimusnahkan oleh mereka.

"Ada orang beritahu kami, dia orang sama berdasarkan rakaman yang sempat dimuatnaik ke facebook tapi kami tak dapat cam. Mungkin boleh diteliti lagi," katanya.

Jaga keamanan tanggungjawab siapa?

Sementara itu, Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) menempelak kenyataan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang meminta mereka tidak menagih simpati apabila berlaku perkara yang tidak diingini.

"Saya nak tanya, soal menjaga keamanan dan keselamatan orang awam, siapa?

"Kenapa polis yang ada boleh berjaga di tepi-tepi jalan tapi bila berlaku serangan, mereka hanya melihat dan tidak mengambil apa-apa tindakan.

"Respons yang diberikan menteri itu sangat tidak bertanggungjawab," tegasnya.

Dalam kejadian itu, samseng turut melontar kata-kata kesat dan mencampakkan cermin mata aktivis sosial, Fahmi Reza manakala rakannya, Boon Kia Meng, seorang pensyarah institusi pengajian tinggi swasta, ditumbuk.

Pemuda PAS datang beri semangat

Dalam pada itu, beberapa orang Pemuda PAS Pusat diketuai setiausahnya, Khairul Faizi Ahmad Kamil menziarah mereka awal pagi tadi.

Beliau memberikan kata-kata semangat kepada peserta perkhemahan untuk terus bertahan sehingga tuntutan mereka didengar.

Serang siswa: 30 Unit Amal berkawal 24 jam

Harakahdaily,19 Apr 2012
KUALA LUMPUR: 30 anggota Unit Amal PAS akan dikerah berkawal pada satu-satu masa di Dataran Merdeka bagi memastikan keselamatan mahasiswa yang berkhemah di sana.

Kawalan 24 jam itu akan bermula hari ini selepas insiden serangan sekumpulan samseng pagi tadi terhadap mahasiswa yang berkampung di situ itu sehingga ada yang cedera.

Menurut Setiausaha Dewan Pemuda PAS Malaysia, Khairul Faizi Ahmad Kamil, jumlah itu bagaimanapun akan ditambah mengikut keperluan.

"Kejadian yang dikatakan berlaku sekitar jam 2.00 pagi hari ini menunjukkan tiada ketulusan di dalam kawalan keselamatan di dalam negara kita.

"Dewan Pemuda PAS Malaysia mengerahkan Unit Amal agar membentuk satu kumpulan keselamatan untuk mengawal keselamatan terhadap pelajar-pelajar tersebut terutamanya pada waktu malam," katanya dalam satu kenyataan.

Hari ini masuk hari keenam mahasiswa yang menuntut PTPTN dimansuhkan itu berkhemah di situ.

Sepanjang berada di situ juga, mereka turut menganjurkan kelas pengajian secara percuma kepada orang ramai yang dipanggil sebagai 'Universiti Dataran Merdeka'.

Dalam insiden awal pagi tadi seorang siswa dilaporkan cedera apabila kumpulan mereka yang berkhemah di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur diserang sekumpulan lelaki yang didakwa 'samseng'.

Kumpulan itu mengepung pelajar di tapak khemah tersebut dan mula mengganggu serta mengasari dan merobohkan khemah mereka kira-kira jam 2.00 pagi.

Pelajar yang mengalami kecederaan itu dilaporkan dibawa ke hospital dengan ambulan.

"Justeru di atas kejadian ini maka DPPM mulai rasa sangsi terhadap kemampuan pihak polis untuk menjamin keselamatan pelajar-pelajar ini kerana kejadian tersebut berlaku dalam jarak yang sangat dekat tetapi tiada bantuan daripada pihak yang bertugas," katanya.

Malam ini juga satu program berjalan santai untuk keamanan dan keselamatan amam akan diadakan pada jam 10 malam bermula daripada Jalan Raja Laut menuju ke Dataran Merdeka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan