Jumaat, 20 Januari 2012

BILA TAKMAHU MENGALAH...TAK KIRALAH BENANG KERING ATAU MENANG BASAH..SAPE SALAH,SAPE BETUL DIKETAHUI JUGA...HUKUM@BALASAN ALLAH AKAN SAMAPAI JUA

Pejabat Peguam Negara fail rayuan kes liwat

Harakahdaily, 20 Jan 2012

KUALA LUMPUR, 20 Jan: Pejabat Peguam Negara memfailkan rayuan terhadap keputusan membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim oleh Mahkamah Tinggi baru-baru ini.

Rayuan itu difailkan pada jam 4.30 petang ini di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur iaitu minit terakhir pada hari terakhir kes ini boleh dibuat rayuan.

9 Januari lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan Anwar dari pertuduhan meliwat bekas pembantunya, Saiful Bukhari Azlan.

Ini kerana, keraguan mahkamah terhadap intergriti sampel DNA yang diambil polis dari Saiful.

Semalam Saiful menghantar surat rasmi kepada pejabat Peguam Negara agar kes beliau itu dibuat rayuan oleh pihak pendakwa.

"Sehingga ke hari ini tiada maklum balas terhadap permohonan terbuka saya dan bapa dari Peguam Negara sama ada beliau akan memfailkan rayuan atau tidak. Masa juga semakin suntuk.

"Rayuan ini penting kerana ia membabitkan maruah dan masa depan saya. Saya hanya menuntut hak saya sebagai warganegara Malaysia seperti yang termaktub dalam Perlembagaan di mana setiap aduan itu berhak didengar dan diadili sehingga ke peringkat Mahkamah Tertinggi dan saya berdoa agar Peguam Negara mempertimbangkan permohonan saya ini," kata Saiful melalui blognya berkenaan suratnya kepada pejabat Peguam Negara itu.

Tindakan politik

Bagi peguam Mohamed Hanipa Maidin (gambar), rayuan tersebut dilihat lebih cenderung kepada tindakan politik semata-mata biarpun Peguam Negara mempunyai hak dari sudut undang-undang untuk merayu.

Katanya, dengan pelbagai persoalan yang membelenggu kes tersebut sepanjang perbicaraan di Mahkamah Tinggi sebelum ini, kes tersebut seharusnya selesai dan ditutup sejak 9 Januari lalu lagi.

"Apabila rayuan dibuat, saya kira ianya lebih kepada tindakan politik.

"Kenapa kes yang membabitkan Razak Baginda dulu tidak rayu, sekarang rayu? Saya kira kes Razak Baginda dulu itu lagi besar kerana melibatkan maruah negara di mata dunia," katanya kepada Harakahdaily.

Mengulas lanjut beliau berkata, tindakan merayu itu juga hanya akan memberi pandangan negatif kepada Peguam Negara yang seolah-olah menjadi alat politik kepada Umno BN.

"Apapun pada saya rayuan ini akan menguatkan sokongan rakyat kepada Pakatan Rakyat pada masa yang sama menambah kebencian mereka kepada Umno BN," tegasnya.

Wasatiah: Najib diminta 'jangan cakap tidak serupa bikin'

Harakahdaily, 20 Jan 2012

KUALA LUMPUR, 20 Jan: PAS meminta Datuk Seri Najib Razak agar jangan mencemarkan Islam dengan slogan sehingga merosakkan imej Islam di pandangan masyarakat bukan Islam di negara ini.

(Gambar Najib dan isteri...jangan cakap tidak serupa bikin)

"Kita mengharapkan Datuk Seri Najib biarlah bercakap serupa dengan bikin," kata AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad.

Beliau mengulas dasar wasatiah yang diperkenalkan Najib.

Bagi beliau, ia adalah lanjutan dasar pragmatis Umno untuk meraih sokongan di kalangan orang Melayu terutama musim pilihanraya.

"Zaman Tunku Abdul Rahman memperkenalkan musabaqah al-Quran, zaman Tun Hussein Onn memperkenalkan Bulan Dakwah.

"Tun Dr Mahathir Penerapan Nilai-Nilai Islam dan Tun Abdullah Badwi Islam Hadhari.

"Kita rasa sangsi dengan Islam Wasatiah yang diperkenalkan oleh Najib.

"Apakah beliau memperkenalkan Islam Wasatiah kerana gerun melihat kebangkitan rakyat Arab yang menggulingkan pemerintah di negeri mereka dengan andaian ini ada tindakan ekstrim.

"Kalau itu maksudnya maka ini adalah satu kesilapan untuk memahami pengertian Wasatiah," katanya.

Menurut Idris, memang Islam ajarannya wasatiah, iaitu tidak melampau dan tidak kurang.

Contoh wasatiah di dalam ibadah puasa, ia mesti buka, tidak boleh terus menerus berpuasa.

Begitu juga dengan memakai pakaian yang menutup aurat ini adalah wasatiah, jika mendedahkan aurat maka ini bukan Islam wasatiah.

Umno gagal takutkan Melayu kepada DAP

Muhammad Faizal, 20 Jan 2012

KUALA LUMPUR, 20 Jan: Dengan penyertaan beberapa orang Melayu termasuk orang kuat Umno ke dalam DAP sejak akhir-akhir membuktikan dakwaan Umno bahawa DAP anti Melayu selama ini meleset sama sekali.

Malah kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar (gambar), cubaan Umno menakut-nakutkan orang Melayu terhadap DAP itu ternyata gagal apabila terbaru bekas Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Mohd Hata Wahari menyertai DAP semalam.

Yang lebih menarik lagi, Hata Wahari adalah bekas wartawan Utusan Melayu, organisasi media milik Umno sendiri.

Perkembangan itu juga jelas Mahfuz membuktikan bahawa DAP lebih diyakini oleh sesetengah rakyat termasuk Melayu berbanding Umno dan MCA.

"Kita melihat sekarang ini bahawa DAP lebih baik daripada Umno mahupun rakan mereka MCA yang mana ia diterima oleh semua kaum termasuk orang Melayu itu sendiri.

"Kalau Umno dan juga media mereka mengatakan DAP itu anti kepada orang Melayu ataupun bersikap perkauman adalah fitnah semata-mata," jelasnya.

Semalam, Hata Wahari yang juga bekas wartawan Utusan Malaysia, menjadi orang Melayu terbaru yang menyertai DAP.

Selain itu juga awal bulan ini, penulis blog Sakmongkol AK47 yang juga bekas ADUN Pulau Manis dari Umno dan Mohd Ariff Sabri Aziz yang juga merupakan bekas Ketua Penerangan Umno Bahagian Pekan sehingga tahun 2004 telah terlebih dahulu menyertai DAP.

Turut dikatakan berbuat demikian ialah seorang lagi penulis blog Umno dan veteran parti itu, Aspan Alias.

Mengulas lanjut, Mahfuz yang juga ahli parlimen Pokok Sena berkata Umno sepatutnya menilai kembali sikap rasis di dalam parti mereka sendiri bukannya menuduh orang lain, apatah lagi dengan tujuan menakut-nakutkan orang Melayu.

"Bagaimana DAP yang dikatakan anti kepada orang Melayu boleh menerima kemasukan orang Melayu beragama Islam di dalam parti mereka, apatah lagi individu tersebut merupakan salah seorang kakitangan akhbar Umno sebelum ini.

"Fitnah yang telah dilemparkan oleh Umno selama ini telah gagal, orang Melayu bukannya takut tetapi semakin boleh menerima parti itu (DAP) dalam kehidupan mereka," kata Mahfuz.

Exco agama: Yang pentingnya amanah, kata Mohd Sabu

Harakahdaily, 20 Jan 2012

KUALA LUMPUR, Jan 20: Timbalan Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu (gambar) berkata, bukan semestinya orang belajar agama sahaja yang boleh mengambil tugas Exco hal ehwal agama, tetapi perlukan seorang Muslim yang amanah, jujur dan ikhlas.

Lagipun, katanya, Pembantu Exco Hal Ehwal Agama adalah kekal dipegang Adun PAS iaitu Dr Shafei Abu Bakar (Bangi).

Beliau berkata demikian ketika menyokong hujah Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam isu jawatan exco agama kerajaan Selangor.

Semenjak Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim mengambil alih portfolio Hal Ehwal Agama yang disandang oleh bekas ahli PAS, Datuk Dr Hasan Mohd Ali yang dipecat, media Umno telah bertubi-tubi menyerang isu ini kononnya PAS tidak Islam lagi tanpa portfolio tersebut.

Menjawab serangan tersebut, Mohamad berpendapat langkah Khalid adalah tepat kerana dengan pilihanraya umum yang semakin dekat, adalah perlu untuk satu institusi yang lebih besar untuk mengawal Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

“(Oleh itu), adalah lebih baik untuk Tan Sri Khalid mengambil exco agama. Bukan semestinya orang agama sahaja yang boleh ambil tugas itu, asalkan ia amanah, jujur dan ikhlas.

"Nasib yang melanda (Datuk Seri) Jamil Khir dan (Tan Sri) Muhyiddin Yassin memberitahu kita, yang penting ialah amanah dan takut pada Allah, bukannya siapa yg menduduki satu jawatan,” kata beliau kepada Harakahdaily.

Kedua-dua menteri Umno yang disebut Mohamad itu kini terlibat dalam skandal dakwaan salahguna kuasa dan wang.

Jamil terpalit dengan skandal menggunakan wang zakat untuk membayar kos guamannya, manakala Muhyiddin pula tertekan sebagai menteri yang meluluskan projek RM250 untuk Pusat Fedlot Kebangsaan (NFC) kepada keluarga Ketua Umno Wanita Datuk Seri Shahrizat Jalil.

(Dr Shafei Abu Bakar...Pembantu Exco Hal Ehwal Agama yang kini dipegang portfolionya oleh MB Selangor.)

Awal pagi ini, Tuan Ibrahim menegaskan amanah merupakan benda terpenting dalam memegang jawatan dalam apa bidang sekalipun.

“Dalam satu peringatan Rasulullah kepada Abu Zar Radiallahu'anhu, baginda menyatakan:

"Wahai Abu Zar, sesungguhnya kamu lemah, sedangkan jawatan ini adalah amanah, dan ianya adalah penyesalan di hari akhirat, melainkan kamu menerimanya di atas kelayakan kamu dan kamu menunaikan hak kepada yang berhak menerimanya (tunaikan amanahnya).

"Jelas apa yang penting penyandang adalah mesti seorang yang amanah. Apa makna jawatan tertentu kalau diserahkan kepada golongan agama sekalipun, jika wang zakat pun boleh disalahgunakan seperti yang diledakkan Ketua Audit Negara?” kata beliau.

Menyambung hujah Tuan Ibrahim, Mohamad berkata tiada gunanya sekiranya seorang ustaz diletakkan di sesuatu jawatan “kalau dana zakat yang terang-terang salah boleh dihujahkan sebagai betul.”

“Buat apa? Tapi untuk Umno, lainlah, mereka parti yang suka tegakkan benang basah. Laporan ketua Audit Negara dah kata NFC bermasalah, masih nak buat audit baru untuk confirm audit ketua negara,” sindir beliau.

Muhyiddin yang turut terpalit dengan isu skandal NFC telah secara ironisnya mengumumkan hasrat kerajaan melantik sebuah firma perunding perakaunan bagi tujuan menjalankan penelitian wajar untuk mengaudit projek Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC).

Cadangan tersebut dibantah oleh Jingga 13 dengan alasan Muhyiddin sebagai menteri yang terlibat dalam skandal tersebut sudah tidak mempunyai kredibiliti dan integriti lagi untuk berbuat demikian kerana sudah pasti ia akan menimbulkan prejudis oleh seluruh rakyat Malaysia.

Veteran Umno saman kerajaan negeri Perak

Harakahdaily, 20 Jan 2012

KUALA LUMPUR, 20 Jan: Bekas Ketua Penerangan Umno Bahagian Lumut, Haji Jauhari Bin Yahya hari ini telah memfailkan Saman Semakan Kehakiman ke atas Kerajaan Negeri Perak & dua individu yang lain di Mahkamah Tinggi Malaya, Kuala Lumpur hari ini.

Tindakan ini diambil berikutan kegagalan pihak Kerajaan negeri Perak menggantikan tanah Jauhari yang dibatalkan oleh kerajaan pada tahun 1998.

Tindakan ini dibuat melalui syarikat guaman Tetuan Mohamed Hanipa & Associates.

(Gambar: Haji Jauhari menunjukkan surat yang difailkannya di Mahkamah Tinggi hari ini)

Berdasarkan kajian kes, pada tahun 1997 tanah beliau seluas lima ekar lebih yang dicagarkan kepada Bank Bumiputra Bhd telah dirampas oleh Kerajaan Negeri Perak kerana gagal membayar cukai tanah.

Jauhari telah memohon semula tanah tersebut dan pada bulan Julai 1997 permohonan untuk mendapatkan tanah tersebut telah diluluskan.

Kemudiaan pada 21/2/1998, Jauhari telah mengadakan pertemuan dengan Pengarah Tanah & Galian Negeri Perak dan pihak Bank Bumiputra Bhd.

Semasa pertemuan tersebut Jauhari bersetuju untuk membenarkan kelulusan ke atas tanah tersebut dibatalkan dan pihak Kerajaan Negeri Perak berjanji akan memberi tanah baru bagi menggantikan tanah yang dibatalkan itu.

Selepas tarikh tersebut Jauhari telah banyak kali membuat permohonan untuk mendapatkan tanah baru bagi menggantikan tanah yang dibatalkan tersebut tetapi tiada tanah baru yang diberikan bagi menggantikan tanah tersebut.

Walau pun ada beberapa kali tawaran tanah diberikan kepada Jauhari namun tanah yang ditawarkan berada dilokasi yang tidak sesuai dan tidak sama dengan nilai tanah Jauhari yang dibatalkan.

Pada bulan 12/2011 beliau dimaklumkan permohonan bagi menggantikan tanah yang dibatalkan telah DITOLAK, justeru itu Jauhari memfailkan Semakan Kehakiman bagi membatalkan keputusan Kerajaan Negeri Perak menolak permohonan tersebut.

Tindakan Mahkamah diambil kerana Jauhari begitu lama menunggu untuk diberikan tanah baru bagi menggantikan tanah Jauhari yang dibatalkan.

Jauhari adalah pesara guru dan pada masa ini ahli veteran Umno.

700 bekas tentera sertai Kerabat di P.Pinang

Mohd Sabri Said, 20 Jan 2012
KEPALA BATAS, 20 Jan: Seramai 700 orang bekas tentera mendaftarkan diri dengan Sekretariat Kebajikan Rangkaian Bekas Angkatan Tentera Malaysia (Kerabat) di Pulau Pinang setakat tahun 2011 kata, Pengerusinya, Saudara Azizan Salleh.

Ketika ditemui pada program penerangan Kerabat di Pongsu Seribu, Kepala Batas semalam beliau menambah, Kerabat kini sedang menjelajah ke seluruh pelusuk negeri ini untuk menyampaikan penerangan betapa pentingnya bernaung di bawah Kerabat berbanding Persatuan Bekas Perajurit yang dilihat tidak mampu mengubah nasib ahli.

"Kerabat bakal menjadi penaung pada bekas tentera pula nampaknya sejak akhir-akhir ini apabila ramai yang membuat keputusan mendaftarkan diri. Sikap itu satu petanda yang baik, " katanya.

Hasil penerangan di Pongsu Seribu 23 orang bekas tentera datang mendaftar dan bersedia menjadi ahli yang aktif bagi membantu Kerabat di Pulau Pinang cuma sekadar memberikan mereka wang pencen.

Menurutnya, Kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak bertindak secara kolektif menyedarkan bekas tentera untuk bangun meneruskan penghidupan selepas bersara.

Lazimnya, pesara tentera dalam dilema apabila ingin bersara selepas memberikan perkhidmatan bertahun-tahun lamanya, ekoran bimbang bagaimana untuk meneruskan kehidupan selepas itu.

"Kenapa bekas tentera tidak mengambil peluang yang terbuka luas di depan mata kerana Kerabat bertekad membantu bekas tentera yang selama ini tidak terbela, " tegasnya.

Mereka yang masih dibelenggu pemikiran sempit katanya, tidak perlu bimbang kerana Kerabat akan bertindak dengan adil tidak mengira latar belakang politik bila memberikan bantuan dari Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat.

Lagipun tentunya bekas perajurit tahu bahawa perjuangan dalam ATM bukan mengikut telunjuk orang politik sebaliknya akur di bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Yang Dipertuan Agung.

Beliau sendiri sedih katanya, apabila melihat ada bekas perajurit terpaksa kerja jadi pengawal keselamatan atau kerja yang tidak sepatutnya.

"Tidak dinafikan memang ada yang bekerja sedemikian berbanding dulu dalam tentera mereka orang yang berpangkat.

Tetapi nak buat macam mana bila bersara pendapatan tidak setinggi mana. Ada yang lebih malang bila keluar tentera belum punyai rumah sendiri, " jelasnya.

Aku Jimat: Tekanan baru buat Umno

Harakahdaily, 20 Jan 2012
PARIT BUNTAR, 20 Jan: Permainan terbaru Aku Jimat, bagi pengguna alat elektronik Apple - iPod, iPad dan iPhone dilihat satu lagi kreativiti rakyat yang memberi tekanan kepada Umno BN.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Titi Serong ketika mengulas perkara itu berkata, Aku Jimat yang dipercayai diilhamkan dari watak Datin Seri Rosmah Mansor itu menjelaskan bagaimana tahap 'populariti' isteri Perdana Menteri Malaysia itu.

Menurutnya, dengan permainan yang mula menjadi kegilaan pengguna gajet Apple itu, beliau tidak menolak kemungkinan bahawa Rosmah kini liabiliti kepada Umno dan juga Najib.

"Situasi Umno nampaknya semakin genting dengan perkembangan ini, manakan tidaknya, isteri Presiden Parti sendiri merupakan liabiliti terhadap Umno-BN, dalam masa sama para ahlinya masing-masing membuat pendekatan "yes sir" dan tidak berani kemuka usul itu yang bercanggah dengan kehendak Presiden.

"Aplikasi permainan ini tidaklah khusus direka sempena nama DS Rosmah, tetapi saya yakin ahli Umno dan Rosmah khususnya jika pandang cermin pasti nampak siapakah watak sebenar dalam permainan Aku Jimat," katanya kepada Harakahdaily.

Aku Jimat boleh didapati di App Store sejak 17 Januari lalu.

Aplikasi ini memaparkan watak kartun yang mirip Rosmah, dan paling ketara pada gaya rambutnya.

Aplikasi yang ditawarkan secara percuma ini, membolehkan para pemain berjimat dengan mengumpulkan duit, selain pada masa yang sama perlu membeli 12 jenis barangan mewah, seperti cincin berlian, beg tangan dan sebagainya melaluinya.

Sama seperti permainan-permainan lain, Aku Jimat turut menyertakan beberapa halangan, dimana para pemain perlu mengelak daripada mengumpulkan bom, dimana setiap bom akan menambah jangka umur, dan para pemain akan gagal apabila mengumpulkan sebanyak 99 biji bom.

"Fenomena “penjimatan” oleh Rosmah telah mencetus suasana baru politik tanah air.

"Memandangkan beliau merupakan isteri kepada Perdana Menteri, maka atas nama itu, isu ini telah menjadikannya sebagai tarikan luar biasa sehingga muncul aplikasi permainan telefon pintar yang mirip kisah Rosmah dengan cara belanjanya," katanya.

Negeri diminta tidak serah tanah kepada FGVH

Hazayani Zakaria, 20 Jan 2012

KUALA LUMPUR, 20 Jan: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) menyeru kerajaan negeri tidak menandatangani perjanjian penyerahan tanah Felda Plantation kepada Felda Global Ventures Holding (FGVH) yang akan disenaraikan ke Bursa Malaysia April ini.

Melalui perjanjian itu, tanah Felda seluas 360,067 hektar di bawah kuasa kerajaan negeri akan dipajak selama 99 tahun kerana FGVH kekurangan aset bagi membolehkan penyenaraiannya.

Presiden Anak, Mazlan Aliman (gambar) berkata, kerajaan negeri yang mempunyai Felda sudah menerima surat perjanjian tersebut untuk ditandatangi.

"Kita dimaklumkan, ketika ini surat telah dihantar kepada kerajaan negeri dan terserah kepada negeri untuk menandatanginya.

"Pajakan tanah ini akan menjejaskan aset peneroka sedangkan Felda terus mendapat keuntungan," kata beliau kepada Harakahdaily hari ini.

Semua negeri kecuali Pulau Pinang mempunyai tanah Felda dan Pahang mempunyai tanah Felda paling luas iaitu sebanyak 143,584 hektar.

Sehubungan itu Mazlan berkata, Gerakan Selamatkan Felda (GSF) akan memulakan siri jelajah ke setiap negeri bagi memberikan penerangan mengenai perjanjian tersebut.

Hujung bulan ini, Anak dan GSF akan mendedahkan semua isi kandungan perjanjian tersebut kepada peneroka supaya mereka menyedari bahaya yang menanti jika perjanjian itu diteruskan.

"Bayaran pajakan hanya pada kadar RM251 juta sahaja setahun sedangkan perolehan (Felda) ketika ini sekitar RM2 bilion dan tiada jaminan nilai pajakan boleh dipertahankan jika berlaku kejatuhan harga komoditi," kata Pengerusi Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat itu.

Selain turun menemui peneroka, Anak juga akan bertemu dengan menteri besar dan ketua menteri sendiri bagi membincangkan mengenai perjanjian tersebut sebelum ia ditandatangani.

Mengadap Sultan Pahang

Mengulas gesaan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob agar peneroka menyokong penyenaraian FGVH yang dikatakan bertujuan memperluaskan aktiviti perniagaan Felda, Mazlan menyifatkan ia sebagai agenda tersembunyi.

"Kita yakin kerajaan mempunyai agenda tersembunyi di sebalik penyenaraian ini dan peneroka akan menjadi mangsa.

"FGVH sudah banyak gagal dalam pelaburannya di luar negara, tapi masih diberi kepercayaan," katanya.

Beliau berkata, perbincangan sudah dibuat dengan Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man untuk mengadap Sultan Pahang berhubung isu ini.

"Kita akan mengadap Sultan Pahang supaya perjanjian ini sampai ke pengetahuan Tuanku dan langkah pencegahan boleh diambil," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan