Sabtu, 22 Oktober 2011

KEYAKINAN KEIMANAN DENGAN AKIDAH YANG BENAR SERTA DIIKUTI IBADAH SAH DISISI ALLAH..BARU TAKWA..DENGAR DAN DIPATUHI...

Aziz Bari: Warga UIA tuntut penjelasan | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 21 Okt: Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (MPPUIAM) melahirkan rasa dukacita terhadap tindakan penggantungan yang dikenakan terhadap seorang pakar perlembagaan di Malaysia, Prof Dr Abdul Aziz Bari (gambar).

Presidennya, Mohamad Iqbal Ab Wahab berkata, apatah lagi, Dr Aziz telah menyumbang bakti di bumi UIAM digantung tanpa diadili terlebih dahulu, kata

“Perkara ini jelas bertentangan dengan Fasal 10 Perlembagaan Malaysia yang menyentuh berkenaan kebebasan bersuara. Yang lebih menyedihkan, kebebasan akademik secara jelas telah dicabul,” katanya kepada Harakahdaily pagi ini.

Baginya, jenayah akademik dan intelektual sebegitu tidak dapat diterima oleh seluruh rakyat Malaysia secara amnya dan warga UIAM khususnya.

Tegasnya, yang nyata, isu yang dibangkitkan oleh ahli akademik ini perlu dijawab dengan secara ilmiah, bukan dengan cara politik murahan dan tidak bertamadun.

Tambahnya, tindakan penggantungan sebegitu serta layanan terhadap Dr Aziz sedikit sebanyak telah menjejaskan imej UIAM di mata dunia.

“Oleh hal yang demikian, kami mewakili seluruh warga UIAM menuntut penjelasan dari pihak tertinggi UIAM berkenaan isu ini kepada seluruh warga UIAM,” katanya.

Beliau menambah, MPPUIAM juga menuntut pihak universiti perlu menarik balik penggantungan terhadap Dr Aziz dan satu sesi public hearing (pengadilan di tempat terbuka) dijalankan di dalam UIAM bagi mendapatkan penjelasan kedua-dua belah pihak.

“Kami juga menolak sebarang campur tangan pihak luar terutama bagi mereka yang mempunyai kepentingan politik dan peribadi dalam menyelesaikan isu ini.

“Akhir kata, kami menyeru kepada semua pihak untuk menghormati kesucian taman ilmu dan budi , demi nusa, bangsa dan agama Islam yang tercinta,” ujarnya lagi.

Tambahan pula, ujarnya apabila membawa nama Universiti Islam Antarabangsa.


Kenyataan Jamil Khir sah Umno gagal jaga Islam | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 21 Okt: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor menyifatkan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom mengenai Perhimpunan Sejuta Umat (Himpun) Mempertahankan Aqidah telah menyerlahkan dan mengesahkan kegagalan Umno selama ini untuk menjaga agama Islam di dalam negara ini.

Ketuanya, Ustaz Hasbullah Mohd Ridzwan berkata, sepatutnya Umno yang selama ini mendabik dada sebagai pembela orang Melayu dan agama Islam telah memartabatkan Islam di tempat yang selayaknya.

Tambahnya, tetapi amat malang setelah 54 tahun Umno memerintah negara ini, agama Islam telah semakin terpinggir daripada sudut pengamalan masyarakat Islam masakini dan yang paling dikesali Islam menjadi sasaran cemuhan dan hinaan masyarakat bukan Islam.

“Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor merasakan sepatutnya Jamil Khir sebagai seorang agamawan Islam sepatutnya mengambil kesempatan di atas jawatan beliau untuk menyokong undang-undang hudud yang telah diluluskan di Dun Kelantan dan Terengganu dan diberikan nilai tambah untuk diluluskan dan dilaksanakan di peringkat Kerajaan Pusat,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Tegasnya, Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor tetap berpandangan dengan pembabitan Pemuda Umno, Perkasa dan rakan seangkatannya di dalam perhimpunan tersebut akan menyebabkan program tersebut dimonopoli oleh mereka keseluruhannya.

Akhirnya, kata beliau program tersebut akan menjadi medan politik murahan Umno dan akan dipenuhi dengan hamburan maki keji nista terhadap agama lain seterusnya merosakkan hubungan baik antara agama di dalam negara ini.

Menurutnya, Umno, Perkasa dan rakan-rakan sekutu mereka selama ini telah terbukti dan terkenal di dalam meng’hijack’ program orang lain dan memainkan isu-isu sentimen agama dan perkauman untuk kepentingan politik sempit mereka.

Oleh itu, ujarnya Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mengharapkan semoga penganjur program Himpun akan mempastikan program tersebut tidak akan menjadi medan yang akan merosakkan hubungan murni antara kaum dan agama di dalam negara ini.

“Sekiranya ianya berlaku maka ia akan menjadi episod malang dan bencana kepada negara dan agama Islam itu sendiri dan semuanya adalah kesalahan daripada Umno dan Kerajaan Barisan Nasional,” ujarnya.


Balak: Najib dituntut bayar Kedah RM100 juta | Print |
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 21 Okt: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dituntut melaksanakan janjinya untuk membayar imbuhan sebanyak RM100 juta setahun kepada Kerajaan Kedah kerana tidak menebang balak di negeri itu.

Ahli Parlimen Pendang, Dr Mohd Hayati Othman berkata, janji tersebut bukan hanya dibuat oleh Najib, malah oleh dua bekas Perdana Menteri sebelum ini, tetapi masih belum ditunaikan sehingga sekarang.

Katanya, Perdana Menteri tidak sepatutnya bercakap sahaja untuk membayar imbuhan tersebut, tetapi tidak pula mengambil sebarang usaha untuk melaksanakannya.

"Janji itu telah terlalu lama, malah sejak dua bekas Perdana Menteri sebelum ini dan sekarang perlu ditunaikan sejajar dengan janji yang telah dibuat," katanya ketika berucap pada persidangan Dewan Rakyat di sini, semalam.

Jika janji itu tidak dilaksanakan juga, Kerajaan Pakatan Rakyat Kedah, menurut beliau, berhak menuntutnya kerana Kerajaan Kedah sememangnya berhak mendapat imbuhan tersebut.

Sebelum itu, beliau turut menyentuh tentang keperluan Kerajaan Pusat memberikan imbuhan kepada persatuan pemandu teksi bagi membantu ahli-ahlinya dengan kadar yang berpatutan paling kurang RM15,000 setahun.

Selain itu, beliau mencadangkan kepada pihak kerajaan agar memberikan elaun kepada mereka yang terlibat dalam kerja-kerja penghantaran pesakit menerusi ambulan yang bukan dimiliki oleh hospital, tetapi Persatuan Bulan Sabit Merah dan Jabatan Pertahanan Awam.

Menurutnya, peranan mereka juga penting bagi membolehkan orang sakit atau mereka yang mengalami kecederaan dihantar ke hospital dengan segera, memandangkan ambulan hospital kadang-kalanya lambat tiba setelah dipanggil.

Sehubungan itu, beliau menyarankan agar mereka yang terlibat dengan kerja-kerja itu diberikan latihan mencukupi, bagi membolehkan mereka memberikan bantuan kepada pesakit dengan betul agar tidak mencederakan atau menambahkan lagi kecederaan pesakit.

"Jika terdapat pesakit yang perlu dimasukkan air ke dalam badannya, sekiranya mereka diberikan latihan, bolehlah mereka melakukan kerja-kerja itu dengan betul bagi membantu pesakit sepanjang berada di dalam ambulan," tegasnya.

Menyentuh tentang kepentingan pelajaran anak-anak, beliau menyarankan Kementerian Pengajian Tinggi melakukan penyelarasan terhadap tawaran masuk para pelajar ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Katanya, kini tawaran masuk para pelajar ke IPTA agar lambat berbanding tawaran yang diterima dari Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), sehingga terdapat para pelajar yang telah menerima tawaran ke IPTS terlebih dahulu sebelum ke IPTA.

Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), katanya, diumumkan pada bulan Mac, manakala tawaran dari IPTS telah diterima oleh para pelajar sekitar bulan Jun dan ke IPTA pula sekitar bulan September.

"Disebabkan tawaran ke IPTA lambat, terdapat pelajar yang telah menerima tawaran ke IPTS terlebih dahulu kerana bimbang tidak akan mendapat tawaran ke IPTA.

"Apabila tawaran ke IPTA diterima kemudiannya, terdapat pelajar yang menanggung kerugian sehingga RM500 akibat membayar yuran yang tidak akan dipulangkan kembali kepada pihak IPTS terlebih dahulu," ujarnya.

Sebelum itu juga, beliau turut menyarankan Kementerian Kewangan agar turut membayar elaun kepada kakitangan kumpulan sokongan yang bertugas di hospital, setelah pihak kerajaan memutuskan untuk membayar elaun khas kepada para doktor dan pembantu perubatan baru-baru ini.

Beliau sebelum itu turut menuntut Kerajaan BN melaksanakan janjinya untuk membina hospital di Pendang di atas tapak seluas 40 hektar dengan kos RM150 juta seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, memandangkan janji tersebut telah diulang banyak kali setiap kali pembentangan bajet dilakukan setiap tahun.

"Jadi bilakah lagi nak dibina hospital di kawasan itu? Janganlah hanya menunggu hendak diadakan pilihanraya barulah nak dibina hospital di Pendang," katanya.

Di awal ucapannya, beliau mendesak Kerajaan Pusat mengambil perhatian ke atas nasib para petani, khususnya yang mengusaha tanaman padi agar membantu memberikan benih padi kepada mereka, memandangkan para petani di kawasan Pendang khususnya dan di Kedah amnya kini mengalami kekurangan benih padi.

Kejadian tersebut, menurut beliau, tidak akan berlaku sekiranya perancangan yang dibuat oleh pihak kerajaan betul, tetapi disebabkan terdapat permainan politik di sebaliknya menyebabkan para petani pula yang terpaksa menanggung akibatnya.

Katanya, masalah tersebut tidak sepatutnya dipandang mudah oleh kerajaan kerana ia amat penting bagi kepentingan bekalan beras negara, memandangkan Malaysia kini hanya mempunyai stok beras sebanyak 295,000 tan sahaja setahun.

"Selebihnya, iaitu sebanyak 60 peratus lagi terpaksa diimport dari negara lain termasuk dari Thailand, tetapi Thailand pula baru-baru ini telah dilanda banjir sehingga menyebabkan 1.8 hektar kawasan tanaman padi di negara itu ditenggelami banjir.

Sebelum itu, beliau bertanya kepada Kerajaan BN mengenai status jalan raya yang hendak dibina oleh JKR khususnya jalan timur barat Pendang ke Sungai Tiang yang menelan belanja RM160 juta.

"Projek itu menelan belanja yang besar, tetapi status jalan itu sendiri pun tidak dimaklumkan. Adakah Lebuh Raya Timur Sepang? Apakah status sebenarnya jalan itu?" katanya.


‘Bangunan hijau’ jimat tenaga, mesra alam | Print |
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 20 Okt: Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr. Mujahid Yusof Rawa mencadangkan kerajaan menggunakan konsep ‘bangunan hijau’ bagi semua bangunannya sebagai langkah penjimatan tenaga dan lebih mesra alam.

Mujahid sewaktu mengemukakan soalan tambahan pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini berkata, konsep bangunan hijau lebih memberikan langkah penjimatan untuk jangka masa panjang berbanding menetapkan suhu pendingin hawa dalam bangunan tidak kurang daripada 24 darjah celsius.

"Adakah kementerian mempunyai hasrat ataupun bersunguh-sungguh bukan sahaja penjimatan penggunaan tenaga tanpa kos yang hanya melibatkan kawalan penghawa dingin tapi bersedia membawa konsep bangunan itu secara menyeluruh yang dinamakan bangunan hijau.

"Kalau kita tak fikir secara serius konsep bangunan hijau ini, kita akan terus menanggung kos jangka panjang.

"Bangunan hijau ini meliputi reka bentuk yang mesra cahaya semula jadi, dapat mengurangkan kos penyelenggaraan.

"Kemudian sistem pengudaraan yang mengurangkan penyerapan haba seperti penggunaan sistem penebat suhu yang lebih tinggi selain sistem kitar semula yang cekap penggunaan air hujan untuk penyiraman dan lanskap pembngunan itu sendiri dengan pokok-pokok yang boleh kuranglan kepanasan dan menyedut karbon dioksida," katanya.

Beliau mencadangkan demikian setelah Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau Dan Air, Noriah Kasnon memberitahu pihak kementerian belum mengeluarkan surat pekeliling dan garis panduan mengenai arahan megawal susu pendingin udara di pejabat-pejabat.

Mujahid dalam soalan asalanya meminta Menteri Tenaga, Teknologi Hijau Dan Air menyatakan adakah surat pekeliling sudah dikeluarkan bagi memastikan semua bangunan kerajaan menggunakan suhu penghawa dingin di bawah 24 celcius bagi menjimatkan tenaga.

"Perkara ini kita dah mesyuarat dan sekarang sudah masuk Oktober. Saya rasa ini perlu disegerakan kerana lagi lama kita tangguh dan hanya buat keputusan sahaja saya rasa kita terpaksa tanggung kos tenaga yang semakin meningkat," katanya yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.

Ogos lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib mengarahkan Semua bangunan kerajaan menetapkan suhu pendingin hawa dalam bangunan masing-masing tidak kurang daripada 24 darjah celsius sebagai langkah penjimatan tenaga.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan