Selasa, 17 Januari 2012

BILA TAK AMANAH...PILIH KASIH...DOUBLE STANDARD....PENTINGKAN DIRI...KAYAKAN KRONI DLL JADI PRINSIP IA AKAN MUSNAHKAN SEMUA...TUNGGU AJE LAH

1,000 peneroka Kesedar berhimpun tuntut keadilan

M Faqih Foto Rizal Tahir, 17 Jan 2012

GUA MUSANG, 17 Jan: Selepas lebih 30 tahun berdepan dengan pelbagai tekanan sehingga kebajikan terabai, akhirnya peneroka Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) menyerah memorandum menuntut hak mereka.

Memorandum yang mengandungi 15 tuntutan peneroka daripada sembilan rancangan kemajuan (RKT) tanah Kesedar diserah Pengerusi Badan Bertindak Pewaris Bumi Wilayah (Waris) Kesedar Kelantan, Hamdan Jusoh pagi tadi.

Memorandum setebal tiga muka surat itu diterima Pengurus Besar Kesedar, Arshad Ismail selepas majlis dialog dengan wakil-wakil peneroka.

Sebelum itu lebih 1,000 peneroka daripada sembilan RKT terbabit berarak bermula di Pejabat Agama Gua Musang menuju ke ibu pejabat Kesedar di Bandar Baru Gua Musang.

Mereka hadir beramai-ramai sebagai memberi sokongan kepada Waris bagi membela nasib mereka, selepas mendakwa sekian teraniaya di bawah pengurusan Kesedar.

Perarakan sejauh kira-kira 200 meter diketuai Hamdan. Hadir sama Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Kebangsaan, Mazlan Aliman, Pengerusi Waris Pusat, Ruslan Ismail dan Penyelia Parlimen Gua Musang, Ustaz Abdullah Hussin.

Antara tuntutan yang dikemukakan Waris termasuk menghapus hutang peneroka Kesedar seperti mana yang dijanjikan, Kesedar hendaklah berlaku adil dalam setiap pembahagian peruntukan projek dan bantuan.

Selain itu Kesedar harus memberi 10 ekar kepada peneroka, peneroka perlu tahu ke mana wang hasil ladang sawit dan getah.

Ketika ditemui pemberita selepas itu Ruslan berkata, Kesedar perlu memberi penjelasan terperinci kos yang ditanggung peneroka bagi proses tanam semula.

“Peneroka ingin tahu ke mana hasil ladang Kesedar diurus oleh Kesedar Dagang. Kesedar juga perlu menjelaskan ke mana wang pampasan yang dibayar kerajaan untuk tanah peneroka yang terlibat dengan jalan, kabel elektrik dan sebagainya.

“Kesedar juga perlu menjelaskan kos tanam semula bagi setiap hektar kebun. Kami juga memohon Kesedar membayar balik wang lebihan dan hutang yang telah dibayar melalui potongan bayar kembali (BK),” katanya.

Selain itu kata beliau Kesedar perlu menyerah balik jawatan pengerusi Kesedar kepada Menteri Besar Kelantan.

Salinan memorandum yang sama diserah kepada Sultan Kelantan, Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Menteri Besar Kelantan dan pengurus Pejabat Operasi RKT Kesedar.

Perhimpunan aman yang diadakan di kawasan ibu pejabat Kesedar mendapat permit polis. Ada beberapa anggota polis berkawal di pintu masuk ke pejabat Kesedar.

Hanya lima wakil peneroka dan kepimpinan Anak dan Waris sahaja dibenarkan masuk.

Sejurus selepas selesai majlis tersebut, seorang peneroka dari Paloh 3, Hamid Awang Kechik, 54 membuat laporan polis ekoran kebun sawitnya seluas ditebang Kesedar biar pun beliau tidak mengizinkan bagi projek tanaman semula.

Sebahagian peneroka yang hadir turut hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang bagi memberi sokongan kepada Hamid.

Hamid juga meluahkan rasa bimbang perjanjian kedua yang diminta ditandatangani setiap peneroka menyebabkan kebun diusahakan selama ini hilang begitu sahaja.

Stadium: Jawapan kerajaan T'ganu amat mendukacitakan

Aziz Muda, 17 Jan 2012

KUALA LUMPUR, 17 Jan: Rakyat Terengganu kini semakin hairan dengan pentadbiran kerajaan negeri itu kerana masih gagal membiaki Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang runtuh sejak tiga tahun lalu.

Dengan masa selama itu dan disertai pula dengan penggunaan wang rakyat yang terlalu banyak untuk membaiki stadium tersebut, segala alasan yang diberikan oleh pihak kerajaan berhubung perkara itu semakin tidak boleh diterima oleh orang ramai.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut (gambar) berkata, beliau sendiri seperti juga keseluruhan rakyat Terengganu turut hairan dengan cara bertindak kerajaan negeri berhubung perkara itu.

Menurutnya, untuk mengetahui perkembangan perancangan yang dibuat, beliau sudah beberapa kali bertanya kepada pihak kerajaan negeri mengenai perkara itu pada persidangan Dun Terengganu.

"Tetapi jawapan yang diberikan memang amat mendukacitakan iaitu kerajaan negeri masih lagi menunggu laporan dari pihak perunding yang dilantik.

"Soalnya, sampai bila nak tunggu laporan dari perunding? Sedangkan masa yang diambil dah terlalu lama sehingga masuk tahun ini dah tiga tahun. Jadi nak tunggu sampai bila lagi?" katanya ketika dihubungi Harakahdaily, di sini, hari ini.

Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin dibina pada tahun 2008 semasa Terengganu menjadi tuan rumah Sukan Malaysia (Sukma) dan dirasmikan oleh Sultan Terengganu yang juga Yang di-Pertuan Agong Ke-13, Sultan Mizan Zainal Abidin pada 10 Mei 2008.

Terletak di Gong Badak, Kuala Terengganu dan boleh memuatkan 50,000 penonton, stadium pelbagai guna yang menelan belanja RM228 juta itu merupakan yang terbesar di Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

Bagaimanapun, pada 2 Jun 2009 lalu, kejadian yang amat mengaibkan telah berlaku apabila bumbung utama stadium itu telah runtuh yang menyebabkan kerosakan teruk sehingga 50 peratus daripada strukturnya musnah.

Menurut Abdul Wahid, sejak kejadian itu berlaku, seluruh rakyat Terengganu ternanti-nanti tindakan sewajarnya dari kerajaan negeri bagi membaiki stadium itu.

"Untuk itu, kerajaan negeri juga telah melantik sebuah syarikat perunding dengan memperuntukkan RM2.2 juta bagi urusan kajiannya sahaja.

"Hingga sekarang masih tak ada apa-apa juga lagi. Malah bumbung yang masih berbaki pada stadium itu juga masih belum dibuang. Sedangkan wang rakyat yang telah dibazirkan dah terlalu banyak," katanya yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu.

Lebih menghairankan, menurut beliau, apabila kerajaan Terengganu kini turut merancang untuk membuat projek mega dengan cadangan membina menara berkembar pula di muara Sungai Terengganu seperti yang dicadangkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.

Projek tersebut pada dasarnya telah dipersetujui oleh kerajaan negeri pada Jun tahun lalu dengan cadangan untuk membina menara berkembar setinggi 30 tingkat di kawasan zon strategik seluas 16.2 hektar di bandar raya itu.

"Stadium yang dibina dah runtuh. Puncanya kerana dikatakan strukturnya tidak kuat oleh sesetengah pihak. Hingga sekarang tak pun dibaiki lagi stadium itu, tetapi nak buat menara berkembar setinggi 30 tingkat pula. Nanti menara itu pula yang runtuh.

"Pada hal semua itu tak pun memberikan manfaat dari segi kewangan kepada rakyat. Semua itu ternyata hanyalah membazirkan wang rakyat semata-mata," ujar beliau kesal.

Pak Samad dilantik pengerusi bersama Bersih 2

Nazri Abdullah, 17 Jan 2012

KUALA LUMPUR, 17 Jan: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2) secara rasmi hari ini mengumumkan Sasterawan Negara Datuk A Samad Said dilantik Pengerusi Bersama gabungan itu.

Pengumuman itu dibuat Pengerusinya, Datuk Ambiga Sreenevasan pada satu sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor di sini hari ini.

A.Samad Said atau Pak Samad ketika diminta mengulas perlantikan itu berkata, beliau menerimanya dengan kewajipan yang sangat besar untuk memastikan pilihan raya berjalan atas landasan demokrasi sebenar.

"Sepanjang ini saya cuma mengikuti dan menyokong (Bersih). Akhir-akhir ini saya rasa dapat beri sumbangan lebih kepada Bersih.

"Ini kewajipan sangat penting, membersihkan (pilihan raya) mengikut landas demokrasi. Jadi saya fikir sudah waktunya saya ikut beri sumbangan," katanya.

Pada himpunan bersejarah Bersih 2, yang berlangsung 9 Julai tahun lalu, Pak Samad dilihat memberi sumbangan besar menggerakkan rakyat untuk turun bersama pada himpunan tersebut.

Tidak cukup dengan itu, sajak khas ciptaanya yang bertajuk "Unggun Bersih" turut menjadi pembakar semangat khususnya anak muda untuk turun menuntut pilihan raya bebas dan adil.

Wakil anak muda

Dalam pada itu, pada sidang media sama, Ambiga juga turut mengumumkan perlantikan Pengerusi Solidariti Mahasiswa (SMM) Ahmad Shukri Abdul Razab sebagai wakil anak muda dalam ahli jawatankuasa gabungan itu.

"Bersih 2 menamakan Ahmad Shukri untuk menyediakan ruang kepada anak muda terlibat dengan kempen reformasi pilihan raya dan hak demokrasi," katanya.

Bersih 2.0 lancar JOM 100, sasar 100% keluar mengundi

Nazri Abdullah, 17 Jan 2012

KUALA LUMPUR, 17 Jan: Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih 2.0) hari ini melancarkan kempen terbaru mereka yang diberi nama JOM 100.

Pengerusi bersamanya, Datuk Ambiga Sreenevasan pada sidang media hari ini berkata, kempen JOM 100 bertujuan mengajak seramai mungkin pengundi berdaftar untuk keluar mengundi bagi mencapai sasaran 100 % keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 akan datang.

Pada PRU ke-12 tahun 2008, seramai 8.16 juta rakyat menunaikan tanggungjawab mereka mengundi untuk memilih wakil rakyat masing-masing.

Jumlah itu merangkumi 76% pengundi berbanding jumlah keseluruhan yang layak mengundi iaitu seramai 10.7 juta.

Jumlah itu tidak termasuk hampir 7 juta lagi yang berumur lebih 21 tahun yang tidak mengundi ekoran tidak mendaftar sebagai pengundi.

"Kempen ini akan dijalankan ke seluruh negara. Kita akan didik rakyat untuk menunaikan hak mereka.

"Kita akan tekankan betapa penting untuk mereka keluar mengundi," katanya sambil memaklumkan kempen jelajah mereka akan bermula selepas perayaan Tahun Baru Cina.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor di sini pagi ini.

Turut serta pada sidang media itu, Pengerusi Bersama Bersih yang baru dilantik, Datuk A.Samad Said.

Selain mekanisma forum, kempen itu juga akan memaksimakan penggunakan jaringan media sosial seperti Facebook, Twitter dan web.

Menurut Ambiga lagi, sasaran 100% keluar mengundi adalah tidak mustahil untuk dicapai jika rakyat mendapat kesedaran itu.

Malah ujarnya, apa yang lebih penting, jika lebih ramai keluar mengundi, ianya diyakini dapat mengatasi segala manipulasi pilihan raya oleh pihak tertentu.

Kempen ini juga kata Ambiga, turut mensasarkan pengundi yang berada di luar negara agar pulang menunaikan tanggungjawab mereka.

"Kami seru kepada rakyat Malaysia yang berada di luar negara, tolong balik dan mengundi," katanya.

Najib hanya berani di gelanggang sendiri, kata Idris

Harakahdaily, 17 Jan 2012

KUALA LUMPUR, 17 Jan: Kegagalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak untuk menjawab cabaran berdebat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim membuktikan dia hanya berani di gelanggang sendiri.

Demikian simpul AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad (gambar) dalam satu kenyataannya hari ini.

"Cabaran Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk berdebat dengan Datuk Seri Najib yang mengatakan negara ini akan bankrap masih tidak bersahut.

"Nampaknya pemimpin Umno hanya berani digelanggang sendiri tanpa lawan, tetapi pengecut untuk berdebat secara ilmiah mengenai masa depan negara," kata beliau dalam kenyataannya itu.

Anwar mencabar Najib berdebat tentang janji Pakatan Rakyat ekoran kenyataan Najib yang mempertikaikan janji itu.

Sedangkan, bagi Anwar janji itu boleh dilaksanakan dan wajar sekali.

Konvensyen PR kali ketiga sudah selesai pada 14 Januari 2012 di Stadium Suka Menanti Alor Setar Kedah.

Ia merupakan satu lonjakan kepada PR untuk menghadapi PRU akan datang bagi menawan Putrajaya.

Bagi beliau, usaha BN untuk melihat PR berpecah gagal, malahan hubungan PR semakin akrab.

Pemimpin BN semakin gerun melihat pencapaian empat kerajaan PR yang terbukti dan teruji, katanya.

"Ia bukan retorik tetapi mampu untuk melaksanakan sehingga mendapat pujian daripada Ketua Audit Negara," katanya.

Baginya, rakyat sudah mula berfikir jika PR mampu mengurus negeri, walaupun dengan kekangan kewangan maka sudah pasti PR lebih mampu jika diberi mandat untuk memerintah di peringkat pusat.

Kerana hasil petrolium, bijih, getah, sawit, mutiara, balak,cukai,air,emas, pasir putih, batu semuanya akan dikendalikan dengan baik dan dikembali kepada rakyat untuk dinikmati.

Janji 10 perkara

Lebih menggerunkan apabila komitmen PR dengan janji 10 perkara dalam masa 100 hari.

Tujuannya ialah supaya rakyat tidak perlu menunggu selama lima tahun untuk melihat perubahan yang akan dibawa di negara ini, katanya.

Sebenarnya, kata Idris, sebahagian besar 10 perkara sudah dilaksanakan di negeri PR sekarang.

Contohnya pemberian RM500.00 setiap bulan kepada guru-guru telah dilaksanakan oleh Selangor kepada guru-guru KAFA daripada RM1000.000 kepada RM1300.00.

Walaupun tidak RM500.00 sekurang-kurang sebagai permulaan. Kedua wifi percuma akan dilaksanakan di Selangor.

Ketiga memulangkan konsesi air kepada rakyat, perkara in sudah berjalan di Selangor. Ini membuktikan kemampuan PR untuk menguruskan negara walaupun mempunyai kekangan kewangan.

"PR sudah iltizam jika diberi mandat untuk memerintah negara, keesokan hari harga minyak akan diturunkan, dalam masa dua minggu tarif letrik akan diturunkan, dalam masa 100 hari tol akan dihapuskan," tegasnya.

Pakatan lebih mampu tadbir pusat jika diberi mandat

Harakahdaily, 17 Jan 2012

KUALA LUMPUR, 17 Jan: Cabaran Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk berdebat dengan Datuk Seri Najib yang mengatakan negara ini akan bankrap masih tidak bersahut, kata AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad (gambar).

“Nampaknya pemimpin Umno hanya berani di gelanggang sendiri tanpa lawan, tetapi pengecut untuk berdebat secara ilmiah mengenai masa depan negara,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Mengulas Konvensyen PR kali ketiga yang sudah selesai pada 14 Januari lalu di Stadium Suka Menanti, Alor Setar, beliau berkata ia merupakan satu lonjakan kepada PR untuk menghadapi PRU akan datang bagi menawan Putrajaya.

Menurutnya, usaha BN untuk melihat PR berpecah gagal, malahan hubungan PR semakin akrab.

Katanya, pemimpin BN semakin gerun melihat pencapaian empat kerajaan PR yang terbukti dan teruji.

Beliau menambah, ia bukan retorik tetapi mampu untuk melaksanakan sehingga mendapat pujian daripada Ketua Audit Negara.

“Rakyat sudah mula berfikir jika PR mampu mengurus negeri, walaupun dengan kekangan kewangan, maka sudah pasti PR lebih mampu jika diberi mandat untuk memerintah di peringkat pusat,” katanya lagi.

Ini, katanya kerana hasil petroleum, bijih, getah, sawit, mutiara, balak, cukai, air, emas, pasir putih, batu semuanya akan dikendalikan dengan baik dan dikembali kepada rakyat untuk dinikmati.

Tambahnya, lebih menggerunkan apabila komitmen PR dengan janji 10 perkara dalam masa 100 hari.

Tujuannya, kata beliau ialah supaya rakyat tidak perlu menunggu selama lima tahun untuk melihat perubahan yang akan dibawa di negara ini.

“Sebenarnya sebahagian besar 10 perkara sudah dilaksanakan di negeri PR sekarang,” katanya.

Contohnya, kata beliau lagi pemberian RM500 setiap bulan kepada guru-guru telah dilaksanakan oleh Selangor kepada guru-guru Kafa daripada RM1,000 kepada RM1,300.

Menurutnya, walaupun tidak RM500, sekurang-kurang sebagai permulaan.

Selain itu, katanya wifi percuma akan dilaksanakan di Selangor di samping memulangkan konsesi air kepada rakyat.

“Perkara ini sudah berjalan di Selangor. Ini membuktikan kemampuan PR untuk menguruskan negara walaupun mempunyai kekangan kewangan,” katanya.

Jelasnya lagi, PR sudah beriltizam jika diberi mandat untuk memerintah negara, keesokan hari harga minyak akan diturunkan.

“Dalam masa dua minggu tarif elektrik akan diturunkan, dalam masa 100 hari tol akan dihapuskan,” katanya.

Pemuda PAS Wilayah buat laporan polis isu zakat

Hazayani Zakaria, 17 Jan 2012

KUALA LUMPUR, 17 Jan: Pemuda PAS Wilayah Persekutuan hari ini membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi berhubung dakwaan salahguna wang zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Laporan atas nama Ketua PAS Wilayah Persekutuan, Kamaruzaman Mohamad itu dibuat terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Pengarah Jawi, Datuk Che Mat Che Ali.

Jamil, Che Mat dan Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan Shamsuddin Hussain melantik syarikat guaman Zainul Rijal Talha dan Amir bertarikh 28 Januari 2010 bagi mewakili mereka dalam kes tuntutan qazaf bertujuan menghalang kes melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dibicarakan di Mahkamah Syariah.

Bercakap kepada pemberita selepas laporan dibuat, Kamaruzaman mendesak pihak polis menyiasat dan mengambil tindakan undang-undang terhadap MAIWP, Jamil dan Che Mat.

"Bukti mengenai salahguna wang zakat oleh menteri dan pengarah Jawi ini sangat besar dan perlu disiasat segera kerana melibatkan wang rakyat.

"Di Wilayah Persekutuan ini ramai lagi golongan yang memerlukan sukar untuk menerima zakat, tiba-tiba menteri menggunakan wang ini untuk kepentingan peribadi," kata beliau.

Kamaruzaman merujuk kepada bukti yang didedahkan PKR minggu lalu mengenai perkara tersebut.

Ianya merupakan set dokumen daripada MAIWP sendiri termasuk baucar bayaran bernombor 2010B4112 bertarikh 29 April 2010 sebanyak RM32,150.

Baucar tersebut secara terang merakamkan kumpulan wang yang digunakan merupakan kumpulan wang zakat.

Selain itu bukti itu merupakan surat daripada Ketua Audit Negara, Tan Sri Datuk Setia Ambrin Buang kepada Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Negara, Datuk Seri Azmi Khalid yang mengesahkan bahawa RM63,650 wang zakat iaitu bayaran pertama sebanyak RM31,500 pada 9 Februari 2010 dan bayaran kedua berjumlah RM32,150 pada 29 April 2010 digunakan bagi membayar kos guaman MAIWP.

Mengulas mengenai kenyataan Jamir bahawa wang itu digunakan untuk menjaga kepentingan Islam, Kamaruzaman berkata ianya adalaha alasan yang tidak logik.

"Datuk Seri Jamil kata boleh guna wang zakat untuk mendaulatkan Islam.

"Dalam kes ini Datuk seri Anwar yang fail kes qazaf dan memohon untuk kesnya dibicarakan di Mahkamah Syariah. Sekarang siapa yang mendaulatkan Islam?" soalnya.

Sementara itu, Timbalannya, Suhaimi Abdul Aziz memberitahu, Pemuda PAS Pusat akan menyerahkan memorandum berhubung perkara itu di pejabat MAIWP, Khamis ini jam dua petang.

Beri royalti kepada Kelantan jika ikhlas tolong rakyat

Harakahdaily, 17 Jan 2012

KUALA LUMPUR, 17 Jan: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mencabar kerajaan Malaysia supaya memberikan royalti kepada kerajaan Kelantan sekiranya kerajaan benar-benar ikhlas mahu menolong rakyat khususnya orang Melayu di negeri itu.

“DPPM melihat kenyataan Datuk Seri Nazri Aziz, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri bahawa Kelantan belum lagi layak mendapat royalti minyak kerana Ordinan Darurat baru sahaja dibatalkan dan perlu menunggu sehingga enam bulan adalah alasan beliau semata-mata,” kata ketua penerangannya, Riduan Mohd Nor.

Bagi DPPM, katanya jawapan tersebut merupakan alasan terknikal yang diguna bersandarkan kepada undang-undang.

Sepatutnya, kata beliau Nazri menjawab dengan usaha mempertimbangkan tuntutan kerajaan Kelantan untuk memberikan royalti tanpa menunggu tamatnya Ordinan Darurat.

Kerajaan juga, ujarnya perlu memberi jaminan untuk mengusahakan pemberian royalti itu kepada kerajaan Kelantan pada waktu yang sepatutnya.

Tambahnya, isu royalti Kelantan menunjukkan belang sebenar pemimpin Umno dalam memperjuangkan kepentingan orang Melayu di negara ini.

Selama ini, katanya berdegar-degar suara mereka di seluruh pelosok dunia kononnya hanya Umno sahaja pejuang bangsa Melayu.

“Namun demikian, dalam isu royalti minyak di Kelantan, tindakan kerajaan Umno BN seakan dwi standard terhadap kerajaan Kelantan sedangkan rakyat mengetahui bahawa Kelantan diperintah oleh orang Melayu beragama Islam,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Menurutnya lagi, majoriti rakyat di Kelantan pula adalah berbangsa Melayu dan beragama Islam.

Soalnya, kata beliau apakah orang Melayu Kelantan berbeza dengan orang Melayu di negeri lain.

“Adakah orang Melayu Kelantan tidak berhak menikmati kemudahan seperti mana perjuangan yang dilaung-laungkan oleh pemimpin Umno?

“Mengapa tiada usaha serius dilakukan oleh kerajaan pusat bagi membantu rakyat dan negeri itu dalam keadaan mereka mengetahui bahawa rakyat Kelantan ada yang hidup dalam keadaan susah?” soalnya.

Justeru, katanya DPPM hairan bagaimana Umno boleh bermimpi untuk menawan Kelantan dalam keadaan pemimpin mereka menyekat hak yang patut dinikmati oleh rakyat di negeri itu.

Ini, jelasnya menunjukkan pemimpin Umno sendiri tidak ikhlas membantu rakyat di negeri itu kerana tidak turut sama berjuang memberikan hak kepada Kelantan tanpa mengira siapa pemerintahnya.

“Rakyat Kelantan kini lebih mengenali siapa pemimpin sebenar untuk diangkat sebagai pemerintah yang jujur dan ikhlas dan siapa pula yang hanya berpolitik dan mahu mengambil kesempatan di negeri itu,” ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan