Ahad, 26 Februari 2012

BILA KEBENCIAN TELAH MENEBAL..MAKA JIKA SALAH LANGKAH...KEBENCIAN BERTAMBAH PARAH...INGAT INI ADALAH ZAMAN FASA ISLAM AKAN BANGUN SELURUH DUNIA..MENOLAKNYA BERERTI KITA BUKAN ORANG BERTAMADUN...

Islam akan kembali tadbir dunia

http://lanh14.blogspot.com/, 26 Feb 2012
DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

Janganlah memuji dirimu

Janganlah anda memuji-muji diri anda sebagai orang yang suci dan bersih daripada dosa. Dengarlah firman Allah SWT yang bermaksud: "Ia (Allah) lebih mengetahui akan keadaan kamu semenjak Ia menciptakan kamu (berasal) daripada tanah, dan semasa kamu berupa anak yang sedang melalui berbagai-bagai peringkat kejadian dalam perut ibu kamu; maka janganlah kamu memuji-muji diri kamu (bahawa kamu suci bersih daripada dosa). Dialah saja yang mengetahui akan orang-orang yang bertakwa." (An-Najm:32) - Hidayah Rabiulawal 1433/Februari 2012
****************

AKHIR-AKHIR ini kita dapat saksikan dunia kehidupan Barat sarat dengan permasalahan sosial; yang terbaru kematian artis pujaan ramai Whitney Houston pada usia 48 tahun, dikatakan berpunca daripada pengambilan dadah berlebihan.

Apa yang dilihat sebagai individu yang mencapai kemuncak kemasyhuran dalam pelbagai segi seperti Whitney dan penyanyi tersohor Michael Jackson, mendedahkan sisi buruk tamadun Barat yang seolah-olah mengiyakan bahawa ia berada di ambang kehancuran.

Permasalahan sosial Barat terlalu genting, ia menunggu masa untuk hancur; bagi kita hanya Islam yang kini berkembang pesat di Eropah dan Amerika Utara dapat menyelamatkan umat di sana, seterusnya orang Barat yang telah menerima Islam dapat mendaulatkan Islam, ia akan kembali mentadbir dunia. Benarkah Barat yang sudah Islam dapat muncul sebagai pentadbir baru dunia ini? Atau ini hanya satu ilusi, tidak berpijak di bumi nyata?

Bagi kita kemusnahan tamadun Barat dan di atas runtuhannya adalah kebangkitan Islam, mempunyai asasnya. Islam kini muncul sebagai agama paling pesat berkembang di sana; malah sudah muncul sebagai agama kedua terbesar di Amerika Syarikat, Perancis dan Britain.

Barangkali ada orang melihat Barat dengan kehebatan kemajuan sains dan teknologinya, tetapi jangan lupa manusia Barat sudah lama menuju kehancuran, kini mencapai kemuncaknya apabila mereka yang ternama dan ada ‘segala-galanya’ seperti Whitney Houston dan Michael Jackson mati dalam keadaan terhina.

Manusia Barat yang tersedar daripada mimpi panjang sedang tercari-cari erti kehidupan; ramai individu masyhur sudah memeluk Islam. Mereka daripada orang ternama seperti Lauren Booth (adik ipar Tony Blair), wartawan Yvonne Ridley sehingga penyanyi antarabangsa Cat Stevens (Yusuf Islam) mendapat hidayah di tengah-tengah kebobrokan masyarakat Barat.

Kini perkembangan di dunia Timur termasuk di negara-negara Arab membawa sinar kemenangan kepada gerakan Islam. Kita percaya tempiasnya akan dirasakan di dunia Barat. Jika dulu pemerintah Barat dengan lantang menolak kemenangan pihak bernaunsa Islam seperti parti Barisan Penyelamat Islam (FIS) yang menang pada pilihan raya Algeria pada awal 1990a-an, hari ini mereka terpaksa tunggu dan lihat perkembangan yang membawa kemenangan kepada parti pendukung Islam di negara Arab seperti Mesir dan Tunisia.

Memang benar, kuasa Barat dengan kehebatan armada perang berteknologi tingginya dapat menduduki dengan mudah negara umat Islam seperti Iraq dan Afghanistan tetapi sepanjang sejarah Islam, pihak yang mendominasi akhirnya akur kepada kehebatan agama penduduk rantau yang dikuasai. Misalnya, orang Mongol yang terkenal zalim dan kejam selepas memusnahkan Baghdad (empayar Abbasiyah) pada tahun 1258, melahirkan keturunan pemeluk Islam hebat yang telah membina beberapa kerajaan gagah di Asia Tengah. Pemerintah empayar Moghul di India yang masyhur itu juga berketurunkan orang Mongol yang zalim itu.

Bagi kita Barat dengan segala helahnya untuk menguasai dunia secara mutlak selepas hancurnya blok komunis pada 1990-an dulu, terus gagal sekalipun kerap memangsakan negara dan umat Islam dalam satu percaturan dinamakan Barat lawan Islam, dengan kemuncaknya pemburuan terhadap apa dituduh sebagai pengganas Islam selepas runtuhnya bangunan Pusat Dagangan Dunia dalam satu serangan pada September 2001.

Hari ini satu demi satu kepincangan dunia Barat yang terselindung di sebalik kecanggihan teknologi dan apa didakwanya kemodenan hidup; terserlah satu demi satu.

Barat kini dihuni manusia berpenyakit lemah jiwa, dibelenggu keruntuhan akhlak dan rapuhnya nilai-nilai rohaniah yang menyebabkan ia lemas di tengah-tengah pertarungan agama dan ideologi. Insya-Allah hanya Islam yang dapat menyelamatkan umat Barat ini.

Lynas: Bantahan rakyat diterjemah pada PRU13

Muhammad Faizal, 26 Feb 2012
KUALA LUMPUR, 26 Feb: Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad menyifatkan segala kemarahan rakyat yang hadir pada Himpunan Hijau 2.0  membantah Lynas di seluruh negara hari ini akan diterjemaahkan pada pilihan raya umum ke-13 nanti.

Tambahnya, segala balasan yang diberikan oleh rakyat itu akan ditanggung oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kerana keangkuhan beliau dan Kerajaan Persekutuan enggan mendengar rintihan rakyat terhadap bencana yang bakal menimpa apabila loji tersebut beroperasi.


"Rakyat sekarang sudah cerdik dan boleh menilai setiap apa kelemahan yang dilakukan oleh kerajaan terutamanya yang membabitkan bencana alam sekitar serta nyawa manusia dalam jangka masa yang panjang," jelasnya sewaktu menghadiri Himpunan Hijau 2.0 di hadapan bangunan Maju Junction, di sini pagi tadi.

Beliau yang turut memberi ucapan di hadapan ratusan rakyat yang berhimpun itu menjelaskan himpunan hari ini menyaksikan penampilan demostrasi yang tidak pernah disaksikan sebelum ini kerana ia melibatkan pelbagai kaum  dan juga peringkat umur.

"Tahniah kerana hari ini rakyat berbilang kaum turut hadir menyatakan sokongan mereka terhadap membantah pembinaan loji Lynas itu, dan saya pasti mereka ini hadir buka atas dasar parti tetapi atas rasa tanggungjawab mereka.

"Saya melihat lebih kurang 50 peratus mereka berumur 30 tahun ke bawah dan ini satu yang mengejutkan kerana mereka inilah merupakan golongan pengundi muda yang boleh menentukan siapa yang mereka ini pilih pada pilihan raya nanti," ulasnya.

Dr Dzulkefly berpendapat, golongan pertengah inilah merupakan undi penentu dan pada masa ini ia merupakan isyarat awal kepada Barisan Nasional terhadap apa yang bakal mereka hadapi nanti.

"Mereka hadir kerana rasa tanggungjawab mereka kepada negara ini dan juga kepada generasi yang akan datang, sudah pasti apabila bantahan mereka tidak didengari oleh kerajaan maka undi protes akan berlaku secara senyap," sambung beliau lagi.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu juga menyatakan tidak ada apa-apa yang diperolehi oleh negara ini walaupun Lynas menyatakan akan untung RM8 bilion setahun dengan modal permulaan sebanyak RM700 juta kerana sikap murah hati kerajaan memberi pelepasan cukai hampir 10 tahun.

"Apa yang rakyat perolehi adalah kesan radioaktif serta malapetaka dan bencana alam sekitar yang akan ditanggung selama-lamanya, malah ia mengambil masa yang lama untuk ditangani secara selamat," kata beliau.

Himpunan aman yang bermula pada jam 9 pagi itu berakhir sekitar pukul 12 tengah hari.


Siasat Badrul Amin secara profesional

Harakahdaily, 26 Feb 2012
KUALA LUMPUR, 26 Feb: Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengambil maklum bahawa Dr. Badrul Amin Baharon diminta oleh Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) untuk membantu siasatan berikutan sebuah insiden di Kuantan pada 25 Februari 2012.

Justeru, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail menuntut agar Jaip dan pihak berkuasa membuat siasatan secara telus dan profesional.

Beliau di dalam satu kenyataan ringkas hari ini juga mengulangi komitmen parti untuk terus memelihara prinsip keadilan bagi semua pihak yang terlibat.

Lebih 500 sertai majlis Ustaz Azhar di De Palma

Aziz Muda , 26 Feb 2012
AMPANG, 26 Feb: Walaupun terpaksa membayar RM100 setiap seorang, lebih 500 anak-anak Terengganu yang tinggal di Lembah Klang menyertai majlis berkongsi ilmu dengan pendakwah selebriti yang menjadi ikon anak muda, Ustaz Azhar Idrus yang diadakan di Hotel De Palma Ampang, dekat sini, hari ini.

(Ustaz Azhar [kiri] menjawab soalan hadirin dengan Ustaz Kamaruzaman sebagai moderator)

Malam tadi, lebih 10,000 orang ramai memenuhi Masjid Bandar Tasik Puteri, Rawang untuk mendengar kuliah dan soaljawab bersama beliau.

Malam ini pula, Ustaz Azhar akan bersama penduduk Klang pula apabila beliau akan memberikan kuliah di sebuah masjid di sana.

Inilah fenomena biasa yang berlaku kepada pendakwah yang kini sudah menjadi selebriti ini.

Program di hotel De Palma yang bermula dari jam 8.30 pagi hingga 2.00 petang itu dianjurkan oleh Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu untuk mengumpul dana bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 yang akan diadakan tidak lama lagi.

Sempena program itu, beberapa orang peserta tidak melepaskan peluang bertanya beberapa soalan secara langsung kepada Ustaz Azhar untuk mendapatkan penjelasan mengenai pelbagai perkara dari segi hukum dalam Islam.

Selain itu, beberapa soalan turut dikemukakan oleh mereka menerusi Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Terengganu, Kamarulzaman Abdullah selaku pengerusi sesi soal jawab bersama Ustaz Azhar yang bermula dari jam 10.30 pagi.

Kesemua soalan yang dikemukakan oleh mereka dijawab dengan terperinci oleh Ustaz Azhar berdasarkan dalil aqli dan naqli menepati ketetapan dalam Islam untuk dijadikan panduan para peserta.

Walaupun tidak kesemua peserta berpeluang mengemukakan soalan disebabkan kesuntukan masa, namun kesemua soalan yang dikemukakan dan sempat dijawab oleh Ustaz Azhar tetap mampu memberikan kepuasan kepada para peserta kerana ia turut merangkumi pelbagai aspek.

Sementara itu, Kamarulzaman ketika mempengerusikan sesi soal jawab berkata, beliau bagi pihak penganjur amat berbesar hati kerana dapat mengadakan majlis tersebut.

Disebabkan kesuntukan masa dengan jadual aktiviti dakwah Ustaz Azhar yang ketat, Dewan Pemuda PAS Terengganu hanya diberikan masa selama seminggu oleh pendakwah tersebut untuk mengadakan program itu. 

"Dengan masa yang sedemikian singkat menyebabkan persediaan majlis itu tidak dapat diadakan dengan betul-betul sempurna oleh pihak penganjur terutama dari segi publisitinya.

(Sebahagian orang ramai yang menyertai majlis ilmu bersama Ustaz Azhar Idrus di De Palma, Ampang)

"Tetapi saya sangat teruja dengan aura Ustaz Azhar yang boleh menarik kedatangan peserta sebanyak ini sehingga di luar jangkaan pihak penganjur sendiri," katanya.

Selesai majlis, para peserta yang hadir turut mengambil peluang untuk bergambar bersama-sama Ustaz Azhar yang tetap bersedia memenuhi harapan orang ramai, walaupun ternyata amat keletihan disebabkan jadual dakwahnya yang begitu padat setiap hari. 

Antara yang hadir pada majlis yang dipengerusikan oleh AJK Dewan Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Khalil Abdul Hadi itu termasuklah Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia, Riduan Mohamad Nor, Bendahari Dewan Pemuda PAS Malaysia, Mohd Adram Musa dan Ketua Dewan Pemuda PAS Terengganu yang juga Adun Bukit Payong, Mohd Nor Hamzah.

Pada majlis tersebut turut diadakan jualan buku yang bertajuk "Ustaz Azhar Idrus Daie Sejuta Ummat" yang ditulis oleh Riduan Mohamad Nor yang juga mendapat sambutan amat menggalakkan daripada orang ramai.

Program bicara intelek guru jadi medan fitnah Pakatan

Harakahdaily, 26 Feb 2012
KLANG, 26 Feb: Program bicara intelek guru sekolah berasrama penuh yang diadakan dekat sini baru-baru ini disifatkan sebagai program untuk menyelamatkan Umno.

(Kisas yang banyak melahirkan pemimpin dan ilmuan negara menjadi medan fitnah Pakatan Rakyat)

Ia penuh dengan fitnah dan pertuduhan terhadap pihak Pakatan Rakyat dan sangat dikesali oleh guru-guru yang menyertainya.

Antara tuduhannya adalah DAP mahu menjadikan negara ini republik dan mahu menukar agama Kristian menjadi agama rasmi negara.

Yang mengejutkan, penyataan seumpama ini bukannya datang dari ahli politik tetapi dari pegawai polis Bukit Aman.

Menurut seorang guru yang ditemui Harakahdaily dekat ini, rata-rata guru peserta program ini kesal dan meluat dengan tuduhan yang dibuat oleh penceramahnya.

Program yang berlangsung pada Sabtu 25 Februari itu berlangsung di Kolej Islam Sultan Alam Shah,  Klang.

Ia mensasarkan guru-guru dari sekolah berasrama penuh Zon Tengah di bawah anjuran Bahagian Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kecemerlangan.

Sekolah yang terlibat adalah Sekolah Sultan Alam Shah Putrajaya, Sekolah Menengah Sains Seri Puteri, Sekolah Menengah Sains Alam Shah, SM Sains Selangor, Sekolah Seri Puteri, kolej islam sultan alam shah, SMAP Kajang, SBPI Gombak, SBPI Sabak Bernam, SBPI Rawang, SM Sains Hulu Selangor, SM Sains Kuala Selangor dan SM Sains Banting.

Program ini bermula pada jam 8.30 pagi dengan perasmian program serta pembentangan sesi 1 bertajuk dasar-dasar baru KPM oleh Tuan Haji Khalil bin Mohamed, KPP Sektor Pengurusan Akademik, Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kecemerlangan.

Pada jam 11.00 pagi, Profesor Dr Shamsul Abadi bin Mamat, BTN Jabatan Perdana Menteri telah menyampaikan syarahan dengan tajuk “Negaraku Tercinta”.

Ceramah yang memakan masa hampir 2 jam, dengan membawa konsep ketamadunan dan jurang ketamadunan.
Beliau menjelaskan negara Malaysia ketinggalan dari negara lain dan memerlukan tempoh 50 tahun dan keatas untuk setanding dengan negara-negara maju yang lain.

Apa yang mengejutkan peserta ialah beliau meminta guru untuk memilih kepimpinan negara yang ada hari ini dan membuat perumpamaan dengan negara-negara Asia Barat yang telah menumbangkan pemimpin mereka dan menyebabkan negara huru-hara dan tiada kestabilan.

Kesan yang sama akan berlaku jika rakyat menukar kerajaan Barisan Nasional kepada Pakatan Rakyat dan melambatkan negara setanding dengan Negara maju yang lain.

Pada jam 2.30 petang, sesi ke-3, ACP Abdul Rahman bin Khalil, dari PDRM Bukit Aman dengan tajuk Menangani Isu Disiplin, Keselamatan dan Ketenteraman Awam di Sekolah (Isu-isu Semasa).

Apa yang memeranjatkan seolah-olah bukan isu keselamatan di sekolah yang dibincangkan tapi lebih kepada isu keselamatan Umno/Barisan nasional.

Antara yang isu yang disebut ialah DAP dan Lim Guan Eng.

Antara tuduhan yang dibuat adalah agenda DAP ialah pembentukan Malaysia sebagai negara republik dan jadikan Kristian agama rasmi negara.

Isu ekstrimis agama menggunakan Al-Quran dan Hadis mengelirukan rakyat, BERSIH, Mahasiswa, Murtad, Isu Kepala Babi dan ancaman perkauman turut diperkatakan.

Isu BERSIH dipaparkan dengan kepimpinan PAS dan PKR yang terlibat langsung telah menimbulkan kekakacauan dan persis krisis di Timur Tengah.

Dalam isu murtad dinyatakan seorang pelajar dari Sekolah Agama Yahya Petra, Kelantan (maklumat dari Kelantan, nama sekolah ini tiada di Kelantan) telah murtad dan lari ke Sarawak dan beliau mengeluarkan kenyataan menghina Rasulullah SAW.

Rata-rata guru tidak berpuas hati kerana seolah-olah penceramah menyimpang dari tajuk ceramah dan objektif program.

Guru hadir atas nama bicara intelek untuk kecemerlangan sekolah tetapi program lebih menjurus kepada agenda politik menyelamatkan UMNO/BN.

Hanya sesi 1 sahaja menjurus kepada objektif program, kata guru berkenaan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan