Jumaat, 20 Januari 2012

TAKUT KERANA SALAH..BERANI KERANA BENAR...KESIMPULAN RAKYAT TAHU WALAUPUN TAK ISYTIHAR...LAH NI SUMBER MUDAH DIPEROLEHI...

Apa makna orang agama kalau wang zakat disalahguna?

Harakahdaily, 20 Jan 2012

KUALA LUMPUR, 20 Jan: “Apa makna jawatan tertentu kalau diserahkan kepada golongan agama sekalipun, jika wang zakat pun boleh disalahgunakan seperti yang diledakkan Ketua Audit Negara?”

Itulah jawapan ringkas berbentuk soalan daripada Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) untuk membalas serangan bertubi-tubi media Umno terhadap PAS dalam isu exco agama kerajaan negeri Selangor.

Bagi beliau, serangan Umno menandakan pemikiran Umno masih berada di kotak lama kerana menganggap exco agama mesti diberikan kepada PAS, seolah-olah orang lain tidak layak; atau PAS hanya layak pegang exco agama; sedangkan portfolio lain tak layak.

Dalam memegang jawatan dalam apa bidang sekalipun, Tuan Ibrahim menegaskan yang penting ialah amanah seperti yang dinyatakan dalam satu nasihat Nabi Muhammad kepada Abu Zar Radiallahu'anhu.

“Dalam satu peringatan Rasulullah kepada Abu Zar Radiallahu'anhu, baginda menyatakan:

"Wahai Abu Zar, sesungguhnya kamu lemah, sedangkan jawatan ini adalah amanah, dan ianya adalah penyesalan di hari akhirat, melainkan kamu menerimanya di atas kelayakan kamu dan kamu menunaikan hak kepada yang berhak menerimanya (tunaikan amanahnya).

"Jelas apa yang penting penyandang adalah mesti seorang yang amanah. Apa makna jawatan tertentu kalau diserahkan kepada golongan agama sekalipun, jika wang zakat pun boleh disalahgunakan seperti yang diledakkan Ketua Audit Negara?” kata beliau.

Kenyataan beliau ini dipercayai merujuk kepada kontroversi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menggunakan dana zakat sebanyak RM63,650.00 untuk sebagai pendahuluan membiayai kos guaman Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir dalam menangai kes permohanan qazaf Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tuan Ibrahim, yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang turut berpendapat bahawa kenyataan Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim dan perakuan untuk mengadakan perbincangan dengan PAS dalam isu-isu agama dan merujuk kepada pakar dalam isu-isu hukum telah menggambarkan kepada rakyat, sikap berhati-hati yang diambil kerajaan Selangor dalam melaksanakan amanah yang dipertanggungjawab kepadanya.

Dalam perlantikan Dr Yunus dengan sokongan padu Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Rani Osman, Tuan Ibrahim berkata ia memperlihatkan kepada umum betapa kepimpinan PAS bukanlah golongan yang mengejar jawatan.

“Bahkan rela diberi kepada orang lain yang difikirkan sesuai dan layak demi memperkasakan jentera parti,” tambah beliau.

Lawatan PM: Penduduk Kg Baru tunggu kehadiran Najib

Harakahdaily, 20 Jan 2012

KUALA LUMPUR, 20 Jan: PAS Wilayah Persekutuan mengharapkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang turun melawat ke Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur hari ini, tidak hanya menabur janji kosong buat rakyat.

Ketua Penerangannya, Suhaimi Abdul Aziz berkata, paling dinanti adalah kehadiran perdana menteri di Kampung Baru bagi mendengar bantahan penduduk terhadap Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (RUUPPKB).

"Jika Menteri Besar Selangor sanggup turun dan bersemuka dengan rakyat dengan usaha membantu penduduk, apakah PM pula berani mendengar pertikaian penduduk Kampung Baru terhadap Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kampung Baru yang diluluskan oleh kabinetnya.

"Apakah PM sanggup membaca sendiri sepanduk dan kain rentang yang membantah tindakan kerajaan meluluskan RUU tersebut," soalnya.

Selain itu, PAS Wilayah Persekutuan katanya mahu lawatan perdana menteri itu menginsafkan dirinya betapa kehidupan sebahagian warga KL tertinggal jauh dari arus kemodenan dan memisahkan jauh antara mereka dengan golongan berada.

Turup diharap katanya, agar Najib sedar bahawa betapa penting melantik pemimpin yang berwibawa menjaga rakyat dan bukannya di kalangan mereka yang berusaha menggadai hak rakyat khususnya di Kampung Baru.

"Mungkinlah lawatan ini menjadikan PM lebih prihatin dengan masalah rakyat disamping bertegas untuk membanteras segala penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa dan rasuah yang sedang membarah di dalam parti dan pemimpin kanannya seperti yang didakwa ramai hari ini.

"PM perlu jadikan lawatan ini untuk mengajar beliau supaya melantik pemimpin-pemimpin bawahannya yang benar-benar membela rakyat dan mengerti kesusahan mereka, bukan mengkayakan diri mereka sendiri," katanya lagi.

Sebelum ini, Menteri besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengumumkan untuk melakukan penambahbaikan terhadap Lembaga Pentadbir Penempatan Pertanian Melayu (MAS) di Kampung Baru bagi menjaga kepentingan penduduk tersebut.

Antaranya ialah dengan membuka keanggotaan MAS kepada pelbagai kelompok masyarakat dan kumpulan profesional supaya ia lebih berkesan dalam memastikan kepentingan pemilik tanah dapat dipertahan.

Hari ini pula Najib memulakan lawatan kerjanya ke Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan kunjungan ke kawasan Parlimen Wangsa Maju.

Selepas itu beliau dijangka melawat Kampung Puah Lembah di Jalan Gombak dan akan ke kawasan Parlimen Bandar Tun Razak untuk bersama penduduk di situ bersolat Jumaat di Masjid Az-Zubair.

Selepas itu, beliau akan menghadiri majlis jamuan makan tengah hari bersama rakyat di Padang Bola Sepak Sri Johor, Bandar Tun Razak, sebelum meneruskan program lawatannya ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinci di Lembah Pantai pada petang.

Penstrukturan Exco Kerajaan Negeri Selangor

Khalid Samad, 20 Jan 2012

Sekembali saya ke tanah air setelah berada di Saudi Arabia selama 16 hari, maka saya dapati beberapa perkembangan menarik sedang berlaku.

Oleh itu, saya ingin mengupas secara ringkas beberapa perkara yang saya akan mulakan dengan penstrukturan Exco Kerajaan Negeri Selangor.

Pelantikan Dr Yunus mengemparkan ramai, termasuklah yang sudah pasti, Dr Yunus sendiri. Apabila ianya berlaku maka mula sibuklah pencacai UMNO yang telah terdiam terkedu setelah DSAI didapati tidak bersalah. Tiba-tiba ada isu, walaupun remeh dan kecil, yang memberi nafas baru kepada mereka untuk terus hidup.

Maka mulalah mereka menghasut setelah terbukti hasutan sebelum ini berhasil, supaya Dr Rani juga bertindak sepertimana sebelum beliau. “Tidak patut”, kata mereka, “Dr Rani PJ dan sepatutnya dialah yang dilantik menjadi Exco”.

Namun begitu, hasutan tukang hasut tidak berkesan ke atas manusia yang berjuang tanpa memikirkan jawatan atau pangkat. Atas sikap tidak peduli Dr Rani dalam soal hasutan ini, saya mengucapkan tahniah.

Jelas terbukti bahawa dakwaan beliau gilakan jawatan serta menjatuhkan mantan PJ kerana inginkan jawatanan Exco adalah tidak berasas dan amat meleset sama sekali.

Setiap individu di dalam PAS seharusnya mempunyai sifat tidak merajuk apabila tidak dipilih atau dilantik memegang sesuatu jawatan.

Malahan individu tersebut akan merasa lega apabila dilepaskan dari dipilih untuk menjawat sesuatu jawatan kerana dia faham bahawa jawatan itu adalah tanggung jawab dan amanah yang berat. Ianya bukan hadiah atau ‘ghanimah’. Ianya bukan pengiktirafan atau penghormatan, ianya adalah amanah.

Kita tidak lari dari tanggung jawab, tetapi kita tidak juga mencari-carinya sehingga menjadikan sesuatu jawatan itu sebagai impian hati dan matlamat perjuangan hidup.

Orang yang dikuasai keinginan jawatan akan dirosakkan oleh keinginan itu sendiri sehingga apabila ianya terlepas dari tangannya atau kelihatan semakin jauh darinya maka dia mula berhempas-pulas ketidak tentuan.

Segala yang dikatakan betul selama ini menjadi salah, segala rakan menjadi lawan sehingga; segala segala yang dimuntahkan sanggup dijilat balik.

Maka bermulalah dia mengorak langkah melalui ‘pendekatan baru’ untuk mendapatkan jawatan tersebut tanpa menghiraukan segala yang telah dikatakan dan diikrarkan sebelum ini, termasuklah yang dibaiahkan selama ini.

Alhamdulillah Dr Rani, tidak bersifat sebegitu. Beliau hadir pada majlis pelantikan Exco baru dan apabila ditanya, beliau menyatakan sokongan penuh terhadap pelantikan Dr Yunus.
Sememangnya sebelum ini pun Dr Rani pernah menzahirkan kekhuatiran beliau terhadap persoalan menjawat jawatan PJ dan Exco, dalam suasana di ambang pilihan raya, dikhuatiri dirinya tidak termampu.

Maka akhirnya apa yang telah terjadi diterima dengan hati terbuka, sebagai penentuan Allah yang terbaik bukan sahaja bagi dirinya, tetapi bagi jemaah.

Ada pula yang dari golongan yang agak jahil menyatakan bahawa perlantikan Dr Yunus sebagai Exco Belia dan Adat Melayu adalah sesuatu yang memalukan PAS.
“Tidakkah PAS parti Islam,” tanya mereka, “mengapa tidak diberikan portfolio Exco Agama seperti dulu?”

Bagi mereka ini Islam adalah apa yang terkandung di dalam kerangka Jabatan Agama Islam. Tiada Islam dalam urusan Belia atau Adat Istiadat orang Melayu. Itulah apa yang disebut sebagai fahaman sekular.

Bagi PAS, Islam releven di dalam semua portfolio, termasuklah belia. Memandangkan pengundi Selangor adalah majoritinya di bawah umur 40 tahun, maka portfolio ini amat berharga bagi PAS. Masa inilah PAS perlu menarik sokongan golongan muda dengan membuktikan “orang muda geng kita”.

Dari sudut praktikalnya, dalam tempoh 2 ke 3 bulan sebelum pilihan raya, lebih mudah diserahkan kepada Exco baru portfolio yang sedang dia jaga selama ini, walaupun bukan sebagai Exco pada ketika itu.

Dr Yunus salah seorang yang membantu MB menjaga portfolio belia dan sukan sebelum ini. Ianya tindakan yang praktikal bagi menjamin kesinambungan tugas serta kelicinan peralihan jawatan yang sedang dilalui secara mendesak dan di ambang pilihan raya.

Adalah agak sukar bagi Exco baru menguasai portfolio baru dalam suasana sebegini. Lebih-lebih lagi sekiranya ianya portfolio Exco Agama kerana sekarang ini JAIS dan MAIS ingin dijadikan bagaikan lubuk UMNO dan BN.
Ianya medan pertahanan terakhir mereka dan mereka ingin menggunakannya sehabis-habisnya untuk menggagalkan usaha PR mengekalkan kerajaannya di Selangor.

Tindakan mengekalkan mantan PJ PAS Selangor sebagai Timbalan Pengerusi MAIS, walaupun saya tahu ada yang mereka tidak begitu suka pada dirinya, jelas menunjukkan niat jahat mereka.

Dalam suasana yang ‘hostile’ sebegini, seorang Exco baru akan dihadapkan dengan bermacam-macam masalah. Jenis UMNO bukan faham soal menghormati keputusan rakyat. Mereka akan jadikan tempoh 3 bulan pertama satu tempoh yang sukar bagi Exco baru seperti Dr Yunus.

Oleh itu, memandangkan tempohnya singkat dan perjalanannya penuh dengan cabaran, maka adalah lebih baik MB sendiri yang memegangnya. Baru bertemu buku dengan ruas.

Ada pula yang berkata, “apa MB tahu pasal syariat Islam?” Jawab saya, “Exco Agama ini perlu keluarkan fatwakah?” Lagipun, bagi saya, beliau adalah jauh lebih baik dari Rahman Palil yang boleh duduk bersekongkol dengan Khir Toyo serta UMNO dan BN.

Mungkin juga lebih baik fahamannya berbanding mantan Exco yang mungkin hanya sekadar bersemangat dan bermotivasi tinggi sahaja tetapi sekarang sudah cukup jelas kefahamannya agak terencat.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

MAS: Pakatan dahului Umno bela penduduk Kg Baru

Harakahdaily, 20 Jan 2012

KUALA LUMPUR, 20 Jan: Dewan Pemuda PAS Kawasan Titiwangsa (DPPKT) menyambut baik usaha Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (gambar) untuk melakukan penambahbaikan terhadap Lembaga Pentadbir Penempatan Pertanian Melayu (MAS) di Kampung Baru bagi menjaga kepentingan penduduk tersebut.

Ketuanya, Mohamad Suhaimi Abdul Aziz berkata, antara usaha Khalid seperti yang diumumkannya adalah dengan membuka keanggotaan MAS kepada pelbagai kelompok masyarakat dan kumpulan profesional supaya ia lebih berkesan dalam memastikan kepentingan pemilik tanah dapat dipertahan.

Katanya, DPPKT menganggap keputusan Menteri Besar Selangor itu amat baik dan berpetapatan pada masanya.

Beliau berkata, ini menunjukkan bahawa kerajaan Pakatan Rakyat amat prihatin terhadap nasib rakyatnya yang jauh mendahului kerajaan Umno BN.

“Menteri Besar Selangor membuktikan bahawa Kampung Baru tidak tertinggal dalam agenda pembangunan negeri Selangor malah ianya masih menjadi perhatian utama negeri tersebut sehingga beliau sendiri turun menjenguk dan berdialog dengan rakyat kelmarin,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Katanya lagi, keanggotaan MAS dibuka kepada pelbagai kelompok masyarakat dan kumpulan profesional amat baik supaya peranan MAS benar-benar dapat digerakkan oleh mereka yang berkelayakan serta berniat untuk menjaga kepentingan penduduk.

Justeru, ujarnya MAS perlu memainkan peranan yang penting selaku organisasi perantara antara pihak kerajaan dengan suara penduduk.

Tambahnya, MAS perlu menyampaikan suara penduduk kepada pihak kerajaan disamping sebagai pemudah cara antara pihak berkuasa dengan penduduk.

Selain itu, katanya keberadaan MAS sebagai badan pendesak bagi memastikan kepentingan penduduk terpelihara.

DPPKT, ujarnya tidak mahu tragedi Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kampung Baru yang diluluskan di Parlimen dan Dewan Negara tempohari dengan mudah tanpa campurtangan dan bantahan oleh MAS.

“DPPKT mengharapkan, meskipun keanggotaan ini dibuka kepada pelbagai kelompok masyarakat dan profesional, ianya dikawal dan dihadkan hanya kepada pemilik serta pewaris Kampung Baru sahaja dan bukan untuk mereka yang lain selain dari warga itu,” katanya.

Katanya, ahli Jawatankuasa MAS pula dipilih dari suara majoriti pemilik tanah Kampung Baru tanpa adanya campurtangan dari mana-mana pihak.

Justeru, ujarnya DPPKT menaruh harapan agar MAS benar-benar bebas daripada campurtangan pihak luar supaya tiada ‘tangan hitam’ yang menggerakkan organisasi tersebut.

Aset: Kenapa Nazri takut kalau menteri 'bersih'?

Harakahdaily, 19 Jan 2012
KUALA LUMPUR, 19 Jan: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) membidas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz yang menolak cadangan supaya harta dan aset menteri dan ahli keluarga terdekat diisytiharkan dengan alasan tidak patut dilakukan kerana boleh membahayakan mereka.

“DPPM musykil dengan kenyataan ‘bahaya’ seperti yang dilontarkan oleh Datuk Seri Nazri,” kata ketua penerangannya, Riduan Mohd Nor (gambar).

Beliau juga mempersoalkan apakah yang dimaksudkan dengan bahaya itu.

“Adakah ia bahaya terhadap keselamatan harta dan keluarga menteri tersebut atau bahaya pada masa depan mereka jika diketahui aset mereka yang bernilai jutaan ringgit itu?” soalnya lagi.

Katanya, umum mengetahui pemimpin negara mempunyai kawalan keselamatan yang ketat dan amat sukar bagi penjenayah mengambil kesempatan terhadap pemimpin negara sekiranya aset mereka diketahui ramai.

Menurutnya, mungkin Nazri bimbang sekiranya aset pemimpin negara didedahkan, lebih ramai menteri kabinet tidak mempunyai masa depan yang cerah kerana ditolak oleh pengundi.

Katanya, DPPM menganggap kenyataan Nazri itu sebagai alasan remeh dan amat dangkal.

Tambahnya, ia adalah suatu helah supaya aset pemimpin negara tidak diisyiharkan kepada umum seolah-olah beliau mahu menyembunyikan sesuatu daripada pengetahuan umum.

“Adakah Datuk Seri Nazri Aziz mahu melindungi ‘pekung’ atau keburukan pemimpin negara supaya tidak dapat dihidu dan dilihat rakyat?” tanya beliau lagi.

Beliau berkata, mungkin jika diketahui aset mereka ini, lebih banyak lagi skandal akan dibongkar oleh rakyat menyebabkan ramai pemimpin-pemimpin negara bakal tersungkur.

Ujarnya, DPPM menegaskan, dengan pengisytiharan harta, rakyat dapat melihat dan mengakses maklumat mengenai aset pemimpin-pemimpin negara.

Ini, katanya dapat membuktikan bahawa pemimpin tersebut benar-benar ikhlas berkhidmat untuk rakyat, tanpa mengambil kesempatan di atas jawatan dan pengaruhnya untuk mengaut sebanyak mana harta demi kepentingan dirinya sendiri.

Tambahnya, ia juga membuktikan pemimpin tersebut benar-benar bersih dari sebarang penyelewengan, penipuan atau skandal.

Selama ini, tambah beliau sering kali pemimpin negara dipalitkan dengan rasuah dan penyelewengan kuasa, bahkan ada antara mereka yang telah didapati bersalah dan dijatuhi hukuman.

Justeru, tegasnya DPPM mencabar Nazri supaya melaksanakan syor Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) agar aset menteri kabinet dan pasangan mereka didedahkan untuk pengetahuan umum.

“Sekiranya menteri-menteri kabinet benar-benar bersih dari sebarang penyelewengan, tidak ada apa yang perlu dilindungi dan ditakutkan,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan