Rabu, 21 September 2011

BILA ULAMAK INTAN TERPILIH...TAK BERCAKAP@BISU...BILA PERKARA BERKENAAN MAJIKANNYA...

Blogger Umno gelar Muhyiddin 'anak paria' | Print |
Mohd Rashidi Hassan / rashidi@harakah.net.my
"DI BAWAH pentadbiran Muhyiddin Yassin, Umno Wilayah (Persekutuan) sudah jadi macam parti mak bapak dia..Dia buat apa dia suka..Kerana dia penyamun besar yang berselindung atas nama nasionalisme Melayu dan Islam..Maka dilantiknya jawatan kanan Umno bahagian bdr tun razak semuanya banduan politik wang."

"Muhyiddin Yassin itu anak paria," tulis Setiausaha Umno Bahagian Bandar Tun Razak, Zaharin Mohd Yasin yang juga bloger Sang Kelembai dalam laman Facebook (FB) beliau.

Beliau menulis lagi,"16 September 2011 bermula konspirasi hendak menjatuhkan PM Najib oleh Muhyiddin Yassin, dgn perlantikan setiausaha dan bendahari bekas banduan politik wang dan seorang yd diadukan melanggar perlembagaan Umno, maka dengan sendiri Parlimen Bandar Tun Razak yg dinamakan sempena bapa PM Najib dgn mudah akan dimenang oleh pembangkang. Maka Muhyiddin Yasin akan minta PM Najib letak jawatan saperti yg pernah dia lakukan kpd Abdullah Hj Ahmad."

Apa yang ditulis Zaharin menunjukkan politiking dalam Umno memang hebat. Sentiasa panas dan bergolak. Selalunya kemelut dalaman Umno tidak diketahui rakyat kerana ia dapat disembunyikan oleh media tali barut Umno. Bila dibongkarkan satu-persatu mereka kata, ianya hanya ibarat 'ribut dalam secawan kopi.'

Ribut dalam Umno kali ini memang hebat dan tidak dapat dibendung. Ia diluahkan dan didedahkan secara terbuka oleh bloger-bloger dan facebookers Umno. Laman sosial FB menjadi tempat mereka melepaskan geram terhadap seteru politik dalam Umno.

Zaharin begitu berani mengambil risiko menghentam dan mengecam Timbalan Presiden Umno yang juga Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin digelar sebagai anak paria, penyamun besar dan perosak Umno. Lebih hodoh lagi, Zaharin yang juga Setiausaha Umno Bahagian Bandar Tun Razak mendakwa beliau ada maklumat bahawa Muhyiddin terbabit hendak menjatuhkan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak.

Dalam tulisannya di laman FB, Zaharin berkata, beliau akan mendedahkan hal tersebut tidak lama lagi.

Zaharin melepaskan geramnya kepada Muhyiddin dipercayai kerana terdapat usaha TPM selaku Pengerusi Umno untuk meletakkan 'orangnya' menggantikan beliau sebagai Setiausaha Umno Bahagian.

Malah dalam laman FBnya, Zaharin terus menyerang Muhyiddin kerana melantik orang-orang bermasalah dan yang jelas terbabit dalam politik wang seperti Dato' Mokhtar Samad dan Amil Salleh di bahagian tersebut.

Menulis mengenai Zaharin bukan bermakna menyokong beliau. Sebab Zaharin memang jenis out-spoken. Dalam posting beliau selalu menyerang PAS dan Pakatan Rakyat. Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dan Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim sering menjadi 'ulam' beliau.

Saya ketepikan soal serangan Zaharin terhadap Pakatan Rakyat buat seketika. Yang penting sekarang bukan soal Zaharin sebagai penulis dalam blog atau FB. Beliau ada jawatan. Selaku Setiausaha Umno Bahagian dan Setiausaha BN Bahagian, kuasanya agar besar dan berpengaruh. Beliau juga terbabit sebagai AJK Umno Wilayah Persekutuan.

Oleh kerana itu serangan dan kecaman beliau terhadap TPM memang ada weight yang tersendiri. Sebab apa seorang yang berjawatan sanggup menyerang Timbalan Presiden Umno yang juga Pengerusi Umno negeri? Kata-kata yang dihamburkan pula bukannya kritikan biasa.

Gelaran 'anak paria' terhadap Muhyiddin yang berbangsa Melayu dan beragama Islam adalah sedahsyat-dahsyat gelaran. Jika ada kalangan orang India pun tidak setuju jika ungkapan paria digunakan kepada mereka walaupun ia ada dalam kamus mereka, inikan pula orang Melayu-Islam menerima geralan sedemikian.

'Anak paria' yang dikatakan Zaharin bukan sekadar paria, dia adalah penyamun besar, pembela golongan rasuah dan bermasalah dalam Umno. Lebih dahsyat lagi 'anak paria' itu dituduh merancang hendak menjatuhkan PM kesayangan Zaharin.

Sudah tentu serangan Zaharin terhadap Muhyiddin tidak dapat diterima juak-juak Muhyiddin. Melalui blog Cucu Tok Selampit mereka menyerang Zaharin dan menggesa Umno memecatnya.

Zaharin kata blog tersebut sebagai politikus yang tidak bermaruah. Zaharin dituduh menyerang bekas PM, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dan kemudian mencium tangan Abdullah selepas mendapat habuan yang dikehendaki. Gambar Zaharin memeluk dan mencium tangan Abdullah juga disiarkan mereka.

Bloger Umno yang marah dengan Zaharin mendakwa beliau menjalankan politik 'peras ugut'. Zaharin didakwa memeras ugut ahli politik (termasuk TPM), kemudian mereka diminta 'menghulurkan habuan' jika serangan terhadap mereka hendak dihentikan.

Bloger Umno yang tidak puashati dengan kecaman Zaharin terhadap Muhyiddin, terus menyerang beliau dan mendakwa Zaharin mempunyai kelaku yang amat buruk. Kata mereka Zaharin tidak layak menjadi ahli Umno kerana banyak komen-komennya merosakkan Umno.

Membaca komen-komen yang diposting mereka naik tergelak dibuatnya. Macamlah mereka yang duduk dalam Umno suci macam Malaikat Jibril.

Saya tidak perlu cenderung untuk membela sesiapa dalam Umno dalam perbalahan ini. Mereka hendak tuduh, hendak kata apa pun kepada seteru mereka, itu urusan mereka. Hanya mereka sahaja yang tahu dan faham perangai orang-orang Umno.

Yang jelas, tujuan saya mengutarakan isu ini, lebih kepada untuk menyedarkan rakyat dan mendedahkan kepada rakyat, bahawa Umno itu memang hodoh dan teruk. Perbalahan dalaman mereka memang teruk dna tidak mampu dibaiki lagi.

Persoalan yang harus dijawab oleh Umno hari ini bukan soal siapa Zaharin, atau apa buruk baik kelakunya. Yang tidak boleh dinafikan orang Umno ialah, didakwa wujudnya satu usaha yang didalangi Timbalan Presiden Umno untuk menjatuhkan Presiden Umno. Itu isu yang sebenarnya.

Yang menuduh atau membangkitkan isu ini bukan orang PAS. Bukan juga orang Pakatan Rakyat. Yang menuduh Muhyiddin hendak menjatuhkan Najib adalah dari kalangan Umno sendiri. Apa yang dibuat Muhyiddin, siapa penyokongnya dan bagaimana cara beliau hendak jatuhkan Najib, kita tunggu pendedahan dari orang Umno seterusnya.

Cuma yang hendak kita katakan kepada orang-orang Umno-BN, kami dari Pakatan Rakyat, sama ada yang meneraju negara itu Najib atau Muhyiddin, tidak penting bagi kami. Asalkan sahaja nama mereka Umno-BN, kami bertekad akan tumbangkan mereka pada PRU yang akan datang. Insya Allah.

Bekas Adun Umno turut kritik Najib | Print |
Abdul Aziz Mustafa

KUALA LUMPUR, 21 Sept: Pengumuman sama ada pekerja dari Bangladesh diberi kerakyatan untuk mengundi lebih dinantikan dari apa yang diumumkan dalam perutusan khas Perdana Menteri sempena Hari Malaysia baru-baru ini, kata blogger ahli Umno, Dato' Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz.

Bagi beliau, jika dibuat pendedahan sepenuhnya mengenai perkara sedemikian, akan dapat diselesaikan cakap-cakap mengelirukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kononnya senarai pengundi yang kemaskini ada para mereka dan senarai yang boleh dilihat oleh umum tidak kemaskini.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pulau Manis dalam kawasan Parlimen Pekan itu mempersoalkan, mengapa daftar pengundi yang terkini dan kemaskini tidak boleh dilihat oleh umum?

"Saya tak mahu atendan pam minyak Bangladesh mempunyai hak mengundi yang sama dengan saya," tegas beliau ketika mengulas perutusan Datuk Seri Najib Tun Razak itu yang beliau sifatkan "tidaklah luar biasa".

Mohd Ariff menyifatkan dakwaan SPR kononnya senarai pengundi yang kemaskini hanya untuk edaran dalaman sebagai terkeluar dari apa jua ukuran kesopanan dan memperbodohkan kita.

Walaupun beliau mengakui pengumuman Najib seperti penghapusan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) juga penting, tetapi beliau membangkitkan tentang "harapan rakyat untuk mendengar pengistiharan yang membawa perubahan substantif ke dalam kehidupan harian mereka".

"Besar mana bahagian rakyat negara ini yang tertakluk dengan pembubaran ISA? Adakah ISA menjadi faktor penting dalam kehidupan harian rakyat yang berdepan dengan harga barangan yang kian meningkat, korupsi yang meluas, urusniaga kerajaan yang di rahsiakan tapi menguntungkan mereka yang terpilih?" kata beliau dalam blognya http://sakmongkol.blogspot.com

Mengulas lanjut ucaopan Najib itu, Mohd Ariff berkata, jika kita mahu isitiharkan sesuatu yang berani dan menggegarkan dalam media umum seperti siaran TV, rakyat sebenarnya mengharapkan perkara yang melibatkan kehidupan seharian mereka.

Beliau memberikan beberapa contoh perkara yang dinanti-nantikan oleh rakyat.

"Orang Melayu misalnya mahu melihat apakah program konkrit untuk merealisasikan agenda ekonomi Bumiputera.

"Jika kita telah pun mengistiharkan bahawa wadah mencapai agenda tersebut ialah Model Ekonomi Baru- atau market driven affirmative action, apa jadah nya komponen MEB tersebut? Adakah penjualan asset stratejik negara merupakan cara terpenting meliberalisasikan ekonomi Malaysia? Pertukaran saham MAS dengan saham Air Asia mendekatkan lagi pencapaian agenda ekonomi Bumi?," beliau mempersoalkan.

Mohd Ariff mengingatkan, jika diletakkan pemimpin yang tidak berjiwa Melayu dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang bangga pula dengan pemujaan mereka kepada factor ‘merits’, sampai bila pun agenda ekonomi Bumiputera tidak akan tercapai.

"Sebab itu, saya mengharapkan ucapan PM akan melibatkan antara lain pengistiharan kita bubarkan Khazanah Berhad dan saham yang mereka pegang dan portfolio pelaburan yang ada dalam tangan mereka dipindahkan kepada institusi Amanah Pelaburan Bumiputera.

"Juga saya ingat saya akan dengar bahawa urusan jual beli dan pemindahan saham oleh PNB sebagai pengurus pelbagai Amanah Pelaburan Bumi akan di perketatkan dan urusniaga mereka akan lebih telus dan terang.

"Saya ingatkan PM akan beri amaran kepada institusi ini bahawa mereka memegang asset pencipta pulangan bagi pihak rakyat dan bukan bagi pihak beberapa syarikat milik bumi yang kaya raya dan terkenal," katanya.

Sebagai contoh, kata Mohd Ariff, ada rakyat kita sedar yang Sapura sebagai contoh sedang membuat bidaan untuk membeli saham UMW yang di miliki oleh PNB?

"Saham inilah yang memberi pulangan yang baik kepada PNB yang kemudian nya membolehkan PNB membayar pulangan yang baik kepada pemegang saham PNB. Sapura yang sudah kaya dan akan bergabung dengan Kencana (yang ber’front’kan anak Dr Mahathir sedangkan pemilik sebenar nya ialah tauke Singapura) tidak perlu jadi tamak dan mahu mengaut segala sumber pulangan yang baik.

"Apa akan tinggal untuk golongan bumiputera yang lain? Jika kerajaan membenarkan pembelian oleh Sapura bererti benarlah fahaman saya mengenai istilah Bumiputera itu; Bumi di belakang, putera( bangsawan, yang terkenal, yang bertalian) berada di barisan depan, ambil dulu segala nya," beliau mempersoalkan.


Gugur tuduhan, pandangan Mohd Sabu bukan jenayah | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 21 Sept: Suara Rakyat Malaysia (Suaram) menggesa kerajaan menggugurkan segera tuduhan bermotifkan politik terhadap Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu kerana pandangannya mengenai sejarah bukan jenayah.

Penyelarasnya, Yap Heng Lung berkata, pihaknya juga menggesa kerajaan berhenti daripada menakut-nakutkan mana-mana individu yang menyuarakan pandangan yang berlainanan tentang sejarah rasmi dan ideologi.

Justeru, tegasnya Suaram mengutuk tindakan pendakwaan terhadap Mohamad Sabu di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan atas sebab mendatangkan khianat awam selepas beliau memberikan pandangan yang berbeza tentang insiden Bukit Kepong dalam sebuah ceramah pada 21 Ogos lalu di Padang Menora, Tasek Gelugor.

“Suaram berpendirian bahawa setiap individu mempunyai hak untuk bebas bersuara dan menyuarakan pandangan seperti yang termaktub dalam artikel 5 Perlembagaan Persekutuan dan artikel 19 dalam Deklarasi Antarabangsa Hak Asasi Manusia,” ujarnya.

Menurutnya, hanya seminggu selepas Pperdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan proses reformasi dalam pentadbirannya, namun kejadian pada hari ini menunjukkan bahawa kerajaan tidak serius dengan proses reform yang disebut-sebutkannya.

Jelas sekali, ujarnya kerajaan Najib juga tidak menunjukkan inisiatif untuk menambahbaikkan kebebasan bersuara dan keadaan hak asasi manusia serta pihak polis yang sering menyalahgunakan kuasa.

Suaram juga, katanya mengutuk keras tindakan polis yang bertindak berat sebelah.

“Mengikut penjelasan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob bahawa polis mendakwa Mat Sabu disebabkan terdapat 1,000 laporan polis terhadap Mat Sabu dan sebab itu pihak polis bertindak demikian,” katanya.

Namun demikian, katanya polis tidak mengambil sebarang tindakan terhadap pihak yang terlibat dalam penangkapan PSM EO6 walaupun terdapat 424 laporan polis yang telah dibuat oleh orang awam.

“Apakah tindakan polis terhadap laporan orang awam mengenai kenyataan berunsur perkauman oleh Presiden Perkasa selaku ahli parlimen Pasir Mas, Ibrahim Ali?

“Mengapa sikap berat sebelah ini diamalkan sedangkan pihak polis seharusnya bersikap neutral dan bertindak ke atas semua laporan polis tanpa mengira pihak yang terlibat?” soalnya.

Justeru, ujarnya Suaram berpendapat bahawa pendakwaan terhadap Mat Sabu atas kenyataannya mengenai sejarah adalah tidak betul dan tidak profesional.

Katanya, perbincangan dan dialog perlu diadakan untuk menyelesaikan konflik terhadap fakta sejarah secepat mungkin.


Kurangkan pengaruh syarikat tembakau
S M Idris

Di Malaysia dan seluruh dunia, merokok semakin meningkat dalam kalangan penduduk. Kita kelihatan semakin kalah dalam perjuangan memandangkan lebih ramai orang yang mengamalkan tabiat menagihkan ini.

‘Perang’ antara aktivis prokesihatan yang mendedahkan bahaya merokok dan industri tembakau yang berpengaruh dalam lingkungan anggota kerajaan dan ahli politik begitu berat sebelah. Tidak hairanlah merokok semakin meningkat di sebalik semua usaha yang dilakukan.

Merokok membunuh lebih lima juta orang setiap tahun dan kematian tahunan global diramalkan meningkat kepada lapan juta menjelang 2030. Di Malaysia, terdapat lima juta perokok, daripadanya 0.7% adalah gadis berusia 13 hingga 18 tahun atau 35,000.

Adalah dianggarkan lebih 50% lelaki dewasa merokok dan 10,000 rakyat Malaysia mati setiap tahun akibat penyakit berkaitan merokok seperti kanser, penyakit jantung, strok dan penyakit pernafasan.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), wanita merupakan kira-kira 20% daripada anggaran 1 bilion perokok dunia. Di mana sahaja mereka menjadi sasaran yang berpotensi dan bilangan mereka semakin meningkat.

Asap tembakau dipenuhi dengan ‘racun’ dan fakta ini telah lama dibuktikan dan didedahkan, di sebalik kempen media yang besar oleh industri tembakau untuk mengaburi kebenaran ini.

Program pendidikan kesihatan awam berhubung risiko kesihatan daripada merokok amat penting tetapi ia mestilah selari dengan langkah yang lebih kukuh bagi memaksimumkan kesan untuk membalas iklan oleh syarikat tembakau.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) bimbang terhadap peraturan dan penguatkuasaan yang longgar terhadap merokok di Malaysia. Ini menimbulkan persoalan serius berhubung kod etika dan tingkah laku kerajaan dalam menangani perkara yang berkaitan dengan syarikat tembakau. Oleh sebab itu, CAP menggesa supaya langkah segera diambil untuk menghalang daripada meningkatnya tabiat merokok.

A. Mengadakan Kod Tingkah Laku Bagi Wakil Kerajaan

Untuk ketelusan dan menyakinkan rakyat Malaysia bahawa kerajaan serius dalam membasmi merokok, seharusnya terdapat kod tingkah laku untuk mengawal semua pegawai kerajaan yang ada kaitan dengan syarikat tembakau.

Komunikasi antara pihak mestilah jelas dan terbuka bagi mengawal sebarang pengaruh daripada ahli politik dan pegawai kerajaan terhadap industri atau untuk mengelakkan sebarang kemunculan perbuatan yang tidak sewajarnya.

Ini juga dapat mencegah ‘tanggungjawab sosial korporat’ digunakan oleh syarikat tembakau sebagai muslihat untuk mengadakan acara yang menggambarkan imej positif merokok.

Melalui langkah seperti itu, orang awam dan perokok akan menerima bahawa kerajaan mengambil serius dalam memerangi wabak merokok dan tidak hanya sebagai menunjuk sedangkan mereka berpakat secara sulit dengan syarikat tembakau untuk mempromosikan nama jenama mereka.

Menteri kerajaan, dan wakil kerajaan negeri dan persekutuan lain seharusnya tidak menghadiri atau merasmikan sebarang acara yang disokong, ditaja atau dianjurkan oleh syarikat tembakau kerana ini menunjukkan pengesahan atau pengiktirafan secara tersirat produk mereka.

B. Hapuskan Pengenalan Jenama Pada Bungkusan

Perokok telah menjadi begitu jelak dengan amaran grafik yang tidak lagi menarik perhatian mereka. Pada Jun tahun ini, Pentadbiran Makanan dan Ubatan (FDA) Amerika Syarikat mengeluarkan lebih banyak label amaran grafik yang baru untuk kotak rokok, termasuk imej pesakit dengan kanser mulut dan lelaki dengan asap rokok keluar daripada trakeotomi stoma.

Di Malaysia, Kementerian Kesihatan merancang supaya kotak rokok menggunakan label amaran grafik baru pada Januari. Orang telah menjadi muak dengan amaran, tidak kira bagaimana menakutkan amaran bergambar itu. Kebanyakan perokok melihat sepintas lalu pada kotak sambil terus menyalakan rokok.

Di Australia, undang-undang telah diluluskan bagi mencegah syarikat tembakau daripada memaparkan warna tanda dagangan mereka, reka bentuk dan logo pada kotak rokok. Semua kotak akan menggunakan satu warna dan nama jenama akan dikurangkan dengan tanda amaran meliputi 75% daripada bahagian depan berbanding 40% bahagian depan di Malaysia.

C. Jadikan Merokok Sebagai Tidak Glamor


Kerajaan perlu melaksanakan aktiviti kawalan tembakau yang menjauhkan orang ramai daripada memulakan tabiat merokok, meningkatkan usaha berhenti merokok, dan mengurangkan pendedahan kepada asap pasif memandangkan matlamat kita adalah untuk gaya hidup bebas merokok.

Kita perlu menjadikan merokok sesuatu yang tidak biasa dan menjadikannya sebagai tidak glamor bagi mengurangkan berlakunya dalam kalangan belia dengan menggunakan selebriti dan melarang sebarang acara, konsert, festival yang melibatkan belia dianjurkan atau ditaja oleh syarikat tembakau.

Semakin ramai mereka yang merokok di sebalik bahayanya. Di samping glamor, mereka merokok untuk menghilangkan stres, dan mitos merokok sebagai pelepas tekanan mestilah dihapuskan.

D. Naikkan harga rokok

Kerajaan mestilah menaikkan harga rokok agar tidak mampu dibeli oleh rakyat Malaysia atau mengurangkan aktiviti merokok dengan mengenakan duti eksais yang tinggi ke atas produk tembakau. Ia juga perlu selari dengan penguatkuasaan yang tegas untuk menghentikan penyeludupan rokok murah haram. Rakyat Malaysia menghisap sembilan bilion batang rokok haram setiap tahun.

E. Kawal kedai yang menjual tembakau

Kerajaan perlu menghadkan kedai yang dibenarkan untuk menjual produk tembakau. Hanya kedai tembakau yang perlu diberikan lesen untuk menjual produk ini, manakala penjualan rokok di kedai bebas cukai, kedai runcit dan lain-lain tempat perlu diharamkan.


S. M. Mohamed Idris
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang


Pejuangan Islam hilang permata berharga | Print |
Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 21 Sept: Dewan Pemuda PAS Malaysia mengucapkan takziah buat ahli keluarga rahmatullah Dr Burhanuddin Rabbani (gambar) selaku bekas Presiden Afghanistan.

Ketuanya, Nasrudin Hassan berita pemergian allahyarham Dr Burhanuddin sangat memeranjatkan generasi-generasi pejuang Islam.

DPPM, ujarnya sangat merasakan kehilangan beliau seolah-olah dunia Islam telah kehilangan satu lagi pertama yang berharga.

“Allahyarham adalah leader bagi sebuah jemaah Islam Pakistan yang dikenali sebagai Jamiat-e Islami Afghanistan (Islamic Society of Afghanistan),” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai ketua politik Negara Amerika dan Penerimaan Islam untuk keselamatan Afghanistan (UNIFSA).

Pada tahun 1992, beliau menjadi ketua Jamiat-e Islami dan kemudian menjadi Presiden Afghanistan hingga akhirnya dijatuhkan oleh puak Taliban pada tahun 1996.

Setelah itu, beliau berpindah ke Faizabad yang terletak di bahagian utara, untuk memimpin kelompok anti-Taliban dengan bantuan dan sokongan kuat dari Iran dan Rusia.

Beliau kembali diangkat semula sebagai Presiden oleh PBB setelah jatuhnya Taliban.

Namun setelah itu pada akhir 2001 beliau telah menyerahkan jawatannya kepada Hamid Karzai.

Beliau juga merupakan ketua Barisan Kebangsaan Bersatu yang merupakan pembangkang politik terbesar terhadap kerajaan Hamid Karzai.

Justeru, Dewan Pemuda PAS mendoakan agar pemergian beliau itu mendapat pahala syahid di sisi Allah.

“Sesungguhnya jasa beliau sangat besar dalam memastikan kesinambungan Islam di bumi Pakistan dan secara tidak langsungnya ke seluruh alam,” ujar Nasrudin.


Mohamad Sabu didakwa, bebas dengan jaminan RM15,000 | Print |
Mohd Sabri Said

BUTTERWORTH, 21 Sept: Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu didakwa di bawah Kanun Keseksaan di Mahkamah Sesyen Butterworth hari ini ekoran ucapannya mengenai Bukit Kepong.

Beliau dituduh mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan khianat awam.

Pihak pendakwa meminta Mohamad dibebaskan dengan jaminan RM50,000 tetapi selepas dibantah peguam Mohamed Hanipa Maiden, mahkamah membebaskan Mohamad dengan jaminan RM15,000 sehingga perbicaraan.

Hakim Ikmal Hisham Ahmad Tajuddin menetapkan 27 Oktober ini sebutan semula kes sementara perbicaraan diadakan pada 5 hingga 9 Disember depan.

Selain Hanipa, Mohamad turut diwakili peguam Amiruddin Zulkifli manakala pihak pendakwaan terdiri daripada Mohd Hanafiah Zakaria, Ishak Mohd Yusof dan Suhaimi Ibrahim.

Jika bersalah Mohamad menghadapi kemungkinan dipenjarakan sehingga dua tahun, atau didenda atau kedua-duanya sekali.

Malam tadi, beliau dibawa ke Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pulau Pinang sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakub, berkata Mohamad ditahan sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dari Kuala Lumpur pada jam 7.30 petang tadi dan dibawa ke IPK Pulau Pinang.

Mohamad tiba di IPK Pulau Pinang pada 8.30 malam dan dilihat meninggalkannya ibu pejabat polis itu pada 9.05 malam selepas keterangan beliau diambil.

Menurut Ayub, pemimpin PAS itu akan didakwa berikutan terdapat lebih 1,000 laporan dibuat terhadapnya berikutan ucapan kontroversialnya pada sebuah ceramah di Tasek Gelugor pada 19 Ogos lalu.

"Laporan dibuat oleh waris polis yang kecewa dengan kenyataan Mat Sabu,” katanya pada sidang media di Georgetown.

“Saya gesa semua pihak supaya bertenang agar proses undang-undang dapat dijalankan,” katanya.

Sebelum itu, peguam pemimpin PAS itu, Mohamed Hanipa Maidin berkata, anak guamnya dimaklumkan pihak polis bahawa beliau akan didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth hari ini.

Pelbagai pihak membuat bantahan terhadap dakwaan ini dan menyifatkan ianya sebagai penyalahgunaan undang-undang oleh pihak berkuasa.

Datuk Mahfuz Omar berkata, jika berdasarkan kenyataan yang mengguriskan hati, kenyataan beberapa profesor yang mengatakan negara ini tidak pernah dijajah juga wajar diambil tindakan.


"Miss Bikini Malaysia": MB, Mufti Perak digesa perjelas | Print |
Harakahdaily

IPOH, 21 Sept: Dewan Pemuda PAS Perak menuntut penjelasan Menteri Besar Perak, dan Mufti berhubung penganjuran Pertandingan Full Moon Beach Party (FMBP) yang bakal diadakan di Pangkor Island Beach Resort pada 7 dan 8 Oktober nanti.

Program itu juga difahamkan turut akan mempertandingkan Miss Bikini Malaysia.

Setiausahanya, Salman Saleh berkata pihaknya terkejut apabila penganjuran itu turut diiklankan dalam akhbar berbahasa Inggeris dan juga dipromosikan melalui laman sosial Facebook.

"Jesteru itu, kami menuntut penjelasan berikutan sudah tersebarnya hebahan pertandingan tersebut yang jelas amat memalukan.

"Kami juga amat kecewa kerana ianya diadakan di kawasan (Menteri Besar) Datuk Seri DiRaja Dr Haji Zambry Abdul Kadir yang kini sebagai orang nombor satu negeri Perak dan memegang portfolio agama Islam," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Tambahnya lagi, program pelancongan ini yang di bawah kendalian Datuk Hamidah Osman perlu peka dan sensitif terhadap perkara ini.

"Kami juga memohon Mufti Kerajaan Negeri Perak, Tan Sri (Dr) Haji Harussani Zakaria agar memberikan nasihat kepada Kerajaan Negeri Perak di dalam isu ini," desaknya.

Beliau juga mahu program tidak bermoral tersebut dibatalkan dengan kadar segera.


Hantu Bonceng: Pemuda PAS gesa Jakim bertindak | Print |
Hazayani Zakaria

PUTRAJAYA, 21 Sept: Ekoran kontroversi filem Hantu Bonceng yang didakwa mempersendakan Islam, Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) hari ini menyerahkan memorandum kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menggesa tindakan bersesuaian diambil terhadap pihak berkaitan.

Ini kerana garis panduan bahan penerbitan bercetak dan audio visual berhubung unsur-unsur yang bercanggah dengan akidah dan amalan Ahli Sunnah Waljamaah yang dikeluarkan Jakim tidak diendahkan banyak pihak khususnya Lembaga Penafisan Filem (LPF) dan juga Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).

DPPM mendakwa, filem hantu Bonceng arahan Ahmad Idham Ahmad Nazri mengandungi unsur menghina Islam yang dilakonkan Mohd Razizan Abd Razak (Zizan RL).

Salah satu babak yang dilakonkan Zizan secara jelas menghina Rasulullah SAW apabila menyebut "Asyhadu anna Muhammadar Syaitan" yang bermaksud "Aku naik saksi bahawa Muhammad itu Syaitan".

Ketua DPPM, Nasrudin Hassan berkata, bukan babak itu sahaja yang mencetus sensitiviti orang Islam dan menimbulkan kekeliruan malah terdapat juga beberapa babak lain yang tidak patut ditonjolkan apatah lagi untuk tujuan hiburan umum.

"Bukan sahaja pada lafaz kalimah syahadah tetapi juga pada aksi-aksi yang lain seperti pendedahan aurat, pergaulan bebas, berpelukan lelaki dan perempuan yang bukan mahramnya, adegan tahyul dan sebagainya mesti dielakkan dalam dunia lakonan justeru ia menjadi contoh yang tidak baik kepada masyarakat khasnya anak muda selain ianya bertentangan dengan hukum Islam," kata beliau kepada pemberita selepas penyerahan memorandum tersebut di pejabat jakim, dekat sini hari ini.

Justeru beliau berkata, DPPM menyerahkan kepada Jakim untuk mengambil tindakan terbaik agar kesilapan sama tidak berulang lagi.

"Pemuda menyerahkan kepada Jakim untuk mengambil tindakan yang berkesan agar semua pihak mematuhi garis panduan yang ditetapkan.

"Jakim kena pastikan filem yang hendak dikeluarkan tidak bercanggah dengan nilai-nilai Islam.


Zaman pemimpin negara serba tahu sudah berlalu | Print |
Muhammad Faizal

KUALA LUMPUR, 21 Sept: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, sebarang pembaharuan yang hendak dilakukan oleh Perdana Menteri memerlukan usaha bersama antara kabinet mahupun secara memorandum kepada rakyat di luar dan bukannya secara kuasa peribadi.

"Sebarang bentuk pembaharuan yang ingin dilakukan oleh mempunyai muafakat bersama antara kabinet dalaman mahupun pendapat rakyat dan cara sedemikian dilihat akan menghasilkan satu pembaharuan yang lebih baik.

"Perdana Menteri tidak boleh merasakan apa idea yang dikeluarkan untuk suatu pembaharuan adalah yang terbaik, malah kenyataan Pak Lah kerana beliau tidak bertegas dan mahukan Najib lebih bertegas adalah tidak tepat.

"Zaman ketua mahupun pemimpin negara serba tahu sudah berlalu dan dalam keadaan sekarang sebarang bentuk pembaharuan perlu wujudkan satu komuniti yang melibatkan rakyat kerana hasil pembaharuan melalui perbincangan komuniti lebih berkesan daripada idea dari seorang pemimpin dan inilah yang terbaik untuk negara kita," jelasnya ketika dihubungi.

Beliau menyatakan demikian sebagai respons kepada bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Badawi (Pak Lah) dalam kenyataannya semalam mengharapkan tidak akan ada pihak dalaman yang akan menentang secara senyap seperti ‘gunting dalam lipatan’ dalam sebarang usaha pembaharuan yang akan dilakukan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh beliau apabila melihat kembali zaman pemerintahannya bahawa sebarang pembaharuan yang ingin beliau lakukan sentiasa ada pihak yang cuba menentang serta menggagalkan usaha beliau itu.

Malah beliau mahukan Najib akan lebih bertegas dengan rancangan-rancangan pembaharuannya sekiranya beliau jelas dengan apa yang dimahukannya.

Tambahnya lagi, sudah menjadi lumrah dalam budaya Umno bahawa idea yang dikeluarkan oleh seorang pemimpin adalah yang terbaik sedangkan mereka tidak tahu hakikat sebenar idea yang diutarakan oleh mereka.

Mahfuz yang juga ahli Parlimen Pokok Sena turut mengulas mengenai kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz bahawa pentadbiran Najib Razak sangat jelas mengenai agenda pembaharuan yang hendak dibawa termasuk kajian semula Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang bakal dimansuhkan berbanding di bawah pentadbiran Abdullah.

"Saya tidak pasti kenapa perkara tersebut diluahkan oleh Pak Lah sekarang, mungkin beliau kecil hati dengan segala tohmahan dan juga tekanan yang dihadapi olehnya.

"Mungkin ini masa untuk beliau menyatakan bahawa selama ini memang wujud individu seperti "gunting dalam lipatan" yang telah menggagalkan pentadbirannya sehingga berlaku peralihan kuasa. Seperti mana yang kita tahu tekanan yang dilakukan oleh Tun Mahathir Mohamed sebelum ini.

"Malah apa yang disuarakan oleh Mahathir itu sentiasa berjaya dan ada pihak dalaman Umno mahupun kabinet terpengaruh dan ini juga mula dihadapi oleh pemerintahan Najib yang mana Mahathir mula menyatakan pentadbiran Najib tidak akan memberi kemenangan kepada Umno pada pilihan raya nanti.

"Tapi kita jangan lupa selain Mahathir, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga pernah terlibat sama menjatuhkan Pak Lah dulu dan ini jelas pada kenyataan yang dikeluarkan oleh Muhyiddin di Singapura yang mahukan Pak Lah meletak jawatan lebih awal.

"Adalah tidak mustahil Muhyiddin sekali lagi bekerjasama dengan Mahathir mendesak agar Najib meletak jawatan dengan alasan mengembalikan kembali sokongan rakyat kepada Umno terutamanya Barisan Nasioanal pada pilihan raya nanti," sambungnya lagi.

Dalam kenyataan Abdullah di Kota Bharu semalam, beliau amat jelas dengan rancangan-rancangan pembaharuan yang hendak dibawanya semasa memegang jawatan Perdana Menteri.

Malah menyifatkan sudah tentu apabila seseorang pemimpin berhasrat membawa pembaharuan, pasti ada kumpulan yang menyokong dan ada juga kumpulan yang menentang.

Bagaimanapun sekiranya pemimpin itu jelas dan tegas, bahawa apa yang hendak dilakukannya adalah sesuatu yang betul, beliau perlu berusaha melaksanakannya.



"kalau perlu kepada tindakan perundangan, terserah sebab kalau Jakim sendiri tak ada kuasa memantau, siapa lagi yang harus bertanggungjawab?" soalnya.

Memorandum tersebut diterima pegawai perhubungan awam Jakim, Asiah Alkharib Syah.

Turut bersama Setiausaha DPPM, Khairul Faizi Ahmad Kamil, penolong setiausaha II, Syed Abdul Kadir Aljoofre,exco Suhaimi Abdul Aziz dan Sany Hamzan.

Nasrudin bagaimanapun menegaskan, DPPM sentiasa menyokong kerjaya seni dan budaya di Malaysia kerana Islam tidak pernah menghalang ummatnya berkarya, namun Islam mempunyai garis panduan yang jelas untuk dipatuhi agar seni dan budaya menghidupkan jiwa dan menyegarkan minda bukan mematikan hati, merosakkan akhlak dan meruntuhkan moral.

Beliau sekali lagi mengulangi ucapan tahniah kepada Zizan yang berani tampil memohon maaf berhubung perkara tersebut.

Selain bertemu Jakim, DPPM petang ini juga ke Finas menyerahkan memorandum yang sama.


Tubuh Suruhanjaya Diraja siasat seleweng IC | Print |
Hazayani Zakaria

PUTRAJAYA, 21 Sept: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPMM) hari ini menyerahkan memorandum kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mendesak penubuhan Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat penyelewengan pengeluaran kad pengenalan (IC).

Penyelewengan tersebut membabitkan dua perkara utama iaitu kod negara "71" dan kad pengenalan palsu dalam daftar pemilik induk (DPI) SPR.

Semalam, DPPM mempertikai JPN menggunakan kod negara "71" sedangkan setiap negara seluruh dunia sudah mempunyai kod negara kelahiran yang ditetapkan oleh JPN sendiri.

Dewan Pemuda PAS Pusat semalam mendedahkan pula sekurang-kurangnya 170,818 pengundi tidak diketahui negara asal kelahiran tetapi layak mengundi.

Mereka merujuk kepada kod negara "71 " yang terdapat pada no kad pengenalan pengundi tersebut seperti dalam Daftar Pemilih Induk (DPI) suku ke dua 2011 SPR.

"Berdasarkan kepada semakkan laman web JPN, tiada kod “71” disenaraikan sebagai kod rasminya.

"Oleh itu Pemuda PAS menganggap bahawa kod “71” adalah suatu kod warganegara yang tidak diketahui negara asal kelahirannya," kata Pengerusi Pemulihan Demokrasi dan Mobilisasi Dewan Pemuda PAS, Suhaizan Kayat.

Mengenai kad pengenalan palsu pula, DPPM mempersoal jumlah sebenar kad pengenalan palsu yang terdapat dalam data JPN memandangkan JPN beoleh menjejakai begitu banyak kes pemalsuan kad pengenalan dalam tempoh yang singkat.

"Bukan mudah sesuatu jabatan kerajaan menjejaki lebih 10 ribu kes kad pengenalan palsu dalam waktu dua bulan.

"Persoalannya adakah JPN sememangnya sudah memiliki senarai kad pengenalan palsu yang akan dimasukan dalam daftar SPR untuk tujuan manipulasi pilihan raya? Apakah JPN terlibat dalam penyelewengan kad pengenalan palsu? soalnya.

Ketua DPPM, Nasrudin Hassan bertemu dengan Timbalan Ketua Pengarah JPN, Zulkifli Rahmat kira-kira sepuluh minit meminta beliau menjelaskan mengenai perkara tersebut.

Bercakap pada sidang media selepas itu, Nasruddin berkata, pihaknya akan memantau respons JPN dan jika tiada sebarang tindakan diambil, DPPM akan merancang bertindak dalam bentuk yang lain.

"Kita bukan hantar memorandum ini begitu sahaja tapi kita bagi tempoh masa yang munasabah untuk JPN bertindak.

"Kalau tak ada sebarang tindakan diambil terhadap aduan ini, kami akan memikirkan bentuk tindakan yang lain,"

Turut bersama Setiausaha DPPM, Khairul Faizi Ahmad Kamil, Pengerusi Pemulihan Demokrasi dan Mobilisasi Dewan Pemuda PAS, Suhaizan Kaiyat, timbalannya, Mohd Adram Musa dan exco Mohd Sany Hamzan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan