Khamis, 19 Januari 2012

BILA PEMBAHAGIAN TIDAK ADIL...KAWAN@KRONI DAHULUKAN..LANGGAR SEGALA UNDANG2 YANG ADA...KESANNYA SEKARANG NAMPAK HASILNYA@MEMBUSUK DAN BERULAT

NFC: Ketua Audit sahkan gagal, tak perlu firma akaun

Harakahdaily, 19 Jan 2012

KUALA LUMPUR, 19 Jan: Jingga 13 membantah hasrat kerajaan melantik sebuah firma perunding perakaunan bagi tujuan menjalankan penelitian wajar untuk mengaudit projek Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC) seperti mana dinyatakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ketua kordinatornya, Fariz Musa berkata, Laporan Ketua Audit Negara 2010 pada 24 Oktober 2010 telah mengesahkan melalui pemeriksaan audit mengesahkan bahawa NFC adalah gagal memenuhi matlamat penubuhannya.

Katanya, Muhyiddin bukan sahaja turut terpalit dengan isu skandal NFC tersebut adalah tidak mempunyai kredibiliti dan integriti lagi untuk mengumumkan sebarang hasrat atau tindakan kerajaan yang sudah pasti menimbulkan prejudis oleh seluruh rakyat Malaysia.

“Penglibatan Tan Sri Muhyiddin adalah jelas dalam skandal NFC kerana beliau ketika itu sebagai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani meluluskan projek tersebut kepada syarikat yang dimiliki oleh ahli keluarga Datuk Seri Sharizat Jalil yang merupakan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Ketua Wanita Umno,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Beliau menambah, skandal NFC semakin memuncak dan pendedahan demi pendedahan telah dilakukan terhadap pelbagai isu yang melibatkan penyelewengan dan pecah amanah dilakukan oleh ahli keluarga Shahrizat yang kini dalam siasatan pihak polis dan SPRM .

Tambahnya, Jingga 13 mendesak agar diwujudkan dengan segera sebuah Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat segala dakwaan kepincangan dan penyelewengan dalam projek Perbadanan Fidlot Kebangsaan yang dijalankan oleh NFC.

Menurutnya, Suruhanjaya Diraja tersebut adalah mereka yang terdiri daripada yang benar-benar profesional dan berintegriti dalam menyiasat secara terperinci NFC yang melibatkan wang rakyat sejumlah RM250 juta.

Katanya, Muhyiddin seolah-olah bertindak bagi tujuan untuk menutup pekung sebenar dengan hasrat melantik firma perakaunan tersebut.

“Beliau harus bertanggungjawab terhadap perlantikan syarikat ahli keluarga Shahrizat yang ternyata tidak mempunyai pengalaman dan kepakaran dalam industri perternakan lembu,” ujarnya lagi.

Menjelang temu Menteri Pertahanan: MP Pakatan bersiap rapi

Harakahdaily, 19 Jan 2012
KUALA LUMPUR, 19 Jan: Persiapan rapi sedang dibuat oleh kedua-dua belah pihak menjelang pertemuan antara tiga anggota Parlimen Pakatan Rakyat dengan Menteri Pertahanan petang ini.

Sekurang-kurangnya di pihak Pakatan, penyelidikan yang mendalam dibuat bagi memastikan pertemuan petang ini benar-benar menguntungkan rakyat dan negara akhirnya.

Pertemuan Dr Dzulkefly Ahmad (PAS Kuala Selangor), Datuk Saifudin Nasution Ismail (PKR Machang) dan Tony Pua (DAP Petaling Jaya Utara) dengan Datuk Sri Zahid Hamidi (gambar bawah) akan diadakan jam 3 petang ini di Kementerian Pertahanan.

Dr Dzulkefly ketika dihubungi Harakahdaily berharap pertemuan ini akan memberikan keuntungan kepada negara dan rakyat.

"Kalau Kerajaan Najib-BN tidak bersedia, kerajaan Pakatan Rakyat, setelah kami ambil aleh nanti, akan buktikan kepada rakyat bahawa kita mampu lakukan dan bakal menyelamatkan berbilion Ringgit wang rakyat seperti yang telah kita buktikan di peringkat pengurusan kami di empat kerajaan negeri yang kami tadbir dan pimpin sekarang ini," katanya.

Bagi beliau, beberapa pendedahan tentang amalan rasuah di Kementerian Pertahanan (KP) telah pun mencetusakan kegelisahan awam.

Pendedahan Wikileaks tentang kabel diplomatik antara Kedutaan Amerika di Malaysia dan di Washington telah mendakwa perolehan yang dibuat oleh Kementerian Pertahanan melibatkan komisyen rata-rata 30 peratus setiap pembelian.

Ia melibatkan ahli politik, agensi, pegawai kerajaan dan pegawai pertahanan, menurut laporan itu, kata Dr Dzulkefly yang juga AJK PAS Pusat.

Kedutaan Amerika itu juga mendapati bahawa pelbagai perolehan Kementerian Pertahan adalah tidak mematuhi peraturan perolehan (procurement rules).

Perolehan yang kerap dilakukan secara ‘runding terus’ atau ‘direct nego’, didakwa akan mengizinkan dana dibayar balik kepada ‘orang politik’ dalam setiap perolehan, katanya.

Menurut beliau, yang paling masyhur adalah bayaran RM570 juta yang dibuat kepada syarikat Perimekar, milik Datuk Abdul Razak Baginda, orang kepercayaan Najib yang memimpin pasukan pemikir Najib.

Di samping laporan Wikileaks itu, pertikaian yang telah pun menjadi kontroversi besar antara Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara (Tony Pua) dan Menteri Pertahanan melibatkan juga menjadi isu.

Ini berikutan kontrak pembelian enam naval kapal patrol, yang didakwa telah berubah harga sebanyak RM3 bilion selepas setahun iaitu dari RM6 bilion ke RM9 bilion.

Lebih terkini adalah pertikaian dalam projek “Network Centric Operation” atau “Operasi Rangkaian Sentrik” yang melibatkan kontrak pembelian secara runding terus kepada Sapura Secured Technologies Sdn Bhd yang bernilai RM2 bilion, katanya.

Kementerian Pertahanan juga, katanya, diakui pakar-pakar intergriti antarabangsa sebagai lubuk rasuah seperti yang ditegaskan oleh Jeremy Pope – tokoh tersohor dalam bidang Defence Procurement – Defence Budgeting.

"Yang kita tuntut adalah penubuhan sebuah Jawantankuasa Pemantau atau “Oversight Committee” yang akan dapat mengawal-selia seluruh tahap perolehan dari –‘tendering’- menentukan harga tender dan cara sehingga ‘contracting’ mestilah telus dan komplian kepada amalan ‘best practice’ antarabangsa," katanya.

Beliau juga mendakwa, ada pegawai-pegawai tinggi tentera juga mempertikaikan kewajaran perolehan ini yang juga tidak mengikut prosedur sebenarnya.

Kerajaan Selangor bantu penduduk Kampung Baru

Hazayani Zakaria, 19 Jan 2012
KUALA LUMPUR, 19 Jan: Kerajaan Negeri Selangor akan terus membantu penduduk Kampung Baru dengan menyediakan pelan pembangunan alternatif tanpa menjejaskan hak milik tanah yang diwarisi penduduk daripada nenek moyang mereka.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (gambar) berkata, kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kampung Baru (JKBPKG) memulakan langkah menyalurkan maklumat kepada pemilik dan pewaris tanah Kampung Bharu mengenai hak mereka ke atas tanah tersebut meskipun kawasan tersebut dibangunkan.

Ianya sebagai usaha mengelakkan penduduk Kampung Baru menjadi mangsa Rang Undang-undang Perbadanan Pembangunan Kampung Bharu 2011 yang telah diluluskan Dewan Negara Disember lalu.

"Kerajaan negeri sentiasa di belakang usaha untuk menentukan pembangunan Kampung Baru ini dapat diterima dan dihayati oleh seluruh pemilik dan pewaris tanah.

"Walaubagaimana pun kita mesti melakukan usaha ini dengan penuh tertib dan berhemah supaya akhirnya apa yang kita lakukan memberikan kebaikan kepada masyarakat di Kampung Bharu," kata beliau pada sidang media selepas Majlis Ramah Mesra Pemilik Tanah Kampung Baru bersama Menteri Besar anjuran JKBPKG dan Yayasan Selangor di Jalan Raja Ali, dekat sini malam tadi.

Dalam majlis yang dihadiri kira-kira 300 penduduk Kampung Baru itu, pengurus pembangunan perniagaan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Fathurahman Abu membentangkan secara ringkas pelan pembangunan Kampung Baru sebagai alternatif kepada pelan Pembangunan Perbadanan Kampung Baru di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar.

Selain itu, penduduk juga berpeluang mengemukakan soalan dan pandangan dalam sesi dialog yang diadakan.

Pada sidang media sama, Khalid berkata, JKBPKG memerlukan sokongan daripada badan-badan korporat yang lain dalam usaha membangunkan Kampung Bharu seperti yang dikehendaki penduduk.

"Jawatankuasa bertindak yang diketuai Dr Idris Ahmad dan dianggotai rakan-rakan kita yang profesional seperti peguam, arkitek, pemaju dan kerajaan negeri menggalakkan syarikat-syarikat seperti PKNS, Yayasan Selangor dan Permodalan Negeri Selangor Berhad untuk menyertai jawatankuasa ini supaya memberi input yang sesuai kepada penduduk," katanya.

Sehubungan itu katanya, satu pusat khidmat ditubuhkan dan dijangka siap dalam masa dua minggu lagi sebagai tempat rujukan penduduk mengenai hal berkaitan pemilikan tanah dan lain-lain.

"Pejabat jawatankuasa bertindak akan dibuka dua minggu lagi untuk memberi khidmat nasihat dari segi undang-undang tanah, harta pusaka, akta MAS dan bagaimana penerangan ini boleh disebar kepada seluruh pemilik dan pewaris tanah," katanya.

Panggil MAS bermesyuarat

Sementara itu, Khalid berkata beliau akan memanggil anggota Lembaga Pentadbir Penempatan Pertanian Melayu (MAS) bermesyuarat untuk melakukan penstrukturan semula terhadap badan itu.

Khalid berkuasa memanggil mesyuarat MAS yang wujud sejak 111 tahun dahulu berdasarkan peruntukan yang terdapat dalam Enakmen Tanah Petempatan Pertanian Melayu 1950.

Penstrukturan semula MAS ini bagi memastikan keanggotaan terdiri daripada pelbagai kumpulan yang mempunyai kepakaran berlainan dalam menguruskan hal ehwal penduduk Kampung Baru.

Berdasarkan peruntukan juga, Khalid mempunyai kuasa melantik empat orang anggota MAS.

"Saya akan minta MAS panggil mesyuarat.

"Kita mahu MAS dianggotai pelbagai kumpulan supaya kumpulan ini boleh bergerak bersama dalam membangunkan Kampung Baru," katanya.

Turut hadir, Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Mohamad Nor Mohamad dan Pengerusi Sekretariat Pembangunan Kampung Baru (SPKB), Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi.

Kuah pun rasa ayam juga, lauk untuk pemimpin kita

Aspan Alias, 27 Dis 2011
Pilihanraya sudah hampir tiba. Dalil-dalilnya semakin jelas. Pembahagian-pembahagian duit ratus-ratus ringgit seorang sudah mula dibayar. Walaupun pembayaran itu terlalu rendah untuk berkuasa dan mendapat pulangan yang berbillion bagi pemimpin-pemimpin yang berkuasa, itulah caranya UMNO hendak selamat kali ini. Walau bagaimana pun itu hanyalah usaha tetapi yang menentukan tetap rakyat.

Kalau dikaji dari jumlah yang dibayar kepada rakyat, dengan jumlah sebanyak 1 trillion ringgit yang dilarikan oleh setengah pihak yang berkuasa atau pun kroni pihak yang berkuasa jumlah itu terlalu kecil: ibarat sebesar tahi gigi sahaja.

Lagi pun yang dibahagi itu adalah duit rakyat sendiri, duit pembayar cukai dan bukannya duit UMNO atau pun BN. Yang dibawa lari sebanyak 1 trillion ringgit keluar negara sejak 10 tahun dahulu pun adalah wang yang di curi dari rakyat. Semuanya rakyat yang punya.

Saya sempat berjumpa dengan ramai orang yang bertanya tentang RM500 dan bantuan sekolah RM100 yang dihebohkan oleh media setiap malam melalui TV3 itu. Rata-rata memberikan pandangan yang itu merupakan satu pembelian undi dan sokongan. Rupa-rupanya rakyat kita ini adalah terlalu murah pada pandangan pimpinan kita.

Ada juga yang mengatakan yang mereka hanya mendapat kuah sahaja tetapi ayam dan dagingnya di belasah oleh mereka yang berkuasa dan kroninya. Ada yang mengatakan kepada saya yang mereka hanya mendapat kuah kerana mereka menilai kita hanya setakat nilai kuah ayam sahaja.

Tetapi saya mengatakan, tak apalah dapat kuah sahaja. Selama ini pun tuan-tuan makan kuah sahaja. Biarlah lauk ayamnya mereka yang sental. Dah kita ini layaknya hanya setakat menghirup kuah sahaja, nak buat macam mana.

Mereka (pemimpin) hanya mahukan kita makan kuah sahaja dan tak lebih dari itu. Mereka mengatakan kalau makan dan menghirup kuah ayam, kuah itu rasa ayam juga. Asalkan dapat rasa ayam itu cukuplah. Kalau kita hirup soup kambing sahaja, soup itu pun ada rasa kambingnya. Cukuplah setakat itu.

Ayam dan kambing serta lauknya bukannya untuk kita. Itu untuk pemimpin-pemimpin dan kroni-kroni mereka sahaja. Rakyat mesti sedar kenyataan ini. Kita mesti sedar yang rakyat hanya mendapat kuah ini adalah kehendak rakyat sendiri. Bukankah rakyat yang membiarkan mereka makan lauk dan kita semua makan kuah. Itu pilihan rakyat juga selama ini.

Kalau rakyat hendak makan lauk selepas ini, usaha itu mesti dilakukan oleh rakyat sendiri. Rakyat terpaksa ketepikan mereka yang ‘kuat makan’ ini. Cara untuk mengenepikan mereka yang ‘kuat makan’ ini rakyat sendirilah yang patut berfikir. Pilihannya luas terbentang. Tepuk dada tanyalah selera.

Tetapi kalau rakyat tidak berbuat sesuatu, itu sahajalah yang kita dapat selalu…..RM500 semasa undi rakyat diperlukan.Mereka (pemimpin) masih berfikir yang rakyat sudah selesa dengan makan kuah sahaja.

Kok tak dapek makan isi (lauk) dapek kuah pun cukuplah…..kuah ayam pun rasa ayam jugak kan!! Lauk yang sedap-sedap tu biar pemimpin-pemimpin kita makan, kerana mereka 'kuat makan'.

Source: http://aspanaliasnet.blogspot.com/2011/12/kuah-ayam-pun-rasa-ayam-juga.html

Tahun Baru Cina: Peniaga di Jalan Sultan muram

Harakahdaily, 18 Jan 2012

KUALA LUMPUR, 18 Jan: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) menggesa Jabatan Tanah dan Galian (JTG) menarik balik kata dua mereka kepada pemilik tanah di Jalan Sultan iaitu sama ada mencapai persetujuan dengan MRT Corps menjelang 30 Januari atau akan kehilangan tanah mereka bagi projek pembinaan laluan MRT.

Ketua penerangannya, Herman Samsudeen berkata, penduduk dan peniaga di kawasan berkenaan bakal menyambut Tahun Baru Cina minggu hadapan namun dengan tekanan dari JTG itu membuatkan sambutan sedikit muram.

“Sesuatu perlu dilakukan bagi memastikan tiadanya penganiayaan kepada rakyat yang berhak untuk mempertahankan kediaman dan premis perniagaan mereka,” katanya kepada Harakahdaily.

Menurutnya, Jalan Sultan antara wilayah yang terletak di tengah-tengah Kuala Lumpur dan sebarang pembangunan di atas tanah di kawasan berkenaan akan mengganggu keselesaan rakyat.

Malah, katanya sebelum ini ada banyak cadangan supaya laluan MRT bawah tanah dijadikan alternatif tanpa perlu memindahkan penduduk atau mengambil tanah mereka.

Justeru, beliau berkata pihak MRT Corps perlu berbincang semula dengan penduduk sehinggalah keputusan yang memberikan kebaikan kepada semua pihak dicapai.

Tegasnya, penggunaan Akta Pengambilan Tanah 1960 adalah satu kezaliman dan tidak berperikemanusian.

Ini, ujar beliau hanya akan memberikan gambaran buruk kepada masa depan pembangunan Kuala Lumpur.

“Sewajarnya laluan bawah tanah termasuk stesen bawah tanah menjadi alternatif bagi bandar besar seperti Kuala Lumpur yang sepatutnya mencontohi kota London yang mempunyai rangkaian jalan keretapi bawah tanah yang hebat tanpa menganggu bangunan-bangunan yang sedia ada,” katanya lagi.

Beliau mengharapkan pihak JTG tidak mengunakan Akta Pengambilan Tanah 1960 dan tarikh 30 Januari sewajar tidak berbangkit.

“Hapuskan sahaja kata dua itu, kembali ke meja rundingan dan fikirkan alternatif lain kerana kita tidak mahu yang berada di Kuala Lumpur nanti hanyalah laluan pengangutan awam semata-mata dan penduduk terus dipinggirkan,” ujarnya.

Justeru, katanya DPPWP menyokong usaha Jawatankuasa Bagi Pemuliharaan Jalan Bukit Bintang dan Jalan Sultan bagi mempertahankan hak mereka dan bersedia memberikan khidmat nasihat dalam isu berkaitan pada bila-bila masa jika diperlukan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan