Rabu, 18 April 2012

BIADAP TIDAK DIBENARKAN DALAM ISLAM...JUGA TAK ELOK ADAT ORANG MELAYU

Calon biadap: Nazri Aziz digesa muhasabah diri

Harakahdaily, 17 Apr 2012
KUALA LUMPUR, 17 April: Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menyambut baik kenyataan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang meminta rakyat supaya menolak bakal calon-calon pilihan raya yang kurang ajar dan biadap daripada menjadi wakil mereka di dalam pilihanraya umum yang akan datang.


“Ibarat meludah ke langit yang akhirnya tertimpa muka sendiri, Nazri sememangnya dikenali sebagai salah seorang menteri Umno yang paling terkenal dengan sikap biadap, kurang ajar dan tidak bertanggungjawab sama ada dari segi tutur kata ataupun kenyataan-kenyataan yang pernah dikeluarkan,” kata Ketua Pengarahnya, Mohd Sany Hamzan.

Justeru, katanya Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia meminta Nazri muhasabah dan menilai kesilapan serta kekurangan diri sendiri sebelum mahu menyalahkan orang lain.

“Jangan hanya pandai mencari kesalahan dan keburukan orang lain sedangkan diri sendiri dan keluarga tidak terjaga serta menyusahkan rakyat,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Sany berkata, pihaknya merasakan rakyat sememangnya telah mengenali sikap kurang ajar dan biadap pemimpin Umno dan Barisan Nasional.

Antaranya, kata beliau apabila krisis kepimpinan di negeri Terengganu pada tahun 2008, Sultan Terengganu yang ketika itu selaku Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah dilabel sebagai ‘binatang’ oleh puak-puak Umno Terengganu yang bertelagah kerana tidak mengikut hasrat dan kehendak mereka di dalam isu perlantikan Menteri Besar Terengganu waktu itu.

Justeru, ujarnya Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia mengingatkan Umno dan Barisan Nasional supaya tidak lagi memperbodohkan rakyat dengan kenyataan-kenyataan yang berunsur fitnah dan tidak berasaskan kepada pembuktian yang sah.

“Semakin banyak kenyataan dan serangan menggila yang ditujukan kepada Pakatan Rakyat akhirnya memberi tamparan semula kepada Umno dan Barisan Nasional,” katanya lagi.

Jabatan Pilihan raya DPPM, tambah Mohd Sany merasakan bahawa pemimpin Umno dan Barisan Nasional kini semakin bercelaru dan tidak keruan setelah mengalami ‘tsunami kekalahan’ pada pilihan raya umum yang lepas.

“Segala salah laku dan buruk sikap pemimpin Umno dan Barisan Nasional serta ahli keluarga mereka kini semakin terlondeh di media arus perdana dan menjadi buah bicara rakyat di merata tempat,” ujarnya.

Oleh itu, katanya Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia menasihatkan rakyat keseluruhannya bangkit dan menolak calon-calon Umno serta Barisan Nasional secara ‘total’ di dalam pilihanraya umum yang akan datang supaya Negara Malaysia yang tercinta ini akan lebih aman, sejahtera dan harmoni.

Maklumat 'task force' IC dari orang dalam yang tak tahan

Khairil Abdul Rahim, 17 Apr 2012
TEMERLOH, 17April: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Mohd Hanipa Maidin menyifatkan Umno dalam keadaan tersepit untuk menang pilihan raya umum (PRU) sehingga tergamak melibatkan penipuan dan pengkhianatan kepada negara.

Beliau  yang mendakwa didedahkan sendiri maklumat berkenaan daripada orang dalam yang ‘dah tak tahan’, bahawa beberapa agensi terlibat memberikan kad pengenalan kepada warga luar atau yang masih belum layak.

“Di Selangor saja dah ratusan ribu kewarganegaraan diberi kepada mereka yang belum layak dan pengkhianatan Umno ini tak boleh dimaafkan langsung, hanya nak menang secara paksa sehingga membahayakan negara sendiri.

“Saudara tahu, ini diakui sendiri oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa 45,000 nama tidak dipastikan warganegara jadi tidak dapat dibersihkan daripada Daftar Pemilih.

“Inilah sebabnya  itu kita sokong himpunan Bersih 3.0 untuk tuntut PRU yang adil kerana tanpa keadilan mana-mana negara pun boleh jatuh sebagaimana yang terjadi kepada beberapa rejim di Timur Tengah,” katanya ketika berceramah di sini semalam.

Turut berceramah di Bilik Gerakan PAS Taman Sri Semantan itu Adun Kuala Semantan Syed hamid Syed Mohamad, YDP PAS Temerloh Haji Jusoh Darus dan Ketua DAP Temerloh Woo Chee Wan.

Hanipa berkata, dua himpunan Bersih yang lepas telah berjaya membuang rasa takut di kalangan rakyat dan dapat dilihat generasi muda begitu berani keluar walaupun terpaksa bertempur dengan polis.

Dalam pada itu Hanipa berkata, perlunya BN dijatuhkan pada PRU akan datang kerana hampir kesemua institusi di negara ini telah rosak dan dipertikaikan umum.

“Bayangkan, mahkamah pun dah ada orang baling kasut kerana tidak dihormati lagi. Negara pernah digemparkan apabila bekas hakim Syed Ahmad Idid pernah menulis tentang rasuah berlaku di kalangan hakim.

“Bekas Ketua Hakim Tun Mohd Sufian pula pernah berkata beliau malu jadi rakyat Malaysia kerana institusi kehakiman dah jatuh maruah. Itu bukan cakap saja, tengok kes video Linggam ada Suruhanjaya Diraja tetapi apa tindakan terhadap Yusof Chin?,” soalnya.

Hanipa menambah, kini institusi polis kini mulai dipertikaikan apabila bekas ketuanya sendiri didakwa bersekongkol dengan gangster seperti didakwa seorang lagi pegawai tinggi polis Datuk Ramli Yusof.

Hanipa menceritakan, Ramli semasa majlis sambutan hari jadinya yang turut dihadiri Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar mengulangi dakwaan Datuk Mohd Zin dua orang besar terlibat melindungi penjenayah iaitu Musa Hasan dan Ghani Patail.

“Bayangkan yang ada bukti seperti itu tidak didakwa tetapi yang tiada bukti, seperti tangkapan ISA boleh dipenjarakan. Ini yang saya maksudkan institusi di negara telah dilihat tercemar,” katanya.

Mengenai hujah beberapa pemimpin Umno jika dimansuhkan hutang PTPTN mahasiswa negara boleh bankrap, Hanipa berkata itu hanya alas an sedangkan wang Negara yang dibazirkan jauh lebih banyak daripada itu.

“Ketua Audit Negara sendiri menjelaskan dalam laporannya setiap tahun wang negara ini bocor RM28 bilion. Itu satu, yang kedua RM19 bilion telah diberi kepada IPP iaitu syarikat yang sudah kaya.

“Dua item itu saja dah boleh hapus pinjaman PTPTN. Jadi kenapa kalau hapus RM43 bilion kata bankrap sedangkan itu untuk mahasiswa yang bakal menerajui negara?

“Kalau untuk selamatkan kroni tak timbul langsung hal bankrap. Ingat mereka selamatkan Tajudin Ramli dulu kerajaan ambil alih saham MAS yang berharga RM3 tetapi kerajaan bayar RM8. Baru ni dapat pelepasan hampir setengah bilion lagi. Kalau macam itu caranya memang negara boleh bankrap,” jelasnya.

Tegas Hanipa, sebab itulah BN perlu dijatuhkan, bukan saja negara bankrap wang tetapi bankrap moral.
“Sekarang perempuan yang dedah aurat didenda RM25, sebaliknya orang pandai, pakar dan sebagainya dibuang seperti Profesor Dr Aziz Bari dan Tan Sri Hasan Merican sehingga diambil bertugas oleh negara lain,” ujarnya lagi.

Demo PTPTN dan dilema gerakan mahasiswa

Megat Hidayat,
Terdapat beberapa perkara yang harus difikirkan setelah berlakunya peristiwa Himpunan Mansuh PTPTN pada 14 April yang lepas. Terlebih dahulu sekalung ucapan tahniah kepada anak muda dan rakyat yang berani berhimpun di jalanan bagi mendesak supaya pihak kerajaan memansuhkan PTPTN dan menyediakan pendidikan percuma untuk rakyat sekalian kerana pendidikan adalah milik semua dan bukan untuk diperdagangkan.

Syabas! Namun begitu, seperti yang saya katakan sebelum ini. Terdapat beberapa perkara yang perlu diberi perhatian dan difikirkan supaya perjuangan ini dapat diteruskan tanpa sebuah keresahan cetusan masyarakat masyarakat yang akalbudi ditutup oleh kuasa.

Pertamanya , dalam mana-mana himpunan kita dapati pelbagai kata semangat akan dilaungkan. Kata-kata tersebut adalah berdasarkan intipati dan matlamat demonstrasi atau himpunan tersebut. Perkara ini dapat ditafsirkan apabila kita melihat ketika umat Islam menunaikan haji, mereka akan melaungkan kalimah-kalimah suci Allah bagi menaikkan semangat dan kekuatan umat Islam pelbagai negara serta menyemai tujuan mereka datang ke tanah suci.

Begitu juga dalam satu himpunan , laungkan perlulah mengikut matlamat dan objektif ia diadakan. Tetapi , saya melihat himpunan ini telah ‘dikotori’ dengan laungan-laungan yang menyimpang kearah parti politik. Kejadian seperti ini sebenarnya akan menyebabkan mahasiswa dan anak muda yang ‘tidak faham’ dan sudah ‘didoktrin’ makin jauh kepada gerakan perjuangan ini. Biasa la , kata mereka perjuangan sudah lari dari imej ‘non-partisan’. Sila faham kondisi dan mentaliti anak muda sekarang.

Seterusnya, saya sedia maklum bahawa anak muda begitu marah terhadap pimpinan kerajaan pemerintah sekarang kerana gagal melaksanakan apa yang sepatutnya dipertanggungjawabkan kepada mereka. Namun begitu , tanpa sedar disebalik tirai-tirai kemarahan itu sebenarnya terkandung racun yang bakal digunakan oleh barisan opposisi lawan gerakan mahasiswa bagi mencari salah serta mengalih isu dalam himpunan ini. Kejadian seperti mengalungkan bunga kepada gambar Najib-Khaleed merupakan suatu yang menyentuh sensitviti adat dan agama.

Saya dan masyarakat yang memahami faham bahawa ia adalah sekadar suatu simbolik ‘kematian’ fungsi kedua-dua pemimpin tersebut dalam menyelesaikan isu. Tetapi , bagaimana pula dengan masyarakat yang masih belum tercerah? Mujur ada satu artikel dari Ustaz Fathul Bari dan Wan Ji yang membincangkan hal ini yang menjadi ‘counter propaganda’ bagi dakyah daripada parti kerajaan pemerintah. Umum sedia maklum bahawa parti kerajaan pemerintah akan menggunakan pelbagai medium sebagai senjata sama ada untuk ‘spin’ isu ataupun melakukan ‘personal attack’ kepada gerakan. Jadi , menjadi suatu kewajipan kepada gerakan mahasiswa untuk lebih berhati-hati selepas ini.

Selain itu , ucapan beberapa pemimpin parti politik di hadapan Sogo juga saya rasa sesuatu yang tidak patut berlaku. Memang kita buka kepada semua pihak sama ada dari perwakilan kerajaan ataupun pembangkang untuk menyertai himpunan tersebut. Namun begitu, saya merasakan cukuplah sekadar pimpinan mahasiswa dan rakyat sahaja yang berucap. Tidak perlu ‘dikotorkan’ dengan ucapan pemimpin parti politik. Itulah dilema yang melanda gerakan mahasiswa di Malaysia. Tiada politikus yang tidak mempunyai sebarang kepentingan kerana motif mereka Cuma kuasa. Jadi , gerakan mahasiswa yang bersifat cendiakawan sepatutnya memanifestasikan teras perjuangan mahasiswa yang sepatutnya bersifat cerah dengan keadilan dan bukan politik kepartian.

Akhir sekali, perkara ini sangat penting bagi memastikan lebih ramai anak muda akan menyertai perjuangan kalian. Tanpa penyatuan seluruh mahasiswa, matlamat hanya tinggal matlamat. Tahniah sekali lagi diucapkan kepada anak muda sekalian. Dataran dan rumput nan hijau menjadi saksi tertangkapnya ribuah pemimpin pelajar dan akademia ketika Demonstrasi Baling 1974.

Namun, lupakan sejarah tersebut kerana pada hari ini anak muda telah mencipta sejarah baru dalam arena politik mahasiwa. Selepas terjadinya peristiwa Reformasi 1998, tidak ada mana-mana himpunan yang berjaya lepas sehingga ke Dataran Merdeka.Kepada anak muda yang masih berkhemah untuk menunggu respons Perdana Menteri, teruskan perjuangan dan jangan mudah putus asa. Teruskan perjuanganmu walau apa pun terjadi demi mendukung sebuah jiwa-jiwa yang adil dalam membentuk Bangsa Malaysia yang tulen.

Juham sedia wakili pelajar saman UniMAP

Ahmad Zamri As’ad Khuzaimi, 17 Apr 2012
Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (JUHAM) Dewan Pemuda PAS Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Universiti Malaysia Perlis hari ini yang telah menjatuhkan hukuman amaran keras, denda RM100  dan menggantung selama 66 hari seorang Mahasiswa mereka iaitu Mohd Izuwan Zaini kerana didakwa menganjurkan suatu Perhimpunan “Watch 13”.
Terdahulu, JUHAM telah pun menghantar representasi dan bantahan awal kepada Pejabat Hal Ehwal Pelajar UniMAP memaklumkan kecacatan prosedur dan hak asasi yang tidak dipatuhi oleh pihak universiti sebelum daripada Perbicaraan lagi.

Namun, UniMAP tetap berdegil dan meneruskan dengan Perbicaraan Tatatertib terhadap mahasiswa terbabit.

Mahasiswa terbabit kemudiannya telah memberitahu JUHAM bahawa UniMAP turut melanggar banyak prosedur dan hak asasi ketika perbicaraan apabila beliau telah dinafikan hak untuk memanggil saksi mahupun menyoal balas saksi ketika perbicaraan dilakukan.

JUHAM melihat ini jelas suatu tindakan yang zalim kerana menafikan hak Mahasiswa terbabit daripada mendapat suatu perbicaraan yang adil.

Mahasiswa terbabit juga telah diiringi oleh Peguam daripada JUHAM Perlis iaitu Saudara Mohd Hafiz Leman, namun dinafikan oleh pihak UniMAP untuk masuk ke dalam Perbicaraan tersebut.

JUHAM melihat tindakan UniMAP tersebut merupakan tindakan yang angkuh dan zalim kerana membuat suatu Perbicaraan yang dilihat terburu-buru dan pada masa yang sama melanggar pelbagai prosedur seolah-olah mendapat tekanan daripada pihak ketiga bagi menghukum Mahasiswa terbabit.

Tindakan UniMAP yang menggantung mahasiswa terbabit dilihat sengaja dirancang bagi menekan mahasiswa terbabit dan keluarganya kerana mahasiswa terbabit dijangka akan menduduki peperiksaan akhir pada hujung Mei atau Jun tahun ini dan seterusnya menamatkan pengajian pada bulan Ogos tahun ini.

Justeru, tindakan penggantungan ini jelas menghalang mahasiswa terbabit untuk menduduki peperiksaan akhir dan menjejaskan graduasi beliau.

Tindakan UniMAP yang menggantung Mahasiswa terbabit juga satu tindakan yang zalim kerana Perhimpunan “Watch 13” tersebut sendiri pada dasarnya merupakan suatu perhimpunan yang terpuji kerana bermatlamatkan memberi kesedaran kepada masyarakat tentang daftar pemilih dan Pilihanraya.

Malah, Mahasiswa terbabit juga hakikatnya tidak terlibat di dalam penganjuran Perhimpunan “Watch 13” tersebut.

Justeru, UniMAP hakikatnya tidak mempunyai sebab untuk menghukum Mahasiswa terbabit.

Tindakan UniMAP juga seumpama menghina keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini bahawa Seksyen 15(5) Akta Universiti dan Kolej Universiti bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Justeru, UniMAP dan lain-lain Institut Pengajian Tinggi seharusnya mengambil sikap menghormati keputusan Mahkamah tersebut yang mengiktiraf hak kebebasan bersuara Mahasiswa

Malah, JUHAM melihat mutakhir ini ia seumpama suatu trend di kalangan Institut-institut Pengajian Tinggi Awam yang mengenakan hukuman menggantung pelajar-pelajar walaupun Seksyen 15(5) Akta Universiti dan Kolej Universiti secara terang-terangan diisytihar bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Tindakan ini dilihat sebagai tindakan terdesak UMNO dan Barisan Nasional bagi menakut-nakutkan para Mahasiswa daripada menolak UMNO dan Barisan Nasional pada Pilihanraya Umum yang akan datang.

Ironinya, tindakan UniMAP dan Institut-institut Pengajian Tinggi Awam yang agresif dalam menghukum para Mahasiswa ini turut bercanggah dengan Pindaan kepada Akta Universiti dan Kolej Universiti di Parlimen baru-baru ini bahawa segala tindakan disiplin yang berjalan akan dihapuskan.

Justeru, JUHAM akan membela dan menyokong para Mahasiwa khususnya dalam kes Mohd Izuwan bin Zaini ini sekiranya beliau ingin memfailkan Saman terhadap UniMAP yang terang-terangan telah menafikan hak beliau daripada mendapatkan perbicaraan yang adil dan sempurna.

Akhirnya, JUHAM menyeru mahasiswa sekalian supaya terus maju ke hadapan tanpa gentar dalam menyuarakan kebenaran yang merupakan hak asasi anda semua dan dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.


Ahmad Zamri ialah Pengarah Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Kematian di depan pejabat PM mengecewakan

Salmiyah Harun, 17 Apr 2012

(Mohd Nordin jatuh di depan pejabat Perdana Menteri baru-baru ini)

KUALA LUMPUR, 16 April: Walaupun ajal maut adalah ketentuan Ilahi tetapi beberapa insiden yang berlaku pada hari kejadian Mohd Nordin Ahmad Bakri meninggal dunia di depan pejabat Perdana Menteri amat mengecewakan rakyat.

Menurut Timbalan Pengerusi Lajnah Pengguna PAS Pusat, Mohamad Taufek Abd Ghani ada beberapa faktor turut bertanggungjawab menyumbang berlakunya kes kematian itu.

Antaranya kelewatan ketibaan pihak doktor dan ambulan ke tempat kejadian melebihi 20 minit walaupun Hospital Putrajaya terletak lebih kurang 4.3 kilometer dari tempat kejadian yang mana dijangka boleh sampai dalam masa 5 minit menggunakan kenderaan ambulan.

Mohd Nordin meninggal dunia ketika menyertai himpunan aman di hadapan Kompleks Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada 12  April lepas dipercayai akibat serangan jantung ketika berhimpun bagi menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abd Razak.

Beliau dipercayai meninggal akibat dari lambat diberikan bantuan kecemasan.

Taufek juga turut mempersoalkan, apakah tidak ada pasukan paramedik yang bertugas sepenuh masa di pejabat Perdana Menteri bagi menghadapi sebarang kemungkinan kejadian kecemasan?

"Tidak mustahil, ia boleh melibatkan kejadian yang boleh berlaku kepada sesiapa sahaja di Pejabat Perdana Menteri termasuk YAB Perdana Menteri?," kata Taufek (gambar) dalam sidang media di lobi Parlimen petang tadi.

Malah beliau juga mempertikaikan pegawai-pegawai kerajaan tidak diberi latihan kecemasan seperti memberi bantuan penafasan kecemasan khususnya pihak anggota polis bagi menghadapi kes-kes kecemasan seperti yang berlaku kepada Allahyarham Mohd Nordin.

Tegasnya, pejabat Perdana Menteri di Putrajaya sewajarnya menjadi pejabat yang mempunyai kemudahan mesra rakyat di mana rakyat yang hadir untuk berjumpa beliau diberi keutamaan dan kemudahan yang sesuai.

"Apa yang boleh disimpulkan daripada kejadian ini Putrajaya yang dicanang sebagai pusat Petadbiran Negara yang canggih dan moden sebenarnya masih jauh ketinggalan dan perlu dilakukan transformasi segera," katanya.

Justeru itu katanya yang juga mewakili Jawatankuasa Bertindak Peneroka Kampung Serampang Indah, Perdana menteri sewajarnya memberi bantuan kepada keluarga mangsa iaitu isteri dan lima orang anak di mana 3 daripadanya masih bersekolah.

Beliau menuntut satu siasatan terperinci dijalankan oleh polis berdasarkan laporan polis yang telah dibuat di Putrajaya pada hari ini bagi memastikan kejadian sama dapat dielakkan dari berulang pada masa depan.

Dr Anuar berjaya tingkatkan pelajar ke Unisel

Anis Nazri, 17 Apr 2012
KUALA LUMPUR, 17 April: Isu 'kelewatan' kerajaan negeri Selangor mengesahkan jawatan Naib Canselor Universiti Industri Selangor (Unisel), hanya satu percubaan untuk menimbulkan rasa tidak selesa rakyat terhadap kepimpinan Pakatan Rakyat di negeri itu.

Sedangkan, isu jawatan Naib Canselor itu tidak perlu dipolemikkan, malah tidak wajar dipolitikkan, lebih-lebih lagi ia membabitkan soal pendidikan di kalangan generasi akan datang.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Selangor, Dr. Halimah Ali berkata soal pengesahan lantikan Profesor Dr. Anuar Ahmad (gambar atas) itu hanya membabitkan prosedur tertentu yang belum diputuskan Lembaga Ahli Pengarah.

"Sebenarnya tidak ada apa pun (isu) di sebalik kelewatan lantikan tersebut.  Cuma, kita belum bawa ke mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah yang akan diadakan Jun atau Julai akan datang.  Itu sahaja," jelas beliau ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Menafikan dakwaan kononnya kelewatan pelantikan tersebut disebabkan kerajaan negeri tidak bersetuju dengan Dr. Anuar, Dr. Halimah menegaskan sejak Dr. Anuar memangku jawatan itu, kemasukan pelajar ke Unisel melonjak dengan begitu baik sekali.

Berbanding sebelum Dr. Anuar memangku jawatan NC, tegas Dr. Halimah (gambar kiri), kemasukan pelajar ke universiti milik kerajaan negeri itu begitu merosot.

"Tiada sebab untuk kerajaan negeri tidak bersetuju dengan Dr. Anuar.  Sejak beliau memangku jawatan tersebut, lonjakan kemasukan pelajar begitu ketara. Kita hanya mahukan yang terbaik.  Cuma kita belum bawa ke mesyuarat lembaga. Itu proses yang belum kita lakukan," kata beliau lagi.

Tanda tanya tentang pelantikan Dr. Anuar ke jawatan yang dipangkunya sejak 2 Ogos 2011 timbul apabila masih belum disahkan kerajaan negeri.

Terdahulu, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dilaporkan menjelaskan, kerajaan negeri mempunyai prosedur tertentu bagi menetapkan setiap lantikan jawatan tertinggi dalam Unisel yang perlu mendapatkan persetujuan ahli lembaga pengarah.

“Pelantikan Naib Canselor akan dibincangkan dan ditentukan dalam mesyuarat ahli lembaga pengarah Unisel kerana universiti milik penuh Kerajaan Negeri ini dikendalikan syarikat tidak seperti universiti lain," tegasnya.

Prof Dr. Anuar yang sebelum ini memegang jawatan Timbalan Presiden Unisel kini memegang kerusi naib canselor universiti itu selepas Datuk Dr Rosti Saruwono meletak jawatan berkuat kuasa 2 Ogos 2011.

Puisi Pak Samad di pra Bersih 3.0 malam ini

Anis Nazri, 17 Apr 2012
KUALA LUMPUR, 17 April: Bacaan puisi oleh Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said antara acara utama dalam himpunan pra Bersih 3.0 di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru bermula jam 8.00 malam ini.

Wakil Penganjur perhimpunan pra Bersih 3.0 yang juga Ahli Jawatankuasa Mobilisasi Demokrasi PAS, Amiroslan Abd Manaf berkata, A. Samad Said atau Pak Samad akan menjadi tetamu khas di samping ramai lagi pimpinan parti politik dari Pakatan Rakyat dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili Bersih 3.0.

"Pak Samad akan berucap dan membacakan puisi, mungkin puisi khas sempena himpunan Bersih 3.0 tidak lama lagi," kata beliau.

Ketika malam pelancaran himpunan Bersih 2.0 tahun lalu, A. Samad Said telah mencatatkan sejarah dengan bacaan puisinya berjudul 'Unggun Bersih' yang telah menarik perhatian ramai pihak, malah tidak kurang juga menimbulkan polimik dalam dunia kesasteraan.

Ekoran puisi "Unggun Bersih', negara telah menyaksikan kemunculan empat Sasterawan Negara iaitu Shahnon Ahmad, Muhammad Haji Salleh, Nordin Hassan dan Anwar Ridwan tampil mempertahankan puisi itu sebagai sebuah karya sastera yang perlu dipertahankan apabila puisi tersebut dikecam pemimpin politik.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan bersama oleh empat Sasterawan negara ketika itu, mereka bertegas kebebasan berkarya adalah satu jaminan prinsip demokrasi dan 'Unggun Bersih' perlu diterima sebagai sebuah puisi kontekstual penyair dengan anggota masyarakatnya.

Menurut Amiroslan, selain Pak Samad yang juga merupakan tonggak penting dalam kepimpinan Bersih 3.0, persembahan nyanyian juga telah diatur dalam acara malam ini antaranya oleh aktivis seni, Amin Iskandar.

Kata beliau, acara utama akan diisi dengan pidato para pimpinan yang turut menampilkan Timbalan Presiden PAS, Mohammad Sabu, Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa, pimpinan utama Pakatan Rakyat, NGO serta wakil-wakil mahasiswa.

Bersih 3.0 merupakan satu himpunan yang dijadualkan pada 28 April ini di pusat bandar Kuala Lumpur anjuran Gabungan Pilihan Raya Bebas dan Adil (Bersih) yang turut disokong 84 NGO.

"Malam ini merupakan countdown kepada tarikh 28 April iaitu 10 hari daripada sekarang. Kehadiran orang ramai terutamanya penduduk sekitar Lembah Kelang pada malam ini amat penting sebagai menunjukkan soladiriti kepada perjuangan menuntut pilihan raya yang bebas dan adil sekaligus untuk menjayakan kempen besar-besaran 28 April akan datang," kata beliau.'

Sebelum ini pihak penganjur Bersih 3.0 dalam satu kenyataan awalnya mensasarkan kehadiran 500 ribu ke perhimpunan bertemakan 'duduk bantah' pada 28 April ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan