Khamis, 22 September 2011

SILAP2...CERITA NI AKAN MENELANJANG KITA SENDIRI...BENARLAH SEJARAH DITOKOK TAMBAH...

Dakwaan ini seronok dan menarik - Mohamad Sabu | Print |
Abdul Aziz Mustafa

KUALA LUMPUR, 21 Sept: Timbalan Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu yang didakwa hari ini ekoran ucapannya mengenai Bukit Kepong menyifatkan kesnya sebagai 'seronok dan menarik'.

"Ini kes mengenai sejarah, tunggulah nanti. Kes ini akan jadi seronok dan menarik," katanya.

(Mohamad Sabu dan peguamnya, Mohamed Hanipa Maiden)

Beliau juga menyifatkan tindakan menyelesaikan perbezaan pandangan mengenai sejarah di dalam mahkamah adalah sesuatu yang kelakar.

"Kes ini adalah mengenai interpretasi sejarah dan sepatutnya diselesaikan melalui dialog dan debat, bukannya di mahkamah," katanya yang kelihatan bersemangat tinggi menghadapi dakwaan ke atasnya.

Beliau juga menyifatkan dakwaan ini sebagai usaha untuk menghentikan rakyat dari membincangkan fakta sejarah yang telah diselewengkan atas kepentingan Umno.

Mengulas dakwaan ke atas Mohamad itu, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menyifatkan perkara itu sebagai "kartun, kelakar, tak wajar".

"Pendakwaan itu berlaku dua tiga hari selepas (Perdana Menteri, Datuk Seri) Najib (Tun Razak) mendakwa hendak menjadikan Malaysia demokrasi terbaik.

"Pendakwaan ke atas Mohamad itu menjadikan Najib antara perdana menteri paling haprak dalam sejarah dunia kerana bercakap lain, buat lain," katanya.

Menurut Mahfuz, ketika Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pernah menyifatkan Abdullah suka berbohong (developed a habit of lying).

"Waktu itu Dr Mahathir mendakwa, Abdullah membuat kenyataan-kenyataan yang sebenarnya bohong.

"Hari ini, nampaknya Najib lebih teruk dari Abdullah. Hampir setiap kali dia bercakap, selepas itu hampir serta merta cakapnya langsung tak boleh dipercayai apabila apa yang berlaku bertentangan sama sekali dengan apa yang dia bising-bisingkan terutama apa yang didakwanya sebagai 1Malaysia.

"Cakap tentang demokrasi terbaik, tetapi kerana pandangan yang berbeza pun diheret ke mahkamah," katanya.

Mahfuz juga mempersoalkan tindakan berpilih kerajaan Najib.

"Orang-orang yang menghina pejuang kemerdekaan yang menentang penjajah dengan mendajwa kononnya negara ini tidak pernah dijajah tidak pula diambil tindakan.

"Kenyataan seperti hakikatnya adalah persendaan yang sangat sadis terhadap pejuang kemerdekaan yang menentang penjajah," katanya.

Sebelum ini, blogger ahli Umno, Dato' Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz berkata, jika negara ini tidak dijajah, negeri-negeri Melayu waktu itu semuanya adalah negeri-negeri berdaulat, maka semua mereka yang berkhidmat dan bermatian untuk negeri-negeri tersebut adalah pendukung negeri-negeri yang berdaulat.

Mereka, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pulau Manis dalam kawasan Parlimen Pekan itu, adalah "loyal subjects" dan sesiapa yang membunuh "loyal subjects" adalah pengkhianat.

"Maka demikian, celaka sungguhlah Umno. Tok nenek saya dari Tembeling dan Tebing TInggi yang bertombak dan berlembing melawan Inggeris semua adalah pengkhianat rupa-rupa nya.

"Mat Kilau, Mat Kelubi, Bahaman, Tok Gajah, Tok Janggut, Pa Andak Endut dan Maharajalela semua adalalah pengkhianat?" Mohd Ariff mempersoalkan dalam blognya, http://sakmongkol.blogspot.com.

Mohamad dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth atas dakwaan mengeluarkan kenyataan yang memburukkan nama baik anggota polis dan keluarga mereka dalam ceramahnya di Padang Menora, Tasek Gelugor, pada 21 Ogos lalu.

Beliau yang didakwa mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan mengaku tidak bersalah.

Selain itu, beliau turut berdepan dengan pertuduhan pilihan mengikut seksyen sama dengan dakwaan memfitnah tiga anggota polis yang mempertahankan diri dalam serangan komunis di Balai Polis Bukit Kepong pada 23 Februari 1950.

Pihak pendakwa meminta jaminan RM50,000 dikenakan ke atas Mohamad tetapi selepas dibantah peguam Mohamed Hanipa Maiden, mahkamah membebaskannya dengan jaminan RM15,000 sehingga hari perbicaraan.

Jika bersalah, Mohamad menghadapi kemungkinan dipenjarakan sehingga dua tahun, atau didenda atau kedua-duanya sekali.

Hakim Ikmal Hishan Mohd Tajuddin kemudiannya menetapkan sebutan kes paad 27 Oktober dan perbicaraan daripada 5 Disember hingga 9 Disember.


Pindaan kecil akta media tidak bawa sebarang makna | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 21 Sept: Pindaan kecil terhadap Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP) 1984, seperti diumumkan Perdana Menteri pada 16 September lalu, disifatkan tidak membawa sebarang makna terhadap kebebasan akhbar di negara ini.

Datuk Seri Najib Razak mengumumkan penghapusan prinsip pembaharuan tahunan permit penerbitan, yang digantikan dengan pengeluaran lesen sehingga dibatalkan, selain mengisytiharkan Akta Keselamtan Dalam Negeri (ISA) dimansuhkan terus.

Pengerusi Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI), Ahmad Lutfi Othman berkata, walaupun perubahan kecil itu dialu-alukan, namun isu pembaharuan tahunan permit bukanlah perkara pokok yang dituntut pengamal media selama ini.

"Isu pokok adalah keperluan memperolehi permit sebelum mana-mana penerbitan boleh dikeluarkan. Dan lebih penting, bagaimana permohonan permit itu diproses, yang selama ini berjalan secara tidak telus," tambah Ahmad Lutfi, yang berpengalaman luas memperjuangkan kebebasan akhbar sejak 15 tahun lalu.

Beliau yang juga Ketua Pengarang Harakah berkata, kuasa Menteri Dalam Negeri untuk meluluskan atau menolak permohonan permit begitu luas dan tidak terbatas. Menteri juga, ujarnya, menurut Seksyen 6 AMCP, boleh pada bila-bila masa membatalkan atau menggantung permit, tanpa perlu memberi sebarang alasan.

"Lebih teruk lagi, seperti diperuntukkan Seksyen 13A, apa-apa keputusan menteri untuk menolak permohonan atau membatalkan atau menggantung permit adalah muktamad dan tidak boleh dipersoalkan oleh mana-mana mahkamah atas apa-apa jua alasan," Ahmad Lutfi membacakan peruntukan AMCP, yang disifatkannya sebagai cukup tidak demokratik.

Begitu juga dengan Seksyen 13B, ujarnya, yang menegaskan bahawa tiada seorang pun boleh diberi peluang untuk didengar berkenaan dengan permohonannya untuk mendapatkan lesen atau permit atau berhubungan dengan pembatalan atau penggantungan lesen atau permit.

"Semua seksyen yang saya sebutkan itu langsung tidak disentuh. Sedangkan bagi apa yang KAMI perjuangkan selama ini adalah pemansuhan terus AMCP, bukan pindaan-pindaan kecil yang tidak membawa sebarang makna," tegas Ahmad Lutfi, yang pernah menghadapi tindakan pengharaman KDN ke atas beberapa penerbitan yang dikendalikannya, seperti majalah Detik dan Wasilah.

Beliau turut menceritakan pengalamannya berurusan dengan KDN: "Sejak 22 tahun lalu saya sudah memohon puluhan permit penerbitan, akhbar dan majalah, tetapi semuanya ditolak mentah-mentah. Saya langsung tidak pernah dipanggil KDN untuk ditemuduga berkaitan permohonan saya itu."

"Yang peliknya, ada pemohon permit yang langsung tidak berpengalaman dalam penerbitan, tetapi KDN mudah pula meluluskan permohonan mereka," ujarnya sambil mendakwa pihak kementerian telah menyenaraihitamkan beberapa individu tertentu, termasuk dirinya sendiri.


Tutup Kem Kamunting kalau BN ikhlas | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 21 Sept: Dewan Pemuda PAS Negeri Perak merasakan tindakan Kerajaan Pusat memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) baru-baru ini yang turut diulas oleh Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai bertepatan perlu juga mengambil tindakan yang sama secara ikhlas dengan mencadangkan kepada Kerajaan Pusat agar menutup Kem Tahanan ISA Kemunting (Kemta) di Taiping.

“Kami merasakan sudah tiba masanya, Kerajaan Negeri Perak yang mana terletaknya Kemta agar menutup kem tersebut jika benar-benar ikhlas bahawa kekejaman yang sepanjang ini berlaku atas nama ISA turut lenyap jika Kemta ini turut ditutup,” kata Timbalan Ketuanya, Dr Raja Ahmad al-Hiss dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Katanya, jika Zambry langsung tidak mengambil tindakan seterusnya, bayangan akta yang sama zalim masih jelas akan di teruskan oleh Kerajaan Pusat pimpinan Umno BN.

Justeru, ujarnya Pemuda PAS negeri menunggu tindakan ikhlas Zambry jika benar BN mendengar tuntutan rakyat dan berkeyakinan bahawa Pakatan Rakyat (PR) akan turut menutup Kemta jika BN masih gagal bertindak menutupnya.

“Kami merasakan ramai pemerhati antarabangsa melihat Kemta adalah satu kawasan hitam yang perlu kita sebagai rakyat Perak bersihkan jika BN masih mengekalkan Kemta di Perak,” ujarnya.

Mohon maaf: Pemuda PAS puji keberanian Zizan | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 21 Sept: Dewan Pemuda PAS Pusat mengucapkan tahniah kepada pelakon dan pelawak Mohd Razizan bin Abd Razak kerana berani mengakui kesilapan dan telah memohon maaf.

Ianya berhubung satu babak beliau dalam filem Hantu Boceng yang jelas menghina Rasulullah.

Mohd Razizan atau lebih dikenali sebagai Zizan dalam babak tersebut menyebut dialog "asyhadu anna Muhammadar... syaitan" (aku naik saksi bahawa Muhammad itu syaitan), sekaligus mengundang kontroversi.

Bagaimanapun Zizan dilaporkan telah membuat permohonan maaf secara terbuka selepas Dewan Pemuda PAS pusat dan beberapa pihak lain mengecam tindakannya itu yang dilihat keterlaluan.

"Saya mewakili Dewan Pemuda PAS Malaysia sekali lagi mengucapkan tahniah atas keberanian saudara Zizan memohon maaf, semoga ianya benar, ikhlas dan tidak mengulanginya di masa hadapan," kata ketuanya, Nasrudin Hassan.

Menyatakan pendirian terhadap kegiatan seni, Nasrudin berkata Dewan Pemuda PAS sentiasa menyokong kerjaya seni dan budaya dalam negara kerana Islam tidak pernah menghalang ummatnya berkarya.

Namun Islam ujarnya mempunyai garis panduan yang jelas untuk dipatuhi agar seni dan budaya menghidupkan jiwa dan menyegarkan minda bukan mematikan hati, merosakkan akhlak dan meruntuhkan moral.

"Kata Para hukama' : Tidak hilang bisa dek kerana memohon maaf diatas kesilapan atau kesalahan yang dilakukan. Sebaliknya diri dilihat bermaruah dan dihormati.

"Mudah - mudahan ia menjadi pengajaran berguna kepada Zizan dan kepada semua termasuk para penonton dan juga artis - artis yang lain agar lebih berhati - hati di pentas lakonan atau di layar perak agar tidak mencetus kekeliruan yang boleh membuka pintu fitnah dan dilihat mempersendakan agama Islam yang suci ini," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan