Selasa, 27 Disember 2011

MENJAUHKAN DIRI DARI ISLAM BERMAKNA MENJAUHKAN DIRI DARI SYURGA DAN MENDEKAT DIRI KEPADA NERAKA...MEMANG CARI NAHAS

Anwar: Najib tidak jawab isu sebenar dalam ETP
Anwar Ibrahim
Saya meneliti jawapan kerajaan Datuk Seri Najib terhadap kritikan saya yang terkandung
dalam satu ucapan di ibu kota bertarikh 15hb Disember 2011.

Ucapan tersebut yang berjudul Debunking ETP: Widening Income Gap menegaskan kaedah yang sedang dilaksanakan kerajaan, Program Transformasi Ekonomi (Economic Transformation
Programme) merupakan suatu kebijakan ekonomi lapuk dan gagal membawa sebarang perubahan.

Jawapan tersebut tidak menjawab persoalan utama yang saya lontarkan, iaitu menjelang
tahun 2020, sekitar 7 hingga 8.3 juta rakyat Malaysia akan berpendapatan di bawah RM1,500 sebulan dan bakal digolongkan sebagai miskin bandar. Jumlah ini merangkumi sehingga 51% tenaga kerja negara ini dalam tahun 2020, berbanding 56% bagi tahun 2009.

Makanya, sebuah program ekonomi yang tidak berjaya meningkatkan pendapatan rakyat terbanyak malah menambah bilangan rakyat termiskin adalah perancangan ekonomi yang tempang dan membelakangkan kebajikan rakyat. Persoalan utama ini wajar dijawab dengan berkesan oleh Perdana Menteri sendiri.

Apatah lagi apabila hujah saya dikemukakan dengan mengambil kira unjuran-unjuran ETP meragukan.

Misalnya unjuran pertumbuhan upah 3.6% setiap tahun, dari tahun 2010 sehingga tahun 2020 yang bertentangan dengan pertumbuhan upah pekerja tahun 2000 hingga 2009 yang hanya menokok sekitar 2.6% setiap tahun manakala kos sara hidup meningkat mengatasi pertumbuhan upah.

Kenyataan ini diperkukuhkan oleh Kajian Pasaran Buruh 2009 yang melibatkan 24,000 majikan dan 1.3 juta pekerja. Laporan tersebut menyatakan 33.8% dari jumlah pekerja tersebut mendapat upah kurang dari RM 700 sebulan.

Angka ini sekiranya diunjurkan kepada keseluruhan tenaga kerja negara menyimpulkan 34% dari jumlah keseluruhan tenaga kerja negara berada di bawah paras kemiskinan. Justeru berdasarkan fakta-fakta ini, unjuran pertumbuhan upah pada paras 3.6% adalah tidak tepat.

Manakala itu unjuran kerajaan bahawa inflasi akan berada pada paras 2.8% setiap tahun sehingga tahun 2020 juga tidak realistik apabila kadar inflasi sejak 12 bulan lalu sentiasa melangkaui paras 3%.

Sasaran untuk mencapai pendapatan kasar kebangsaan (gross national income) per kapita sebanyak RM 48,000 setahun pada tahun 2020 tidak akan dicapai sekiranya inflasi melebihi dari 2.8% untuk tahun mendatang.

Jika inflasi purata sehingga tahun 2020 mencecah 4% setiap tahun, dianggarkan seramai 7.6 juta rakyat Malaysia akan berpendapatan kurang dari RM 1,500 sebulan dalam tahun 2020, meningkat sebanyak 1 juta berbanding jumlah 6.6 juta dalam tahun 2009.

Keadaan ini lebih parah sekiranya inflasi purata mencecah 6% setiap tahun bila mana jumlah rakyat Malaysia yang berpendapatan kurang dari RM 1,500 sebulan adalah 8.3 juta orang.

Persoalan paling utama yang langsung tidak dijawab adalah kesimpulan saya bahawa kekayaan negara akan semakin dibolot golongan kaya di bawah ETP sementara rakyat terbanyak dipinggirkan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib langsung tidak menafikan analisa saya bahawa nisbah upah pekerja kepada pendapatan kasar negara akan berkurangan dari 40% (tahun 2009) kepada 33% sahaja (tahun 2020).

Walhal, ini merupakan permasalahan utama di negara kita, manakala golongan kecil, keluarga dan kroni mengaut kekayaan, sementara majoriti rakyat dibebankan dengan kos sara hidup yang melonjak sedangkan pendapatan tidak meningkat.

Persoalan-persoalan ini adalah isu besar ekonomi negara apabila pentadbiran sedia ada
menyalurkan seluruh kekayaan negara untuk membiayai projek-projek besar di bawah ETP.

Malang sekali apabila kesannya kepada rakyat adalah menambah golongan miskin dan
melebarkan jurang di antara yang miskin dan kaya menjelang tahun 2020 nanti.

Datuk Seri Anwar Ibrahim,

Ketua Pembangkang Dewan Rakyat


Pantun Seloka: Panglima Ludah Vs Mahasiswa | Print |
Pak Saiko| paksaiko@yahoo.com

Mahkamah dah sound Gerombolan durjana,
AUKU bercanggah Perlembagaan negara,
Pokjib dah gabra umum dipinda,
Mansuh sahaja… kan habis cerita

KL Sentral & PWTC medan ujian,
Minda merdeka dizahir perjuangan,
Ditangkap dihalau jadi cabaran,
Pantang undur mengalah jangan.

Beraninya Siswa bak Harimau muda,
Bendera diturun tanda protesnya,
Panglima marah meroyan gila,
Nak ludah tampar muka siswa,

Ludah & tampar ancaman Panglima,
Tidak bertamadun dangkal pula,
Diskusi ilmiah membuka minda,
Baru matang 1Malaysia.

Si kaki ludah membuka bicara,
Konco-konco dh siap siaga,
Senjatanya tangan bukan bicara,
Otaknya dilutut bukan dikepala

Panglima & konco berbaris sedia,
Nak masok Youtube hentam siswa,
Akhirnya diejek seantero maya,
Buat malu Pokjib 1Malaysia.

1Malaysia TV dilancar maya,
Nak lawan fitnah PR katanya,
Kalau berat sebelah macam TV3,
Jangan tengok… buang masa saja…

Adapun Pokjib tiada bicara,
Diam membisu komen tiada,
Bendera diturun dipasang semula,
Tak buleh dakwa jenayah tiada,

Adab sopan pekerti mulia,
Disanjung tinggi serata dunia,
Andai biadap perbuatan siswa,
Hadiah ‘Kek Tahi’ bagaimana pula?

Mual & loya video si polan,
Ludah & tampar jadi siulan,
Rantai dileher silau gemerlapan,
Mulut bertakbir menghalal perbuatan,

Mulanya serius dh jadi ceria,
Gelak ketawa memecah suasana,
Tak kering gusi lawak Panglima,
Calon ML Mega musim seterusnya.

Siswa pro-A pun nak demo sama,
Nak ucap sayang Pokjib 1Malaysia,
Belakang Pudin korang sound selamba,
Pudin nak jumpa korang enggan pula?

Ugutan bacul mainan Panglima,
Dijaja fitnah Utusex Meloya,
Kebebasan akademik intipati cerita,
Kenapa persepsi ‘biadap’ disensasi Media?

Siswa dikongkong berzaman lamanya,
Disekat suara dijumudkan minda,
Panglima machai tau angguk saja,
Macam lembu-lembu yg kak Jat bela,

Kuasa perubah ditangan Siswa,
Merubah landskap politik Malaysia,
Kuatkan tekad perjuanganmu anak muda,
Ayuh! PRU13 hancurkan Gerombolan durjana

Ptuih… ptuih… ptuih…


Razak Baginda sudah dekati Islam | Print |
Subky Abdul Latif
KATA Tan Sri Abdullah Kok Lanas dalam tulisannya bahawa Dr. Abd Razak Baginda mengaku bahawa dia sedang mendekati politik Islam dan agama Islam.

Alhamdulillah.

Ia mengingatkan saya kepada Almarhum Tan Sri Nordin Saufee, pengasas dan pengarah ISIS yang pertama.

Dalam satu majlis Hari Kemerdekaan Amerika, Tan Sri Nordin sengaja memberitahu saya bahawa dia sedang mempelajari dan mendalami Islam.

Suatu yang baik, penghargaan saya kepadanya.

Dia tidak sekadar menyampaikan maklumat itu saja, bahkan cuba meyakinkan saya bahawa dia beliau bersungguh mendekati Islam. Saya tidak tahu mengapa dia sampaikan perkara itu kepada saya dan adakah dia buat begitu juga dengan orang lain.

Saya gembira dengan perkembangannya itu. Tetapi saya tidak bertanya, siapa gurunya? Guru amat penting bagi setiap penuntut Islam. Mestilah guru itu ulama yang diakui masyarakat tentang ilmunya, ibadatnya dan muamalatnya. Bukan saja dia mesti berguru kepada tok guru yang betul tetapi ilmu yang dipelajarinya itu mesti diredai oleh tok guru itu.

Tidak sempurna mengajinya sekadar membuat penyelidikan dan kajian tanpa guru kerana mengaji tanpa guru sama seperti mengaji pada seteru Adam a.s.

Kalau guru itu sekadar ulama muda UMNO, ia seperti tidak mengaji.

Kalau orang bertanya, siapa pula saya? Guru saya ialah Tok Guru Nik Abdul Aziz dan Tok Guru Haji Abdul Hadi Awang dan sekalian ulama PAS.

Maka kita boleh menghargai perkembangan Dr. Razak Baginda itu tanpa melupakan namanya telah dikaitkan dalam skandal seks dan pembunuhan Altantuya. Dia telah dibebaskan oleh mahkamah, tetapi mahkamah Malaysia adalah tidak berwibawa.

Apakah maklumat baru tentangnya akan dapat membebaskannya dari pembabitannya dengan pembelian kapal selam dan pesawat pejuang Sukoi dari Rusia dengan keuntungan sekitar setengah bilion dan hubungannya dengan kes Altantuya?

Jika dia bukan seorang Islam sebelum pembabitannya itu, apabila dia memeluk Islam maka dia adalah ibarat bayi yang baru lahir bebas dari sebarang dosa. Itu dari segi Islam tetapi dari sudut undang-undang dunia, entahlah. Apabila dia dibabitkan sebagai seorang Islam, maka pembabitan barunya dalam Islam tidak menjadikan dia sesuci bayi yang baru lahir.

Tetapi langkahnya mendalami ilmu Islam sebagai addin dan menghayatinya boleh membawanya menjadi seorang yang soleh dan dapat membersihkan dirinya dari sebarang keterlanjurannya. Syaratnya dia mesti melalui syarat taubat yang ditentukan oleh Islam yang sedang dipelajarinya itu.

Setiap orang Islam mesti mengalu-alu dan menggalakkannya untuk membuat kerja yang baik itu. Jangan pula ada prasangka kepadanya kerana dia sedang dan hendak membuat kerja yang baik.

Insya Allah ilmu Islam yang diperolehinya nanti dapat memberinya jalan yang betul bagi menyelesaikan segala masalah yang berlalu bagi menjalani hidup yang baru.

Cabarannya adalah besar. Dia mesti bersedia menjadi saksi seperti yang dikehendaki oleh Islam dalam skandal besar yang ada sekarang. Tanpa ilmu Islam yang secukupnya tiada sesiapa sedia menjadi saksi yang jujur.

Razak Baginda dipercaya sudah berada di landasan yang betul, apabila dia mula mempelajari ilmu Islam termasuk politiknya.

Politik Islam yang paling releven sepanjang seabad lalu ialah yang diasaskan oleh Imam Hassan Al-Banna. Beliau pula telah memahami segala yang disarankan oleh Jamaluddin Al-Afghani, Muhamad Abduh dan lain-lain. Razak kena dekati semua rangkaian gerakan Islam di seluruh dunia sekarang yang asas masing-masing bertolak dari Ikhwanul Muslimin yang ditubuhkan oleh Hassan al-Banna itu.

Mengkaji dan mempelajari saja tidak cukup tanpa menyertai dan melibatkan diri. Para orientalis juga mempelajari Islam dari guru-gurunya sendiri. Bila ilmunya tidak menjadikannya Islam, maka ilmu Islamnya menjadi mereka bertambah sesat. Sebelum orientalis mempelajari Islam, ia sudah sesat. Apabila ia menguasai ilmu Islam, ia bertambah sesat dan menyesatkan.

Justeru itu Dr. Razak cari jalan berguru dengan tokoh seperti Yusuf Qardawi dan sekutu-sekutunya yang ramai di England, di Mesir dan lain-lain.

Kalau balik ke Malaysia bagi mendalami politik Islam, Dr. Razak wajar berdamping dengan Tok Guru Nik Aziz dan Ustaz Hadi. Mereka sendiri adalah sebahagian dari politik Islam kerana mereka terlibat secara langsang. Mereka tua dalam politik Islam.

Tetapi kalau berguru dengan ulama muda UMNO, politik Islak tidak mengiktraf mereka terlibat dalam politik Islam. Pertama mereka bukan pemimpin, bahkan pegawai penyelidik Islam. Mereka tidak dapat mentransformai Najib dan UMNO, tetapi mereka pula ditransformasi oleh Najib.

Saya boleh bersangka baik kepada Razak.


Segenggam pasir menjadi gunung? | Print |
Ahmad Lutfi Othman
Biarpun isu dalaman parti dianggap kecil dan lumrah dalam perjuangan panjang PAS, namun dengan perkembangan mutakhir ini, ia begitu menggamit keprihatinan anggota jamaah dan masyarakat umum. Ia petanda ahli-ahli PAS begitu sayang parti atau jamaah yang disertainya. Benar, PAS pernah mendepani "keretakan" yang jauh lebih besar dan sukar, tetapi kebanyakan ahli parti tidak mahu sebarang episod gelap berulang.

"Saya ingat hanya Umno dan parti komponen BN, atau mungkin KeADILan dan DAP sahaja, yang ada masalah dalaman. Rupanya PAS juga tidak terkecuali," kata jiran saya, seorang Tionghua, yang kerap memuji "dua tok guru" Mursyidul Am dan Presiden. "PAS bukan parti malaikat," pintas saya, sambil ketawa kecil, "tapi jangan risaulah, itu masalah kecik aja. Segenggam pasir yang digambarkan seperti bukit."

Rata-rata, sama ada dalam sessi perbincangan serius atau sembang-sembang santai, yang dahulunya terarah kepada krisis Umno-BN -- seperti isu "calon boleh menang" -- kini tertumpu pula kepada "ribut dalam cawan kopi". Mulanya seolah-olah tergambar pada sesetengah orang bahawa isu calon pilihan raya pun sudah menjadi masalah besar dalam PAS, seperti menimpa Umno, sedangkan realitinya tidaklah sebegitu rupa.

Saya sendiri dihujani pelbagai pertanyaan dan persoalan. Tidak kurang yang mengkritik keras laporan Harakah. Sesama ahli atau aktivis parti, mungkin tidak sedikit yang dapat mengikuti salur-galur konflik ini sejak awal dan dapat memahami kedudukan sebenar. PAS bermula tarikh penubuhannya 60 tahun dulu, seperti juga pertubuhan siasah lain, tidak pernah sunyi daripada masalah dalaman. Malah, yang keluar parti, bukan sekadar ahli biasa tetapi pimpinan tertinggi, termasuk presidennya.

"Apa pun, agak tidak manis jika kita sering menyandarkan rekod bahawa ramai pernah keluar parti bagi menjustifikasikan kemungkinan ada pemimpin yang bakal menuruti jejak itu. Benar, kadang-kadang kita perlu potong kaki bagi mengelak diabetis merebak, tetapi mengapa diabaikan rawatan lebih awal," kata seorang pemerhati politik, yang mengakui PAS merupakan parti politik paling unik dan cukup berpotensi di Malaysia.

"Orang ramai selama ini menyanjung tinggi PAS berdasarkan idealisme perjuangan Islamnya, komitmen tinggi pemimpin dan gaya hidup sederhana mereka meskipun selepas berkuasa, serta kesetiaan ahli-ahli parti yang tahan uji," tambahnya.

"Saya perhatikan, orang PAS walaupun ditekan, dipenjara, dilayan bagai warganegara kelas dua, mereka tetap istiqamah dengan perjuangan Islam, malah tidak pula memilih jalan atau pendekatan militan seperti yang berlaku kepada sesetengah gerakan Islam luar negara," kata seorang sarjana sains politik. "Tapi saya nak tengok juga keupayaan PAS hadapi cabaran dan dugaan apabila berkuasa dalam kerajaan," ujarnya lagi.

Justeru, saya kira, ramai yang berminat bukan sahaja untuk mengetahui apa sebenarnya yang berlaku di antara Setiausaha Agung PAS, Mustafa Ali dengan Dr Hasan Ali dan Ustaz Nasharuddin Mat Isa, tetapi mereka juga begitu teruja untuk melihat bagaimana PAS mencari jalan keluar terhadap "kemelut kecil" ini.

Bukan sahaja aktivis parti yang risau dengan "perang di media" yang bagaikan tiada kesudahan (tetapi kini seperti melalui era "gencatan senjata), namun masyarakat umum akan membuat penilaian terhadap apa yang berlaku itu, dan sekali gus mungkin membentuk persepsi baru terhadap PAS, sebuah parti yang dianggap paling kritikal tetapi cukup penting dalam PRU13 nanti.

"Masalah dalaman bukannya pelik bagi mana-mana parti politik, terutama jika babitkan perbedaan pendekatan politik. Yang menarik perhatian adalah bagaimana konflik dalaman itu diselesaikan secara harmoni. Orang mahu melihat cara PAS, sebagai parti Islam, menangani perselisihan yang timbul, dan tentulah ia berbeda dengan Umno, 'kan?" lontaran pandangan seorang penggerak PAS, yang dahulunya aktivis Umno.

Selain melalui proses disiplin parti, beliau menekankan agar ia diuruskan secara Islami. Apabila saya bertanyakan lebih lanjut bentuk penyelesaian Islami itu, beliau tidak dapat menghuraikannya, sebaliknya mahu PAS sendiri menunjukkan model teladannya.

"Bukan sekadar terletak kepada kewibawaan Tok-Tok Guru untuk menanganinya, tetapi formula penyelesaian masalah dalaman harus terpahat dalam struktur dan budaya parti. Usah cepat melatah, isu seumpama ini memang mudah mencuit emosi, apatah lagi apabila berlaku perang mulut secara terbuka," tegasnya.

Beliau segera merujuk kepada kenyataan Tok Guru Nik Aziz Nik Mat: "Selesaikan perselisihan pandangan melalui mekanisme dalaman parti dan tidak memberikan peluru kepada musuh. Saya yakin, apa yang berlaku kebelakangan ini hanyalah merupakan ribut kecil yang sengaja diperlihatkan kencang di dalam media massa. Apa yang pasti selepas ribut kecil ini, turunlah hujan yang menyejukkan, insya-Allah."

Lebih mengejutkan saya apabila seorang aktivis PAS, dalam usia 60-an, menangis di hujung talian selepas meluahkan rasa bimbang terhadap konflik dalaman. "Benar, parti mesti tegas dan segera bertindak, tapi saya amat takut jika kita sendiri terjebak dalam perangkap fitnah dan adu domba," ujarnya tersangkut-sangkut.

Semua maklum bahawa Najib Razak hanya mengintai tarikh paling sesuai untuk mencadangkan pembubaran Parlimen. Kontroversi berterusan yang membabitkan pimpinan partinya memang menggusarkan tetapi Najib juga melihat peluang yang boleh diraih daripada kekeliruan yang timbul dalam parti lawan.

Di atas kertas seolah-olah setiap parti Pakatan Rakyat menempuh "konflik" dalaman. KeADILan bakal melalui saat getir keputusan penghakiman Anwar Ibrahim, DAP belum reda pertembungan Dr P Ramasamy dengan Karpal Singh, dan terkini, PAS turut diuji. Membaca laporan dan siaran media yang dikawal mutlak Umno tentulah berbeda dengan realiti di akar umbi.

Tentulah masalah kecil yang menimpa PAS sekarang sukar untuk dieksploit Najib, namun saya masih memegang kata-kata seorang rakan: "Dalam PRU13, pemenangnya bukanlah pihak yang paling kuat, tetapi yang paling sedikit melakukan kesilapan."


(Ketika tulisan ini disiarkan Harakahdaily, nampak petunjuk memberangsangkan, "perang media" seakan reda. Apabila pimpinan tertinggi memberi nasihat dan teguran, insya-Allah, segalanya terkawal dan patuh).

Fitnah dan kempen perkauman
Abd Shukur Harun shukurharun@yahoo.com

Bermula dari keputusan PRU Ke-12 yang menghantar tsunami politik di mana Pakatan Rakyat memperoleh kemenangan besar, Umno/BN memperhebat kempen perkauman terhadap PAS dan DAP.

Secara tidak benar mereka menggambarkan bahawa DAP adalah dominan dalam Pakatan Rakyat, sementara PAS kononnya hanya mengikut kehendak DAP.

Ini suatu fitnah besar terhadap PAS. Analogi palsu ini dijaja bertahun-tahun oleh Umno/BN dan ditiupkan kembali dengan hangatnya menjelang PRU Ke-13 untuk mengekalkan kepentingan kuasa Umn/BN yang bergelumang dengan rasuah, penyelewengan dan pelbagai lagi.

Mereka menjaja premis ini terurtama di luar bandar, kerana mereka yakin dakwaan ini mudah diterima oleh orang Melayu di kampung disebabkan sekian lama digambarkan oleh Umno/BN ini bahawa DAP adalah parti perkauman Cina dan berbahaya kepada orang Melayu jika Pakatan Rakyat berkuasa.

Apabila PAS melancarkan ‘Negara Berkebajikan’, parti perkauman itu menuduh pula PAS menukar perjuangan dari negara Islam kepada Negara Berkebajikan. Ia dijaja oleh pemimpin parti itu di mana saja.

Lebih malang, tuduhan ini disambut oleh segelintir umat Islam yang menganggap mereka bijak, tetapi terperangkap dengan kekeliruan, lebih-lebih lagi mereka tidak mengerti akan perbezaan antara dasar dan strategi parti.

Adapun ‘Negara Berkebajikan’ ialah pengisian sahaja. Ini bermakna PAS sudah sampai kepada marhalah pengisian terhadap konsep asalnya dan ini tidak difahami oleh sesetengah pihak yang tidak sedar kejahilan mereka.

Betapapun penjelasan yang diberi berulang kali oleh pimpinan PAS di pelbagai forum dan majlis penerangan, namun isu ini terus dimanipulasi oleh musuh PAS dan mereka yang keliru bahawa kononnya PAS tidak lagi memperjuangkan Negara Islam, tetapi sudah beralih kepada Negara Berkebajikan’. Ini adalah fitnah besar yang diduga akan diperhebat oleh mereka menjelang PRU Ke-13. Inilah cabaran yang dihadapi oleh PAS.

Adalah mustahil untuk mengharapkan musuh politik PAS atau pihak yang sehaluan dengannya melihat premis Negara Berkebajikan ini dengan pemikiran rasional, tenang, terbuka dan berlapang dada. Lebih-lebih lagi tidak mungkin mereka hendak melihat persoalan ini dari sudut ilmu, merujuk kepada Al-Quran dan Sunnah serta ulama muktabar.

Mereka yang tidak ada kepentingan politik kepartaian dan tidak juga disalut oleh kebencian, nescaya akan melihat Negara Berkebajikan ini secara ilmu dan rasional dan menghargai usaha PAS.

Adapun konsep Negara Berkebajikan adalah pelaksanaan kepada Konsep Negara Islam yang menekankan kepada pemerintahan yang adil dan baik, saksama, memberi perlindungan kepada rakyat, hak mereka dan kerajaan.

Ia dalah manifestasi dari konsep negara yang disebut oleh al-Quran iaitu Baldatun Tayyibatun wa Rabbun Ghafur (Negara yang sejahtera dan mendapat keampunan Tuhan Yang Maha Pengampunan) di mana tunggaknya ialah ubudiah iaitu pengabdian diri kepada Allah SWT, Tuhan Yang Maha Mencipta, Pengasih dan Penyayang.

Negara Berkebajikan ditakrifkan sebagai kerajaan beramanah dalam seluruh sistem pemerintahan, termasuklah pentadbiran, perundangan, kehakiman, politik, ekonomi, sosial dan lain-lain.

Negara Kebajikan juga, menurut ulama, membawa kepada pembinaan sebuah masyarakat yang berlumba-lumba melakukan kebajikan (Istibaq al Khayrat) dan saling bekerjasama (at-Ta'awun) ke arah kejayaan (al Falah) pemerintah dan rakyat di dunia dan di akhirat.

Adapun dokumen Negara Berkebajikan yang diutarakan oleh PAS ini telah dibahas dan diluluskan oleh pimpinan tertinggi dan Majlis Syura Ulama PAS, setelah dibincangkan secara terperinci dengan rujukan Al-Quran dan dan Sunnah serta pandangan ulama muktabar.

Saya sendiri turut hadir sebagai pemerhati di beberapa majlis perbincangan di antara pimpinan PAS dan beberapa tokoh ekonomi dari Perancis, Indonesia, Scandinavia dan beberapa tokoh ekonomi dalam negeri. Mereka berbincang secara mendalam perbezaan konsep ‘Negara Kebajikan’ (Walfare State) yang diamalkan oleh negara Barat dengan ‘Negara Berkebajikan’ (Caraing Society) yang ada di dalam Islam.

Ini bermakna perkara Negara Berkebajikan telah dibincangkan secara mendalam dari aspek fiqh, politik dan kepentingan ummah serta rakyat perlbagai kaum. Oleh itu adalah tidak benar sama sekali untuk mengatakan bahawa PAS sudah menukar haluan perjuangannya dari Negara Islam kepada Negara Berkebajikan.

Dalam hal ini saya merakamkan kembali sebahagian petikan kenyataan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Haji Nik Abd Aziz Nik Mat mengenai hal ini di mana beliau memberi jaminan bahawa Majlis Syura Ulama selaku badan pemantau kepada parti sama sekali tidak akan berpeluk tubuh jika dasar parti dilanggar atau dirombak.

Justeru, kata Tuan Guru, adalah tidak benar untuk menyatakan bahawa Negara Berkebajikan yang disebut oleh Datuk Seri Presiden di dalam ucapan dasarnya di dalam Muktamar Tahunan PAS baru-baru ini dan pelancarannya bulan lalu tersasar dari perjuangan asal PAS. Dakwaan ini, katanya, adalah tidak berasas.

Di pihak Majlis Syura, tambahnya, menganggap idea Negara Berkebajikan yang disebut oleh Datuk Seri Presiden bukannya menggelincirkan PAS dari landasannya bahkan lebih mendekatkan masyarakat Malaysia kepada perjuangan PAS yang bercita-cita mendaulatkan Islam di dalam sistem pemerintahan.

Dalam hal ini, kata Tuan Guru Nik Abd Aziz lagi, negeri Kelantan yang telah 21 tahun ditadbir oleh PAS menjadi rekod dan testimoni yang nyata terhadap cita-cita murni PAS ini.

Dalam hubungan ini juga Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Haji Awang tampil mempertahankan dasar-dasar PAS termasuk konsep Negara Berkebajikan. Tegasnya, pendekatan politik mutakhir bersama Pakatan Rakyat adalah menjadi penerusan amalan politik Islam secara feqah, bukannya secara remeh temeh.

"Kejayaan dicapai apabila kalangan bukan Islam menerima konsep perlembagaan, Islam menjadi agama negara, dengan hak yang diberi secara adil kepada penganut agama lain, serta hak Bumiputra, Bahasa Kebangsaan dan Raja Berpelembagaan," tambahnya.

Beliau mengingatkan mereka yang menyertai PAS wajib mengikut haluan dan halatujunya serta cara perjalanannya yang tersendiri, berlandaskan Islam secara feqah dan bukan hanya berpaksikan semangat tanpa ilmu dan faham.

NFC paku terakhir keranda Umno | Print |
MOHD RASHIDI HASSAN | rashidi@harakah.net.my
Pada hari terakhir sidang Dewan Rakyat baru-baru ini, penulis minum bersama beberapa orang Ahli Parlimen Pakatan Rakyat di kafe. Sedang kami berbual-bual, datang seorang Timbalan Menteri, sambil membawa secawan kopi, duduk bersama-sama dengan kami semeja.

Tiada lain yang menjadi topik perbualan selain isu Dato' Seri Shahrizat Abdul Jalil dengan skandal syarikat NFC milik anggota keluarganya.

Dengan nada merungut Timbalan Menteri itu berkata, sepatutnya Shahrizat sudah meletakkan jawatan sebagai Menteri dan Ketua Pergerakan Wanita Umno. Dalam erti kata lain, beliau mengatakan Shahrizat merupakan liabiliti yang akan membebankan Umno dalam jangka panjang.

Memang pun, soal Shahrizat sudah beberapa kali dibangkitkan wakil rakyat Umno-BN. Dengan nada lantang, mereka mendesak Shahrizat melepaskan jawatan. Gesaan itu dibuat berulang kali tetapi kerajaan dan parti pimpinan Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak, diam membisu.

Ketua Umno Cheras, Dato' Syed Ali al-Habshee sudah tidak tahan sehingga terpacul perkataan 'biawak hidup' dari mulutnya. Lantas penyokong Shahrizat yang berang, terus menyerang Syed Ali dan mempersoalkan kepada siapa ungkapan biawak hidup itu dilontarkan.

Berbalik kepada sembang-sembang kami dengan Timbalan Menteri tadi, penulis bertanya kepada beliau, apakah sewaktu ahli politik menjawat jawatan awam seperti PM, TPM, Menteri dan Timbalan Menteri yang mempunyai kuasa serta kedudukan, tidak diberi panduan oleh SPRM.

Panduan ini penting agar penjawat jawatan utama dalam kerajaan ini, boleh menghindarkan diri mereka daripada salahguna kuasa dan rasuah.

Timbalan Menteri itu tidak terus menjawab soalan penulis. Beliau mengambil pen yang tersemat dibajunya, lalu melukiskan garis empat berbentuk palang t. Beliau kelihatan serius sambil menulis. Kami semua terpaku dan memerhatikan sahaja tingkah lakunya.

Di sebelah kanan atas garisan t tersebut, ditulis 'ibu bapa'. Di sebelah kiri atas, ditulis 'suami isteri'. Pada ruang kanan di bawah ditulis 'adik-beradik', manakala di ruang kiri bawah ditulis 'anak beranak'.

Kami masih tidak memahami apa maksud beliau. Lalu Timbalan Menteri itu menghela nafasnya dengan agak panjang, lalu berbicara:

"Saya tanyakan kepada pegawai SPRM, jika seseorang penjawat awam mahu mengelakkan tuduhan rasuah dalam pemberian tender atau projek, siapakah golongan yang harus dielakkan?"

"Pegawai SPRM itu melukiskan kepada saya, lukisan yang saya buatkan kepada you all. Elak empat golongan ini, sudah pasti akan selamat," katanya ringkas.

"Maksud YB, dalam kes NFC Shahrizat, kalau begini aturan SPRM, beliau sudah pasti terbabit dalam rasuah?" soalan pantas penulis kepada Timbalan Menteri tersebut.

"Well...saya tidak boleh cakap lebih-lebih, ini terpulang kepada SPRM," kata beliau sambil menghirup tegukan terakhir kopinya dan terus berlalu pergi.

Kata-kata beliau tadi walaupun ringkas, tetapi cukup jelas. Kebetulan ada cakap sosek-sosek di kalangan wakil rakyat Umno, supaya mereka jangan membela Shahrizat tatkala isu NFC dibangkit Pakatan Rakyat di dalam sidang Dewan.

"Tadi aku berucap nak lawan pembangkang, tapi Menteri tu tegur aku, dia kata buat apa engkau bela Sharizat. Dia dapat duit, engkau dapat tahi," kata seorang MP kepada beberapa orang rakannya sambil menyedut rokok di meja luar kafe.

Memang benar, Umno pun pening hendak membela Shahrizat dan keluarganya. Gelagat Shahrizat sewaktu Perhimpunan Agung Umno yang lepas menyebabkan ramai perwakilan Umno yang melugai.

Tetapi mereka terpaksa menyokong kerana seluruh persidangan sudah diorkestrakan untuk memaki hamun Pakatan Rakyat.

Umno sebenarnya tidak ada pilihan lain. Jika mereka mencantas Shahrizat kerana terpalit dengan rasuah, orang yang memberikan tender RM250 juta itu adalah orang Umno sendiri.

Jika mereka tidak mencantas Shahrizat, seluruh parti Umno akan dituduh parti perasuah yang melindungi perasuah dan mengamalkan dasar korupsi, kronisme dan nepostime.

Sekarang pun Umno sudah tidak tahan. Tahi-tahi lembu NFC sudah terpalit banyak ke muka Umno, sehingga hari ini rakyat sudah mula beranggapan, seluruh pemimpin dan perwakilan Umno 'bagaikan lembu yang dicucuk hidung' sementara menunggu untuk disembelih sahaja.

Paling mereka tidak tahan, ada kalangan pemimpin Umno yang merungut kerana mereka digelar 'bodoh macam lembu' kerana membela kemewahan keluarga Shahrizat tanpa usul periksa.

Bagi kita Pakatan Rakyat, kita menjalankan tugas mendedahkan penyelewengan pemimpin Umno, yang asasnya amat kuat, terkandung dalam laporan Ketua Audit Negara.

Jika Najib tidak mahu mengambil tindakan terhadap Shahrizat pun tidak mengapa. Jika pun selepas ini, mungkin ada yang membuat perisytiharan bahawa mereka menolak laporan audit dan membebaskan Shahrizat, pun tidak mengapa.

Ingatlah bahawa rakyat kita semakin celik dan bijak. Umno boleh simpan Shahrizat, Umno boleh tutup kes NFC, tetapi Umno tidak boleh menghalang Shahrizat dan NFC menjadi antara paku-paku besar yang akan dipala dengan tukul besi bagi melengkapkan pembinaan keranda Umno pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti. Adios Umno-BN!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan