Rabu, 27 Julai 2011

BILA KITA MENGANGGAP KITA BENAR DAN BAIK...SEDANGKAN TIDAK...ADA KITA TAK TAKUT BALASAN ALLAH...ALLAH AKAN BALAS KEJAHATAN DENGAN KEJAHATAN JUGA...

Video hari Bersih 2.0 di RTM
Subky Latif

HARI Bersih 2.0 sudah berlalu dan masuk ke minggu ketiga, tetapi polis dan sekutu perang sarafnya terus bertungkus lumus bagi menegakkan yang ia benar dalam tindakannya menghalang unjuk rasa Bersih 2.0 dan bagi meyakinkan orang ramai yang ia benar serta berbuat betul.

Hingga polis seolah-olah tidak ada kerja lain melainkan menghadapi dan menangani isu Bersih 2.0 dan kesan-kesannya yang dihadapinya.

Macam-macam ikhtiarnya bagi meredakan gema unjuk rasa sepetang itu dan tindakannya bagi membendung tsunami kebangkitan dan kebanjiran rakyat ke Kuala Lumpur hari itu.

Yang pertamanya polis hendak membetulkan pandangannya dan perkiraan RTM bahawa hadir hari itu kurang dari 10 ribu. Ertinya unjuk rasa itu gagal. Yang ganjilnya kehadiran tidak sampai 10 ribu tetapi yang ditahan antara seribu dan dua ribu. Nisbah tahanannya tinggi dari kehadiran.

Manakala Bersih pula mewarwarkan kehadiran berpuluh bahkan beratus ribu. Sasterawan Negara Samad Said saja menganggarkan lebih 50 ribu. Al-Jazeera yang melihat semua sudu Kuala Lumpur melalui pancaran satelitnya dari langit menyebut ratus-ratus ribu. Anak-anak muda yang bertelifon tangan berhubung sesama sendiri di seluruh Kuala Lumpur pun menganggarkan r atus ribu juga.

Maka inilah yang RTM dan polis hendak tangkis.

Kemudian polis hendak menangkis ia dikata ganas oleh banyak pihak. Kononnya pihak pro Bersih memiliki banyak video sebagai bukti gara-gara lebih laku polis. Para pemilik video itu ada yang mahu menyerahkan kepada polis dan ada yang tak mahu.

Maka tampillah RTM untuk menolong polis. RTM ada unit perang sarafnya membantu polis mengeluarkan video bagi membenarkan dirinya dan bagi membuktikan Bersih hanya berkata tidak benar dan berdakyah.

Disalurkannyalah video klip melalui RTM. Tidaklah ditunjukkan ramainya orang. Adalah gerakan kenderaan dan motosikal yang dibonceng yang tidak. Hanya kata latar yang mengatakan kenderaan polis tidak melanggar Mat Sabu sebaliknya Mat yang membonceng motorsikal jatuh terlanggar bahu jalan. Tiadalah Mat Sabu cedera teruk bah dilayan sebagai pesakit luar.

Tidak diketahui ramai mana yang percaya dan puas hati dengan video yang pertama. Kata Tok Menteri RTM, banyak lagi video yang akan ditayangkan.

Adakah RTM dan polis mencapai sasaran matlamat pembikinan dan tayang video itu? Sudah terjawabkah segala yang hendak dijelaskannya pada tahap video yang pertama itu.

Saya sendiri tidak banyak dari tayangan itu bahkan terasa ikhtiar polis dan RTM itu seperti bangsat saja. Saya harap orang lain tidak selemah saya bagi menangkap isi dan penjelasan video itu. Dan saya harap polis ddan RTM tidak jadi macam saya yang tidak dapat apa-apa yang berguna daripadanya. Moga- moga polis dan RTM dapat apa yang dihajatinya.

Video yang pertama saya rasa amat bangsat. Tidak apa yang ia dapat bantu polis. Dan saya tidak ada keyakinan video yang berikutnya dapat membantunya lagi.

Yang saya dapat katakan, RTM terkial-kial yang meyakinkan penonton dan polis pun terkial-kial yang hendak membetulkan tindakannya.

Polis menyangka kebanyakan video milik pro Bersih tidak asli sebaliknya telah diedit dan ditokok tambah bagi menjadikan ia dipercayai orang. Nampaknya polis pula hendak menjadi seperti pembangkang yang tidak menerima video lucah yang dikatakan pembabit Anwar Ibrahim sebagai tidak asli.

Bagi mengatakan video lucah tulen dan jenuin didapatkan pengesahan pakar filem dari barat. Agaknya RTM dan polis juga sudah mendapatkan pandangan pakar filem barat yang sama tentang video milik pro Bersih itu.

Apa pun dan sebaik mana pun isi video yang RTM salurkan itu, wajarlah difahami RTM itu alat dan saluran propaganda negara dan kerajaan. Ia tidak dikira sebagai agensi maklumat yang bebas.

Sebagai media kerajaan, TV dan radionya bertanggungjawab menyampaikan maklumat dan menegakkan kebenaran. Tetapi dunia umumnya mengira peranan menyampaikan maklumat sangat kerdil dibandingkan cap propagandanya.

Apa lagi kalau demokrasi yang dipegang oleh kerajaan itu satu demokrasi tiga suku. Maka peranan propagandalah yang lebih terserlah. Berhempas pulaslah polis dan TV hendak menegakkan yang tidak kering, sakit orang hendak mendengarnya apa lagi hendak mempercayainya.

Selama 20 hari ini Bersih sudah mulai rehat. Ia mula menilai kekuatan dan kelemahannya. Ia sudah boleh selesa dengan pandangan dan reaksi banyak pihak tentang peranannya. Yang masih tidak dapat rehat ialah polis dan RTM gagal bagi membelnya.

Kalau polis memilih memberi kerjasama kepada Bersih, sudah tentu ia boleh rehat sebagai saja unjuk rasa itu selesai selepas Asar 9 Julai itu juga.

Sepatah kata puteri Dr. Mahathir yang hadir bersama anaknya di tengah unjuk rasa Bersih itu, macam-macam orang kata tentang pentadbiran bapanya, tetapi pentadbiran hari ini amat teruk.


Kerajaan digesa serius tangani jualan arak
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 26 Julai: Gabungan Pertubuhan NGO Islam Malaysia (ACCIN) meminta pihak kerajaan supaya menangani dengan serius isu penjualan arak tanpa kawalan yang sedang berlaku di dalam negara.

Setiausahanya, Dr Mohd Roslan Moh Noh berkata, ACCIN meminta supaya tindakan lebih tegas dikenakan terhadap orang Islam yang didapati meminum arak.

Katanya, pihak jabatan agama perlu lebih hebat memantau kawasan-kawasan 'panas' untuk mencegah perbuatan tersebut.

“ACCIN bimbang dengan gejala ini dan melihat ianya boleh menjejaskan modal insan yang ingin dibina di dalam negara kita,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Beliau berkata, golongan yang minum dan ketagih arak perlu dibendung, ia tidak boleh dibiarkan begitu sahaja kerana mereka boleh menyebabkan berlaku banyak masalah sosial.

Oleh itu, ujarnya wajar bagi pihak kerajaan dan pelbagai agensi yang bertanggungjawab supaya memberikan perhatian serius tentang masalah tersebut.

Gabungan pertubuhan-pertubuhan Islam bukan kerajaan terdiri daripada Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT), Research And Information Centre On Islam (RICOI), Persatuan Darul Fitrah Malaysia, Persatuan Al-Hunafa’, Malaysian Chinese Muslim Association (MACMA), Pertubuhan Jama’ah Islah Malaysia (JIM), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Persekutuan Seruan Islam Selangor & W.P (JAM’IYAH), Islamic Information & Services Foundation (IIS).

Persatuan Dakwah Islamiah & Kebajikan Saudara Baru India Se-Malaysia (AL-HIDAYAH), Interactive Muslimah Association (IMAN), Pergerakan Belia India Muslim Malaysia (GEPIMA), Persatuan Kebajikan & Pengubatan Islam Malaysia (DARUSSYIFA), Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM), Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), World Assembly Of Muslim Youth (WAMY) dan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA).


You yang layan kami macam musuh - Ambiga
Nazri Abdullah

SHAH ALAM, 26 Julai: Wacana Sinar Harian bertajuk 'Apa selepas 9 Julai' yang berlangsung di Auditorium Kompleks Kumpulan Media Karang Kraf di sini menyaksikan setiap penjelasan wakil Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) disambut 'boo' oleh hadirin hingga ke akhir program.

SPR yang diwakili timbalan pengerusinya Datuk Wan Ahmad Wan Omar dicemuh seawal beliau berhujah menjawab soalan yang dikemukakan moderator iaitu Ketua Eksekutif IDEAS, Wan Saiful Wan Jan.

Wan Saiful dalam soalan awalnya bertanya kenapa SPR dilihat menggunakan ayat-ayat 'difensif' dalam buku terbaru mereka berhubung penjelasan tentang pilihan raya.

Menjawab soalan itu, Wan Ahmad dengan tegas berkata "SPR tidak difensif, kita tidak berpihak kepada mana-mana parti".

Jawapan itu lantas disambut 'boo' oleh hadirin sekaligus menjadikan auditorium gamat seketika dan kemudiannya ditenangkan oleh moderator.

Wacana hampir dua jam itu menampilkan dua lagi ahli panel iaitu Pegerusi Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan dan Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia Professor Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin.

Ia bagaimanapun seolah-olah didominasi wakil SPR apabila hanya beliau diaju soalan oleh para hadirin.

Sepanjang penjelasannya, Wan Ahmad beberapa kali mengulangi kenyataan bahawa SPR 'tiada kuasa' untuk melakukan perubahan malah menjelaskan perubahan sistem pilihan raya hanya boleh dibuat oleh Pejabat Peguam Negara sebelum diluluskan di Parlimen.

Membidas penjelasan itu, seorang hadirin bangun mempersoal kenapa SPR menolak bulat-bulat kesemua lapan tuntutan Bersih termasuk pembersihan daftar pemilih dan tidak membawa cadangan penambahbaikan itu kepada Pejabat Peguam Negara.

Menjawab soalan itu Wan Ahmad berkata SPR tidak ada kuasa mengeluarkan mana-mana nama dalam daftar pemilih melainkan mendapat pengesahan daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Beliau turut mengakui senarai pemilih yang wujud sejak 1959 itu tidak bersih kerana ada individu sudah meninggal dunia namun tiada pengesahan kematian dibuat warisnya kepada JPN.

"Sebab itu kalau kita dengar tadi ada orang berumur lebih 100 tahun, of course sebab kalau dia daftar pemilih pada tahun 1959 tentu umurnya sudah lebih seratus tahun kerana warisnya tak pernah melapor kematian dia kepada JPN," katanya namun sekali lagi dicemuh hadirin kerana dilihat cuba menyalahkan rakyat.

Lantas dengan itu beliau terpaksa merayu kepada hadirin supaya memberinya peluang membuat penjelasan.

Ketika membuat penjelasan lanjutnya, Wan Ahmad tiba-tiba berkata "SPR ditembak dituduh dari pelbagai penjuru, tetapi parti Barisan Nasional dia tidak menentang SPR..."

Kenyataan itu menyebabkan beliau sekali lagi ditertawakan hadirin yang dilihat majoritinya adalah menyokong reformasi sistem pilihan raya dibuat.

"Sebenarnya tuan-tuan tak menggunakan fikiran yang waras...tuan-tuan tak baca undang-undang.

"Tak payah la angkat suara kuat-kuat...Saya rasa tuan tuan tak layak la duk berbincang di sini," kata Wan Ahmad kecewa selepas terus menerus di'boo' hadirin.

Beliau kemudiannya merayu agar semua pihak termasuk hadirin yang hadir agar tidak melayan SPR seperti musuh mereka.

Malah katanya semua pihak harus bersama dengan SPR untuk melakukan penambahbaikan sistem pilihan raya.

Membidas kenyataan itu, Ambiga pula mempersoal siapa sebenarnya yang dilayan seperti musuh sejak Bersih 2.0 mengumumkan mengadakan himpunan pada 9 Julai lalu.

"You yang layan kami macam musuh. Tengok sahaja Bersih diserang sejak enam minggu lalu," tegasnya.

Bagaimanapun wacana yang bermula kira-kira jam 2.15 petang itu terpaksa berakhir awal 15 minit apabila moderator mengumumkan beliau mendapat arahan dari pihak atasan untuk menamatkannya tanpa sempat membenarkan ahli panel membuat penggulungan.

"Pihak atasan ni bukan pihak penganjur, tapi atas lagi daripada pihak penganjur," kata Wan Saiful.


Blogger Yahudi: Najib perlu beri penjelasan
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 26 Julai: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak didesak memberikan penjelasan berhubung tindakannya menggunakan khidmat blogger Yahudi untuk kepentingan dirinya.

PAS Wilayah Persekutuan dalam desakannya meminta Perdana Menteri menjelaskan dakwaan beliau menggunakan khidmat blogger Yahudi untuk mempromosikan dirinya di peringkat antarabangsa.

Ketua Penerangan PAS Wilayah Persekutuan, Mohd Nasaie Ismail berkata, laporan beberapa portal berita beberapa hari lalu dan hari ini menunjukkan Perdana Menteri membayar satu jumlah wang kepada bloger Yahudi itu.

Menurutnya, khidmat bloger Yahudi itu digunakan oleh Perdana Menteri bagi memperbaiki imej beliau dan juga Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Taib Mahmud di peringkat antarabangsa.

"Kami mendesak Najib menjelaskan adakah benar dakwaan tersebut kerana kita difahamkan blogger yang dimaksudkan itu merupakan kumpulan Yahudi yang menyokong Israel menjajah bumi Palestin dan juga anti kepada agama Islam," katanya.

Jika benar dakwaan itu, menurut beliau, ia merupakan satu tindakan serius yang melukakan hati umat Islam seluruh dunia, apabila seorang Perdana Menteri negara majoriti beragama Islam menggunakan khidmat Yahudi yang jelas anti Islam.

"PAS Wilayah Persekutuan mendesak juga supaya dijelaskan dari manakah dana tersebut diperolehi untuk membayar blogger Yahudi tersebut?" katanya.

Adalah membimbangkan, katanya, jika sekali lagi wang rakyat digunakan untuk membayar pelobi Yahudi dan Perdana Menteri sendiri berhubung dengan Yahudi.


Amidi dipilih Presiden Abim sesi 2011-2013
Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 26 Julai: Amidi Abdul Rahman dipilih sebagai Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) sesi 2011-2013 pada Muktamar Sanawi ke-40 yang diadakan pada 22 hingga 24 Julai lalu di tapak Expo Pertanian Maha (MAEP) Serdang.

Setiausaha agungnya, Mohamad Raimi Ab Rahim berkata, muktamar yang bertemakan ‘Memacu Wawasan Tamadun Khayra Ummah’ turut memilih Mohd Naim Mohd Noor sebagai timbalan presiden.

Naib-naib presiden terdiri daripada Ahmad Saparudin Yusup (kebangsaan), Jufitri Joha (antarabangsa) dan Fadhlina Datuk Dr. Siddiq (hal ehwal wanita).

Penolong setiausaha agung diamanahkan kepada Mohd Faisal Abdul Aziz dan setiausaha kewangan ialah P Aizan Tukirin.

Beliau juga memaklumkan, Abim akan melancarkan program "Semurni Kasih Ramadhan" di peringkat negeri serta daerah sempena menyambut ketibaan Ramadhan Al-Mubarak 1432H.

Katanya, antara aktiviti yang akan dilaksanakan ialah Program Kempen Seorang Sekampit Beras (KSSB), program Smart Solat, qiamullail dan beberapa program berkaitan.

“Segala makluman lanjut mengenai program ini akan dimaklumkan dalam masa terdekat,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan