Selasa, 13 Mac 2012

JANGAN DISOKONG TAPI TIADA TINDAKAN...KITA TETAP CARA DENGAN CARA KITA...MAKA FUNGSI RAJA@AGONG JADI TAK BERKESAN...

Pakatan sokong titah bebaskan badan kehakiman

Muhammad Faizal, 12 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 12 Mac: Pakatan Rakyat melihat titah ucapan Yang Di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah mengenai kebebasan badan kehakiman negara adalah satu yang tepat dalam usaha mengembalikan teras terpenting dalam sistem demokrasi negara.

Jelas, Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar, soal institut kehakiman ini merupakan satu yang sangat penting dan perlu dilihat kembali.

"Saya mengakui kebebasan badan kehakiman negara ini merupakan suatu yang penting dan perlu dilihat kembali, terutamanya mengembalikan Peruntukan 121 yang telah dipinda sebelum ini.

"Seperti apa yang didakwa oleh bekas Ketua Hakin Negara, Tun Mohd Dzaidin Abdullah bahawa sistem kehakiman merosot dan menjadikan hakim-hakim takut kepada orang politik, malah terpaksa akur kehendak politik apabila pindaan dilakukan pada Peruntukan 121," jelasnya.

Tambahnya, dalam usaha menyambut baik saranan Yang Di-Pertuan Agong itu, peruntukan 121 perlu dikembalikan semula seperti mana yang asal bagi memberi kebebasan kepada sistem kehakiman negara.

Sebelum ini, bekas Ketua Hakim Tun Mohd Dzaidin Abdulah telah memberitahu mahkamah-mahkamah Malaysia hari ini telah akur kepada kehendak ahli-ahli politik dalam cabang eksekutif kerajaan dan ia berpunca daripada mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurutnya lagi, pindaan terhadap Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan semasa pentadbiran Dr Mahathir pada tahun 1980-an telah melemahkan sayap badan kehakiman dan akibat pindaan  kuasa kehakiman mahkamah-mahkamah telah dikurangkan dan mereka hanya mempunyai kuasa apabila diberikan Parlimen.

Sementara itu, Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali menyifatkan dengan kebebasan badan kehakiman ini juga ia dapat memberi jaminan kepada pelaburan bagi negara.

Menurutnya, bila sebuah sistem kehakiman negara berada pada tahap yang telus tanpa campur tangan pihak lain, pelabur akan lebih yakin untuk memulakan pelaburan di negara ini.

"Pastinya ia akan memberi kesan sampingan kepada peluang-peluang perniagaan serta proses demokrasi dalam negara," katanya.

Wanita Pakatan sambut baik titah Agong

Hazayani Zakaria, 12 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 12 Mac: Ahli Parlimen Wanita Pakatan Rakyat menyambut baik titah Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah yang mengiktiraf penyertaan kaum wanita dalam pelbagai sektor sama ada sektor awam atau swasta.

Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusof berkata, peranan wanita tidak boleh dinafikan untuk memastikan keseimbangan dalam sesebuah kerajaan yang memerintah.

"Tuanku sultan meletakkan harapan 30 peratus pencapaian wanita dalam peringkat pembuat keputusan sama ada sektor korporat atau sektor awam. Ini adalah satu penghormatan dan kepercayaan yang diberi kepada kaum wanita.

"Wanita mengharapkan dengan harapan yang cukup tinggi, ucapan yang begitu menyeluruh seolah-olah satu persiapan kerajaan yang bakal ditubuhkan selepas PRU 13 nanti adalah kerajaan yang bersih, amanah, berintegriti, telus dan mengambil kira kepentingan semua pihak," kata Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat itu ketika ditemui  selepas istiadat pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-12 di Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar pula berpandangan, kerajaan tidak perlu menunggu 2015 untuk melaksanakan sasaran penyertaan 55 peratus wanita dalam tenaga kerja.

ini kerana katanya, ianya boleh dilaksanakan sekarang jika semua dasar untuk memudahkan penglibatan wanita dalam sektor profesional dilaksanakan.

"Alhamdulillah, isu wanita dijadikan salah satu isu utama dalam titah Yang di-Pertuan Agong. Hanya kita sedia maklum ianya masih tinggal dasar yang masih belum meluas pelaksanannya. Justeru kita tekankan dalam mana-mana usaha pengumuman kerajaan mesti berlandaskan pelaksaan.

"Pada saya bila disebut Tuanku sultan tentang penyertaan 30 peratus wanita ini, kita perlu buat sekarang dan pastikan semua pimpinan dan Ahli Parlimen tidak mengira parti melaksanakannya.

"Tak perlu tunggu 2015. Kita boleh laksanakan sekarang dengan memastikan semua dasar yang memudahkan wanita bekerja khususnya tempat jagaan anak-anak, tempat menyusu anak-anak yang baru lahir dan juga cuti bersalin 90 hari dibaut sekarang," katanya yang juga Naib Presiden PKR.

Yang di-Pertuan Agong dalam titahnya menyebut bahawa kerajaan akan  memulakan inisiatif untuk menarik lebih ramai wanita yang berkelayakan profesional kembali ke pasaran pekerjaan bagi mencapai sasaran penyertaan 55 peratus wanita dalam tenaga kerja pada tahun 2015.

Tuanku Sultan juga percaya kaum wanita mampu menyahut cabaran dan meningkatkan potensi diri untuk memberi sumbangan lebih besar yang akan memancarkan sinar kecemerlangan masa depan negara.

Bekas TMB Kelantan pengerusi JK Pemandu

Salmiyah Harun, 12 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 12 Mac: PAS menghidupkan semula Jawatankuasa Pemandu yang pernah dibentuk sebelum ini dengan melantik bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Abdul Halim Abdul Rahman sebagai pengerusi.

Empat lagi anggota adalah, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali, AJk PAS Pusat Datuk Kamarudin Jaffar, Naib Ketua Dewan Ulama Datuk Dr Mahfodz Mohamed, dan Pengerusi Lujnah Undang-undang PAS Pusat Asmuni Awi.

Pelantikan itu diumumkan oleh Mustafa dalam sidang media lewat petang tadi selepas mengadakan mesyuarat bulanan PAS Pusat di Pejabat Agung Jalan Raja Laut.

Sebelum itu, Timbalan Presiden PAS Muhamad Sabu menegaskan Jawatankuasa Pemandu sebenarnya telah diwujudkan sejak tahun 1990 dan ia bukan badan eksekutif tetapi sebagai badan penasihat.

"Pemandu ini kadang kala aktif kadang kala tidak aktif, jadi kita aktifkan semula hari ini. Pemandu ini tidak boleh ganggu mana-mana petadbiran negeri," katanya.

Jawatankuasa Pemandu ini terus kekal untuk negeri yang dimenangi PAS dalam pilihan raya umum 1999 dan 2008. Tetapi apabila keadaan sudah stabil, jawatankuasa tersebut tidak meneruskan peranan ini.

Selain memberi nasihat, jelas Mustafa jawatankuasa ini berfungsi antara lain memantau pelaksanaan manifesto negeri sama ada di negeri yang menang atau kalah dalam pilihan raya.

"Setiap kali adanya PRU, kita ada manifesto sebagai janji kepada rakyat, jadi jawatankuasa pemandu memantau pelaksanaan manifesto tersebut," katanya.

Malah katanya, jawatankuasa ini bukan dikhususkan untuk negeri Kedah sahaja tetapi untuk semua negeri yang PAS ada terlibat.

"Termasuk juga boleh memberikan pandangan kepada negeri-negeri Pakatan Rakyat," katanya.

Sebelum ini, pelbagai tafsiran liar sesetengah media yang membuat tafsiran salah terhadap penubuhan jawatankuasa pemandu yang dibentuk PAS.

Jawatankuasa Pemandu  berperanan menjadi penasihat kepada kerajaan negeri yang disertai PAS bukan untuk pimpinan tertentu sahaja tetapi untuk semua.

Sesetengah media melaporkan kononnya PAS membentuk jawatankuasa ini untuk mengurangkan kuasa MB Kedah.

Muslimat PAS mahu Shahrizat pertahankan diri

Hazayani Zakaria, 12 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 12 Mac: Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) mempertikai keputusan Datuk Seri Shahrizat Abd Jalil untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat tanpa mengemukakan bukti bahawa beliau tidak bersalah.

Timbalan Ketua DMPP, Dr. Siti Mariah Mahmud (gambar) berkata, sekiranya Shahrizat benar-benar tidak terlibat dalam skandal National Feedlot Corporation (NFCorp), beliau perlu mempertahankan diri.

"Memang dari segi siasatan SPRM sampai sekarang belum ada apa-apa keputusan. Beliau meletakkan jawatan atas desakan. Sekiranya dia yakin yang dia tidak bersalah dan tak ada kena mengena dengan dana NFC, pertahankan diri.

"Kalau saya, saya akan pertahankan diri. kalau saya tidak bersalah, pantang orang sebut saya bersalah," kata beliau ketika ditemui selepas istiadat pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-12 di Dewan Rakyat hari ini.

Ahli Parlimen Kota Raja itu juga berkata, hanya dengan mengatakan Shahrizat tidak bersalah, namun ingin mengundurkan diri demi kebaikan Umno BN, itu bukan pembelaan diri yang baik.

"Saya juga bersimpati (terhadap Shahrizat) kerana apabila dakwaan-dakwaan ini tidak dipertikai atau tidak ditolak dengan bukti-bukti yang kukuh, maka ia akan tinggal sebagai dakwaan dan Shahrizat tidak ada peluang membela diri.

"Bagi saya tidak adil seseorang itu tidak diberi peluang membela diri dan setakat mengatakan dia tidak ada kena mengena dengan perkara ini, itu bukan satu pembelaan diri yang baik," katanya.

Sehubungan itu ujar beliau, perkara ini harus dijadikan iktibar oleh semua pihak sama ada kerajaan atau Pakatan Rakyat iaitu jawatan seseorang itu dalam kerajaan tidak boleh diambil kesempatan oleh ahli keluarga untuk mendapatkan apa-apa projek.

"Dari segi undang-undang dana itu diberi secara sah oleh kementerian. Sekarang ini persoalannya ialah kenapa diberi kepada keluarga Shahrizat dan dana itu digunakan untuk apa?

"Jadi sebagai peringatan kepada semua menteri atau bakal menteri atau semua yang memegang jawatan kerajaan, kita tidak boleh ada kepentingan ataupun keluarga kita sendiri pun tidak boleh mendapat peluang ini melalui jawatan yang kita pegang.

"Kalau seseorang menteri boleh mengatakan sesuatu kontrak itu diberi tidak ada kena mengena dengan dia, dia kena beri bukti.

"Ini bukan sahaja untuk kerajaan BN tapi untuk mana-mana kerajaan hatta Pakatan Rakyat sekalipun, setiap penjawat mesti sedia berkorban bahawa ahli keluarga tidak boleh dapat manfaat daripada jawatannya," tegasnya.

Semalam, Shahrizat mengumumkan pengundurannya apabila tempoh pelantikannya sebagai Anggota Dewan Negara tamat pada 8 April ini.

Bagaimanapun, beliau akan kekal sebagai Ketua Wanita Umno dan Ketua Wanita BN.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan