Ahad, 25 Disember 2011

PATUT GAME DAH OVER...DIAM JANGAN BUAT KENYATAAN..TERJERAT DENGAN KAEDAH MUSUH@SYAITAN...PATUT ADAB PATUH DENGAN PEMIMPIN SERTA JEMAAH

Written by Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 24 Dis: Bekas Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali hari ini mengakui kesilapannya mengkritik pendekatan Negara Berkebajikan yang mahu dibawa PAS seperti diputuskan dalam Muktamar tahunan parti itu Jun lalu.

Ekoran itu juga, beliau yang juga exco kerajaan Selangor pada satu sidang media di kediamannya hari ini menarik balik kritikannya itu dan memohon maaf kepada pimpinan dan ahli parti.

“Sebagai ahli PAS dan ahli jawatankuasa kerja PAS pusat, saya mengakui terdapat unsur keterlanjuran saya waktu membuat ulasan mengenai perkara itu. Dengan ini saya menarik balik komen mengenai Negara Berkebajikan tersebut.

“Saya memohon maaf kepada saf kepimpinan dan ahli-ahli parti terhadap keterlanjuran saya itu,” katanya pada sidang media di kediamannya di sini.

Sebelum ini pada satu sidang medianya juga, beliau mendakwa perjuangan PAS sudah menyimpang apabila mengangkat Negara Berkebajikan berbanding Negara Islam sejak sekian lama.

Sehubungan itu beliau menolak konsep Negara Berkebajikan dan mendesak parti itu kembali kepada matlamat asal menubuhkan sebuah negara Islam.

Mengakui ulasannya sebelum ini sebagai terlanjur kata, Hassan hari ini juga menyatakan pendirian bahawa beliau bersetuju dengan konsep Negara Berkebajikan yang diperjuang PAS kerana sebahagian dari initipati dan matlamat ke arah menubuhkan sebuah negara Islam.

“Saya sebagai ahli dan pimpinan, saya menyetujui apa yang dikemukakan dan pada masa sama saya melihat pengisian Negara Berkebajikan sama seperti negara Islam yang dikemukakan parti sebelum ini.

“Kemungkinan besar sama apa yang ada dalam konteks negara Islam dengan Negara Berkebajikan,” katanya.

Sementara itu, Hasan juga berkata beliau bersedia bertemu kepimpinan parti bila-bila masa bagi merungkai permasalahan yang timbul yang turut mengaitkan dirinya.

Written by Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 24 Dis: Walaupun ditekan hebat termasuk menerima ancaman ugutan bunuh, pelajar Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Adam Adli Abdul Halim, tetap bertekad untuk meneruskan perjuangannya menuntut kebebasan mahasiswa di negara ini.

Walaupun sedar jalan yang ditempuhinya itu amat rumit, tetapi beliau dan rakan-rakannya dari kalangan mahasiswa tetap akan meneruskan perjuangan mereka sehingga pihak Kerajaan BN sendiri sedar dengan kesilapannya selama ini.

Menurut Adam, Kerajaan BN perlu sedar para mahasiswa juga mempunyai hak untuk bersuara dan tidak selamanya boleh dikongkong dengan pelbagai sekatan termasuk menerusi Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) yang telah dilaksanakan sejak sekian lama di negara ini.

"Kini para mahasiswa sudah tidak lagi boleh bersabar dengan kongkongan kerajaan terhadap kami. Kerajaan yang memerintah tidak selamanya boleh bertindak sesuka hati terhadap mahasiswa dan menzalimi rakyatnya," katanya.

Bercakap kepada Harakahdaily pada satu pertemuan eksklusif sekitar 10 minit selepas memberikan keterangan kepada pihak polis di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Polis Dang Wangi, di sini, semalam, (gambar) beliau mengakui tindakannya menurunkan bendera Perdana Menteri pada 17 Disember lalu dilakukan dengan penuh kesedaran dan mempunyai mesej jelas mengenai perkara itu.

"Saya tidak bermaksud untuk menghina. Tetapi itulah mesej kami. Sebab itulah bendera itu pun hanya saya turunkan sekejap sahaja, tak sampai pun lima minit dan kemudian saya naikkan kembali dengan baik," jelasnya.

Semua pihak, tegas beliau, perlu faham perkara itu dan tidak sewajarnya memutarbelitkan kenyataan serta membuat fitnah kepada beliau dan rakan-rakannya yang lain.

"Kalau saya dan rakan-rakan saya tak naikkan kembali bendera Perdana Menteri yang kami turunkan itu, lainlah pula ceritanya," ujarnya.

Namun, dengan hanya menurunkan bendera tersebut dalam tempoh kurang lima minit, beliau berharap agar mesej protes mahasiswa berhubung perkara itu dapat dibaca dengan baik oleh pihak kerajaan.

Beliau bagaimanapun amat kesal kerana tindakan mereka itu telah dimanipulasi oleh pihak-pihak tertentu sehingga mengaitkannya dengan jenayah, walaupun ia jelas bukan jenayah.

Malah tindakan tersebut selaras dengan amalan demokrasi di negara ini yang memberikan kebebasan berhimpun secara aman dan bersuara kepada rakyat, termasuk di kalangan mahasiswa, seperti yang termaktub di dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Di mana-mana negara sekalipun yang mengamalkan demokrasi di dunia ini, terutama di negara-negara maju, suara mahasiswa tidak akan disekat.

Katanya, malah suara mahasiswa diakui mempunyai kuasa tersendiri dan perlu didengari serta dihormati kerana para mahasiswa juga mempunyai hak untuk menyatakan pandangannya bagi kepentingan agama dan tanah air.

"Malaysia yang berada di bawah pemerintahan BN dan sedang menuju ke arah negara maju, bagaimanapun menafikan suara dan hak mahasiswa. Inilah yang amat dikesali oleh kami," ujarnya.

Beliau berharap agar siri-siri protes yang dilancarkan oleh beliau dan rakan-rakannya yang bergabung dalam Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dan lain-lain badan akan mengubah dasar kerajaan terhadap mahasiswa.

"Pada kami, Auku bukan perlu dipinda, tetapi dimansuhkan. Jika kerajaan tetap enggan mendengar desakan kami, kami tidak akan berdiam diri, malah terus berjuang dan mengadakan pelbagai kempen mengenainya, selaras dengan hak kami dan rakyat negara ini seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan," katanya.

Para mahasiswa yang berada dalam kumpulan Pro Mahasiswa, tambahnya, berbeza dengan mereka yang berada dalam kumpulan Pro Aspirasi, malah mereka tidak akan berganjak dari matlamat perjuangan mereka walaupun akan digula-gulakan oleh para pemimpin Umno atau BN.

Beliau bersyukur kepada Allah kerana tidak berkeseorangan dalam perjuangan itu, malah disokong penuh oleh rakan-rakan pelajarnya yang lain serta lain-lain pihak yang sedar dengan hak masing-masing di tanah air sendiri.

"Kita rakyat Malaysia atau warganegara Malaysia mempunyai hak ke atas negara ini dan berhak bersuara demi kepentingan agama dan negara. Janganlah lagi hak kami itu dinafikan oleh kerajaan yang memerintah sekarang," tegas beliau.

Sebelum itu, beliau dengan ditemani rakan-rakannya dalam SMM telah memberikan keterangan selama sejam bermula jam 11.00 pagi kepada pihak polis, berhubung laporan polis yang dibuatnya di Balai Polis Tun H.S Lee, Isnin lalu membabitkan kes ugutan bunuh terhadapnya.

Sebaik selesai memberikan keterangan kepada ASP Anan, beliau terus diserbu oleh pihak media termasuk dari dalam dan luar negara, bagi mengetahui perkembangan terkini mengenainya untuk dikongsi bersama segenap anggota masyarakat terutama di negara ini.

Walaupun banyak syarikat penerbitan yang ingin mengadakan temubual eksklusif dengannya terutama pada hari itu, tidak kesemuanya dapat dipenuhi kerana kesuntukan masa, lebih-lebih lagi setelah azan dari masjid-masjid hampir berkemundang bagi memanggil umat Islam menunaikan solat Jumaat.

"Masa dah terlalu suntuk untuk solat Jumaat. Kalau Harakahdaily ingin mengadakan juga temubual eksklusif hari ini, hanya sempat sekitar 10 minit sahaja," jelasnya sambil menyeka peluh yang memercik di dahi kerana cuaca panas dan kesibukannya melayani pelbagai pertanyaan para wartawan yang telah menunggunya hampir dua jam di IPD Polis Dang Wangi semalam.


Written by Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 24 Dis: PAS menyifatkan pemergian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tendong, Dr Muhammad Md Daud (gambar) ke rahmatullah sebagai satu kehilangan besar buat parti.

Namun, pemergian Allahyarham ke rahmatullah malam tadi sememangnya telah diatur oleh Allah, walaupun ketika ummah masih memerlukan beliau untuk berkhidmat kepada agama dan rakyat.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, bagi pihak PAS, beliau amat terasa dengan pemergian Allahyarham dan mengucapkan takziah di atas pemergiannya.

Menurutnya, PAS sangat menghargai pengorbanan Allahyarham dalam memperjuangkan hak-hak rakyat khususnya di Kelantan sepanjang berada dalam bahtera parti dan berkhidmat sebagai Adun.

Katanya, beliau serta seluruh kepimpinan dan ahli-ahli parti berdoa semoga Allah membalas jasa beliau dan menempatkan Allahyarham bersama orang-orang yang soleh yang istiqamah memperjuangkan agama Allah.

"Saya juga mendoakan semoga ahli keluarga beliau, sahabat handai dan seluruh pendokong perjuangan Islam di Malaysia diberi kesabaran dan kekuatan berhadapan dengan pemergian beliau," katanya menerusi Setiausaha Akhbarnya, Mohd Nasaie Ismail ketika menghubungi Harakahdaily, di sini, hari ini.

Pemergian Allahyarham, menurut Nasaie, sememangnya amat mengejutkan Abdul Hadi, tetapi ia mesti diterima dengan reda kerana segalanya telah ditentukan oleh Allah.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang, Terengganu berharap semoga seluruh kepimpinan dan ahli-ahli PAS yang masih hidup dapat meneruskan usaha Allahyarham yang terbukti istiqamah sehingga ke akhir hayatnya.

Allahyarham Dr Muhammad Md Daud, 64, telah pulang ke rahmatullah jam 12.55 malam tadi kerana dipercayai mendapat serangan jantung.

Jenazah Allahyarham telah disembahyangkan di suraunya di Kampung Perakap, Bunut Susu, Pasir Mas, Kelantan, tidak jauh dari rumahnya yang terletak di Lorong Haji Daud di kampung tersebut.

Solat jenazah diketuai Mursyidul Am PAS yang juga Menteri Besar Kelantan, Datuk Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan diikuti pemimpin-pemimpin PAS Kelantan.

Turut hadir menyembahyangkan jenazah beliau bersama Tuan Guru Nik Aziz, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaacob dan anggota-anggota Exco kerajaan negeri.

Jenazah Allahyarham telah selamat disemadikan di tanah perkuburan Islam yang terletak tidak jauh dari surau tersebut selepas solat Zohor hari ini.




Pagi kelmarin Allahyarham sempat hadir ke Pasti Pasir Mas bagi mengambil bekalan banjir untuk diagihkan kepada penduduk dalam Dun Tendong yang mengalami banjir baru-baru ini.

Dun Tendong merupakan satu Dun di bawah Parlimen Pasir Mas, selain Dun Chetok dan Pengkalan Pasir yang dimenangi PAS dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 tahun 2008 lalu.


Written by Khairul Azlam Mohamad

BESUT, 24 Dis: PAS Terengganu menyifatkan Umno dan kerajan Barisan Nasional (BN) Terengganu ketandusan isu serta menggunakan isu lapuk bagi menutup kelemahan pentadbiran di negeri ini.

Ketua Dewan Ulamak PAS negeri, Datuk Husain Awang (gambar) berkata, Umno sengaja membangkitkan isu lama yang sudah tidak menjadi masalah tetapi sengaja meresahkan masyarakat umum.

Katanya, masyarakat Islam di negeri ini telah dapat menerima keadaan dua solat Jumaat dalam satu kariah.

“Umno sengaja membangkitkan isu ini untuk menghadapi pilihan raya sedangkan isu ini telah lama selesai dan tidak menjadi masalah dalam masyarakat setempat,” jelasnya.

Malah, katanya hampir kesemua masjid yang digunakan bagi solat Jumaat itu bukan terletak berdekatan dengan masjid kerajaan.

Menurutnya, masjid di Kampung Padang Landak yang dijadikan isu oleh Umno terletak lebih satu kilometer dengan masjid kerajaan di Kampung Lak Lok.

Manakala, Yang Dipertua PAS Besut, Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad mendakwa pemimpin Umno Terengganu memalu gendang berirama songsang bagi mengheret rakyat.

Katanya, isu lapuk berkait dengan solat Jumaat berasingan dalam satu kariah tidak timbul lagi kerana telah selesai ketika pemerintahan PAS sebelum ini.

“Kita hairan di saat masyarakat umat Islam berada dalam keadaan tenang dan harmoni untuk menghadapi pilihan raya, tiba-tiba Umno Terengganu kembali memalu gendang berirama songsang.

“Mereka cuba mengheret rakyat berbicara sesuatu yang terpisah dari realiti sebenar kerana isu solat Jumaat itu tidak timbul lagi di negeri ini,” ujarnya.

Menurutnya, Umno sengaja menimbulkan isu sembahyang berasingan dalam satu kariah dan solat dua imam sepertimana yang dilaporkan oleh sebuah akhbar harian pada 19 November lalu.

Katanya, laporan tersebut jelas berniat jahat apabila memaparkan masjid di Kampung Padang Landak sebagai lokasi penyokong PAS melakukan solat Jumaat berasingan.

Sedangkan, kata beliau itulah satu-satunya masjid di Kampung Padang Landak yang mengadakan solat Jumaat dalam kariah tersebut.

“Umno tidak wajar memberi gambaran yang salah apa lagi berbohong dalam melaporkan sesuatu hingga meresahkan masyarakat umum.

“Kita bimbang kebiasaan ini akan menjadi ‘style’ bicara mereka secara bersahaja sehingga tidak dapat membezakan maklumat yang benar kepada Tuanku Sultan Terengganu,” ujarnya.


Written by Harakahdaily

KUALA TERENGGANU, 24 Dis: Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali yakin, isu kekecohan yang berlaku dalam PAS sudah selesai.

"The game is over - permainan ini sudah selesai, bagi saya ia sudah selesai," kata Mustafa ketika memberikan ucapan dalam majlis makan malam di Markas PAS Kuala Terengganu, di sini malam tadi.

Mustafa mengulas kekecohan yang berlaku dalam PAS ekoran perang dalam media antara beberapa pemimpinnya.

Ia memuncak apabila Mustafa menyifatkan dua pemimpin Datuk Dr Hasan Ali dan Nasharudin Mat Isa terperangkap dalam agenda musuh PAS iaitu Umno.

Menurut Mustafa, ia selesai melalui kenyataan beberapa pimpinan dan mesyuarat lajnah politik baru-baru ini.

"Dalam mesyuarat, saya tanya kepada semua yang terlibat dan masing-masing kata, apa yang mereka cakap lain, yang disiarkan media lain.

"Jadi jawapan saya dalam sidang media yang lalu harapnya yang terakhirlah," kata Mustafa.

Bagaimanapun, katanya, Dr Hasan akan membuat kenyataan hari ini dan dia akan melihat kenyataan itu samada untuk memberi respons atau tidak.

"Kalau dia (Dr Hassan) cabar suruh dedah, saya akan kajilah apa nak jawab," kata Mustafa.

Kes itu, katanya selesai dengan cara Presiden PAS memanggil tiga orang yang terlibat dalam kes ini termasuk Adun Hulu Klang yang juga Ketua Penerangan PAS Selangor, Saari Sungib.


Written by Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 24 Dis: Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) Dewan Pemuda PAS Malaysia memuji keberanian para mahasiswa baru-baru ini yang menurunkan satu kain bercetak wajah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di hadapan ibu pejabat Umno sebagai simbolik tuntutan mereka terhadap kempen kebebasan akademik yang diperjuangkan selama ini.

Pengarahnya, Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi berkata, tindakan para mahasiswa tersebut sebenarnya rentetan daripada rasa mual mereka terhadap dunia akademik di Malaysia yang semakin lesu dan terkongkong oleh sikap Kerajaan Umno Barisan Nasional yang terus menekan para ahli akademik yang berani bersuara demi kebenaran.

Katanya, Juham melihat tindakan para mahasiswa tersebut adalah tindakan yang berani dan merupakan suatu manifestasi kepada hak dan kebebasan mereka untuk bersuara sepertimana yang dibenarkan oleh Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Oleh itu, jelasnya mahasiswa harus menjadikan perkara itu sebagai suatu momentum untuk terus maju ke hadapan tanpa gusar dan takut dengan ugutan-ugutan bacul dari Umno Barisan Nasional dan konco-konconya.

Malah, ujarnya Juham melihat perarakan kumpulan pelajar pro-Aspirasi yang menjadi budak-budak suruhan Umno berdemonstrasi di hadapan bangunan kementerian pengajian tinggi baru-baru yang menuntut Datuk Saifuddin Abdullah supaya meletakkan jawatan kerana didakwa "terlalu mesra" dengan pelajar pro-Mahasiswa, tidak lain dan tidak bukan adalah tindakan terdesak Kerajaan Umno Barisan Nasional yang malu apabila kain bercetak wajah Presiden mereka diturunkan.

“Sekiranya mereka benar-benar berani dan yakin dengan pendirian mereka, kenapa kumpulan pelajar pro-Aspirasi tersebut enggan untuk berjumpa Datuk Saifuddin Abdullah walaupun telah diminta berbuat demikian,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Juham selanjutnya, kata beliau mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang telah menyerahkan notis kepada aktivis pelajar Adam Adli Abdul Halim supaya menghadiri sesi pendengaran tatatertib pada 9 Januari berhubung insiden menurunkan bendera tersebut.

Tegasnya, Juham melihat tindakan UPSI tersebut seumpama menghina keputusan Mahkamah Rayuan bahawa Seksyen 15(5) Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Justeru, tambahnya UPSI dan lain-lain institut pengajian tinggi seharusnya mengambil sikap menghormati keputusan mahkamah tersebut yang mengiktiraf hak kebebasan bersuara mahasiswa.

Tambahnya lagi, tindakan UPSI tersebut jelas mencerminkan tindakan terdesak Umno Barisan Nasional bagi menakut-nakutkan mahasiswa kerana Umno sedar bahawa mahasiswa merupakan kuasa perubah yang besar dan mampu menggulingkan mereka dalam Pilihanraya Umum ke-13 nanti.

Juham, jelasnya dari dulu, kini dan selamanya tanpa jemu sentiasa berpegang dan berpegang teguh kepada kebebasan untuk bersuara di mana ia adalah suatu hak asasi kepada semua rakyat Malaysia dan ia jelas termaktub di dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan, namun dinafikan oleh Kerajaan Umno Barisan Nasional.

“Justeru, Juham yang terdiri daripada barisan peguam-peguam di seluruh Malaysia berikrar akan membela dan menyokong para mahasiwa ini sekiranya mereka didakwa di mahkamah,” katanya.

Malah, ujarnya Juham bersedia untuk memberikan khidmat nasihat guaman percuma kepada para mahasiswa sekiranya mereka dipanggil untuk menghadiri tindakan tatatertib sebagai bukti sokongan padu pihaknya kepada gerakan mahasiswa yang mendokong kebenaran dan keadilan.

“Akhirnya, Juham mengucapkan syabas kepada seluruh mahasiswa atas keberanian mereka dan Juham menyeru mahasiswa sekalian supaya terus maju ke hadapan tanpa rasa gentar dan takut dalam menyuarakan kebenaran yang merupakan hak asasi anda semua dan dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan, undang-undang tertinggi negara,” tegasnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan