Khamis, 19 April 2012

SIAPAKAH PEMBUNUHNYA...ALLAH SAJA YANG TAHU...HUKUM ALLAH AKAN SAMPAI JUA...MANUSIA TAK MAMPU LAWAN KUASA ALLAH TAALA...

Bebaskan tahanan ISA serta-merta - GMI

Anis Nazri, 18 Apr 2012
KUALA LUMPUR, 18 April: Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) mengulangi pendirian agar kerajaan membebaskan semua tahanan ISA, selaras dengan akta penganttinya Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah khas) 2012 yang diluluskan semalam.

Pengerusinya, Syed Ibrahim Syed Noh, berkata langkah membebaskan semua tahanan itu adalah yang terbaik memandangkan sebelum ini kerajaan tidak berusaha membawa semua tahanan ke muka pengadilan.

"Selama ini mereka ditahan di bawah ISA, yang tidak pernah dibicarakan. Ia satu tindakan zalim dan kerajaan wajib membebaskan mereka serta-merta," tegas beliau kepada Harakahdaily, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussien yang membayangkan kemungkinan tahanan ISA dibicarakan di mahkamah.

Hishammuddin, dalam kenyataannya semalam mengatakan beliau sendiri akan meneliti semula fail kes bagi menentukan sama ada mereka boleh dibicarakan di mahkamah secepat mungkin.

Mengulas perkara tersebut, Syed Ibrahim menegaskan biarpun akta baru diluluskan, masih terkandung di dalam Seksyen 32 (2) bahawa dengan kelulusan akta baru , ISA termansuh tetapi semua perintah tahanan atau perjalanan sebelum dari pemansuhan itu dikekalkan.

"Atas semangat keadilan dan kesaksamaan, GMI pernah menyatakan pendirian bahawa peruntukan tersebut adalah satu peruntukan yang tidak adil kepada tahanan," tegas beliau.

Bagaimanapun, beliau berharap kerajaan akan menyertakan bukti-bukti jelas lagi kukuh sekiranya menyeret tahanan ISA ke muka pengadilan.

Bukti tersebut, tambah Syed Ibrahim perlu dikemukakan secara jelas dan terperinci memandangkan sebelum ini semua tahanan ISA tidak dibicarakan kerana kerajaan tidak mempunyai bukti yang cukup lagi kukuh untuk mendakwa mereka di mahkamah.

Sementara itu, ketika ditanya kedudukan gerakan itu selepas matlamat asal memansuhkan ISA tercapai, Syed Ibrahim berkata gerakan tersebut merupakan gerakan rakyat yang memerlukan rakyat membuat keputusan mengenainya.

"GMI dianggotai pelbagai NGO di dalamnya dan ia merupakan satu gerakan rakyat.  Maka, biarlah rakyat yang memutuskan. Mungkin akan ada perubahan sedikit (dari segi namanya) kerana kita melihat akta baru ini masih tidak menjamin keadilan kepada tahanan, malah dibimbangi lebih buruk lagi dari ISA," tegas beliau lagi.

Kami tetap di sini, jawab SMM kepada Saifuddin

Harakahdaily, 18 Apr 2012
KUALA LUMPUR, 18 April: Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Safwan Anang berkata pihaknya akan tetap berkampung di Dataran Merdeka selagi kerajaan tidak mengemukakan satu kaedah yang jelas berhubung tuntutan memansuhkan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

"Kita tidak akan berganjak. Kita tetap akan bertahan di sini selagi kerajaan tidak memberi jaminan untuk menangani isu ini dan tidak mengadakan perbincangan dengan mahasiswa," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.


(Gambar: Safwan ketika bercakap kepada media ketika himpunan mansuh PTPTN Sabtu lalu)


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas gesaan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah agar menghentikan tindakan berkhemah di Dataran Merdeka yang diadakan sejak Sabtu lalu itu kerana 'tuntutan mereka sudah pun didengari'.

Safwan bagaimanapun mempersoal alasan Saifuddin itu kerana menurutnya sehingga kini mereka tidak mendengar sebarang jaminan konkrit pun dari kerajaan khususnya Perdana Menteri untuk menyelesaikan isu itu selain menyifatkan yang ada hanya sebagai 'cakap kosong'.

"Apa mekanismanya, apa respon kerajaan, kita nak tahu. Setakat kita tahu kerajaan hanya kata akan perhalusi resolusi sidang meja bulat anjuran Pemuda Umno.

"Selagi (jaminan) itu tidak ada, kami akan tetap di sini," tegasnya.

4 khemah baru

Sementara itu hari ini merupakan hari ke lima mereka berkhemah di Dataran Merdeka itu.

Sejak itu juga menyaksikan beberapa kali mereka didatangi pihak penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang mengarahkan khemah itu diruntuhkan.

Daripada hanya enam khemah semalam, empat lagi khemah baru didirikan awal pagi tadi menjadikan jumlah pada ketika ini 10 buah.

(Mohamad Sabu dan Nizar merasai khemah yang didiami mahasiswa di Dataran Merdeka semalam)

Mereka sebelum ini bertegas akan berada di situ sehingga 28 April ini bagi bersama-sama menyertai himpunan Bersih 3.0 yang juga akan berlangsung di situ.

Malam tadi, beberapa pemimpin Pakatan Rakyat turun bertemu mereka sebagai tanda sokongan.

Antaranya Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dan AJK PAS Pusat Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang juga bekas Menteri Besar Perak.

Selangor hantar 50,000 ke Bersih 3.0

Muhammad Faizal, 18 Apr 2012

(Dr Rani bersama timbalan dan setiausaha beliau dalam sidang media pagi ini)

SHAH ALAM, 18 April: PAS Selangor hari ini menyokong penuh himpunan 'Duduk Bantah' Bersih 3.0 pada 28 April nanti dan akan menghantar 50,000 peserta.

Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor, Dr Ab Rani Osman menjelaskan PAS Selangor telah menerima arahan daripada PAS Pusat agar menggerakkan 50,000 ahli dan penyokong PAS dari Negeri Selangor untuk menyertai himpunan tersebut.

"Seperti mana yang diarahkan oleh PAS Pusat, kita akan menggerakkan 50,000 ahli dan penyokong untuk sertai himpunan Bersih pada 28 April nanti.

"PAS Selangor akan menggerakkan sekurang-kurangnya 2,500 ahli dan penyokong dari setiap PAS Kawasan yang mana terdapat 22 PAS Kawasan di seluruh Negeri Selangor," jelasnya pada sidang media di Shah Alam.

Tambahnya lagi, sebagai usaha memobilisasi ahli dan penyokong, beberapa program pelancaran mobilisasi himpunan Bersih 3.0 juga akan diadakan di beberapa kawasan.

"Antara program yang akan diadakan adalah PAS Kawasan Gombak pada 18 April, PAS Kawasan Sabak Bernam 23 April dan PAS Kawasan Kuala Langat pula pada 25 April.

"Dalam pada itu PAS Pusat juga telah mengarahkan PAS Negeri Selangor untuk menyediakan petugas-petugas Unit Amal pada hari himpunan tersebut," sambungnya lagi.

Menurutnya lagi, usaha-usaha untuk memobilisasi 50,000 ahli dan penyokong PAS dari seluruh Selangor akan diketui oleh Mohd Sany Hamzan selaku Pengerusi Lajnah Penggerak Demokrasi dan Mobilisasi PAS.

Sementara itu, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad memberitahu agar ahli dan penyokong PAS hadir dengan tangan kosong tanpa apa-apa senjata kerana himpunan ini adalah aman.

"Himpunan ini dilakukan secara aman dan kepada mereka yang hadir jangan sesekali membawa apa-apa senjata.

"Rakyat yang hadir himpunan ini adalah untuk menzahirkan agar pilihanraya perlu dijalankan secara adil dan telus," katanya.

Tambah Khalid lagi, apa yang dilakukan ini bukannya untuk mengecam sesiapa pun walaupun Perlembagaan Persekutuan termasuk Institusi Di Raja.

"Apa yang kita minta ini bukannya bermaksud untuk mengecam sesiapa termasuk intitusi di raja, Pakatan Rakyat akan memelihara kesemuanya malah mendokong Perlembagaan Persekutuan.

"Yang kita tuntut pilihanraya bersih dan adil adalah ingin memastikan Umno-Barisan Nasional tidak lagi memerintah negara ini, kita tahu pilihanraya yang kotor hanyalah bertujuan untuk memastikan kemenangan mereka sahaja," sambung beliau lagi.

Kerajaan Selangor jumpa SPR

Dalam pada itu, Kerajaan Negeri Selangor akan mengadakan pertemuan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 19 April nanti bagi membincangkan perkara-perkara berkaitan dengan daftar pemilih.

Pertemuan itu akan disertai exco-exco kerajaan negeri termasuk Menteri Besar dan juga Speaker Dewan Negeri Selangor.

Zuriat Wali Songo kunjungi Nik Aziz

Salmah Mat Husain Foto: Rizal Tahir, 18 Apr 2012


(Tuan Guru Nik Aziz menatang bekas air untuk para tetamunya dari Indonesia)

PENGKALAN CHEPA, 18 April: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, menerima rombongan Pertubuhan Zuriat  Wali Songo Se Indonesia malam tadi di rumahnya Pulau Melaka.

Seramai 23 anggota rombongan yang diketuai pengetuanya, Dr Dhiyauddin mengambil kesempatan bertemu Tuan Guru sempena lawatannya selama dua hari di Kelantan.

Turut hadir pada majlis itu, Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri, Datuk Husam Musa dan Pengetua Penalti Nasab Wali Songo, Kiyai Ali Badri.

Dhiya ketika ditemui melahirkan rasa syukur kerana dapat bertemu seorang ulama yang telah lama dirindui beliau sebelum ini.

Katanya, hasrat untuk bertemu dengan Tuan Guru telah lama disimpan, bagaimanapun baru kini berkesempatan bertemu.

“Saya begitu tertarik dengan perwatakannya yang lembut, sederhana sekali kehidupannya yang begitu menyentuh perasaan saya.

“Beruntung rakyat Kelantan kerana dapat pemimpin yang wara’ sepertinya, subhanallah saya cukup terpegun,”ujarnya.

Rombongan ini juga seakan tidak percaya apabila Tuan Guru menatang sendiri juadah untuk mereka malam tadi.

Ali pula berkata, pihaknya telah menjelajah beberapa negara di nusantara ini untuk menjejaki keturunan Wali Songo.

“Alhamdulillah syukur, di Kelantan juga kami telah bertemu beberapa orang dalam pencarian kami,”ujarnya.

Sebelum ini punca masalah, kini bakal pengundi

Salmah Mat Husin foto Muhammad Hanif, 18 Apr 2012

(Tuan Guru Nik Aziz menyampaikan sumbangan kepada peserta ijtima')

KOTA BHARU, 18 April: Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, berkata negara akan menghadapi masaalah sosial yang tegang dan dalam keadaan bahaya sekiranya kerajaan BN menggunakan rakyat luar sebagai ‘pengundi hantu’ untuk menghadapi PRU-13 ini.

Katanya, tindakan itu juga akan merugikan rakyat dan masa depan negara apabila golongan berkenaan juga turut mempunyai hak terhadap negara ini melalui cara yang terancang untuk mendapat memberi kemenangan kepada pihak tertentu.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis penutup Ijtima’ Almala’ di sini semalam.

Hampir 800 peserta menghadiri majlis keraian untuk mereka itu.

Turut berucap pada majlis itu Adun Perupok, Datuk Omar Mohamed dan Pegawai Fatwa Jabatan Mufti Kelantan Ustaz Saibon.

Kata Menteri Besar Kelantan itu lagi, kerana ingin mengekalkan kuasa Umno dan BN sanggup berbuat apa sahaja walaupun ianya membahayakan negara, asalkan mereka kekal berkuasa.

“Kerajaanpun tahu masaalah sosial yang berlaku dalam negara ini sekarang sama ada bunuh, rogol, rompak dan berbagai lagi sebahagiannya dilakukan oleh rakyat negara asing.

“Sekiranya menjadikan mereka sebagai alat untuk kemenangan, padah yang akan menerima negara pada masa akan datang,”ujarnya lagi.

Tuan Guru seterusnya berkata Umno semakin hilang pegangan apabila terpaksa membuat pelbagai cara untuk mengekalkan pemerintah seperti mewujudkan pengundi hantu.

“Di Parlimen Kota Raja, bayangkan bagaimana pertambahan undi berlaku mendadak sampai 30,000 lebih. Takkan lah dalam tempoh hampir empat tahun masing-masing bersalin lepas tu boleh mengundi terus pulak,”ujarnya sambil menyindir.

Sehubungan itu beliau menyeru rakyat seluruh negara bukan hanya berhati-hati dengan permainan BN, sebaliknya memahami isu-isu semasa yang kini semakin kronik melanda negara khususnya berhubung rasuah.

PTPTN: Universiti rumah kedai dari ahli politik dungu

Dr Rosli Khan, 18 Apr 2012



Pendidikan ialah subjek yang sentiasa dekat dengan kerajaan. Dekat, dalam lingkungan dasar, belanjawan, infrastruktur, latihan, kawalan dan pengurusan.

Dalam erti kata lain, kerajaan sentiasa berperanan besar dalam bidang pendidikan; cara anak-anak kita dididik, di mana, mengapa, bila, bagaimana dan oleh siapa mereka dididik amat bergantung kepada kerajaan dan dasar pendidikannya.

Keseriusan sesebuah kerajaan, dedikasi dan keikhlasanya dapat dilihat dalam guru-guru dan pelajar-pelajar yang dihasilkan sistem pelajaran itu.

Maka, ia adalah selamat untuk dinyatakan bahawa kejayaan atau kegagalan satu-satu sistem pendidikan amat bergantung pada kerajaan yang ada hari ini.

Melihat kepada Malaysia hari ini, ia adalah amat jelas bahawa sistem pendidikan kebangsaan telah gagal dengan teruk, untuk terlalu lama dan tidak dibetulkan walaupun pelbagai aduan dibangkitkan.

Ramai ibubapa yang anak mereka di sekolah akan bersetuju dengan kenyataan berbentuk kritikan keras ini.

Ia telah gagal kerana rasuah dan sebahagiannya disebabkan oleh kombinasi pelbagai faktor lain yang menjadi komponen pendidikan.

Wabak rasuah di dalam kerajaan Malaysia adalah tidak terkecuali dalam Kementerian Pendidikan. Saban tahun, pendidikan mendapat keutamaan tinggi dalam peruntukan belanjawan.

Peruntukan untuk pembangunan seperti membina sekolah baru, menyediakan kemudahan seperti komputer dan makmal sains, bekalan komputer, buku teks, alatan pengajaran, bantuan pengajaran, latihan dan sebagainya adalah amat besar.

Namun begitu, terdapat lagi sekolah-sekolah di kawasan pedalaman yang cukup mengerikan, kedua-duanya daripada segi infrastruktur bangunan dan kemudahan.

Sistem pendidikan negara turut berada dalam keadaan menghibakan. Piawaian yang ditetapkan terlalu rendah sehingga ramai kanak-kanak masih tidak boleh membaca dan menulis walaupun beberapa tahun di sekolah rendah. Peringkat menengah juga sama.

Amalan spoon-feeding (menyuap) dan ujian berbentuk penghafalan adalah rungutan besar daripada golongan ibubapa. Sistem yang ada tidak menggalakkan kelahiran pemikir. Dan lebih menyayatkan, para guru yang ada tidak berdedikasi dan dilatih secara lemah.

Malaysia mungkin ialah satu-satunya negara membangun yang mana bidang perguruan dilihat sebagai pilihan pekerjaan terakhir oleh ramai pemuda.

Mereka terlibat dalam perguruan bukan kerana mereka ingin mengajar. Tapi kerana keputusan sekolah mereka lemah sehingga mereka tidak dapat dilatih menjadi jurutera, doktor, akauntan, peguam dan lain-lain.

Ringkasnya, mereka tidak mempunyai pilihan lain selain menjadi guru. Maka, ramai antara mereka yang memasuki kolej perguruan dalam keadaan terpaksa.

Apabila kembali ke sekolah, mereka akhirnya menjadi guru yang tidak berdedikasi dan tidak komited kepada bidang perguruan.

Berdasarkan latar belakang ini dan kombinasi kokurikulum dan cara pengajaran yang lemah, bolehkah kita mengharapkan anak-anak kita untuk cemerlang di sekolah tanahair? Inilah keadaan dan suasana pembelajaran umum yang diwujudkan oleh kerajaan hari ini.

Bukan itu sahaja, para ahli politik daripada kerajaan, setelah merompak peruntukan yang dikhaskan kepada pembangunan sekolah, juga adalah manusia yang menentukan samada bahasa Inggeris perlu apa-apa peranan sama dalam sistem pendidikan yang lemah ini.

Dasar yang flip-flop (berubah-ubah) ini sudah tentu mengurangkan motivasi semua pihak yang terlibat dalam pendidikan; ibubapa, guru dan juga pelajar.

Selain sekolah menengah, kerajaan juga sepatutnya menyediakan kolej dan universiti untuk pendidikan tinggi.

Pada amnya, Malaysia terselamat dengan lima universiti untuk jangka masa yang panjang. Namun, dengan pertambahan populasi penduduk, sepatutnya lebih banyak universiti sepatutnya diwujudkan. Ini adalah pemulaan kepada satu masalah besar yang baru, iaitu PTPTN.

Universiti rumah kedai



Pada masa di mana sepatutnya lebih banyak universiti dan sumber perlu ditambah dan dilakukan, agenda penswastaan pula tinggi.

Sebilangan ahli politik dungu atau ahli keluarga mereka mencadangkan agar pihak swasta perlu diberi peranan dalam pendidikan.

Tidak lama selepas itu, kolej dan universiti swasta tumbuh bagai cendawan di kedai-kedai bertingkat. Tapi mereka masih menggelar mereka sebagai universiti dan tempat untuk mencapai kecemerlangan.

Tapi di sebalik pembaharuan dan liberalisasi dasar pendidikan ini sebenarnya ialah dana kerajaan, yang semua pihak swasta ini menjadikannya sebagai sasaran untuk dirompak.

Sepatutnya digunakan untuk membina lebih banyak universiti awam, wang awam telah diletakkan disatu agensi, PTPTN, yang berpura-pura untuk membiayai pendidikan pelajar tetapi sebenarnya berakhir di tabung kolej dan universiti swasta melalui yuran pengajian.

Ini adalah bijak, untuk kepentigan sebilangan orang. Tapi majoriti pelajar pula berakhir dengan hutang berserta faedah. Selain hutang, sijil, diploma atau ijazah mereka pula tidak berkualiti.

Kolej dan universiti swasta wujud bukan untuk kualiti dan kecemerlangan pendidikan tinggi, lebih-lebih lagi untuk kepentingan negara.

Mereka terlibat dalam bidang pendidikan hanya untuk pendapatan dan keuntungan. Konsep pendidikan untuk dijual bermula di sini. Ini adalah gila. Lagi gila ialah kerajaan yang membiarkan keadaan ini berterusan.
Seperti yang disebut dalam akhbar beberapa hari yang lalu, manusia yang membentangkan Akta PTPTN, pada 1997, ialah perdana menteri sendiri. Cukup kebetulan!

Inilah situasi pendidikan di Malaysia hari ini. Dengan menukarkan pendidikan kepada padang politik juga bukanlah satu tindakan yang bijak.

Banyak negara yang kehilangan kerajaan akibat kegagalannya untuk mengatasi isu yang dibangkitkan generasi muda. Pendidikan adalah satu isunya.

Sudah terang lagi bersuluh, PTPTN ialah satu kesilapan besar dan hutang pelajar mesti dihapuskan. Kita mesti kembali merangka satu dasar pendidikan yang menyeluruh daripada tahap sekolah rendah ke menengah sehinggalah pendidikan tinggi.

Satu formula mesti ditemui. Satu formula yang terbaik untuk negara dan generasi kemudiannya. Dan jika tuntutan itu termasuk satu piawaiaan yang berkualiti, ia tidaklah murah juga.

Namun, dengan cara kerajaan membelanjakan wang rakyat, saya tidak sangsi bahawa kita mempunyai duit yang cukup untuk satu sistem pendidikan yang baru.
------------------------------------------------------------------
Diterjemah dari tulisan asal bertajuk PTPTN, shop-house colleges and the government’s blunder. Dr Rosli mendapat PhD dalam bidang Ekonomi Pengangkutan dari Universiti Cranfield, UK. Beliau bertugas sebagai konsultan dan pengarah syarikat sejak 25 tahun lalu dalam bidang infrastruktor asas dan polisi ekonomi.

Countdown Bersih 3.0 semarak semangat rakyat

Hazayani Zakaria foto Nasir Sudin, 18 Apr 2012


(Orang ramai yang memenuhi padang Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru malam tadi)

KUALA LUMPUR, 18 April: Kepelbagaian acara dan tetamu dalam program Ceramah Countdown 10 hari Bersih 3.0 di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru malam tadi menyemarakkan lagi semangat rakyat untuk menyertai 'Duduk Bantah' pada 28 April ini.

Bermula daripada wakil mahasiswa dan anak muda, aktivis masyarakat hingga ahli politik termasuk ahli Umno, masing-masing memfokuskan ucapan kepada menyeru rakyat untuk 'Duduk Bantah' di Dataran Merdeka.


(Mohamad Sabu dan Tan Sri Kadir Sheikh Fadzil yang turut hadir malam tadi)

Wakil mahasiswa, Adam Adli Abdul Halim berkata, mahasiswa sudah menunggu kemaraan rakyat di Dataran Merdeka, merujuk kepada sekumpulan mahasiswa yang berkhemah di sana bagi menuntut pendidikan percuma.

Aktivis Bersih 2.0, Auntie Anne memperkenalkan slogan 'Kuning, kuning, Najib Pening' sambil mengingatkan rakyat agar tidak takut untuk bersolidariti menuntut pilihan raya bersih dan adil.

(Dr Mariah bersama Untie Bersih di atas pentas)

Walaupun padang basah dan berair, kira-kira 2,000 hadirin sanggup berdiri mendengar ceramah daripada 31 jemputan sehingga ke akhir program.

Mereka kelihatan teruja dan bersemangat mendengar pesanan dan seruan para penceramah.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu memulakan ucapannya dengan nyanyian mengikut rentak lagu Merdeka nyanyian Allahyarham Sudirman, 'Tanggal 28...merdeka, merdeka, Dataran Merdeka' dan turut disambut oleh hadirin yang hadir.

Aktivis Amin Iskandar atau Black turut menyampaikan lagu khusus Bersih 3.0 "Mentari Kuning Menyalalah".

Pakatan akan siapkan 'filem Altantuya'

Abdul Aziz Mustafa, 18 Apr 2012
NIBONG TEBAL, 18 April: "Filem Altantuya" adalah filem yang tergantung tanpa kesudahan dan Pakatan Rakyat (PR) akan menyiapkannya jika dipilih dalam pilihan raya umum akan datang, kata Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

"Sekarang, ke mana-mana pun saya berceramah, saya terangkan bahawa cerita pembunuhan Altantuya Shaariibuu sama seperti seperti filem yang tidak siap kerana tidak diketahui siapa yang mengarahkan pembunuhannya.

"Apabila saya beri jaminan bahawa filem itu akan disiapkan jika PR diberi peluang memerintah dalam pilihan raya umum ke-13 ini, saya tidak sangka sambutan yang diberikan oleh rakyat sungguh di luar dugaan," katanya.

Mohamad menyifatkan apa yang berlaku itu membuktikan rakyat tidak lupa isu itu dan mereka juga ingin mengetahui siapakah yang mengarahkan pembunuhan Altantuya.

"Bila saya sebutkan filem Altantuya akan disiapkan jika PR diberi peluang memerintah, semua bangsa yang hadir dalam ceramah-ceramah saya menyambutnya dengan tepukan dan sorakan penuh semangat.

"Apa yang berlaku itu jelas menunjukkan rakyat tidak percaya Altantuya dibunuh tanpa sebab oleh dua orang polis biasa dan mesti ada pihak yang mengarahkan pembunuhan itu," katanya yang menganggap apa yang berlaku kepada Altantuya sekarang umpama filem yang tidak selesai dan tergantung.

Beliau mempersoalkan, adalah tidak masuk akal polis tiba-tiba bertindak membunuh Altantuya yang tidak mereka kenali, tidak ada rekod jenayah di negara ini dan tidak pula dilaporkan bersenjata ketika dibunuh.

"Polis biasanya bertindak membunuh apabila nyawa mereka terancam atau pihak yang menyerang mereka mempunyai senjata.

"Dalam perbicaraan di mahkamah, tidak pula dinyatakan Altantuya bersenjata atau menyerang serta mengancam nyawa dua orang polis yang membununya itu," kata Mohamad (gambar).

Lebih menghairankan rakyat, katanya, mengapa pula mayat Altantuya diletupkan dengan bom C4.

"Khabarnya, C4 adalah senjata terkawal dan tidak boleh diambil dengan mudah tanpa prosedur yang ketat. Bagaimana pula polis pengawal peribadi boleh dapat C4?" beliau mempertikaikan.

Menurut Mohamad, rakyat ingin tahu benarkah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak atau keluarganya mempunyai kaitan dengan pembunuhan itu.

"Rakyat juga nak tahu kenapa Najib langsung tidak ambil tindakan terhadap pelbagai akhbar terkemuka di seluruh dunia yang mengaitkan beliau dengan pembunuhan Altantuya," katanya.

Najib, kata beliau lagi, sepatutnya bingkas membersihkan namanya dan juga keluarganya apabila dikaitkan dengan pembunuhan kejam tersebut.

"Bila Najib tak bertindak apabila namanya dikaitkan, rakyat tertanya-tanya dan saya yakin pertanyaan itu hanya boleh dijawab dengan memilih PR sebagai kerajaan dalam pilihan raya akan datang.

"Jangan lupa, kalau mahu menonton versi yang sepenuhnya dan kalau mahu menonton versi 'original' filem Altantuya yang tidak diedit langsung, pilih PR sebagai kerajaan dalam pilihan raya akan datang," katanya.

Peguam Shafee dalam misi sulit
Dalam perkembangan berkaitan, peguam terkemuka Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah (gambar) didakwa dilantik oleh Najib dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor untuk tugasan sulit di luar negara daripada 2 hingga 25 April.

Dalam satu surat bertarikh 23 Mac, beliau dikatakan memohon kepada ketua hakim negara, presiden Mahkamah Rayuan dan hakim besar Malaya – dengan salinan kepada Najib dan Rosmah – supaya semua kesnya antara tarikh itu dikosongkan.

Sebahagian kandungan surat itu didedahkan di Dewan Rakyat oleh Datuk Saifuddin Nasution (PKR-Machang) semasa membahaskan Rang Undang-undang Kanun Keseksaan 2012 semalam.

Tugasan Shafee itu didakwa mempunyai kaitan dengan siasatan oleh kerajaan Perancis terhadap dakwaan rasuah dalam pembelian kapal selam Scorpene oleh kerajaan Malaysia, yang sekali gus dijangka menyentuh kes pembunuhan Altantuya enam tahun lalu.

Masih dalam Umno tapi sokong Bersih 3.0

Hazayani Zakaria, 18 Apr 2012
KUALA LUMPUR, 18 April: Menjelang perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April ini, dua lagi tokoh di luar Pakatan Rakyat menyatakan sokongan terhadap usaha melakukan transformasi pilihan raya.

Meskipun mengakui masih bersama-sama Umno, namun anak bekas Timbalan Perdana Menteri, Tamrin Ghafar berkata beliau sudah tidak sanggup melihat sistem pilihan raya diperkotak-katikkan Umno BN semata-mata untuk mengekalkan kuasa.

Menyentuh mengenai isu pemberian kerakyatan kepada warga asing, Tamrin yang pertama kali muncul di pentas Pakatan Rakyat berkata, beliau sangat sedih apabila kerajaan sanggup 'menjual' negara kepada warga asing.

"Hari ini saya sedih kerana melihat begitu senang negara ini dijual kepada warga asing, semata-mata untuk menang dalam pilihan raya.

"Berpuluh ribu rakyat asing diberi kad pengenalan. Bermakna kita sanggup menjual negara kita ini semata-mata nak menang.

"Saya boleh nyatakan, kerana nak menang kita sanggup jual negara," kata beliau sewaktu berucap di Ceramah Countdown 10 hari Bersih 3.0 di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru malam tadi. (Gambar oleh Mohd Nasir)

Tamrin juga menyifatkan rakyat yang menyokong dan menggerakkan Bersih 3.0 sebagai wira  kerana berjuang untuk membersihkan pilihan raya yang kotor.

"Tuan-tuan hari ini merupakan wira yang nak perjuangkan supaya negara kita tak terjual kepada rakyat asing.

"Kalau kotor kita kena buat apa?" Soalnya dan disambut laungan " Kena bersihkan," oleh kira-kira 2,000 yang hadir.

Sementara itu, bekas pimpinan dan ahli Umno selama 56 tahun, Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir menyatakan kesediaannya untuk sama-sama menyertai Duduk Bantah.

Beliau berkata, kewujudan Bersih 3.0 selepas Bersih 1 pada 2007 dan Bersih 2.0 tahun lepas sangat perlu kerana kerajaan tidak menggunakan sepenuhnya ruang demokrasi yang ada.

"Malaysia negara demokrasi yang dipunyai rakyat. Hak yang paling penting dalam negara demokrasi ialah rakyat boleh pilih kerajaan mereka yang benar-benar bersih, telus dan adil. Tapi Umno lupa perkara ini.

"Alhamdulillah ada Bersih 1, Bersih 2, Bersih 3. Walaupun Bersih 1 saya berada dalam kerajaan tapi saya sokong dari dalam.

"Kalau tak ada pilihan raya bersih kita bukan negara demokrasi," katanya.

Beliau juga menegaskan, pilihan raya tidak boleh diadakan selagi media tidak bebas.

Katanya, kerajaan bertindak seolah-olah media milik mereka sahaja, tanpa memberi ruang kepada pembangkang.

"Untuk pilihan raya bersih media mesti adil. Dalam pilihan raya 2008 walaupun dalam keadaan (PR) tak ada duit tak boleh akses media  tapi hampir 48 peratus rakyat undi Pakatan Rakyat

"Semua radio, televisyen, suratkhabar ada satu suara sahaja iaitu suara kerajaan.

"Saya rasa tidak boleh diadakan pilihan raya Jun ini sehingga dibebaskan media massa.

Biarlah kita turun ramai-ramai 28 haribulan ini dan saya akan ada bersama," katanya disambut tepukan gemuruh.

Beliau turut disarungkan t-shirt Bersih 3.0 oleh Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu diiringi lagu dan maskot kuning Jang Ubah.

Dapat juga saya jumpa Tok Guru – Bob Kuman

Harakahdaily, 18 Apr 2012
PETALING JAYA, 18 April: “Dapat juga saya jumpa Tok Guru,” kata Bob Kuman tatkala menerima kunjungan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di rumahnya di Seksyen 11, Kota Damansara, malam tadi.

Tuan Guru Abdul Hadi dan rombongan termasuk Nazir Masjid Kota Damansara menziarahi Bob selepas menyampaikan kuliah Maghrib di masjid berkenaan.

“Rupa Tok Guru macam arwah ayah saya,” kata Bob sayu sewaktu Tuan Guru memasuki biliknya di apartmen Salvia.

Bob atau nama sebenarnya, Husni Mohd Rawi memberithau arwah ayahnya telah mewakafkan sebuah rumah untuk dijadikan markas PAS di kampungnya di Negeri Sembilan.

Beliau menunjukkan gambar arwah ayahnya kepada Tuan Guru yang disimpan di dalam laptopnya. (Gambar atas)

“Saya tak minta,” kata Bob sewaktu Ustaz Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang menghulurkan sumbangan daripada ahli jemaah dan pihak masjid (kanan).

Walaupun kunjungan itu hanya seketika sahaja, namun Bob Kuman yang teruja dengan kehadiran Presiden PAS meminta supaya mendoakan agar kesihatannya bertambah baik.

Ustaz Abdul Hadi menasihatkan Bob Kuman supaya banyak bersabar dengan musibah yang dihadapi itu.

Menurutnya, setiap musibah yang merupakan ujian daripada Allah itu akan menghapuskan dosa dan diberikan pahala di atas kesabaran menghadapinya.

Harakahdaily dalam laporan sebelum ini memetik tulisan dalam blog Mazidul Akmal Sidek, personaliti TV3 mengenai Bob Kuman.

Menurut blog itu, Bob kini amat memerlukan mesin dilengkapi tangki oksigen namun setakat ini tidak mampu untuk menyewa keperluan itu.

“Bang, sekarang ini saya hanya ada RM36 dalam akaun simpanan,” bisiknya kepada penulis blog itu.


Bob kini sedang berada dalam keadaan lemah, tidak mampu bergerak, apatah lagi untuk keluar dari rumah.

Kepada pembaca yang ingin membantu Bob, sila hubungi Razali di talian 016-2315812. Manakala akaun Bob (HUSNI MOHD RAWI, Bank Simpanan Nasional 1413229000146631)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan