Rabu, 27 Julai 2011

DULU KITA UNDUR KAN ORANG...MUNGKIN TENDANG...SEKARANG GILIRAN KITA PULA...KUASA DAN KETENTUAN ALLAH JANGAN DINAFIKAN...

SPR wajib kembali kepada tuntutan Bersih
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 27 Julai: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) wajib kembali kepada 8 tuntutan yang disuarakan melalui Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) 2.0 terutama penggunaan dakwat kekal.

Ini kerana langkah itu adalah berkesan, murah, memberdayakan peranan parti-parti politik dan digunakan secara meluas di seluruh dunia.

Demikian kenyataan Sekretariat Pakatan Rakyat yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Wakil-wakil parti terdiri daripada Ketua Pengarah Pilihan raya PAS, Dr Mohd Hatta Ramli, Setiausaha Antarabangsa DAP, Liew Chin Tong dan Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli.

Menurut mereka, sistem pilihan raya di negara ini memerlukan reformasi keseluruhan, bukannya pindaan-pindaan kecil yang akan menelan belanja ratusan juta tetapi menimbulkan pelbagai masalah baru yang menyemarakkan kemarahan rakyat.

“Mewakili Sekretariat Pakatan Rakyat, kami mengalu-alukan penyataan Perdana Menteri mengenai pelaksanaan sistem biometrik yang secara tidak langsung mengesahkan bahawa pengundi hantu dan pengundian berulang kali memang wujud dalam amalan pilihanraya di negara ini,” kata mereka dalam kenyataan itu.

Menurut mereka, langkah SPR mencadangkan pelaksanaan sistem biometrik untuk mengekang masalah pengundi hantu dan pengundian berulang kali adalah bukti bahawa pimpinan Barisan Nasional sekalipun tidak mampu menafikan suara rakyat yang menyertai Bersih 2.0.

“Maka, kita wajar mengucapkan tahniah kepada ratusan ribu rakyat Malaysia yang menyertai kempen Bersih 2.0 dan turun ke perhimpunan aman pada 9 Julai 2011 baru-baru ini,” ujar mereka.

Tambah mereka, tanpa kesabaran dan keberanian mereka, SPR dan Barisan Nasional akan terus menafikan bahawa penipuan-penipuan itu wujud.

Namun begitu, kata mereka penerimaan terbuka oleh SPR dan Barisan Nasional itu diikuti pula dengan cadangan sistem biometrik yang hanya akan menambahkan masalah; bukannya menyelesaikan pelbagai penipuan yang berlaku selama ini.

“Kosnya menelan belanja ratusan juta ringgit dan akan membebankan rakyat yang sudah pun berhadapan dengan bebanan kos sara hidup yang tinggi.

“Mereka yang biasa dengan pelaksanaan sistem biometrik dan sistem komputer yang melibatkan seluruh negara dan jutaan rakyat Malaysia tahu bahawa sistem sebegini akan berhadapan dengan pelbagai masalah teknikal dan risiko keselamatan sistem,” ujar mereka lagi.

Maka, ujar mereka tidak hairanlah SPR tidak boleh memberi komitmen sama ada ia boleh dilaksanakan menjelang PRU13; kerana mereka sendiri sedar ia akan mengambil masa yang lama untuk dilaksanakan.

Lebih penting lagi adalah ketidakupayaan sistem biometrik menghalang pengundi hantu dan pengundi berulang kali kerana ia dibina berdasarkan pendekatan yang salah; iaitu setiap yang mempunyai kad pengenalan adalah pengundi yang sah.

Ini, kata mereka akan membolehkan ramai pendatang asing yang diberikan kad pengenalan mengundi dalam PRU13.

Justeru, ujar mereka lagi pendirian banyak pihak yang mempersoalkan kewarasan dan kebijaksanaan cadangan itu adalah tepat apatah lagi apabila penyelesaian sedia ada melalui penggunaan dakwat kekal adalah mudah, murah dan berkesan.

“Bukan sahaja sistem biometrik mahal dan memakan masa untuk dilaksanakan, kita juga khuatir ia akan melambatkan proses membuang undi pada hari pengundian yang akan mengurangkan kecenderongan pengundi keluar mengundi,” kata mereka.

Menurut mereka lagi, sistem biometrik juga akan menghapuskan proses timbang tara (melalui penyertaan ejen mengundi/polling agent dan ejen pengiraan/counting agent dalam proses membuang undi) sedia ada yang memberi ruang kepada parti-parti politik memainkan peranan memastikan pilihanraya adalah adil dan saksama.

Tambah mereka, apabila tanggungjawab dan kuasa (sekarang ini di tangan ejen mengundi dan ejen pengiraan) untuk menyemak pengundi dan memastikan proses pengiraan adalah adil dipindahkan sepenuhnya kepada sebuah sistem komputer, parti-parti politik tidak ada peluang untuk memeriksa, menyemak dan memainkan peranan dalam proses pembuangan dan pengiraan undi.

“Kewujudan peluang ini sebagai proses timbang tara adalah ciri-ciri utama sebuah pilihan raya yang bersih dan adil,” kata mereka.

Makanya, sebarang langkah yang berhasrat untuk menghapuskan penglibatan parti-parti politik sebagai timbang tara adalah bertentangan dengan kehendak rakyat yang disuarakan melalui Bersih 2.0.


Kerajaan didesak bebas tahanan EO tanpa syarat
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 27 Julai: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menuntut pemerintah agar segera membebaskan enam pemimpin Parti Sosialis, iaitu Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr Michael Jeyakumar, M Sarasvathy, Choo Chon Kai, M Sugumaran, A Letchumanan dan R Saras Babu tanpa sebarang syarat.

“Sebelum ini alasan menahan enam yang terbabit dikatakan kerana terlibat dengan aktiviti subversif.

“Akan tetapi ternyata itu merupakan helah pemerintah untuk memburuk-burukkan Bersih 2.0. semata-mata,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Katanya, selepas permohonan habeas corpus, alasan penahanan bertukar pula kepada terbabit merancang Perhimpunan Aman Bersih.

“Alasan yang berdolak dalik ini menjadi bukti penahanan 6 orang tersebut tidak berasas sama sekali,” ujarnya yang juga ahli parlimen Permatang Pauh.

Justeru, ujarnya Pakatan Rakyat beriltizam meningkatkan kempen di seluruh negara, demi menerangkan kepada rakyat, kezaliman yang dilakukan pemerintah, bukan sahaja terhadap 6 individu tersebut, akan tetapi juga terhadap seluruh mangsa tahanan tanpa bicara seumpama yang terkandung dalam Ordinan Darurat (EO).

Menurutnya, undang-undang usang yang menindas itu, tidak lagi untuk melindungi keselamatan negara, bahkan sebaliknya dimanipulasi demi membungkam suara-suara yang tidak sependapat dengan pemerintah.

Kini, katanya wujud kebimbangan bahawa 6 yang ditahan itu, termasuk Dr Michael Jeyakumar, Ahli Parlimen Sungai Siput, kemungkinannya dikasari pihak polis semasa disoal siasat.

“Kita prihatin dengan perkembangan mutakhir ini, apabila ada antara mereka yang kini mendapatkan rawatan di hospital namun tidak dibenarkan bertemu hatta dengan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam),” ujarnya.

Tambahnya, adalah tidak munasabah buat polis tidak membenarkan pihak keluarga bertemu dengan enam pemimpin Parti Sosialis itu semenjak dari 15 Julai lalu.

Beliau berkata, tidak ada sebab untuk menghalang mereka dari bertemu kecualilah kebimbangan kita bahawa tahanan tersebut dianiaya punya asasnya.

Sewajarnya, ujar beliau Menteri Dalam Negeri perihatin dengan gesaan rakyat yang kini menuntut pemerintah tidak bertindak sewenang wenangnya dan menyalahguna kuasa yang ada.

Katanya, ketika Perhimpunan Bersih 2.0 itu rakyat menyaksikan ada sesegelintir dari pihak polis bertindak keterlaluan dan melampaui batas.

“Kita tidak mahu tugas pasukan polis, iaitu untuk melindungi keselamatan orang awam terjejas akibat manipulasi politik pemerintah,” katanya.


Ulama muda Umno sudah jatuh ditimpa tangga
Nasrudin Hassan

1. Saya masih ingat, antara maklumat yang diterima ramai orang dan bertiup pula ke serata ruang tatkala mengiringi kemasukan 40 ulama' muda ke dalam Umno baru-baru ini ialah kerana mahu mengelak dari dilabel sebagai pengganas atau terroris. Kebetulan, pada masa itu terdapat usaha dari beberapa pihak yang giat menyerang fahaman wahabi dan lebih nekad mengaitkannya dengan kumpulan pengganas.

2. Antara yang dipalit dan diseret ke kancah wahabi dan pengganas ialah Dr. Mohd Asri Zainal Abidin mantan Mufti Perlis. Namun alhamdulillah, Dr. Mohd Asri tidak mudah terpedaya dan tidak mudah mengantuk biarpun telah dihulurkan bantal empuk buat beliau.

3. Buat beberapa purnama, isu pengganas ini reda, demikian juga isu wahabi surut seketika. Sementara itulah, ulama' Muda Umno giat menyerang usaha yang dilakukan oleh PAS terutama dalam beberapa isu seperti isu Majlis Fesyen Islam yang dinaungi oleh Rosmah Mansur di Monte Carlo. Ketika DPP Malaysia membantah, ulama' Muda Umno tampil mempersoalkan tindak DPP Malaysia ketika itu tanpa pula mempersoalkan penganjuran majlis tersebut.

4. Terbaru isu Himpunan BERSIH 2.0 yang menyaksikan beberapa tokoh Ulama' Muda UMNO ini gigih mempertahankan kerajaan dan sekaligus menempelak penganjuran himpunan BERSIH 2.0 sebagai bertentangan dengan syariat Islam dan manhaj salafus soleh.

5. Tidak semena - mena, setelah Ulama' Muda Umno mengerah segala keringat, ilmu dan masa untuk mempertahankan kerajaan dan memburukkan BERSIH 2.0 , kini mereka pula disenaraikan sebagai wahabi dan lebih malang dikaitkan pula sebagai pengganas.

6. Ternyata usaha Ulama' Muda Umno tidak langsung dihargai, kedudukan mereka kini seperti habis madu sepah dibuang merata - rata. Saya tidak pasti apakah benar matlamat mereka menyertai Umno adalah untuk menyelamatkan diri mereka dari terus dilabel sebagai wahabi dan pengganas atau tidak.

7. Andai benarlah bagai dikata, saya sungguh bersimpati dengan nasib 40 Ulama Muda Umno, sudahlah mereka jatuh terperosok dalam perangkap UMNO kini mereka pula tertimpa tangga yang mereka panjat sendiri untuk mencari ruang selesa dalam UMNO, parti yang mereka sangka mampu menyelamatkan kedudukan mereka pada waktu itu.

8. Andai maklumat umum yang saya terima itu tiada kebenarannya, maka atas dasar dan asas apa sekalipun 40 Ulama' Muda yang menyertai UMNO tempohari, setelah dipuja dan dijulang sebagai pembawa rahmat dan manisan buat Umno, kini usaha mereka dibalas racun berbisa apabila mereka terus dilabel sebagai Wahabi dan pengganas. Kelihatan Pergerakkan Pemuda Umnopun tidak mempertahankan Ulama' Muda UMNO tersebut biarpun dalam masa yang sama mereka membela Dr. Mohd Asri Zainal Abidin. Apakah Pemuda UMNO merasakan Ulama' Muda UMNO ini menjadi saingan mereka lalu membiarkan mereka dipalit label pengganas ? wallahua'lam bissowab.

9. Saya mengenali sebahagian dari tokoh Ulama' Muda UMNO tersebut. Tidak tergambar pada fikiran saya dengan raut wajah dan susuk tubuh yang dimiliki, mereka boleh tersenarai sebagai pengganas. Tapi apa boleh buat, kini usaha memerangi fahaman wahabi dan mengaitkannya dengan pengganas telah berjaya mempengaruhi pihak kerajaan. Sebagaimana Ulama' Muda UMNO itu begitu tega menuduh BERSIH 2.0 dengan pelbagai label maka kini kerajaan tidak sedikitpun menunjuk wajah simpati kepada mereka dengan melabelkan mereka pula sebagai ppengganas.

10. Sementara kerajaan UMNO dan BN ini pula memang terkenal mudah melabel satu - satu pihak dengan label yang bukan - bukan sesuka hati mereka. Terbaru lebih 60 Ngo yang bergabung membentuk sebuah kempen dikenali sebagai BERSIH 2.0 telah dilabel sebagai komunis dan mendapat pembiayaan dari kuasa asing. Kini saya termenung dianjung musolla sambil mengenang isu ini dan hati saya berdetik, kalaulah 40 Ulama' Muda itu menyertai PAS lalu berganding memperjuangkan Islam, membasmi kejahilan, menentang kezaliman, membenteras kemungkaran dan menegakkan syariat, alangkah manis dan indahnya. Berbaloi digelar "pengganas" oleh kerajaan UMNO dan BN kerana menentang mereka.

Hj. Nasrudin bin Hj. Hassan at Tantawi


Negara tak serius tangani pencabulan hak asasi
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 27 Julai: Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) mendakwa kerajaan Malaysia tidak bersunggguh-sungguh menangani isu pencabulan hak asasi manusia yang semakin serius ketika ini.

Ketua penerangannya, Aiman Athirah Al Jundi berkata, ianya terbukti apabila Malaysia masih belum menandatangani konvensyen anti penyeksaan (The United Nations Convention againts Torture and other Cruel, Inhuman or Degrading Treatment or Punishment atau CAT.

Sedangkan katanya sebanyak 146 negara yang berdaftar sebagai ahli majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) telah menandatanganinya.

"Kalau tengok keadaan yang berlaku ketika ini, kerajaan BN seolah-olah masih mengiktiraf penggunaan kekerasan kepada para tahanan dan iktiraf pencabulan hak asasi kepada rakyat Malaysia iaitu menjalankan siasatan secara memaksa dan melampau.

"Contoh kes Teoh Beng Hock yang didera emosinya sehingga diputuskan membunuh diri walaupun kita belum tahu apa sebenarnya yang terjadi kepada Teoh," kata beliau ketika ditemui di pelancaran buku laporan tahunan Suara Rakyat Malaysia (Suaram) di sebuah hotel dekat sini semalam.

Menurut laporan tersebut, sekurang-kurangnya 2 kematian berlaku dalam tahanan polis, bagaimanapun tidak ada laporan rasmi diberikan kepada Suaram.

Namun kerajaan mengumumkan di persidangan pertama penggal ketiga Dewan Rakyat bahawa tujuh kematian berlaku dalam tahanan pada 2009 dan 66 kematian berlaku dari tahun 2005 hingga April 2010.

Menyentuh mengenai tahanan tanpa bicara, laporan Suaram mendedahkan bahawa tahanan mengikut Ordinan Darurat (EO) meningkat sehingga 400 peratus sejak 10 tahun yang lalu.

Sebagai perbandingan, 25 orang ditangkap mengikut Akta Keselamatan Dalam Negara (ISA) pada 2010 dan jumlah yang ditahan itu tetap sama sehingga akhir tahun berkenaan.

Menurut laporan itu, sejumlah 3,701 orang ditahan mengikut EO antara 2000 dan 2009 manakala 819 orang masih ditahan sehingga Februari 2010.

Pada 2010 sahaja seramai 24 ditahan di bawah ISA di Kem Kamunting.

Athirah turut berkata, laporan peningkatan pencabulan hak asasi manusia itu membuktikan bahawa Malaysia memerlukan "reformasi politik" untuk menukar kerajaan ke arah yang lebih baik.

"Dari setahun ke setahun tahap pencabulan hak asasi manusia yang dilakukan oleh kerajaan sendiri semakin parah dan memerlukan reformasi politik. Ubah kepimpinan negara untuk kita mengangkat pemimpin-pemimpin politik yang boleh menghormati bukan sahaja hak asasi manusia tapi juga boleh menghormati hak seorang manusia," katanya.

PAS katanya mengambil tanggungjawab untuk menjelaskan kepada rakyat mengenai pencabulan hak asasi manusia ini termasuk kezaliman yang dilakuakn kerajaan terhadap rakyat.

"PAS dan DMPP melihat bahawa kita tidak membicarakan soal hak asasi manusia itu dalam kerangka yang difahami oleh orang barat tapi kita mengambil intipati hak asasi dalam kerangka keadilan manusia yang ditetapkan Allah, dan bagi yang bukan Islam untuk mengamalkan hak asasi mereka.

"PAS sendiri mengangkat perkara ini dan adalah tanggungjawab kita semua untuk menterjemahkan maklumat buku ini ke bawah supaya rakyat di bawah jelas apa yang berlaku," katanya.

"Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) Nahar Md Nor berkata, laporan tahunan Suaram ini perlu didedahkan kepada semua peringkat masyarakat khususnya pihak kerajaan, parti-parti politik dan NGO untuk dibincangkan dan mencari penyelesaiannya.

"Kita dapati dalam laporan ini, kes polis menembak mati orang yang disyaki bersalah semakin menjadi-jadi walaupun belum betul-betul didapati bersalah.Seoalh-olah ini perkara bisa bagi polis.

"Jadi laporan ini perlu diedarkan dan diteliti oleh ahli politik untuk dibahaskan di Parliemn dan NGO pun perlu memainkan peranan mereka," katanya.

Selain Pengarah Suaram, Kua Kia Soong turut bercakap pada majlis yang dihadiri kira-kira 50 wakil aktivis hak asasi manusia termasuk dari luar negara ia;ah pegawai eksekutif Centre for Independent Journalism (CIJ) Masjaliza Hamzah, peguam K. Arumugam.


Sistem Biometrik: Bukan masalah teknikal, tapi hilang percaya...
Ong Vic Kee
Adakah sistem biometrik yang diperkenalkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bakal membasmi penyelewengan "pengundi hantu", dalam pilihan raya yang akan datang? Pakar dalam bidang biometrik mengakui bahawa dari segi teknikalnya, ia adalah mudah, digunakan secara umum, malah kosnya tidak tinggi, namun sistem ini gagal membasmi penyelewengan sepenuhnya.

Teh Hon Seng (gambar kanan) yang berkecimpung dalam sistem biometrik berkata, sistem ini telah wujud di negara kita, iaitu cap jari dan maklumat yang terkandung dalam MyKad. Beliau mengambil contoh bagaimana MyKad dan cap jari sudah memadai apabila kita menyemak akaun kita di bank mahupun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja. Identiti pemilik MyKad boleh dikenalpasti kerana Mykad mengandungi maklumat cap jari pemiliknya.

Maka beliau menjangkakan tiada masalah besar seandainya sistem ini juga digunakan ketika pilihan raya. Malah, beliau menganggap ia lebih baik daripada dakwat kekal, kerana seandainya sistem ini dilaksanakan, seseorang pengundi yang layak tidak perlu mendaftar sebagai pengundi lagi, kerana memadai dengan MyKad, Mykad Reader (alat pembaca kad) dan pengenalpastian cap jari.

Menurut Teh Hon Seng, penggunaan sistem ini tidak menelan kos yang tinggi, lain kata seandainya ada pihak yang cuba mengaut keuntungan dari projek ini. Pada perhitungannya, alat pembaca kad dijual pada harga antara RM300 hingga RM500 di Malaysia. Jikalau satu alat pembaca kad ditempatkan di setiap saluran pusat pengundian, maka hanya beberapa ribu yang dibelanjakan di setiap pusat pengundian.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa penyelewangan tetap akan wujud meskipun sistem biometrik digunakan. "Sistem itu baik, namun ada kemungkinan juga berlaku penyelewengan dengan menggunakan komputer. Cuma, ia agak rumit untuk berbuat demikian."

Teh Hon Seng berkata, di luar sistem tersebut, penyelewengan tetap boleh berlaku seandainya petugas diarah untuk membenarkan mereka yang cap jarinya tidak selaras dengan MyKad-nya masuk untuk mengundi. Malah dalam keadaan yang tidak dipantau, penyelewengan lebih senang untuk mengambil tempat.

Selain itu, sistem biometrik juga berdepan dengan masalah teknikal, misalnya kulit pada jari yang sudah rapuh, sehingga sukar untuk dikenalpasti alat sistem biometrik, kata Teh Hon Seng.

Chin Huat: Masalahnya hilang percaya...

AJK BERSIH 2.0 Wong Chin Huat pula berterus-terang, bahawa persoalan sistem biometrik sebenarnya kembali kepada masalah "kepercayaan". Beliau mengambil contoh, apabila kita menggunakan perkhidmatan online banking, kita sebenarnya menaruh kepercayaan kepada pihak bank.

Beliau berkata, pertukaran dalam urus-niaga adalah jelas, wang ditukar dengan barang, namun teknologi di alam internet adalah "tanpa bunyi, tanpa bayang, tanpa bau" - ia bukan senang untuk membina kepercayaan kerana semuanya "maya". Masalahnya hari ini adalah rakyat telah hilang percaya terhadap kerajaan. Justeru itu, Wong Chin Huat (gambar kanan) mempersoalkan, bagaimana kerajaan meraih kepercayaan rakyat dengan memperkenalkan sistem biometrik?

Pada hemat Wong Chin Huat, syarat yang ada pada hari ini belum memadai untuk melaksanakan sistem biometrik, maka kerajaan harus melaksanakan salah satu tuntutan BERSIH 2.0, iaitu "penggunaan dakwat kekal". Seandainya kerajaan enggan berbuat demikian, Wong mencabar kerajaan untuk mendedahkan rancangan kerajaan sepenuhnya dalam reformasi sistem pilihan raya, agar dibuka untuk perbincangan awam.
*Ong Vic Kee ialah wartawan MerdekaReview edisi bahasa Cina. Disedut, disunting dan diterjemah dari teks asal.





Judi: Pemuda PAS serah memo pada MB Kelantan

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 27 Julai: Selepas menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar Kedah kelmarin, Dewan Pemuda PAS Pusat semalam turut menyerahkan memorandum serupa kepada Menteri Besar Kelantan pula.

Memorandum itu sebagai sokongan terhadap kerajaan Kelantan dibawah pimpinan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang telah mengharamkan aktiviti perjudian serta loteri di negeri itu.

Penyerahan dibuat Pengerusi Lajnah Pengguna dan Alam Sekitar Dewan Pemuda PAS Pusat, Firdaus Jaafar yang juga ahli parlimen Jerai kepada Tuan Guru sendiri di pejabat menteri besar.

Turut serta pada penyerahan itu wakil dewan pemuda PAS Kelantan Ahmad Baihaqi Atiqullah dan Hafiz Musa.

Memerandum itu antara lain mahu kerajaan negeri mempertahankan keputusan serta pendirian yang telah dibuat mereka biarpun berdepan saman oleh tiga individu dari masyarakat Tionghua.

"Dewan Pemuda PAS Pusat mengharapkan tiga individu ini diberi penjelasan yang secukupnya mengapa judi diharamkan di Kelantan.

"Kita percaya, kerajaan Umno BN yang memerintah lebih 50 tahun di negara ini gagal memberikan maklumat serta dakwah yang secukupnya agar masyarakat bukan Islam mengerti mengapa judi diharamkan," kata Firdaus di dalam memorandum itu.

Kerajaan Kelantan sebelum ini mengumumkan semua aktiviti perjudian serta loteri di negeri itu diharamkan kerana meyakini ianya lebih memberi keburukan kepada institusi masyarakat berbanding kebaikan.

Bagaimanapun dua ahli perniagaan dan seorang individu dari negeri itu mengemukakan saman terhadap kerajaan negeri dan Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB), menuntut perisytiharan bahawa kerajaan negeri tiada bidang kuasa menggubal atau meluluskan undang-undang berkaitan perjudian dan loteri.

Sehubungan itu, Dewan Pemuda PAS mahu kerajaan negeri bertegas dan tidak berganjak dengan keputusan asal mereka walaupun berdepan saman tersebut.

"Negeri Kelantan di bawah YAB Tuan Guru Datuk menjadi contoh kepada kerajaan persekutuan serta mana-mana kerajaan negeri yang lain bahawa PAS amat berpegang pada prinsip Islam dan tidak akan berkompromi di atas apa juga kemungkaran yang dilakukan.

"Berbeza dengan kerajaan Melaka yang melanjutkan tempoh operasi pusat hiburan dari jam 1 hingga 3 pagi pada hari tertentu, atau negeri-negeri lain yang tidak mengambil endah soal halal dan haram," katanya lagi.

Kelmarin, mereka juga menyerahkan memorandum sokongan kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ustaz Azizan Abdul Razak ekoran tindakan kerajaan Kedah mengharamkan orang Islam memasuki pusat hiburan sepanjang Ramadhan.


Najib harus diundurkan
Mohd Rashidi Hassan

Rakyat menyambut kepulangan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Abdul Razak dari lawatan ke tiga buah negara Eropah 22 Julai 2011, dengan tekad untuk meneruskan reformasi yang digerakkan melalui Perhimpunan Bersih 2.0, 9 Julai lepas.

Walaupun keberangkatan Najib ke luar negara mendapat liputan hebat daripada media arus perdana, hakikatnya Najib sendiri berada dalam keadaan yang amat tidak selesa.

Najib menyambut ulangtahun kelahirannya yang ke-58 pada 23 Julai lepas dalam keadaann yang tidak selesa kerana populariti yang cuba dibinanya, selepas mengambil alih jawatan PM daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 4 April 2009, semakin jatuh merudum.

Najib ternyata gagal mendapatkan sokongan rakyat, apabila banyak slogan dan dasar yang dijajanya tidak mendapat sambutan.

Malah, Najib semakin kehilangan sokongan dari dalam Umno, kerana banyak tindak tanduknya dilihat tidak membantu memulihkan Umno yang terjejas teruk sejak Pilihan Raya Umum Mac 2008.

Yang paling teruk ialah apabila media dalam dan luar negara membuat kritikan yang amat keras terhadap Najib kerana cara kerajaan Umno-BN pimpinannya mengendalikan pra dan pasca Perhimpunan Bersih 2.0 dianggap yang paling buruk dalam sejarah demokrasi Malaysia moden.

Sehingga sebelum Najib berangkat menemui Ratu Elizabeth dan PM British, David Cameron, akhbar-akhbar di negara berkenaan melabelkan beliau sama seperti diktator Mesir, bekas Presiden Hosni Mubarak.

Malah akhbar Guardian yang berpengaruh di United Kingdom memaparkan rencana bertajuk 'Mubarak Model', apabila merujuk kepada cara polis Malaysia yang bertindak ganas ke atas peserta demonstrasi Bersih 2.0.

Dalam satu tulisan, mereka menggesa PM Malaysia dengan mengatakan 'Malaysia’s Najib Must Abandon The Mubarak Model.'

Akhbar tersebut juga memberi amaran kepada Najib, bahawa beliau akan menghadapi tekanan dan kritikan global, kerana cara beliau mengendalikan Bersih 2.0 bertentangan dengan norma kebebasan hak asasi yang diterima pakai oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Seorang kolumnis akhbar harian di UK, Simon Tisdall membelasan Najib dan memberi amaran kepada beliau bahawa di bawah kepimpinannya Malaysia sudah mengambil pendekatan diktator seperti Hosni Mubarak.

Malah akhbar-akhbar di UK juga menggesa PM mereka supaya mengambil kira rekod buruk Najib yang tidak langsung menghormati hak asasi kemanusiaan, sebelum berunding mengenai hubungan dua hala serta perdagangan.

Najib dikritik keras oleh Amnesty International, yang menjadi saksi ramai peserta demonstrasi yang cedera, mengalami pendarahan akibat dipukul oleh polis.

Bantahan dan tekanan terhadap kerakusan pihak polis tidak akan terhenti selagi pihak yang bertanggungjawab tidak diheret ke muka pengadilan.

Najib berada dalam keadaan 'serba tak kena' kerana beliau akan terus menerima tekanan dari dalam dan luar negara, akibat kesilapan kerajaan menangani tuntutan rakyat.

Najib barangkali lupa bahawa beliau berhadapan dengan kuasa rakyat. Iaitu kuasa rakyat yang tidak mempercayai sistem pilihan raya di Malaysia bebas dan demokratik, rakyat yang sangsi dengan sistem kehakiman dan rakyat yang tidak boleh menerima tindakan ganas polis terhadap mereka.

Najib jumpa, bahawa ini adalah perhimpunan rakyat yang tulen, bukannya perhimpunan yang diangkut dengan bas-bas, dijamu dengan nasi bungkus dan sebagainya, seperti yang dilakukan dalam perhimpunan tajaan Umno-BN.

Rakyat akan terus membuat tuntutan, rakyat akan terus tegakkan keadilan. Tiada istilah berundur pada hati dan jiwa rakyat.

Rakyat tidak akan berhenti dan tidak akan berpuashati selagi Najib tidak diundurkan, selagi Umno-BN tidak diturunkan dari tampuk pemerintahan.


Bersih: Kita ada video tulen 'baiknya' polis
Fakhri Ali

BUKIT MERTAJAM, 27 Julai: "Sekiranya pihak berkuasa mendakwa mereka mempunyai video yang menunjukkan polis begitu baik kepada peserta himpunan Bersih 2.0 baru-baru ini, kita mempunyai bukan saja video tulen, tetapi begitu banyak 'kebaikan' polis sehingga kecederaan dan keganasan terhadap rakyat dapat dipertontonkan," kata Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail.

Ucapan itu disambut dengan tepukan gemuruh oleh ribuan hadirin yang membanjiri Pasti Kebun Sireh, Bukit Mertajam malam tadi, sebaik saja video yang memaparkan keganasana polis dipertontonkan kepada hadirin.

Menurut beliau lagi, sekiranya pihak polis ingin memaparkan kebaikan mereka dalam menangani peserta himpunan pada 9 Julai lalu, ia boleh didedahkan sebaik saja selepas himpunan tersebut, tanpa perlu mengambil masa begitu lama untuk didedahkan.

"Rakyat kini bukan bodoh. Zaman ini bukan zaman sebelum merdeka. Dengan sekelip mata saja maklumat mudah diakseskan ke seluruh dunia.

"Bukankah apa yang berlaku kepada Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, YB Khalid Samad, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang cedera, Fayyad pembantu Datuk Seri Anwar yang parah, dan kematian Baharudin Ahmad adalah 'kebaikan' pihak polis.

"Banyak lagi bukti video yang kita rakamkan untuk menunjukkan pihak berkuasa melayan rakyat dengan zalim dan tidak berperikamanusiaan," ujarnya yang juga ahli Parlimen Machang.

Malah katanya, rakyat jangan terpedaya dengan video terpilih yang menjadi bahan siaran media arus perdana untuk menyembunyikan fakta keganasan yang telah mereka lakukan dalam menangani peserta himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai yang lalu.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar serta blogger Amizuddin Ahmat yang disaman oleh Datuk Seri Rais Yatim.


Nik Aziz sokong PAS tolak biometrik
Harakahdaily

KOTA BHARU, 27 Julai: "Saya hanya menyatakan akan menyokong apa jua sistem yang membawa kebaikan dan tidak diragui. Sekiranya biometrik meragukan, maka ia juga wajar ditolak. Tolak kotor, ambil BERSIH."

"Adapun laporan yang menyatakan bahawa saya menyokong adalah tidak tepat. Saya menyokong pendirian PAS Pusat yang menolak kaedah biometrik yang ingin diperkenalkan oleh SPR," tegas Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Sebuah akhbar harian semalam membuat berita sensasi apabila menyiarkan di muka depannya berita bertajuk "Nik Aziz sokong biometrik".

Ekoran itu timbul kekeliruan di kalangan orang ramai apakah sikap sebenar PAS dalam isu penggunaan biometrik dalam pilihan raya umum akan datang kerana pemimpin lain PAS memaklumkan parti itu menolak penggunaan biometrik.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, sistem biometrik terdedah kepada manipulasi pihak yang mengendalikannya kerana hanya segelintir sahaja yang ada kepakaran dan terlibat mengendalikan biometrik.

"PAS tetap berpendirian untuk mendesak supaya SPR menggunakan dakwat celup jari ketika mengundi bagi membasmi pengundi hantu dan juga pengundi yang mengundi banyak kali dalam setiap pilihan raya," ujarnya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa dalam sidang media bersama pimpinan PAS yang lain menjelaskan, PAS mengambil keputusan menolak cadangan kerajaan untuk menggunakan sistem biometrik dalam pilihan raya di negara ini seperti yang diumumkan oleh SPR baru-baru ini.

Penolakan PAS terhadap sistem biometrik kerana diyakini sistem tersebut tidak berkemampuan menyelesaikan masalah pengundian bertindih dan menghalang masalah yang berlaku dalam pilihanraya di negara kita sejak sekian lama.

Beliau menjelaskan, sebaliknya PAS tetap bertegas untuk menggunakan dakwat kekal kerana hanya dengan cara itu yang dapat mengatasi masalah pengundian bertindih dalam pilihanraya di negara kita.

Menurutnya, keputusan menolak penggunaan sistem biometrik dibuat oleh PAS hasil perbincangan yang diadakan oleh para pemimpin PAS pada mesyuarat khasnya di Pejabat Agung PAS yang diadakan semalam.

Apa yang dikatakan oleh Nik Aziz sebenarnya bukanlah sebagaimana yang disimpulkan oleh akhbar harian berkenaan.

Wartawan Harakahdaily, Rizal Tahir, di Kota Bharu melaporkan Tuan Guru Nik Aziz PAS hanya akan membuat keputusan menyokong atau sebaliknya berhubung biometrik selepas diberi penerangan berhubung perlaksanaan perkara itu oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Beliau berkata, walaupun tidak menafikan hanya akan menyokong sekiranya perkara itu baik, namun penerangan berhubung perkara itu perlu dilakukan terlebih dahulu.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan berkata demikian kepada media ketika diminta mengulas berhubung sistem biometrik yang bakal dilaksanakan oleh SPR dalam pilihan raya umum selepas merasmikan pelan halatuju ICT negeri Kelantan 2011-2015 di Kota Darulnaim, Kota Bharu.

LAPORAN BERKAITAN

PAS tolak biometrik

Biometrik: Bersih perlu sokong, kotor kena tolak

Biometrik untuk pastikan BN menang PRU 13

Biometrik dibantah, boleh lahirkan kekecohan

Ibarat tembak lalat dengan peluru berpandu


Tiada ulasan:

Catat Ulasan