Jumaat, 25 Mac 2011

MEREKA TAK TAKUT....ATAU TERLEPAS PANDANG...SEGALA PENIPUAN AKAN DIBALASAN DENGAN NERAKA JAHANAM....MASA TU BARU TAU...

Orang Politik Memang ‘Pemurah Pahala’

Ramai orang politik memang pemurah. Semua orang cakap begitu. Sifat pemurah orang politik mempunyai banyak makna. Mungkin kerana ingin menolong orang lain disebabkan mereka merasakan mereka itu pemimpin. Mungkin juga kerana ingin menjaga undi dan sokongan. Sehinggakan Ketua Dewan Ulama PAS pun mengeluh tentang ‘unsur rasuah politik’ dalam partinya. Samada dinamakan rasuah atau apa sahaja; orang politik itukan pemurah?!

Sekalipun mungkin ada maknanya yang tersendiri. Ya! Kuasa, pengaruh, nama, pangkat dan segala yang berkaitan dengannya bukan mudah hendak dilepaskan, juga bukan mudah untuk diubati jika sudah mabuk. Benarlah kata tokoh umat Islam yang terbilang al-Imam Sufyan al-Thauri (meninggal 161H):

“Aku tidak melihat paling kurangnya kezuhudan itu melainkan dalam perkara kepimpinan (kuasa). Engkau akan dapati seseorang yang zuhud dalam makanan, minuman, harta dan pakaian tetapi apabila tiba soal kuasa maka dia akan mempertahan dan bermusuhan kerananya” (al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala, 7/262).

Namun ramai orang politik dan ‘tidak politik’ bukan sahaja murah duit atau ‘harta dunia’ tapi juga murah pahala. Dengan mudah sahaja mereka memberikan ‘pahala’ mereka kepada orang lain, atau dengan mudah rela menanggung dosa orang lain jika mereka tidak dapat memberikannya pahala.

Nabi s.a.w pernah bertanya para sahabat baginda :

“Tahukah kamu siapakah orang yang muflis?” Jawab mereka: “Orang yang muflis dalam kalangan kami ialah sesiapa yang tiada dirham dan tiada harta”. Sabda baginda: “Orang yang muflis dalam umatku ialah sesiapa yang datang pada Hari Kiamat nanti bersama solat, puasa, zakat, juga dia pernah memaki seseorang, menuduh seseorang, memakan harta seseorang, menumpah darah seseorang dan memukul seseorang. Lalu diberikan kepada orang ini dan itu pahalanya. Jika pahala-pahalanya habis sebelum sempat dilangsaikan kesalahannya, maka diambil dosa-dosa mereka dicampakkan ke atasnya lantas dicampakkan dia ke dalam neraka” (Riwayat Muslim).

Hadis ini amat menakutkan. Inilah hakikat muflis atau bankrap yang hakiki. Adapun muflis dalam kehidupan dunia mungkin boleh diselesaikan atau berakhir. Namun muflis jenis ini membawa kesan dalam kehidupan ‘alam abadi’. Ya, kita semua jarang yang terlepas dari kesalahan ini. Namun kita selalu berusaha dan ingin mengelaknya. Malangnya, dalam kehidupan sesetengah ahli politik yang tidak berteraskan wahyu kita ada dapati bagi mereka memaki hamun orang, menuduh orang tanpa bukti, memakan harta orang atau rakyat, menumpahkan darah orang samada mencedera atau membunuhnya tanpa sebab yang diizinkan syarak bagaikan ‘rukun politik’ yang wajib dan ‘haram’ ditinggalkan. Lebih buruk lagi jika itu semua dihalalkan atas berbagai alasan.

Mengkritik dan memberikan pandangan berbeza dalam politik adalah tidak mengapa. Bahkan merupakan satu keperluan. Jika membabitkan hak rakyat, maka rakyat perlu dibela. Apatah lagi dalam ‘reka bentuk’ politik demokrasi yang diamalkan. Namun, memaki-hamun, mencerca, sehingga ada yang mencarut adalah bertentangan dengan syarak. Lebih buruk lagi ada yang mengutuk sifat peribadi orang lain yang Allah ciptakan seperti memperrsendakan ‘botak’, ‘hidung besar’, ‘mamak’ dan berbagai lagi. Makian, kutukan, sendaan itu dijadikan bahan ketawa yang ‘dikongsi dosa’ bersama pengikut dan penyokong.

Jika ada tuduhan terhadap musuh politiknya, belum pun ada bukti atau sokongan bukti, terus sahaja diperkatakan secara ‘yakin tanpa syak’. Bersorak sorai pengikut meraikan ‘kemurahan pahala’ orang politik. Sementara membelasah harta orang dilakukan oleh banyak pihak yang tidak jujur dan amanah. Namun, dalam banyak keadaan ramai orang politik yang mempergunakan harta rakyat untuk kepentingan dirinya. Demikian sejarah juga menunjukkan penumpahan darah dan penyeksaan ke atas hamba-hamba Allah yang lain sering mempunyai hubungan dengan politik.

Lebih buruk lagi, ada yang menghalalkan kesalahan-kesalahan tersebut atas alasan demi menegakkan kebenaran. Lalu dipetiklah kata-kata sarjana itu dan ini seperti al-Imam al-Ghazali dan al-Nawawi bagi menjustifikasikan perbuatan salah tersebut. Padahal jika dilihat kepada konteks huraian yang mereka sebutkan, bukan demikian maksudnya.

Mana mungkin mereka menghalalkan maki-hamun, carut-marut atau menuduh tanpa bukti atas alasan untuk menegakkan kebenaran. Kebenaran apa jika begitu rupanya?! Peperangan mempertahankan agama yang dihalalkan Allah dan rasulNya pun, tidak dibenarkan kita melampaui batas, apakah kita boleh melampaui batas ketika berpolitik ?

Firman Allah : (maksudnya)

“Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas, sesungguhnya Allah tidak menyukai mereka yang melampaui batas”. (Surah al-Baqarah: ayat 190)

Namun orang politik yang berperang untuk kerusi mereka melampaui batas.

Saya masih teringat seorang penceramah politik tertentu, beliau juga terkenal dengan alunan zikir munajatnya. Semasa saya menjadi mufti, beliau berceramah atas pentas politiknya bersama dengan pendengarnya mengalunkan ‘istighfar dan zikirnya’. Habis sahaja ceramah beliau memaki hamun saya di atas pentas yang sama dengan menggelar saya ‘bapa syaitan’. Beliau mahu memancung saya dengan tuduhan saya akan menulis buku khas mengkritik partinya dan beberapa tuduhan lain yang tidak benar. Padahal buku tersebut tidak pernah muncul dan saya tiada cukup masa untuk itu. Saya hanya tersenyum sinis melihat rakaman tersebut dalam you-tube. Saya juga mungkin berterima kasih atas sedekahnya itu untuk saya yang kekurangan pahala ini. Cuma saya begitu kagum ; bagaimana politik boleh menukar watak manusia daripada berzikir kepada memaki hamun orang. Maka jangan hairan jika politik boleh menukar manusia menjadi pencerca, perompak harta, penyeksa bahkan pembunuh sekalipun. Ya, orang politik memang pemurah pahala.

Sikap tidak professional yang dilakukan oleh orang-orang politik seperti inilah yang membantutkan manfaat intelektual dan menyumbang kepada keretakan masyarakat. Malangnya, hal ini sering dilakukan oleh orang politik yang sedang berkuasa, juga yang ingin mendapatkan kuasa. Apa tidaknya, jika seseorang yang memberikan pandangan yang berbeza atau mengkritik dalam batasan yang wajar diambil tindakan, maka terbantut idea-idea yang baik.

Juga, apabila tindakbalas itu diambil dalam bentuk maki hamun, atau kezaliman yang lain, maka retak dan bergeserlah masyarakat. Sebab itu, saya dapati dalam negara kita ramai intelektual takut, atau tidak dilatih untuk memberikan pandangan ‘ketiga’ atau yang berbeza dengan ‘kumpulan-kumpulan politik’ yang ada. Ini kerana, jika kumpulan atau badan politik itu mempunyai kuasa kita akan diambil tindakan secara kuasa. Jika mereka belum berkuasa, senjata cercaan, makian dan kutukan akan digunakan yang menyebabkan banyak pihak tidak mampu menanggungnya.

Dengan itu, sifat murah pahala orang politik itu bukan sahaja untuk pesaing politik mereka, juga untuk sesiapa yang enggan akur kepada pandangan mereka, sekalipun tidak menyokong musuh mereka. Sehingga kadang-kala kita mungkin kecewa dan perit dengan sikap yang seperti itu. Namun Allah itu adil.

Sabda Nabi s.a.w :

“Segala hak akan dibayar kepada empunya pada Hari Kiamat, sehinggakan akan dibalas untuk biri-biri yang bertanduk atas perbuatannya ke atas biri-biri yang tidak bertanduk” (Riwayat Muslim).

Cumanya, jika kita semua ; samada kita orang politik atau tidak, merenungi hadis ini dan yang sebelumnya, mungkin kita akan tidak pemurah pahala lagi, atau akan kurang pemurah. Ini kerana setiap kita memang sukar untuk mengawal tabiat ‘boros pahala’ ini, namun mengingati hadis ini akan membataskan kita. Sifat pemurah memang dianjurkan oleh Islam kerana ia boleh membantu orang lain juga mengeratkan hubungan antara kita. Namun, jangan pemurah pahala kerana ia merosakkan orang lain dan meretakkan hubungan antara kita.


Video lucah dan dosa politik
Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Mac 25, 11
7:56pm

Dalam budaya manusia yang tiada nilai agama dan tamadun berakhlak, isu keaiban peribadi dijadikan mainan golongan yang selekeh.

Maka muncullah kisah seks dan skandal peribadi tokoh politik itu dan ini sebagai senjata beracun membunuh musuh politik masing-masing.

Dalam Islam, perbuatan mendedahkan keaiban peribadi sebagai senjata politik adalah perbuatan yang dilarang oleh Allah dan rasul-Nya. Ia haram.

Hanya mereka yang jahil nas-nas agama sahaja yang menyangka itu adalah suruhan syarak. Malangnya praktik ini telah diamalkan oleh ramai tokoh dan penceramah politik sejak dahulu lagi di negara kita ini.

Sama ada PAS, Umno dan PKR; ramai individu dalamparti-parti itu telah terbabit dalam perkara yang diharamkan oleh syarak ini. Tuduhan seks, arak, kaki judi dan seumpamanya sudah menjadi ringan di lidah mereka.

Bahkan kadang-kala mereka menghina rupa ciptaan Allah yang ada pada musuh-musuh politik mereka seperti mengatakan si botak, gagap, hidung besar, mamak dan lain-lain. Mereka melanggar pantang larang agama dalam berpolitik.

Wabak inilah sedang memakan diri mereka sendiri. Mereka yang tiada etika dan akhlak telah dan akan terus terbabit dalam hal ini.

Sedangkan Nabi SAW bersabda: "Sesiapa yang menutup (keburukan) seorang muslim, Allah tutup (keburukannya) di dunia dan akhirat." (Riwayat Muslim).

Aib peribadi

Islam melarang didedahkan aib peribadi yang tidak membabitkan kezaliman terhadap orang lain. Aib peribadi seperti zina, minum arak, berjudi dan seumpamanya hendaklah ditutup semampu mungkin.

Jika hendak didakwa, hendaklah di mahkamah dan bukan untuk tontonan orang ramai. Pun begitu, Islam mengetatkan syarat saksi dan proses penyaksian. Bagi kes zina, jika gagal dipenuhi syarat, penuduh boleh dijatuhkan hukuman qazaf.

Tujuannya, untuk mengelakkan perangai suka menuduh dan mendedahkan aib peribadi orang lain. Sebab itu penzina dihukum 100 sebatan dan yang menuduh tanpa empat orang saksi 80 sebatan. Angka yang hampir bagi menunjukkan kesalahan menuduh tanpa empat orang saksi - sekalipun mungkin benar - adalah berat di sisi agama.

Firman Allah (maksudnya): "Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka lapan puluh kali sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasik. (Surah al-Nur: Ayat 4).

Nabi SAW sendiri mengelakkan agar aib itu didedahkan, bahkan disuruh bertaubat secara sendirian; dengan solat dan istighfar.

Dalam riwayat Muslim, seorang lelaki datang kepada Rasulullah dan berkata:

"Wahai Rasulullah, aku mengubati seorang wanita di hujung bandar. Aku telah melakukan kepadanya (seks), cuma aku tidak menyetubuhinya. Inilah aku, maka hukumlah aku apa yang engkau mahu. Lalu 'Umar (Ibn Khattab) berkata kepadanya: Allah telah tutupi keaibanmu jika engkau menutupi dirimu. Nabi s.a.w tidak berkata apa-apa. Lalu lelaki itu bangun dan pergi. Nabi SAW menyuruh seorang lelaki memanggilnya dan membaca kepadanya firman Allah (maksudnya) Dan dirikanlah sembahyang pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari malam. Sesungguhnya kebaikan itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat (Surah Hud ayat 114). Maka ada seorang bertanya: Wahai Nabi Allah, ini khas untuknya sahajakah? Jawab Nabi SAW: Bahkan untuk manusia keseluruhannya."

Bukan bukti Asas

Rakaman video bagi kes maksiat peribadi tidak boleh dijadikan asas bukti. Bagi kes zina hendaklah dengan empat orang saksi. Tiada keperluan untuk pencarian bukti sampingan. Itu soal dosa insan dengan Allah bukan dengan orang lain.

Jika ia terlepas, mahkamah Allah di mahsyar tetap ada, atau mungkin dia bertaubat. Tiada pihak yang rugi atau untung melainkan dirinya sendiri.

Kata Dr Yusuf al-Qaradawi mengenai usaha mencegah kemungkaran:

"Kemungkaran itu mesti nyata dan dilihat. Adapun jika pelakunya melakukannya secara sembunyian dari pandangan manusia dan menutup pintu rumahnya, maka tidak seorang pun boleh mengintipnya atau merakamnya secara diam-diam dengan menggunakan alat elektronik atau kamera video atau menyerbu rumahnya untuk memastikan kemungkarannya. Inilah yang ditunjukkan pada lafaz hadis 'barangsiapa yang melihat kemungkaran, maka hendaklah dia mengubahnya...."

Dikaitkan kewajipan mengubah itu dengan melihat atau menyaksikan kemungkaran. Tidak dikaitkan dengan mendengar tentang kemungkaran dari orang lain. Ini kerana Islam tidak menjatuhkan hukuman kepada orang yang mengerjakan kemungkaran secara bersembunyi dan tidak menampakkannya.

Diserahkan hanya kepada Allah untuk menghisabnya pada hari kiamat. Hisab ini bukan menjadi wewenang seseorang di dunia. Sehinggalah dia melakukannya secara terang-terangan dan menyingkap keaibannya.

Bahkan hukuman Ilahi itu lebih ringan bagi orang menutupi kemungkarannya dengan menggunakan tabir Allah dan tidak menampakkan kederhakaannya sebagaimana yang disebutkan dalam hadis sahih (bermaksud):

"Setiap umatku diberikan keampunan kecuali orang-orang yang menampakkan (dosanya)" (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Justeru, tiada seorang pun mempunyai wewenang untuk menjatuhkan hukuman terhadap kemungkaran-kemungkaran yang dilakukan secara sembunyian. (Al-Qaradawi, Min Fiqh al-Daulah fi al-Islam, hal 124, Kaherah: Dar al-Syuruq).

Berbeza Dengan Kes Kezaliman

Ia berbeza dengan kes jenayah terhadap lain seperti bunuh, curi, rompak, rogol, diliwat secara paksa, rasuah dan seumpamanya. Kes-kes ini perlu dibongkar dan diambil tindakan demi keadilan terhadap mangsa.

Rakaman dalam kes-kes ini perlu diusahakan. Islam mengizinkan, bahkan menyuruh didedahkan bahaya atau kezaliman yang dilakukan yang boleh memudaratkan orang ramai dan rakyat. Jika ada perasuah, atau perompak, atau perogol maka hendaklah diberi amaran kepada orang yang mungkin menjadi mangsa.

Itu pun hendaklah atas asas bukti yang kukuh, bukan sekadar andaian. Demikian juga boleh mendedahkan kepada pihak yang berkaitan seperti hakim, pengundi dan orang awam tentang kezaliman yang boleh menimpa diri atau orang lain.

Firman Allah (maksudnya): "Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang (untuk mendedahkan kejahatan orang); kecuali oleh orang yang dizalimi, dan (ingatlah) Allah sentiasa Mendengar, lagi Maha Mengetahui. Jika kamu melahirkan sesuatu kebaikan, atau menyembunyikannya, atau kamu memaafkan kesalahan (yang dilakukan terhadap kamu), maka sesungguhnya Allah adalah Maha Pemaaf lagi Maha Berkuasa". (Surah al-Nisa: Ayat 148-149).

Tidak Perlu Suruhajaya

Tiada keperluan menubuhkan suruhanjaya khas bagi kes-kes maksiat peribadi. Ini hanya akan membazirkan harta rakyat. Al-Imam al-Ghazali (meninggal 505H) dalam kitabnya Ihya 'Ulum al-Din telah menyebut mengenai rukun-rukun perlaksanaan Hisbah.

Hisbah bermaksud perlaksanaan al-Amr bi al-ma'ruf (menyuruh kepada makruf) apabila ia nyata ditinggalkan, dan al-Nahy 'an al-munkar (pencegahan kemunkaran) apabila ia nyata dilakukan.

Rukun ketiga yang disebut oleh al-Imam al-Ghazali ialah:

"Hendaklah kemungkaran tersebut zahir (jelas) kepada ahli hisbah tanpa perlu melakukan intipan. Sesiapa yang menutup sesuatu kemaksiatan di dalam rumahnya, dan mengunci pintunya maka tidak harus untuk kita mengintipnya. Allah Ta'ala telah melarang hal ini. Kisah 'Umar dan 'Abd al-Rahman bin 'Auf mengenai perkara ini sangat masyhur. Kami telah menyebutnya dalam kitab Adab al-Suhbah (Adab-Adab Persahabatan). Begitu juga apa yang diriwayatkan bahawa 'Umar RA telah memanjat rumah seorang lelaki dan mendapatinya dalam keadaan yang tidak wajar. Lelaki tersebut telah membantah 'Umar dan berkata: Jika aku menderhakai Allah pada satu perkara, sesungguhnya engkau telah menderhakai-Nya pada tiga perkara. 'Umar bertanya: Apa dia? Dia berkata: Allah Ta'ala telah berfirman (maksudnya): Jangan kamu mengintip mencari kesalahan orang lain. Sesungguhnya engkau telah melakukannya. Allah berfirman (maksudnya: Masukilah rumah melalui pintu-pintunya. Sesungguhnya engkau telah memanjat dari bumbung. Allah berfirman: (maksudnya): Janganlah kamu masuk ke dalam mana-mana rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu lebih dahulu meminta izin serta memberi salam kepada penduduknya). Sesungguhnya engkau tidak memberi salam. Maka 'Umar pun meninggalkannya... Maka ketahuilah bahawa sesiapa yang mengunci pintu rumahnya dan bersembunyi di sebalik dindingnya, maka tidak harus seseorang memasuki tanpa izin daripadanya hanya kerana ingin mengetahui perbuatan maksiat. Kecuali jika ia nyata sehingga diketahui oleh sesiapa yang berada di luar rumah tersebut." (Al-Ghazali, Ihya 'Ulum al-Din, 3/28, Beirut: Dar al-Khair 1990).

Ingatan

Muslim hendaklah mengelakkan diri dari terlibat dalam kes-kes seperti ini. Ia menjadi pengajaran kepada semua parti politik. Manusia-manusia yang rendah nilai dan maruah sanggup untuk terbabit dalam hal seperti ini sejak lama dahulu.
|
Mereka ini ada dalam Umno, PKR dan PAS. Sedangkan Allah berfirman (maksudnya):

"Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip mencari-cari kesalahan orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat antara satu sama lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? Maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah penerima taubat, lagi Maha mengasihani." (Surah al-Hujurat: 12).



Bangkit generasi baru

Marilah kita bermufaraqah atau meninggal segala pelakon atau watak yang selekeh dan rela menghalalkan apa sahaja untuk kepentingan politik mereka. Tanpa mengira parti! Mereka mesti diusir dari pemainan bodoh ini.

Kita tentang semua pelakon politik yang suka mengelak kain orang. Tak kira kerajaan atau pembangkang. Kita dijadikan 'penonton bodoh' yang seakan merelakan apa sahaja watak yang mereka lakonkan.

Politik kita memerlukan nafas baru dan dibersihkan dari golongan yang jijik dan kotor ini! Kita perlukan politik idea, bagaimana dan cara membangunkan umat dan rakyat agar hidup berdisiplin, bermaruah dan bertamadun. Bukan cerita-cerita bodoh seperti ini!


Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin merupakan bekas mufti kerajaan Perlis. Tulisan ini adalah pendapat peribadi penulis.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan