Khamis, 29 September 2011

AWAS...FACEBOOK...FITNAHNYA MUNGKIN LEBIH BANYAK DARIPADA KEBAIKAN...LEBIH2 WANITA....

PAS cadang muzakarah betulkan persepsi perundangan Islam | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 29 Sept: PAS hari ini mencadangkan diadakan muzakarah secara terbuka dan ilmiah untuk meleraikan kekeliruan dan membetulkan persepsi buruk yang timbul dalam masyarakat terhadap sistem perundangan Islam.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) turut mencadangkan agar muzakarah ini dihadiri oleh para mufti bagi mewakili Yang Dipertuan Agong dan Raja-Raja, Umno mewakili parti pemerintah dan PAS sebagai parti yang mendesak agar undang- undang ini dilaksanakan.

“Muzakarah ini diharap dapat diadakan secara terbuka bagi memberi ruang luas kepada seluruh masyarakat mendengar pandangan semua pihak, bukannya tindakan sebelah pihak.

Islam sebagai sebuah agama yang ditegakkan di atas nas dan "hujah, PAS melihat muzakarah adalah medan menambahkan ilmu dan maklumat secara sihat yang perlu diterima dan disokong oleh semua pihak,” kata beliau.

Dalam kontroversi isu pelaksanaan hukum hudud di Kelantan, Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang menegaskan isu hudud bukanlah satu isu politik, tapi ia merupakan satu isu yang seringkali dihebahkan terutama menjelang pilihanraya.

“Isu hudud bukan isu politik, tapi ia seringkali dipolitikkan untuk menimbulkan polemik dalam masyarakat, sehingga golongan yang bukan ahli dan golongan bukan Islam turut campurtangan dalam membahaskannya.

"Sedangkan isu hudud merupakan isu yang menyentuh umat Islam secara langsung, dan ianya adalah tuntutan syarak bagi pemerintah untuk melaksanakannya,” terang beliau.

Mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang berkata hudud tidak akan dilaksanakan di negara Malaysia kerana tidak sesuai, Tuan Ibrahim berkata sikap Umno tersebut yang menimbulkan pelbagai tanggapan buruk terhadap sistem perundangan Islam dan ajaran Islam secara langsung.

Umno sebagai parti pemerintah selama 54 tahun, katanya tidak pernah berusaha, tidak pernah menunjukkan keikhlasan dan kesungguhan mahupun sedikit bayangan bagi melaksanakannya.

“Sikap sambil lewa dengan memberi pelbagai alasan rekaan untuk tidak melaksanakan perintah Allah ini telah menyebabkan timbulnya pelbagai tanggapan buruk terhadap sistem perundangan Islam dan ajaran Islam secara langsung,” tegur beliau.

Alhamdulillah

Sementara itu, Murshidul Am PAS Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat menyambut baik keputusan mesyuarat majlis pimpinan Pakatan Rakyat yang menghormati niat kerajaan Kelantan untuk memasukkan hukum hudud di dalam undang-undang syariah.

Menulis di laman Facebooknya, Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata beliau amat bersyukur kerana rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat memahami hasrat Kelantan apatah lagi kerana ia tidak menyentuh bukan Islam.

“Tinggal lagi sekarang, kerajaan pusat yang didokong oleh Umno yang masih menghalang hasrat kami,” tulis beliau lagi.

Mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang diadakan malam tadi telah memutuskan untuk membenarkan PAS terus menerangkan mengenai undang-undang syariah itu di samping menyatakan dengan jelas DAP tidak menyokong ianya dilaksanakan.


Hudud: Sekarang Umno gigit jari | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 29 Sept: Pemimpin Umno menunggu-nunggu keputusan mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat dengan harapan ini adalah masa untuk melihat ikatan Pakatan Rakyat berkecai.

AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata, apabila sidang akhbar yang diumumkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengenai keputusan perbincangan, hasilnya amat mengecewakan pimpinan Umno kerana keputusan yang diharapkan tidak berlaku.

“Sekarang Umno gigit jari,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Katanya, mereka bersiap sedia untuk berpesta jika berlaku perpecahan di dalam Pakatan Rakyat, mengenai isu Kanun Jenayah Syariah di Kelantan.

Beliau menambah, sekiranya berlaku seperti yang mereka sangka tentu Datuk Noh Omar mampu senyum sampai telinga, kerana peluang untuk menjadi Menteri Besar Selangor begitu cerah.

Datuk Seri Najib pula, ujarnya akan mengisytiharkan pilihan raya dengan seberapa segera kerana inilah peluang BN untuk terus berkuasa dan memfaraidkan khazanah negara serta meneruskan tradisi menindas rakyat.

Nampaknya, kata beliau hajat pemimpin BN tidak kesampaian kerana kebijaksanaan pemimpin PR yang mengurus krisis.

Idris berkata, sekarang orang Islam sudah nampak tembelang Datuk Seri Najib dalam soal keazaman untuk menghayati Islam.

Katanya, kenyataan tegas Najib menolak hudud adalah kerana takut kepada MCA dan Gerakan yang memberi amaran akan cabut lari daripada BN.

Tambahnya, timbulnya penentangan perlaksanaan hudud telah menunjukkan wajah sebenar pemimpin Umno terhadap Islam.

“Walaupun Najib cuba mempopularkan "konsep wasatiah" sebagai langkah untuk menunjulkan imej keislaman beliau,” ujarnya.


Suntikan vitamin C dan botox | Print |
http://ilmudanulamak.blogspot.com

Soalan: ASSALAMUALAIKUM USTAZ, Saya ada sedikit kemusykilan tentang hukum menyuntik vitamin C pada permukaan kulit wajah dengan tujuan menghilangkan parut muka. Adakah ianya sama dengan suntikan botox? Bagaimana pula dengan pekerja yang menyuntik vitamin tersebut? Harap ustaz dapat memberikan penjelasan, terima kasih.

Jawapan:

Membuat perubahan yang bersifat kekal pada badan (melalui suntikan, pembedahan atau sebagainya), jika tujuannya adalah untuk membaiki kecacatan pada badan (supaya ia kembali kepada keadaan normalnya atau kepada rupa biasanya), ia diharuskan dengan syarat bahan yang digunakan adalah halal/suci dan tidak menyebabkan mudarat yang lebih besar dari kecacatan yang sedia ada itu.
Adapun jika tujuannya semata-mata kecantikan, ia dilarang kerana termasuk dalam mengubah ciptaan Allah dan melakukan pembaziran tanpa perlu. Sabda Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-; “Allah melaknat perempuan-perempuan yang membuat tatu dan yang meminta dibuat tatu pada badannya, perempuan-perempuan yang minta dicukur alis (bulu keningnya) dan perempuan-perempuan yang menjarangkan giginya untuk kelihatan cantik iaitu perempuan-perempuan yang merubah ciptaan Allah”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim dari Abdullah bin Mas’ud r.a.)
Imam Nawawi semasa mensyarahkan hadis di atas, beliau menegaskan; sabda Nabi s.a.w. “perempuan-perempuan yang menjarangkan giginya untuk kelihatan cantik” menunjukkan bahawa yang diharamkan ialah bagi orang-orang yang melakukan perkara tersebut (yakni mengubah gigi) untuk tujuan kecantikan semata-mata. Adapun kerana keperluan iaitu untuk mengubati atau untuk membaiki kecacatan pada gigi dan seumpamanya, maka diharuskan”. (Syarah Soheh Muslim, juz. 14, Kitab al-Libas Wa az-Zinah).
Kesimpulannya, menyuntik vitamin C, Botox atau sebagainya jika tujuannya adalah untuk membaiki kecacatan di kulit atau badan (seperti parut yang menjelekkan pada pandangan orang lain dan menyukarkan penampilan diri), diharuskan dengan syarat-syarat tadi. Adapun hanya semata-mata untuk menghias diri seperti supaya kulit kelihatan lebih tegang, nampak lebih muda dan sebagainya, tidak harus kerana ia mengubah ciptaan Allah, melakukan pembaziran tanpa perlu dan mungkin juga menyebabkan pemalsuan/penipuan (jika membabitkan orang lain).

Mengenai pekerjaan menyuntik vitamin tersebut, ia kembali kepada tujuan tadi. Jika pusat rawatan menjalankan rawatan mengikut skop yang diharuskan oleh Syariat Islam, haruslah seorang muslim berkerja di situ. Jika ia menjalankan rawatan hanya mengikut kehendak pelanggan, tanpa mengambil berat ketetapan Syariat, tidak harus seorang muslim berkerja di situ kerana gaji/upahnya berlegar di antara haram dan syubhah.

Tambahan:

1. Adapun berusaha mengekal kemudaan dan kecantikan kulit dengan pemakanan (herba atau sebagainya), ia diharuskan kerana usaha itu melalui proses semulajadi tubuh, bukan dengan melakukan sesuatu untuk mengubah ciptaan Allah. Disyaratkan makanan itu halal dan tidak memudaratkan.
2. Begitu juga diharuskan bahan-bahan kosmetik yang bersifat luaran seperti bedak, krim dan sebagainya kerana sekalipun berlaku perubahan pada kulit, ia bukan bersifat kekal di mana ia akan tertanggal atau boleh ditanggalkan. Maka ia mengambil hukum mewarnai rambut, bercelak dan berinai yang diharuskan dengan nas Syarak. Namun disyaratkan bahan-bahan kosmetik itu suci dan tidak memudaratkan tubuh/kulit.
Wallahu a’lam.


Suami dan facebook isteri | Print |
http://ilmudanulamak.blogspot.com

Soalan: Salam ustaz, saya seorang suami. Saya amat berbesar hati sekiranya ustaz dapat memberikan saya jawapan dan penjelasan atas soalan-soalan saya di bawah:
1. Sekiranya seorang isteri mempunyai akaun jaringan sosial seperti facebook, yahoo messenger, email peribadi dan seumpamanya, patutkah seorang isteri tersebut memberikan akses kepada akaun akaun tersebut kepada suaminya agar dapat berkongsi sama melihat kandungan, rakan, gamabr, nota, korespondences yang terdapat di dalamnya?
2. Haruskah seorang isteri berkongsi alamat email peribadi kepada lelaki lain yang bukan muhrim walaupun atas dasar berkawan?
3. Haruskah seorang isteri menerima tawaran atau panggilan untuk mejadi kawan/sahabat dari lelaki yang bukan muhrim melalui jaringan social atau email seperti diatas?
4. Salahkah seorang suami meminta seorang isteri meberitahu suaminya sekiranya si isteri ada menerima panggilan atau tawaran dari lelaki lain untuk menjadi sahabat atau rakan dari jaringan social atau email?
5. Sekiranya si isteri tidak bersetuju dengan nasihat dan pandangan suami atas perkara-perkara diatas, apakah yang patut dilakukan oleh si suami?
6. Adakah seorang suami itu bersikap terlalu cemburu kepada isterinya sekiranya si suami berpandangan sedemikian?
Wassalam

Jawapan:

1. Wajib suami menjaga ahli keluarga (isteri dan anak-anak) dari perkara yang boleh memabawa mereka kepada dosa yang akhirnya membawa ke neraka. Firman Allah; “Wahai orang-orang beriman, selamatkanlah diri kamu dan ahli keluarga kamu dari api neraka” (Surah at-Tahrim, ayat 6). Di antara yang dipesan oleh Rasululllah ialah berhati-hati dalam memilih kawan sebagaimana sabda baginda ; “Seseorang itu berada di atas agama kawannya, maka hendaklah setiap dari kamu memerhati dengan siapa dia berkawan” (HR Imam Abu Daud dan at-Tirmizi dari Abu Hurairah. Menurut at-Tirmizi; hadis ini hasan). Facebook adalah jaringan kawan-kawan dan kenalan, maka suami mempunyai hak untuk memantau dengan siapa isteri dan anak-anaknya berhubungan demi membolehkannya melaksanakan kehendak ayat dan hadis tadi.

2. Suami tidak boleh terlalu menyekat isteri dari bergaul dengan orang sekeliling terutama berhubungan dengan keluarga dan rakan-rakan wanita yang solehah. Namun suami wajib menegah isteri dari terlibat dengan hubungan yang dilarang agama seperti hubungan dengan lelaki yang bukan mahram tanpa ada keperluan, bergaul denagn wanita-wanita fasik (yang tidak menjaga agama), bertandang ke tempat maksiat atau yang mendorong kepada maksiat. Suami mempunyai hak untuk menegah isteri dari terlibat dalam pergaulan sedemikian dan ia termasuk dalam kewajipan mencegah munkar (atau menutup ruang kepada mungkar) dengan kuasa yang dimiliki. Sabda Nabi; “Sesiapa dari kamu melihat kemungkaran, hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya. Jika tidak mampu, dengan lidah. Jika tidak mampu, dengan hati dan ia adalah selemah-lemah iman” (HR Imam Muslim dari Abi Sa’id al-Khudri). Menurut ulamak; antara maksud mencegah dengan tangan ialah menggunakan kuasa yang ada untuk mengubah kemungkaran. Dinisbah kepada keluarga, bapa atau suami adalah orang yang berkuasa ke atas ahli-ahli keluarga.

3. Syariat Islam amat mengambil berat hubungan antara lelaki dan perempuan yang ajnabi (yakni yang tiada hubungan mahram atau hubungan suami-isteri) di mana ia menyempitkan hubungan dan pergaulan antara keduanya hanya kepada keperluan sahaja (bukan kebebasan). Ini kerana kebebasan akan mendorong kepada zina. Ini sebagaimana kata Nabi; “Tidak berduaan seorang lelaki dan seorang wanita melainkan syaitan akan menjadi orang ketiga” (HR Imam at-Tirmizi dari Ibnu ‘Umar). Jadi, apabila seorang lelaki dan wanita bebas berhubung dan bercating, syaitan akan membisikkan kepada setiap mereka dan menimbulkan ghairah dan seronok, lalu ingin bertemu dan akhirnya terjerumuslah ke dalam maksiat sekalipun telah bersuami. Kejadian ini tidaklah asing lagi hari ini.

4. Islam tidaklah menyekat kebebasan umatnya, namun Islam memberi peringatan; kebebasan yang terlalu luas akan menjahanamkan. Oleh itu suami perlu mengimbangi kehidupan keluarganya antara kebebasan dan sekatan. Jangan memberi kebebasan tanpa batasan dan jangan pula terlalu mengongkong. Terbaik ialah pertengahan. Suami boleh membenarkan, tetapi pada masa yang sama perlu bertegas dalam perkara tertentu. Sebagai contoh, bila isteri minta nak berlaman sosial, suami menjawab; “Boleh, tetapi saya hanya benarkan dengan wanita sahaja dan jika lelaki, saya hanya benarkan dengan keluarga sahaja”.

5. Sikap cemburu suami jika berasas, itu adalah tanda iman. Namun cemburu tanpa berasas, itu adalah tanda penyakit hati. Sabda Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-; “Cemburu ada dua; satunya disukai Allah dan satu lagi dibenci Allah. Cemburu jika berpunca dari keraguan/kegusaran, ia disukai Allah. Namun jika tidak datang dari sebarang keraguan, ia dibenci Allah” (HR Imam Ahmad, at-Thabrani dan al-Hakim dari ‘Uqbah bin ‘Amir. Menurut as-Suyuti; hadis ini soleh. Lihat; al-Jami’ as-Saghier, hadis no. 5783). Menurut ulamak; maksud cermburu tanpa keraguan ialah cemburu buta, yang timbul dalam hati tanpa sebarang sebab iaitu semata-mata buruk sangka dari suami terhadap isteri atau dari isteri terhadap suami (Faidhul-Qadier).

Di dalam hadis, Rasulullah bersabda; “Tidak akan masuk syurga lelaki yang dayus” (HR Imam at-Tayalisi dari ‘Ammar). Maksud dayus ialah; lelaki yang hilang perasaan cemburu terhadap nilai dirinya di mana ia tidak kesah siapa lelaki yang bersama dengan isteri atau anak perempuannya, dengan siapa mereka keluar dan ia tidak mengambil berat akhlak dan tingkah laku mereka (al-Fiqh ‘Ala al-Mazahib al-Arba’ah). Sabda Nabi juga; “Tiga manusia akan diharamkan Allah dari syurga:
1. Orang yang ketagih arak
2. Orang yang menderhakai dua ibu-bapanya
3. Lelaki yang dayus, iaitu yang berdiam diri atau menyetujui perbuatan zina yang di kalangan ahli keluarganya.
(HR Imam Ahmad dari Ibnu ‘Umar. Hadis Soheh. Al-Jami’ as-Saghier, no. 3503)

Wallahu a'lam.

Rujukan:

1. Faidhul-Qadier, Imam an-Minawi, Syarah hadis no. 5783.
2. Fatawa Dar al-Ifta’ al-Misriyyah, 10/172.
3. Al-Fiqh ‘Ala al-Mazahib al-Arba’ah, Syeikh Abd Rahman al-Jazairi, juz. 5.


Tak catat nama, nombor punca gagal saman polis | Print |
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 29 Sept: Seramai 57 ahli PAS gagal mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana tidak mencatatkan nama dan nombor keahlian polis yang menangkap mereka dalam himpunan aman Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu.

Kegagalan mereka berbuat demikian kerana sebahagian daripada polis yang menangkap mereka itu hanya meletakkan nama, tetapi tidak meletakkan nombor keahlian polis pada uniform yang dipakai oleh mereka ketika melakukan tangkapan terhadap orang awam pada hari itu.

Pengerusi Lajnah Undang-Undang PAS Pusat, Asmuni Awi (gambar) menjelaskan, selain itu, sesetengah daripada mereka sememangnya terlupa untuk mencatat nama dan nombor keahlian polis yang menangkap mereka pada hari itu disebabkan tidak terfikir, akibat kekalutan, tertekan atau terlalu hairan dengan tangkapan yang dilakukan ke atas mereka.

Menurut beliau, disebabkan kegagalan itu, pihaknya turut gagal membantu mereka memfailkan saman terhadap kerajaan dan pihak polis berhubung kejadian itu, walaupun di dalam senarainya terdapat 60 orang ahli PAS yang berhak berbuat demikian.

Katanya, sehingga kini, hanya 3 orang sahaja peserta himpunan aman Bersih 2.0 yang ditangkap polis yang boleh dibantu oleh pihaknya untuk menyaman kerajaan dan PDRM kerana berjaya mencatatkan nama dan nombor keahlian polis yang menangkap mereka pada himpunan itu.

"Saman pertama yang telah difailkan menerusi syarikat guaman saya dilakukan oleh Razman Zakaria, Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 Ogos lalu," katanya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Manakala saman kedua dan ketiga, menurut beliau, akan dilakukan oleh kepimpinan PKR Cabang Tambun, dengan satu daripadanya Cina dan satu lagi India pada minggu depan.

Katanya, kegagalan ahli-ahli PAS mencatatkan nama dan nombor keahlian polis yang menangkap mereka pada himpunan tersebut tidak seharusnya berlaku kerana seminggu sebelum himpunan itu dilangsungkan telah pun diadakan taklimat mengenainya.

"Taklimat itu diadakan oleh saya sendiri di Markas PAS Bukit Gantang, Perak dengan dihadiri ratusan ahli-ahli PAS khususnya yang tinggal di Perak," jelasnya.

Sungguhpun begitu, beliau tidak menyalahkan sepenuhnya ke atas ahli-ahli PAS terbabit ekoran kegagalan itu kerana mereka mungkin terlupa berbuat demikian ekoran kekalutan yang berlaku.

"Tambahan pula, pada uniform yang dipakai oleh sebahagian polis yang menangkap mereka itu hanya terdapat namanya sahaja tetapi tidak terdapat nombornya.

"Anggota-anggota polis terbabit seolah-olah telah diberikan taklimat supaya berbuat begitu pada hari itu, walaupun sepatutnya setiap uniform yang dipakai oleh setiap anggota polis mestilah lengkap dengan catatan nama dan nombor pada baju masing-masing," katanya.

Selain itu, tegasnya, sebahagian anggota polis terbabit sememangnya tidak memakai uniform, tetapi hanya memakai jaket, manakala sebahagiannya lagi menutupi uniform mereka dengan jaket di luarnya sehingga langsung tidak terdapat catatan nama dan nombor keahliannya.

Sebahagian tangkapan yang dilakukan oleh pihak polis pada hari itu, jelasnya, bukannya dilakukan pada himpunan tersebut, malah sebahagian daripadanya dilakukan di luar himpunan berkenaan.

"Orang awam atau sesiapa sahaja yang hendak ditangkap oleh pihak polis tidak perlu takut untuk mencatatkan nama dan nombor keahlian polis yang menangkap mereka, malah untuk tujuan itu, mereka juga berhak meminta angota polis terbabit menunjukkan autoriti kadnya kepada mereka untuk pengesahan dan memudahkan mereka mencatatkan nama dan nombor polis terbabit.

"Anggota polis itu pula tidak boleh keberatan untuk menunjukkan autoriti kadnya kepada sesiapa sahaja yang hendak ditangkapnya itu kerana individu itu sendiri sememangnya berhak berbuat demikian.

"Itulah juga yang telah dilakukan oleh dua kepimpinan PKR Cabang Tambun yang akan memfailnya saman mereka pada minggu depan. Itulah sebabnya mereka berjaya mencatatkan nama dan nombor polis terbabit dengan betul sehingga boleh diambil tindakan undang-undang ke atas polis itu," katanya.

Beliau yang cukup kesal dengan kejadian itu menasihatkan setiap ahli PAS supaya mengambil iktibar terhadap kegagalan mereka mencatatkan nama dan nombor keahlian polis yang menangkap mereka pada setiap himpunan yang diadakan pada masa akan datang.

Katanya, catatan nama dan nombor polis itu amat penting kerana jika tidak mempunyai catatan itu, tindakan saman tidak boleh dilakukan kerana keperluan itu telah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan