Rabu, 14 Mac 2012

JANGAN MAIN TIPU2LAH..TAK DE MORAL..DOSA LAGI...RASUAH DILINDUNGI PAYAHLAH...INI SATU HAL...AGAKNYA PAYAH NAK JADI JUJUR...TAK JUJUR NI AMALAN2 SYAITAN...

Kalau laksana hudud, saya pertama sokong - Malek Nor

Salmah Mat Husain Foto: Rizal Tahir, 14 Mac 2012



(Malek Nor dan Aziz Desa dalam sessi sembang petang di KTC)

KOTA BHARU, 14 Mac: Kerajaan diminta mengkaji semula undang-undang  yang ada  termasuk menimbang untuk melaksanakan hukum hudud khususnya berhubung jenayah memandangkan hukuman yang dikenakan terhadap ‘pendera’ kanak-kanak begitu ringan.

Bekas jaguh bina badan Asia, Datuk Malek Noor, berkata sekiranya kerajaan ingin melaksanakan hukuman hudud beliau adalah orang pertama yang akan menyokongnya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis sembang petang bersama Datuk Malek Nor sempena Pekan Buku anjuran bersama Dewan Bahasa dan Pusataka Wilayah Timur, Kelantan Trade Canter (KTC) dan Buroqoil.

Sembang Petang itu dikendalikan Ketua Pegawai Operasinya, Aziz Desa.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung kenyataannya dalam ucapan sembangnya diawal majlis yang mengutuk kekejaman manusia mendera kanak-kanak termasuk ibubapa sendiri yang mencampak anak dari bangunan yang tinggi.

Ketika mengulas penderaan kanak-kanak, beliau tidak dapat menahan air matanya dari terus mengalir.

Malek seterusnya berkata, kerana undang-undang yang ada dalam negara begitu longgar menyebabkan pesalah termasuk orang lain tidak pernah berasa insaf dengan hukuman yang dikenakan.

“Setakat hukuman setahun, dua tahun kemudian lepas, tidak akan menginsafkan mereka.

“Andainya kerajaan berhasrat untuk melaksanakan hukuman hudud, saya adalah orang pertama yang akan menyokongnya kerana yakin hanya syariat Allah yang dapat mendidik manusia,”ujarnya.

Turut hadir pada program khas yang dianjurkan untuknya adalah isteri beliau, Datin Wan Asma Wan Ismail.

Pasangan pengantin ini melangsungkan perhakwinan mereka di Kota Bharu pada 12 Mac lalu dan majlis repsepsinya berlangsung di Hotel Renaissance yang turut dihadiri Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan isteri.

Katanya lagi, begitu juga hukuman yang dikenakan ke atas mat rempit yang dianggapnya begitu longgar menyebabkan golongan terbabit tidak pernah insaf untuk berhenti.

Terdahulu ketika berucap pada majlis itu berharap Kelantan akan sentiasa dirahmati disamping mengharapkan negeri itu menjadi yang terbaik di negara ini.

“Hasrat saya untuk melihat negeri ini menjadi contoh pada negeri-negeri lain di negara ini kerana keistimewaannya yang tersendiri khususnya penerapan Islam,”ujarnya.

Syria: Menteri Luar digesa nyata pendirian

Hazayani Zakaria, 14 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 14 Mac: Ahli Parlimen Pakatan Rakyat menuntut kerajaan Malaysia menyatakan pendirian yang jelas berhubung krisis di Syria.

Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr. Mujahid Yusuf Rawa (gambar bawah) berkata, Wisma Putra sehingga hari ini belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kezaliman Presiden Syria, Basyar Al Assad terhadap rakyatnya.

"Hari ini kita minta Kementerian Luar menyatakan tentang sikap Wisma Putra terhadap isu di Syria.

"Hingga hari ini kita tidak mendengar apa-apa kenyataan tentang pendirian Malaysia terhadap isu di Syria yang kini semakin kritikal.

"Semua negara di seluruh dunia telah menyatakan sikap mereka tentang Syria dan minta Syria hentikan kezaliman," kata beliau pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Amat menghairankan ujarnya apabila Malaysia yang suatu ketika dahulu amat lantang dalam isu di Timur Tengah, tetapi kini hanya berdiam diri meskipun saban hari media luar negara melaporkan kekejaman kerajaan Basyar terhadap rakyatnya.

"Malang sekali bagi negara kita yang suatu ketika dahulu out spoken dengan isu-isu Timur Tengah tak ada lagi kenyataan. Isu dah berlarutan hampir setahun. Bagi ahli Parlimen Pekatan Rakyat, kita sangat kesal," katanya yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat.

Terdahulu, wakil daripada 27 badan bukan kerajaan (NGO) menyerahkan memorandum kepada Ahli Parlimen BN dan Pakatan Rakyat menggesa mereka mengemukakan usul tergempar bagi membincangkan konflik di Syria.

Wakil sekretariat, Naim Jusli berkata, mereka menuntut kezaliman terhadap wanita dan kanak-kanak dihentikan dan kerajaan Malaysia segera menyatakan pendirian.

"Kami desak kezaliman terhadap wanita dan kanak-kanak dihentikan dan kami mengutuk  keras kekerasan Basyar Assad.

"Akibat kezaliman ini, 8,500 orang mati, 39,000 cedera dan 180,000 tahanan dalam penjara diseksa. Merea mencuri harta dan membunuh ulama," katanya.

Undur Shahrizat separuh tepat

Subky Latif, 14 Mac 2012
SEKALIPUN banyak reaksi mengira pengunduran Shahrizat Abdul Jadil dari kabinet 8 April ini sebagai satu langkah yang tepat, tetapi bagi saya ia hanya separuh tepat.
Dia sekadar berundur dari jawatan kerajaan, tetapi dia masih kekal sebagai Ketua Wanita UMNO dan Ketua Wanita BN serta segala yang berkait dengan kedudukan ketua sayap wanita parti pemerintah itu.

Mungkin pada orang-orang yang rapat dengannya bahawa tindakannya itu satu pengorbanan yang sudah cukup berkaitan dengan masalah yang dihadapinya  dan keluarganya, tetapi ia belum memadai bagi meringankan beban liabiliti UMNO dan BN.

UMNO dan Wanita  UMNO memangnya tidak sebersih mana, tetapi mengekalkan Shahrizat pada kedudukannya dalam parti itu tidak dapat melekangkan imej buruk parti. Parti itu sudah dikira banyak bermasalah, dengan mengekalkannya sebagai ketua Wanita mengesahkan ia yang benar-benar bermasalah.

Selagi Shahrizat menjadi ketua sayap Wanitanya, orang akan mudah menempelak parti itu berketuakan orang yang tidak bersih dan bermasalah. Walaupun mahkamah belum mendapati suaminya bermasalah, tetapi suaminya sudah didakwa pecah amanah dan dikenakan ikat jamin setengah juta.

Shahrizat tidak didakwa, tetapi sebagai ketua Wanita  UMNO, dia akan mengadapi tekanan saikologi  dan segala beban  akibat dakwaan itu. Otaknya separuh terikat dengan gema dakwaan.  Hanya separuh otaknya saja yang dapat ditumpukan kepada Wanita UMNO.

Sekali pun suaminya baru didakwa dan orang yang belum didapati bersalah bukanlah orang bersalah, tetapi dengan dakwaan itu dia sudah berada dalam keadaan separuh bersalah. Setelah mahkamah mendapatinya tidak bersalah barulah dia betul-betul tidak bersalah.

Bagi persepsi setengah orang, orang yang didapati mahkamah tidak bersalah, sukar diterima betul-betul tidak bersalah. Itulah dunia.

Shahrizat mesti berkempen menjelajah ke merata-rata untuk menjamin kemenangan partinya dalam PRU yang sudah dekat itu. Dia mesti bercakap bagi menyatakan partinya benar. Tetapi beban yang dihadapinya bagaimana orang hendak yakin kepadanya sedang dia sendiri berdepan dengan masalah kebenaran dan masalah kebersihan.

Orang-orang yang datang mendengar dan berjumpa dengannya akan melihat wajahnya sebagai orang yang  tidak bebas.

Mungkin UMNO mahu menyamakan  masalahnya dengan masalah yang dihadapi oleh Anwar Ibraim dan isterinya yang memimpin PKR. Payah hendak menyamakan mereka.

Anwar dan isterinya menubuhkan PKR setelah dia dipenjarakan sementara menunggu keputusan mahkamah. Dia membentuk parti untuk meneruskan perjuangannya  dan untuk membela tohmah yang dihadapkan kepadanya.

Shahrizat pula berada dalam parti yang sebelum masalahnya, ia sudah ada banyak masalah.

Dan kalau pun UMNO mengatakan PKR bermasalah kerana masalah Anwar, maka apa untungnya UMNO mahu menyamakan UMNO dengan masalah Sharizat itu? Sepatutnya UMNO jangan ada masalah supaya ia senang berdepan dengan PKR yang dikatakan memikul masalah Anwar.

Kalau PKR dan Anwar hendak dikatakan comot, mengapa perlu dicomotkan juga dengan membiarkan Shahrizat kekal sebagai ketua Wanita?

Saya kira Shahrizat tidak mahu membebaskan UMNO dengan bebannya. Kerana itu dia kekal dengan ketua Wanita. Selagi dia kekal di situ, maka senang bagi pembangkang untuk memburukkan UMNO. Dan sukar bagi Bung Mukhtar dan rakan-rakannya untuk membela UMNO sebagai badan yang bersih.

Tetapi kalau berundur sama dari pimpinan UMNO, maka musuh UMNO hilang satu modal yang ampuh. Pembangkang akan rugi kalau Shahrizat bersara dari politik. Dan mereka suka kalau UMNO itu terus dipimpin oleh orang yang dilihat tidak bersih.

Teori dongeng Umno BN terhapus

Mohd Rashidi Hassan, 13 Mac 2012
Tanggal 8 Mac 2012 merupakan hari ulangtahun ke-empat kebangkitan kuasa rakyat  menumpaskan hegemoni Barisan Nasional, meruntuhkan keegoan mereka di lima negeri, sekali gus menghapuskan majoriti kuasa dua pertiga di Parlimen.

Tarikh keramat 8 Mac 2008 adalah indikator besar yang menganjak iklim politik negara. Ia memberi isyarat bahawa kuasa pemerintahan BN sejak 50 tahun dalam negara kita bukannya kuasa yang mutlak.

Hakikat yang jelas daripada kebangkitan ini menunjukkan, tiada kuasa pemerintahan yang kekal, jika mereka tidak mendapat dokongan rakyat.

Rakyat hari ini bukannya rakyat yang boleh digula-gulakan atau dipesongkan pemikiran mereka untuk terarah kepada satu aliran pemikiran sahaja.

Rakyat Malaysia adalah rakyat yang semakin matang dan bijak menilai. Rakyat tahu bahawa memilih pemerintah adalah kuasa mereka, bukan semata-mata mengikut kehendak parti yang memerintah.

Rakyat juga tidak mahu sesebuah parti memerintah secara mutlak. Lalu rakyat memberikan kuasa kepada parti alternatif untuk menjadi check and balance kepada kerajaan.

Malah rakyat memberi mandat kepada PAS, DAP dan KeADILan, di bawah payung Pakatan Rakyat untuk menguasai lima negeri di Semenanjung.

Setelah empat tahun berlalu, mengharungi pelbagai karenah dan mehnah, hari ini kita boleh berbangga dengan keupayaan kita mentadbir di sebalik tekanan BN yang maha dahsyat.

Dalam tempoh empat tahun ini, negeri-negeri yang berada di bawah payung Pakatan Rakyat mendapat pengiktirafan dan pujian kerana mentadbir jauh lebih baik daripada negeri-negeri di bawah penguasaan BN.

Pakatan Rakyat berjaya menghapuskan ilusi dongeng yang ditanam sekian lama di minda rakyat bahawa tiada parti yang mampu memerintah negara selain BN.

Namun, kita tidak menafikan bahawa, wujud beberapa kelemahan dalam Pakatan Rakyat. Di Perak berlaku kecuaian terhadap tiga wakil rakyat, sehingga mereka terjebak dengan perangkap BN dan berpaling tadah, mengakibatkan kerajaan negeri tumbang selepas 11 bulan memerintah.

Pulau Pinang turut tercemar sehingga terpaksa bertukar Timbalan Ketua Menteri dan diadakan pilihan raya kecil. Selangor juga terpaksa bertindak nekad menggugurkan seorang exco kerajaan negeri dan terakhir selaku berlaku sedikit 'ribut dalam cawan' di Kedah.

Namun sedikit kelemahan ini sudah ditutup dan diatasi dengan sebaik mungkin. Ia sama sekali tidak menjejaskan prestasi baik kerajaan-kerajaan negeri di bawah naugan Pakatan Rakyat. Masalah wujud di mana-mana, tetapi bagi rakyat, yang penting, negeri ditadbir dengan baik dan sempurna.

Asas kekuatan Pakatan Rakyat yang pertama, iaitu khusus bagi negeri-negeri Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor, ialah mereka mendapat pujian tiga tahun berturut-turut daripada analisis kewangan Jabatan Audit Negara.

Hasil daripada sifat anti-rasuah dan integriti yang tinggi, negeri-negeri Pakatan Rakyat berjaya menguruskan kewangan dengan berhemah. Selain ia mencatatkan rekod sifar rasuah, ia juga berjaya meningkatkan hasil pendapatan negeri, sekali gus menjimatkan perbelanjaan negeri dan tidak membazir.

Urustadbir yang bertanggungjawab dan beramanah inilah yang dikehendaki rakyat. Rakyat mahu pemerintah yang berjaya meningkatkan hasil dan menjimatkan wang rakyat daripada rasuah dan pembaziran.

Asas kedua yang memperkukuhkan Pakatan Rakyat ialah, ia mempunyai 'Dasar Bersama' yang diputuskan ketiga-tiga parti. Asas ini memperkukuhkan kepercayaan rakyat, bahawa jika Pakatan Rakyat diberi mandat menguasai Putrajaya, pada Pilihan Raya Umum akan datang, ia akan memelihara keluhuran Perlembagaan, kedaulatan Raja, menjamin kesucian Islam serta melindungi hak-hak orang Melayu dalam negara.

Dengan termeterainya Dasar Bersama ini, hala tuju Pakatan Rakyat, yang bukan sahaja memelihara, malah memperkukuhkan semua institusi yang dicatat di atas, membuktikan bahawa ia adalah alternatif terbaik buat rakyat, untuk menggantikan BN.

Asas ketiga adalah komitmen Pakatan Rakyat yang terkandung di dalam Buku Jingga. Ini adalah perencana dasar yang amat penting. Buku Jingga yang menyenaraikan Tawaran Jingga, cukup disenangi rakyat pelbagai kaum dan agama.

Ia bukan sahaja memahatkan keharmonian agama dan kaum, malah ia menjanjikan kesejahteraan ekonomi dan sosial mencukupi pelbagai lapisan rakyat. Tawaran Jingga ini direalisasikan selaras dengan konsep Negara Berkebajikan yang dipelopori PAS.

Di kesemua negeri di bawah Pakatan Rakyat, rakyat menerima pelbagai hasil dan skim yang membela mereka, bagi menjamin kesejahteraan mereka. Skim-skim kebajikan ini, tidak dinikmati di negeri-negeri di bawah BN.

Tiga asas utama ini, yang digarapkan hasil kebijaksaan kepimpinan Pakatan Rakyat semakin memperkukuhkan kepercayaan rakyat terhadap Pakatan Rakyat.

Sehingga kini ia masih belum dapat dicabar BN secara praktikal. Dalam menggasak Tawaran Jingga ini, BN cuba menabur kebajikan dengan memperkenalkan pelbagai bantuan di atas jenama 1Malaysia. BN buntu idea. Mereka ketandusan perancangan sehingga terpaksa menciplak beberapa pendekatan yang digariskan Pakatan Rakyat.

Namun segala usaha BN untuk mengaburi rakyat untuk menyokong mereka masih menemui jalan buntu. Setakat ini belum ada tawaran BN yang boleh menjadi galang ganti kepada Tawaran Jingga.

Justeru kita mengharapkan agar rakyat terus istiqamah bersama Pakatan Rakyat. Moga pada ulang tahun kelima nanti, iaitu pada 8 Mac 2013 akan datang, negara yang kita cintai ini sudah berada di bawah naungan Pakatan Rakyat.

PAS Selangor abai kerusi Melayu?

Ahmad Lutfi Othman, 13 Mac 2012
Khamis 1 Mac, saya, isteri dan wartawan Harakah Selangor, Saidah Hairan ke Tanjong Karang dan kawasan sekitarnya, sehingga melewati kawasan Sungai Besar. Meskipun agak kerap ke sana menziarahi keluarga sebelah 'orang rumah', namun kunjungan kali ini lebih kepada tinjauan rambang Harakah terhadap situasi politik Selangor, negeri yang menjadi idaman Najib Razak.


Setiap kali melewati pekan Tanjong Karang, Sekinchan dan Sungai Panjang, ia  mengingatkan saya peristiwa lebih sepuluh tahun lalu, tentang pendedahan salahguna kuasa dan rasuah membabitkan bekas Menteri Besar Selangor, Dr Khir Toyo.

Bersama rakan-rakan yang pernah mengusahakan penerbitan tabloid politik tanpa permit, kami waktu itu mengutip maklumat dan menjejak bukti, termasuk untuk menyiapkan laporan kepada Badan Pencegah Rasuah (sekarang Suruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia).

Tidak cukup dengan itu, saya bersama Dinsman dan pengarah Nasir Jani turut merakamkan pengambaran video di sekitar Tanjong Karang -- termasuk rumah sewa Khir di Sekinchan, jalan termahal merentasi bendang dan juga mencari reban ayam --  bagi memperkukuhkan dakwaan kami bahawa Khir terbabit dengan pelbagai bentuk penyelewengan dan korupsi.

Seingat saya, Ketua Pembangkang Dun Selangor, Dr Hasan Ali, yang juga Adun Sungai Burong 1999-2004, terbabit sama. Beliau turut membuat aduan rasuah Khir di Ibu Pejabat BPR, di Putrajaya.

Kini, ketika banyak pihak ghairah berbicara (dan berteka-teki) dengan kecenderungan politik pengundi Melayu, bagi saya, kerusi-kerusi yang ditandingi PAS di empat kawasan Parlimen, iaitu Kuala Selangor, Tanjong Karang, Sungai Besar dan Sabak Bernam, perlu didekati dengan lebih rapat.

Selepas tsunami politik empat tahun lalu, ramai beranggapan pengaruh PAS masih tersekat di kawasan majoriti pengundi Melayu dan kampung-kampung tradisi tertentu. Justeru, saya kira Harakah sebagai lidah rasmi parti wajar menjadikan kerusi-kerusi seumpama itu, termasuk di Selangor, sebagai kawasan fokus.

Dalam Pilihan Raya Umum 2008, di kawasan berkenaan, PAS bertanding lima kerusi Dun: Jeram, Sungai Burong, Sungai Panjang, Sabak dan Sungai Air Tawar. Manakala bagi kerusi Parlimen, PAS diberi kepercayaan untuk menyaingi BN di Kuala Selangor, Tanjong Karang dan Sungai Besar.

Bagaimanapun PAS hanya menang di Kuala Selangor, melalui wakilnya, Dr Dzulkefly Ahmad, dengan majoriti 862 undi, tetapi tewas di semua kerusi lainnya.

"Kita perlu menunjukkan prestasi yang baik dalam PRU13 di lima kerusi Dun yang diserahkan kepada PAS itu. Selain memperkukuhkan kerajaan negeri Pakatan Rakyat, kita juga dapat menangkis tohmahan bahawa PAS hanya menang dengan sokongan pengundi bukan Melayu," kata seorang aktivis PAS yang saya temui.

Jadual 1 menunjukkan peratusan pengundi Melayu dan majoriti kemenangan calon BN untuk lima kerusi Dun berkenaan.

Kerusi                     % Melayu  Majoriti BN
Sungai Air Tawar           83.6        123
Sabak                         79.7         117
Sungai Panjang            85.4       5,828
Sungai Burong             86.1       2,710
Jeram                         73.1       1,476

Pertemuan pertama diatur bersama Yang Dipertua PAS Tanjong Karang, Ustaz Mohamad Judi Sarjo di Pusat Khidmat Masyarakat Dun Sungai Burong.

Beliau yang mudah diajak bersembang menekankan keyakinannya bahawa jentera parti akar umbi sudah bersedia berdepan misi getir menghadapi PRU13, khusus bagi memenangi kembali Dun Sungai Burong, sekali gus memberikan cabaran sengit kepada Noh Omar, Timbalan Pengerusi Umno Negeri dan menteri kabinet, di Parlimen Tanjong Karang.

Namun begitu, Ustaz Judi mengakui, ia bukan tugas mudah, apatah lagi untuk berdepan pelbagai taktik dan strategi licik BN, termasuk penggunaan politik wang. Noh sebagai ahli Parlimen dan pembantu Najib di Selangor pastinya akan memperalatkan apa sahaja untuk mempertahankan kerusinya.

Jika Noh tewas di kampung halaman sendiri, bermakna operasi tawan Selangor berkecai dengan begitu mudah. Justeru, Ustaz Judi mengakui tanggungjawab besarnya, terutama untuk menggembleng setiap potensi kekuatan PAS Kawasan. Saya perhatikan, semangatnya untuk mencipta sejarah cukup tinggi.

Semasa makan tengahari dengan Dr Mohd Yusof Abd Wahab di sebuah restoran berdekatan kliniknya, di pekan Tanjong Karang, bekas calon PAS yang pernah menentang Noh pada 1999 ini, turut menaruh keyakinan bahawa perubahan boleh dicatatkan pada PRU13.

Saya mengenali Dr Yusof lebih sepuluh tahun lalu; kes berkaitan rasuah Khir Toyo yang menemukan kami. Seperti lazimnya, beliau agak kritikal terhadap persiapan jentera parti. Dr Yusof membayangkan program Umno ada kalanya lebih rancak dan berterusan berbanding PAS.

"Umno bukan saja anjurkan karaoke dan acara sukan tetapi juga kuliah-kuliah agama. Kita harus lebih ke depan jika mahu memberi cabaran sengit. Apa pun, saya yakin, jika segalanya direncanakan dengan baik, terutama dengan sokongan pengundi muda yang lebih celik politik, kita boleh menang," ujarnya.

Hasrat saya untuk menemui Ustaz  Mohd Fadzlin  Taslimin, Yang Dipertua PAS Sungai Besar tidak kesampaian. Aturcara programnya hari itu agak padat sehingga jam 4 petang. Saya pula terpaksa berkejar pulang kerana ada temujanji lain sebelum Maghrib.

Ustaz Fadzlin hampir dapat menewaskan Khir Toyo pada pilihan raya 1999 di Dun Sungai Panjang, apabila hanya ketinggalan 165 undi. Bagaimanapun, pada PRU 2008, majoriti Khir, ketika itu MB Selangor, meningkat kepada 5,828 undi.

Di Markas PAS Sungai Besar, saya menemui orang kuat Ustaz Fadzlin, Setiausaha Kawasan, Samsuri Abdul Karim. Beliau yang kaya dengan pengalaman ternyata tidak memandang ringan cabaran Umno setempat meskipun Khir mungkin tidak dicalonkan lagi berikutan keputusan mahkamah baru-baru ini.

Timbalan Pesuruhjaya II PAS Negeri, Ustaz Sallehen Mukhyi, yang turut merancakkan perbualan kami, melontarkan pelbagai input menarik, khusus untuk menangani kawasan-kawasan luar bandar bermajoriti Melayu.

Sallehen juga saya kenali semasa era reformasi ketika beliau menjadi Adun dan Ketua Pemuda Negeri; seperti Dr Yusof, isu Khir Toyo tambah mendekatkan kami.  Dalam PRU12, beliau hanya kalah 117 undi kepada calon BN di Dun Sabak, Warno Dogol.

Meskipun Umno Sabak Bernam berdepan problem dalaman dan dilihat sukar menampilkan calon berwibawa, Sallehen tetap merendah diri. "Kita mesti fikirkan pendekatan lebih baik untuk golongan muda. Saya kira kita ada masalah dalam hal ini," katanya.

Beliau mengakui pimpinan PAS perlu lebih menumpukan usaha di kawasan Melayu secara sistematik, dan bukan sekadar berpuas hati melancarkan program. "Tidak mudah menyusun aktiviti di kampung-kampung. Masyarakat juga tidak begitu terdedah dengan isu-isu mutakhir. Anak-anak muda juga satu cabaran besar," tambahnya.

Untuk kawasan luar bandar yang menjadi gelanggang aktivitinya, Sallehin kelihatan agak bimbang dengan tindakan agresif kerajaan BN yang menyalurkan pelbagai bantuan 'one-off'. Dan saya kira kerisauannya itu, berdasarkan faktor sosio-ekonomi di Sabak Bernam, adalah berasas. Namun tentulah segalanya ada jalan keluar, 'kan?

Sementara itu, dalam konteks keseluruhan Selangor, ada beberapa kerusi Dun yang dilihat berpotensi untuk dimenangi PAS, merujuk keputusan PRU12, seperti ditunjukkan dalam

Jadual 2

Kerusi                  % Melayu     Majoriti BN
Seri Serdang            52.1         45
Morib                      61.0        286
Taman Templer        55.1         613
Paya Jaras               60.0         642

Pesalah rasuah tetap terima hukuman Allah

12 Mac 2012
1. Saya ditanya tentang pengumuman Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang mengundur diri dari memegang jawatan sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat apabila tamat tempoh sebagai Ahli Dewan Negara pada 8 April ini.

Pada saya, ia bukan satu pengumuman yang mengejutkan memandangkan ia hanya berkuatkuasa apabila tamat tempoh sebagai Ahli Dewan Negara.

Lebih tepat sebenarnya ia hanyalah pengumumam untuk tidak menyambung kontrak sebagai Senator atau Ahli Dewan Negara.

2. Meletak jawatan atau mengundur diri berkemungkinan boleh menyelesaikan masalah yang dihadapi, namun perlu diingat sebarang kesalahan yang melibatkan wang rakyat dan orang ramai tetap tidak akan selesai dengan meletak jawatan.

Ia perlu dibayar dan diperjelaskan kerana jika tidak, ia akan menjadi beban di hadapan Allah SWT di akhirat kelak.

3. Persoalan beban di akhirat hanya ada di dalam Islam. Ia tidak wujud di dalam pengajian aliran sekular mahupun aliran-aliran selain daripada Islam.
Justeru, seorang muslim jika dipertanggungjawabkan untuk memikul amanah tidak akan melakukan rasuah dan penyelewengan kerana yakin ia akan ditanya oleh Allah SWT di akhirat kelak.

Orang yang melakukan rasuah ialah orang yang yakin bahawa amalannya tidak akan menjadi pahala di akhirat, lantas baginya cukuplah dengan kekayaan di dunia memuaskan hatinya sekalipun diperolehi dengan cara yang haram. Hakikat inilah yang disebut oleh Allah SWT:

وَيَوْمَ يُعْرَضُ الَّذِينَ كَفَرُوا عَلَى النَّارِ أَذْهَبْتُمْ طَيِّبَاتِكُمْ فِي حَيَاتِكُمُ الدُّنْيَا وَاسْتَمْتَعْتُمْ بِهَا فَالْيَوْمَ تُجْزَوْنَ عَذَابَ الْهُونِ بِمَا كُنْتُمْ تَسْتَكْبِرُونَ فِي الْأَرْضِ بِغَيْرِ الْحَقِّ وَبِمَا كُنْتُمْ تَفْسُقُونَ


yang bermaksud : “Dan (ingatlah), semasa orang-orang kafir didedahkan kepada neraka (serta dikatakan kepada mereka): "Kamu telah habiskan nikmat-nikmat kesenangan kamu dalam kehidupan dunia kamu, dan kamu telah bersenang-senang menikmatinya; maka pada hari ini kamu dibalas dengan azab yang menghina kerana kamu berlaku sombong takbur di muka bumi dengan tidak berdasarkan alasan yang benar, dan kerana kamu sentiasa berlaku fasik" - Surah al-Ahqaf, ayat 20

4. Manakala orang yang beriman, kerjanya di dunia diperhalusi agar tidak melanggar syariat Allah SWT kerana dia yakin di sebalik kepayahan yang ditempuhi di dunia, ia dijanjikan dengan pahala oleh Allah SWT di akhirat.

Keyakinan inilah yang menghalang tangannya untuk menandatangani cek secara tipu, meluluskan projek secara tipu dan menerima deposit wang secara tipu.

5. Hakikatnya, manusia mungkin boleh sahaja terlepas daripada pendakwaan di dunia dengan meletakkan jawatan kerana baginya perletakan jawatan dan mengundur diri itu boleh menutup cerita, tetapi cerita yang sebenar tetap jua akan terdedah di mahkamah Allah SWT.

Dalam hal ini saya bukanlah merujuk kepada kes ini semata-mata, tetapi untuk semua kes dan melibatkan sesiapa sahaja.

6. Pada saya, tidak mengejutkan jika perjuangan sekular diseliputi oleh kes-kes penyelewengan dan rasuah kerana itulah sahaja cara mereka mendapat laba setelah Islam pun mereka ketepikan.

Tinggal lagi, banyak atau sedikit. Yang di atas kerjanya merompak dengan jumlah billion, yang di tengah jumlahnya jutaaan dan yang di bawah pula menghirup saki baki kuah yang ditinggalkan!

Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat,
Menteri Besar Kelantan.

Misteri kadar peningkatan undi

Ahmad Lutfi Othman, 12 Mac 2012
Daripada empat negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat (dan tambahan satu lagi, Perak, yang direbut BN melalui rampasan kuasa selepas tidak sampai setahun diterajui Nizar Jamaluddin), tanpa ragu semua maklum bahawa  Selangor merupakan sasaran utama Najib Razak dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.


Sebagai Ketua Perhubungan Umno Negeri, Najib atas kapasiti Perdana Menteri akan memperkakaskan segala kemudahan, jentera dan sumber, bagi memastikan Pakatan Rakyat dapat ditewaskan di negeri termaju itu


Ia mengingatkan kita kepada taktik dan strategi licik (sehingga tidak dapat dihidu) Umno dalam usaha menawan Terengganu selepas Barisan Alternatif membuat kejutan pada pilihan raya 1999.

Ramai terperanjat apabila negeri yang kaya dengan hasil bumi itu, dan pernah menerima royalti petroleum RM1 bilion setahun, ditumpaskan dengan "begitu mudah sekali", tanpa didahului riak protes rakyat terhadap pemerintahan Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Tanpa mengetepikan faktor-faktor lain yang menyebabkan kekalahan PAS, termasuk kelemahan dalaman, hakikat yang tidak dapat ditolak adalah peningkatan mendadak pengundi yang jauh melebihi kadar pertumbuhan penduduk Terengganu.

Wan Nik Wan Yussof, dalam buku Demokrasi Rakyat Terengganu Menolak Parti Islam (2004) mendedahkan fakta berikut:

Jumlah pertambahan pengundi di Terengganu, antara tahun 1999 hingga 2004, sebanyak 66,853 pemilih, iaitu 17.18 peratus (3.44 peratus setahun). Sedangkan pertambahan tahunan penduduk hanya 1.53 peratus. Ini menunjukkan pertumbuhan tahunan pemilih lebih tinggi sebanyak 1.91 peratus berbanding peningkatan penduduk Terengganu.

Bagi Wan Nik, gambaran ini menjelaskan bahawa kadar pertumbuhan pemilih bagi tempoh 1999- 2004 adalah lebih tinggi sebanyak 9.53 peratus berbanding pertumbuhan penduduk. Kadar peratus ini menyamai 36,935 pemilih. Ini bermakna hampir 37,000 pemilih yang dalam senarai daftar pemilih 2004 mungkin bukan bermastautin di Terengganu.

Difahamkan tokoh di sebalik perencanaan sulit itu adalah Idris Jusoh, yang kemudiannya menjadi Menteri Besar Terengganu (2004-2008). Ada sumber mendakwa khidmat Idris turut diminta untuk menjayakan misi besar Umno Selangor dalam PRU13.

Justeru, apabila ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching, pada 4 Mac lalu, menimbulkan kecurigaannya berhubung kenaikan mendadak pemilih baru di Selangor, terutama di kawasan luar bandar berbanding dengan tahun 2008, saya kira ia bukan lagi satu isu menggemparkan, malah sudah dijangka sejak empat tahun lalu.

Teo memberi contoh kawasan Parlimen Hulu Selangor yang mencatat peningkatan pemilih lebih 20 peratus berbanding tahun 2008. "Di tempat yang mempunyai bandar-bandar baru, ini boleh diterima. Tetapi di Hulu Selangor tidak ada ramai orang yang berpindah ke sini, jadi kita dapati peningkatan dalam jumlah yang besar ini sangat mencurigakan," katanya.

Soal membersihkan senarai daftar pemilih sememangnya sudah menjadi tuntutan utama Bersih sehingga tercetusnya dua kali demonstrasi raksasa di ibu negara, pertama pada November 2007 dan kedua, Julai 2011.

Pada 15 Februari lalu, anggota Jawatankuasa Pilihan Parlimen (PSC) mengenai pembaharuan sistem pilihan raya, Anthony Loke memberitahu semakan audit yang dijalankan olehMimos Bhd, sebuah syarikat teknologi milik penuh kerajaan, ke atas daftar pemilih mendedahkan wujudnya jumlah amat besar  pengundi yang meragukan.

Terdapat sekurang-kurangnya  230,000 pengundi yang mencurigakan. Loke berkata Mimos pada taklimatnya memberitahu pihaknya mengesan 820 kes di mana terdapat lebih daripada 100 pengundi yang menetap di alamat yang sama.

"Selain itu, kami mendapati 1,259 kes di mana antara 51-100 pengundi tinggal di alamat yang sama, 3,254 kes di mana terdapat antara 21-50 pengundi tinggal di alamat sama, dan 6,002 kes yang melibatkan antara 11 hingga 20 pengundi di rumah sama," tambahnya.

Menurut sumber, Umno Selangor begitu bergantung kepada manipulasi daftar pemilih memandangkan majoriti pengundi di negeri itu dilihat masih menaruh kepercayaan kepada Pakatan.

Dari segi isu dan mood rakyat, meskipun dilontar pelbagai tohmahan dan rasuah politik, kepemimpinan Khalid Ibrahim dijangka tidak menghadapi masalah besar untuk terus mentadbir Selangor.

Namun kebimbangan ramai lebih terfokus kepada senarai pemilih yang mencurigakan itu. Anda boleh menilai dan mentafsir sendiri fakta dalam Jadual 1, iaitu kadar peningkatan jumlah pemilih suku ketiga 2011 berbanding tahun 2008, mengikut kawasan Parlimen tertentu di Selangor.

Ooops, di Pekan, kadar pertambahan itu sebanyak 33.35 peratus! (Lupa saya, "pekan" itu maknanya "bandar" 'kan?. Patutlah kadarnya begitu tinggi sekali ... ha ha ha). Perhatikan juga kadar peningkatan pengundi di Petaling Jaya Selatan dan Petaling Jaya Utara, di bawah 8 peratus...

Jadual 1
PARLIMEN            PERTAMBAHAN
SUNGAI BESAR     19.95%
HULU SELANGOR   25.14%
KUALA SELANGOR 20.39%
SELAYANG          18.86%
PANDAN             18.18%
HULU LANGAT      23.95%
SERDANG            22.63%
PUCHONG            24.94%
PJ SELATAN          5.64%
PJ UTARA             7.76%
SUBANG             35.02%
SHAH ALAM        19.87%
KOTA RAJA         29.51%
KUALA LANGAT    23.62%
SEPANG             24.64%

Tiada ulasan:

Catat Ulasan