Jumaat, 20 April 2012

KITA MERANCANG..BUATLAH APA SAJA PENIPUAN..BUAT ONAK@KACAU...BUAT SEKATAN DLL...TAPI KITA TAK BOLEH MENGUBAH TAKDIR ALLAH SUDAH TENTUKAN..MENANG ATAU KALAH BUAT APA...KALAU IA DALAM KEMURKAAN ALLAH...

Kosong Dataran Merdeka hormati Konsert Diraja

Salmiyah Harun, 19 Apr 2012
KUALA LUMPUR: Perkhemahan mahasiswa di Dataran Merdeka bagi menuntut pendidik percuma bersedia mengosongkan tapak mereka pada 21 April ini bagi menghormati Yang Di-Pertuan Agong sempena Konsert Diraja yang berlangsung di situ.

Perkara itu dimaklumkan oleh Pengerusi Malaysia Bangkit Mohd Syahid Mohd Zaini ketika dalam sidang media di lobi parlimen petang tadi.

"Kita akan tutup khemah dan kosongkan tempat berkenaan sebelum konsert itu bermula bagi menghormati Yang di-Pertuan Agong," katanya.

Bagaimanapun, katanya perkhemahan mahasiswa akan diteruskan semula selepas konsert tersebut sehinggalah Himpunan Bersih 3.0 pada 28 April ini.

Syahid yang bersama Ahli Parlimen Bakri Er Teck Hwa turut menunjukkan rakaman video menunjukkan serangan samseng yang berpakaian serba hitam menyerang mahasiswa yang dirakam beberapa orang mahasiswa, kepada media.

Er Teck Hwa turut mendakwa video rakaman itu telah dikeluarkan dari 'youtube' selepas tidak sampai 24 jam dimasukkan.

Ketika ditanya gambaran mereka terhadap samseng terbabit, Syahid berkata samseng yang menyerang mereka itu bertubuh sasa dan berusia dalam lingkungan 30'an.

Pada kira-kira jam 2.30 pagi tadi, sekumpulan samseng lebih 50 orang menghalau mahasiswa yang sedang berkhemah di Dataran Merdeka, bukan itu sahaja bahkan mereka turut merampas telefon serta menghalang mahasiswa merakam aksi mereka. Malah tindakan ganas kumpulan terbabit turut mencederakan beberapa orang di situ.

UniMAP amal undang-undang rimba hukum pelajar

Ahmad Zamri As’ad Khuzaimi, 19 Apr 2012
Pengarah Jabatan Undang-undang & Hak Asasi Manusia (JUHAM) Dewan Pemuda PAS Malaysia amat terkejut dengan tatacara pengendalian prosiding perbicaraan tatatertib oleh Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terhadap seorang mahasiswa iaitu Mohd Izuwan Zaini  pada 17 April 2012 baru-baru ini yang jelas bertentangan dengan prinsip asas undang-undang dan kebebasan hak asasi.
UniMAP telah menjatuhkan hukuman amaran keras, denda RM100 dan menggantung selama 66 hari terhadap mahasiswa terbabit kerana didakwa menganjurkan suatu Perhimpunan “Watch 13”.

Setelah meneliti butiran perjalanan prosiding tersebut, JUHAM mendapati UniMAP telah melanggar pelbagai peraturan dan hak asasi seseorang tertuduh sewaktu  dibicarakan.

Pencabulan utama yang dilakukan oleh UniMAP ialah, pertamanya, apabila UniMAP menghalang mahasiswa terbabit daripada menyoal-balas saksi pendakwa dengan alasan jawapan yang diberikan oleh saksi pendakwa tersebut hanyalah untuk kegunaan pihak pendakwa semata-mata, dan bukannya untuk yang dituduh.

Keduanya, mahasiswa terbabit dinafikan hak untuk memanggil saksi pembelaan.

Tindakan UniMAP ini jelas memeranjatkan JUHAM kerana tindakan UniMAP ini menunjukkan mereka buta undang-undang dan jelas mengamalkan undang-undang rimba kerana hak untuk menyoal balas saksi atau hak  memanggil saksi pembelaan adalah hak asasi orang yang dituduh dan merupakan peraturan asas dalam sesuatu perbicaraan sama ada di mahkamah atau tribunal tatatertib  di universiti.

Oleh itu, tindakan UniMAP ini jelas mencerminkan status pemikiran yang terkongkong dan tahap intelektual yang rendah mutunya serta memalukan imej UniMAP sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi.

