Ahad, 26 Februari 2012

NI PADAHNYA JIKA MASIH MENGABAIKAN HUKUM ALLAH...NI TANDA TAK BERIMAN DARI SEGI PERBUATAN...KERANA MENAFIKAN HUKUM ALLAH@HUDUD

Nizar ziarah keluarga pelajar dirogol, bunuh

Muhammad Faeez, 26 Feb 2012
TAIPING, 26 Feb: Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin bersama masyarakat Trong terkejut dengan tragedi yang menyayat hati apabila seorang pelajar ditemui mati.


Mangsa, Nurul Aien Mohd Saimon,16, disyaki dirogol sebelum dibunuh di kediamannya Kampung Batu 9, Jalan Trong Changkat Jering.

Pelajar SMK Dato' Wan Rasdi itu ditemui mati di dalam bilik air, petang kelmarin.


(Gambar: Nizar meninjau bilik air di mana mangsa disyaki dirogol dan dibunuh.)

Menurut laporan polis, dua suspek telah telah diberkas untuk siasatan lanjut.

Justeru, Nizar bergegas ke rumah mangsa untuk menziarahi jenazah dan keluarganya.

Mantan Menteri Besar itu berkata, kejadian tersebut amat memeranjatkan dan beliau melahirkan rasa dukacita dengan kejadian penuh tragis dan kejam itu.

“Saya mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan berharap dapat bersabar dengan kejadian ini. Saya mendoakan dosa Nurul Ain diampun oleh Allah dan rohnya ditempatkan bersama orang-orang beriman,” katanya.

Nizar telah menyampaikan bantuan sedikit bantuan kepada keluarga mangsa. (Gambar kiri.)

Media hari ini melaporkan mayat pelajar tingkatan empat itu ditemui adik lelakinya dalam keadaan kepala dan seluruh badan dalam kolah selain cedera parah di kepala akibat dipukul benda keras.

Difahamkan, ketika kejadian, mangsa seorang diri di rumah sebelum kediamannya dimasuki individu tidak dikenali yang kemudian cuba merogol dan mencabul mangsa sebelum dia dibunuh.


Dalam kejadian jam 4.30 petang itu, mangsa ditemui maut oleh adik lelakinya yang baru pulang dari rumah neneknya, 300 meter dari tempat kejadian.

‘Jangan biarkan orang atas 'makan' rakyat bawah’

Nazri Abdullah, 26 Feb 2012
KUANTAN, 26 Feb: Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said dalam ucapannya pada perhimpunan tersebut juga turut menyeru rakyat bersama menentang sebarang usaha atau projek yang disifatkannya 'membahayakan nyawa' manusia.

"Kita harus pertahan nyawa kita. Jangan biarkan segelintir kecil orang di atas 'makan' ratusan rakyat di bawah.

"Sediakan rumah yang baik untuk anak cucu kita," katanya ketika berucap pada Himpunan Hijau 2.0 membantah Lynas di padang Majlis Perbandaran Kuantan, di sini pagi ini.

Pengerusi Bersih 2.0, Datuk Ambiga Sreenevasan yang turut berucap pada program itu pula mahu rakyat menolak pemimpin yang bersekongkol dengan Lynas.

"Hari ini Bersih bersama Hijau. Kita tolak Lynas, kita tolak sesiapa sokong Lynas.

"Kita inginkan kerajaan yang dengar apa rakyat nak, bukan kerajaan yang nak rakyat dengar apa yang mereka nak," katanya.

Turut hadir pada himpunan hari ini, beberapa pemimpin utama Pakatan Rakyat lain termasuk Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Penasihat dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub dan Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS Pusat, Zulkefly Mohamad Omar.

Hampir 20,000 peserta yang terdiri daripada pelbagai kaum yang majoritinya Tionghua hadir menyatakan bantahan di perhimpunan aman Himpunan Hijau 2.0 hari ini.

Perhimpunan hari ini dianjurkan oleh lebih 80 NGO prihatin dan turut mendapat sokongan parti-parti politik Pakatan Rakyat khususnya PAS, PKR dan DAP.

Dihujung himpunan itu hari ini, mereka turut bertafakur sejenak bagi mendoakan kempen anti Lynas berjaya sehingga operasi Lynas dibatalkan.

Sebagai bantahan juga, mereka meletakkan tangan secara bersilang di dada masing-masing sambil membacakan ikrar.

Dua tuntutan dalam ikrar itu termasuklah mendesak agar kerajaan membatalakan segera projek nadir bumi Lynas yang disifatkan memudaratkan rakyat Malaysia.

Mereka juga mendesak agar kerajaan memastikan segala rancagan pembgunan adalah mapan dan sejajar dengan prinsip piagam bumi.


Berbai'ah adalah sunnah Rasulullah s.a.w.

Amat malang sekali kedapatan sebahagian yang menasabkan diri kepada ilmu termasuk berjawatan mufti berbicara tentang bai'ah tanpa ilmu, hanya dengan hawa nafsu dan pemikiran sendiri tanpa merujuk kepada al-Quran dan Sunnah Rasulillah s.a.w.
Berbai'ah dan berjanji setia sesama muslim untuk melakukan kebaikan dan amalan soleh apatah lagi berbai'ah untuk berjihad menentang kezaliman dan penindasan serta memperjuangkan Islam merupakan sebahagian sunnah Rasulullah s.a.w. dan para sahabat serta para ulama terdahulu dan terkemudian.


PAS sebagai sebuah parti yang meletakkan landasan perjuangannya adalah Islam dengan merujuk kepada al-Quran dan Hadis sudah pasti selayaknya melakukan bai'ah sebagaimana yang disunnahkan.

Adapun Umno sebagai parti yang tidak menjadikan Islam sebagai matlamat apatah lagi berpendirian bahawa agama tidak wajar digunakan dalam berpolitik tentu sahaja tidak akan merujuk kepada sunnah Rasulullah saw dalam berbai'ah. Maka tidak pelik apabila pimpinan Umno dan ilmuwan Islam yang sehati dan sejiwa dengan Umno akan berkokok menafikan kepentingan bai'ah.

Bai’ah merupakan istilah al-Quran dan Hadis. Ia bermaksud memberikan janji untuk menunaikan dan melaksanakan sesuatu. Dalam hadis riwayat Nasaei daripada sahabat Nabi s.a.w. bernama Ubadah bin Somit, Rasulullah s.a.w. telah menyeru sahabat-sahabat daripada Madinah pada tahun ke 11 menjadi Nabi untuk berbai'ah yang dikenali sebagai bai’ah Nisa'. Bai’ah tersebut mengandungi janji untuk menyembah Allah dan tidak mensyirikkan-Nya dengan yang lain, tidak mencuri, tidak berzina, tidak membunuh anak-anak lelaki, tidak mereka-reka cerita palsu dan tidak menderhakai Nabi s.a.w. dalam perkara ma'ruf. Sebaik sahaja mereka berbai'ah baginda lantas bersabda bermaksud: "sesiapa yang selepas ini melakukan apa-apa perkara yang dibai'ahkan tadi lalu ditimpa balasan (di dunia) itu adalah kaffarah baginya. Sesiapa yang tidak terkena balasan maka urusannya terserah kepada Allah. Sekiranya Allah mahu Allah berikan keampunan kepadanya, sekiranya Allah mahu Allah boleh membalasnya disebabkan perlakuan tadi".

Hadis ini jelas  menunjukkan bahawa orang yang melanggar bai'ah boleh dihukum dan dibalas di dunia oleh Allah.

Bai'ah terbahagi kepada dua. Pertamanya bai’ah kepimpinan dan pemerintahan atau bai'ah kepada khalifah dan pemerintah Islam seperti bai'ah sahabat kepada Nabi s.a.w. di Madinah dan bai'ah sahabat-sahabat kepada Abu Bakar untuk menjadi khalifah selepas wafatnya Rasulullah s.a.w.

Keduanya, bai'ah untuk melakukan ketaatan dan amalan soleh seperti solat dan jihad. Dalam hadis sahih Bukhari, Muslim, Ibn Hibban dan Abi Dawud terdapat hadis yang sangat banyak menceritakan bai'ah antara Nabi s.a.w. dan sahabat antaranya bai'ah untuk saling menasihati sesama Muslim, berbai’ah untuk tidak lari dari medan perang, berbai'ah untuk melakukan lima solat yang wajib, bai'ah untuk menunaikan zakat, bai'ah untuk berjihad, bai'ah untuk menyatakan kebenaran di mana sahaja kita berada dan bai'ah untuk mati bersama dalam perjuangan Islam.

Oleh itu sangat tersasar dan tersilap mereka yang menempelak PAS berbai'ah dalam urusan pencalonan pilihan raya dengan hujah kononnya bai'ah hanyalah merujuk kepada bai'ah kepada pemerintah sahaja dengan menafikan bai'ah dalam melakukan amalan soleh.

Menyertai pilihan raya sebagai calon wakil rakyat dengan matlamat untuk menegakkan agama Allah dan prinsip Islam dalam pemerintahan negara merupakan sebahagian amalan soleh. Oleh itu, bai'ah antara calon pilihan raya untuk tidak meninggalkan parti PAS yang memperjuangkan Islam selepas terpilih menjadi wakil rakyat atas tiket PAS adalah sunat dilakukan untuk menjamin tidak berlakunya sebarang pengkhianatan terhadap amanah Parti Islam Se-Malaysia.

Amat malang sekali kedapatan sebahagian yang menasabkan diri kepada ilmu termasuk berjawatan mufti berbicara tentang bai'ah tanpa ilmu, hanya dengan hawa nafsu dan pemikiran sendiri tanpa merujuk kepada al-Quran dan Sunnah Rasulillah s.a.w. Kita menyeru mereka untuk bertaubat kepada Allah kerana bercakap tanpa ilmu dan tanpa merujuk sunnah Rasulillah s.a.w.
Penulis ialah Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat.


Pakatan batal Lynas jika kuasai Putrajaya

Nazri Abdullah, 26 Feb 2012


KUANTAN, 26 Feb: Pakatan Rakyat hari ini mengumumkan akan membatalkan pembinaan loji pemprosesan nadir bumi di Gebeng oleh syarikat Lynas Advanced Material Plant (Lamp) sebaik mengambil alih pentadbiran Kerajaan Persekutuan.

Perkara itu diumumkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di hadapan lebih 20,000 peserta Himpunan Hijau 2.0 di Padang Padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) 4, pagi ini.

"Kami dari Pakatan Rakyat hari ini mengumumkan, sebaik Pakatan Rakyat mengambil alih Putrajaya, Lynas akan dibatalkan.

"Kami juga memberi jaminan semua tindakan merosakkan alam sekitar, menindas rakyat, merosakkan rakyat...akan kami tentang," tegasnya di atas pentas disambut laungan 'lawan tetap lawan' oleh para hadirin.

Pengumuman itu juga sebagai kemuncak kepada himpunan yang dihadiri pelbagai kaum hari ini.

Sebagai menyokong kempen Anti Lynas juga, Anwar yang juga Ketua Umum PKR berkata, satu usul tergempar akan dikemukakan oleh Pakatan Rakyat di Dewan Rakyat pada persidangan parlimen Mac ini.

"Pada persidangan parlimen Mac ini, kita juga akan mengemukakan usul tergempar bagi menuntut kerajaan Barisan Nasional membatalkan Lynas," katanya yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh.

Isu Lynas, ujarnya bukannya isu perkauman seperti yang sering didakwa Umno, tetapi adalah isu keselamatan rakyat Malaysia berbilang kaum.

Sehubungan itu, beliau turut mendesak pihak kerajaan mendengar suara dan bantahan rakyat berhubung isu itu.

Beli undi sudah bermula

Subky Latif, 26 Feb 2012
DI BAWAH Perdana-Perdana Menteri yang lalu membeli undi yakni rasuah politik berlaku semasa kempen pilihan raya, sesudah penamaan  calon.


Yang turun membeli undi itu ialah  penyokong-penyokong kuat calon.

Banyak mana pengundi dibayar bergantung kepada budi bicara kaki beli undi itu sendiri. Yang diberi lazimnya tidak sebesar yang diperuntukkan parti dan  calon.

Kalau yang peruntukkan itu RM40, biasanya RM25 atau RM30 saja yang diberi. Lebihnya masuk poket tukang beli undi.

Baik ia diberi berterangan mahu pun secara sulit, ia dibuat di luar urusan kerajaan. Pandai-pandailah Perdana Menteri mencari duit yang hendak diagih itu.

Tetapi PRU yang hendak diadakan di bawah Perdana Menteri Najib ini, pembelian undi sudah dimulakan lama sebelum pembubaran Parlimen dan DUN-DUN. Dari duit kerajaan. Dimasukkan dalam bajet negara.

Atas nama membantu ketua keluarga yang berpendapatan kurang dari RM3,000 sebulan diberi RM500 seorang. Setakat ini untuk sekali ini saja.

Tahun akan datang, tidak diketahui, kerana Perdana Menteri Najib pun tidak tahu dia jadi Perdana Menetri lagi atau tidak selepas pilihan ini jika pilihan raya diadakan tahun ini.

Kalau PRU13 diadakan tahun 2013, mungkin bajetnya akan memperuntukkannya sekali lagi.

Beli undi dulu dibuat terhadap pengundi yang berdaftar saja. Orang yang ada dalam daftar pengundi saja yang didatangi kaki beli undi tidak kira pendapatan bulanan kurang dari yang sepatutnya atau tidak.

Bagi pengundi yang berduit, jika ditawarkan sikit, duit mereka banyak. Tak padan dengan duit yang banyak itu. Maka harganya sesuai dengan keadaannya.

Tetapi Perdana Menteri Najib ini cerdik orang. Dr. Mahathir dulu dikira cukup cerdik orangnya.  Najib lebih cerdik.

Beli undi dengan tidak disedari termasuk dalam peruntukan kerajaan, dikira halal, dilaksanakan sebelum pembubaran Parlimen.

Secara rasmi pembayaran itu diadakan dalam majlis rasmi oleh orang-orang penting parti yang diadakan atas nama kerajaan.

Ia ada borang. Tentulah borang yang disediakan oleh kerajaan. Tetapi borang itu payah didapati dari jabatan kerajaan. Ia lebih senang didapati dari orang UMNO. Merekalah yang mengadihkannya.

Apabila orang UMNO yang mengedarkan borang, orang bukan UMNO kena jumpa ejen-ejen UMNO untuk mendapatkannya. Mana yang marahkan borang itu mudah didapati dari UMNO, tak mahu pergi minta borang itu. Tak dapatlah mereka.

Tetapi ramai juga yang tak sukakan UMNO itu hadir ke majlis penyampaian duit itu. Mereka terpaksalah mendengar kempen mengapa mereka mesti mengundi calon BN. Bukan sekadar membodek BN dan Perdana Menteri, kempen mestilah memburukkan lawan. Habis pembangkang digodam semahu-mahunya.

Kempen  penyokong kerajaan biasanya tiada yang hendak mendengar.  Kerana majlis  itu hendak menyampai 500 ringgit kepada orang yang berpendapatan kurang dari RM3,000 sebulan  penuhlah majlis itu. Bila mereka balik, mereka bercerita, di samping mengambil duit, mereka mendengar kempen UMNO.

Saya singgah minum kopi di gerai di Hutan Melintang. Orang di situ memberitahu, Menteri Zahid sendiri menyampaikan duit itu. Ramai orang datang. Khemah majlis itu saja RM70,000.
Kata mereka Zahid tidak mengata apa-apa pada pembangkang. Diberitahunya, terserah kepada semua parti apa mereka nak masuk. Mereka bebas. Cuma dalam pilihanraya undi beri kepadanya dan dua lagi calon BN bagi dua DUN di kawasan Bagan Datoh.

Saya kata pada mereka, Zahid cerdik macam Perdana Menterinya juga.

Tok Guru Mursyidul Am  tidak kata banyak tentang duit itu. Beliau suruh sekalian ambil duit itu, undi jangan bagi pada mereka.

Apa pun ia boleh dikatakan  satu pembelian undi berterangan dibuat lebih awal. Ia satu permulaan. Ia dikira halal dan berterangan. Mungkin ia seperti deposit dulu. Bila bubar Parlimen nanti ada lain pula.

Apa lagilah selepas penamaan  calon dan menjelang hari mengundi. Ia seperti duit durian runtuh atau untung jerung bila kapal pecah.

PAS yakin isu Kedah selesai dengan ukhuwah, tarbiyah

Harakahdaily, 26 Feb 2012

KUALA LUMPUR, 26 Feb: PAS Pusat penuh keyakinan isu yang dikatakan sedang berlaku di Kedah sekarang ini boleh diselesaikan melalui semangat ukhuwah dan tarbiyah yang sudah sekian lama dibina dalam PAS.

Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub dalam satu kenyataannya pagi ini berkata, keyakinan itu diperolehi berdasarkan pertemuan terbaru yang mereka buat bagi membincangkan isu ini malam tadi.

Malam tadi sebahagian besar pimpinan PAS Pusat berkumpul di Pejabat Agung PAS untuk membincangkan isu ini.

Sebelum ini, beberapa siri pertemuan telah diadakan oleh pimpinan utama PAS termasuk Presiden Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebelum beliau ke luar negara.

Media melaporkan beberapa exco kerajaan negeri Kedah enggan dilantik semula sebagai exco kerajaan negeri yang baru apabila mereka mengangkat sumpah 28 Februari ini.

Bagi Salahudin, PAS Pusat berkewajiban untuk memastikan apa yang berlaku di Kedah dapat berjalan dengan baik.

Beberapa siri pertemuan telahpun dan akan terus diadakan dengan semua pihak terlibat dan PAS Pusat yakin dengan pendekatan dialog dan perbincangan akan dapat melahirkan suasana yang harmoni dan mencapai matlamat supaya keadaan hari ini diatasi dengan bijak oleh semua pihak.

"PAS Pusat yakin dengan kepimpinan Datuk Seri Presiden satu keadaan yang selesa akan dinikmati oleh semua yang memberikan kerjasama ke arah mencapai keputusan yang memastikan semangat ukhuwah dan kesan tarbiyah yang menunjangi perjuangan PAS," kata Salahudin kepada Harakahdaily.

Beliau berharap semua ahli PAS dapat memberikan kerjasama dengan tidak membuat apa-apa kenyataan prasangka yang boleh dimainkan oleh media dalam isu Kedah ini.

"Segala usaha yang sedang dilakukan hari ini akan memastikan keterlibatan semua pihak dan segala pertemuan dan perbincangan diadakan dengan hati yang terbuka," katanya.

Semua pihak juga, katanya, berjanji akan memberikan hasil terbaik untuk sama-sama perteguh kedudukan PAS di Kedah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan