Ahad, 15 April 2012

BILA JERUNG DILEPASKAN...SIMISKIN MAKIN TERHIMPIT...ADA GOLONGAN KAYA RAYA

Terima kasih, Hamidah - bagi kami ambil, pangkah tetap bulan!

http://alhusseyn51.blogspot.com/, 15 Apr 2012
Karikatur rasis yang sedang diedarkan ke rumah-rumah
orang Melayu oleh Adun Sungai Rapat, Hamidah Osman
Apabila isteri dan anak saya masuk rumah sekembalinya dari kelas jahitan mereka, anak saya beritahu , "Hamidah kirim salam kat abah," sambil tersengeh-sengeh manja.

Saya buat tak tahu sahaja pada mulanya.Dia nak main-mainkan saya. "Betul bah!" dan dia mengulangi semula ayat tadi, "Hamidah kirim salam kat Abah!"

Saya memandang ke arahnya. Saya lihat dia sedang membawa sebondot barang dalam beg yang pernah saya lihat sebelum ini...

"Ni hah! Hamidah bagi! " katanya sambil ketawa. "Betul ni..." dia bersungguh-sungguh hendak menyakinkan saya.

Isteri saya pun tergelak.Saya juga turut tergelak. Kami semua pun gelak satu rumah. Macam tidak percaya.

Saya ambil barangan tersebut dan bentangkan atas meja kopi di ruang tamu , lalu memanggil anak lelaki saya untuk mengambil gambar saya dengan barangan tersebut. Saya pun posing macam kat bawah ni:

Dapat biskut mayat,gula dan tepung sekampit, boh-tea
kecil dan beberapa risalah Umno/BN
Ibu dan anak pun cerita, ada orang bagi melalui jiran sebelah. "Abah tidak ada di rumah ke tadi?" tanya anak dara saya tu kehairanan sebab barangan itu dititipkan kepada jiran sebelah tu.

Saya juga kehairanan. Saya sentiasa berada depan komputer.Kalau ada orang datang dan beri salam, sudah tentu saya boleh perasan.Tetapi memang tidak ada.

Kemudian itu, seorang kawan menalipon saya memberitahu, puteri Umno sedang nganto barangan Hamidah, rumah ke rumah di Sungai Rokam.Tapi dia orang tak singgah ke rumahnya.

Mungkin sebab mereka terpandangkan gambar 'Nizar yang terpampang kat depan rumahnya itu.

"Kamu tak dapatlah barang Hamidah?" tanya saya ketawa."Tak adalah Cikgu, depa tak singgah pun!"

"Ha! ha! ha!", kami ketawa. Saya terperasan yang ketawa saya lebih besar darinya sebab saya dapat barangan dari Hamidah.

Konsep kami mudah sepertimana TGNA ajarkan kami sejak lama dulu. Bagi ambik, pangkah tetap bulan!

Nazri Aziz sudah bau UBN akan kalah

http://www.msomelayu.blogspot.com/, 15 Apr 2012
Itu menteri suka cakap lepas dan menggunakan bahasa pasar yang kesat, Nazri Aziz berkata dia sudah lama berkhidmat. Sudah jadi menteri selama 13 tahun, timbalan selama lima tahun. Dia kini juga sudah berusia kurang dua tahun untuk jadi 60 tahun. Katanya dia sudah lama mahu lepas jawatan tetapi dihalang oleh pimpinan bahagiannya. Iya ke?

Dalam perkiraan Murai bukan payah sangat kalau nak lepas jawatan atau tidak nak pegang jawatan. Lepas sahaja, berlambak orang yang sedang menanti untuk memegang jawatan. Orang sanggup bertumbuk dan bertampar lagi kerana jawatan. Rasuah tak payah ceritalah, kalau dalam Umno rasuah kerana nak jawatan macam mat rempit naik motor laju, berlambak-lambak. Berlana kok na.

He...yang Murai musykilkan seakan kata-kata Nazri kali ini serius sikit. Semacam ada sesuatu yang sedang mengejar Nazri. Apakah dia juga dapat menghidu akan nasib Umno dan BN pada pilihan raya akan datang. Nazri adalah menteri JPM, dia tahu banyak cerita.

Macam pengesan tsunamilah, si Nazri ini. Nampak riak atau terbunyi gegaran dia sudah dapat mengecam apakah tsunami akan berlaku atau tidak. Mungkin dia juga sudah dapat signal bahawa UBN akan kalah dalam pilihan raya akan datang. BN akan hilang kuasa.

Jadi sebelum ditolak ombak tsunami elok kalau dia melarikan diri awal-awal. Ambil sikap mengundur diri tidak bertanding. Kalau tidak bertanding dia akan terlepas dibaham ombak tsunami yang sudah pasti akan memedihkan mata dan hati.

Begitulah agak-agak Murai. Walaupun kata-kata Nazri itu sebagai test market untuk menilai sejauh mana dirinya di Padang Rengas tetapi dia semacam kegerunan sahaja. Sebagai bangsawan politik di Padang Rengas Nazri tidak akan bimbang dia akan dilawan, orang Padang Rengas tetap sayang kepadanya. Tetapi tentang nasib UBN yang entah entah kini yang membimbangkannya.

Nazri seorang yang bisa. Apa yang berlaku ke atas anaknya yang dikatakan membelasah jaga kondo tidak pun menjadi kudis gatal kepadanya. Nazri menghadapi tragedi lebih besar dari itu berhubung anaknya. Semuanya ok, semuanya lepas. Semuanya boleh dikaunting.

Tetapi bak kedudukan UBN semakin menipis dan menirus macam ekor tikus mondok ini mengganggu kepala Nazri, sebab itu dia membayangkan mahu berundur sebelum partinya kalah.

Murai: Arif dengan signal kalau gout nak datang. He he..

Munasabah tuntut mansuh belajar sambil berhutang

Mohd Azmi Abdul Hamid, 15 Apr 2012
Tuntutan pelajar untuk keluar dari bebanan belajar sambil berhutang dan belum sempat bekerja sudah dibeban dengan hutang sebelum bekerja pada pendirian Teras adalah munasabah.
Adalah sangat masuk akal,  pihak kerajaan sepatutnya menimbang tuntutan pelajar kerana jika difikirkan secara masak ,  pelajar  yang terpaksa berhutang demi menuntut ilmu dan menanggung hutang bila tamat belajar adalah suatu hal yang tidak rasional.


Teras berpendirian gerakan pelajar yang dicetuskan  untuk mendesak supaya dihapuskan PTPTN tidak harus dipandang ringan, apalagi melihatnya sebagai isu politik.


PTPTN paling tidak, telah melahirkan ratusan ribu malah jutaan anak muda yang berhutang sebelum mereka berpeluang berada dilapangan kerja.


Ini jelas adalah suatu keadaan yang tidak sihat jika negara ini tidak mahu dipenuhi graduan yang merupakan generasi berhutang yang akan menjejaskan kualiti hidup di negara ini.


Hutang di kalangan graduan yang mencecah berbilion ringgit sudah tentu akan menambahkan angka hutang domestik yang boleh menjejaskan ekonomi negara.

Teras melihat bahawa sepatutnya PTPTN yang walaupun dilihat oleh kerajaan  diperingkat awalnya, sebagai suatu jalan keluar kepada persoalan membiaya kos pendidikan tinggi yang berkesan, namun setelah didapati bebanan yang terpaksa ditanggung adalah tidak produktif dalam konteks mengangkat kualiti hidup rakyat, maka ia sepatutnya disemak semula dan jika melihat persoalan ini memang membebankan, maka ia perlu dimansuhkan.

Kami percaya pelajar yang menuntut agar PTPTN dimansuhkan bukan sahaja melihat beban hutang yang terpaksa ditanggung, akan tetapi juga kepada isu apakah kaedah mengikat pelajar dengan hutang untuk menyiapkan diri sebagai warga yang berilmu dan berketrampilan dapat membantu negara dalam jangka masa panjang.


Teras berpendapat amat penting kerajaan dan seluruh pihak yang berkepentingan (stakeholders) dalam isu ini mendengar suara pelajar dengan hati terbuka dan mengadakan pendekatan yang membina untuk mencari jalan keluar kepada krisis hutang yang dipaksa ditanggung oleh pelajar.

Kami tidak dapat menerima pendapat bahawa isu ini hanya dilihat dari sudut yang sempit semata-mata iaitu kewajipan pelajar membayar hutang. Sementara hukum wajib membayar hutang tidak dipertikaikan, namun sistem yang sengaja mengikat pelajar berhutang untuk belajar adalah suatu yang tidak wajar.


Sesungguhnya isu yang disuarakan oleh pelajar melibatkan persoalan yang lebih luas iaitu bagaimana membangun suatu sistem yang bebas dari bebanan hutang tetapi dalam masa yang sama melahirkan generasi yang yang berilmu, bertanggungjawab dan produktif untuk membangunkan negara.


Adalah sangat dangkal untuk berpendapat bahawa tawaran yang dilontarkan oleh pihak Pakatan Rakyat dituduh hanya janji kosong dan dianggap di luar kemampuan kewangan negara, sedangkan pihak kerajaan yang sedia ada tidak dapat menjawab isu betapa ketirisan dan pembaziran serta kehilangan wang beratus juta ringgit akibat salah guna kuasa terus berlaku.


Bermakna pihak kerajaan tidak seharusnya berhujah dengan simplistik tanpa memberi cadangan balas yang konkrit bagaimana isu ini boleh diatasi dengan konkrit.


Sementara pihak Pakatan Rakyat perlu membuktikan ada kaedah yang lebih meyakinkan rakyat dan lebih baik untuk diketengahkan, pihak kerajaan perlu berhujah dengan kukuh kenapa sistem yang sedia ada perlu dipertahankan.

Teras menuntut agar isu ini dibahas dengan matang dan tidak dicampuradukan dengan isu persaingan politik.

Apa yang perlu ditumpukan ialah bagaimana nasib pelajar yang akan mengambilalih teraju kempimpinan negara dalam pelbagai sektor nanti ,akan bebas dari sistem yang bersifat perhambaan kepada hutang sepanjang hidup.

Penulis ialah Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras).

Bagaimana hendak kambus bangkai sekawan lembu?

Mohd Rashidi Hassan, 15 Apr 2012
KARIER politik Ketua Wanita Umno, Dato' Seri Shahrizat Abdul Jalil sepatutnya sudah berakhir dengan skandal lembu NFC yang menyebabkan kerugian wang rakyat sebanyak RM250 juta. Tetapi beliau diselamatkan Presiden Umno, Dato' Seri Mohd Najib Razak.

Tindakan Najib menyelamatkan Shahrizat, menyebabkan ada kalangan pemimpin Umno di peringkat Majlis Tertinggi, negeri, bahagian, malah dari kalangan Pergerakan Wanita Umno terutamanya, terpingga-pingga dibuatnya.

Mungkin mereka tidak tahu sebab apa Najib selamatkan Shahrizat walaupun dari segi faktanya, jelas Shahrizat merugikan masa depan Umno.

Pada pandangan rakyat yang boleh membuat agakkan dan penilaian, ada kemungkinan ianya berkaitan dengan pembelian kondo mewah yang dikatakan bernilai RM1.7 juta di Kazakhstan.

Orang-orang Umno tidak boleh menerima dakwaan mengatakan kondo tersebut dibeli Shahrizat, kerana hubungan akrab beliau dengan PM dan isteri yang bakal menerima menantu dari negara tersebut. Tetapi mereka boleh menerima hujah bahawa memang NFC tiada keperluan berniaga lembu dengan Kazakhstan.

NFC jelas tidak mempunyai urusan perniagaan lembu di Kazakhstan, orang Kazakhstan pun tidak berminat membeli lembu Asia, tetapi mungkin juga NFC boleh memberi alasan, bahawa mereka bakal mempunyai kepentingan jangka panjang di negara bekas jajahan takluk Rusia tersebut.

Bukan saja di Kazakhstan, NFC juga tidak harus ada hubungan dengan perniagaan hartanah, sama ada membeli kondo mewah One Menerung di Kuala Lumpur atau di Singapura.

Memang sudah ada pendakwaan terhadap pemilik NFC iaitu suami Shahrizat, yang didakwa menyalahgunakan dana NFC untuk tujuan selain peniagaan lembu. Tetapi Shahrizat selaku menteri dan Ketua Wanita Umno sewaktu dana RM250 juta kepada syarikat milik keluarganya, tetap bersalah dan harus dipertanggungjawabkan.

Pada 8 April lepas, Shahrizat terpaksa melepaskan jawatan menteri kerana pelantikan senatornya sudah tamat tempoh. Tetapi masih kekal sebagai Ketua Wanita Umno di atas kehendak Presidennya.

Walaupun terselamat, tetapi Shahrizat 'berada dalam nyawa-nyawa ikan'. Tiada siapa dalam wanita Umno yang mempedulikan arahan Presiden Umno. Mereka, khususnya Naib Ketua kepada Shahrizat, Dato' Kamilia Ibrahim, terus menyerang dan tetap beranggapan bahawa ketuanya adalah liabiliti kepada Umno.

Kamilia akur dengan kehendak Najib mengekalkan Shahrizat, tetapi masih terus mengulangi pendiriannya menolak Shahrizat, dan pada pandangannya Shahrizatlah yang menyebabkan Wanita Umno menerima gelaran lembu.

Mengapa Wanita Umno tidak suka menerima gelaran lembu? Mungkin barangkali kerana mengikut tafsiran orang-orang Melayu zaman dulu, jika mereka melabel seseorang yang dungu, mereka akan mengatakan kepada orang yang dungu itu 'bodoh macam lembu'.

Mungkin Wanita Umno lebih bijak daripada lembu. Maka dengan sebab itu mereka tidak mahu digelar lembu dan tidak mahu diperbodohkan oleh taukeh lembu yang menjadi ketua mereka.

Tetapi suatu hakikat yang diterima Wanita Umno ialah, mempertahankan Shahrizat merupakan suatu 'disaster' atau mala petaka buat mereka. Ini yang ditakuti bekas Menteri Kewangan dan bekas Bendahari Umno, Tun Daim Zainuddin.

Secara terbuka Daim mengatakan bahawa Umno-BN akan musnah akibat skandal lembu (cowgate scandal).

Justeru Kamilia tidak mempunyai pilihan lain, selain menentang Shahrizat bagi jawatan Ketua Wanita Umno dalam pemilihan yang akan diadakan tahun ini, jika Shahrizat terus menyinsing lengannya untuk berlawan.

Jika Shahrizat hendak melawan pun tiada gunanya. Sudah tidak ada sebab hendak merebut jawatan dalam parti yang hampir karam. Umno akan karam kerana sudah tiada orang yang cerdik hendak mengemudinya.

Hal ini pun secara tidak langsung diakui bekas PM dan bekas Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengatakan, golongan cerdik pandai sekarang ini sudah tidak mahu menyertai Umno. Banyak profesional yang masuk PAS dan parti pembangkang yang lain.

Dalam erti kata lain, yang tinggal dalam Umno atau yang masih sudi masuk Umno, hanyalah orang-orang yang seperti, diumpamakan oleh orang Melayu macam lembu tadi.

Menyedari ketelanjuran ini, Umno tidak mahu mengaku salah, Umno tidak mahu surrender. Malah mereka cuba membersihkan nama yang sudah busuk dengan cuba mencari pembida baru mengambil alih operasi NFC.

Tindakan ini dilihat, jelas bertujuan untuk menutup secepat mungkin skandal lembu tanpa merungkai soal pertanggungjawaban terhadap BN. Apakah selama ini Malaysia ditadbir secara 'Pak Pandir' yang buta-buta memberi wang rakyat sebanyak RM250 juta kepada kroni?

Jika pun Shahrizat sudah tidak menjadi menteri dan kalah dalam pertandingan Ketua Wanita Umno, masalah dan kepincangan dalam urusan NFC tidak boleh ditutup atau dilupuskan.Ianya adalah kecuaian kerajaan, kecuaian Umno.

Kita ingatkan kepada mereka bahawa, mungkin bangkai seekor lembu boleh ditutup, tetapi bagaimana hendak menutup bangkai sekawan lembu yang jumlahnya hampir sama dengan jumlah perwakilan Wanita Umno?

Pemuda PAS Kubang Kerian lulus usul mansuh hutang PTPTN

Salmah Mat Husain, 15 Apr 2012
KOTA BHARU, 15 April: Dewan Pemuda PAS Kawasan Kubang Kerian telah meluluskan usul tergempar menghapuskan hutang PTPTN pada mesyuarat agung kali ke-38, semalam.

Usul berkenaan dibentangkan ketuanya Ustaz Hafiz Musa dan ianya diluluskan sebulat suara.

Katanya, menuntut memansuhkan bayaran PTPTN di negara ini adalah menjadi tanggungjawab bersama.

Katanya, ia juga selari dengan konsep Membangun Negara Berkebajikan, di mana pendidikan, perkhidmatam bekalan air, perkhidmatan perubatan dan kesihatan adalah tanggungjawab sosial kerajaan yang sewajarnya diberi percuma.

Hafiz seterusnya berkata, munculnya Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) telah menjadikan pembiayaan pengajian peringkat universiti sebagai satu perniagaan dengan kerajaan apabila  keuntungan telah diambil dengan cara memberi pinjaman kepada rakyatnya sendiri.

”Bermula dengan dikenakan kos pentadbiran sebanyak 4% yang kemudiannya difatwakan haram oleh Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia.

“Kemudian, ianya diturunkan kepada 3% dan sekarang ditukar pula kepada Pembiayaan Ijarah (1%),”ujar Hafiz lagi.

Sambungnya lagi, membiayai rakyat yang mendaftar untuk belajar di IPTA dan IPTS setiap tahun, negara hanya memerlukan sebanyak RM2 bilion.

“Adakah Malaysia tidak mampu mengeluarkan RM 2 bilion setahun, sedangkan ianya  mustahil kerana negera sekaya Malaysia tidak mampu mengeluarkan RM 2 bilion untuk pendidikan rakyatnya,”ujarnya lagi.

Beliau yang juga Naib Ketua Dewan Pemuda PAS negeri Kelantan berkata, cadangan menghapuskan pinjaman PTPTN adalah selari dengan dasar PAS menyediakan pendidikan sebagai tanggunjawab kerajaan.

Menurutnya, ianya bersesuaian dengan kemampuan kewangan negara dan diperlukan oleh generasi muda Malaysia.

Dengan ini Dewan Pemuda PAS Kawasan Kubang Kerian mengusulkan menyokong penuh cadangan menghapuskan 100% pinjaman PTPTN dengan digantikan dengan mekanisma yang lebih sesuai.

Pemuda PAS sokong

sementara itu, Dewan Pemuda PAS negeri Kelantan turut menyokong usaha menghapuskan hutang PTPTN oleh golongan mahasiswa kini bagi menuntut hak mereka di negara ini.

Ketuanya, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman, berkata dengan kekayaan negara dari pelbagai hasil khususnya minyak, tidak ada sebab kerajaan tidak mampu menghapuskan PTPTN.

Ketika diminta mengulas perkara itu, beliau meminta kerajaan perbetulkan jumlah sebenar peruntukkan PTPTN sebanyak RM28 billion sahaja dan bukannya RM43 bilion sebagaimana yang didakwa Perdana Menteri.

“Kita merasa kecewa kes NFC dibiarkan begitu sahaja, tetapi kes PTPTN ini kerajaan masih berdegil sehingga tidak mahu mendengar suara mahasiswa,”ujarnya.

Bukan itu sahaja, beliau turut mempertikaikan hutang Tan Sri Tajudin Ramli dalam kes MAS RM 589 juta dihapuskan. Hutang pelajar diburu sehingga hampir 400,000 orang disenarai hitam.

Sehingga kini mahasiswa masih berkhemah di Dataran Merdeka.

Perhimpunan anjuran Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) yang diketuai Gabungan Mahasiswa Islam Malaysia (Gamis) itu pada mulanya berkumpul di persekitaran Masjid Jamek Kuala Lumpur, sebelum berarak ke kompleks membeli-belah Sogo bermula semalam.

Pelbagai slogan bagi menarik perhatian pengguna jalan raya, antaranya 'Hidup Mahasiswa', 'Jahanam Kapitalis', 'Najib Altantuya', 'Mansuh PTPTN', 'Bangkit Mahasiswa' sambil memegang pelbagai kain rentang.

Jelaskan kenapa hapus hutang Tajudin, kejar PTPTN

Abdul Aziz Mustapha, 15 Apr 2012
KUALA LUMPUR, 15 April: Kerajaan mesti jelaskan dahulu mengapa hutang Tan Sri Tajudin Ramli boleh dihapuskira sedangkan para pelajar diburu untuk menuntut hutang mereka kepada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), kata Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.


(Mahasiswa bantah penipuan PTPTN dan menuntut pendidikan percuma)

"Tidak payah cakaplah PTPTN kecualikan pembayaran semula kepada pelajar Ijazah Sarjana Muda yang mendapat kelas pertama atau yang setaraf dengannya.

"Beritahu dahulu kepada semua peminjam PTPTN mengapa hutang Tajudin RM589 juta boleh hapuskira sedangkan para pelajar yang meminjam dari PTPTN diburu dengan bengis dan kasar," katanya ketika menolak tindakan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin membangkitkan perkara itu untuk mewajarkan PTPTN.

Mohamad juga mengecam Muhyiddin yang mengungkit-ungkit subsidi kerajaan kepada pendidikan rakyat.

"Itu tanggungjawab kerajaan. Dia ingat rakyat bayar cukai untuk apa kalau bukan untuk dikembalikan kepada kepentingan rakyat?

"Mengapa tak beritahu apakah usaha kerajaan untuk teroka bidang dan pelaburan baru untuk tingkatkan pendapatan negara.

"Sejauh manakah kerajaan memperbaiki sistem kutipan cukai sehingga pada kadar yang optima di semua pintu masuk barangan import ke negara ini? Jawab perkara-perkara yang rakyat mudah faham dahulu," katanya.

Mohamad (gambar) mengingatkan, daripada membebel tentang subsidi kepada pendidikan rakyat yang memang menjadi kewajipan kerajaan, lebih baik kerajaan mencari jalan untuk meminimumkan ketirisan, penyelewengan, rasuah dan amalan perniagaan tidak adil yang menguntungkan kroni-kroni para pemimpin negara yang menyebabkan negara menanggung kerugian berbilion-bilion ringgit.

"Saya tetap yakin, jika diminimumkan ketirisan, penyelewengan, rasuah dan amalan perniagaan tidak adil yang menguntungkan kroni-kroni para pemimpin negara, berbilion-bilion ringgit wang negara dapat dijimatkan seperti yang dibuktikan kerajaan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang yang berjaya menjimatkan puluhan juta wang negeri itu.

"Itu belum lagi diambilkira jika wang Petronas digunakan dengan bijaksana seperti yang dihuraikan oleh (Pengarah Strategi PKR) Rafizi (Ramli)," katanya.

Sebelum ini, Mohamad pernah menyatakan, jika dapat dijimatkan wang dari subsidi RM17 billion setahun menangung Penjana Tenaga Bebas (IPP) dan RM28 bilion setahun yang rugi akibat kelemahan pengurusan kerajaan seperti yang ditegur oleh laporan Ketua Audit Negara, RM45 bilion setahun dapat dijimatkan dan negara sepatutnya tidak ada masalah lagi hendak menanggung RM43 bilion jika PTPTN dimansuhkan.

Malah, katanya lagi, itu belum lagi diambil kira jika dapat diselamatkan RM10 bilion setahun kerugian yang ditanggung oleh negara akibat rasuah seperti yang didedahkan oleh agensi kerajaan sendiri, Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah).

Dalam apa yang dilihat sebagai usaha berhempas pulas untuk mempertahankan sikap kerajaan yang berkeras tidak mahu menghapuskan PTPTN, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum itu berkata, tindakan memansuhkan PTPTN itu akan hanya membebankan kerajaan kerana terpaksa membelanjakan RM43 bilion jika tabung itu dimansuhkan.

Mohamad bagaimanapun yakin tindakan kerajaan yang berkeras mempertahankan PTPTN itu akan menambahkan lagi kemarahan para peminjam PTPTN dan keluarga mereka.

"Saya diberitahu oleh para pelajar dan anak-anak muda kita yang aktif dalam laman-laman sosial bahawa ramai pelajar dan bekas pelajar yang dahulu sungguh-sungguh membela kerajaan Umno sekarang sungguh-sungguh pula tak sabar menanti pilihan raya untuk mengajar Umno.

"Pertanyaan-pertanyaan seperti mengapa pinjam RM48,000 tetapi kena bayar balik RM63,000 dan kata-kata yang mengejek PTPTN sebagai along sekarang begitu popular di kalangan mereka," katanya.

Mohamad juga menyampaikan salamnya kepada para pelajar yang kini berkemah di Dataran Merdeka menuntut penghapusan PTPTN.

"Saya sekarang di Miri. Apabila pulang nanti, saya akan segera menemui mereka," katanya.

DBKL bertembung dengan siswa berebut khemah

Hazayani Zakaria, 15 Apr 2012


(Alif Ashraf [baju merah] dikasari oleh anggota penguatkuasa DBKL apabila cuba mempertahankan khemah mereka)

KUALA LUMPUR, 15 April: 20 mahasiswa yang berkhemah di Dataran Merdeka terus bertembung dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang mahu meroboh dan merampas khemah mereka.

Tengahari tadi, dua dari enam khemah yang mereka bina berjaya dirampas oleh DBKL.

Jam 5 petang petang ini, sekali lagi penguatkuasa DBKL bertindak merampas khemah mereka.

Dua pelajar, Alif Hafiz dan Alif Ashraf ditumbuk oleh peguatkuasa DBKL.


(Pelajar bertindak membuat benteng manusia bagi mempertahankan khemah mereka dari dirampas oleh DBKL)

Peguam N. Surendran yang berada di tempat kejadian berkata mahasiswa boleh buat laporan polis kerana DBKL berkasar.

Kali ini dua khemah mereka berjaya dirampas. Dua lagi khemah yang ada mereka pasang kembali.

Kesemua mereka berusaha untuk berkhemah di Dataran Merdeka sehinggalah 28 April ini apabila pehimpunan Bersih 3.0 akan diadakan di situ.

BERITA BERKAITAN

Mahasiswa terus berkhemah di Dataran Merdeka

PTPTN: Mahasiswa berhimpun hingga suara mereka didengari

Mahasiswa berkumpul tuntut mansuhkan PTPTN

Tiada ulasan:

Catat Ulasan