Penggunaan undang-undang rimba di menara gading seperti UniMAP ini adalah mengejutkan dan bersifat mengundur ke belakang malah bertentangan dengan aspirasi dan ekspektasi intelektual yang suci.

Ironinya, mahasiswa terbabit disabitkan atas kesalahan kononnya telah mencemarkan nama baik Unimap. Sebaliknya, tindakan jawatankuasa tatatertib UniMAP sendiri itu yang sebenarnya  memalukan dan mencemarkan nama baik seluruh institusi pengajian tinggi di Malaysia.

JUHAM amat kesal dengan tindakan UniMAP ini dan percaya tindakan tidak berintelektual sebegini juga ada diamalkan di kebanyakan institusi-institusi pengajian tinggi yang lain.

Maka, tidak hairanlah UniMAP dan kebanyakan daripada institusi-institusi pengajian tinggi di Malaysia gagal untuk menyaingi institusi-institusi pengajian tinggi di luar negara kerana tatacara asas perundangan pun gagal difahami dengan sempurna.

JUHAM menggesa Kementerian Pengajian Tinggi untuk menyiasat perkara ini dan JUHAM mencadangkan supaya Kementerian Pengajian Tinggi membuat latihan asas undang-undang kepada para pentadbir institusi-institusi pengajian tnggi di negara kita.

Malah, JUHAM bersedia untuk menawarkan khidmat percuma kelas asas perundangan kepada  para pentadbir institusi-institusi pengajian tinggi di negara kita ini supaya tindakan yang memalukan seperti yang diamalkan oleh UniMAP ini tidak membarah dan merebak ke institusi-institusi pengajian tinggi lain di negara kita.

Penulis ialah Pengarah Jabatan Undang-undang & Hak Asasi Manusia (JUHAM) Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Dua indiktor untuk pembubaran parlimen

Mohd Sayuti Omar, 19 Apr 2012
Saya masih belum membuat ramalan berhubung bila parlimen bakal dibubarkan dan bila pula tarikh pilihan raya umum ke-13 akan dilaksanakan.

Sebelum ini sudah ada berbagai-bagai pihak membuat ramalan mengenai pilihan raya. Tarikh atau ketika popular ialah Mac. Ternyata Mac sudah pun berlalu pergi. Kini tarikh baru diberikan iaitu pada Jun. Apakah alasan Jun ini?

Menurut Tengku Razaleigh Hamzah dalam satu percakapan dengan saya, beliau yakin parlimen akan dibubarkan tidak selepas Jun. Alasan Tengku Razaleigh waktu terbaik ialah pada sebelum Jun sebab kalau selepas Jun Umno bermasalah. Masalah besar Umno menurutnya kerana Umno sudah ketiadaan wang.

Memang Umno sudah membahagi-bahagikan wang kepada rakyat dalam bentuk-bentuk yang disihirkan untuk tidak dilihat ianya rasuah politik. Tetapi semua pemberian itu termasuk BR1M bukan ikhlas melainkan ia rasuah politik. Kalau pun yang masih belum dibahagikan tetapi sudah dijanji ialah kepada peneroka Felda diramalkan setiap peneroka bakal menerima RM1,000 seorang.

Penjawat awam juga sudah mulai menerima habuan masing-masing. Bonus yang dijanjikan sudah dimaksukkan ke dalam akauan. Ada yang menerima di antara RM500 hingga RM1,000.

Berdasarkan itu Tengku Razalegih mengira Umno sudah kekeringan wang? Soalnya apakah semudah itu Umno akan kehilangan sumber? Untuk mendapat kuasa kemudian dengan kuasa boleh mendapatkan wang membayar balik perbelanjaan pilihan raya atau untuk berbelanja apa-apa saja termasuk membayar artis jutaan ringgit, banyak pelabur yang ingin menanam budi. Umno sebagai parti yang sudah ada banyak konteks kewangan mudah mendapat wang. Pelabur, korporat syarikat GLC dan sebagainya akan melempat duit kepada UBN.

Wang kali ini adalah kekuatan utama Umno. Kalau sebelum ini wang dikombinasi dengan wibawa Umno, tetapi bukan kali ini. Umno sudah tidak ada wibawa kini. Justeru parti itu akan menggunakan wang sebanyak mungkin. Kalau dalam pilihan raya lalu melibatkan perbelajaan ratusan billion kali ini mungkin ribuan billion. Selain wang Umno juga akan menggunakan kekerasan hatta nyawa demi kemenangan. Dalam keadaan terdesak dan perjuangan ini di antara hidup dan mati Umno akan membayar dengan darah.

Itu sebab Umno meletakkan syarat dan matlamatnya untuk bangsa. Najib pernah bersumpah akan mempertahankan Putrajaya hingga ke akhir hayat. Semua kata-kata dan slogan perjuangan itu menunjukkan Umno akan menjadi gila lebih gila dari gila-gila sebelum ini. Penggunaan kekerasan ini sudah pun bermula, beberapa siri mengganggu majlis Pakatan Rakyat adalah buktinya. Dari sekecil perkara hingga sampai sebesar perkara dilakukan Umno. Sebelum ini mana ada idea Umno untuk mengibarkan bendera BN di stesen komuter tetapi kali ini dilakukan. Ini menunjukkan keterdesakan parti itu.

Mengenai keganasan yang berlaku di seluruh negara, kecuali Sabah dan Sarawak, ada orang cuba menafikan itu bukan atas arahan Umno. Saya hendak tanya secara logik kalau bukan Umno masakan para samseng bertindak sendiri, jauh sekali arahan beruk dan lotong.

Persoalan sekarang bila Parlimen akan dibubarkan dan bilakah tarikh PRU 13. Ada dua indikator yang saya lihat akan digunakan untuk membubar Parlimen. Indikator ini akan diguna pakai oleh Najib sebab beliau berkuasa dalam soal menentukan parlimen dibubarkan dan bila tarikh pilihan raya umum akan diadakan.

Pertama, ialah himpunan Bersih, Duduk dan Bantah yang akan diadakan pada 28 April ini. Peristiwa ini akan dijadikan penanda aras sejauh mana sokongan rakyat kepada Pakatan Rakyat. Umno beriya dan bersungguh benar mengagalkan himpunan ini. Sekiranya himpunan ini gagal mengundang lebih 100,000 demostran ia menggembirakan Umno.

Kerana itu Umno cuba tidak memberi publisiti kepada himpunan kali ini agar ia tidak diberikan sambutan ghairah. Provokasi seperti himpunan Bersih 2.0 sebelum ini tidak dilakukan. Hari ini mana adalah istilah himpunan Bersih sebagai haram. Mana ada lagi report polis oleh NGO atau perrtubuhan-pertubuhan sengket. Begitu juga dengan polis tidak diam membisu dan tidak ada sepatah arang pun komen kepada himpunan Bersih.

Ada dua sebab kenapa ini wujud. Pertama kerana UBN (kerajaan) ingin menguji akta himpuan aman yang dilulus baru-baru ini apakah ia berkesan atau tidak. Umno tidak mengacau dan membuat provokasi agar ia berlangsung dalam keadaan aman. Dengan itu ia akan mengesahkan bahawa akta itu berjaya.

Kedua, kerana pengalaman dialami pada Bersih 2.0 cukup memberi pengajaran. Disebabkan tindakan polis kelihatan nampak tegas dan menguar-uarkan kepada umum himpunan itu haram menyebabkan ia memberi suasana lain. Rakyat bingkas tidak mempedulikan amaran polis. Provokasi polis menyebabkan Bersih 2.0 berjaya.

Tindakan dan taktik polis itu sebagai reverse saikologi. Ia nampak berjaya hari ini bila mana mana mood rakyat kepada Bersih 3.0 kali ini nampak tidak begitu bersungguh. Sehingga ke hari ini suasana Bersih masih belum wujud di mana-mana. Wap Bersih belum memandikan tubuh rakyat. Kelanggaran polis kali ini nampak jelas sekali bila mana T-shirt Bersih berwarna kuning boleh dijual di mana-mana tidak seperti dulu peniaga pun dikejar sampai ke dalam reban ayam.

Sekiranya Bersih 3.0 ini hangat dan lebih 100,000 apa lagi mencecah 500,000 seperti mana diharapkan kemungkinan pilihan raya ke 13 akan dilambatkan. Apa lagi kalau perayaan Umno pada 1 hingga 13 Mei lesu dan tidak bermaya kemungkinan ia akan dibawa hingga ke tahun depan.

Indikator kedua yang akan diguna pakai Umno ialah majlis sambutan Umno pada 11 Mei yang akan bermula pada 1 Mei. Umno akan mengadakan bermacam-macam majlis dan program untuk menarik sokongan rakyat. Kemuncak sambutan ini ialah di stadium Bukit Jalil. Umno mensasarkan suku ahlinya (1 juta) hadir pada majlis berkenaan.

Sekiranya angka itu dapat dicapai dan angka di Bersih kurang 100,000 kemungkinan besar parlimen akan dibubarkan pada pertengah Mei dan pilihan raya akan diadakan pada Jun. Tarikh yang disebutkan pembubaran parlimen ialah antara 16 hingga 23 Mei manakala hari mengundi ialah pada 9 atau 18 Jun.

Sama-sama kita tunggu kepada kedua-dua majlis dan himpunan berkenaan. Kedua himpunan itu adalah perang saraf terakhir bagi kedua-dua pihak Pakatan Rakyat dan UBN. - http://www.msomelayu.blogspot.com/

Harga Sebuah Perjuangan

Nasrudin Hassan at-Tantawi, 19 Apr 2012
1. Sungguh kesal dan memalukan negara ! itulah realiti yang boleh diungkap apabila University of Dataran Merdeka terancam angkara perbuatan ganas dan tidak bertamadun dari sekumpulan samseng yang tidak bertanggungjawab.

2. Saya tidak tahu apakah sentimen yang membuatkan samseng itu mengganas melainkan ianya adalah episod malang yang menimpa iklim sosial negara kita. Ertinya negara kita tidak selamat untuk berkumpul dan berkhemah. Berkhemah di tempat terbuka seperti Dataran Merdeka pun tidak terlepas dari ancaman keganasan samseng, apa jaminan untuk rakyat selamat di ceruk kampung dan desa yang jauh dari balai polis dan ibu pejabatnya.

3. Tahap kesedaran demokrasi pada sebahagian anggota masyarakat masih terlalu rendah justeru kerajaan sendiri sebelum ini terlalu banyak menunjukkan tauladan buruk kepada masyarakat dalam perkara ini yang membawa kepada pencabulan demokrasi seperti menggunakan polis, FRU dan water cannon untuk membelasah rakyat sendiri yang berhimpun secara aman. Saya tidak hairan apabila ada segelintir anggota masyarakat bertindak samseng ala-ala polis dan  FRU menyurai perhimpunan aman anjuran Pakatan Rakyat sebelum ini.

4. Lebih malang apabila pihak polis yang balai mereka tidak jauh dari Dataran Merdeka seperti tidak mampu berbuat apa-apa untuk memberi keselamatan kepada masyarakat awam dari gangguan samseng dan pengganas. Sekaligus memberi gambaran buruk kepada masyarakat antarabangsa bahawa Malaysia tidak selamat! Dataran Merdeka amnya adalah kawasan tumpuan pelancong. Jika kawasan tumpuan pelancong seperti ini, samseng boleh bermaharajalela, ertinya  tahap keselamatan negara dalam keadaan parah!

5. Himpunan Mahasiswa adalah aman. Mereka berkhemah dan duduk santai menyuarakan tuntutan mereka kepada awam amnya dan kepada kerajaan khasnya. Kenapa mereka mesti dilayan sedemikian rupa? atau siapakah yang mengupah samseng ini? atau mereka mahu menarik lebih ramai lagi mahasiswa berkampung dan berkhemah di Dataran itu?

6. Asalnya mereka berkumpul dalam jumlah yang kecil sekadar untuk menyatakan tuntutan mereka. Apakah kerana jumlah mereka yang berkumpul itu  kecil , maka mereka boleh dibuli sedemikian? itu hanyalah warm up kepada Himpunan Besar pada 28 April ini! atau memang mereka mengumpan agar mahasiswa seluruhnya turun berkampung di Dataran Merdeka?  Jangan hairan jika selepas ini, himpunan ini makin bertambah ramai.

Saya harap mahasiswa dapat bersabar mendepani cabaran provokasi ini. Teruskan dengan tuntutan anda! jangan mengalah dengan cabaran kecil ini.

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Jangan perli Korea Utara

Subky Latif, 19 Apr 2012
TIDAK dipedulikannya kecaman semua dunia, Korea Utara melancarkan juga ujian pelancaran roket jarak jauhnya. Malangnya roketnya meletup berkecai sebelum masuk ke obit angkasa.
Lalu sekalian yang anti Korea Utara bertepuk tangan dan bersorak atas kegagalan ujian itu.
Semuanya mengejek-ngejek  dan memperli Korea Utara atas malang menimpa roketnya itu.
Saya tidak seronok adanya dunia yang berlumba-lumba mencipta roket jarak jauh, peluru berpandu dan senjata nuklear. Ia satu malapetaka yang mengancam dunia  dan keamanan.
Tetapi kuasa nuklear  dan roket jarak jauh berisi nuklear sudah ada di dunia dan semuanya dimiliki oleh negara yang keras kepala dan sombong-sombong belaka.
Hampir 30 tahun dulu sebuah negara sombong itu yaitu Perancis menguji senjata nuklearnya di Lautan Pasifik. Jauh  di luar sempadan wilayahnya. Semua dunia bising membantahnya. Negara-negara nuklear yang sombong di barat seperti Amerika tidak sungguh-sungguh membantah.
Ia tidak menjadi juara membantahnya di PBB seperti yang dibuatnya terhadap Korea Utara dan pelan nuklear Iran. Hanya negara-negara kelas dua dan kelas tiga saja yang bising membantahnya. Langsung tidak dipedulikan Perancis.
Ketika Korea Utara hendak melancar ujian roket jarak jauhnya, semua anti Korea Utara bangkit membantah. Berbagai ancaman dihadapkan kepadanya jika ia meneruskan juga. Tetapi tidak dipedulikannya. Ia tembak juga roketnya ke udara.
Untung bagi sekalian musuh Korea Utara roket yang diuji itu meletup sebelum masuk ke obit. Ia gagal.
Semua pengecam dan pengutuk Korea Utara itu seronok. Mereka seronok kerana kegagalan itu menyelesaikan kebuntuan mereka untuk menghadapi isu itu. Amerika, Korea Selatan, Jepun dan lain-lain buntu dan tidak tahu apa nak buat jika ujian itu berjaya dan Korea Utara menggunakan roketnya seperti lain-lain kuasa neuklear menyimpan saja benda haram yang berbahaya itu.
Kalau Israil belum menggunakan roket nuklearnya kepada mana-mana negara Islam, maka belum tentu Korea Utara akan menembaknya ke Korea Selantan dan Jepun. Maka Korea Utara akan jadi seperti lain-lain negara yang ada alat dan senjata itu. Oleh kerana  ia tidak mendengar cakap Amerika  dan Nato, maka mereka menjadi anti roket dan senjata nuklear Korea Utara.
Korea Utara gagal dalam percubaan dan pelancarannya yang pertama itu. Jangan semuanya bangga dan memperleceh kegagalan Korea Utara itu.
Kegagalannya ialah pelancaran dan ujian itu tidak berjaya. Tetapi Korea Utara sudah mencapai kemajuan yang tinggi dalam bidang roket dan senjata itu. Di bidang itu ia sudah berada di atas Korea Selatan dan Jepun yang belum diketahui ia ada ilmu dan pengetahuan itu.
Korea Utara dengan segala kemiskinan dan ketempangannya, ia ada ahli-ahli sains dan jurutera dalam bidang itu. Mereka capai apa yang ada dengan keupayaan sendiri, tidak diajar dan dibantu oleh sesiapa. Ia belajar sendiri, ia buat  sendiri. Ia reka dan tiru dari jauh apa yang orang lain capai.
Sehingga ini ia belum dapat ilmu secukupnya seperti yang ada pada kuasa roket dan nuklear yang lain. Ia sedikit kurang dari Amerika  dan Israil. Tetapi ia sudah di atas puluhan negara dan bangsa yang tidak ada ilmu seperti yang ia ada.
Ia tidak berjaya atas usaha dan ilmu yang dicarinya sendiri. Ia kini sedang mencari  di mana silap dan kelemahan itu. Kegagalan itu mungkin berbentuk sementara. Ia akan terus mencari kelemahannya dan akan mencubanya lagi.
Jangan bersorak atas kejadian itu.
Kalau Jepun yang pakar dalam pengeluaran motokar dan menjadi gergasi pengeluaran motokar pernah setahun lalu menarik ribuan motokarnya dari pasaran dunia kerana ada kegagalan teknikal yang membahayakan, maka ia adalah bukti pakar juga boleh melakukan kesilapan sedang ia sudah menguasi dan amat mahir dalam bidang itu.
Maka Korea Utara yang belum menjadi kuasa dalam bidang roket jarak jauh dan belum punya kapal angkasa, sudah tentu boleh melakukan kesilapan teknik.
Jangan rendahkan  keupayaan Korea Utara. Ia akan baiki kesilapannya dan ia adalah negara termaju  di bidang itu dibanding dengan lailn-lain negara yang tidak ada ilmu dan kemajuan itu. Mungkin kurang dari sepuluh tahun Korea Utara layak menyertai kelab persenjataan itu.

A.Samad Said di tengah gelombang rakyat

-, 18 Apr 2012
Malam Selasa lalu, kami dari Seniman Paksi Rakyat (Paksi) dan Markas Madrasah Tarbiyah, Kampung Bandar Dalam, Kuala Lumpur, pimpinan Cikgu Ishak Surin,  telah mengadakan sambutan hari lahir Sasterawan Negara, A. Samad Said yang ke 77 dalam suasana penuh shahdu dan sederhana.

Kami meraikan beliau bukan semata-mata kerana menyambut hari lahirnya itu, tetapi bahkan kerana kehadirannya di tengah-tengah medan perjuangan yang membara, malah menjadi antara tokoh penggerak utama kebangkitan rakyat, selaku Pengerusi Bersama Bersih 3.0.

Beliau telah mencetuskan sebuah phenomena yang menarik terutama di kalangan golongan muda.

Hadir sama di majlis tersebut, penyair/dramatis Dinsman, Prof. Dr. Siti Zainon Ismail, Kasim Muhamad (Bara Jiwa), Hasni Abas, Pak Saleh Bakar, Kumpulan Rahmat, Yeoh dari kumpulan Anak Muda Sri Petaling dan ramai lagi.

Saya sendiri diminta menyampaikan sedikit kata-kata dengan menyebutkan bahawa dalam umur 77 tahun, A. Samad Said dapat menyaksikan suasana politik dan kemasyarakatan yang sedang menuju ‘arah yang tidak tentu arah’.


(A Samad bergambar dengan rakan-rakannya selepas diraikan)

Beliau sedang menyaksikan suasana seolah-olah negara dan bangsa ini kehilangan arah, jati diri, kehilangan kebebasan, malah seperti kehilangan manusiawinya.

Sebagai sasterawan, barangkali beliau menyaksikan semunya ini dengan penuh kecewa dan bertanya mengapa negara dan bangsa yang sudah lebih setengah abad merdeka ini berada dalam kancah yang sedemikian rupa.

Kita beragama Islam dan berbangsa Melayu tetapi malangnya di mana kita meletakkan pesan-pesan Al-Quran yang bermaksud: “Kami jadikan kamu umat yang sederhana, pertengahan, adil, menjadi saksi kepada manusia dan Rasul menjadi saksi kepada kamu.” – Ayat 124, Surah Al-Baqarah.

Tetapi apa yang terjadi, keadaan sekarang sangat kontras dengan pesan-pesan Al-Quran itu.

Sebagai sahabat lama sejak setengah abad lalu, malah pernah bertugas di bawahnya ketika beliau menjadi Editor Berita Harian dulu, saya amat gembira dan terharu bahawa sasterawan yang satu ini berdiri gagah, walaupun dalam usia 77 tahun, memikul amanah untuk melaksanakan tuntutan agama supaya menyeru kepada yang makruf, mencegah kepada yang mungkar.

Seperti kata A. Samad Said sendiri dalam bukunya ‘Dari Salina Ke Langit Petang’ bahawa “tidak ramai manusia yang sempat memikirkan apa ertinya kehidupan mereka. Makanya dengan caranya sendiri, dengan kehalusan seninya dan kekayaan imaginasi dan fikirannya, penulis sebagai seniman berupaya menyingkapkan pengalaman baru kepada sesiapa  saja yang meresapi atau menghayati karyanya.”

Hari ini A. Samad Said hadir dan mengalir, memberikan sumbangan kepada masyarakat sesuai dengan peranan sasterawan sebagai jurubicara masyarakat, hidupnya tidak sia-sia.

Semoga akan lahir lagi tokoh sasterawan seperti A. Samad Said di mana bukan saja karyanya dibaca dan ditelaah, menjadi khazanah bangsa dan negara, tetapi perjuanganya juga akan dikenang hingga abadi.

Di majlis malam itu, Prof. Dr. Siti Zainon turut memberikan ucapan yang sangat mengesankan.
Katanya, ketika kita menyambut hari lahir A. Samad Said ke-77 ini, kita sebenarnya jangan lupa akan peranan dan sumbangan seorang ibu yang membesarkannya. Kerana itu ibunya dan ibu kita juga sangat penting dikenang justru tanpa ibu, kata Siti Zainon, siapalah kita.

Malam itu Dinsman membacakan sebuah puisinya mengenai erti penyair dan kepenyairan itu sendiri dalam kehidupan dengan berkata, “kadang-kadang saya bertanya sendiri mengapa saya menulis puisi. Hari ini saya telah mendapat jawapan dengan apa yang dilakukan oleh A. Samad Said.”

Hasni Abas bercerita mengenai pengalaman mengenali A. Samad Said, sementara Pak Saleh Bakar, seperti biasa, dengan pantunnya.

Nasser pula menceritakan bagaimana dia telah menjadikan puisi A. Samad Said ‘Tetamu Senja’ sebagai isi kad jemputan perkahwinannya. Kata Nasser, beliau masih menyimpan kad jemputan itu.

Mungkin ada orang – bahkan mungkin di kalangan sasterawan sendiri -merasa anih dengan kehadiran A. Samad Said di tengah-tengah pentas perjuangan rakyat ini, ketika ada di kalangan penulis sendiri merasakan lebih selamat berada dalam ‘zon selesa’ dan sekedar menjadi pemerhati. Itu adalah pilihan mereka.

Namun seperti kata A. Samad Said di malam meraikannya itu, “Saya sebagai sasterawan tidak mahu sekedar menjadi pemerhati, tetapi mahu berada di tengah-tengah perjuangan rakyat ini, lebih-lebih lagi sebagai sasterawan, saya menjadi jurubicara mereka.”

A. Samad Said ternyata menyambung legasi tokoh penulis besar di masa lalu - Dr. Ishak Haji Muhamad dan Dr. Usman Awang, Ahamad Boestamam serta Shahnon Ahmad, Azizi Abdullah  - yang terus menerus memperjuangkan keadilan masyarakat dan golongan miskin.

Kini, karya sastera, terutamanya puisi, tidak lagi ‘terpencil’ dan dipandang sepi oleh masyarakat.
Dengan kehadiran A. Samad Said, puisi berada di tengah-tengah perjuangan rakyat dan tidak lagi berkurung di di bilik-bilik khusus berhawa dingin untuk kalangan penulis, peminat dan pengkaji sastera saja, tetapi ia kini suara penyair berada di tengah masyarakat, di Dataran Merdeka dan di mana saja ada gelombang rakyat.

A. Samad Said telah mencetuskan phenomena menarik ini. Ia telah memberikan makna kepada kehidupan ini.

Semoga beliau dikurniakan Allah s.w.t. dalam keadaan sihat walafiat dan diredhai perjuangannya.
--------------------------------------------------------------------------
Abd Shukur Harun boleh dihubungi melalui email shuukurharun@yahoo.com

Kadir naik pentas PAS di Kupang

Subky Latif, 16 Apr 2012
RENCANA ini ditulis sehari sebelum Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir naik pentas PAS  di Kupang, Baling berceramah bersama Presiden PAS Tok Guru Haji Abdul Hadi Awang dan Pesuruhjaya PAS Kedah Ustaz Azizan Abdul Razak.

Ketika ini belum diketahui Kadir, bekas Empi BN Kulim-Bandar Baru lebih dari 20 tahun menyertai PAS. Tetapi yang ketara ialah dia mengkritik pimpinan dan  amalan UMNO dan kerajaan di bawah Perdana Menteri Najib. Dan dia masih menjadi Timbalan Pengerusi Amanah, sebuah NGO pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah yang rata-rata  anggotanya adalah veteran pimpinan Barisan Nasional.

40 tahun  dulu Dr. Mahathir yang  marah kepada UMNO dan pimpinannya kerana memecatnya dari UMNO naik berceramah di pentas PAS Kapar, Selangor dalam satu kempen Pilihan Raya Kecil. Dr. Mahathir berbuat begitu kerana dia dipecat dari UMNO.

Macam-macam keburukan pimpinan UMNO dicercanya.

Berbeza dengan Kadir yang tidak dipecat dari UMNO. Dia dicabar keluar dari UMNO oleh UMNO, dan dia menyahut cabaran itu. Dia belum dibuktikan bersalah kepada UMNO oleh UMNO dan kalau apa kesalahannya dia menegur  amalan buruk pimpinan dan penyokong UMNO yang tujuannya untuk membetulkan UMNO dari amalan buruk seperti penyelewengan dan rasuah.

Berbeza dengan orang-orang kanan PAS dan PKR tercicir dari parti itu atas beberapa sebab lalu mencerca parti dan pimpinannya dipercayai mendapat habuan dan banyak janji manis  dari UMNO dan kerajaan, Kadir tidak diberi apa-apa  dan  tidak dijanjikan apa-apa oleh PAS kerana tidak ada apa-apa yang PAS hendak tawarkan.

Mungkin yang boleh diberi kepadanya satu sampul surat berisi RM150 sebagai sagu hati berceramah di pentas PAS seperti yang selalu PAS beri kepada penceramahnya. 100 atau 150 ringgit itu tidak ada apa-apa bagi Kadir dibandingkan dengan apa yang lebih menarik jika kekal bersama UMNO.

Kalau pun ialah ghanimah – rampasan perang – kiranya Pakatan Rakyat dapat meramps Putrajaya selepas PRU13 nanti. Itu pun kalau BN kalah. Tetapi Kadir pun tahu bahawa Pakatan tidaklah akan membagi sesama sendiri baki khazanah negara yang tinggal bila ia berkuasa.

Kalau kepentingan dan kedudukan yang  diburunya, dia boleh mengekalkan kedudukan yang bersama kerajaan sekarang tanpa berbelanja sendiri. Tetapi jika yang diburu itu kedudukan dan kebendaan bila Pakatan berkuasa, maka dia terpaksa berbelanja dengan apa yang ada padanya seperti pengorbanan orang-orang Pakatan yang lain.

Tetapi Kadir terjun ke pihak yang hendak menumbangkan kerajaan kerana kesedaran dan keinsafannya. Orang boleh kata macam-macam pada Kadir dan pada PAS dan Pakatan menerima  saja pelarian UMNO sedang dia pun dikatakan tidak banyak beza dengan orang-orang UMNO yang lain. Konon bagi PAS orang lari dari UMNO dan BN itu jadi baik dengan tiba-tiba.

Semua sewajarnya berfikir dan bertindak positif. Kadir meninggalkan kumpulan yang berkuasa untuk bersama sementara ini pihak yang tidak berkuasa. Dia meninggalkan tempat senang untuk bersama yang tidak senang. Untung rugi Kadir yang tanggung. Risiko yang Kadir hadapi adalah tinggi. Orang yang sedia menghadapi risiko berdepan dengan dua kemungkinan, sama ada untung besar atau tersungkur.

Orang yang bersedia menghadapi risiko tidak boleh dikira bodoh atau membunuh diri, tetapi dia sedang berkorban. Itulah ciri-ciri perjuangan. Bila dia tinggalkan UMNO untuk menyatakan kelemahan UMNO sekarang, ertinya dia berjuang bersendiri.

Bila dia naik pentas PAS, dia berkongsi dengan pihak yang sedang berjuang dan yang sedang berhabis-habisan dalam perjuangannya. Bagi Pakatan perkembangan di sekitar Kadir adalah keuntungan awal dalam perjuangan. Penyertaan Kadir bersama kumpulan pembangkang baik untuk sementara atau pun kekal lebih banyak menguntungkan sebaliknya bagi UMNO dan Najib ia lebih merugikannya.

PAS tidak ada sebarang kerugian dengan kedatangan Kadir dalam bentuk yang ada. PAS menerima keuntungan saja. Kalau dengan kejadian Kadir itu Pakatan kalah juga dalam pilihan raya, ertinya ia  tidak dapat untung banyak. Ia dapat untung kecil saja. Yang rugi besar kalau BN menang juga, mungkin Kadir sendiri.

Tetapi Kadir sudah membuat pilihan  dan bersedia menerimanya. Kita mengalu-alukan orang yang berani membuat keputusan. Adat perjuangan ada duka dan ada gembira. Perjuangan tidak senang  saja dan  tidak pula  susah  saja. Susah berjuang adalah lebih mulia dari senang orang yang tahu dan tidak mahu berjuang.

Setakat  apa yang Hasan Ali buat jauhlah eloknya Kadir.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan