Isnin, 30 April 2012

MEMANG ELOK LETAK JAWATAN AGAR TERLEPAS DARI DOA...SELAIN BERSIH DLL...MAKA DOA AKAN DITUJUKAN KEPADA ORANG2 YANG BERLAKU ZALIM ...PENIPU...JAHAT DLL...MAKA TUNGGU SAJA DOA ITU DIMAKBULKAN OLEH ALLAH....

Pengerusi SPR letak jawatan atau Bersih 4.0

Muhammad Faizal, 30 Apr 2012
PUTRAJAYA, 30 April: PAS mendesak Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dan timbalannya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar meletak jawatan segera jika tidak berdepan Bersih 4.0.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu sewaktu pada penyerahan memorandum kepada SPR petang tadi menyatakan tempoh diberikan selam tiga puluh hari untuk mereka meletakkan jawatan.

"Kita mendesak agar kedua-dua mereka meletak jawatan segera, tempoh tiga puluh hari diberikan kepada mereka jika tidak kemungkinan Bersih 4.0 akan diadakan," jelasnya di lobi Pejabat SPR, petang tadi.

Tambahnya, segala keputusan akan dilakukan oleh pihak Jawatankuasa Pemandu Bersih dan setiap apa yang diputuskan, PAS akan menyokong sepenuhnya.

Menurutnya lagi, sistem pilihan raya adalah mekanisme yang utama untuk merealisasikan demokrasi di negara kita, ia merupakan asas kepada pemilihan dan penubuhan kerajaan.

"SPR perlu menjalankan tugas dan memantau pilihan rara secara tidak berpihak dan neutral, adalah amat penting bagi SPR menjadi bebas dan tidak berpihak supaya SPR dapat memenangi keyakinan orang awam terhadap peranan dan fungsinya.

"Malangnya walaupun selepas lebih lima dekad negara kita merdeka, perjalanan dan sistem pilihan raya di negara kita terus berjalan dengan tempang, tidak telus dan penuh keyakinan," katanya.

Malah lebih parah lagi, katanya kedua-duanya yang berada dalam SPR dilihat telah memihak dan menjadi alat serta 'kuda tunggangan' Umno-Barisan Nasional.

"SPR juga dilihat terus gagal menasihati kerajaan Umno-Barisan Nasional bagi mengemukakan penambahan kerusi Parlimen di negeri-negeri majoriti Melayu seperti di Terengganu, Kelantan dan Kedah.

"Begitu juga dengan persoalan akses media yang bebas dan adil, apabila melihat saban hari media milik kerajaan seperti RTM dan Bernama tidak langsung memberi liputan positif dan ruang kepada pemimpin pembangkang di negara ini," sambung beliau lagi.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Penggerak Mobilisasi Demokrasi (PAS) menegaskan bahawa berpegang kepada prinsip kepercayaan awam adalah syarat tonggak dalam kriteria perlantikan anggota SPR supaya bebas dan tidak memihak kepada sesiapa.

"Badan Pengerak Mobilisasi Demokrasi dengan ini menuntut dan mendesak kedua-dua mereka segera meletakkan jawatan secara bermaruah agar kita dapat mengembalikan kepercayaan rakyat Malaysia terhadap kewibawaan peranan dan fungsi intitusi SPR itu sendiri.

"Langkah ini adalah jalan terbaik untuk mereka menyelamatkan demokrasi di negara kita lebih-lebih lagi pada ketika Malaysia akan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) akan datang," tambah beliau lagi.

Sementara itu, memorandum yang diserahkan beliau diterima oleh Pegawai Perhubungan Awam SPR, Sabri Said.

Turut hadir waktu penyerahan memorandum tersebut adalah Ahli Parlimen Rantau Panjang Siti Zailah Muhd Yusoff, Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud dan Mohd Sany Hamzan dari Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Pemimpin media bantah tindakan terhadap wartawan

Harakahdaily, 30 Apr 2012
KUALA LUMPUR: Hampir kesemua Ketua Editor media online di Malaysia menandatangani satu memorandum mengutuk tindakan polis mengasari petugas media yang membuat liputan perhimpunan Bersih 3.0 semalam.


(Salah seorang wartawan yang kesakitan selepas diserang)

Mereka mengutuk tindakan polis menganggu, mengkasari, menyekat, menapis dan menyekat laporan yang dibuat oleh petugas media.

Mereka menuntut tindakan tegas dari kerajaan Malaysia, Kementerian Dalam Negeri dan Polis Diraja Malaysia terhadap mereka yang terlibat dalam aksi keganasan bagi menghalang rakyat negara ini mendapat laporan yang tepat dan penuh.

(List tindakan yang dikenakan ke atas petugas media semasa perhimpunan Bersih 3.0  - The Sun)

Antara yang menandatangani memorandum ini adalah Asohan Aryaduray, Chong Cheng Hai, Deborah Loh, Gobind Rudra, Jacqueline Ann Surin (NGO media), Jahabar Sadiq (The Malaysian Insider), K Kabilan (Free Malaysia Today), KL Chan, Premesh Chandran (Malaysiakini), Steven Gan (Malaysiakini) disokong oleh 500 penandatangan yang menyokong petition ini sehingga berita ini disiarkan.

Antara laporan yang mereka nyatakan dalam memorandum itu adalah:-


1) Seorang wartawan cedera pada kepalanya selepas diserang oleh orang ramai.

2) Seorang wartawan telah patah tulang rusuknya selepas diserang oleh polis.

3)  Dua wartawan telah ditahan semasa menjalankan tugas.

4) Beberapa wartawan telah dilaporkan diserang oleh polis ketika menjalankan tugas.

5) Wartawan wanita telah dipegang dan dikasari oleh polis lelaki.

6) Peralatan mengambil gambar telah dipecah dan dimusnahkan.

7) Kad penyimpanan data gambar telah dikeluarkan dan dimusnahkan.

(Wartawan di atas katil hospitalnya menunjukkan kad wartawan)


8) Wartawan telah diarahkan supaya tidak mengambil gambar polis yang sedang bertindak.

Bagi mereka, tindakan polis ini adalah atas arahan pihak atasan.

"Tindakan ini adalah bertentangan sama sekali dengan diklarasi yang dibuat oleh kerajaan Malaysia sendiri terhadap hak-hak wartawan dan media yang dijanjikan oleh kerajaan untuk membuat reformasi terhadap media di Malaysia," kata memorandum itu.


Kesatuan wartawan bantah

Di samping itu, enam kesatuan wartawan itu, termasuk Pusat Kewartawanan Bebas, Piagam Aliran 2000, Kesatuan Wartawan Utara Tanah Melayu, membuat desakan itu dalam satu kenyataan bersama semalam.

Kenyataan itu juga mengutuk tangkapan ke atas dua wartawan dan tindakan ganas pihak polis terhadap petugas media yang membuat liputan ke atas himpunan 'Duduk dan Bantah' itu

Bersih 3.0: Anwar arah ke jalan TAR, bukan Dataran

Hazayani Zakaria, 30 Apr 2012
PETALING JAYA, 30 April: Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru semua pihak agar tidak terpengaruh dengan mainan media Umno BN yang cuba mengalihkan isu sebenar mengenai perhimpunan Bersih 3.0.

Beliau berkata, lapan tuntutan rakyat ke arah pilihan raya bersih dan adil harus diutamakan dan semua pihak harus menghormati kebebasan rakyat untuk berhimpun dan bersuara.

"Semalam hari merdeka rakyat apabila 300,000 rakyat keluar menuntut pilihan raya yang bersih dan adil.

"Semua orang datang dengan harapan untuk berhimpun di Dataran (Merdeka) jadi jangan masuk dalam mainan media Umno BN untuk alih isu sebenar," kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat PKR, Tropicana, hari ini.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu seterusnya menafikan sekeras-kerasnya bahawa beliau dan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali memberi arahan kepada peserta himpunan agar merempuh kawat berduri yang dipasang di sekeliling Dataran Merdeka.

Beliau sebaliknya menjelaskan, arahan dikeluarkan agar peserta bergerak ke kanan iaitu ke Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), bukan ke Dataran Merdeka seperti yang ditulis dalam blog-blog pro Umno.

"Saya sebut dan merayu kepada peserta, tolong bergerak ke kanan, kanan makna ke arah Jalan Tuanku Abdul Rahman.

"Tapi saya tidak menyalahkan peserta yang bergerak ke arah Dataran Merdeka kerana mereka datang bukan kerana Anwar, bukan kerana (Datuk S) Ambiga tapi kerana menuntut pilihan raya yang bersih dan mahu berhimpun secara aman di Dataran.

"Nak kata kita hilang kawalan, memang tidak benar," katanya yang juga Ketua Pembangkang di Parlimen.

Azmin pula menjelaskan, isyarat tangan kepada Anwar bukan bermaksud beliau mahu peserta merempuh Dataran Merdeka sebaliknya menunjukkan bahawa beliau mahu berunding dengan polis.

"Saya bertemu dengan polis di hadapan halangan polis. Saya memberi isyarat kepada Anwar bahawa saya berbincang dengan polis dan bukannya menghasut penyokong untuk merempuh masuk ke Dataran Merdeka.

"Namun, seorang anggota polis memberitahu saya bahawa dia belum mendapat sebarang arahan. Selepas itu, saya arahkan semua penyokong supaya duduk dan bertenang," jelasnya.

Beliau juga mempersoal polis yang bertindak melepaskan gas pemedih mata kepada semua peserta sedangkan tindakan boleh diambil ke atas sekumpulan yang didakwa merempuh penghadang.

"Kalau isu masuk ke Dataran satu kesalahan, kenapa sembur air kimia dan gas pemedih ata kepada semua orang?

"Ambil sahaja tindakan kepada mereka yang merempuh masuk itu," katanya.

# Kepada pembaca, sila kongsikan pengalaman, gambar atau bukti sebarang provokasi yang dilakukan mana-mana pihak dalam himpunan Bersih 3.0 kepada Harakahdaily. Maklumat boleh disalurkan ke emel editorharakahdaily@gmail.com atau menghubungi talian kami 03-40233270/3275

Keganasan polis: Najib paling tertekan

Harakahdaily, 30 Apr 2012


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Sri Najib Razak nyata paling tertekan dengan keganasan polis kepada peserta Bersih 3.0 dan pihak media terutamanya enam hari menjelang hari kebebasan media sedunia.

Demikian analisa anggota Parlimen Kuala Selangor yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS, Dr Dzulkefly Ahmad.

"Kali ini rasanya paling parah mereka (petugas media) yang kena. Mereka ditahan, ditumbuk, dibelasah, kamera dimusnahkan semua ini berlaku 6 hari sebelum Hari Kebebasan Media Sedunia..World Press Freedom,"

Bagi beliau, Najib tidak dapat elakkan diri kalau media barat menggambarkan PDRM sebagai 'gangster berlesen'.

Ini kerana, yang terkena termasuk petugas media dari Al-Jazeera, Channel News Asia dan media tempatan termasuk The Malay Mail, The Sun, Malaysiakini, Makkal Osai, Guan Ming Daily dan juga Harakah.
Sebelum ini, Reuters sebuah agensi media antarabangsa meramalkan Najib akan menangguhkan pilihan raya umum ke 13 ekoran trgaedi yang berlaku Sabtu lepas.


Komited kepada pru bersih

Bagi Dr Dzulkefly (gambar), rakyat khasnya pihak Bersih 3.0 mesti bersedia untuk kekal komited kepada reformasi pilihanraya sebelum PRU ke 13.
"Rakyat mahu siasatan menyeluruh atas apa jua dakwaan yang menjadi punca dan mulanya kekacauan dalam perhimpunan semalam, tapi rakyat dan Bersih tidak akan dilunturkan asakan mereka untuk mendapat sebuah sistem dan proses piliraya yang bersih dan Adil," kata beliau kepada Harakahdaily.

Dr Dzul mengajak semua pihak agak mengimbau kembali sebab mengapa perhimpunan Bersih 3.0 diadakan selepas Bersih 2.0.

"Kita adakan perhimpunan ini setelah kesal dengan Jawatankuasa Terpilih Parlimen (PSC) yang mana kertas mereka diluluskan tanpa bahas.

"Juga tindakan pentadbiran Najib yang kononnya mengwar-warkan transformasi pilihan raya melalui pindaan ke atas akta kesalahan pilihan dan memaksa anggota Parlimen bersidang sehingga jam 3.21 pagi.

"Apa yang dipinda cuma perkataan 'buang undi' kepada 'mengundi'," sindir Dr Dzulkefly yang juga AJK PAS Pusat.

Beliau juga kesal dengan tindakan kerajaan yang memperalatkan Datuk Bandar Kuala Lumpur dengan kerjasama mahkamah untuk menafikan hak rakyat untuk berhimpun di Dataran Merdeka.

"Rakyat tak puas hati menyaksikan pilih kasih dan berat sebelah ni (zalim) sekaligus dah jadi macam barua eksekutif.

"Ingat Pakatan menang 10 dari 11 kerusi di Wilayah Persekutuan, bermakna lebih ramai pengundi atau rakyat menyokong Pakatan Rakyat di Kuala Lumpur ini," tegas Dr Dzul.

# Kepada pembaca, sila kongsikan pengalaman, gambar atau bukti sebarang provokasi yang dilakukan mana-mana pihak dalam himpunan Bersih 3.0 kepada Harakahdaily. Maklumat boleh disalurkan ke emel editorharakahdaily@gmail.com atau menghubungi talian kami 03-40233270/3275

Ending yang menyedihkan

Ahmad Lutfi Othman, 30 Apr 2012
Untuk memberi ruang buat Harakah menampilkan  laporan terkini tentang perhimpunan Bersih 3.0, deadline edisi Isnin ini terpaksa dianjak, daripada sekitar jam 2-4 pagi Sabtu kepada lewat petangnya, selepas selesai demonstrasi raksasa itu. Meskipun agak sukar mengetengahkan analisis menyeluruh, dalam tempoh singkat, sekurang-kurangnya pembaca dapat menatap gambar-gambar bersejarah yang bakal membentuk Malaysia Baru, yang lebih terbuka dan demokratik.
Seperti demonstrasi Bersih 2.0 pada 9 Julai 2011, saya ditemani seorang rakan menempah bilik hotel untuk penginapan malam Sabtu lalu. Dalam keadaan keuzuran, saya kira perlu mencari lokasi lebih selesa, juga dapat mengurangkan pergerakan fizikal, yang agak dekat dengan Dataran Merdeka, dan  lebih penting dapat merasai (juga menikmati)  "debar dan getar" himpunan menuntut proses pilihan raya yang adil dan bersih itu.

Tentunya tunjuk perasaan kali ketiga (pertama, November 2007 dan kedua, September 2011), yang menggesa tuntutan  sama bukan perkara main-main. "Duduk Bantah" mungkin ringan pada sebutannya, santai pada tanggapan awalnya, tetapi berat dan mendalam pada bebanan maknanya.

Isu sistem demokrasi yang pincang dan tempang, dengan siri penipuan yang menjolok mata, terutama membabitkan senarai daftar pemilih yang kotor, ditambah komplot Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) -- diburukkan lagi dengan pendedahan bahawa pengerusinya, Abd Aziz Mohd Yusof dan timbalan, Wan Ahmad Wan Omar adalah masing-masing anggota Umno Ampang, Selangor dan Pasir Mas, Kelantan --   bersama agensi kerajaan lain bagi memenangkan Umno-BN, mencapai kemuncaknya.

Dan Bersih 3.0 adalah jawapan terbaik, sekurang-kurangnya untuk menyuarakan protes terbuka rakyat dan mengingatkan pemerintah bahawa Pilihan Raya Umum Ke-13 wajib dikendalikan secara telus, bersih dan adil. "Petaka dan padah" akan menimpa negara jika PRU13, yang cukup kritikal buat BN dan juga Pakatan Rakyat itu, berjalan penuh tipu muslihat.

Disebabkan menunggu stamina kembali pulih selepas baru balik dari lawatan kerja ke Tawau, Sabah seawal pagi Jumaat, 27 April itu, saya agak terlewat menyusup masuk ibu kota, kira-kira 15 minit sebelum jam 12 tengah malam. Berbeda setahun lalu, suasana kali ini lebih tenang, tanpa sekatan jalan raya yang menganggu, apatah lagi siri laporan polis yang memualkan. Baju rasmi Bersih, kuning, juga bebas dijual dan dipakai.

Malam itu, mulanya saya ingin berehat dan memanjakan diri di bilik penginapan Hotel Ancasa, Jalan Tun Tan Cheng Lock, berdekatan Pudu Raya dan Menara Maybank. Semasa belajar di Universiti Teknologi Malaysia, Jalan Gurney (kini Jalan Semarak), 30 tahun lalu, saya kerap menapak laluan berkenaan, selepas turun bas di Kompleks Kota Raya, menuju stesen bas Pudu Raya, untuk balik kampung.

Jam sudah 2 pagi. Suasana sunyi, tapi deretan kenderaan melalui Jalan Tun Perak, menghala ke Dataran Merdeka, hampir tidak bergerak. Mulanya saya perhatikan tidak ramai pejalan kaki berbaju kuning, namun sesekali terdengar  sorakan bergemuruh "Bersih! Bersih!", disambut bunyi hon yang bingit. Ramai melambaikan tangan tanda sokongan moral.

Tidak mahu terperangkap dalam kesesakan yang makin teruk, saya dan rakan kembali ke hotel. Rasanya lebih pantas bergerak dengan berjalan kaki. Semasa singgah di sebuah restoran mamak, tidak jauh dari Masjid Jamek, saya terjumpa dengan sahabat lama, bekas pelajar UTM, selain diajak bergambar oleh demonstran yang makan di situ, bersama Tian Chua Tidak terhenti setakat itu, rupanya Bersih 3.0 menemukan ramai lagi kenalan yang terpisah.

Tempoh tiga jam sebelum azan Subuh pagi Sabtu bersejarah itu cukup bermakna sekali. Laluan sepanjang 2km ke simpang Jalan Tun Perak dan Jalan Tunku Abdul Rahman bukan hanya mempereratkan hubungan dengan rakan-rakan seperjuangan, di samping menyuntik kesegaran baru berdepan cabaran dan gugatan lebih sengit, juga mengingatkan saya bahawa pembaca Harakah (yang mengenali saya sebagai Ketua Pengarangnya) turut membabitkan golongan belia dan remaja.

Lebih mengujakan apabila kemesraan di kalangan peserta Bersih 3.0 melewati sempadan kaum. Melihat reaksi masyarakat Tionghua yang begitu bersemangat, dengan jumlah kehadiran yang cukup ramai, dan nampak komitmen mereka di tahap tinggi, maka tidak pelik jika pemimpin Umno mengambil sikap berpatang arang untuk memujuk pengundi penentu itu kembali menyokong BN dalam PRU13.

Mungkin bersimpati dengan keuzuran saya yang terpaksa bertongkat dan berjalan perlahan penuh cermat, lima enam orang yang berselisih di jalan berpesan: "Jalan hati-hati, ya!" Sekitar jam 3.30 pagi, seorang lelaki Cina, dalam usia 25 tahun, tinggi lampai, menegur saya: "Jaga baik-baik abang, jalan elok-elok."

Melihat kaki saya mula membengkak dan berjalan agak tempang, beliau menunjukkan kepada pasangannya: "Dia juga bersemangat datang sini, tengok kakinya juga bengkak macam abang. Kaki dia sudah jadi macam kaki gajah tapi dia tetap berkeras mahu datang." Kami sama-sama ketawa. Lelaki Cina itu kemudian menarik tangan teman wanitanya, dan berjalan perlahan-lahan ke arah Dataran Merdeka.

Semasa balik ke hotel, jam menghampiri pukul 4 pagi. Beberapa kumpulan anak muda, dalam usia belasan tahun, berjalan pantas, menuju ke arah masjid. "Dari mana, ni?" saoa rakan saya. "Ipoh, bang," jawab seorang darinya. "Bersemangat nampak?" "Kali ini kita mesti tukar," pantas sekali responsnya.

Jawapan sama juga diberikan seorang belia Cina, dari Johor Bahru, ketika saya melintasi restoran McDonald berdekatan Jalan Sultan. Cuma dia menjawab dengan pertanyaan: "Mesti tukar, ya?" Wajahnya keanak-anakan, mungkin belum "cukup umur" untuk mengundi, tetapi bicaranya serius.

"Mesti tukar" dimaksudkan kepada pertukaran kerajaan persekutuan, daripada BN kepada Pakatan Rakyat!

II.

Mulanya, saya mahu mengulas demo Bersih 3.0 dalam bentuk santai dan bercerita mudah, tetapi malang sekali, permulaan yang baik telah diakhiri dengan pencabulan tindakan ganas polis. Apabila saya meninggalkan kawasan Menara Maybank jam 3 petang selepas tidak mampu berdiri lama, suasana nampak berjalan lancar.

Sekembali ke pejabat Harakah, macam-macam SMS diterima, hampir semuanya mendakwa aksi polis melampau dan di luar batas. Selain tembakan meriam air,  ramai bertanyakan benarkah polis melanggar peserta demonstrasi sehingga parah dan membelasah beberapa tahanan bagaikan lagak seorang samseng?

Mungkin ketika akhbar ini berada di pasaran, media baru telah mendedahkan foto sensasi keganasan polis itu. Ada laporan mengatakan aktivis Cikgu Bard dihantam teruk

Media, seperti TV3 dan Utusan Malaysia, pasti bingkas menyambar dan membesar-besarkan kes orang ramai menendang kereta polis yang diterbalikkan dan dakwaan pistol polis yang dilarikan. Mungkinkah impian Umno untuk memburuk-burukkan Bersih 3.0 akan tercapai?

Memang bukannya mudah mengendalikan 500,000 peserta himpunan bersejarah ini. Ya, tidak semudah melepaskan gas pemedih mata atau bertindak bebal melepaskan geram. Ada yang mendakwa, melewati senja, amukan polis tambah dahsyat apabila orang yang memakai baju kuning pun ditahan.

Insiden seumpama itu, jika benar, amatlah menyedihkan. Siasatan rapi perlu dilakukan mengetahui akar puncanya. Apa pun, saya lebih khuatir mesej sebenar Bersih 3.0 akan tenggelam begitu sahaja, dikaburi dengan ending yang menyedihkan itu.

Apa khabar senarai daftar pemilih? Bagaimana dengan akses media yang adil dan saksama? ...

----

Kolum ini disiapkan pada petang 28 April 2012

 

 

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan