Rabu, 14 Mac 2012

LAGA2 NI MACAM MENGADU DOMBA LAH...YANG LAGA NAK AMBIK KEUNTUNGANLAH...

Wasatiyyah: Majlis bertunang anak tikam Najib

Harakahdaily, 14 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 14 Mac: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) melihat kontroversi majlis pertunangan anak Datuk Seri Najib Tun Razak semakin mendapat perhatian ramai pihak.

“Isunya adalah kos sebanyak RM409,767 yang kosnya didakwa dibiayai oleh Pejabat Perdana Menteri berdasarkan kepada bil yang dihantar,” kata Ketua Penerangan DPPM, Riduan Mohd Nor.

Katanya, walaupun ia kemudiannya dinafikan oleh pihak Hotel Shangri-La Kuala Lumpur yang menjelaskan ia adalah kos Najib sendiri, isu itu masih tidak mampu menutup kontroversi yang semakin berpanjangan.

Beliau berkata, isu penting yang perlu diberi perhatian adalah kos majlis tersebut yang menelan belanja sebanyak RM409,767 bagi sebuah majlis pertunangan.

Menurutnya, walau siapa pun yang membayarnya, kos perbelanjaannya dianggap amat tinggi dan keterlaluan.

Bagi rakyat umum, kata Riduan ia adalah suatu belanja super mewah dan melampau.

Tambahnya, ramai terlopong mulut mendengar hampir setengah juta ringgit dibelanjakan semalaman untuk perbelanjaan majlis pertunangan anaknya.

“Bayangkan jika majlis pernikahan atau majlis resepsi yang akan diadakan nanti, berapa ratus ribu atau juta pula akan dihabiskan?” soalnya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, meskipun Najib mungkin menyatakan beliau mampu untuk membiayai majlis tersebut atas kapasiti peribadinya, namun ia bukan sesuatu yang boleh dibanggakan.

Riduan menambah, di mata rakyat bawahan, ianya juga adalah simbol pembaziran dan melampau oleh pemimpin negara, dan mungkin ia adalah simbol kebencian rakyat terhadap pemimpin negara yang suka hidup bermewahan.

“Dalam keadaan Perdana Menteri mengumumkan kerajaan pimpinannya menggunakan pendekatan wasatiyyah (sederhana), isu kos majlis pertunangan anaknya seakan menikam balik segala kenyataannya.

“Bagi Datuk Seri Najib, itu mungkin wasatiyyah yang cuba ditonjolkan, tetapi tidak bagi rakyat,” ujarnya.

Beliau berkata, dalam keadaan rakyat semakin tersepit dengan kenaikan kos sara hidup, rakyat tidak boleh menerima pemimpin mereka hidup umpama di puncak kayangan.

Menurutnya lagi, majlis tersebut pula adalah majlis high profile yang dihadiri oleh pemuka, golongan elit korporat serta mereka yang ternama, dan tiada ruang untuk rakyat jelata dijemput hadir bagi memeriahkannya.

Tambahnya, tidak sesuai juga bagi para ulama, pendakwah serta mereka yang cintakan Islam hadir majlis seperti itu.

“Tahniah Datuk Seri Najib kerana berjaya menunjukkan contoh wasatiyyah terbaik untuk diteladani oleh rakyat,” ujarnya.

Kongres Melayu kecewa laporan Bernama

Rahmad Ishak,
Kongres Melayu Pulau Pinang (KMPP) kecewa dengan laporan pihak Bernama yang telah memutar-belitkan kenyataan KMPP sepertimana yang disiarkan oleh akhbar Utusan Malaysia pada 14/2/2012.

Kenyataan Presiden KMPP, Rahmad Isahak yang dibuat pada 13/2/2012 adalah lebih menjurus kepada halatuju politik serta ekonomi orang-orang melayu Pulau Pinang.

Pihak saya mencadangkan supaya 5 Exco Melayu termasuk seorang Timbalan Ketua Menteri dari Parti DAP dilantik dalam barisan Kerajaan Negeri.

Itupun jikalau Pakatan Rakyat masih menjadi Kerajaan Pulau Pinang selepas PRU13. Namum jikalau Barisan Nasional kembali berkuasa, maka senario yang sama harus dikekalkan.

Pihak KMPP juga mempertikaikan kenapa UMNO Negeri ini yang ada 11 kerusi Dun tidak berani bersuara supaya kerusi Pengerusi Barisan Nasional Negeri ini diberikan kepada UMNO?

Inilah masa yang terbaik pemimpin UMNO disini menegakkan atau melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai sebuah parti melayu yang benar-benar memperjuangkan nasib melayu dinegeri ini. Soal menjadi pembangkang tidak timbul dalam isu tersebut.

Akan tetapi apa yang dilakukan oleh pihak BERNAMA adalah sebaliknya serta lari dari kenyataan sebenar pihak KMPP.

KMPP tidak langsung menyatakan bahawa Parti PAS dan Parti PKR tidak pernah membantu orang-orang melayu Pulau Pinang. Sesungguhnya laporan BERNAMA tersebut secara tidak langsung telah memutar-belitkan kenyataan sebenar KMPP.

Apakah selama ini pihak BERNAMA yang makan gaji dengan Kerajaan Pusat suka dan gemar menyiarkan laporan yang tidak betul untuk penerimaan rakyat khususnya orang-orang melayu?

Ini bermakna selama ini orang-orang melayu khususnya banyak bergantung serta membuat andaian keatas berita-berita palsu yang telah diputar-belitkan oleh pihak BERNAMA sekiranya kenyataan tersebut tidak menyokong parti Barisan Nasional.

Situasi ini dilihat sebagai telah membelakangkan kebebasan media dan patut diingatkan bahawa sekiranya laporan tersebut dikeluarkan oleh seorang Islam, maka beliau juga akan dipersoalkan di akhirat kelak.

Justeru itu adalah diharapkan pihak Bernama pada masa hadapan lebih peka dalam menyiarkan sebarang berita daripada menjadi tukang tilik politik pihak UMNO dan Barisan Nasional.


Sekian, terima kasih.



KONGRES MELAYU PULAU PINANG     
RAHMAD ISAHAK
PRESIDEN, (019-4728509)

Gerakan pinggir Ku Li di Gua Musang

Hussin Ibrahim, 14 Mac 2012

GUA MUSANG, 14 Mac: Legasi Umno Gua Musang di bawah Tengku Razaleigh Hamzah (gambar) yang kini melewati 43 tahun mungkin tidak mampu bertahan lagi ekoran muncul suara-suara sumbang di bahagian berkenaan kebelakangan ini.

Malah sekarang muncul pihak yang menggelarkan mereka sebagai Kumpulan 16 secara terang-terangan mengharapkan anggota parlimen terbabit berundur.

Anggota Jawatankuasa Umno Gua Musang, Abdul Wahab Yunus tampil mendedahkan perkara itu berkata, sudah sampai masanya Ku Li berundur dan tidak lagi mempertahankan kerusi parlimen Gua Musang pada pilihan raya umum ke-13 tidak lama lagi.

“Pembangunan Gua Musang bukan lagi hasil usaha Ku Li, tetapi sejak PAS mentadbir Kelantan sehingga kini melewati tahun ke-22 pembangunannya saya lihat lebih pesat.

“Saya tidak nampak lagi apa peranan ahli Parlimen Gua Musang sekarang. Bantuan kerajaan pun lebih banyak disalur agensi-agensi kerajaan pusat seperti Kesedar,” katanya ketika ditemui sini.

Baru-baru ini media tempatan melaporkan Tengku Razaleigh tetap mahu mempertahan kerusi parlimen Gua Musang biar pun tidak dicalonkan Umno.

Hasrat Ku Li itu turut mendapat sokongan Adun Galas, Abdul Aziz Yusof yang juga Setiausaha Umno Gua Musang.

Abdul Wahab yang mendakwa mengetuai ketua-ketua cawangan Umno Gua Musang berkata, Ku Li akan berdepan kesukaran lagi mempertahan parlimen tersebut kerana popularitinya semakin menurun.

Sebelum ini Ketua Pemuda Umno Gua Musang, Datuk Bazlan Baharuddin pernah dilapor mahu mencabar kedudukan Ku Li pada pemilihan Umno akan datang.

Difahamkan Bazlan juga mendapat sokongan Ketua Wanita Umno Bahagian, Senator Hazani Mohd Noor dan dikatakan bergabung pula dengan bekas Adun Galas, Saupi Deraman.

(ikuti berita lanjut dalam Harakah edisi cetak keluaran akan datang)

Tips Nik Aziz untuk dapat zuriat yang baik

Salmah Mat Husain, 14 Mac 2012
KOTA BHARU, 14 Mac: Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memberikan tips istimewa kepada para pemuda untuk mendapatkan zuriat yang baik iaitu mencari isteri yang solehah.

“Isteri yang solehah dapat menerbitkan kebahagiaan rumah tangga di samping dapat mendidik anak-anak menjadi soleh,”ujarnya.

Sambungnya, isteri yang soleh lebih penting dari memilih kedudukan atau kekayaannya kerana apa yang ada itu adalah hak isterinya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis ceramah keibubapaan ‘Zuriat Kita Tanggungjawab Kita’ anjuran Kelantan Trade Cantre (KTC) dan Buraqoil, di sini malam semalam.

Katanya, anak-anak bukan sahaja perlu diajar, sebaliknya turut diselangi dengan pendidikan.

Katanya, nasihat tidak akan sampai dengan sempurna pada anak-anak sekiranya mereka hanya diajar tanpa diterapkan dengan pendidikan bagi memudahkan golongan ini memahami setiap perkara yang diajar.

Tuan Guru bagaimanapun berkata, mereka bukan sahaja perlu dididik ketika berusia enam atau tujuh tahun sebaliknya sebelum mereka dibenihkan lagi.

“Suami isteri perlu menjaga akhlak serta membaca doa-doa yang diajar Rasulullah sebelum dan sewaktu ingin bersama pasangan masing-masing.

“Ianya amat penting bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku sekiranya waktu itu bermulanya percambahan zuriat,”ujarnya lagi.

Lebih 500 orang ibubapa termasuk kanak-kanak menghadiri program itu yang turut diadakan pertandingan hafazan kanak-kanak (lelaki).

NGO WargaAMAN tuntut Bersih 3.0

Harakahdaily, 14 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 14 Mac: Angkatan Warga Aman Malaysia (WargaAMAN) mewakili lebih daripada 20 Pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) kaum India merasa terpanggil untuk meneruskan momentum perubahan yang semakin terasa rentetan daripada kejayaan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu.

Sehubungan itu, WargaAMAN menyeru supaya BERSIH 3.0 diadakan segera bagi memastikan Pilihanraya Umum ke-13 akan datang dilaksanakan dengan adil, telus dan bersih.

Demikian kata Barathidasan Saminathan, Sekretariat Warga AMAN dalam satu kenyataannya kepada Harakahdaily hari ini.

WargaAMAN memberi amaran kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar melaksanakan lapan tuntutan BERSIH 2.0 iaitu membersihkan daftar undi, mereformasikan undi pos, guna dakwat kekal, akses media yang bebas dan adil, tempoh kempen minium 21 hari diperkukuhkan instituasi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor, jika sekiranya tidak mahu berdepan dengan satu lagi Himpunan BERSIH 3.0

Menurut Barathidasan, tindakan pihak kerajaan khususnya Perdana Menteri begitu terdesak untuk melaksanakan perubahan demi menjaga survival pemerintahan Barisan Nasional.

“Perkembangan positif ini perlu digunakan sebaik mungkin bagi membolehkan lebih banyak perubahan dilakukan oleh pihak kerajaan,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, WargaAMAN percaya sekiranya gerakan menuntut pilihanraya bersih dan adil diteruskan dengan pembawaan yang konsisten, peluang untuk 8 tuntutan Bersih 2.0 dilaksanakan adalah sangat besar.

“Oleh itu, WargaAMAN menuntut supaya satu lagi perhimpunan Bersih 3.0 diadakan segera untuk menjamin peluang Pakatan Rakyat untuk mengambil alih Putrajaya,” katanya.

Tambahnya, objektif sebenar cadangan Bersih 3.0 ialah untuk meneruskan momentum Bersih 2.0 yang telah berlangsung pada 9 Julai dalam menuntut pembaikpulihan sistem pilihan raya bagi mewujudkan sebuah sistem yang lebih bersih dan adil.

Beliau juga memberi respons terhadap Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) berhubung penambahbaikan proses pilihan raya yang telah diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 3 Oktober lalu.

Katanya, PSC tersebut dilihat sebagai alat untuk meredakan tuntutan Bersih dan mengalihkan rakyat daripada memberi fokus terhadap tuntutan pilihan raya bersih dan adil. Selain daripada itu Kerajaan UMNO / BN yang di terajui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menggunakan taktik melengah-lengahkan lapan tuntutan BERSIH 2.0 menerusi Pengisytiharan Jawatankusa Khas Parlimen (PSC)

WargaAMAN harapkan keadilan untuk pelbagai kaum yang diperjuangkan Pakatan Rakyat selepas 901 mempunyai harapan yang cerah untuk menguasai Putrajaya.

Perluaskan lagi stesen minyak luar bandar

Salmah Mat Husain, 14 Mac 2012

KOTA BHARU, 14 Mac: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, diminta mengkaji semula tempoh untuk membekukan lesen kepada pengusaha stesyen minyak khasnya di kawasan luar bandar.

Pengarah Buraqoil, Mohd Khilmi Yusof berkata, tindakan itu menyebabkan sebahagian pengusaha yang berhasrat untuk membuka stesyen minyak terbantut ekoran kerajaan membekukan lesen untuk tujuan itu sejak tujuh tahun lalu.

Beliau berkata demikian pada sidang medianya semalam sempena program Pekan Buku di Kelantan Trade Cantre (KTC), di mana Buraqoil adalah penaja pada program tiga hari itu.

Sambungnya lagi, peningkatan masyarakat yang mempunyai kenderaan sendiri termasuk penempatan yang baru dibuka kerajaan memerlukan stesyen minyak yang baru bagi menangani keperluan masyarakat.

Pada masa yang sama beliau berkata Kelantan dipilih sebagai rangkaian pengedar minyak luar bandar di Pantai Timur oleh Buraqoil, memandangkan negeri itu mempunyai kuasa beli yang tinggi berbanding negeri lain.

Bagi mempastikan hasrat itu berjaya, pembekal minyak bagi stesen-stesyen minyak luar bandar melalui anak syarikatnya IPBT Sdn Bhd kini giat membantu melonjakkan jualan petrol dan diesel di stesen minyak tersebut.

Katanya, sehingga kini pihaknya menyediakan 12 stesen di negeri itu disamping dalam usaha untuk menaik taraf setesen minyak ke arah yang lebih baik.

“Seorang pengusaha stesen minyak kita di Sungai Terah Gua Musang, kini dalam proses untuk membaik pulih stesyen minyak dengan peruntukkan sendiri,”ujarnya.

Khilmi seterusnya memberitahu, Buroqoil hanyalah pembekal minyak pada stesyen-stesyen luar bandar, bagaimanapun bahan itu dibekalkan oleh syarikat-syarikat terkemuka seperti Shell, Petronas dan Esso.

Kenapa lagakan Guan Eng dengan CAP?

Zairil Khir Johari,
Adalah amat mendukacitakan bahawa media kawalan BN telah memanipulasi dan memutar belit kenyataan-kenyataan media mereka sendiri untuk memberi gambaran palsu bahawa Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng telah melakukan serangan peribadi terhadap Presiden CAP SM Mohamed Idris.

Ketua Menteri telah dituduh melakukan serangan peribadi terhadap Mohamed Idris dengan memanggilnya “orang tua”.

Kenyataan ini adalah kurang tepat dan mengelirukan, kerana mengikut laporan The Star pada 8 Mac 2012, Ketua Menteri telah dipetik berkata, “SM Mohamed Idris adalah seorang yang tua dan dihormati”. Dalam konteks yang penuh dan betul, adalah jelas bahawa Ketua Menteri telah memberi penghormatan kepada seorang warga tua.

Malangnya, pemimpin-pemimpin BN sudah mula menyerang Ketua Menteri atas sebab beliau telah memanggil Mohamed Idris “orang tua”, tanpa mengambil kira kenyataan lanjutannya bahawa beliau adalah seorang yang “dihormati”.

Yang lebih mengejutkan pula, The Star enggan melaporkan dengan penuh kenyataan Ketua Menteri yang terbaru dalam suratkhabarnya pada 14 Mac 2012 hari ini.

Bagi BN untuk membuat kenyataan separuh benar atau fitnah adalah sudah dijangka. Tetapi, tindakan The Star yang sengaja tidak menyiarkan kenyataan penuh Ketua Menteri bahawa SM Mohamed Idris adalah seorang yang “dihormati” dan kemudiannya menyindir bahawa Ketua Menteri telah menggunakan ayat yang tidak pernah beliau gunakan, seperti “orang yang hilang ingatan”, bukan sahaja bercanggah dengan laporan-laporan sebelumnya tetapi adalah tidak beretika langsung.

Adalah sangat dikesali bahawa The Star telah memilih hanya untuk melaporkan secara ringkas kenyataan akhbar Ketua Menteri semalam berkenaan dengan proses rundingan umum yang dijalankan oleh Kerajaan Negeri dalam cadangan 4 projek infrastruktur untuk mengurangkan kesesakan lalulintas di bahagian pulau.
Projek-projek berkenaan adalah pembinaan terowong bawah laut 6.5km dari Gurney Drive ke Bagan Ajam (berdekatan dengan Butterworth), jalan 15km yang akan menghubungkan Tanjung Bungah dengan Teluk Bahang, jalan pintas 5km dari Gurney Drive ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong eu serta jalan pintas 5km dari Bandar Baru Air Itam ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu.

Ketua Menteri telah menjelaskan secara terperinci bagaimana 4 projek infrastruktur ini akan memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi Pulau Pinang, serta bagaimana beliau telah meminta pandangan umum dan berunding dengan NGO-NGO seperti CAP, yang telah diwakili oleh Rudhrapathy Vijayala (Ravi).

CAP bukanlah satu-satunya organisasi yang membantah 4 projek infrastruktur tersebut. Malah, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pun telah menentang pembinaan terowong bawah laut dari Gurney Drive ke Bagan Ajam pada 17 November 2011. Namun begitu, maklum balas daripada orang ramai di Pulau Pinang, khususnya mereka di Gurney Drive dan SPU, telah menunjukkan bahawa majoriti menyokong dan menghendaki supaya projek-projek infrastruktur ini diteruskan.

Walaupun NGO-NGO seperti CAP mempunyai hak untuk berbeza pendapat dengan proses rundingan umum yang dijalankan oleh Kerajaan Negeri, Ketua Menteri percaya bahawa perbezaan pendapat ini harus disuarakan secara sopan.

Oleh itu, Ketua Menteri telah memberi jaminan bahawa beliau masih akan menjemput NGO-NGO seperti CAP untuk pusingan kedua rundingan umum apabila reka bentuk, pemilihan laluan dan kajian kesan alam sekitar untuk projek terowong bawah laut dijalankan pada tahun ini.

Dalam proses pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang, Kerajaan BN tidak pernah melakukan rundingan umum seperti ini. Pun begitu, Kerajaan PR Pulau Pinang telah dikutuk dengan teruk kerana menjalankan proses yang lebih telus dan bertanggungjawab berbanding dengan Kerajaan Negeri BN sebelum ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan