Rabu, 20 Julai 2011

JANGAN KITA MENIDAKKAN ORANG NAK BUAT KEBAJIKAN SERTA NAK BERLAKU ADIL...INI MEMANG DITUNTUT DALAM ISLAM

Anugerah Ibrahim Ali atau anugerah untuk Ibrahim Ali?
http://darisungaiderhaka.blogspot.com








Jika ada pengiktirafan untuk mahasiswa yang dinamakan Anugerah Pak Sako, Anugerah Usman Awang atau Anugerah Pendita Za’aba bagi mana-mana kolej atau universiti di Malaysia, pasti ibu bapa atau diri si penerima itu akan merasa bangga, kembang berbunga dan mekar mewangi.

Kerana apa? Kerana ikon-ikon itu sememangnya diperakui kehebatan pemikiran, sumbangan idea dan karya mereka yang telah terbukti menjadi suatu tinta mata air ilmu pengetahuah buat anak-anak bangsa.

Begitu juga kisahnya dengan Rural Industrial Development Authority (RIDA) yang ditubuhkan 1950.Ia adalah cetusan idea Dato’ Onn Jaafar untuk membantu meningkatkan taraf hidup orang Melayu.

Menjelang Merdeka, RIDA telah menubuhkan Dewan Latihan RIDA yang menawarkan kursus-kursus perniagaan, perakaunan dan kesetiausahaan. Kemudian, Kongres Ekonomi Bumiputera yang pertama pada 1965 telah mencapai rumusan untuk menukar nama RIDA kepada Majlis Amanah Rakyat atau MARA, dan dengan itu Dewan Latihan RIDA juga bertukar wajah menjadi Maktab MARA.

Pada akhir 1960-an, ia sekali lagi bertukar nama menjadi Institut Teknologi MARA, yang lebih dikenali dengan gelaran ‘Institut Tolong Melayu’. Sejak tahun 2000, ia telah dinaikkan taraf menjadi Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Hasrat asal penubuhan RIDA tidak lain dan tidak bukan untuk manfaat anak-anak bangsa yang datang dari kaum Bumiputera bagi mendapat latihan secara professional demi membangunkan taraf hidup orang-orang Melayu. Itu hakikat penubuhan dan perjuangannya.

Dato’ Onn sendiri, kita ketahui sebagai seorang nasionalis yang amat mengambil berat tentang tahap pendidikan kaum Melayu zaman itu. Justeru, penubuhan RIDA yang kini dikenali sebagai MARA telah mewujudkan ITM dan UiTM yang merupakan sebahagian dari hasrat murni beliau.

Kini, zaman telah berubah. Niat asal untuk membantu meningkatkan taraf hidup Melayu dan Bumiputera telah bertukar menjadi institusi untuk satu kaum sahaja tanpa mengira paras kemiskinan, kemampuan dan keperluan.

Walau pun UiTM dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan melalui hasil sumber negara dan wang cukai rakyat pelbagai kaum, institusi untuk membantu pelajar Bumiputera dari keluarga berpendapatan rendah telah menjadi medan untuk kumpulan-kumpulan ultra kaum menyebarkan dakyah mereka.

Dengan itu, datang cadangan untuk memberi Anugerah Ibrahim Ali kepada pelajar yang “memperjuangkan bangsa”.

Pemberian anugerah pada zaman ini, rata-ratanya sekadar untuk syok sendiri. Dengan kata lain, untuk memuaskan nafsu dan publisiti politik. Tidak ada kewajaran dalam hujah ilmiah.

Namun tidak mengapa, kerana itu adalah hak mutlak universiti terbabit, sama ada anugerah murahan seperti itu akan menjatuhkan imej institusi terlibat, ia terpulang kepada mereka yang bertanggungjawab meluluskannya.

Mungkin dari satu sudut, Anugerah Ibrahim Ali ini sudah kena pada masa dan tempatnya kerana pemimpin Perkasa itu sememangnya seorang tokoh besar dalam politik Malaysia pada masa kini. Beliau antara ahli politik paling banyak melompat parti dan paling kerap mengubah prinsip perjuangan.

Penerima anugerah itu pasti bangga dikaitkan dengan Ibrahim Ali yang mampu membuktikan kepada masyarakat Melayu bahawa politik melompat ke sana dan ke mari mengikut selera peribadi serta menyemai rasa benci dengan kaum-kaum lain adalah sesuatu yang hebat dan patut menjadi teladan.

Sepatutnya UiTM sudah lama mewujudkan anugerah seprestij ini; mungkin perlu diperkenalkan sewaktu Ibrahim Ali meninggalkan UMNO untuk menyertai Semangat 46, atau selepas meninggalkan Semangat 46 untuk kembali bersama UMNO, atau meninggalkan UMNO sekali lagi untuk menziarahi dan mengisytiharkan sokongan kepada Anwar Ibrahim selepas bekas Timbalan Perdana Menteri itu dibebaskan dari penjara.

Atau mungkin, selepas Ibrahim Ali menang pilihan raya umum 2008 atas tiket PAS, dan kemudian mengecam dan mengutuk PAS yang kini bersama dengan PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat.

Begitu hebat sekali anugerah ini sehingga dapat kita samakan dengan Hadiah Nobel versi Ketuanan Melayu.

Dan jangan kita lupa bahawa UiTM sememangnya sebuah institusi pengajian tinggi yang paling tepat untuk mengadakan anugerah sebegini. Secara tidak langsung, dengan adanya anugerah ini, Universiti Malaya atau Universiti Kebangsaan Malaysia misalnya akan semakin jauh ketinggalan dalam arus popular pemberian anugerah.

Mungkin dengan adanya Anugerah Ibrahim Ali ini, rating UiTM akan naik mendadak di kalangan universiti-universiti terkemuka di dunia.

Mahasiswa yang menerima anugerah ini pasti menggegarkan dunia dengan semangat anti-demokrasi, anti-kebebasan, anti-meritokrasi, anti-pilihan raya bebas, adil dan bersih, serta menjadi pendukung Ketuanan Melayu.

Dan secara tidak langsung, UiTM yang lahirnya dari RIDA dan MARA akan menjadi penyumbang kepada penghasilan insan-insan yang akan menjadi ahli dan pewaris Perkasa yang suatu masa nanti bakal mencabar UMNO.

Di sinilah terletaknya kebijaksanaan Ibrahim Ali yang memperkudakan institusi seperti UiTM, demi mencapai cita-cita politiknya.

Mungkin pemimpin Perkasa itu sedar bahawa dengan sekadar, jika ada, Piala Ibrahim Ali bagi pertandingan futsal di peringkat daerah, ia adalah terlalu kecil berbanding dengan kebesaran, ketokohan dan ego kepimpinannya.

Jika Dato’ Onn masih hidup, pasti berlinangan air matanya.

Momentum Bersih perlu diteruskan
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 20 Julai: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor bersetuju dengan keputusan mesyuarat Pimpinan Pakatan Rakyat di Petaling Jaya baru-baru ini yang menegaskan keperluan untuk terus menggerakkan agenda dan momentum Bersih sehingga kepada masyarakat luar bandar.

Ketuanya, Hasbullah Mohd Ridzwan (gambar) berkata, ini kerana banyak lagi maklumat dan tuntutan Bersih tidak sampai kepada mereka sehingga masyarakat luar bandar tidak berapa ambil peduli tentang perkara tersebut.

“Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor merasakan pimpinan Pakatan Rakyat di semua peringkat perlu menggerakkan usaha bersama secara bersepadu untuk menangani permasalahan ini dan tidak lagi membiarkan masyarakat luar bandar ini berterusan dibuli dan dipergunakan Umno dan Barisan Nasional,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Katanya, kempen-kempen penerangan tentang kejayaan Kerajaan Pakatan Rakyat berbanding Kerajaan Barisan Nasional perlulah diperkasakan gerakannya, program-program kebajikan kepada rakyat diteruskan tanpa prejudis dan wakil-wakil Rakyat Pakatan Rakyat mestilah dilihat mesra rakyat sepanjang masa dan tidak dilihat sebagai orang yang eksklusif.

Menurutnya, Dewan Pemuda PAS negeri sehingga kini telah mengarahkan seluruh jentera pemuda PAS di kawasan-kawasan untuk meneruskan agenda penerangan Bersih dengan menganjurkan ceramah berterusan, sebaran risalah dan pelbagai aktiviti lain yang menjurus kepada memberikan kefahaman masyarakat berkenaan 8 tuntutan yang diperjuangkan oleh Bersih.

“Semoga dengan komitmen dan kerjasama semua pimpinan Pakatan Rakyat untuk meneruskan agenda Bersih ini secara bersepadu akan dapat meneruskan gelombang kebangkitan rakyat untuk menolak Umno BN di dalam pilihan raya umum ke 13 akan datang,” ujarnya lagi.


Pak Menteri Penipu
Suhaimi Taib



Mengapa kita biarkan diri ditipu

Janji manis palsu, “satujambatan RM20 juta akan dibina.”

berbuih tumpah dari mulut Pak Menteri

sebelum pilihan raya tak bersih --dan kini,

masih tak bersih.



Hari ini mulut-mulut rakyat terlopong

Kerana ditipu buat kesekian kalinya

oleh penguasa petualang negara.



Pilihanraya tak besih datang lagi

Pak Menteri terhegeh-hegeh

Berjanji lagi, “tahun ini jambatan RM20 juta akan dibina.”

Rakyat di hulu negeri tersengih gembira

beberapa purnama berlalu

masih tidak ada jambatan untuk laluan

merentas desa dan kota.



Penoreh getah ditipu lagi

Kerana usianya seusia pohon getah tua

susunya sudah hampir habis ditoreh

Telinganya tersumbat sebelah

media senget dan muka berbukah

melepak di goboknya saban hari.



Malu anak watan rasa ditipu

Jika dirinya tengadah

Anak muda biar genggam bara

Abunya biar beku di tangan

Namun Pak Menteri penipu

sergahlah dengan sapaan amaran.



17 Julai 2011
Kuala Terengganu.


Pemuda PAS Sarawak terus berbakti
Harakahdaily

(Rombongan Pemuda PAS masuk kampung Jepak, Bintulu menghantar bantuan)

BINTULU, 20 Julai: Pemuda PAS Sarawak bersama PAS Cawangan Jepak telah mengadakan ziarah kebajikan di sekitar Kampung Jepak, Bintulu pada 16hb Julai 2011 yang lepas.

Program ini diadakan sejurus selepas mesyuarat Dewan Pemuda PAS Sarawak yang diadakan di Markaz PAS Kawasan Bintulu yang terletak di Kampung Jepak.

Turut bersama-sama dalam program ini adalah pegawai kebajikan PAS Cawangan Jepak dan AJK Dewan Pemuda PAS Sarawak.

Dalam siri ziarah kali ini, sejumlah 5 keluarga telah diziarahi dengan sedikit sumbangan telah diserahkan sebagai tanda penghargaan kepada keluarga terbabit di atas kesudian menerima kunjungan Pemuda PAS Sarawak disamping mengurangkan bebanan yang ditanggung oleh keluarga terbabit.

(Bermesra dengan penduduk kampung)

Antara yang diziarahi adalah bekas seorang ketua kampung yang telah terlantar di atas katil sejak lebih 20 tahun yang lepas.

Menurut anak beliau, pihak hospital memberitahu bahawa ayahnya menghidap Parkinson dan setiap dua atau tiga jam ayahnya akan mengalami kekejangan otot untuk beberapa jam.
Di kesempatan itu Ketua Pemuda PAS Sarawak, Saudara Mohammad Arifiriazul telah membacakan sedikit doa moga-moga dikurangkan bebanan keluarga ini oleh ALLAH.

Program ziarah seumpama ini antara yang akan menjadi fokus kepada Pemuda PAS Sarawak bagi merapatkan rakyat Sarawak dengan perjuangan PAS.

Pemuda PAS Sarawak juga akan berusaha memperjuangkan kes-kes kebajikan yang terpinggir bagi memastikan mereka ini mendapat pembelaan dan kemudahan yang sewajarnya.

Demokrasi di Malaysia makin pincang

Mohd Syahid

Ahli parlimen merupakan wakil yang dipilih oleh rakyat untuk menyampaikan pandangan dan masalah mereka. Konsepnya wakil yang dipilih ini adalah pekerja untuk rakyat dan rakyat adalah tuannya. Seharusnya wakil yang dipilh oleh rakyat ini memainkan peranan penting dalam membawa isu-isu dan masalah-masalah rakyat.

Namun ada sesetengah wakil rakyat ini membalas pengharapan rakyat dengan mengkhianati amanah yang diberi. Mereka membolot harta rakyat sesuka hati mereka demi kepentingan peribadi. Membina mahligai berjuta-juta ringgit di saat ramai rakyat di sekeliling rumah mereka menanti saat rebah ke bumi. Berbelanja kelengkapan peribadi ribuan ringgit di saat ada rakyat menjadi peminta sedekah yang mencari sesuap nasi untuk anak di rumah.

Kos kehidupan yang meningkat dan kenaikan harga barang lebih menghimpit golongan miskin ini. Kajian yang dilakukan mendapati pendapatan isirumah di bawah RM 2000 boleh dikatakan sebagai golongan miskin.

Dalam keghairahan mengejar status negara maju namun Malaysia masih mempunyai jurang pendapatan yang besar. Ibarat pepatah Melayu menyebut ‘menang sorak kampung tergadai’. Lebih parah apabila budaya rasuah dan ketirisan wang telah menyebabkan negara rugi berbilion ringgit. Malah rasuah juga berlaku kesan daripada demokrasi yang cacat. Demokrasi Malaysia masih bersifat sempit dan belum matang sepenuhnya.

Menyentuh tentang isu 6 orang termasuk seorang Ahli Parlimen Sungai Siput (U), Dr Jayakumar yang ditahan dibawah Seksyen 3(1) Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Pencegahan Jenayah) 1969. Ordinan Darurat hampir sama dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri yang membenarkan polis menahan seseorang suspek sehingga 60 hari tanpa perbicaraan. Sebelum itu, beliau ditahan kerana didakwa melawan Yang di-Pertuan Agong dan mahu menghidupkan fahaman komunisme.

Saya berpandangan kalau benar beliau bersalah sepatutnya beliau dibawa ke mahkamah untuk dibicarakan, Biarkan mahkamah yang menentukan bersalah atau tidak. Adalah tidak adil jika beliau ditahan berhari-hari tanpa belum dibuktikan bersalah lagi. Malah penahanan beliau membantutkan tugas beliau sebagai ahli parlimen.

Keruntuhan demokrasi juga turut menjalar ke Kolej Universiti Insaniah Kedah (KUIN) apabila pentadbiran KUIN telah bertindak menggunakan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) menggantung pengajian lima orang pelajarnya kerana didakwa mengadakan demontrasi berhubung bantahan pembukaan Sekolah Insan Bestari menggunakan bangunan tahfiz.

Di Mesir pula seorang mahasiswa Mohd Firdaus Madzlan telah dibuang daripada universiti adalah disebabkan beliau menganjurkan Bersih 2.0 di Mesir baru-baru ini. Tindakan ini adalah bertentangan dengan perlembagaan negara, iaitu hak setiap warganegara untuk bersuara dan berhimpun secara aman.

Oleh itu, saya mengharapkan supaya pemimpin negara lebih serius dalam menagani rasuah dan mengamalkan kehidupan yang lebih bersederhana.

Selain itu, berdasarkan prinsip keadilan dan hak asasi manusia saya juga berharap pihak yang bertanggungjawab terutamanya Kementerian Dalam Negeri dapat mempertimbangkan semula penahanan mereka selaras dengan status Malaysia sebagai anggota Majlis Hak Asasi Manusia PBB dan mengkaji semula mana-mana akta yang melanggar nilai demokrasi di Malaysia seperti AUKU, Ordinan Darurat dan ISA.

Perjalanan terakhir Dr Lo' Lo'
Mohd Rashidi Hassan

"IBU berpesan kepada kami adik-beradik, jangan sesekali dia dilupakan selepas ibu kembali ke rahmatullah.

"Ibu suruh ingat dia, kenang dia, terlalu banyak saat-saat bahagia kami bersama ibu, namun sekarang semua sudah tiada," kata Fawwaz, anak kedua Allahyarhamah Dr Lo'Lo' Mohd Ghazali, Ahli Parlimen Titiwangsa yang meninggalkan kita semua 10.13 malam 17 Julai 2011, selepas bertarung dengan penyakit kanser paru-paru selama dua tahun.

Dr Lo'Lo' pergi menghadap Allah Rabbul Jalil, meninggalkan suami Dr Aminuddin Hamid Karim dan empat anak. Dua lelaki dua perempuan.

Anak sulung, Mawaddah, 30, Fawwaz, 28, Sakinah, 26 dan yang bongsu Farhan, 25.

"Semalam ayah agak terkesan selepas ibu pergi, tetapi alhamdulillah, pagi ini sudah boleh terima," Fawwaz meneruskan ceritanya kepada penulis sewaktu bertemu dengannya di Masjid al-Akram, Kampung Datuk Keramat.

Jam menunjukkan pukul 8.00 pagi. Di sebalik kesedihan, Fawwaz meneruskan ceritanya. Sesekali beliau mengetab bibir. kelihatan air mata bergenang di kelopak mata, namun beliau cuba menahan kesedihan.

Menurutnya, sebagai ibu, Dr Lo'Lo' banyak berhabis untuk anak-anak. Habis semua wang gajinya digunakan untuk membentuk keperibadian anak-anak supaya menjadi seorang yang unggul dari sudut akhlak dan peribadi.

"Hidup kami padat dengan tarbiyah, belajar, kem motivasi dan sebagainya," katanya sambil tersenyum terkenangkan kisah silam sewaktu di bangku sekolah.

Namun semua kebahagian itu sudah tiada. Ibunya pergi selepas terlantar di Hospital Selayang selama dua minggu.

"Kali terakhir kami bercakap dengan ibu pada Khamis lepas (14 Julai), selepas itu ibu tidak sedarkan diri," kata Fawwaz.

Sebelum dirujuk ke Hospital Selayang, Dr Lo'Lo' dimasukkan ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) selama 10 hari. Kemudian dibawa pulang beberapa hari ke rumah.

Namun menurut Fawwaz, keadaan ibunya tidak berapa stabil sewaktu berada di rumah.

"Ibu kelihatan terlalu sakit, lalu kami bawa ke Hospital Selayang kerana beliau perlu diberikan sedatif (untuk mengurangkan kesakitan," katanya.

Katanya, Dr Lo'Lo' dikesan mengalami kanser sejak 2009.

"Pada waktu itu, mula-mula ibu batuk berdarah, kami sangkakan beliau jadi begitu kerana terlalu kuat bekerja. Ibu tidak pernah rehat sejak dipilih menjadi Ahli Parlimen Titiwangsa.

"Namun selepas dibawa menjalani pemeriksaan, beliau disahkan mengidap kanser paru-paru pada stage tiga," ceritanya.

Selepas disahkan mengalami kanser, lalu dibuat pembedahan segera membuang kanser tersebut.

"Selepas itu ibu menjalani kimoterapi, saya dapat rasakan ibu begitu sakit ketika menjalani kimoterapi. Kemudian kami dimaklumkan oleh para doktor bahawa, selepas menjalani beberapa ujian, ibu sudah bebas daripada kanser.

"Kami berasa lega dan ibu terus kembali aktif dalam kerja-kerja politik. Namun kegembiraan kami tidak lama. Keadaan ibu kembali tidak stabil pada penghujung 2010. Selepas dibuat pemeriksaan, kami dimaklumkan bahawa kanser sudah merebak," ujarnya sugul.

Namun, Dr Lo'Lo' tidak pernah mengenal penat lelah. Beliau tetap mahu menjalankan tugasnya sebagai Ahli Parlimen, mahupun keadaan fizikal sudah tidak mengizinkan.

Dr Lo'Lo' terpaksa berehat di rumah. Beliau terus bertarung dengan kanser. Namun bukan simpati yang ditagihnya daripada rakan taulan, sahabat handai dan anggota keluarga yang datang mengunjung.

Dr Lo'Lo' menyedari hayatnya tidak lama. Namun beliau tidak mahu dirundung dengan kesedihan dan ketakutan.

"Pada sesiapa sahaja yang datang, terutamanya pada pemimpin PAS, ibu akan terus beri nasihat dan bercakap mengenai masa depan Islam dan politik.

"Saya masih ingat, ibu selalu pesan kepada mereka supaya jaga anak-anak muda, dekati anak-anak muda, banyak turun padang mendekati pengundi. Beliau paling risau anak-anak muda sekarang tidak solat dan terbabit dalam gejala sosial," kata Fawwaz.

Tidak hairanlah sebaik sahaja berita Dr Lo'Lo' kembali kerahmatullah berbondong-bondong umat datang mengunjungi Allahyarhamah di Masjid al-Akram.

Ramainya umat yang menunaikan solat jenazah, menyamai umat Islam yang menunaikan solat Jumaat.

Dr Lo'Lo' adalah sebutir permata, srikandi muslimah yang gigih dalam memperjuangkan cita-cita Islam menerusi PAS. Beliau begitu istiqamah sehingga ke akhir hayat.

Moga rohnya aman di alam barzakh. Moga beliau ditempatkan bersama pada syuhada dan solihin. Al-Fatihah.


Christchurch sebagai contoh negara berkebajikan
Dr. Ubaidullah Mustaffa



Pengenalan


Saya dan keluarga tiba di New Zealand semasa musim luruh. Pada waktu itu cuaca tidak begitu sejuk lagi. Kerajaan New Zealand melalui agensi-agensi kebajikannya telah menemui saya di sebuah masjid di New Zealand untuk menghulur bantuan sebagai persiapan menghadapi musim sejuk.

Saya memberitahu mereka bahawa saya baru sahaja tiba dari Malaysia dan rumah saya kosong tanpa perabut, katil dan tiada peralatan dapur. Tiga hari kemudian badan kebajikan milik kerajaan New Zealand telah menghantar ke rumah saya satu set sofa ruang tamu, dua unit TV 24”, tiga unit pemanas rumah, empat katil dan tilam lengkap dengan cadar, bantal dan selimut, peti ais, micro-wave oven, pinggan mangkuk, sudu, pisau dan bermacam-macam lagi.

Tidak pun sampai seminggu rumah saya lengkap segala-galanya secara percuma pemberian kerajaan New Zealand. Mereka membantu manusia tanpa mengira bangsa atau agama.

Terkenang saya pada negara sendiri. Tidak pernah saya menerima bantuan dan layanan seperti itu walau pun di negara sendiri. Kerajaan kita banyak bercakap tentang konsep negara kebajikan tetapi pelaksanaannya mungkin tidak sama dengan konsep yang dicanangkan.

Elok juga kita mengkaji New Zealand sebagai salah satu model negara kebajikan terhadap rakyat. Oleh kerana New Zealand agak luas maka saya akan memilih bandaraya Christchurch sebagai contoh dalam perbincangan model negara kebajikan.

Christchurch

Christchurch adalah sebuah bandaraya terbesar di Pulau Selatan New Zealand dalam Daerah Canterbury. Jika dibandingkan dengan seluruh New Zealand Christchurch adalah bandaraya kedua paling ramai penghuni di New Zealand iaitu hampir 864 orang setiap kilometer persegi.

Perbualan saya dengan penduduk tempatan Christchurch mendapati kejadian gempa bumi bukan perkara biasa di sepanjang kehidupan mereka di Christchurch. Walau pun New Zealand berada dalam garisan lingkaran api bersama-sama dengan Indonesia dan Jepun tetapi Christchurch tidak pernah mengalami gempa bumi sehingga kejadian pertama gempa bumi pada bulan September 2010.

Bantuan kerajaan


Kerajaan New Zealand membantu secara konsisten setiap rakyat mereka yang ditimpa bencana gempa bumi. Mereka membina rumah-rumah di luar kawasan gempa bumi dan mempelawa rakyat mereka untuk menyewa dan terus membeli rumah-rumah tersebut dengan harga yang sangat berpatutan iaitu lebih rendah dari harga pasaran semasa.
Rancangan penempatan semula disusun dan dikawal dengan rapi. Tidak ada individu atau syarikat yang cuba mengambil kesempatan membuat keuntungan dengan menangguk di air keruh. Harga rumah akan melambung tinggi sekiranya terdapat ahli politik atau kroni mereka yang mendapat kontrak untuk membina rumah-rumah penempatan semula gempa bumi.

Mari kita perhatikan apa yang telah berlaku di negara kita semasa bencana tsunami dan banjir dahulu. Bantuan lambat sampai dan proses bantuan tidak konsisten. Bantuan yang dihulurkan berbentuk jangka pendek sahaja dan tidak menyeluruh. Kerajaan Malaysia menganggap bencana alam negeri-negeri di bawah pimpinan pembangkang bukan tanggungjawab mereka.

Kerajaan New Zealand sanggup melupakan segala perbezaan politik apabila menghadapi bencana alam. Kerajaan New Zealand sangat sayang setiap rakyat mereka tanpa megira ugama atau bangsa. Kewujudan perasaan kasih sayang ini adalah perbezaan besar di antara kerajaan Malaysia dengan kerajaan New Zealand di dalam merealisasikan sebuah negara kebajikan.

Apabila wujud perasaan kasih sayang terhadap rakyat maka negara kebajikan akan diterjemahkan dalam setiap tindakan yang dibuat oleh kerajaan. Tanpa kasih sayang terhadap rakyat maka negara kebajikan hanya wujud sebagai konsep sahaja. Kerajaan akan menindas rakyat secara sah dari segi perlembagaan dan perundangan seperti mana di buat oleh penjajah semasa zaman penjajahan.

Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa masyarakat kita pada hari ini dijajah dan ditindas oleh rakyat negara kita sendiri yang telah dipilih melalui sistem pilihanraya. Setelah mereka diberi kuasa melalui pilihanraya mereka akan mula menjajah dan menindas rakyat yang telah memberi mereka kuasa. Sikap ini mungkin berlaku secara sedar atau tidak sedar atau kedua-duanya sekali. Maka perlu ada satu sistem check & balance supaya kerajaan yang dipilih tidak akan menjajah dan menindas rakyat mereka sendiri.

Pada 4 September 2010, Christchurch digegarkan oleh gempa bumi berukuran 7.1 iaitu hari Sabtu pukul 4.35 pagi waktu tempatan. Gempa bumi ini tidak menyebabkan kematian kerana pusat gempa adalah 40 km di luar bandaraya Christchurch, hanya kerosakan sistem paritan, paip air, jalanraya dan gangguan bekalan letrik sahaja.

Hospital Christchurch terpaksa menggunakan generator kerana bekalan letrik terputus pada waktu itu. Darurat dan perintah berkurung telah diistiharkan untuk menjaga keselamatan dan kerja-kerja pengosongan bangunan di sekitar bandaraya Christchurch. Lapangan terbang antarabangsa Christchurch ditutup sementara menanti pemeriksaan keselamatan jalan pendaratan dan perlepasan kapalterbang.

Dalam tempuh 48 jam selepas itu terdapat tiga lagi gempa bumi berukuran 5.2 berlaku di Christchurch. Mengikut pengalaman saya, gempa bumi 5.2 adalah cukup kuat untuk merasai seluruh rumah bergegar dan cukup kuat untuk mengejutkan saya sekeluarga dari tidur yang nyenyak.

Selalunya gempa bumi datang bersama-sama dengan bunyi yang kuat seperti bunyi keretapi kargo membawa muatan berat. Perbezaannya ialah bunyi gempa bumi amat menakutkan kerana bunyi itu dikaitkan dengan kebinasaan dan kematian. Jika gempa bumi lebih kuat berlaku kita akan terdengar bunyi letupan kuat seperti letupan bom berlaku serentak dengan gegaran bumi.

Gempa bumi yang berlaku beberapa saat mungkin tidak sempat meruntuhkan sebuah bangunan kuat, tetapi jika berlaku beberapa minit maka bahan binaan bangunan akan menjadi longgar dan runtuh. Kadang-kadang mentol lampu gugur dari siling ke lantai setelah beberapa hari gempa bumi berlaku.

Penduduk tempatan memberitahu saya, jika gempa bumi berlaku melebihi 10 saat, lebih baik mengajak ahli keluarga berlindung di bawah meja untuk mengelak dari ditimpa bahan binaan yang runtuh. Elok juga menyediakan lampu suluh selalu kerana jika bekalan letrik terputus, mangsa gempa bumi tidak tinggal dalam kegelapan. Saya tidak menyediakan lampu suluh kerana telefon bimbit saya memang mempunyai lampu suluh. Gempa bumi berukuran kecil selalu dapat dirasai di Christchurch.

Gempa kedua

Gempa bumi yang kedua berukuran 6.3 berlaku di Christchurch pada 22 Febuari 2011, jam 12.51 petang. Dari segi ukuran gempa bumi ini tidak sekuat gempa bumi pada bulan September 2010 iaitu 7.1 tetapi gempa bumi inilah yang banyak meragut nyawa serta memberi kerosakan yang teruk pada Christchurch.

Gempa bumi ini kena tepat pada pusat Bandar Christchurch dan sekaligus meranapkan pusat Bandar Christchurch yang menjadi pusat utama ekonomi dan pelancongan Christchurch. Yang tinggal hanyalah bandar-bandar kecil yang dahulunya menyokong bandaraya utama Christchurch seperti Riccarton, Tower Junction, Addington dan Bush Inn.

Gempa bumi ini kuat kerana pusat gempa bumi berlaku sangat dekat dengan bandaraya Christchurch iaitu di Lyttelton yang terletak hanya 10 km dari bandaraya Christchurch pada kedalaman hanya 5 km dalam perut bumi. Kesannya ialah gegaran yang sangat kuat sehingga menyebabkan bangunan runtuh menghempap dan menimbus manusia hidup-hidup.

Persatuan Islam


Persatuan Islam Canterbury yang berpusat di Masjid Annur menghulur bantuan tenaga dan wang ringgit untuk kerja-kerja menyelamat di tempat runtuhan. Kebetulan pula Masjid Annur terletak dalam kawasan pusat perdagangan utama Christchurch iaitu di Deans Avenue bersebelahan Hagley Park yang menjadi kebanggaan penduduk Christchurch.

Kalau penduduk di London berbangga dengan Hyde Park maka penduduk Christchurch sangat berbangga dengan Hagley Park. Kawasan Central Business District di Christchurch terletak dalam kawasan yang di kelilingi oleh Bealey Avenue, Fitzgerald Avenue, Moorhouse Avenue dan Deans Avenue.

Masjid Annur mempunyai tanah kosong lebih kurang setengah ekar yang dicadangkan untuk membangun bilik-bilik sewa untuk musafir Islam yang merantau ke Christchurch dan juga pusat pengajian Quran, Hadis dan Tahfiz. Setakat ini Masjid Annur sedang menanti sumbangan tempatan dan juga antarabangsa untuk membuat pembangunan tersebut.

Apa yang menarik dan istimewa ialah Masjid Annur memberi izin kepada mangsa gempa bumi untuk mendapat perlindungan di tanah kosong masjid dengan mendirikan khemah-khemah serta menyediakan makanan percuma pada mangsa. Harga makanan siap di Christchurch adalah agak mahal tetapi hasil sumbangan derma umat Islam Christchurch dan mereka masak sendiri untuk menjamu mangsa gempa bumi membuatkan kos makanan rendah serta ramai mangsa mendapat manfaat tanpa mengira ugama atau bangsa.

Namun begitu terdapat satu siaran TV swasta yang menyiarkan berita negatif tentang penganiayaan orang Arab Kristian di Mesir oleh orang Islam Arab Mesir. Terdapat juga pelekat kereta yang berbunyi PRAY FOR OUR CHRISTIAN BROTHERS IN EGYPT, yang menghasut orang ramai dengan menggunakan sentiment ugama.

Boleh dikatakan masyarakat New Zealand tidak gemar bermain sentimen ugama atau bangsa kerana kedua-dua sentimen ini boleh mencetus huru-hara dan pergaduhan. Kesannya ialah semua pihak akan rugi.

Tiada anjing liar

Saya dan keluarga dapat beriadah di Hagley Park tanpa perlu takut dikejar oleh anjing liar. Saya juga dapat berjalan kaki ke Masjid Annur awal pagi untuk berjemaah subuh tanpa perlu bimbang diserang hendap oleh kumpulan anjing liar. Apa yang saya perhatikan ialah Christchurch sangat menjaga keselamatan bandaraya Christchurch dari gangguan bahaya anjing liar. Tidak ada anjing liar walau pun seekor.

Keistimewaan bandaraya Christchurch ini tidak dapat kita nikmati di Malaysia. Walau pun mengalami bencana gempa bumi yang kuat tetapi masalah anjing liar masih dapat dibasmi terus.

Masalah anjing liar perlu dibasmikan kerana anjing liar adalah punca kepada penyakit anjing gila dan juga serangan merbahaya kepada manusia terutamanya kepada kanak-kanak. Boleh dikatakan hampir setiap taman perumahan di negara kita mempunyai masalah anjing liar yang tidak dibasmikan. Masalah anjing liar tidak boleh dikawal lagi tetapi perlu dibasmikan demi keselamatan awam. Kejayaan bandaraya Christchurch membasmi masalah anjing liar perlu dicontohi oleh setiap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negara kita.

Kakitangan PBT yang terlibat dalam pembasmian anjing liar perlu dibawa ke bandaraya Christchurch untuk melihat sendiri dan merasai sendiri betapa aman dan damainya keadaan tanpa anjing liar berkeliaran. Barangkali selepas merasai sendiri betapa selamatnya suasana kehidupan tanpa bahaya anjing liar akan timbul sifat kesungguhan untuk membasmi anjing liar di kawasan PBT masing-masing.

Makanan murah

Walau pun harga makanan siap di Christchurch adalah mahal tetapi harga bahan mentah makanan masih murah jika dibandingkan dengan negara kita. Harga daging lembu dan kambing segar lagi berkualiti masih rendah dari harga di Malaysia. Segala jenis sayuran di Christchurch adalah segar dari ladang dan yang istimewanya ialah harga segala jenis sayuran adalah jauh lebih murah dari Malaysia. Bagaimanakah Christchurch dapat mengeluarkan bahan makanan yang murah berbanding dengan negara kita?

Jawapannya terletak kepada cara Christchurch mengeluarkan hasil pertanian. Christchurch tidak mengamalkan sistem feedlot untuk pengeluaran daging lembu dan daging kambing tetapi menggunakan sistem pertanian pastoral yang canggih.

Sistem feedlot yang menjadi pilihan kepada cara pengeluaran hasil ternak di Malaysia sebenarnya mempunyai kos yang tinggi berbanding dengan system pertanian pastoral. Sistem pastoral memberi makanan yang lebih asli, segar dan sihat kepada ternakan berbanding dengan makanan dalam sistem feedlot.

Masalah kekurangan keluasan tanah boleh diimbangi dengan menggunakan pastoral bermutu tinggi serta pengurusan pastoral yang berkesan. Penyelidikan pertanian yang telah saya lakukan di beberapa ladang dalam daerah Canterbury menggunakan kaedah yang sama dalam teknik pengeluaran hasil ternakan. Yang penting di sini ialah input pertanian mesti rendah supaya output yang dihasilkan tidak terhakis oleh input yang tinggi.

Selepas membuat beberapa penyelidikan pertanian di Christchurch saya dapati cara pengeluaran hasil ternakan di Malaysia perlu direvolusikan iaitu menukar dari cara feedlot kepada pastoral.

Infrastruktur feedlot yang sedia ada tidak perlu dirobohkan kerana masih boleh digunakan
walau pun kita menggunakan sistem pastoral. Saya sempat menimba ilmu dari petani Christchurch tentang cara-cara menyediakan tanaman pastoral dan pemilihan benih untuk pastoral yang bermutu tinggi. Mereka juga telah mencurahkan ilmu mereka kepada saya tentang pengurusan pastoral secara saintifik demi menghasilkan livestock yang bermutu tinggi dan kos pengeluarannya pula adalah murah.

Pertanian adalah punca ekonomi utama Christchurch dan juga seluruh New Zealand. Negara New Zealand maju dalam industri Agribusiness tanpa perlu slogan yang bukan-bukan oleh pihak kerajaan New Zealand. Industri agribusiness di Malaysia perlu kepada sebuah revolusi berasaskan ilmu yang digabungkan dengan keperluan amali serta tuntutan pasaran semasa.

Jika tidak harga bahan makanan akan terus meningkat seperti yang sedang berlaku sekarang di Malaysia. Apabila harga bahan makanan meningkat maka kerajaan sepatutnya mengkaji semula di mana salah silap serta membuat pembetulan dalam dasar pertanian negara. Jika sesat kembali ke pangkal jalan.

Musim sejuk


Christchurch terletak di hemisphera selatan bumi. Ini bermakna setiap tahun bulan Jun, Christchurch akan mengalami musim sejuk manakala negara-negara Eropah di hemisphera utara bumi sedang mengalami musim panas. Apabila musim sejuk tiba Masjid Annur akan menerima sumbangan baju sejuk dari orang ramai yang memerlukan baju sejuk percuma.

Segala jenis pakaian musim sejuk akan diletakkan dalam kotak tepi pintu keluar masjid. Sesiapa yang memerlukan pakaian boleh memilih untuk keperluan masing-masing. Selain dari pakaian terdapat juga umat Islam yang menyumbang buah tamar dan buah anggur untuk para Jemaah masjid.

Waktu subuh masuk pukul 6.15 pagi tetapi para Jemaah subuh menunaikan solat subuh jam 7.00 pagi. Masjid Annur penuh dengan para Jemaah subuh walau pun cuaca sangat sejuk dalam kegelapan pagi musim sejuk di Christchurch. Terdapat ramai pelajar Malaysia yang sedang mengikuti kursus perubatan ikut serta menjadi Jemaah sembahyang subuh di Masjid Annur. Selain dari itu terdapat juga ahli Jemaah subuh dari Somalia, Mesir, Afrika dan juga Singapura.

Harga kereta murah


Satu lagi perkara yang menarik di New Zealand ialah harga kereta yang sangat murah berbanding dengan negara kita Malaysia. Harga kereta akan menjadi mahal apabila kerajaan gagal mengawal harga kereta dalam pasaran. Kereta merupakan keperluan rakyat dan bukan barang mewah. Setiap rakyat memerlukan kenderaan untuk bergerak.

Kerajaan New Zealand menyedari hakikat ini lantas mengawal harga kenderaan supaya semua rakyatnya mampu membeli kenderaan. Kesannya ialah rakyat New Zealand jarang-jarang menjadi penghutang bank untuk membeli kereta kerana mereka mampu membeli kereta secara tunai.

Ramai pelajar Malaysia di New Zealand telah membeli kereta secara tunai. Mereka dapat pergi belajar di Universiti dengan selesa serta mengatur jadual waktu pengajian dengan lebih berkesan. Malangnya, apabila mereka kembali ke Malaysia kelak mereka pasti akan terjebak dengan masalah harga kereta yang mahal di Malaysia serta terpaksa berhutang dengan institusi kewangan untuk membeli kereta. Mereka akan dibebani hutang membeli kereta selama 5 tahun hingga 7 tahun. Jelas sekali negara kita Malaysia di bawah pimpinan kerajaan BN gagal untuk menangani isu harga kereta yang melambung tinggi.

Kerajaan sedia ditegur

Satu lagi perbezaan yang ketara ialah kerajaan New Zealand bersedia menerima teguran dari rakyat. Mereka amat mengalu-alukan teguran dan pendapat rakyat. Kerajaan New Zealand tidak pernah ugut rakyat mereka untuk ditahan polis atau dikenakan tindakan undang-undang.

Kerajaan New Zealand tidak menggunakan instrument kerajaan untuk membalas dendam terhadap rakyat atau mengajar rakyat. Demonstrasi jalanan berlaku juga di Auckland dan Christchurch tetapi kerajaan New Zealand melayan petunjuk perasaan dengan baik. Tidak ada petunjuk perasaan ditembak gas pemedih mata atau water cannon.

Tidak ada peperangan antara kerajaan dengan rakyat. Kerajaan New Zealand sangat menghormati perasaan seluruh rakyat mereka. Alangkah baiknya jika kerajaan Malaysia di bawah pimpinan YAB Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mencontohi sikap murni ini. Sikap murni ini dapat menjalin kasih sayang antara kerajaan dengan rakyat dan bukan permusuhan atau dendam kesumat. Perlu diingat bahawa anggota kerajaan juga adalah rakyat dan rakyat yang memilih mereka menjadi anggota kerajaan. Perhubungan antara kerajaan dan rakyat perlu berasaskan kasih sayang dan bukan perundangan semata-mata.

Kesimpulan


Christchurch adalah sebuah bandaraya yang agak malang kerana dilanda bencana gempa bumi. Walau pun begitu rakyatnya cepat bangun dari runtuhan gempa bumi untuk meneruskan kehidupan. Sekarang ini Majlis Bandaraya Christchurch sedang mengedarkan risalah pada semua penduduk Christchurch meminta pandangan dan maklumbalas terhadap pembinaan bandaraya baru Christchurch. Mereka meminta pandangan dari rakyat mereka untuk mengetahui apa yang rakyat mahu ada dalam bandaraya baru yang bakal dibina tidak lama lagi.

Mereka menghadapi bencana dalam kata sepakat dan kerjasama yang sangat indah untuk bangun semula membina kehidupan baru. Mereka faham bahawa dalam runtuhan gempa bumi itu ada rahmat dan peluang yang sedang menanti mereka. Rahmat dan peluang akan datang ke Christchurch bagi mereka yang sabar dan bijak membina peluang selepas runtuhan gempa bumi.

Kerajaan New Zealand melibatkan rakyat dalam proses pembangunan negara dan mereka tidak memaksa rakyat menerima pembangunan ciptaan kerajaan semata-mata. Penglibatan rakyat diperlukan kerana rakyat adalah pelanggan utama kerajaan. Penglibatan rakyat secara menyeluruh sebenarnya adalah salah satu resipi utama di dalam mewujudkan sebuah negara kebajikan.

Semasa Dr. Mahathir jadi Perdana Menteri dahulu beliau melibatkan rakyat semasa melancarkan projek Proton Saga sebagai kereta buatan Malaysia walau pun semua rakyat Malaysia tahu bahawa kereta buatan Malaysia hanya gimik pada nama sahaja. Rakyat Malaysia sangat gembira melibatkan diri dengan pertandingan memberi nama pada kereta tersebut.

Setelah itu Dr. Mahathir membina Putrajaya tanpa penglibatan rakyat. Maka berlaku penolakkan oleh rakyat sebagai projek membazir dengan tuduhan untuk kenyangkan para krooni dan ahli-ahli politik yang menyokong kerajaan. Tuduhan tersebut mungkin benar dan mungkin tidak benar tetapi kebarangkalian tetap wujud dalam mana-mana projek pembangunan. Lebih-lebih lagi rakyat melihat ahli-ahli politik penyokong kerajaan menjadi kaya raya dalam sekelip mata.

Hampir semua kerajaan di dunia ini akan mencanangkan konsep negara kebajikan sebagai modal kempen politik untuk menang pilihanraya tetapi rakyat akan menilai siapa yang mempunyai kasih sayang dan keikhlasan jiwa untuk melaksanakan konsep negara kebajikan.

Rakyat akan menilai sejauh manakah kerajaan Malaysia yang memimpin negara sekarang benar-benar jujur dalam pelaksanaan negara kebajikan. Rakyat sudah muak mendengar janji manis dan mahu melihat perubahan yang relevan ke arah pembinaan negara kebajikan demi faedah rakyat bersama.

PENULIS


Penulis kini tinggal di Christchurch, New Zealand. Beliau boleh dihubungi melalui email ubaidi_script@yahoo.com.my.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan