Sabtu, 14 April 2012

CINTA ALLAH..CINTA ISLAM...DENGAR DAN PATUH...DAN TAK BANYAK SONGEL...IKUT ISLAM...ISLAM TADBIR HIDUP BERMASYARAKAT..BERPOLITIK..DAN SEGALANYA...HINGGA TAK RAGU2 UNTUK LAKSANAKAN HUDUD

Mahkamah tolak saman Umno atas Ustaz Hadi, Mohd Sabu

Harakahdaily, 13 Apr 2012
SHAH ALAM, 13 April: Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini menolak dengan kos tuntutan saman RM10 juta Umno Selangor ke atas Presiden PAS, Tuan Guru Ustaz Hadi Awang dan timbalannya, Haji Mohd Sabu di atas alasan saman tersebut bertentangan dengan seksyen 9(c) Akta Pertubuhan 1966.

Umno Selangor telah melalui Setiasusaha Perhubungannya, Ir Datuk Seri Mohd Zin bin Mohamed  memfailkan writ saman ke atas Ustaz Hadi dan Mohd Sabu dan beberapa individu lain bagi menuntut gantirugi RM10 juta atas dakwaan akhbar Harakah memfitnah Umno Selangor di dalam satu artikel bertajuk 'PAS akan dedah bukti Umno main peranan operasi Jais'.

Dengan keputusan ini, hanya tinggal tiga lagi defendan dalam kes saman Umno ini.

Artikel Harakah tersebut telah diterbitkan pada edisinya bertarikh 19 Ogos 2011 yang lalu.

Ustaz Hadi dan Mat Sabu kemudiannya telah memfailkan Saman Dalam Kamar di bawah Aturan 18 Kaedah 19 (1) (a)  Kaedah-kaedah Mahkamah Tinggi 1980 bagi membatalkan saman Umno Selangor tersebut.

Yang Arif Hakim Datuk Ahmad Zaki Husin ketika menolak tuntutan Umno Selangor tersebut bersetuju dengan hujah peguam Mohamed Hanipa Maidin yang mewakili Ustaz Hadi dan Mohd Sabu bahawa saman Umno Selangor ke atas kedua-dua tokoh PAS tersebut telah gagal mendedahkan apa-apa kausa tindakan kerana ia bertentangan dengan seksyen 9(c) Akta Pertubuhan.

Di dalam hujah lisannya Hanipa berhujah perkataan 'any office bearer (mana -mana pemegang jawatan) di dalam seksyen 9 (c) akta tersebut bermaksud hanya seorang pemegang jawatan di dalam PAS yang boleh di saman maka tindakan Umno Selangor yang menamakan lebih dari seorang pemegang jawatan PAS tersebut adalah secara jelas satu penyalahgunaan proses Mahkamah kerana ia melanggar seksyen 9(c) Akta tersebut.

Saman Umno Selangor tersebut telah difailkan oleh peguam Umno iaitu Tetuan Hafarizam, Wan Mubarak manakala Ustaz Hadi dan Mohd Sabu diwakili oleh Tetuan Mohamed Hanipa & Associates.

Kasih seorang ibu adalah kasih sejati

http://kide-picture2u.blogspot.com, 13 Apr 2012


Seorang lelaki diabaikan, dibuang oleh rakan-rakan, saudara, dan isterinya. Beliau menghidapi asma, dan hidup menderita berdekatan hospital Jipmer, Pondicherry, India.

Namun, Ibu lelaki tersebut tidak putus asa memberi kasih sayang dan cuba segenap hati untuk menyelamatkan anak kesayanganya itu. Jelas kelihatan, satu-satunya kasih yang takkan hilang ialah kasih ibu.

Cinta seorang ibu adalah suci, tanpa syarat, dan selamanya!

Lynas: Kapitalis untung, rakyat kaut radioaktif

Anis Nazri, 13 Apr 2012
KUALA LUMPUR, 13 April: Setelah hampir sebulan kumpulan anti-Lynas berhimpun secara besar-besaran di Kuantan, sekali lagi himpunan serentak di seluruh negara diadakan, petang tadi.

Di Shah Alam, kira-kira 200 peserta berbaju warna hijau, berhimpun di Dataran Bandaraya Shah Alam, sebagai bantahan terhadap sikap kerajaan dalam menangani isu loji nadir bumi, Lynas Advanced Materials Plant (LAMP), di Kuantan, Pahang.

Kumpulan tersebut yang bergerak dari Masjid Negeri Shah Alam, selepas solat Jumaat itu, diketuai Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

Mohamad ketika berucap di hadapan peserta solidariti, berkata projek di Kuantan ini hanya memberi keuntungan kepada pihak kapitalis, manakala rakyat hanya mengaut sisa radioaktif dari projek berkenaan.

Katanya, sudah jelas kesan dari projek LAMP ini hanya membawa kemusnahan, bukan sahaja kepada kesihatan manusia, tetapi juga terhadap alam sekitar.

“Kita tidak mahu apa yang berlaku di Bukit Merah, Perak berulang di Kuantan.  Malaysia bukan ‘dumping site’ untuk sisa berbahaya. Ini bukan isu parti, bangsa apa yang perjuangkan. Ini tentang kemanusiaan," tegas beliau.

Sementara itu, jurucakap Badan Bertindak Anti Rare Earth (Badar), Zulkefly Mohamad Omar berkata, pihaknya akan memfailkan rayuan berhubung penolakan semakan kehakiman yang difailkan sepuluh penduduk Gebeng, Kuantan terhadap tindakan Atomic Energy Licensing Board (AELB) meluluskan lesen operasi sementara kepada Lynas.

“Kita akan failkan rayuan. Kita yakin ada kepentingan pihak tertentu dalam mempertahankan projek ini.  Hanya satu sahaja isyarat yang wajar rakyat tunjukkan kepada pemerintah sebagai penentangan terhadap projek ini. Tolak mereka yang menyokong pembinaan loji Lynas dalam pilihan raya umum akan datang,” tegasnya.

Himpunan itu turut dihadiri Ahli Dewan Undangan (Adun) Hulu Kelang, Saari Sungib; Adun Meru, Dr. Rani Osman; peguam Harris Ibrahim, Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), S. Arutchelvam dan aktivis mahasiswa, Safwan Anang.

Mereka melaungkan pelbagai slogan, antaranya ‘Henti Lynas’, ‘Hidup Rakyat’, Hidup Alam Sekitar’, ‘Jahanam Kapitalis’ dan ‘Go Back To Australia’.

Kira-kira 20 anggota polis beruniform dan berpakaian preman hanya memerhatikan himpunan, manakala anggota trafik mengawal keadaan lalu-lintas.

Di Melaka, Pakatan Rakyat Melaka turut berjaya menghimpunkan kira-kira 200 peserta bagi menyatakan solidariti berhubung isu sama.

Perhimpunan yang diadakan di hadapan kampus Universiti Terbuka Malaysia, Bukit Palah, itu turut disertai Pesuruhjaya PAS Melaka, Adly Zahari.

Selain Adly, turut serta dalam perhimpunan tersebut ialah pemimpin Pakatan Rakyat negeri, antarana Pengerusi DAP,  Goh Leong San; Timbalan Pengerusi PKR, Rahim Ali serta wakil daripada Dewan Perhimpunan Cina Melaka dan Solidariti Anak Muda Malaysia.

Di Sungai Petani, Kedah, hampir 2000 kumpulan anti-Lynas berhimpun di Dataran Jam Besar, yang turut disertai Ahli Parlimen Jerai, Firdaus Jaffar; Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul; Adun Kota Darul Aman, Lee Guan Aik; wakil Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM).

Selain di Shah Alam, Melaka dan Kedah, turut berlangsung himpunan sama di 10 lokasi lain seperti di Pahang (Masjid Al-Fatah, Batu 3, Kuantan), Perak (tapak kilang ARE Bukit Merah, Menglembu), Sarawak (Masjid At Takwa, Miri), Kelantan (Dataran Ilmu, Kota Bharu), Negeri Sembilan (Taman Tasik Seremban), , Johor (Masjid Daerah Batu Pahat), Terengganu (Masjid Pengadang Baru, Kuala Terengganu), Pulau Pinang (Masjid Permatang Janggus, Permatang Pauh).

Umno = United Myanmar Nepal Organisation

Mohd Sabri Said, 13 Apr 2012
KEPALA BATAS, 13 April: Umno sudah jadi 'United Myanmar Nepal Organisation' bukan lagi 'United Malays National Organisation' sepertimana yang menjadi kebanggaan orang Melayu suatu hari dulu, kata Timbalan Presiden PAS Haji Mohamad Sabu (gambar).

Ketika berucap di program minum petang anjuran PAS Tasek Gelugor di Taman Sepadu, Tasek Gelugor semalam, beliau menempelak kepimpinan parti perkauman itu kerana sanggup menjual negara semata-mata untuk mencapai kemenangan pada pilihanraya umum akan datang.

"Umno dan jadi parti serabut iaitu United Myanmar Nepal Organisation bukan lagi Umno seperti dulu yang bekerja kuat untuk rakyat walaupun ada kalangan mereka mengamalkan dasar penyelewengan, rasuah dan penipu," jelasnya.

Bagi beliau, Umno sudah tersasar jauh daripada landasan mereka untuk memastikan Melayu terpelihara dengan aman, harmoni di tanah air sendiri.

Sekarang ini Umno tidak boleh di terima ramai sebagai sebuah parti yang mahu membantu anak Melayu sebaliknya menjadi sebuah 'parti penekan' untuk anak bangsa maju di bidang tertentu.

Tambahan lagi kepimpinan mereka tiada lagi rasa tanggungjawab membela kalangan Melayu yang ketinggalan, dakwanya.

Bagi mereka jika ada peluang ambil dulu, manakala yang tinggal serpihan barulah diberikan kepada rakyat jelata khususnya orang  Melayu.

Sehubungan itu, Umno jelas Haji Mohamad Sabu, tidak releven lagi untuk diperjuangkan oleh orang Melayu khasnya kerana memperalatkan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), Jabatan Pendaftaran Negara dan (JPN) dan penglibatan Pegawai Khas Perdana Menteri bagi memastikan Umno dan Barisan Nasional (BN) kekal menguasai negara.

Ujarnya, mereka sanggup jadi pengkhianat untuk terus berkuasa tanpa berfikir tindakan itu mengancam ketenteraman negara serta membolehkan negara tergadai suatu hari kelak.

"Biar Umno, JPN, SPR dan pegawai Khas Perdana Menteri buat perkara yang tidak betul.  Kita tetap akan ke perhimpunan duduk bantah Bersih 3.0 di Kuala Lumpur nanti.

"Saya harap semua ahli, penyokong dan orang yang prihatin terhadap penyelewengan SPR gerakan langkah ke perhimpunan tersebut nanti, " ajaknya.

Bagi beliau, 'Task Force' yang ditimbulkan oleh ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar itu bukan perkara yang boleh dipandang ringan kerana perbuatan tersebut mengundang keresahan rakyat.

Bukan itu sahaja, kedatangan warga asing untuk mengundi itu kelak pastinya mengundang kemarahan rakyat tempatan walaupun mereka ada kad pengenalan dan nama sebagai pemilih.

"Saya benar-benar bimbang apabila warga asing datang mengundi nanti.  Pasti terdapatnya bantahan penduduk tempatan walaupun mereka mempunyai kad pengenalan sah dan terdapat nama dalam buku pemilih.

"Umno mungkin tidak terkejut kerana merekalah perancang utama fenomena tersebut yang jadi mangsa nanti rakyat yang tidak puas hati, " jelasnya beliau lantang.

Sementara itu dalam ceramahnya sempena Paluan Gendang PRU13 yang diadakan di Padang Awam, Penaga, Kepala Batas, Mohamad berbangga sekarang ini kerana ramai anak muda sertai PAS termasuklah golongan artis.

Golongan artis yang dulunya terdedah dengan gejala yang kurang bermoral kini terpanggil untuk membantu PAS menyuarakan kehendak parti dan Pakatan Rakyat.

"Keadaan ini amat membanggakan saya kerana mereka yang bergelar artis sanggup turun padang atau berada sepentas dengan kepimpinan PAS menyuarakan prinsip PAS kepada masyarakat, " tegas beliau.

Turut berucap pada program Paluan Gendang PRU13 itu ialah Pengarah Jabatan Pilihanraya PAS Pusat, Pesuruhjaya PAS Johor, Dr Mahfudz Mohamed, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Datuk Saleh Man, Pengarah Jabatan Pilihanraya PAS Pulau Pinang, Rosidi Husain dan wakil Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang, Ir Haji Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.

Chua Soi Lek rasis, bukan Lim Guan Eng

Anis Nazri, 13 Apr 2012

(Chua Soi Lek yang rasis bukan Lim Guan Eng)

KUALA LUMPUR, 13 April: Melabelkan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sebagai rasis merupakan lagu lama yang didendangkan semula pihak tertentu.

Adalah lebih baik sekiranya pihak terbabit memberi tumpuan bagaimana untuk menasihati MCA, khususnya presidennya, Datuk Chua Soi Lek yang terbukti menghina Islam dan bersifat cauvinis.

Selain menyifatkan kenyataan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) sebagai ketinggalan zaman, Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) melihat JMM hanya menjadi penerus kepada suara Umno yang kini semakin ditolak dan hilang kepercayaan rakyat, termasuklah daripada kalangan orang Melayu.

Ketua penerangannya, Aiman Athirah al-Jundi (gambar bawah), berkata Pakatan Rakyat dan rakyat yang mencintakan keamanan dan perpaduan sudah lama bertindak memboikot Utusan Malaysia yang didakwa menjadi medium untuk menyebarkan api perkauman dan pergeseran antara kaum.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Presiden JMM, Azwanddin Hamzah yang menyifatkan Setiausaha Agung DAP itu sebagai rasis apabila kononnya meminta beberapa Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di Pulau Pinang berhenti melanggan Utusan Melayu.

Azwanddin dilaporkan berkata tindakan Guan Eng itu merupakan satu bentuk rasis dan hasutan secara halus bagi membenci bahasa Melayu, sedangkan ia adalah bahasa kebangsaan negara.

Beliau juga berkata, tidak sepatutnya Guan Eng berbuat sedemikian yang hanya akan membentuk generasi muda di SJKC membenci bahasa Melayu dan secara tidak langsung kepada orang Melayu.

Mengulas lanjut, Athirah berkata tindakan Guan Eng itu tepat, dan sewajarnya turut diambil semua pihak yang cintakan keamanan dan perpaduan.

"Utusan sudah lama tidak berpegang kepada etika kewartawanan dan pemberitaan yang telus, selain bersifat berat sebelah dan tidak layak dijadikan model atau contoh kepada generasi muda Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama," dakwa beliau, hari ini.

Tambah Athirah lagi, semangat perpaduan yang lebih 'genuine' terserlah melalui parti-parti Pakatan Rakyat, yang mana tidak ada satu pun parti komponen Pakatan Rakyat yang dibangunkan daripada semangat satu bangsa semata-mata.

"Sedangkan BN yang gegak-gempita melaungkn 1 Malaysia itu, parti-parti komponennya sarat dengan semangat perkauman yang ranum tetapi berlindung di sebalik kelambu dacing BN mereka," tegas Athirah.

Justeru, beliau mengingatkan JMM dan rakyat seluruhnya, wajib bersikap jujur dalam menilai berdasarkan fakta dan kebenaran, bukan terus dihantui dan dikelabui sentimen perkauman yang selama ini dibajai dalam asuhan regim BN.

Task Force: Umno diam kukuhkan hujah

Salmiyah Harun, 13 Apr 2012
KUALA LUMPUR, 13 April: Sikap mendiamkan diri Umno  terhadap dakwaan wujudnya 'task force' bagi memberi taraf kerakyatan kepada warga asing memperkukuhkan lagi hujah dan alasan yang diberikan sebelum ini.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar atas)  yang mendedahkan konspirasi itu minggu lalu percaya Umno mengambil langkah tidak melayan dakwaannya itu dibimbangi 'memakan diri mereka sendiri'.

"Saya percaya jika kerajaan Umno BN layan dakwaan saya, ia akan menjadi malapetaka besar kepada Umno BN dan akan menjadi 'api membakar diri mereka sendiri'," katanya kepada Harakahdaily.

Tambahnya, sikap membisu kerajaan itu sekali gus mewajarkan Yang DiPertuan Agong perlu membentuk Suruhanjaya Diraja dengan segera bagi meneliti dakwaannya itu.

"Sikap diam diri ini juga memperkukuhkan cadangan yang telah dibuat oleh PSC dalam laporan awal di mana mencadangkan Suruhanjaya Diraja bagi menyelesaikan kes yang sama di peringkat negeri Sabah.

"Sekarang ini bukan lagi menjadi isu yang terpencil di Sabah tetapi isu nasional," katanya.

Pendedahan wujudnya 'task force'  oleh Ahli Parlimen Pokok Sena itu seharusnya dipandang serius oleh kerajaan.

Namun, selepas seminggu ianya didedahkan, sehingga kini kerajaan belum memberi sebarang respons terhadap dakwaan Mahfuz itu.

Mahfuz juga, bersedia mendedahkan butiran terperinci dakwaannya itu kepada Suruhanjaya Diraja yang akan dibentuk nanti.

Bagaimanapun sehari selepas Mahfuz membuat pendedahan, Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar menafikan sekeras-kerasnya, bahawa beliau terlibat dalam 'task force' dan menyifatkannya sebagai satu perbuatan jahat dan tidak bertanggungjawab oleh Mahfuz.

Begitu juga, Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab juga menafikan beliau terlibat dan menyifatkan dakwaan Mahfuz adalah tidak benar.

Bendera PAS, PKR dan DAP di stesen komuter?

Harakahdaily, 13 Apr 2012
KUALA LUMPUR, 13 April: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) merasa kesal dengan maklumat terbaru di media, Malaysiakini yang melaporkan bahawa Keretapi Tanah Melayu (KTM) membenarkan bendera Barisan Nasional (BN) dipasang di kesemua 28 stesen komuter kelolaan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di seluruh Selangor.

“Dalam hal ini, DPPM merasa kecewa kerana pihak KTM bersikap berat sebelah dengan membiarkan bendera BN dipasang di stesen komuter mereka serta memeliharanya daripada dibuang atau disabotaj,” kata Ketua Penerangannya, Riduan Mohd Nor (gambar).

Menurutnya, mungkin juga mereka sendiri diarahkan oleh pemimpin Umno BN supaya membenarkan bendera itu dipasang.

“Jika begitu, bagaimana dengan bendera milik parti dari Pakatan Rakyat?

“Bolehkah bendera PAS, PKR atau DAP berkibaran di mana-mana stesen komuter di Selangor?” soalnya dalam satu kenyataan.

Bagi DPPM, tegasnya tindakan sedemikian adalah tindakan terdesak pemimpin Umno BN bagi meraih undi simpati rakyat setelah semakin ramai rakyat menolak mereka sehinggakan perkhidmatan awam juga mahu dipolitikkan dengan tindakan begitu yang amat memualkan.

Katanya, jika bendera BN terus berkibar di stesen-stesen komuter,  DPPM merasa bimbang jika rakyat akan memboikot daripada menggunakan perkhidmatan komuter dan KTM akan menanggung kerugian yang besar nanti.

“DPPM mengingatkan KTM dan pemimpin Umno BN bahawa perkhidmatan komuter adalah untuk orang awam dan ianya dinaiki oleh rakyat pelbagai peringkat. Membiarkan bendera BN dipasang membayangkan seolah-olah stesen komuter adalah milik BN sahaja,” ujarnya.

Ini, katanya sudah tentu perkara ini akan menimbulkan ketidak selesaan bagi ahli dan penyokong Pakatan Rakyat yang menggunakan perkhidmatan yang sama.

Oleh itu, kata Riduan DPPM mendesak KTM supaya membatalkan arahan tersebut supaya perkhidmatan awam bebas dari kongkongan politik kepartian.

Menurutnya, perkhidmatan awam adalah hak untuk semua rakyat menikmatinya tidak kira dari jalur politik mana sekalipun, bukan untuk penyokong dan ahli BN sahaja.

“Ia juga bukan dibina hasil duit dari BN, tetapi ia adalah hasil daripada duit yang disumbangkan oleh rakyat kepada kerajaan,” katanya lagi.

Bersih persoal 'birokrasi' guna Dataran Merdeka

Harakahdaily, 13 Apr 2012
KUALA LUMPUR, 13 April: Gabungan Pilihan Raya Besih dan Adil (Bersih 2.0) mempersoal kenapa begitu rumit untuk mereka dibenarkan menggunakan Dataran Merdeka sedangkan pihak lain sebelum ini dibenarkan.

“Setiap minggu, pelbagai pihak mengadakan acara dan aktiviti di Dataran Merdeka, jadi mengapa hanya kami yang mendapat halangan?

“Adakah hanya kerana pihak berkuasa tidak suka dengan apa yang kami suarakan?” soal Pengerusinya Datuk S. Ambiga kepada pemberita hari ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan 'menteri udang-undang' Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz dilaporkan menggesa Bersih meminta kebenaran DBKL sebelum mengadakan perhimpunan pada 28 April ini.

Dalam pada itu Ambiga turut menafikan dakwaan perhimpunan itu akan mencemarkan status Dataran Merdeka sebagai warisan sejarah.

Menurutnya lagi, pihak penganjur Bersih 3.0 juga memberi jaminan perhimpunan itu nanti akan berlangsung aman dengan kerjasama pihak polis.

"Jika ada sesiapa cuna menimbulkan masalah dan melakukan keganasan, kami sendiri akan serahkannya kepada pihak polis," tegasnya.

Sementara itu, Bersih juga hari ini mengumumkan bandar yang dijadikan lokasi perhimpunan 'Duduk Bantah' yang bakal diadakan serentak seluruh negara dan juga di luar negara.

Selain Kuala Lumpur, himpunan sama turut akan berlangsung di Kuantan Pahang, Melaka, Alor Setar, Pulau Pinang, Ipoh Perak, Miri Sarawak, Sibu Sarawak, Kuching Sarawak dan Kota Kinabalu Sabah.

Di Australia pula mereka dijadual berhimpun di Adelaide, Brisbane, Canberra, Hobart, Melbourne, Perth dan Sydney manakala di New Zealand mereka akan berhimpun di Auckland dan Wellington.

Perbaiki PTPTN, pendidikan percuma tidak mustahil

Abdul Hakim Adzman,
Isu pemansuhan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mula hangat diperkatakan kini. Polemik ini bertambah rumit dengan beberapa isu yang berkaitan seperti penyediaan pendidikan percuma, pengurusan kewangan kerajaan, sistem Ujrah yang dilakukan pihak PTPTN dan masa depan pelajar Melayu.

Dalam menangani isu ini, PEMBINA menyeru semua pihak supaya dapat melakukan perbincangan meja bulat secara intelektual untuk mencari jalan penyelesaian seperti mana yang ditekankan dalam Islam dan bukannya melalui jalan demonstrasi yang hanya meningkatkan emosi tanpa memberikan kefahaman yang jelas terhadap isu tersebut.

Daripada sudut pandang PEMBINA, kami menyokong agar PTPTN terus dikekalkan dengan penambahbaikan dari sudut sistem dan implimentasi. Keadaan semasa menunjukkan mahasiswa IPT masih memerlukan bantuan sara hidup bagi meneruskan kehidupan mereka sebagai pelajar IPT. Ini bertepatan dengan objektif penubuhan PTPTN yang telah diterangkan oleh Menteri Pengajian Tinggi Dato Seri Khalid Nordin.

Dengan adanya PTPTN rakyat yang mendapat tawaran ke universiti tapi tidak berkemampuan boleh meminta pinjaman mudah alih. Untuk penambahbaikan mutu perkhidmatan PTPTN, PEMBINA mencadangkan sistem caj perkhidmatan 1% dihapuskan terus dan ditanggung oleh kerajaan sebagai komitmen memberikan kemudahan pinjaman kepada mahasiswa. Ini bertepatan dengan sistem pinjaman Islam dan mampu mengurangkan beban mahasiswa apabila mereka tamat pengajian nanti.

PEMBINA juga menyeru kepada semua pihak supaya tidak berlumba-lumba menjadikan pendidikan sebagai suatu medium untuk menjuarai isu berdasarkan sentimen tanpa kajian terperinci. Ilmu ialah hak setiap individu dan pihak kerajaan perlu memastikan setiap rakyatnya menikmati pendidikan yang sempurna dalam mencapai agenda pembangunan Negara.

Selain daripada isu pemberian kemudahan pinjaman kepada mahasiswa untuk belajar di IPTA/S, penting untuk melihat sistem dan modul pembelajaran yang diguna pakai samada ia boleh melahirkan tenaga mahir atau sekadar pekerja biasa akibat daripada sistem yang mementingkan peperiksaan.

PEMBINA menyambut baik tindakan kerajaan yang sedang memperkukuhkan bidang pendidikan teknikal dan kemahiran agar memberi lebih pilihan kepada pelajar. Bagi pelajar yang menuntut di IPTS, beban pinjaman terpaksa ditanggung apabila mereka mula menduduki alam pekerjaan. Dana untuk operasi bagi institusi pendidikan itu seharusnya bukan datang daripada mahasiswa, sebagai contoh universiti di Singapura telah membuktikan dengan prestasi yang baik universiti mampu beroperasi hasil jualan kajian yang telah dijalankan.

PEMBINA mendesak kepada mana-mana parti politik supaya tidak menggunakan isu ini sebagai “political mileage” untuk mendapatkan sokongan sesetengah pihak. Apa yang penting dalam isu ini ialah kebajikan rakyat dalam mendapatkan pendidikan yang sempurna berdasarkan unjuran kekuatan mampu urus kerajaan.

PEMBINA yakin pendidikan percuma bukanlah sesuatu yang mustahil dan fantasi bahkan kerajaan telah membuktikan pendidikan percuma bagi sekolah rendah menengah, institut kemahiran dan teknikal serta pelajar matrikulasi.

Namun bagi mencapai pendidikan percuma diperingkat ijazah bukanlah usaha semalaman  seperti yang dijanjikan sesetengah pihak. Masyarakat awam diminta tidak mudah terpengaruh dengan janji penghapusan PTPTN bersandarkan formula-formula mudah kerana dalam mentadbir Negara pelbagai aspek perlu diteliti.

Penulis ialah Naib Presiden 1 II Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA)


Tiada ulasan:

Catat Ulasan