Jumaat, 30 Mac 2012

BEBANKAN RAKYAT...TIPU RAKYAT...MAINKAN RAKYAT...LAMA2 RAKYAT BOSANLAH...MENZALIMI DAN MENIPU RAKYAT BENDA YANG SANGAT DILARANG DALAM ISLAM...

Soalan PR kuasai Putrajaya di majlis dialog Noh Omar

Aslani M, 29 Mac 2012

KOTA BHARU, 29 Mac: Setiap kakitangan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MoA) dikehendaki menandatangani kedatangan pada program bersama menteri di sini, pagi tadi.

Program itu dikenali Perhimpunan Bulanan Bersama Menteri diadakan di Tanjung Chat dekat sini. Turut hadir Pengerusi Kada, Tan Sri Annuar Musa dan Ketua Umno Pasir Mas, Datuk Hanafi Mamat.

Ketika dialog diadakan tiba-tiba Datuk Seri Noh Omar diajukan soalan antara lain berbunyi “adakah dasar kementerian akan berubah sekiranya Pakatan Rakyat menguasai Putrjaya pada pilihan raya umum ke-13 nanti.”

Bagaimanapun menurut beberapa pegawai yang hadir, menteri tidak menjawab soalan tersebut, sebaliknya menjelaskan tidak mungkin Barisan Nasional (BN) tumbang di Putrajaya.

Sebaliknya sepanjang program berlangsung Noh menggunakan kesempatan memburukkan kerajaan Pakatan di Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan.

Dakwa mereka menteri terbabit lebih banyak mengapi-api isu perkauman dengan mengulangi kenyataan lama, PAS menjadi alat kepada DAP.

“Menteri juga memberitahu tidak akan teragak-agak mengambil tindakan sekiranya ada kakitangan di bawah agensi pertanian persekutuan mensabotaj kerajaan BN pada pilihan raya umum nanti,” kata mereka.

Pada sebelah petang Noh merasmikan program MoA Bersama Rakyat di padang awam Taman Guru di Pintu Geng. Ekspo pertanian itu berlangsung sehingga 31 Mac ini.

Sementara itu sumber lain pula mendakwa Terminal Agribisnes Negara (TEMAN) yang baru beroperasi di Tunjung bakal ditukar nama kepada Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Wakaf Che Yeh.

TEMAN diwujud hasil cetusan idea Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika menjadi Perdana Menteri dan majlis pecah tanah dilakukan sebelum pilihan raya umum 2008.

Bagaimanapun TEMAN yang kini diurus di bawah FAMA disebut-sebut bakal dikendalikan pula di bawah Kementerian Luar Bandar bagi menyelaras gagasan Perdana Menteri dengan slogan 1Malaysia.

Baru-baru ini media melaporkan Datuk Seri Najib Razak dijadual merasmikan RTC di Kota Bharu pada 4 Mei depan.

Sokong pendidikan percuma, persoal hapus PTPTN

Harakahdaily, 29 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 29 Mac: Rata-rata rakyat negara ini bersetuju dan yakin dengan janji pendidikan percuma oleh Pakatan Rakyat namun mereka masih tertanya-tanya bagaimana PTPTN hendak dihapuskan.

Ini kerana, ramai mereka beranggap janji ini terlalu baik dan tidak tahu apa mekanisma yang hendak dilakukan bagi melaksanakan janji ini.

Tidak kurang juga yang tidak yakin dengan janji ini ekoran trek rekod beberapa isu yang dibangkit media BN termasuk isu Kampung Buah Pala di Pulau Pinang.

Yang pasti, mereka mahukan PTPTN tanpa bunga ke atas peminjamnya.

Inilah pandangan yang diperolehi Harakahdaily melalui komen-komen pengikut facebooknya selepas diajukan satu soalan kepada mereka.

Soalan yang diajukan adalah: "Pakatan Rakyat janjikan pendidikan percuma. Dalam masa yang sama janjikan pemansuhan PTPTN. Apakah yang anda jangkakan dengan janji ini dan apakah mekanisme pelaksanaan yang sewajarnya? Berikan pendapat anda."

Selepas dua jam soalan ini dikemukakan, 107 komen telah dibuat manakala 126 pengikut facebok Harakahdaily 'like' penyataan itu.

Berikut adalah sebahagian pendapat pembaca ekoran soalan itu.



Kazh Sura: Mansuhkan je interest dalam ptptn tu.. hutang RM1000, wajib bayar RM1000. no riba, no interest... kalau cakap mansuhkan terus ptptn, ramai pencacai pulak yang cakap janji kosong la, nak pancing undi la. depa lebih rela makan riba dari makan benda halal. nak wat camne. bahalol.

Ipoh Mali: Janji Pakatan jangan la Lunak sangat.. Be Realistik la sikit.. Semuanya Percuma! Sekurang2nya Yuran Universiti tu yang percuma.. Belanja Hidup yang dipinjam.. Macam tu jugak Tol.. Takkan hapus semua, sekurang2nya 50% dari sekarang dah cukup.. Minyak pun macam tu.. Penyelesaian bukan harga minyak tapi mekanisma pengangkutan awam yang teratur.. Dan struktur balik pengangkutan awam.. Kalau minyak mrah.. Jalanraya Sesak..tak guna jugak..

Che Mahalim Che Hashim:
dengan tadbir urus yang berhemah,telus,dalam semua urusan kerajaan, dengan hasil masyul yang dianugerahkan Illahi...x mustahil pendidikan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan...kita terlalu disogok dengan caj sana, caj sini, berpuluh2 tahun, sehinggakan percuma pon danggap mustahil...

Maimon Hashim:
Janji PRU adalah perkara biasa .... tapi Pakatan Rakyat rasanya tidak akan mudah lupa apa yang dijanjikan. Pendidikan percuma adalah baik kerana rata-rata rakyat di kawasan pendalaman masih ditahap miskin.... Mansuh PTPTN dan ujudkan pinjaman dan bayarannya tidak menyusahkan rakyat dan mampu bayar.......

Biskut Man:
mungkin nak ubah bermacam benda yang di janji dalam satu masa adalah mustahil. Tapi jika dengan pentdbiran dan pengurusan harta dan hasil negara dijalankan dengan betul insyaallah 1 per 1 janji yang dibuat pakatan boleh ditunaikan. Tapi makan masa la.

Terbang Jauh:
Saya yakin dengan janji tersebut andai Wang Negara diurus tadbir dengan baik, jangan ADA penyelewengan Dana kerajaan..insyaallah janji tersebut akan dapat dilaksanakan...

Zkea Samsi:
Setuju dengan pendidikan percuma.. Kalaupun bukan untuk kita yang dah letih membayar hutang ni..untuk anak cucu kita pulak. Sekurang-kurangnya masa depan mereka terjamin... yuran pengajian di IPT saban tahun naik, belum lagi kos sara hidup. Mungkin kerajaan boleh bantu bayarkan yuran pengajian & asrama di kedua-dua IPTA & IPTS. Untuk sara hidup, boleh berikan pilihan pada pelajar samada biaya sendiri (bagi yang mampu), dan mungkin pinjaman boleh ubah kepada yang kurang berkemampuan... dalam situasi begini kerajaan mungkin boleh mengurus sumber kewangan dengan lebih baik. Pendidikan percuma ni bukan saja untuk peringkat ijazah bahkan sarjana dan doktor falsafah...lebih ramai yang boleh melanjutkan pelajaran maknanya lebih ramai tenaga mahir boleh dijana. Hasilnya negara akan lebih maju.. kutipan cukai pendapatan juga boleh meningkat... duit tu boleh salur semula untuk pendidikan...

Nor Saiful: woiii...mak bapak korang KAYA bole la suruh PTPTN ni mansuh...yang kurang BERKEMAMPUAN ni kalo tiada PTPTN camne nak sambung study..nanti x pasal2 keluar berita PELAJAR menjual diri sebab nak tanggung yuran pengajian, kos hidop sume..cakap tu biar gune otak sikit...so PTPTN tu sangat diperlukan..sepatutnye bunga PTPTN tu yang kene mansuh..baru betol..bodoh punye PR..cakap pampumm habuk pun takda..buat semak lagi ade la..

Saiful Taekiera:
Ini bukan nak pancing undi, sebab apa yang aku tengok parti PR tunaikan janji, tak membebankn rakyat, macam yang MB Selangor lakukan, aku setuju sangat2, dari BN yang tah apa-apa tah, wat kebaikan sikit canang 1 dunia, kes rasuah berlambak, rakyat terbeban, tu ke yang cakap rakyat didahulukan? Fikir2 la. Sebab di akhirat kelak, jika kita salah pilih pemimpin, kita turut ditarik ke dalam neraka, pikir2 la mane parti yang lebih bela agama islam, bukan setakat laung je

Roszeeta Zainurdin:
PTPTN wajar dihapuskan. Interest membebankan pelajar. Kalau nak diteruskanpun, bayaran balik pinjaman tanpa interest. Kemudian pelajar yang mendapat result cemerlang bolehlah diberi diskaun bayaran pinjaman atau percuma. Macam JPA buat tu.. Kalau nak dikira takda duit, khuatir pelajar kolej/ IPT lacur diri..leni dapat PTPTN pun ramai yang terjebak dengan gejala maksiat dek pergaulan bebas kecuali mereka yang teguh pendidikan agamanya. Pendek kata tepuk dada tanya iman.

Warisan Bugis:
Dulu dengan pendapatan negara yang terhad boleh memberikan pendidikan percuma kepada rakyat, kini negara mempunyai pelbagai sumber ekonomi, tetapi disalurkan kepada pihak tertentu saja.....

Pak Ngoh Geliga:
Sebenarnya kami hanya mahu bebanan sekarang dikurangkan, bukan semua percuma tapi kalau boleh baguslah, umpama minyak, perubatan, elektrit, air, tol dan harga baranagan dapat dikurangkan dari nilai sekarang..dibimbangi takut diberi tuhan tak tertanggung nanti, kita tidak tahu apa yang akan mendatang, takut tidak tertunai nanti...

Mohd Azuwan Zainudin:
Tapi, persoalannya di sini adalah, adakah kemampuan pihak
kerajaan untuk melaksanakan apa yang diperkatakan tersebut? Itu satu hal, timbul pula hal mengenai kredibiliti yang berjanji tersebut. Sudah lupakah kalian mengenai isu Kampung Buah Pala yang dijanjikan gula-gula luar biasa kepada para penduduknya, tetapi akhirnya semua itu hanyalah JANJI KOSONG dan MENIPU RAKYAT. Jika sudah lupa, mari kita lihat dengan penuh teliti video di youtube!


PANDANGAN BERKAITAN
Video penjelasan Datuk Husam Musa mahu hapuskan PTPTN di Kelantan

Pindah tempat mengundi, SPR akan dipanggil

Harakahdaily, 29 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 29 Mac: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz (gambar) akan memanggil pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memberi penjelasan khususnya berhubung 'pembetulan lokaliti' yang membawa kepada pertukaran tempat mengundi.

Keputusan itu dibuat selepas pelbagai soalan berbangkit diaju bertubi-tubi oleh ahli parlimen Pakatan Rakyat kepada beliau ketika menggulung Titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.

Katanya, semua ahli parlimen khususnya pembangkang yang mempunyai pertikaian berhubung perkara itu boleh mengajukannya kepada SPR pada pertemuan itu nanti.

"Saya akan bagitahu kepada SPR mungkin Isnin satu lagi, 16 haribulan.

"Sesiapa ada apa-apa perkara nak mintak penjelasan, bagi notis awal lagi baik, mereka boleh datang dengan jawapan," katanya.

Terdahulu, Nazri memjawab soalan Siti Zailah Mohd Yusoff (PAS-Rantau Panjang) berhubung dakwaan warga asing yang didaftarkan sebagai pengundi.

Persoalan sama turut dibangkitkan Datuk Saifuddin Nasution (PKR-Machang) dengan merujuk kepada merujuk kepada pengakuan SPR bahawa 42,000 nama sebelum ini diklasisfikasikan sebagai pengundi ragu kerana tiada atau tidak sepadan dengan data Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Ekoran itu beliau mahukan penjelasan sama ada mereka tersebut juga antara warga asing yang didaftar sebagai pemilih.

Selepas itu, Fuziah Salleh (PKR-Kuantan) pula bangkit mempersoal tindakan SPR memperbetul lokaliti yang mirip 'persempadanan semula' yang didakwanya melanggar peraturan pilihan raya.

Bagaimanapun Nazri mempertahan tindakan itu dengan mendakwa ianya dibuat mengikut sub peraturan 25(3) Peraturan-peraturan Pendaftaran Pemilih 2002.

Saifuddin kemudiannya bangun menyanggah dengan membawa kes Tan Sri Khalid Ibrahim yang dipindahkan tempat mengundi dari Petaling Jaya Selangor ke Parlimen Lembah Pantai, Kuala Lumpur.

Menurutnya tindakan itu secara jelas melanggar 'prinsip belah-bahagi' yang menetapkan pembetulan lokaliti tidak boleh melepasi sempadan Dun atau Parlimen.

Nazri kemudiannya mencadangkan akan memanggil SPR bagi diadakan satu pertemuan menjawab soalan-soalan yang dikemukakan itu.

Serah 10,000 bantah FGVH kepada Najib, esok

Hazayani Zakaria, 29 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 29 Mac: Lebih 10,000 tandatangan peneroka membantah penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) ke Bursa Malaysia akan diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di Putrajaya esok.

Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman (gambar) berkata, penyerahan tandatangan dan memorandum bantahan akan dimulakan dengan perarakan dari Masjid Putrajaya selepas solat Jumaat.

"Saya mewakili Anak menyeru semua rakyat khususnya warga Felda agar dapat bersama-sama dalam perhimpunan esok.

"Kita akan berarak kira-kira dua kilometer dan berhimpun di hadapan Pejabat Perdana Menteri sebelum menyerahkan tandangan dan memorandum bantahan," kata beliau kepada Harakahdaily hari ini.

Memorandum yang akan diserahkan esok  antaranya  menggariskan mengenai keburukan penyenaraian FGVH ke Bursa Malaysia kepada peneroka, termasuk kehilangan tanah mereka.

Sementara itu, Mazlan mengingatkan Timbalan di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan agar menghentikan sebarang kenyataan membelakangkan keputusan mahkamah.

Ahmad sebelum ini dilaporkan berkata, mesyuarat agung luar biasa Koperasi Permodalan Felda (KPF) akan diadakan pada 12 April.

"Saya minta Ahmad Maslan bersabar dan tunggu keputusan mahkamah mengenai permohonan injunksi peneroka pada 2 April ini.

"Kita belum tahu keputusan mahkamah berpihak kepada Felda atau peneroka. Jadi beliau sepatutnya tunggu selepas 2 April untuk buat kenyataan," katanya.

Mahkamah Tinggi Kuantan akan membuat keputusan berhubung permohonan injunksi lapan pemegang saham KPF bagi menghalang KPF melupuskan ekuitinya dalam Felda Holdings Berhad (FHB) kepada FGVH.

Imam Hoslan Islamkan 2 banduan dalam penjara

Harakahdaily, 29 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 29 Mac: Biarpun dihukum penjara setahun dek kerana membaling kasut ke arah hakim, tanggungjawab dakwah imam Hoslan Hussain tidak terhenti di sebalik jeriji besi.

Malah beliau dikatakan sudah berjaya mengislamkan dua banduan dan mengajar agama dalam penjara.

(Isteri Hoslan, Noorliza [dua dari kiri] menerima sumbangan dari Zailah [kiri sekali]. Muslimat PAS memberikan komitmen untuk memberikan sumbangan tetap RM800 sebulan kepada keluarga imam Hoslan sepanjang beliau dipenjarakan)

Isterinya, Noorliza Mohd Isa ketika berkongsi keadaan terkini Hoslan berkata, suaminya yang dipenjara di Penjara Kajang itu juga turut menjadi imam kepada banduan lain ketika solat berjemaah.

"Alhamdulillah, beliau berjaya mengislamkan dua orang banduan selain mengajar fardu ain di dalam penjara," katanya.

Beliau menceritakan perkara itu ketika menerima kunjungan Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) yang diketuai Ustazah Siti Zailah Mohd Yusof, kelmarin.

Turut serta dalam rombongan itu Bendahari DMPP, Nurul Huda Yusof Rawa dan aktivis muslimat, Ustazah Rosiah Salleh.

Kunjungan itu juga bertujuan menyampaikan sumbangan kepada Noorliza yang kini terpaksa menanggung perbelanjaan tujuh orang anak mereka yang berumur antara 16 hingga enam tahun.

DMPP sebelum ini telah membuat komitmen untuk memberi bantuan tetap RM800 sebulan kepada keluarga Hoslan sepanjang tempoh beliau dipenjarakan.

Hoslan yang merupakan bekas imam Masjid Ar-Rahimah, Kampung Pandan sebelum ini dijatuhkan hukuman penjara setahun oleh Mahkamah Persekutuan atas kesalahan menghina mahkamah.

Ianya ekoran tindakan Hoslan membaling kasut ke arah panel tiga hakim yang sebelum itu membuat keputusan menggugurkan kesnya.

Isu penjaja di Tasik Puteri bakal meletup

Harakahdaily, 29 Mac 2012

RAWANG, 29 Mac: Bandar Tasik Puteri yang terletak 15 km dari Bandar Rawang kini sedang berhadapan dengan dilema ekoran tindakan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mahu merobohkan gerai-gerai yang berselerakan di situ.

Tarikh akhir demi tarikh akhir diberikan kepada pemilik gerai agar merobohkan kedai mereka namun sehingga kini belum terlaksana.

Ini kerana, tindakan MPS dikhuatiri menghasilkan tindak balas pemilik gerai, tambah-tambah pula dengan suasana yang hampir dengan pilihan raya umum ini.

Sejak beberapa tahun lalu lagi isu ini mula diperkatakan. Ini kerana, kewujudan gerai yang bersepah-sepah ini memburukkan mata yang memandang di samping menafikan hak dan berlaku tidak adil kepada mereka yang membeli rumah-rumah kedai di bandar baru itu.

(Gerai yang dibina penjaja di padang letak kereta)

"Mana adil encik. Kami beli rumah kedai beratus ribu. Kena bayar beribu sebulan kepada bank. Tetapi kedai makan yang kami buka tidak berapa laku kerana banyaknya gerai tepi jalan dan di tempat letak kereta itu yang dibina secara percuma.

"Tuh...gerai di tempat letak kereta tu..sepatutnya ia adalah tempat letak kereta pelanggan kami. Tetapi bila mereka berniaga di situ, orang ramai bersungut susah tempat parking," kata seorang peniaga.

Beliau dahulunya berniaga makanan panas di kedai itu kini hidup segan mati tak mahu kerana persaingan dengan  gerai yang di buka secara berleluasa di tapak tempat letak kereta.

(Gerai penjaja yang dibina di tepi jalan)

Ketika pekedai membayar ribuan ringgit sebulan kepada bank, pemilik gerai di tempat letak kereta ini cukup hanya membeli atau menyewa khemah sahaja.

Mereka tidak perlu membayar apa-apa sewa atau bayaran kepada bank kerana dibuka di atas tapak percuma.

Bukan itu sahaja, mereka juga didakwa tidak mementingkan sangat kebersihan kerana banyak sampah yang dibuang atau jatuh ke dalam longkang di sebelah gerai mereka.

Dua tahun lalu, Jawatankuasa Penduduk BTP ketika itu, Haji Kamarudin, telah berbincang dengan pemilik gerai bagi menyelesaikan masalah ini.

(Sebelum ini, kedai-kedai di sini sangat meriah, namun sejak kehadiran gerai yang bersepah-sepah, kawasan ini sudah lengang)


Hasilnya mereka bersetuju untuk dipindahkan ke satu tempat yang akan dibina oleh MPS untuk mereka.

Sebanyak 32 pemilik gerai yang didaftarkan beliau telah bersetuju untuk berpindah ke sana.

Namun selepas dua tahun, baru projek tapak penjaja dan uptown Bandar Tasik Puteri itu siap kerana pihak yang mendapat hak untuk membinanya tidak mempunyai kewangan yang benar-benar mantap.



(Tapak penjaja dan uptown Bandar Tasik Puteri yang baru siap dibina tetapi tidak berapa mendapat sambutan)

"Bila dah siap, rupanya mereka tidak memenuhi perjanjian mereka dengan peniaga. Tapak yang disediakan mereka sangat kecil. Mungkin untuk menjimatkan belanja dan memaksimakan keuntungan.

"Akibatnya, penjaja tidak mahu pindah ke sana kerana tidak sesuai," kata Kamarudin kepada Harakahdaily.

Kini, kontraktor yang memajukan tapak penjaja dan uptown BTP itu mendesak MPS agar bertindak ke atas penjaja untuk mempasti semua penjaja berpindah ke tapak baru yang disediakan itu.

Pihaknya akan kerugian besar jika peniaga tidak berpindah ke sana. Ini kerana, semua kos pembinaan tapak dan rumah kedai di tapak baru itu dibina oleh beliau.

Di sinilah berlakukan pertembungan antara penjaja dan MPS. Yang bakal tersepit adalah Pakatan Rakyat yang dianggap mentadbir MPS.

Pihak Umno pula bukannya mahu mencari jalan bagi menyelesaikan masalah ini tetapi mengambil kesempatan pula.

Seorang bekas ahli majlis MPS yang merupakan pemimpin Umno tempatan telah menjadi salah seorang penghasutnya. Beliau berjaya mengumpulkan para penjaja tempatan untuk membuat bantahan kepada MPS.

Hasilnya satu memorandum dihantar kepada MPS agar jangan merobohkan gerai penjaja di sini.

Ahli Majlis MPS yang ada sekarang, Abdul Majid Hassan (gambar) pula mengambil sikap berlaku adil kepada semua.

Bagi beliau, jika MPS mahu menjaga kepentingan 30 pemilik gerai ini bermakna MPS perlu korbankan keadilan yang sepatutnya diberikan kepada pembeli rumah kedai yang sudah sekian lama kerugian akibat kehadiran gerai-gerai yang dibina secara percuma ini di samping hak orang ramai untuk mendapat perkhidmatan terbaik.

Bagi Kamarudin, bekas JKP kawasan ini, jalan lain yang boleh difikirkan adalah membina satu pusat penjaja baru.

Beliau mencadangkan satu tapak tanah lapang berhadapan barisan rumah kedai di bandar itu dijadikan tapak penjaja baru.

(Tapak lapang yang dicadangkan Kamarudin agar dijadikan tapak penjaja)


Namun begitu, pihak pemaju hanya sedia memberikan kebenaran untuk dua tahun sahaja kerana ia akan dibangunkan selepas itu.

Pihak MPS pula sudah tentu sukar untuk menerima cadangan ini kerana ia akan menjejaskan uptown dan tapak penjaja yang telah diluluskan pembinaan sebelum ini.

Pendek kata, isu ini bakal meletup bila-bila masa di sini jika tidak dikendalikan dengan baik. Silap kendali ia bakal menjejaskan undi khasnya Pakatan Rakyat yang bakal diwakili PKR di kawasan ini.

PTPTN: Lihat beban hutang pelajar, bukan tak relevan

Harakahdaily, 29 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 29 Mac: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menganggap kerajaan terlalu lemah apabila menganggap pemansuhan pembiayaan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) adalah tidak relevan.
Ini berikutan daripada kenyataan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bahawa pemansuhan PTPTN hanya akan mengurangkan semangat daya saing di kalangan pelajar di samping membebankan kerajaan kerana terpaksa mendirikan lebih banyak institusi pengajian tinggi awam (IPTA) untuk memberi pendidikan secara percuma kepada masyarakat.

“Kenyataan beliau menunjukkan bahawa kerajaan BN sebenarnya tidak layak memerintah negara,” kata Ketua Penerangan DPPM, Riduan Mohd Nor (gambar).

Seharusnya, kata beliau tidak berbangkit isu IPTA perlu diperbanyakkan manakala IPTS pula akan gulung tikar kerana banyak langkah lain boleh diambil bagi mengatasi masalah itu.

“Sepatutnya, kerajaan melihat permasalahan yang lebih utama iaitu bebanan yang ditanggung oleh pelajar kerana hutang PTPTN,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagi DPPM, ujarnya kenyataan Mohamed Khalid menandakan bahawa kerajaan BN sememangnya tidak prihatin dengan permasalahan pelajar.

“Jika beliau menganggap pemansuhan PTPTN akan membebankan kerajaan, apakah kerajaan pula tidak memikirkan bebanan yang ditanggung oleh pelajar dan anak-anak muda kerana tanggungan hutang pelajaran mereka,” ujarnya lagi.

Katanya, kerajaan perlu berfikir bagaimana nasib pelajar-pelajar yang tidak mampu meneruskan pengajian tinggi, serta tidak layak mendapat biasiswa.

Menurutnya, PTPTN adalah penyambung hayat pengajian mereka tetapi dalam masa yang sama PTPTN pula menjerut mereka.

Beliau berkata, pendidikan percuma adalah perkara asas yang mesti disediakan oleh kerajaan tanpa mengira kelas yang diperolehi oleh pelajar tersebut.

“Semua pelajar berhak mendapat pendidikan percuma bagi menampung keperluan hidup mereka di masa hadapan.

“Pendidikan percuma adalah suatu pelaburan kepada negara kerana pelajar-pelajar inilah nantinya yang akan memberikan sumbangan kepada pembangunan negara,” katanya lagi.

Justeru, kata Riduan jika kerajaan masih menganggap pemansuhan PTPTN sebagai tidak relevan, kerajaan sebenarnya gagal menyediakan perkhidmatan dan kebajikan kepada rakyat khususnya kepada anak-anak muda.

Jika demikian, ujar beliau kerajaan perlu akur dan mengaku kalah kepada Pakatan Rakyat yang boleh menjanjikan perkhidmatan yang terbaik buat rakyat.

Menurutnya, anak muda pula tidak lagi boleh bergantung harap kepada BN kerana mereka tidak mampu menyelesaikan permasalahan yang ditanggung oleh anak-anak muda sekarang.

“Sebaliknya, anak-anak muda diseru beralih kepada Pakatan Rakyat, kerana komitmen Pakatan Rakyat, apabila berjaya menerajui Putrajaya antara janji utama adalah untuk menghapuskan PTPTN!” ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan