Isnin, 30 April 2012

INGAT KUASA DAN KEMAMPUAN MANUSIA TERBATAS...TAKDIR MUTLAK DITANGAN ALLAH..JANGAN SEMBANG BESARLAH...ALLAH BOLEH HANCUR SATU2 PUAK DENGAN SEKELIP MATA....

Bersih 3.0: Najib 'tak ragu-ragu' panggil PRU13
Wartawan Sinar Harian
30 April 2012
Najib Tun Razak
$entry.content.caption.value
KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan perhimpunan Bersih 3.0 di ibu negara kelmarin, yang dikatakan menarik lebih ramai peserta berbanding Bersih 2.0 Julai lalu, tidak akan menimbulkan keraguan untuk beliau memanggil Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Bagaimanapun menurut Perdana Menteri, biar tunggu dan lihat apa yang akan berlaku.
Selaku Perdana Menteri, Najib ada keistimewaan untuk menentukan tarikh pembubaran Parlimen dengan memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong.
"Saya tak ragu-ragu. Saya tak tahu, kita tengoklah," kata beliau kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat bulanan Majlis Tertinggi Umno di sini malam tadi.

Najib yang juga Presiden Umno dan Pengerusi Barisan Nasiona (BN) ditanya mengenai kesan perhimpunan Bersih 3.0 , yang diadakan atas alasan mahu menuntut pilihan raya yang adil dan bersih, ketika penganalisis dan pemerhati mengatakan bahawa PRU13 kemungkinan diadakan Jun ini.

Bagaimanapun ekoran perhimpunan itu, kini ada yang membuat andaian kemungkinan PRU13 akan dianjakkan sehingga September atau November. Perdana Menteri ada mandat sehingga April 2013.

Dipetik dari laporan Bernama, Najib turut ditanya sama ada kerajaan akan mewujudkan satu lagi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) bagi memenuhi tuntutan perhimpunan kali ini.

Najib berkata, tiada sebab untuk mewujudkannya kerana semuanya telah dijawab semasa PSC membentangkan laporan mereka di Parlimen baru-baru ini.

Najib telah mewujudkan PSC Ogos lalu ekoran perhimpunan Bersih 2.0 dan laporan akhirnya telah dibentangkan di Parlimen awal bulan ini.

Bagaimanapun rasa tidak puas hati masih berterusan.

Polis ganas: Transformasi Najib paling 'berjaya'

Muhammad Faizal, 30 Apr 2012
PUTRAJAYA, 30 April: Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu menyifatkan transformasi yang paling 'berjaya' dalam transformasi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak adalah menjadikan imej polis dari ganas menjadi lebih ganas.

Malah beliau turut 'berbangga' menjadi rakyat Malaysia di bawah Najib kerana mempunyai anggota polis yang bertambah ganas dari tentera Israel.

"Bagi saya apa yang berlaku pada 28 April lepas merupakan transformasi yang paling berjaya di bawah pemerintahan Najib yang telah mengubah imej polis dari ganas menjadi lebih ganas," jelasnya kepada media di ibu pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di sini, hari ini.

Tambahnya lagi, beliau telah lama mengikuti himpunan namun himpunan kali ini merupakan satu himpunan paling ganas.

"Sudah 30 tahun saya mengikuti himpunan aman tapi apa yang berlaku Sabtu lepas merupakan paling ganas, saya ulangi kejayaan Najib paling berjaya.

"Lebih ganas dari Israel bila berdepan rakyat Palestin tapi itu berlainan bangsa tetapi polis Malaysia satu kaum dan bangsa mereka boleh bertindak sedemikian," sambungnya lagi.

Sementara itu, Ahli Parlimen Rantau Panjang Siti Zailah Mohd Yusoff menyatakan kekesalan apabila pihak polis bertindak tanpa belas kasihan.

"Kita melihat kaum wanita dan kanak-kanak juga turut dipukul malah ada juga yang dipijak oleh polis.

"Ini adalah satu keganasan yang teruk dilakukan oleh polis, malah mereka bertindak di luar perikemanusiaan mereka," katanya yang juga Ketua Muslimat PAS Pusat.

Siti Zailah juga turut mendesak agar satu Suruhanjaya Khas dibentuk bagi menyiasat keganasan tersebut dan seterusnya mengambil tindakan yang sewajarnya.

Khabar angin polis meninggal punca amuk?

Harakahdaily, 30 Apr 2012
KUALA LUMPUR, 30 April: Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Badrul Hisham Shaharin mendakwa 'amukan' pihak polis terhadap peserta Bersih 3.0 Sabtu lalu berpunca daripada khabar angin kononnya seorang anggota mereka meninggal dunia dipukul peserta.

Menurut Badrul yang lebih dikenali sebagai Chegu Bard, beliau adalah salah seorang mangsa amukan itu yang didakwa dipukul lebih 50 anggota polis lewat petang Sabtu lalu.

Katanya, ketika beliau dipukul bertalu-talu, polis yang memukulnya itu mendakwa ada anggota polis meninggal dunia dipukul peserta Bersih 3.0.

"Antara yang mereka kata ada anggota polis mati kena pukul oleh demonstran.

Polis termakan hasutan ini sehingga bertindak di luar kewarasan," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau ditemui selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi petang ini berhubung kekerasan pihak polis terhadapnya.

Dalam laporan itu, Chegu Bard mendakwa dipukul ketika berada di Masjid India kira-kira jam 7 petang.

Ketika itu, beliau dan seorang lagi rakannya Sany sedang melihat anggota polis merosakkan dan menterbalikkan meja gerai peniaga yang ditutup di situ.

Tiba-tiba 10 anggota polis meluru ke arah mereka berdua dan terus memukul mereka tanpa bertanya apa-apa.

"Saya dipukul beberapa kali, kemudian diheret ke Jalan TAR dan dipukul lagi oleh anggota polis yang pakai uniform tapi tiada nombor polis atau tanda nama," katanya.

"Kemudian saya dibawa ke tempat kepungan di Dataran Merdeka dan di situ lebih teruk saya kena pukul. Saya muntah, telinga berdarah, hidung berdarah sampai saya tak larat dah.

"Kemudia datang dua orang pegang dan bangunkan saya. Seorang anggota polis datang terus flying kick dada saya," tambahnya lagi.

Menurutnya juga, kepalanya turut berdarah dipercayai dipukul menggunakan objek keras.

Dalam keadaan separa sedar itu juga ujarnya, beliau dapat merasakan poketnya diseluk dan hanya menyedari duitnya lebih RM200 hilang ketika dibawa naik ke atas trak.

"Saya merayu, saya mintak maaf, tapi saya seperti bercakap kepada orang yang langsung tidak ada pertimbangan.

"Saya ingin bagitahu kepada anggota polis, kami bukan memusuhi kamu. Kamu juga adalah mangsa kepada keadaan ketakutan Umno BN," katanya.

S'gor sedia dana guaman kepada peserta Bersih

Harakahdaily, 30 Apr 2012
KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Selangor hari ini mengumumkan akan menyediakan dana khidmat bantuan guaman kepada peserta Bersih 3.0 yang menghadapi tindakan undang-undang.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kerajaan Selangor kesal dengan tindakan kasar dan tidak profesional anggota polis terhadap peserta serta petugas media.

"Bagi memastikan hak perlembagaan rakyat dijaga, Kerajaan Selangor akan menyediakan dana khidmat bantuan guaman kepada peserta perhimpunan yang menghadapi tindakan undang-undang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau juga turut mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memastikan tindakan polis semalam disiasat secara adil.

Menurut Khalid lagi, kehadiran ratusan ribu perserta pada himpunan itu menggambarkan ketidakpuashatian rakyat terhadap sistem sedia ada yang jelas membelakangkan sistem demokrasi jitu di Malaysia.

Selangor juga jelasnya berpendirian sama di mana semua tuntutan Bersih disokong penuh oleh Kerajaan Selangor.

Oleh kerana itulah ujarnya, Kerajaan Negeri telah melancarkan program Selangorku Bersih demi membersihkan senarai daftar pengundi secara besar-besaran dengan penglibatan masyarakat setempat.

"Di bawah Program Selangorku Bersih ini, ketua kampung, penghulu dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) akan turun padang untuk membuat pemeriksaan dari rumah ke rumah bagi memastikan senarai daftar pengundi di kawasan mereka adalah tepat dan bebas dari sebarang keraguan.

"Kita akan huraikan strategi program ini secara terperinci kepada penghulu, ketua kampung dan JKKK dalam satu pertemuan pada 8 Mei ini," katanya.

Bersih 3.0 jauh lebih besar

Abd Shukur Harun, 30 Apr 2012


Ketika berada di tengah Himpunan Bersih 3.0 di Kuala Lumpur Sabtu lalu, saya mendapati himpunan itu mencapai kejayaan luar biasa. Bukan semata-mata kerana ia disertai oleh ratusan ribu orang, terutama golongan muda, tetapi juga disertai pelbagai kaum dan agama. Ia jauh lebih besar dari Himpunan Bersih 2.0 Julai tahun lalu. Dianggarkan lebih kurang 300,000 orang telah menyertai himpunan kali ini.

Ini bukti nyata bahawa rakyat yang sedar – merentasi kaum dan agama - – telah sama-sama berjuang untuk menuntut pilihan raya yang bersih dari pelbagai penipuan dan manipulasi, terutamanya mengenai daftar pemilih yang masih kotor.


Himpunan itu juga disertai majoriti golongan muda yang amat sedar akan pentingnya sebuah pilihan raya bersih demokratik. Saya bertemu dengan seorang anak muda, kira-kira 25 tahun, bernama Amir Razali di himpunan itu, katanya:

“Pilihan raya adalah permulaan dari bentuk pemerintahan negara. Kiranya pilihan raya itu tidak bersih, penuh penipuan, tidak mungkin kerajaan yang menang itu akan dapat menjalankan pemerintahannya dengan bersih, adil dan terbuka.”

Beliau baru saja menghabiskan pengajiannya di sebuah kolej dan berhasrat menyambung pengajiannya hingga ke peringkat Phd, jurusan ekonomi, “kalau cukup wang, sebab keluarga saya miskin.”

Beliau antara puluhan ribu anak muda – pelbagai bangsa dan agama – yang berdiri di depan Masjid Negara untuk bersiap menuju tempat paling hampir ke Dataran Merdeka yang dikepung segenap penjuru oleh pihak berkuasa.

Sejak jam 10.00 pagi Masjid Negara dan Masjid Jamek (yang paling dekat dengan Dataran Merdeka), orang ramai telah berkumpul dan memenuhi jalan raya. Mereka bertali arus datang. Saya sendiri tiba di pekarangan tempat kereta di hotel sebelah KL Central dan bersolat Subuh di sana.


Selepas itu beramai-ramai menuju ke Masjid Negara. Orang ramai juga ada yang berkumpul di Brickfield untuk menuju ke tempat paling dekat dengan Dataran Merdeka seperti diarahkan.

Ketika matahari muncul, orang ramai terus berdatangan ke Masjid Negara. Ramai di antara mereka – ramai dari Kumpulan Lynas dari Pahang - yang sepatutnya tiba di KLCC, tidak dapat ke sana kerana pelbagai sekatan jalan. Bagaimanapun jumlah yang berada di sana juga ramai.

Pagi itu cuaca cerah seperti merestui Himpunan hari itu. Orang ramai di mana-mana, di tepi jalan ada yang duduk untuk makan bekalan yang dibawa, sementara pergerakan menuju ke Masjid Negara dan Masjid Jamek terus rancak.

Kalangan peserta, kebanyakan penyokong DAP, seperti diarahkan, berhimpun di Jalan Sultan, berhampiran Petaling Street. Cuaca pagi terus cerah, awan putih di langit bagaimana memerhatikan pergerakan rakyat hari itu.

Suasana bandaraya kelihatan ceria, pembersih sampah menjalankan tugasnya, kendereaan bergerak seperti biasa di jalan-jalan yang tiada sekatan. Namun semua jalan ke Dataran Merdeka disekat,  bukan saja dengan kun merah tetapi juga kawat berduri yang kelihatan masih baru dipakai, sementara di sana sini pasuka polis mengawal dengan ketatnya.

Di pekaran Masjid Negara orang ramai terus berdatangan dan pelancong juga ramai tiba, mengambil gambar dan kelihatan tertarik melihat apa yang berlaku. Tidak terlihat kebimbangan mereka. Saya bersolat Sunat di sana, sementara orang ramai ramai terus berdatangan, Matahari mulai meninggi. Unit Amal PAS bertugas dengan baik mengawal keadaan.

Saya menelefon Sasterawan Negara, A. Samad Said di mana beliau berada. “Saya berada di rumah (di Bangsar) dan akan bertolak ke sana sebentar lagi dengan LRT.” Saya bertanya lagi, sama ada beliau datang dengan pengawal peribadi, beliau segera menjawab, “Tidak, saya berlindung dengan Allah.” Dan saya menjawab, “Alhamdulillah.”

Masjid Negara itu terus menjadi saksi akan kebangkitan rakyat. Himpuna membantah PPSMI, Bersih 0.2 tahun lalu juga diadakan di sana. Bermakna Masjid Negara mempunyai makna penting dalam sejarah kebangkitan rakayat. Orang ramai terus berdatangan dari segenap penjuru dan Unit Amal berada di mana-mana, tahniah atas khidmat mereka yang cemerlang. Saya bertemu dengan para sahabat dari Selangor – YB Ir. Khalid Samad, YB Che Rosli Che Mat, Ahli Parlimen Kedah, YB Johari Abdul, YB Firdaus, Ahli Exco Selangor serta Ustaz Haji Ahmad Awang dan isteri, serta ramai pimpinan PAS Selangor.

Di pekarangan masjid - berdepan dengan stesyen keretapi lama, Timbalan Presiden PAS, Haji Muhamad Sabu, Ketua Pemuda PAS, Ustaz Nasrudin Hasan Tantawi dan tokoh lain menyampaikan arahan dan ucapan. Presiden PAS, Datuk Seri Abd Hadi Awang menyampaikan ucapan di Dataran Maybank, sementara para pemimpin Bersih 0.4 berada di pelbagai tempat yang telah ditentukan.

Di pekarangan masjid, kelihatan ramai kalangan bukan Islam yang datang dari arah Brickfield. Seorang di antaranya yang saya temui, mengenalkan namanya, Mr. Tan. Beliau memberitahu saya bahawa beliau bersama isteri datang dari Segamat, Johor bersama empat orang sahabatnya dan tinggal di hotel berdekatan.

“Saya gembira tengok semua kaum ikut dalam Himpunan ini. Ini betul-betul bersih, tak ada perkauman. Kita semua datang untuk menghantar mesej kepada kerajaan supya mengadakan pilihan raya dengan bersih, jangan tipu,” katanya.

Kalangan anak muda kelihatan mendominasi Himpunan Bersih ini dan mereka kelihatan berada di mana-mana dengan baju kuning dan lilit kepala Bersih penuh semangat.  Inilah generasi akan datang yang akan menanganai cabaran mendatang. Bagamanapun, kelihatan ramai kalangan veteran yang masih bersemangat dan ikut dalam arus kebangkitan ini.

Pada pendapat saya, ini adalah isyarat sangat jelas bahawa perjuangan ini didukung oleh kalangan anak muda, golongan veteran, malah ribuan muslimat turut berada di tengah-tengah Himpunan itu – di depan stesyen keretapi lama, di Masjid Negara, di jalan dari Sogo, di KLCC, sepanjang jalan arah ke Masjid Jamek yang sangat kritikal dan paling banyak menerima semburan gas pemedih mata.

Pengerusi Bersama Bersih 3.0, Sasterawan Negara, A. Samad Said sempat bersolat Asar di Masjid Negara kira-kira jam 5.15 petang selepas Himpunan dan disambut oleh orang ramai yang masih berada di situ.

Saya menyaksikan wartawan Aljazeera, wartawan BBC, wartawan TV Australia, Hong Kong, Singapura dan banyak lagi media antara bangsa merakamkan peristiwa ini di samping menemuramah pemimpin Bersih 3.0  dan orang ramai.

Ini bermakna protes rakyat ini sedang disaksikan oleh dunia, apalagi Himpunan Bersih 3.0 turut diadakan puluhan kota besar di seluruh dunia, termasuk di Makkah dan Madinah. Seluruh dunia tahu bagaimana demokrasi ‘disandiwarakan’ di negara ini dan tidak syak lagi pemerintahan Barisan Nasional sedang dalam perhatian seluruh dunia.

Sesungguhnya gelombang kesedaran dari lautan manusia, peserta Himpunan Bersih 3.0 ini sepatutnya disedari oleh pemimpin pemerintah supaya menjalankan pilihan raya penuh demokratik, terutama membersihkan daftar pengundi. Ini sangat penting disedari, tetapi sangat malanglah jika mereka gagal memahami gelombang rakyat ini di mana kesannya tidak dapat dibayangkan.

Pemerhati a'bangsa: Aman sebelum provokasi

Harakahdaily, 30 Apr 2012


(Gambar fail semasa kumpulan pemerhati ini membuat sidang media di Parlimen)

KUALA LUMPUR: Satu badan pemerhati antarabangsa yang  meninjau maklumat pilihanraya berkata perhimpunan Bersih 3.0 Sabtu lalu adalah aman sebelum polis menimbulkan provokasi.

Senator bebas Australia Nick Xenophon dipetik Malaysiakini sebagai berkata, “Ia adalah aman (sehingga para pendemo diprovokasi).”

Beliau turut mengkritik laporan berat sebelah media perdana terhadap perhimpunan Bersih 3.0, yang dikatakan lebih mementingkan wajah perdana menteri Datuk Seri Najib Razak di Sabah daripada perhimpunan terbesar di Malaysia.

“Media perdana adalah memihak dan tidak adil. Ia menonjolkan lebih perdana menteri di Sabah pada televisyen daripada perhimpunan politik terbesar di Malaysia,” kata Xenophon.

Salah seorang daripada tujuh ahli bada tersebut MJ Akbar, editor India Times berkata para pendemo Bersih 3.0 adalah dalam keadaan berpesta.

“Mereka mempunyai banyak masa untuk melakukan keganasan jika mereka berniat sedemikian. Mereka dalam keadaan berpesta sehingga saat provokasi berlaku,” kata Akbar.

Senator Pakistan Hasil Bizenjo pula berkata beliau terkejut pengangkutan awam dilumpuhkan di sekitar Kuala Lumpur pada hari Sabtu yang lepas.

“Di negara lain, pengangkutan disediakan untuk rakyat bagi menghadiri perhimpunan. Di sini, ada mereka yang memberitahu mereka terpaksa berjalan 20 km untuk menghadiri perhimpunan ini,” kata Bizenjo.

Ahli-ahli lain dalam badan tersebut termasuk penulis Nasir Tamara daripada Indonesia, Clinton Fernandes daripada universiti New South Wales, Dean Amado Valdez daripada Filipina dan Juliane Schmucker daripada Jerman.

Mengimbas kembali satu perbualan dengan Setiausaha Agong Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor, Fernandes berkata: “Beliau (Adnan) menekankan kepentingan untuk mengelakkan ketegangan kaum. Beliau turut berkata penambah-baikan pilihanraya tidak penting kerana rakyat Malaysia tidak matang.”

Fernandes turut memetik Tengku Adnan sebagai berkata, “Salah satu masalah di Indonesia ialah terlalu banyak kebebasan.”

Sementara itu, Akbar berkata demokrasi memerlukan kebebasan daripada ketakutan dan kebebasan berhimpun.

“It adalah malang ada sebilangan suara yang mempercayai bahawa satu-satu negara yang memlaksanakan keharmonian tanpa demokrasi,” kata beliau, sambil berkata Malaysia layak menerima demokrasi yang tulen.

Laporan awal turut menyatakan kebimbangan mereka terhadap integriti 240,000 petugas pilihanraya dan kekurangan untuk satu pilihanraya yang bebas dan adil.

Sementara itu, Bizenjo berkata kelemahan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) negara adalah ketara.

“SPR nampak kolot, ia kena berubah. Pakistan pun dah berubah ke sistem elektronik,” beliau berkata.

Badan antarabangsa tersebut kata mereka adalah bebas walaupun dijemput ke negara oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kita tak peduli siapa yang menang. Kita bukan rakyat Malaysia,” kata Fernandes.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan