Selasa, 27 Disember 2011

BILA OTAK BERKISAR LUCAH...MUNGKIN ITU MAINAN BIASA...TU SEBAB HUDUD DITENTANG...NON MUSLIM BIASALAH...NI MUSLIM ..MEMANG NAK MENEMPAH MURTAD

Mahasiswa tolak politik ludah
Muhd Syahid Mohd Zaini

Baru-baru ini mahasiswa melakar satu lagi sejarah baru apabila berjaya melakukan perhimpunan aman bagi menuntut kebebasan akademik dari Masjid Jamek dan berarak hingga ke bangunan PWTC.

Enam tuntutan yang ingin dibawa gerakan ‘Bebas’, iaitu mansuhkan AUKU, akta 174 dan akta 555, bebaskan ilmuan berakademik, bebaskan mahasiswa bersuara, bebaskan mahasiswa mengurus pilihanraya kampus, bebaskan mahasiswa mengurus tadbir persatuan dan bebaskan mahasiswa berpatisipasi dalam politik.

Mengenali isu tindakan Adam Adli yang menukarkan bendera gambar Perdana Menteri Datuk Seri Najib dengan bendera logo Bebas, saya kira isu adalah tidak perlu diperbesarkan.

Sepatutnya tuntutan yang dibawa mahasiswa untuk memansuhkan AUKU dan kembalikan hak dan autonomi mahasiswa perlu dibincangkan oleh semua pihak bukannya membincangkan perkara yang remeh itu.

Biarlah mahasiswa melakukan kesilapan semasa zaman mahasiswanya supaya mereka tidak melakukan kesilapan di masa mereka menjadi pemimpin masa hadapan. Ini adalah satu proses pembelajaran untuk mematangkan diri dan menimba pengalaman terbaik.

Kepada rakan-rakan pro-aspirasi yang melakukan demonstrasi di Putrajaya baru-baru ini bagi menyokong kepimpinan YAB Dato’ Seri NajibTun Razak dan mendesak Dato’ Saifuddin Abdullah meletak jawatan sebagai Timbalan Menteri Pengajian Tinggi saya ucapkan tahniah kerana berjaya menggunakan ruang demokrasi untuk menyatakan pandangan.

Namun saya ingin mengingatkan, janganlah mahasiswa menjadi budak suruhan untuk kepentingan mana-mana pihak. Mahasiswa mempunyai idealisme dan pendirian tersendiri bukannya menjadi seperti "lembu dicucuk hidung" yang mudah dikawal pihak lain.

Kita ketepikan ideologi politik masing-masing sebentar untuk kita bersatu bersama-sama dalam memperjuangkan nasib mahasiswa, rakyat dan kesejahteraan negara.

Adakah kita sanggup melihat kegagalan kerajaan sekarang dalam mengurus tadbir negara sehingga banyak berlaku penyelewengan harta rakyat berterusan di masa akan datang.

Pengagihan kekayaan negara hanya berlegar di kalangan golongan ‘elit’ dan kroni sahaja. Dalam masa yang sama majoriti rakyat menghadapi tekanan kehidupan yang kian menghimpit dengan kesan peningkatan harga barang dan paras gaji yang rendah.

Saya juga ingin berpesan kepada mana-mana parti politik samada Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat supaya lebih telus dan ikhlas dalam memperjuangkan nasib rakyat dan negara.

Budaya gangsterisme dan politik kotor mestilah ditolak dalam kehidupan masyarakat Malaysia yang terkenal dengan adab sopannya.

Mahasiswa dan anak muda merupakan penentu undi dalam pilihan raya akan datang. Kita lakukan sedikit pengorbanan untuk melakukan perubahan demi memastikan keadilan dan kemakmuran negara dapat dilaksanakan.

*Penulis adalah Presiden Gabungan Mahasiswa Bersatu Perak (BERSATU)


Kebersihan pentadbiran juga penting dipelihara
Mohd Sabri Said

BAYAN LEPAS, 27 Disember: Pentadbiran negeri yang bersih juga antara aspek penting bagi menentukan nasib rakyat terbela, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir, Datuk Saleh Man.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Green Cleaneer Penang di Sungai Batu, Bayan Lepas semalam.

Katanya, kebersihan bukan sahaja dikaitkan dengan keindahan alam ciptaan Allah s.w.t malahan kebersihan dari segi pentadbiran juga menjadi daya tarikan apatah lagi pelaburan yang boleh meninggikan lagi pendapatan negeri yang berharap penuh pada sektor perindustrian dan pelancungan.

Ujarnya lagi, rakyat akan bertambah sihat apabila mereka dapat rasakan kelainan apabila lebihan pendapatan hasil kerja kuat rakyat dibahagikan pula kepada semua penduduk walaupun tidak seberapa.

"Itulah kualiti kerja Kerajaan Negeri masa kini. Kita mementingkan kebersihan dari semua segi tidak hanya tertumpu pada keindahan alam semata-mata. Cara itu boleh membuatkan rakyat bertambah sihat, " jelasnya.

Green Cleaneer anjuran Kerajaan Negeri Pulau Pinang dibeberapa lokasi sebelum ini berjaya merealisasikan Pakatan Rakyat yang mahukan Pulau Pinang diserikan kembali menjadi sebuah pulau yang menjadi tarikan seperti dulu.

Jolokan Pulau Pinang sebagai 'Darul Sampah' beberapa tahun lalu ketika diakhir hayat pemerintahan Barisan Nasional (BN) cuba dipulihkan dengan penganjuran majlis seperti ini.

Selain menghijaukan kembali lokasi yang dulunya kering kontang tanpa pokok yang sesuai majlis tersebut juga mengeratkan kerjasama yang lebih gemilang sesama agensi kerajaan, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dengan penduduk setempat.

Sementara itu, Ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Iszuree Ibrahim ketika berucap berharap Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) sebelah pulau lebih menonjolkan program seumpama ini untuk menyemai pendidikan di kalangan para remaja khususnya tentang kepentingan menjagai kebersihan.

Baginya sebagai Ahli MPPP, bersedia membantu mana-mana pihak untuk melaksanakan projek berkenaan. MPPP akan menyediakan beberapa peralatan untuk menjayakanya.

"MPPP memang menggalakan orang ramai menganjurkan program seumpama itu demi memastikan Pulau Pinang indah, bersih, nyaman dan tenteram, " terangnya.

Sebelum itu Dato' Saleh Man diberikan peluang menanam beberapa batang pokok hadapan flat Taman Vanila Sg Batu, Teluk Kumbar.

Berbagai pihak turut mengadakan pameran antaranya ialah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri, PasukanPolis, Pendaftran Orang Kelainan Upaya (OKU), Jabatan Parit dan Salliran (JPS), Jabatan Kesihatan Negeri dan pemeriksaan kesihatan oleh sebuah NGO.

Turut serta berucap dalam majlis berkenaan ialah Penyelaras Dun Bayan Lepas, Cikgu Asnah Hashim dan Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusuf.

Risalah lucah hina Saifuddin di UiTM Shah Alam | Print |
Harakahdaily

SHAH ALAM, 27 Dis: Kumpulan Aktivis Mahasiswa (Kami) mendakwa wujud pihak tertentu menyebarkan risalah lucah di sekitar Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Shah Alam sejak Khamis lalu.

Risalah tersebut memaparkan karikatur dua individu yang masing-masing dilabel sebagai Anwar dan Saifuddin dalam keadaan tidak senonoh.

Selain karikatur yang menjijikkan itu, terdapat juga tulisan berbunyi "Sibuk sangat nak baik dengan Pro M yang hina PM tu!".

Menurut Setiausaha Agungnya Khairul Naim, risalah itu dipercayai diedar pada Khamis dan Jumaat lalu oleh beberapa pihak tertentu yang kurang senang pihak yang memberi sokongan kepada Pro–Mahasiswa terhadap isu kebebasan akademik yang hangat diperkatakan sekarang.

"Kami tidak menuduh mana-mana pihak, tetapi tindakan menyebarkan risalah dan gambar ini adalah sesuatu yang melampau," katanya kepada Harakahdaily.

Menurutnya lagi, tindakan tersebut dipercayai ada kaitan dengan perhimpunan aman Pro-Aspirasi di perkarangan pejabat Kementerian Pengajian Tinggi baru-baru ini bagi mendesak Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah (gambar atas) meletakkan jawatan kerana memihak kepada Pro–Mahasiswa dalam penganjuran Perhimpunan Kebebasan Akademik di Kuala Lumpur.

"Kami berharap supaya Bahagian Hal Ehwal Pelajar dapat menyiasat kes ini sedalam-dalamnya kerana dilaporkan tiada sebarang tindakan terhadap kes yang berlaku ini.

"Dulu apabila Mahasiswa mengadakan speaker’s corner, kecoh satu kampus kerana Mahasiswa dikatakan menghuru-harakan kampus sehingga beberapa Mahasiswa ditahan oleh Polis Bantuan UiTM, tetapi mengapa apabila timbul kes ini pihak pentadbir mengambil pendirian berdiam diri?" katanya.

Sementara itu beliau berkata, pihaknya akan terus pertahankan Saifuddin walau apapun terjadi kerana yakin dengan perjuangannya.

Beliau juga menyifatkan tindakan Pro–Aspirasi yang berdemo sebagai “meludah ke langit” kerana suatu ketika dulu mereka mengatakan bahawa Mahasiswa berdemonstrasi adalah tidak intelektual.


BN kalah jika Ahmad Said kekal MB - Idris | Print |
Zulkifli Sulong

KUALA TERENGGANU, 27 Dis: Ketika yakin Terengganu akan kekal di bawah BN namun bekas Menteri Besar Datuk Seri Idris Jusoh bimbang BN akan kalah jika Datuk Seri Ahmad Said terus kekal sebagai Menteri Besar.

Perkara ini dinyatakan beliau kepada teman-teman rapat beliau dalam Umno.

"Kita masih dahului PAS tetapi kalau hok j**g**g tu masih jadi MB, kita kalah," kata Idris kepada teman-temannya dalam Umno.

Kenyataan ini diceritakan semula rakan-rakan Idris kepada pemimpin PAS, Datuk Mustafa Ali.

Mustafa menceritakan hal ini dalam majlis makan malam PAS Dun Ladang baru-baru ini.

Kenyataan Idris membayangkan beliau masih menjadi faktor penting dalam politik Umno Terengganu.

Namun begitu, sikap beliau telah menyebabkannya terketepi dari arus utama politik Terengganu kerana tidak disenangi oleh pihak istana.

Walaupun dibawa ke pusat, ia juga tidak menyelesaikan masalah Idris. Beliau sekadar dilantik menjadi Pengerusi MARA sahaja.

Ahmad Said dilantik sebagai MB selepas pilihan raya umum 2008 lalu. Namun perpecahan dalam Umno Terengganu terus ketara.

Mereka berpecah kepada dua kumpulan. Satu dipimpin oleh Ahmad Said manakala satu lagi masih yakin dengan kepimpinan Idris.

Salah seorang penyokong Idris adalah Adun Alor Limbat, Alias Mohamad. Sejak sekian lama Alias tidak bergerak selaku Adun kerana pertentangannya dengan kumpulan Ahmad Said.

Kini, menurut sumber, Alias tidak tersenarai sebagai calon Umno dalam pilihan raya akan datang.

Beliau akan digantikan oleh Saiful Bahri Baharudin (gambar), Ketua Pemuda Umno Terengganu.

Namun ramai yakin pemilihan Saiful akan memudahkan laluan PAS untuk merampas kembali Dun ini.

Ini kerana Saiful lebih berminat untuk mendapat keuntungan dari projek pembangunan dari politik.

Pemilihan beliau sebagai Ketua Pemuda pula dibuat oleh Khairy Jamaludin bukannya akar umbi Umno Terengganu.

Hasilnya, nama bekas Adun Umno di situ, Yusof Musa naik kembali. Alias sedar mengenai hal ini dan mula bergerak.

Namun beliau juga mula sedar, Idris Jusoh sudah tidak ada tempat dalam politik Terengganu.

"Orang-orang Idris kini mula mendekati Ahmad Said kerana sedar idris tidak akan naik semula di Terengganu," kata satu sumber dalam tinjauan Harakahdaily.

Sebelum ini, Harakahdaily pernah melaporkan Umno akan memilih Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Chek sebagai MB Terengganu selepas pilihan raya umum akan datang.

Beliau dilaporkan dipilih bagi mengimbangi pertembungan politik antara Idris dan Ahmad Said. Namun hubungan istimewa beliau dengan PAS dan Tengku Razaleigh Hamzah menyebabkan sesetengah pihak dalam Umno sangat bimbang dengan pendekatan ini.

"Pendek kata, politik Umno Terengganu belum jauh dari stabil dan PAS mempunyai mempunyai peluang yang ceraha untuk merampas kembali Terengganu," kata seorang pemimpin PAS.

Kenyataan beliau disokong oleh seorang bekas pemimpin PKR Terengganu.

"Bagi saya ciri-ciri untuk menang di Terengganu ada tetapi PAS dan Pakatan Rakyat perlukan 'bom' untuk menyedarkan rakyat tentang semua ini," kata beliau.


Laporan polis, SPRM terhadap Awang Adek | Print |
Salmah Mat Husain

KOTA BHARU, 26 Dis: Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan hari ini membuat laporan polis berhubung Ketua Umno Bahagian Bachok, Datuk Dr Awang Adek menerima sejumlah wang dari pihak tertentu menerusi tiga keping cek.

Dakwaan itu dibuat berikutan sebuah lama blog yang dikenali thewhistleblower 711 di alamat http://thewhistlower711.blogspot.com.

Artikel berkenaan memuatkan Awang Adek dikatakan telah menerima sejumlah wang ke dalam akaun peribadi beliau yang merupakan sumbangan seseorang.

Tiga akaun cek yang berjumlah keseluruhannya RM100,000 masing-masing bernombor 45128662, 98634780 dan 994648024 telah dimuatkan dalam blog tersebut.

Laporan polis berkenaan dibuat oleh Mohd Roshdi Zahari, 29, dari Kampung Tualan Salak, Jelawat, Bachok di IPD Kota Bharu, Pengkalan Chepa dekat sini kira-kira pukul 3.15 petang tadi.

Sebaik sahaja laporan polis berkenaan siap dibuat, laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan pula dibuat.

Naib Ketua Pemuda PAS negeri, Hafiz Musa, ketika ditemui memberitahu sumbangan berkenaan begitu meragukan dan pihak berkenaan perlu menyatakannya secara jelas berhubung perkara itu.

Umno Besut kibar bendera negeri separuh tiang? | Print |
Khairul Azlam Mohamad

BESUT, 26 Dis: PAS Besut melahirkan rasa dukacita dengan tindakan Umno bahagian yang mengibarkan bendera negeri separuh tiang sejak lebih seminggu lalu.

Yang Dipertua PAS Besut, Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad berkata, tindakan mengibarkan bendera negeri Terengganu separuh tiang di pejabat Umno bahagian Besut itu tidak wajar.

Ini kerana, katanya di saat seluruh rakyat jelata gembira dengan keberangkatan pulang Sultan Terengganu, Tuanku Mizan Zainal Abidin kembali memerintah negeri tindakan tersebut amat dikesali.

“Ini tidak harus berlaku di saat seluruh rakyat negeri ini bergembira dengan kepulangan Tuanku Mizan Zainal Abidin untuk kembali memerintah Terengganu, setelah menamatkan tempoh pemerintahan baginda selama sepenggal sebagai Yang di-Pertuan Agong ke 13,” katanya.

Menurutnya, Umno BN bersikap hiporkrit apabila melenting marah ketika seorang mahasiswa yang berdemonstrasi bertindak menurunkan gambar Datuk Seri Najib Tun Razak tetapi membisu berhubung bendera Terengganu dinaikkan separuh tiang itu.

“Saya tidak fikir Ketua Umno Bahagian Besut tidak nampak bendera Terengganu berkibar di separuh tiang di hadapan pejabatnya di tengah-tengah bandar Jerteh dalam tempoh waktu yang agak lama.

“Saya juga tidak terfikir bekas Menteri Besar Terengganu (Idris Jusoh) itu tidak dimaklumkan tentang kepulangan Tuanku Sultan Mizan yang telah kembali memerintah Terengganu,” ujarnya.

Katanya, PAS Besut menasihati kepimpinan Umno bahagian agar segera mengembalikan semula bendera negeri Terengganu pada kedudukan asal dengan baik.


Maahad Muhammadi Perempuan terbaik sekolah Yik
Rizal Tahir

KOTA BHARU, 23 Dis: Maahad Muhammadi Perempuan muncul sekolah terbaik sekolah kelolaan Yayasan Islam Kelantan (Yik) setelah mendapat keputusan cemerlang 100 peratus dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Manakala Maahad Tahfiz Sains Al-Quraan, Bistanul Ariffin, Berangan, Tumpat pula menduduki tempat kedua terbaik seluruh Kelantan yang juga mendapat keputusan 100 peratus kejayaan.

Kejayaan luar biasa yang sebelum ini hanya dicapai enam peratus bagi 9A, kini mencecah kepada 40.7 peratus, berbanding Maahad Muhammadi Perempuan 40.9 peratus.

Menariknya, pasangan kembar Nurul Aina dan Nurul Aini Mat Sidik, 15, antara yang memperolehi 9A sekolah itu.

Mudir Maahad Muhammadi Perempuan, Ustaz Mansor Daud ketika berucap pada majlis pengisytiharan itu semalam memberitahu, seramai 167 pelajar yang menduduki peperiksaan itu telah memperolehi 9A.

“Ianya satu pencapaian yang amat membanggakan dan kita sendiri tidak menduganya.

“Sebelum ini Yik meletakkan target pada kita, 95 peratus, kita rasa ianya tidak mampu melepasinya, namun inilah ketetapan Allah, alhamdulillah,” ujarnya.

Mudir Maahad Tahfiz Sains Al-Quran Bistanul Ariffin, Ustaz Suhaimi Sulaiman pula, menyifatkan kejayaan itu bukan hanya keberkatan sekolah aliran agama sahaja, sebaliknya pelajar juga menghafal al-Quran.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan