Rabu, 24 Ogos 2011

JIKA MENANG CARA HARAM..HUKUM ELAUN WAKIL TERSEBUT IKUT HARAM.BAHAYA NI..IKUT ISLAM MEREKA BIJAK..YANG MENOLAK ISLAM FIKIRAN BERBALIK KEBELAKANG

Anwar: Najib ikut jejak Dr M untuk jatuhkan saya
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 23 Ogos: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sedang mengikut jejak mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dengan menggunakan segala institusi kerajaan untuk menghalang keadilan, dakwa Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Disebabkan tidak mempunyai sebarang kepercayaan bahawa beliau akan menerima pembicaraan yang adil, Anwar yang juga saksi utama dalam kes liwatnya telah memilih untuk memberikan keterangan dari kandang tertuduh, di mana beliau tidak boleh disoal balas oleh pihak pendakwaraya.

(Anwar dengan ditemani isteri dan anak-anaknya di mahkamah semalam)

“Seperti yang telah saya katakan, ini bukan satu pembicaraan jenayah. Ini satu episod yang diatur oleh kuasa-kuasa berkenaan supaya saya tidak lagi dapat bergerak, agar mereka boleh kekal berkuasa.

"Pada tahun 1998, Tun Dr Mahathir telahpun berbuat demikian, dengan sikap Machiavellian-nya yang menggunakan segala kuasa, berjaya memenjarakan saya selama 15 tahun untuk kesalahan yang tidak pernah saya lakukan. Dan ini jenis kezaliman dan ketidakadilan yang masih berterusan sehingga hari ini.

"Najib Razak sedang melakukan perkara yang sama seperti mentor beliau, di mana segala apa yang dikuasainya melalui media, polis, peguam negara dan sistem kehakiman akan digunakan untuk menggulingkan perjalanan keadilan dan mengeluarkan saya dari arena politik,” dakwa Anwar dalam kenyataannya dalam kandang tertuduh.

Menggunakan ungkapan yang dipetik dari Nelson Mandela, Shakespeare dan juga al-Quran dalam kenyataannya, Anwar menyifatkan hakim pembicaraan Datuk Mohd Zabidin Mohamad sebagai gagal memastikan perbicaran adil dalam kes Liwat II yang dihadapinya dan sekeras-kerasnya menafikan beliau melakukan seks dengan bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.

Kejayaan Pakatan Rakyat pada 2008 telah menyemarakan usaha untuk membuang beliau kembali ke penjara, kata Anwar.

“Ketakutan mereka disahkan apabila ia menjadi jelas bahawa tempoh ketidak-layakan saya untuk bertanding dalam pilihanraya tamat, dan saya akan bertanding di satu kerusi parlimen, di mana jika saya menang, saya akan diangkat sebagai Ketua Pembangkang.

"Oleh itu, ia bukan kebetulan kerana konspirasi baru itu muncul tiga bulan selepas kemenangan Mac 2008 dan pendakwaan rasmi terhadap saya itu dibuat hanya satu bulan sebelum saya bertanding di kerusi Parlimen Permatang Pauh.

"Rentetan peristiwa yang berlaku sebelum pertuduhan rasmi dibuat adalah diambil dari plot yang berlaku pada tahun 1998, yang tiada dalam episod terbaru ini, hanyalah kes mata hitam dan mangsa-mangsa yang dipaksa bawa ke mahkamah sebagai rakan kongsi dalam jenayah,” serang Anwar.

Dalam episod terbaru ini, kata Anwar para konspirator telah mengubah plot untuk membuat pendakwa dilihat sebagai seorang mangsa tidak berkeupayaan, kerana sedar plot 1998 yang menggunakan cara pengakuan paksa dan khianat oleh para mangsa sebagai satu perbuatan taubat susah dipercayai orang awam.

Anwar turut berkata konspirasi ini sememangnya mempunyai kaitan penuh dengan Najib dan isterinya Rosmah apabila Saiful sendiri mengakui pernah berjumpa dengan Najib di kediamannya untuk mengadu bahawa beliau diliwat.

“Kenyataan awal Najib bahawa beliau telah bertemu dengan pengadu untuk berbincang masalah biasiswa adalah penipuan besar, yang selepas itu ditarik balik disebabkan ledakan di media sosial dan juga blog-blog di Internet.

"Ia adalah jelas bahawa Najib dan Rosmah tidak mahu dilihat berkait dengan konspirasi ini, pada masa mereka sendiri turut terlibat dalam pelbagai skandal yang dibangkitkan di parlimen yang sehingga kini tidak dijawab,” kata beliau.

Konspirasi ini akan dimainkan sehingga beliau dipenjarakan, kata Anwar kerana prospek kekalahan Barisan Nasional kepada Pakatan Rakyat sudah hampir menjadi realiti.

“Najib ingat dengan memusnahkan karier politik saya, ia akan juga memusnahkan prospek Pakatan Rakyat untuk berkuasa. Dengan itu, tiada yang tidak akan dikorbankan untuk memastikan saya dijatuhkan hukuman supaya kerajaan Barisan Nasional pimpinan Umno akan terus berkuasa,” tegas Anwar.

Anwar mendakwa Hakim Zabidin telah menunjukkan dengan jelas bahawa beliau tidak saksama dalam pembicaraan ini.

“Saya kata sedemikian kerana anda telah berkali-kali menolak untuk mengundurkan diri walaupun dengan pelbagai bukti yang menunjukkan anda bias terhadap saya. Saya kata sedemikian juga kerana anda telah membutakan mata terhadap pencabulan protokol dan prosedur yang dilakukan oleh pihak pendakwaan manakala pada masa yang sama tidak mengendahkan bantahan saya terhadap pelbagai penyelewengan yang terang-bederang, yang mana akan tanpa lebih memberi amaran kepada mana-mana hakim yang adil terhadap niat jahat dan zalim pihak pendakwaan.

"Dalam perkara wajib untuk seorang hakim, Al-Quran mengarahkan agar: ‘Dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, anda mesti berlaku adil’,” tambah Anwar.

Sementara itu, Najib, Rosmah, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan bekas Ketua Polis Melaka, Datuk Mohd Rodhwan Mohd Yusof yang enggan menjadi saksi pembelaan Anwar akan disepina ke mahkamah.

Sepina juga akan dimohon dikeluarkan kepada doktor Hospital Pusrawi Dr Mohamad Osman Abdul Hamid, jururawat Yazihan Jusoh dan seorang pembantu rumah dari Indonesia yang hanya dikenali sebagai 'Suliati'.

Menurut peguam Karpal Singh yang dipetik Malaysiakini sebagai berkata, pihak pembelaan telah membuat permohonan dan menjangka saksi berkenaan akan tampil di mahkamah.

Ditanya sama ada, mereka boleh menolaknya, Karpal berkata tidak boleh dan sekiranya mereka berbuat demikian, waran tangkap boleh dikeluarkan ke atas mereka.

"Ia hanya boleh diketepikan. Setakat ini, belum ada permohonan untuk berbuat demikian,” katanya.


Laluan bertingkat di Pasir Mas siap
Mohd Nor Yahya

PASIR MAS, 23 Ogos: Laluan bertingkat melintas landasan kereta api di sini kini siap sepenuhnya, sedangkan jalan bertingkat di Jalan Hamzah dan jambatan Sultan Yahya Petra kedua bernilai RM150 juta belum pun mencapai 50 peratus dibina.

Laluan bertingkat itu dibina kerajaan negeri membabitkan kos RM15.5 juta, bagi mengatasi kesesakan lalu lintas di bandar Pasir Mas.

Sebaliknya jalan bertingkat di Jalan Hamzah dan projek perlebaran Jambatan Sultan Yahya Petra kedua hanya kelihatan tiang dibina kerajaan pusat. Perletakan batu asas dibuat Perdana Menteri pada Ogos 2007.

Rakyat boleh menilai sendiri sebuah kerajaan negeri yang berpendapatan tidak seberapa dapat menyiapkan projek laluan bertingkat mengikut perancangan awal.

Projek laluan bertingkat sepanjang 750 meter itu menghubungkan Kampung Lemal dan Kubang Panjang dianggap projek terbesar pernah dilaksanakan kerajaan negeri.

Anggota Exco kerajaan negeri, Mejar (B) Datuk Md Anizam Abdul Rahman berkata, fasa kedua projek membina jalan susur daripada laluan bertingkat ke Jalan Meranti sedang dijalankan.

“Jalan sepanjang 1.5 km itu sedang dilaksanakan kerja-kerja menambun dan dijangka siap akhir tahun ini,” katanya ketika ditemui semasa meninjau projek jalan tersebut hari ini.

Menurutnya jalan bertingkat itu dijangka dapat digunakan orang ramai sehari dua lagi memandangkan kerja-kerja mengetar masih dijalankan.

“InsyaAllah anak-anak perantau yang pulang bercuti sempena Hari Raya ini akan melihat sendiri projek dilaksanakan kerajaan bagi mengatasi masalah trafik di Pasir Mas,” ujarnya.


Ambil iktibar kejatuhan rejim Gaddafi

Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 23 Ogos: Dewan Pemuda PAS Malaysia mengingatkan kerajaan BN agar mengambil iktibar daripada kejatuhan rejim Muammar Gaddafi akibat pemberontakan rakyat Libya.

Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Raja Ahmad Al-Hiss berkata, BN harus segera sedar bahawa rakyat akan bangkit sekiranya corak pemerintahan kerajaan tidak menjurus ke arah keadilan.

"Jatuhnya Gaddafi disebabkan beliau bersifat autotarian dan menyekat banyak ruang demokrasi dalam negara seperti kebebasan akhbar dan hak asasi rakyat yang ada dalam Perlembagaan Negara mereka.

"Jadi rakyat bangun untuk menuntut keadilan. Kejatuhan Gaddafi itu disebabkan kegagalan beliau memberikan keadilan kepada rakyat dan ini boleh dijadikan iktibar kepada Umno BN yang ingin terus berkuasa," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Semalam, Gaddafi yang sudah 42 tahun memerintah Libya tumbang selepas kumpulan pemberontak berjaya menawan hampir seluruh bandar Tripoli.

Pemberontakan di Libya bermula pada 15 Februari lalu ekoran para penunjuk perasaan menuntut kebebasan hak asasi manusia.

Ia kemudian bertukar menjadi pertempuran di antara kumpulan tentera Gaddafi dengan para pemberontak sebelum tentera bersekutu diketuai AS mengebom bandar-bandar utama di Libya bagi menguatkuasakan larangan terbang di negara tersebut selepas diluluskan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Raja Ahmad berkata, kekayaan ekonomi sesebuah negara tidak dapat menjamin kerajaannya kekal berkuasa sekiranya keprluan lain diabaikan.

"Di Libya memang hasil minyaknya banyak dan rakyat kekayaan dikongsi bersama rakyat, kos sara hidup rakyatnya rendah tapi pemerintah mengabaikan aspek kehidupan yang lain.

"Umno dan BN tidak boleh menjadikan isu ekonomi atau pembangunan yang mereka lakukan selama ini sebagai asas untuk mereka mempertahankan kerajaan mereka kerana ekonomi bukan asas kebahagian seseorang tapi rakyat juga mahukan keadilan dalam berorganisasi, keadilan dalam menyuarakan pandangan hak-hak asasi," katanya yang juga Pengerusi Lajnah Antarabangsa Dewan Pemuda.

Sambil merakamkan ucapan tahniah keapda rakyat Libya, beliau bagaimanapun meminta pihak luar menghentikan campur tangan asing ke atas Libya sebaliknya menyerahkan segala keputusan kepada rakyatnya.

"Dalam masa yang sama juga kita minta pihak barat yang selama ini menyokong pihak pemberontak menyerahkan kembali suara rakyat kepada kepada Libya sendiri untuk menentukan sistem dan juga konsep negara yang mereka ingin bentuk.

"Terutamanya NATO dan Perancis yang berkepentingan di sana untuk memastikan apabila turunnya Gaddafi, semua kuasa, tindakan dan keputusan diserahkan kepada rakyatnya.

"Campur tangan pihak asing perlu dielakkan untuk mengelakkan pergolakan," katanya lagi.

Libya negara yang mempunyai simpanan minyak yang terbesar di Afrika dan yang ke-9 terbesar di dunia diserang oleh tentera bersekutu dan kemudiannya diajak negara-negara Perjanjian Atlantik Utara ( NATO ) untuk menyertai serangan keatas Libya.

Februari lalu, pemimpin Pakatan Rakyat bersama lebih 300 rakyat Libya dan 100 warga tempatan menganjurkan demonstrasi secara aman di kawasan sekitar Kedutaan Libya menuntut Presiden Muammar Gaddafi segera meletak jawatan.

Kebangkitan anak muda

Sementara itu, beliau turut mengakui kejayaan pemberontakan ini disokong oleh kuasa anak muda yang sedar mengenai apa yang berlaku dalam negara mereka.

Memberi contoh kejatuhan Hosni Mubarak di Mesir beberapa bulan lalu yang berpunca daripada kebangkitan anak muda, beliau berkata, anak muda sekarang sudah terdedah keapda sumber-sumber baru.

"Anak muda sekarang bukan anak muda dahulu. Anak muda sekarang terdedah kepada maklumat terutamanya media baru. Jadi mereka banyak memahami situasi dan erti keadilan.

"Maklumat yang mereka peroleh ialah primari menerusi sumber baru, bukan secondary lagi," katanya.

Justeru katanya, Dewan Pemuda akan memastikan gerakan anak muda sentiasa terarah untuk kepimpinan akan datang.

"Dewan Pemuda di peringkat pusat, negeri malah kawasan dan cawangan akan menggerakkan anak muda semoga mereka ini akan memimpin kebangkitan dan kesedaran kepada rakyat Malaysia," katanya.


Tentera diminta ganding bahu selesai gejala sosial
Salmah Mat Husain

KOTA BHARU, 23 Ogos: Pasukan keselamatan negara pelbagai kategori diingatkan berganding bahu dalam menyelesaikan gejala tidak sihat yang
membabitkan rasuah, pembuangan bayi, rogol, ragut, rompak dan berbagai lagi.

Menteri Besar Kelatan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata negara hari ini berdepan dengan masaalah berkenaan yang kian meruncing sehingga menuntut kerjasama yang erat pasukan keselamatan bagi mencegah gejala itu dari terus merebak.

(TG Nik Aziz menyampaikan sumbangan kuih hari raya kepada Lt Kolonel Mohd Sabri Nordin wakil Penglima 8 Briged Pengkalan Chepa. Foto: Rizal)

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian sumbangan kepada pasukan keselamatan yang tidak berpeluang berhari raya Syawal ini yang disumbangkan oleh kerajaan negeri.

Sebanyak 11,790 bungkusan kuih raya telah disediakan oleh kerajaan negeri untuk diagihkan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia, Polis
Kelantan, Kem 8 Briged Pengkalan Chepa.

Selain itu turut diraikan Kastam, Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP), Maritim, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Penjara, Jabatan
Imigresen dan JPJ.

Kuih raya itu disediakan oleh Persatuan Isteri-isteri Wakil Rakyat dan Pegawai Kanan kerajaan negeri (Purnama), sejak awal Ramadan lalu.

Kata Nik Aziz, sewaktu musim cuti sama ada sekolah atau perayaan, masyarakat di negara ini menyaksikan kes tersebut naik mendadak.

“Fenomena yang berlaku itu memerlukan pengorbanan yang lebih besar dari pasukan keselamatan negara,” ujarnya.

Menurutnya lagi, kamanan dan kesejahteraan yang dirasai oleh masyarakat hasil pengorbanan yang diberikan oleh pasukan keselamatan yang sentiasa menjaga negara.

“Walaupun sewaktu menyambut kedatangan Syawal, pasukan beruniform tetap menjaga keselamatan negara hingga mereka tidak berpeluang berhari raya bersama keluarga,”ujarnya lagi.

Menurutnya, bagaimanapun perlu diingat tugas mereka begitu mulia disisi Allah hasil pengorbanan menjaga keselamatan negara.

“Pasukan keselamatan sepatutnya rasa bertuah kerana terpilih menjaga keselamatan negara.

Kerana itu, katanya kerajaan negeri tidak lupa pada pasukan keselamatan yang menjaga negara.

Islam bertapak di tanah bikini-mini dan karnival
Claire de Oliveira (AFP)

RIO DE JANEIRO, 23 Ogos: “As-salam-aleikum!” Ucap Omar kepada para jemaah semasa memasuki masjid pertama di Rio iaitu Mesquita da Luz selepas beliau berbuka puasa.

Itulah antara bahasa Arab yang Omar tahu dan beliau terus meneruskan perbualannya dalam bahasa Portugis bersama rakan-rakan Islam yang lain, yang sepertinya baru memeluk agama tersebut di dalam negara terbesar penganut Kristian Katholik.

(Umat Islam sembahyang di Rio ketika anak-anak mereka bermain-main)

Di tanah yang lebih terkenal dengan bikini-mini dan karnival mewah yang memaparkan wanita yang berpakaian jarang, satu kumpulan kecil dan sedang bertambah besar orang Brazil dari pelbagai kaum telah memeluk agama Islam.

Untuk berdekad, hanya keluarga berketurunan dari Libya, Palestine dan Syria yang mengamalkan Islam di Brazil.

Omar, sehingga empat tahun yang lepas merupakan seorang paderi di satu gereja tempatan, menceritakan mengapa beliau memeluk Islam.

“Dalam Islam, saya menjumpai semua benda yang tengah saya cari. Saya jumpa Tuhan sebagaimana yang Dia mahu, tanpa sebarang pengubahsuaian,” kata Omar, 34 kepada AFP.

Berpakaian jubah djellaba tradisional lama, beliau enggan memberikan nama sebenar, tetapi hanya memberikan nama Muslim beliau: Omar Israfil Dawud bin Ibrahim.

"Pada masa ini, anda akan belajar bahawa Islam adalah salah satu agama monoteistik. Tidak ada prejudis terhadap agama ini," kata Omar, yang berada di sisi isterinya Alessandra Faria, yang menggunakan nama “Fatima” selepas memeluk Islam dan membuat keputusan untuk mula memakai tudung.

“Pada permulaannya, ibu saya amat takut untuk berada di luar dengan saya. Saya pakai tudung untuk menunjukkan saya Muslim dan sedar bahawa saya adalah sebahagian daripada golongan minoriti,” kata Fatima.

Hijab Fatima mungkin menarik perhatian kerana ia sangat ganjil di Rio, yang rata-ratanya lebih lumrah melihat wanita-wanita berjalan hanya dalam bikini-mini di tepi laut, namun beliau percaya kepercayaannya akan ada tempat di Rio.

“Brazil ialah satu tempat pelbagai budaya. Campuran ini menyebabkan orang Brazil sedang beradaptasi dan toleransi.”

Seperti umat Islam di sini, Omar and Fatima adalah orang baru dalam Islam. Mereka bercadang untuk melawat negara Arab Saudi tahun depan dengan satu grant (biasiswa) dari kerajaan Saudi untuk belajar bahasa Arab.

Pengubahsuaian dan penambahbaikan masjid yang mereka kunjungi di bahagian pedalaman Tijuca, utara daripada Rio telah bermula sejak empat tahun yang lalu dengan derma daripada para jemaah. Masjid itu dijangka dapat menampung 400 orang semasa waktu sembahyang, satu kenaikan taraf yang ketara.

“Bilangan umat Islam semakin bertambah, dan ramai orang Brazil telah bertukar ke Islam. Kita mencari ahli baru secara online,” kata Sami Isbelle, jurucakap kepada Beneficent Muslim Society (SBMRJ).

“Di Rio, terdapat 500 keluarga Muslim, 85 peratus daripadanya adalah orang Brazil yang bertukar agama tanpa ada sebarang pertalian dengan Arab,” kat Isbelle.

Berlainan pula di Sao Paulo dan bahagian selatan Brazil, di mana kebanyakan umat Islam adalah dilahirkan sebagai Islam dan berketurunan Arab.

Banci Brazil tidak mengambil kira bilangan umat Islam, tapi hanya mengeluarkan data mengenai Katolik, evangelicals Kristian, orang-orang Yahudi, Spiritualists dan pengikut agama Afro-Brazil.

“Muslim dikategorikan dalam senarai ‘agama lain-lain’ bersama Buddha, sebagai contoh,” kata pakar Islam Paulo Pinto dari Fuminense Federal University, yang menganggarkan Brazil ialah kediaman untuk sejuta umat Islam.

Indikasi terbaik terhadap perkembangan Islam di negara ini ialah dalam peningkatan tempat beribadat, menurut Pinto. Sekarang ini terdapat 127 masjid, empat kali lebih banyak berbanding tahun 2000.

Selepas serangan September 11 di Amerika Syarikat, “ada perkembangan minat terhadap Islam dan ramai yang ingin memeluknya,” tambah Pinto. “Islam kini dilihat sebagai satu bentuk rintangan yang baru.”

Namun, ia adalah “telenovela” atau satu drama (soap opera) yang dilancarkan tiga minggu selepas serangan 2001, “The Clone” yang menyemarakkan minat orang Brazil terhadap Islam.

Bertempat di Morocco, drama popular itu telah menunjukkan “imej positif di bahagian tersebut di dunia, dengan satu wira Muslim yang baik hati,” kata Pinto.

"Terdapat kecenderungan untuk berfikir bahawa budaya Brazil, sebagai liberal dan sensual seperti yang sedia ada, adalah bertentangan dengan kaedah-kaedah Islam.

"Tetapi yang sebenarnya, terdapat banyak kaedah-kaedah konservatif yang sebahagiannya daripada kawalan moral dan seksual. Lihatlah berapa banyak evangelicals Kristian yang berjaya di Brazil! "


JK Khas: Pemuda PAS sokong pendirian Pakatan
Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 23 Ogos: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menyokong pimpinan Pakatan Rakyat (PR) yang bertegas tidak akan menyertai Jawatankuasa Khas Parlimen yang dibentuk kerajaan kerana ia sekadar gimik politik Perdana Menteri semata-mata.

Ketua penerangannya, Riduan Mohd Nor berkata, penubuhan Jawatankuasa Khas Parlimen yang tidak tertakluk dengan tarikh pilihanraya umum ke 13 tidak akan membawa apa-apa makna terhadap sistem pilihanraya yang sedang dibualkan sekarang.

Katanya, DPPM mahukan kerajaan konsisten terhadap semua 8 tuntutan Bersih dan tidak bersikap retorik dalam menghadapi kemarahan rakyat.

“Jika pilihanraya umum dilangsungkan dalam keadaan Jawatankuasa Khas Parlimen tidak sempat membuat apa-apa resolusi, apakah maknanya penubuhan jawatankuasa ini?” soalnya dalam kenyatan kepada Harakahdaily.

Ini, katanya lebih membawa maksud penghinaan terhadap Parlimen itu sendiri.

Baginya, tidak ada ertinya Pakatan Rakyat (PR) duduk dalam Jawatankuasa Khas Parlimen jika semua tuntutan tidak dilaksanakan dalam PRU ke 13 nanti.

DPPM juga, ujarnya mempersoalkan bilakah lagi kerajaan akan melaksanakan reformasi dalam pilihanraya jika pada PRU ke 13 tidak sempat dilaksanakan.

“Adakah kerajaan mahu rakyat menunggu sehingga PRU ke 14, atau lebih lama dari itu?” tanya beliau lagi.

Ini, tambahnya membuktikan bahawa Datuk Seri Najib sendiri tidak ikhlas dalam melakukan usaha pemulihan sistem pilihanraya.

Beliau berkata, Jawatankuasa Khas Parlimen sekadar tempelan bagi mengambil hati rakyat yang masih terluka.

DPPM mengingatkan kerajaan bagaimana sistem pilihan raya di Malaysia menjadi bahan ketawa masyarakat antarabangsa, ujarnya.

Tambahnya, dengan daftar pemilih yang meragukan, pengundi klon dijumpai di mana-mana, pengundi pemastautin tetap yang mendapat hak kewarganegaraan sekelip mata dan diberikan kelayakan mengundi, serta undi pos yang terdedah tembelangnya dengan beberapa siri pendedahan bekas anggota tentera.

“Apakah alasan paling konkrit untuk diberikan melainkan reformasi keseluruhan dalam sistem pilihanraya?” soalnya.

Kata beliau, rakyat keseluruhannya amat mengharapkan perubahan drastik dan total dalam sistem pilihanraya yang semakin pincang.

Menurutnya, sistem pilihanraya di Malaysia sudah tidak dipercayai lagi untuk dijadikan sandaran, menunggu sehingga selepas PRU ke 13 akan menghilangkan kesabaran rakyat.

DPPM, katanya bimbang rakyat akan melakukan sendiri reformasi tersebut tanpa menunggu pilihanraya.

DPPM juga, ujarnya mengingatkan kerajaan bahawa zaman retorik politik sudah berlalu kerana rakyat semakin cerdik membaca permainan politik BN.

“Tiga bulan yang dijanjikan oleh Bersih masih ditagih dan masa semakin suntuk buat kerajaan BN melakukan usaha.

“Laksanakan segera reformasi pilihanraya sebelum PRU ke 13 jika tidak mahukan hukuman rakyat dalam Bersih 3.0,” ujarnya.


Kerap kemalangan: Penduduk mahu jalan dilebarkan
Khairil Abdul Rahim

BANDAR JENGKA, 23 Ogos: Keadaan jalan yang sempit serta tebing bahu jalan yang tinggi menyebabkan kemalangan berlaku hampir setiap hari, termasuk kemalangan maut sepanjang jalan utama Kampung Awah ke Bandar Jengka di sini.

Terbaru, sepasang suami isteri dan seorang cucu mereka maut apabila kenderaan van yang dipandu mangsa bertembung dengan lori di simpang utama Felda Jengka 17.

Kelmarin, aktivis PAS dari Felda Jengka 17, Abdullah Senawi, 68, bersama cucunya Nur Eiman Syazwan Muhamad, 8, maut dalam kemalangan ngeri di simpang Felda berkenaan.

Dalam kemalangan tersebut, isteri Abdullah, Fatimah debok, 58, cedera parah dan koma.

Semalam Fatimah yang merupakan Naib Ketua Muslimat Cawangan PAS Felda Jengka 17 pula meninggal dunia.

Serentak dengan itu, pengguna jalan raya Jengka mahu pihak berkuasa segera membesarkan jalan sepanjang kira-kira 40 kilometer itu kerana pada masa ini kenderaan semakin banyak terutama sejak siapnya Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) yang mana jalan keluar tol berada di Jengka 19.

Aris Faizul Ismail, 40, dari Jengka 16 menggesa pihak berkuasa segera membesarkan jalan yang dibina sejak penubuhan Felda pada tahun-tahun 1970-an kerana keadaan sudah jauh berubah dan tidak sesuai lagi.

“Ketika dibina jalan ini dulu tidak banyak kenderaan yang menggunakannya tetapi sekarang sudah jauh berbeza. Anak-anak peneroka yang bekerja di Kuala Lumpur atau di luar semuanya berkereta membuatkan jalan ini begitu sibuk. Tetapi jalan tidak dilebarkan.

“Jalan ini juga merupakan penghubung antara daerah-daerah Pahang Barat dengan Kuantan. Selain daripada kenderaan pengangkut hasil pertanian yang berulang-alik, Bandar Jengka sendiri sudah rancak dengan aktiviti perniagaan membuatkan banyak kereta keluar masuk ke sini,” katanya.

Tambahnya, kawasan ini terletak dalam kawasan Felda yang merupakan sebuah agensi kaya jadi sudah sepatutnya kerajaan bertindak segera membesarkan jalan utama bagi keselesaan pengguna.

“Bandar Jengka sudah diubah nama kepada Bandar Tun Razak oleh Perdana Menteri baru-baru ini, jadi jalan yang sempit ini jika tidak berubah hanya membawa imej buruk dan memalukan kepada orang luar,” ujarnya.

Jengka mempunyai penduduk hampir seratus peratus Melayu dengan beberapa buah tanah rancangan Felda iaitu Jengka 1 hingga 25, Kampung Awah, Sungai Nerek, Kota Gelanggi 1- 4, Sungai Tekam dan Lepar Utara 1- 14. Wilayah ini merupakan kawasan Felda terbesar di Pahang dengan penduduk kira-kira 90,000 orang.

Bandar Jengka merupakan satu-satunya bandar yang lahir dari pembangunan tanah Felda. Dulunya wilayah ini dikenali sebagai Jengka Tiga Segi kerana berada dalam tiga daerah iaitu Temerloh, Maran dan Jerantut. Di sini terdapat IPT pertama di Pahang iaitu Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Seorang penduduk lagi, Engku Nor Zaman Engku Mohamed, 41, dari Jengka 15 berkata sudah sampai masanya pihak kerajaan menaik taraf jalan Jengka kerana merupakan kawasan orang Melayu yang berkedudukan strategik.

“Bandar ini juga boleh dijadikan tarikan pelancong ke negeri ini. Kerana kawasan sekitar memiliki produk pelancongan berkualiti.

“Tidak jauh dari Bandar Jengka terdapat destinasi menarik kunjungan ramai. Antaranya ialah Gunung Senyum, Gunung Jebak Puyuh, Bukit Nyamuk, dan Gua Kota Gelanggi yang kaya dengan khazanah alam flora dan fauna. Kawasan rekreasi utama yang terkenal pula ialah Air Terjun Teladas, Lubuk Yu dan Lubuk Ujid.

Sementara itu bekas jurutera Lembaga Kemajuan Wilayah Jengka (LKWJ) Musaniff Abdul Rahman, 43, (kanan) yang menetap di Bandar Jengka menyalahkan dua faktor utama yang menyebabkan jalan utama Jengka tidak dinaik taraf. Pertama, menurutnya, pembubaran LKWJ dan kedua kerana kerusi Dun Jengka terlepas dari tangan PAS.

“Dulu ada LKWJ yang membangunkan prasarana dan kemudahan asas di wilayah ini. Ketika itu keadaan tidak seperti sekarang. Namun setelah agensi Persekutuan tersebut dibubarkan pada Oktober 2000, Jengka kini terletak di bawah Majlis Daerah Maran. Inilah kesan penutupan LKWJ.

“Satu lagi semasa wakil rakyat PAS ada dalam Dewan Undangan Negeri dulu, keadaan seperti sekarang tidak berlaku kerana segala permasalahan selalu dibangkitkan di dewan. Sebab itu saya fikir rakyat kena letak PAS semula mewakili kawasan ini dalam pilihan raya akan datang supaya kerajaan lebih peka dengan masalah rakyat”, katanya.

Pada Pilihan Raya Umum 1999 Jengka telah dimenangi oleh calon PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man setelah mengalahkan calon BN, Datuk Zainal Hasan, bekas Exco kerajaan negeri.

Malangnya pada 2004, wakil BN Abdu Rahman Ibrahim kembali memenangi Dun tersebut.

Sementara itu, difahamkan Datuk Seri Najib Tun Razak dalam lawatannya ke Jengka bulan lalu dikatakan mahu mengisytiharkan peruntukan jalan Jengka – Kampung Awah dilebarkan menjadi empat lorong.

Malangnya tiada pengumuman dibuat pada masa itu.


Libya: PAS harap tiada campur tangan asing
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 23 Ogos: Rakyat Libya diingatkan agar memastikan tiada ruang yang dibuka oleh mereka kepada kuasa luar khususnya negara-negara Barat daripada campur tangan dalam urusan politik, pembinaan negara dan infrastruktur yang musnah dalam kebangkitan rakyat, dalam tempoh peralihan kuasa di negara itu.

PAS tidak mahu campur tangan kuasa luar dalam menentukan jatuh bangun politik dan ekonomi Libya, sebaliknya ingin urusan tersebut diserahkan sepenuhnya kepada rakyat Libya untuk menentukan kepimpinan dan membangunkan negara mereka.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sehubungan itu menyeru pemimpin-pemimpin negara umat Islam dan OIC memainkan peranan segera untuk memastikan tiada campur tangan asing di Libya yang akan mengakibatkan kemusnahan kedua selepas kejatuhan Gaddafi.

Menurut beliau, amat malang bagi rakyat Libya dan masyarakat dunia amnya jika berlaku campur tangan kuasa asing selepas kejatuhan regim Gaddafi.

Katanya, PAS mengucapkan tahniah kepada Majlis Peralihan Negara Libya dan rakyat Libya keseluruhannya di atas kejayaan menguasai Tripoli, sekali gus memberi isyarat kejatuhan rejim Muammar Gaddafi yang memerintah Libya secara kuku besi selama lebih 40 tahun.

"Kejayaan ini merupakan satu menifestasi kebangkitan rakyat yang inginkan perubahan dan kebebasan setelah sekian lama dikongkong dan dizalimi oleh pemerintahan Muammar Gaddafi yang juga banyak membunuh dan memenjarakan rakyat yang tidak sehaluan dengannya," katanya.

Setiausaha akhbar beliau, Mohd Nasaie Ismail ketika menghubungi Harakahdaily, hari ini, berkata, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang turut menegaskan, dunia juga mengetahui bagaimana rakyat Libya memulakan kebangkitan dengan jalan damai iaitu berdemonstrasi di jalan raya.

Namun, ia berakhir dengan penuh kemusnahan kepada negara akibat tindakan ketenteraan yang dimulakan oleh pihak kerajaan sehingga membawa campur tangan asing yang memburukkan keadaan.

Katanya, kini pemerintahan regim Gaddafi telah berakhir di Libya dan PAS mendesak supaya pemimpin diktator yang dijatuhkan itu dibawa kepada proses pengadilan dan tidak dijatuhkan hukuman sebarangan mengikut kehendak masing-masing.

"Mereka perlu dibicarakan di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICJ) bagi melalui proses perbicaraan yang adil sebelum sebarang hukuman dikenakan," kata Abdul Hadi.


P’raya: Mengapa Najib mengalah pada Muhyiddin
Harakahdaily

PETALING JAYA, 23 Ogos: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tunduk kepada timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan menegaskan pilihan raya boleh diadakan bila-bila masa dan tidak tertakluk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Pembaharuan Pilihan Raya.

Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, setiap pelajar undang-undang dan Perlembagaan Malaysia tahu kuasa membubarkan Parlimen adalah tertakluk kepada nasihat Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Mengapa PM harus mengalah kepada TPM dalam hal ini?” soalnya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Katanya, wujud sedikit harapan bahawa PM akan akhirnya menunjukkan kepimpinannya dan menjadikan Jawatankuasa Pilihan Khas itu sebagai warisannya kepada demokrasi Malaysia tetapi nampaknya harapan tersebut berkecai lagi.

“Beza Pakatan dan BN ialah jelas, Pakatan cakap serupa bikin dan BN pula cakap tak serupa bikin,” ujarnya.

Pada 15 Ogos, katanya PM menegaskan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas itu dibuat bagi memastikan pilihan raya akan datang akan dijalankan secara bersih dan adil tanpa boleh dipertikaikan mana-mana pihak.

Beliau berkata, ini nampaknya ekoran nasihat penasihat-penasihat dan konsultan-konsultan mewah yang dilantik BN yang melihat kesan negatif cara PM menguruskan Bersih 2.0.

Tambahnya, tetapi penyakit ‘flip-flop’ terus menular dalam Jawatankuasa Pilihan Khas itu apabila Najib tunduk kepada Muhyiddin.


Menang pilihan raya cara haram
Harakahdaily

KOTA BHARU, 23 Ogos: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, ramai wakil rakyat seluruh negara yang memenangi Pilihan Raya Umum ke-12 lalu dengan cara haram.

Ini, tegasnya adalah hasil daripada pendedahan yang dibuat oleh pihak Gabungan Pilihan raya Bersih dan Adil (Bersih) berhubung kesilapan yang dilakukan oleh Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) seperti nama pengundi bertindih dan lain-lain.

Katanya, apa yang dibuktikan oleh Bersih itu adalah untuk menyedarkan SPR terhadap kesilapan-kesilapan yang mereka lakukan.

Tegasnya, selagi kesilapan-kesilapan yang dilakukan oleh SPR itu tidak dibersihkan, bermakna pilihan raya yang dilaksanakan adalah kotor.

“Di dunia kena laknat, di akhirat pun kena laknat,” tegasnya yang juga Menteri Besar Kelantan kepada wartawan selepas menyampaikan sumbangan kuih raya kepada pasukan keselamatan yang bertugas pada hari raya di Dewan Teratai, Kompleks Kota Darul Naim, di sini pagi tadi.

Justeru, bagi beliau Bersih telah memberikan khidmat yang besar kepada negara bagi menuntut pilihan raya yang adil.

“Siapa nak menang, siapa nak kalah, serah kepada pengundi,” tegasnya.

Beliau turut mengingatkan pasukan keselamatan supaya melaksanakan tugas yang utama iaitu menjaga agama.

Ini, katanya kerana agama yang menguruskan nafsu manusia yang tidak dapat dilakukan melalui undang-undang.

"Dengan undang-undang manusia tidak boleh diurus. Mesti ada sesuatu yang manusia buat di luar kemampuan undang-undang, yang boleh menguruskan nafsu manusia ialah agama.

"Ingat, tiap-tiap orang akan mati dan lepas mati akan dibalas oleh Allah," jelasnya.


Konvensyen Negara Berkebajikan tangkis tohmahan Umno
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 23 Ogos: PAS melalui Lajnah Penerangan dan Dakwah akan menganjurkan Konvensyen Negara Berkebajikan pada 10 September depan di Dewan Datuk Fadzil Noor, Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohamad (KUIZM), Taman Melewar.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, konvensyen tersebut diadakan bertujuan menghurai dan memberi kefahaman kepada seluruh kepimpinan parti mengenai Konsep Asas Negara Berkebajikan sebagaimana Ucapan Dasar Presiden tahun ini Menuju Negara Berkebajikan.

Katanya, konvensyen juga akan merumuskan sebuah rangka gerak kerja bagi melaksanakan ucapan dasar Presiden.

Beliau dalam satu kenyataan memberitahu, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang akan membentangkan Konsep Asas Negara Berkebajikan dalam ucaputamanya.

Tambahnya, beberapa tokoh politik dan NGO akan turut memberi ulasan ucaputama itu, antaranya Dr. Mohd Noor Manuty (Ketua Penerangan PKR), Dr. Tan Seng Giaw (Naib Pengerusi DAP Kebangsaan) dan Azmi Abdul Hamid (Presiden Teras).

“Huraian lanjut mengenai Konsep Negera Berkebajikan juga akan dibentangkan sebagai Dokumen Negara Berkebajikan oleh Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub,” katanya.

Katanya lagi, dokumen tersebut merupakan penjelasan berupa tawaran-tawaran PAS kepada rakyat, dan ia tidak lari dari Buku Jingga bahkan melengkapkan lagi tawaran-tawaran Pakatan Rakyat apabila diberi mandat memerintah negara.

Jelasnya, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat juga akan hadir bagi menyampaikankan ucapan penutup dalam konvensyen tersebut.

Katanya, peserta terlibat dalam konvensyen tersebut ialah semua kepimpinan tertinggi parti peringkat pusat, negeri dan kawasan-kawasan yang dijangka hampir 1,000 orang.

Menurutnya lagi, para peserta akan berpeluang berdialog dengan pimpinan tertinggi parti dalam memahami Konsep Negara Berkebajikan yang menjadi tema utama PAS dalam Ucapan Dasar Presiden baru-baru ini.

“Ia sekali gus bagi menangkis tohmahan Umno BN yang kononnya PAS lari dari hala tuju perjuangan apabila memperkenalkan Negara Berkebajikan,” katanya.

Justeru, beliau meminta PAS semua negeri dan kawasan mengosongkan tarikh tersebut bagi memberi tumpuan menghadiri program berkenaan.


Melayu sertai DAP, Umno susah main isu perkauman

Harakahdaily

PETALING JAYA, 23 Ogos: Penyertaan orang Melayu ke dalam DAP akan memberi keuntungan kepada Pakatan Rakyat khususnya dan Malaysia amnya dalam jangka masa panjang, kata Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu (gambar).

“Kalau ramai Melayu di dalam DAP, maka isu perkauman tidak dapat digunakan Umno lagi. Tiada masalah kalau Melayu yang rasa tak sesuai dengan PAS atau PKR untuk sertai DAP, asalkan bertujuan untuk menjatuhkan pemerintah zalim,” katanya.

Menurutnya, Umno cukup takut jika ramai Melayu sertai DAP kerana isu perkauman yang mereka mainkan tidak akan laku lagi apabila Melayu sudah celik demokrasi dan keadilan, lapor Roketkini.

Beliau menjelaskan ini tidak bermakna beliau menyeru orang Melayu menyertai DAP kerana ia terpulang kepada hasrat hati masing-masing dalam arena demokrasi sebenar yang memberi kebebasan memilih parti.

Menurutnya, hubungan di antara DAP dan PAS semakin erat umpama aur dengan tebing kerana kedua-dua parti memperjuangkan keadilan untuk semua rakyat Malaysia.

Mohamad berkata, bukti ketelusan DAP telah ditunjukkan oleh Setiausaha Agungnya Lim Guan Eng setelah mengambil alih Pulau Pinang dengan mengamalkan sistem pentadbiran yang cekap, akauntabel dan telus (CAT) sehingga negeri itu membangun dengan pesat sekali sejak tiga tahun lalu.

“Dari sudut menjaga harta awam, Guan Eng dan wakil-wakil rakyat DAP lebih hebat, dari sudut memisahkan perniagaan peribadi dan pentadbiran kepentingan rakyat. Ini berbeza sekali dengan negeri-negeri yang diperintah oleh Umno dan Barisan Nasional,” katanya kepada Roketkini.

Tambahnya, ketelusan dan kejujuran wakil-wakil rakyat DAP dapat dilihat apabila mereka hanya bergantung kepada elaun wakil rakyat semata-mata tanpa meminta-minta projek.

“Apabila memerintah, mereka tidak mengambil peluang untuk mencuri duit rakyat seperti mana pemimpin Umno buat,” katanya.


Pengarah Pelajaran rayu guru sokong BN?
Hussin Ibrahim
GUA MUSANG, 23 Ogos: Ramai guru di sini mengeluh panjang kerana dipaksa hadir pada program Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) bersama pemimpin Umno di sebuah sekolah baru-baru ini.

Lebih mengejutkan lagi mereka dikehendaki menandatangani kedatangan di majlis yang dinamakan sebagai ‘makan colek’ di dewan sebuah sekolah menengah.

Program berkenaan diadakan jam 10 hingga 12 malam yang menyaksikan pengarah JPN, pemimpin Umno menghentam kerajaan negeri, PAS dan membangkitkan semula isu Ladang Rakyat.

Guru terbabit yang enggan nama didedahkan memberitahu beliau terpaksa hadir kerana perlu menandatangani kedatangan pada majlis berkenaan.

“Kalau tidak dipaksa hadir berapa kerat sangat guru-guru di sini yang mahu datang. Namun kerana terpaksa saya datang juga biar pun sudah agak lewat malam.

“Tidak pernah berlaku lagi dalam sejarah seorang pengarah datang berkempen secara terang-terangan berceramah bersama pemimpin Umno di sini,” katanya.

Beliau yang berpengalaman mengajar di luar Kelantan memberitahu terkejut dengan kerenah politik begitu kuat menguasai sektor pedidikan di negeri ini.

Sedangkan katanya banyak negeri tempat beliau mengajar pengarah naik pangkat bukan kerana politik, sebaliknya kelayakan.

“Di negeri ini saya diberitahu mereka yang menguasai JPN sejak 1990 dilantik kerana ihsan politik dan bukan kelayakan sebenar.

“Sebelum ini saya hanya dengar rakan-rakan yang menceritakan situasi itu, namun apabila balik mengajar di negeri sendiri barulah saya tahu kerenah politik begitu dahsyat,” katanya.

Menurutnya selepas pengarah berceramah, Timbalan Ketua Umno Gua Musang, Datuk Nozula Mat Diah pula berucap dengan menggunakan peluang menghentam PAS dan kerajaan negeri.

JPN Kelantan sekarang diketuai Hussain Awang difahamkan berasal dari Machang.

Seorang lagi guru mendakwa dalam ucapan di majlis berkenaan Hussain merayu guru-guru yang hadir memastikan keluarga mereka menyokong Umno dan BN pada pilihan raya akan datang.

Program makan colek itu difahamkan pada peringkat awal mengundangkan Tengku Razaleigh Hamzah, namun beliau digantikan Nozula.

Politik Umno menguasai JPN begitu ketara ketika di bawah Datuk Shafie Ismail dan Rahman Ali. Kedua-dua pengarah terbabit dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan.

Malah ketika JPN di bawah Shafie guru-guru dipaksa menandatangani kedatangan hadir pada program bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

(Ikuti pendedahan lanjut dalam Harakah edisi cetak)

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis berbuka puasa dan makan malam DAP Selangor bersama Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu di Majlis Bandaraya Petaling Jaya di sini malam tadi.

Hubungan erat yang terjalin antara Mohamad dan Guan Eng bermula apabila kedua-duanya ditahan oleh kerajaan BN mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dalam Operasi Lalang yang dilakukan oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada 1987.

Menurut Mohamad, hubungan akrab mereka begitu kukuh sehingga beliau dan Guan Eng membahasakan diri sebagai abang dan adik.

Bagaimana pun, jelas beliau, bukanlah bermakna beliau mengagungkan DAP atau merendahkan PAS, seperti mana yang dimainkan media milik Umno serta blogger upahan mereka.

“Saya hanya katakan yang benar. Dalam DAP dan PAS, ada orang baik, ada orang kurang baik. Ramai yang baik dari yang kurang baik.

“Dalam PAS, kita ada pemimpin yang hebat seperti Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat. Beliau juga mementingkan rakyat, membina masyarakat, bukan mengaut kekayaan peribadi.

“Kita mahu suatu hari nanti akan muncul ramai pemimpin seperti Nik Aziz dan Guan Eng,” katanya.


Ekonomi Islam tak berkembang di bawah BN
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 22 Ogos: Sistem perekonomian Islam di tanah air tidak akan berkembang dengan baik selagi negara ini berada di bawah pemerintahan Umno BN.

Realiti itu boleh dilihat dengan jelas apabila sesetengah bank di negara ini masih lagi dibenarkan menjalankan operasi dengan dua sistem untuk dipilih oleh para pelanggan iaitu sistem Islam dan sistem konvensional.

Ahli Jawatankuasa Dewan Pemuda PAS Pusat, Mohd Nazri Chik berkata, tindakan kerajaan yang membenarkan sesebuah bank menjalankan dua sistem seperti itu merupakan satu langkah yang silap kerana ia boleh mengelirukan orang ramai.

Menurut beliau, dengan adanya dua sistem seperti itu yang dibenarkan untuk dilaksanakan oleh sesebuah bank, ia masih memberikan peluang kepada orang ramai untuk memilih sistem konvensional walaupun sistem Islam ternyata jauh lebih baik berbanding sistem konvensional.

Katanya, kesilapan membuat pemilihan seperti itu pasti berlaku terutama jika orang ramai masih tidak memahami perbezaan antara sistem Islam dan konvensional dan ia sepatutnya dielakkan oleh kerajaan.

"Di negara kita hanya bank Islam yang betul-betul melaksanakan sistem Islam sepenuhnya, tetapi bank-bank lain masih terdapat dua sistem yang dilaksanakan untuk dipilih oleh orang ramai iaitu sistem Islam dan konvensional.

"Keadaan itu berbeza dengan tindakan Kerajaan Qatar yang tidak sekali-kali membenarkan sesebuah bank menjalankan dua sistem dalam operasinya.

"Sebaliknya, jika sesebuah bank itu hendak melaksanakan sistem Islam, hanya sistem Islam sahaja yang dibenarkan di Qatar, manakala jika sesebuah bank itu memilih sistem konvensional, hanya sistem konvensional sahaja yang dibenarkan dilaksanakan oleh bank itu tanpa diberikan pilihan untuk dilaksanakan sistem Islam oleh bank yang sama," katanya.

Ketika menyampaikan tazkirah di ibu pejabat Harakah, di sini, hari ini, beliau berkata, Kerajaan Malaysia sepatutnya mengambil langkah yang sama dengan Kerajaan Qatar kerana dengan itu barulah wang orang ramai akan menjadi bersih dari unsur riba dan unsur-unsur haram.

Menurutnya, namun selagi Umno BN memerintah, tindakan seperti yang dilakukan oleh Kerajaan Qatar itu tidak akan dilaksanakan di negara ini.

Tindakan Umno BN itu, katanya, sememangnya memberikan kesan buruk bagi perkembangan sistem perekonomian Islam di tanah air dan ia sepatutnya sudah lama diselesaikan oleh Kerajaan BN.

"Tetapi Umno BN sebenarnya tidak boleh diharapkan untuk melakukan perubahan itu. Sebaliknya, jika PAS dan Pakatan Rakyat yang memerintah negara ini nanti, barulah rakyat akan dapat melihat perubahan itu yang akan dilaksanakan sepenuhnya oleh Pakatan Rakyat," ujarnya.

Di negara kita, katanya, perlaksanaan sistem perekonomian Islam yang dipelopori oleh Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) sebenarnya adalah cetusan idea pemimpin PAS iaitu almarhum Zulkifli Mohamad.

"Perkara itu diketengahkan oleh Zulkifli Mohamad bagi kepentingan perekonomian umat Islam di negara kita pada persidangan Dewan Rakyat dan kemudiannya telah diteliti serta diberikan pertimbangan yang sewajarnya oleh pihak-pihak terbabit.

"Lanjutan cetusan idea Zulkifli Mohamad itulah kemudiannya lahirnya Bank Islam yang melaksanakan sistem ekonomi Islam sepenuhnya di negara kita.

"Perkara itu amat perlu diketahui oleh orang ramai bagi membolehkan setiap rakyat negara ini memahami pemikiran dan perjuangan para pemimpin PAS yang sentiasa berjuang untuk Islam, untuk menegakkan Islam sebagai ad-deen di tanah air, bukan sahaja dalam politik tetapi juga dalam pelbagai aspek termasuk dalam sistem kewangan atau perekonomian," ujar beliau.

Azizi setia berjuang dengan ilmunya
Abdul Aziz Mustafa

KUALA LUMPUR, 22 Ogos: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menyifatkan novelis terkenal, Azizi Abdullah sebagai pejuang yang setia dengan ilmunya.

"Sebaik sahaja diberitahu Azizi akhirnya kembali ke pangkuan kekasihnya, Allah s.w.t., saya benar-benar terasa bahawa Islam hari ini kehilangan seorang lagi pejuangnya.

"Aktiviti sosial dan politik Azizi sangat konsisten dengan ilmunya sebagai seorang yang pernah menjadi guru Pendidikan Islam.

"Dia sangat setia kepada ilmunya," kata beliau.

Bukan sekadar itu sahaja, kata Mahfuz, penulisan Azizi jelas menggarap isu-isu rakyat bawahan serta penderitaan mereka dan nasib mustadh'afin atau golongan tetindas yang menjadi isu utama perjuangan Islam.

"Azizi juga banyak memberikan sumbangan yang tak ternilai kepada PAS termasuk sumbangan tenaga dan pemikiran malah menjadi salah seorang calon PAS di Kedah dalam pilihan raya umum 1999 lalu," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Azizi meninggal dunia pukul 7.50 pagi semalam setelah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Pulau Pinang sejak 11 Ogos lepas.

Azizi, 69, dimasukkan ke hospital berkenaan pada Mac lalu dan menjalani pembedahan jantung April.

Namun, keadaan Allahyarham tidak stabil akibat komplikasi serangan kuman, kencing manis dan masalah buah pinggang.

Azizi terkenal dengan novel "Seorang Tua di Kaki Gunung" ketika naskah itu dijadikan teks wajib sastera Tingkatan Lima kira-kira 20 tahun lepas.

Jenazahnya dibawa pulang ke rumahnya di Taman Bersatu, Kulim, Kedah dan dikebumikan selepas zohor semalam.

Allahyarham bertugas sebagai Editor Utusan Pengguna terbitan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) setelah bersara sebagai guru dan terus aktif berkarya menghasilkan novel serta kritikan politik berunsur satira.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan