Selasa, 17 Januari 2012

JANGAN YANG MISKIN KIAN TERTINDAS..YANG KAYA DILINDUNGI DAN DIBELA@DIJAGA...TIPU DAN PENYELEWENGAN JIKA SABIT AKHIRAT NERAKA LAH TEMPATNYA..INGAT2LAH

Felda Cahaya Baru: Kamu terimalah akibatnya

Aziz Muda , 17 Jan 2012

ALOR SETAR, 17 Jan: "Sudah tidak boleh buat apa-apa lagi, nasi sudah menjadi bubur. Kamu semua yang menyerahkan tanah-tanah itu kepada syarikat itu untuk dimajukan, jadi sekarang kamu sendirilah yang mesti menerima akibatnya."

Begitulah kata-kata pemimpin-pemimpin Umno apabila 377 peneroka Felda Cahaya Baru di Masai, Johor Bahru, Johor mengadu kepada pemimpin-pemimpin pati itu, setelah menyedari mereka menjadi mangsa penipuan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan tanah-tanah milik mereka tergadai.

Pada hal, kejadian itu berlaku setelah mereka dipengaruhi oleh para pemimpin Umno sendiri agar menyerahkan tanah-tanah milik mereka itu kepada pihak pemaju terbabit dengan janji dan harapan akan menjadi jutawan segera.

Wakil peneroka, Siti Khalijah Mohamad (gambar) berkata, namun apabila tibanya musim pilihanraya, pelbagai janji manis akan ditabur oleh para pemimpin Umno kepada para peneroka terbabit, termasuk akan menyelesaikan masalah yang mereka hadapi, agar mereka memberikan undi kepada Umno BN.

Menurutnya, para peneroka terbabit berada dalam keadaan amat tertekan sejak 17 tahun lalu dan kini ternyata tiada apa lagi yang mampu diharapkan oleh mereka kepada para pemimpin Umno BN.
Khalijah berucap di Konvensyen Kedua Pakatan Rakyat Sabtu lepas dekat sini. Ucapan beliau mendapat perhatian khusus para pemimpin Pakatan Rakyat kerana apa yang dicakapkan beliau adalah suara hati peneroka sendiri.

Tidak percaya Umno lagi



"Terus terang saya katakan, kini para peneroka sudah tidak mempercayai lagi kepada pemimpin-pemimpin Umno BN. Jadi kepada para peneroka lain di seluruh negara, tukarkanlah sokongan anda daripada Umno BN kepada Pakatan Rakyat bagi membela nasib kita sendiri," katanya ketika ditemui Harakahdaily, di sini.

377 peneroka Felda Cahaya Baru kini sedang berhadapan dengan masalah rumit sehingga kemungkinan hilang hak milik ke atas tanah mereka kerana tanah-tanah itu telah digadai oleh pihak pemaju kepada bank.

Kejadian tersebut berlaku apabila 1,495 daripada 3,135 hektar tanah keseluruhannya termasuk kawasan kediaman yang dimiliki oleh 377 peneroka terbabit telah digadai oleh syarikat pemaju, Cahaya Bari Development Berhad (CBDB) kepada sebuah bank tempatan kerana hendak dibangunkan untuk tujuan komersial (projek perumahan dan perindustrian).

CBDB adalah sebuah syarikat yang ditubuhkan pada 1 September 1993 untuk melaksanakan projek pembangunan semula kawasan Felda Cahaya Baru yang dianggotai 13 ahli lembaga pengarah yang terdiri daripada kalangan peneroka.

Bagi membangunan projek komersial itu, CBDB bersama Syarikat Lotus Consolidated (M) Sdn Bhd telah menubuhkan sebuah syarikat usaha sama yang bernama Pinggir Setar (M) Sdn Bhd.

Lotus Consolidated (M) Sdn Bhd telah mendapat pinjaman sebanyak RM100 juta daripada Allied Bank (M) Bhd pada bulan September 1996 dengan mencagarkan tanah-tanah peneroka Felda Cahaya Baru.

Daripada jumlah itu, RM75 juta telah dibayar kepada CBDB, manakala peneroka-peneroka yang telah menyerahkan hak milik mereka kepada CBDB telah menerima RM140,000 tiap-tiap seorang sebagai pembayaran peringkat pertama.

Cadangan pembangunan komersial di Felda Cahaya Baru itu telah mendapat sokongan Kerajaan Negeri Johor ketika itu di bawah pimpinan Menteri Besar, Tan Sri Muhyiddin Yassin, malah Kerajaan Johor sendiri telah bersetuju pada dasarnya pada 7 Jun 1995 bagi tujuan pembangunan tanah Felda Cahaya Baru.

Ini menyebabkan 377 orang peneroka Felda terbabit telah menandatangani surat serah kuasa tanah milik mereka untuk tujuan pembangunan komersial itu, manakala CBDB pula telah menggunakan surat serah kuasa para peneroka itu untuk mendapatkan pinjaman bank.

Bagaimanapun, projek pembangunan komersial di Felda Cahaya Baru itu sehingga kini tidak dapat dimulakan kerana tanah-tanah itu dikategorikan dalam kelas Tanah Rezab Melayu.

Kerajaan Johor pimpinan Menteri Besar sekarang, Datuk Abdul Ghani Othman, bagaimanapun tidak pula membantu peneroka-peneroka terbabit yang kini ternyata tertipu dan teranianya oleh Lembaga Pengarah CBDB yang terdiri daripada pimpinan Umno dan juga janji-janji kosong sokongan awal Kerajaan Negeri Johor terdahulu.

Pada 14 Januari lalu, Khalijah turut menyuarakan perkara yang sama ketika berucap pada acara Ucapan Suara Nurani Rakyat pada Konvensyen Pakatan Rakyat Ke-3 di Stadium Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Ketika berucap bagi mewakili warga Felda pada acara yang dipengerusikan oleh Datuk Johari Abdul itu, beliau menegaskan, pihak pengurusan CBDB masih lagi belum menyelesaikan baki pampasan tanah-tanah tersebut kepada peneroka-peneroka terbabit sehingga sekarang.

Katanya, tujuh peneroka yang menjadi anggota Lembaga Pengarah CBDB itu pula tidak menyerahkan surat kuasa bagi tanah mereka kepada bank, sedangkan 377 peneroka lain sudah berbuat demikian dan ini menjadikan tanah-tanah milik tujuh ahli Lembaga Pengarah CBDB itu tidak digadai.

"Maklumat berhubung pembangunan semula tanah-tanah peneroka secara komersial itu tidak dijelaskan secara terperinci kepada peneroka ketika mereka bersetuju menandatangani surat serah kuasa tanah milik mereka kepada CBDB.

"Beberapa ahli lembaga pengarah CBDB itu ternyata mempunyai kepentingan sendiri yang cuba dilindungi ketika memujuk peneroka-peneroka menandatangani surat serah kuasa," katanya.

Oleh kerana projek pembangunan itu tidak dapat dijalankan, tambahnya, tuntutan utama para peneroka itu kini adalah untuk mendapatkan kembali hak milik mereka ke atas tanah-tanah mereka yang telah tergadai itu.

"Mereka menuntut untuk membatalkan surat kuasa yang telah mereka tandatangani itu. Namun, sikap Kerajaan Negeri Johor yang mahu lepas tangan dan mengelakkan diri daripada memikul tanggungjawab itu amatlah dikesali, sehingga menyebabkan para peneroka terbabit terus berada dalam keadaan amat tersepit sehingga sekarang," tegas beliau.

BN Sabah dicabar isytihar harta

Mohd Firdaus, 17 Jan 2012

KOTA KINABALU, 17 Jan: Pemuda PAS Sabah hari ini mencabar Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman serta semua Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) Sabah mengisytiharkan harta peribadi dan keluarga masing-masing bagi memudahkan rakyat menilai tahap dan jurang perbezaan antara rakyat dan pemimpin.

Ketuanya, Lahirul Latigu (gambar) berkata, pemimpin Sabah tidak seharusnya ‘bercakap besar’ dan perlu membuktikan bahawa taraf hidup mereka menepati citarasa rakyat.

“Cakap besar kita tidak mahu. Cukuplah cakap-cakap Umno/ Bn berjuang kebajikan rakyat.

“Kita (PAS) mahu, mereka isytihar harta masing-masing,” ujarnya.

Menurutnya, langkah pengistiharan harta yang dibuat oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang terhadap barisan kabinet exconya baru-baru perlu diberi pujian kerana mencerminkan keprihatinan sebuah kerajaan terhadap rakyat.

“Ini membuktikan bahawa kerajaan Pakatan Rakyat serius membangunkan kebajikan rakyat. Kita tidak hanya beromongan kosong, malah membuktikan bahawa kita benar-benar telus dan terus kepada rakyat.

“Rakyat boleh menilai secara seluas-luasnya. Tiada halangan dan tiada sembunyi-sembunyi,” katanya.

Katanya, pemimpin Umno/BN di negeri ini khususnya tidak perlu berasa terbeban dan teragak-agak untuk menyenarai dan mempamerkan harta masing-masing, jika mereka benar-benar pemimpin sejati yang memiliki jiwa rakyat.

“Mereka tidak perlu gusar. Pemimpin Umno/BN mesti berani, sebagaimana mereka berani terhadap rakyat,” ujar Lahirul.

Jejak Pulau Pinang

Pada 12 Januari lalu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan ahli exco Majlis Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mengisytiharkan harta mereka secara terbuka. Bagaimanapun, pegawai ex-officio seperti Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri dan Pegawai Undang-Undang Negeri tidak diwajibkan berbuat demikian.

Lim Guang Eng memiliki pelaburan dalam Amanah Mutual Bhd yang menunjukkan sedikit peningkatan dari 112,843 unit kepada 124,845 unit antara Mac 2008 dan akhir tahun lalu, pelaburan Dana Public Mutual miliknya meningkat dari 10,000 unit hingga 25,989 unit manakala simpanan tetapnya menunjukkan kenaikan daripada RM245,000 hingga RM298,785. Pelaburan lain iaitu sebanyak 8,000 unit tidak menunjukkan peningkatan dari tahun 2008.

Lim juga memiliki dua rumah kedai di Melaka, satu daripadanya adalah harta milik bersama yang bernilan RM435,000 dan satu lagi bernilai RM530,000. Beliau turut membuat pinjaman sebanyak RM650,000 bagi membayar hartanah itu.

Exco Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna yang juga ADUN Batu Maung Datuk Abdul Malek Kassim hanya mempunyai sebuah kereta Proton Tiara bernilai RM36,000 dan Honda CRV 2.0 berharga RM143,000 yang baru dibeli menggunakan pinjaman kerajaan negeri. Beliau merupakan antara exco yang tidak berharta.

Hasil pengisytiharaan tersebut juga mendapati Exco Kebajikan, Kesihatan dan Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh menjadi exco paling kaya iaitu memiliki tanah dan rumah di New Zealand bernilai RM1.39 juta, kereta Alphard bernilai RM169,000 dan beberapa unit saham.

Kata Lahirul, Pakatan Rakyat Sabah juga bersedia untuk mengisytiharkan harta masing-masing sekiranya berjaya mentadbir negeri ini.

NFC pertikai wibawa PAC?

Harakahdaily, 17 Jan 2012

KUALA LUMPUR, 17 Jan: PAS menyelar tindakan Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC) mempertikaikan hasil siasatan Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) bahawa syarikat itu menerima sejumlah wang untuk projek lembu sebelum kontrak dimeterai.

Kenyataan NFC itu kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar, seolah-olah cuba memberi gambaran bahawa dapatan PAC berhubung isu itu tidak benar sama-sekali.

"PAC komiti yang dilantik oleh parlimen yang membuat rumusan hasil maklumat daripada pegawai kementerian pertanian yang dipanggil memberi penjelasan.

"Kenyataan NFC itu nampaknya cuba mempertikai anggota PAC dan juga pegawai kementerian pertanian yang terlibat dengan soal siasat isu 'lembu gate' ini," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau mengulas kenyataan NFC hari ini bahawa perjanjian pinjaman antara kerajaan yang diwakili oleh Kementerian Kewangan dan Perbadanan Fidlot Kebangsaan Sdn Bhd telah ditandatangani pada 6 Disember, 2007 dan bukannya pada tahun 2010 seperti didedahkan PAC sebelum ini.

Menyifatkan dakwaan tersebut 'tersilap lapor' NFC menjelaskan, pengeluaran pertama wang sebanyak RM7 juta dibuat pada Januari 2008.

Masalah NFC mula dikesan apabila Ketua Audit Negara dalam laporan berkata, NFC mempunyai masalah apabila sasaran yang ditetapkan untuknya gagal dicapai.

NFC diberikan pinjaman mudah kerajaan sebanyak RM250 juta untuk membolehkan negara mengurangkan pergantungan kepada daging import. Namun ia gagal dicapai dan didapati syarikat diamanahkan ini menjalankan urusan bukan sepatutnya.

Ekoran itu, pelbagai pembongkaran dibuat yang antaranya pembelian kondo di Bangsar dan Singapura oleh NFC di samping membeli kereta mewah dan pelancongan mewah.

Didedahkan juga NFC menjadi syarikat anak beranak Datuk Seri Shahrizat Jalil dengan suaminya menjadi pengerusi manakala anak-anaknya menjadi pengarah-pengarahnya dengan gaji masing dari RM30,000 hingga RM100,000 sebulan.

Mengulas lanjut, Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, pegawai pertanian yang terlibat dengan soal siasat PAC biasanya akan melalui prosedur mengangkat sumpah untuk memberi maklumat benar.

"Soalan saya, adakah NFC nak tuduh pegawai pertanian ini berbohong?

"Adakah NFC juga nak kata pengerusi PAC Tan Sri Azmi Khalid yang juga bekas anggota kabinet berbohong,"soalnya lagi.

November lalu, Tan Sri Azmi Khalid berkata selepas menyoal-siasat beberapa pegawai Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Kementerian, pihaknya mendapati bahawa pinjaman dikeluarkan pada 2009 sedangkan kontrak itu dimeterai setahun kemudian iaitu pada tahun 2010.

Azmi berkata masalah lain dengan NFC yang dikesan oleh PAC, adalah termasuk pengurusan yang lemah, kelewatan dalam memberikan kelulusan dan perubahan dalam matlamat syarikat.

"Kenyataan NFC ini menguatkan lagi tuntutan PAS, bahawa perlu ditubuhkan Suruhanjaya Diraja.

"Hanya Suruhanjaya Diraja sahaja yang boleh menyiasat keseluruhan isu ini," katanya.

Di antara hambar dan tidur

Roketkini.com, 17 Jan 2012

Komentar

Para pemerhati dan pengkritik Pakatan Rakyat, khususnya dari media kawalan UMNO-Barisan Nasional, sekali lagi memuntahkan hujah-hujah lapuk dalam usaha memperlekehkan usaha memartabkan rakyat. Acuan kritikan mereka datangnya dari budaya politik UMNO-BN masa kini.

Mereka yang sudah biasa menyalahgunakan wang rakyat untuk menyewa bas dan membayar “peserta” mengukur prestasi kehadiran perwakilan di Konvensyen Pakatan Rakyat Ketiga di Alor Setar, Kedah hujung minggu lalu, dengan timbang kati mereka sendiri.

Mereka tidak dapat membezakan jumlah perwakilan konvensyen dengan ceramah perdana. Bagi mereka, kedua-duanya sama sahaja. Yang mereka faham, jumlah menunjukkan kekuatan.

Hambar

Maka perkataan “hambar” digunakan untuk menggambarkan isi kandungan konvensyen yang diadakan buat kali ketiga setelah Pakatan Rakyat mengejutkan UMNO-BN dari lena yang panjang dalam pilihan raya umum 2008.

“Hambar” kerana mungkin para pemerhati tidak berada di dalam dewan konvensyen tempoh hari atau sekadar mengulas dengan membaca propaganda mereka sendiri yang terpapar dalam lidah rasmi UMNO, Utusan Malaysia, TV3 dan pelbagai media kawalan UMNO-BN.

“Hambar” juga kerana mereka sudah terlalu biasa dengan budaya menjerit dan memaki-hamun orang lain, termasuk yang sudah banyak kali didengar dalam perhimpunan agung UMNO di mana para penyokong dan ahli DAP pernah digelar “bangsat”.

“Hambar” mungkin turut diperkatakan kerana mereka tidak melihat keris dihunus, tidak mendengar menteri dari parti merteka mempertahankan skandal “duit ternak lembu digunakan beli kondo” dan tidak menyaksikan sendiri pucuk pimpinan mereka mendakwa ekonomi negara masih segar bugar hari ini.

Para pengkritik hanya mampu mengulangi kata-kata basi pemimpin mereka terhadap Pakatan. Selain hambar, “kitar semula” menjadi kosa kata pujaan propagandis UMNO-BN.

Segala ucapan dan kertas kerja pimpinan dan ahli Pakatan dilihat mereka sebagai “kitar semula”. Tajam betul penglihatan mereka melihat kuman di seberang laut. Padahal “kitar semula” pucuk pimpinan mereka, termasuk meniru agenda dan manifesto Pakatan, terserlah bagai gajah di depan mata mereka.

Tidur

Sebagaimana politik UMNO-BN, kewartawanan dan daya penulisan propaganda acuan agenda kaum tidak memerlukan banyak buah fikiran. Sekadar catat sahaja apa yang diludahkan para pemimpin.

Maka kritikan dan kewartawanan “tidur” adalah yang paling mudah untuk dilakukan. Tidak perlu befikir, tidak perlu bersoal jawab, tidak perlu soalan-soalan yang mencengkam fikiran.

Sepanjang Konvensyen Pakatan Rakyat Ketiga itu, empat kertas kerja utama dibentangkan. Ia telah memperincikan empat perkara utama yang menjadi permasalah besar kepada rakyat, khususnya yang berpendapatan rendah dan sederhana rendah.

Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa telah membawakan isu penjawat awam dan perkhidmatan awam yang bertujuan mengangkat martabat kakitangan kerajaan supaya menjadi antara yang terbaik di dunia.

Beliau memperincikan tentang sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang tidak adil dan menindas kakitangan yang berpendapatan rendah. Beliau mencadangkan usaha untuk mengatasi masalah itu, termasuk meletakkan para guru pada kedudukan dan kemuliaan profesyen mereka.

Ketua Pemuda DAP Anthony Loke membawakan isu federalisme (persekutuan) yang menggariskan hak-hak negeri yang selama ini dipinggirkan oleh kerajaan pusat UMNO-BN, termasuk cara-cara mengatasi kemelut itu.

Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim pula memperjelaskan isu anti-monopoli yang mana selama ini hanya kroni-kroni BN mengaut hasil sedangkan rakyat dipinggirkan. Beliau memberi contoh-contoh kejayaan pentadbiran Pakatan di Selangor.

Pengerusi Biro Felda dan Orang Asal PKR Pusat Suhaimi Said membawakan isu Felda dan penyenaraian Felda Global Ventures yang menimbulkan masalah kepada peneroka tanah rancangan itu serta kesannya kepada ekonomi negara, khususnya tekanan ekonomi yang dihadapi oleh orang Melayu.

Tentunya para pengkritik yang taksub dengan UMNO-BN telah lali dengan perhimpunan parti-parti yang mereka sokong itu di mana mereka lebih selesa “tidur” kerana tiada apa yang penting kepada rakyat yang boleh mereka tela’ah sewaktu persidangan.

Impian dan hakikat

Tidak dinafikan Pakatan Rakyat juga pernah terperangkap dalam acuan persidangan-persidangan sebelum ini yang biasanya bersifat retorika, seolah-olah ia adalah lanjutan daripada ceramah-ceramah perdana. Sesekali sedemikian tidak ada salahnya.

Namun jika semua persidangan atau konvensyen bersifat ceramah, lama-kelamaan para ahli dan pemimpin akan terjerat dengan propaganda ciptaan sendiri.

Justeru, Konvensyen Pakatan Rakyat Ketiga telah berjaya keluar dari perangkap lazim. Daripada empat kertas kerja yang dirumuskan menjadi Tawaran Jingga – juga sebagai lanjutan dan perincian Buku Jingga – ia memulakan langkah ke arah fokus sebenar, yakni demi kepentingan rakyat semata-mata.

Memang suara-suara “menuju Putrajaya” gah berkumandang. Ia hanya seruan semangat. Namun ia dilapik dengan kenyataan bahawa bukan sesuatu yang mudah dan memerlukan lebih banyak pengorbanan untuk mencapai impian tersebut.

Di sebalik kata-kata semangat itu, sudah terpancar fokus untuk mengatasi kemelut ciptaan UMNO-BN yang sudah terlalu selesa dengan kedudukan di tampuk kuasa sehingga rakyat dipandang enteng demi mengkayakan lagi keluarga, kroni dan konco mereka.

Hanya mereka yang sudah biasa “tidur” nyenyak dengan “kitar semula” UMNO-BN akan melihat Konvensyen Pakatan Rakyat Ketiga sebagai “hambar”.

Hapus PTPTN: Kelantan kumpul data peminjam

Harakahdaily, 17 Jan 2012

KOTA BHARU, 17 Jan: Exco Kerajaan Negeri Kelantan Datuk Husam Musa (gambar) memberitahu, Kerajaan Negeri Kelantan telah menggerakkan usaha mengenal pasti peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), untuk dihapuskan hutang mereka jika Pakatan Rakyat menerajui Putrajaya.

Katanya, Unit Perancang Ekonomi Negeri (Upen) telah diarah untuk mengumpul data mereka yang terlibat.

“Negeri lain saya tidak tahu, tetapi di Kelantan kita mempunyai royalti minyak dan ia membolehkan hutang berkenaan dihapuskan,” katanya ketika menghadiri Majlis Pengumuman Pembangunan Kota Bharu Sentral @ Tunjong di Hotel Rennaisance, dekat sini, semalam.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan
negeri berkata, hutang yang akan dilupuskan itu melibatkan jumlah yang dipinjam oleh pelajar berkenaan sejak tahun 2005 hingga sekarang.

Dalam perbahasannya di Konvensyen Pakatan Rakyat kali ke-3 di Alor Setar Sabtu lalu, Husam menawarkan bahawa negeri Kelantan akan menghapuskan hutang yang ditanggung warganya daripada PTPTN jika Pakatan Rakyat menang pada PRU-13 nanti.

Husam membayangkan, bayaran itu akan dibuat sebaik Kelantan berjaya menuntut bayaran royalti minyak daripada kerajaan persekutuan yang pada waktu itu diterajui Pakatan Rakyat.

Husam berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja untuk memperkasa perkhidmatan awam – satu tawaran yang dilancarkan Pakatan dalam manifesto Tawaran Jingga.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan