Isnin, 24 Januari 2011

DULU TIDO DAN RELAX2...SEKARANG BARU JAGA....BAHAYA JIKA BERFIKIR KITA KUAT@BERPENGARUH....SEBENARNYA TAK.....

Malas hadir sidang jangan sertai pilihan raya
Harakahdaily

KUANTAN, 24 Jan: “Kalau tak sanggup hadir sidang Dun, jangan bertanding.” Itulah intipati mesej yang disampaikan oleh Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) kepada para wakil rakyat yang gagal menghadirkan diri ke sidang Dun sehingga terpaksa mengakibatkan pilihanraya kecil berlaku.

Sambil menyelar wakil rakyat sedemikian sebagai tidak bertanggungjawab dan tidak bermoral, Tuan Ibrahim berkata tindak-tanduk mereka turut menyebabkan duit rakyat dihabiskan dalam kegiatan rasuah yang berleluasa apabila pilihanraya kecil diadakan.

“Lain kali kalau tak sanggup menjalankan tugas asasi, jangan bertanding. Menyusahkan rakyat,” kata Tuan Ibrahim sebagai respon kepada karenah Adun Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah yang akan mengemukakan permohonan di Mahkamah Tinggi hari ini bagi mencabar keputusan Speaker Dun Selangor, Datuk Teng Chang Kim.

Terdahulunya, Teng mengisytiharkan bahawa kerusi Dun Pelabuhan Klang kosong apabila Badrul didapati gagal menghadiri sebarang sidang Dun untuk tempoh enam bulan bermula daripada 5 Julai 2010 tanpa alasan munasabah.

Namun begitu, Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar tidak bersetuju dengan Teng bahawa kuasa untuk mengisytiharkan sesebuah kerusi tersebut kosong berada di tangan Speaker dengan alasan bahawa Perlembagaan Persekutuan memberi mandat kepada badan pengendali pilihan raya itu untuk menentukan kekosongan sesebuah kerusi.

Sementara itu, Tuan Ibrahim turut menyelar tindak-tanduk wakil-wakil rakyat yang tetiba muncul kembali untuk mempertahankan kerusi Dunnya selepas diisytihar kosong.

“Mereka tidak sepatutnya bising setelah dapat notis kekosongan kerusi, baru sibuk nak ke mahkamah, nak saman, nak batal pengisytiharan. Ini kerja tak bermaruah bagi seorang pemimpin,” bidas Tuan Ibrahim.

Menurut Tuan Ibrahim, perkara yang sama turut berlaku di Dun Kota Seputih, Kedah di mana nasib Ketua Bahagian Jerlun Umno, Abu Hassan Sarip sebagai Adun masih tidak diketahui kerana mahkamah rayuan masih berdolak-dalih untuk meneruskan kes tersebut.

Tuan Ibrahim berkata kedua-dua kes merugikan para pengundi yang mengangkat kedua-dua pemimpin itu menjadi Adun, yang terbukti gagal menghadiri sidang DUN yang hanya diadakan “tiga ke empat kali setahun”.



Muhyiddin minta MCA henti main isu salam
Abdul Rahim Sabri
Jan 24, 11
4:57pm


Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak mahu BN khususnya MCA mengekploitasi isu calon PAS Normala Sudirman tidak mahu bersalam dengan lelaki.

Malah, Muhyiddin turut menegaskan bahawa beliau juga tidak mahu isu ini dipanjangkan kerana "ada perkara yang lebih pokok yang patut BN lakukan".

"BN tidak mahu eksploitasi soal-soal begitu. Terserah kepada pengundi untuk membuat penilaian kerana (beliau) mungkin (bertindak) atas sebab-sebab tertentu.

"Tapi bagi saya, saya tidak mahu nak mengekploitasi peribadi pihak calon. Itu adalah pilihan beliau (Normala). Tetapi apa pun terserah kepada pengundi untuk membuat penilaian," katanya dalam satu sidang media di Tenang.

Muhyiddin mengulas mengenai isu calon PAS Normala Sudirman yang enggan bersalam dengan lelaki dalam kempen pilihan DUN Tenang yang dibangkitkan oleh Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

Beliau yang juga timbalan pengerusi BN sekali lagi menegaskan bahawa tidak mahu isu ini dipanjangkan kerana terdapat perkara lain yang perlu diutamakan dalam kempen pilihan raya berkenaan.

"Ada perkara yang lebih pokok yang patut kita lakukan untuk menjelaskan isu, (mengenai) apa komitmen kita untuk membantu rakyat dan pengundi di sini," katanya.

Ditanya mengenai calon PAS yang mendakwa BN gagal memahamkan komponennya berhubung adab Islam berhubung wanita tidak dibenarkan bersalaman dengan lelaki, Muhyiddin berkata:

"Tak payahlah kita komen macam-macam. Yang pentingnya, kita tumpu kepada perkara-perkara lain. Itu yang lebih utama".

Isu Interlok

Dalam sidang media yang sama, Muhyiddin berkata berharap semua pihak tidak mempolitikkan isu novel Interlok.

"Saya nak tanya di kalangan yang ada di sini, siapa yang baca (novel) Interlok? Saya baca... tak ada orang baca....Jadi saya nak jelaskan, kita (kerajaan) sudah putuskan kita ada formula yang boleh menyelesaikan masalah itu.

"Tadi saya dengan perdana menteri berbincang, pasal sebab dalam semangat BN, kita nak berbicara dengan pihak MIC. Saya percaya formula kita akan dikemukakan nanti, kita akan bincangkan secara mendalam dalam sehari dua (ini).

"Saya harap, apabila diputuskan nanti, perkara ini tidak menimbulkan apa-apa (masalah) kerana apa yang penting semangat kerjasama dalam BN," katanya.

Muhyiddin yang juga ahli parlimen Pagoh berkata beliau optimis isu berkata novel tersebut boleh diselesaikan.



Isu salam: PERKASA sokong mufti, pendekatan Nik Aziz
Jimadie Shah Othman
Jan 24, 11
3:39pm


Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) bersetuju dengan pandangan Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria dan pendekatan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat berhubung isu keengganan calon PAS bersalam dengan lelaki di Tenang.

NONEKetua Wira PERKASA Arman Azha Abu Hanifah (kanan) berkata, isu melibatkan Normala Sudirman yang ditimbulkan Presiden MCA Datuk Seri Chua Soi Lek berpunca akibat kegagalan memahami Islam.

"Macam pendekatan Tuan Guru Nik Aziz, (apabila) mereka ini tidak faham (Islam), jadi kita mesti fahamkanlah mereka," katanya.

"(Contohnya) macam isu melibatkan DAP juga, (berlaku) kerana mereka tidak faham."

Dalam pengalaman Pakatan Rakyat, Nik Aziz antara pemimpin PAS yang kerap berbeza pandangan dengan pemimpin lain daripada DAP dalam isu agama, khususnya negara Islam.

Beliau juga sering dilapor menyimpulkan apa yang berlaku akibat pemimpin berkenaan tidak memahami Islam dan perlu dimaklumkan tentang ajaran agama yang sebenar.

Di Tenang, kenyataan Chua kelmarin mengundang reaksi keras pelbagai NGO dan tokoh Islam, antaranya Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia (PPMM), Harussani dan PAS sendiri.

Senada dengan peguam Muslim

Ketika dihubungi Malaysiakini petang ini, Arman Azha berkata menjadi tanggungjawab parti-parti komponen lain dalam BN menjelaskan "apa yang salah, apa yang tidak" kepada Chua secara matang.

tenang by election day 1 230111 chua soi lek campaigning 3"Kalau kita marah pun, mereka semakin jauh. Kalau perkara itu salah, Rasulullah suruh panggil dan nasihati cara yang betul daripada kita bertindak tidak tentu arah," katanya.

Bagaimanapun, Arman Azha tetap beranggapan bahawa tindakan Chua itu salah dan menghina Islam.

Justeru, menurutnya, ahli politik veteran itu patut membuat permohonan maaf secara terbuka kepada seluruh umat Islam.

"Bukan hanya minta maaf, tetapi dia juga kena memahami konteks Islam yang sebenar," katanya, senada dengan tuntutan PPMM semalam.

Ditanya sama ada pihaknya akan menganjurkan demonstrasi - tindakan yang dilihat sinonim dengan NGO Melayu itu kebelakangan ini - Arman Azha menjawab:

"Bukan semuanya kita berdemo."


BN tolak usul kembalikan kuasa Sultan di Selangor
Harakahdaily

SHAH ALAM 24 Jan: Ketua Pembangkang DUN Selangor, Datuk Satim Diman hari ini berkata, Adun BN menolak usul Pindaan Undang-undang Tubuh Negeri Selangor 1959, khususnya Perkara 52(1) untuk mengembalikan kuasa melantik pegawai kanan kerajaan negeri kepada Sultan dan Menteri Besar kerana ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Satim Diman dalam ucapannya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Khas Selangor hari ini menegaskan beliau dan 20 Adun dari Barisan Nasional serta Adun Bebas tidak akan menyokong usaha Kerajaan Negeri untuk meminda Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri seperti yang di bentangkan oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim hari ini.

Satim juga melabel kerajaan negeri 'syok sendiri' selain mengutuk tindakan kerajaan negeri bawah pimpinan Pakatan Rakyat bermotifkan politik serta bersikap hipokrit.

Antara alasan yang dikemukan oleh Satim ialah Barisan Nasional terdahulu tidak pernah mengenepikan dan membelakangkan DYMM Sultan SElangor sejak pindaan dibuat sejak 1993.

Satim mula membahaskan usul tersebut selepas selesai ucapan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Beliau dilantik menjadi ketua pembangkang selepas Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo melepaskan jawatan itu apabila didakwa rasuah di mahkamah.

Dewan mula bersidang jam 10 pagi. Adun Pelabuhan Kelang Badrul Hisham Abdullah - yang kerusinya diisytihar kosong oleh speaker - duduk di bilik yang dikhaskan kepada petugas media, tingkat atas di dalam dewan.

Setiausaha dewan membacakan ucapan diraja bagi pihak Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Dalam ucapannya, Sultan bertitah supaya Adun membahaskan cadangan pindaan itu dengan sebaiknya tanpa beranggapan perkenan yang diberikan baginda sebagai menyokong mana-mana pihak dalam dewan.

Baginda juga memberitahu Adun supaya tidak menariknya sama dalam politik. Istana sentiasa tidak mencampuri urusan politik, titahnya lagi.





Imam solat jenazah SU Umno Tenang nafi Utusan
Khairil Abdul Rahim

LABIS, 24 Jan: Che Zuhar Che Haron, ahli PAS dari Pahang yang mengimamkan solat jenazah Setiausaha Umno Cawangan Kolam Air Felda Tenang, menafikan sebuah berita daripada akhbar Utusan Malaysia hari ini yang menggambarkan beliau seolah-olah ‘merampas’ untuk menjadi imam solat berkenaan.

Sebaliknya, beliau telah ditarik tangan oleh penduduk tempatan dan makmum Masjid An-Nur Felda Tenang itu, setelah jenazah yang sampai sejak jam 10.30 pagi sehingga jam 2 petang tidak disempurnakan kerana imam masjid berkenaan pergi ke padang menyambut Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Apa yang saya lakukan hanyalah menyelesaikan hukum fardhu kifayah setelah sekian lama jenazah setiausaha Umno itu tidak disempurnakan, itupun setelah makmum dan bilal meminta saya berbuat demikian kerana imam sebenar masjid itu pergi ke padang,” jelasnya yang kini masih berada di Labis mewakili Dewan Ulamak PAS Pusat.

Akhbar pro-Umno itu hari ini di muka surat 5 di bawah tajuk ‘PAS terbukti memfitnah PM’, mengatakan Perdana Menteri itu dalam lawatannya ke Felda Tenang, 18 Januari lalu tidak diberitahu kematian Allahyarham Abdul Latif Subhi Mohd pada jam 2.30 pagi sebelum itu.

Akhbar tersebut memetik sumber daripada Pengerusi Biro Khairat Kematian Masjid An-Nur, Hamzah Manaf, 77, dan beberapa pemimpin setempat, tindakan Najib tidak melawat jenazah Setiausaha UMNO Cawangan Kolam Air Felda Tenang, bukannya suatu isu kerana Perdana Menteri memang langsung tidak mengetahui mengenai kematian Allahyarham kerana tidak dimaklumkan mengenainya.

Akhbar tersebut yang juga memetik edisi kedua Buletin Tenang, PAS menipu apabila mendakwa jentera parti itu yang menguruskan jenazah Allahyarham, sedangkan hakikatnya ia diuruskan sendiri oleh para penduduk kampung.

Akhbar berkenaan menyebut, beberapa wakil dan jentera Pas hanya muncul secara tiba-tiba di masjid berkenaan termasuk calon parti itu, Normala Sudirman untuk memberi penghormatan kepada jenazah Allahyarham.

Tambah akhbar itu, di dewan solat Masjid An-Nur Felda Tenang itu, salah seorang daripadanya yang memakai jaket Pas secara tidak semena-mena bangun dan mengimamkan solat jenazah ketika pengurusan masjid meminta waris Allahyarham menjadi imam kerana lebih afdal diimamkan oleh keluarga terdekat, atau menunggu kira-kira 15 minit untuk imam tiba.

“Pada hakikatnya Unit Amal PAS telah bertungkus-lumus membantu penduduk kampung menggali kubur. Kemudian jenazah Allahyarham telah dibawa ke masjid kira-kira jam 10 pagi. Makmum terus meninggu hingga ke waktu Solat Zohor, tetapi imam tidak ada kerana pergi ke padang menyambut Najib.

“Kemudian apabila sampai ke jam dua petang, seorang tua yang mewakili bilal masjid telah mengumumkan sesiapa yang layak diminta tampil mengimamkan solat jenazah kerana imam masjid pergi ke padang,” katanya.

Menurut Che Zuhar, ketika itu makmum mula berbaris dalam saf dan beberapa orang penduduk kampung menarik tangannya ke depan untuk mengimamkan solat jenazah itu.

Beliau yang berkempen dalam PRK Tenang mewakili Dewan Ulamak, telah menyempurnakan tugas berkenaan sehinggalah jenazah dibawa ke kereta dan tanah perkuburan.

“Saya kecewa kenapa perkara ini dibangkitkan lagi walhal saya menyempurnakan fardhu kifayah setelah imam masjid meninggalkan tugas untuk meraikan Najib. Jenazah sudah selamat dikebumikan, kenapa mahu dipolitikkan lagi,” soalnya.



Saman royalti: Tidak pohon tetapi pindah mahkamah
Rizal Tahir

KOTA BHARU, 24 Jan: Kerajaan Kelantan membantah tindakan memindahkan kes saman tuntutan royalti kerajaan negeri Kelantan ke atas Petronas yang telah difailkan 30 Ogos lalu di bahagian perdagagan telah dipindahkan ke bahagian sivil Mahkamah Tinggi dengan hakim baru yang akan dilantik.

Bukan itu sahaja, kerajaan negeri juga turut membantah usaha kerajaan Pusat mencampuri urusan kes terbabit memandangkan tuntutan itu hanya ke atas Petronas selaras perjanjian termaktub antara kerajaan negeri dan Petronas pada tahun 1975 yang langsung tidak melibatkan kerajaan Pusat.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri, Datuk Husam Musa (gambar), ketika memberitahu media semalam kerajaan negeri tidak pernah memfailkan permohonan untuk perpindahan itu.

“Kerajaan negeri diberi maklum Petronas sebagai defendan juga tidak memfailkan permohonan untuk tujuan itu.

“Adalah menghairankan kes ini dipindahkan ke bahagian sivil tanpa permohonan pihak yang terlibat dan kami merasa sangsi dengan tujuan perpindahan itu,”ujarnya lagi.

Katanya, perkara itu dimaklumkan oleh peguam kerajaan negeri Tommy Thomas, yang mana telah melaporkan Penolong Pendaftar Kanan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah memaklumkan perpindahan itu.

Husam seterusnya berkata, pendengaran permohonan kerajaan Pusat untuk mencelah dan memohon menjadi defendan kedua kes ini yang dijadualkan 24 Januari telah ditangguh pada satu tarikh yang belum ditetapkan.

“Kerajaan negeri turut membantah usaha itu memandangkan tuntutan tersebut tidak melibatkan kerajaan Pusat,”sambungnya lagi.

Sehubungan itu, kerajaan negeri melahirkan rasa dukacita di atas percubaan yang boleh menghalang kerajaan negeri dari mendapatkan penghakiman yang adil dan bebas.

Tambah Husam lagi, ianya mungkin akan mendorong kerajaan negeri mengambil tindakan yang lain bagi melindungi hak rakyat negeri itu yang tela dinafikan.



Badrul cabar keputusan Speaker di mahkamah
Jan 24, 11 3:34pm


ADUN Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah memfailkan permohonan untuk mendapatkan pengisytiharan mahkamah bahawa beliau masih merupakan wakil rakyat kerusi berkenaan.

Permohonan itu, yang difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini, antara lain adalah untuk membuktikan bahawa pengisytiharan Speakar DUN Selangor, Datuk Teng Chang Khim kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa kerusinya kosong, adalah batal dan tidak sah.

Minggu lalu, Teng mengumumkan bahawa kerusi DUN Pelabuhan Klang kosong selepas Badrul Hisham gagal menghadiri sidang DUN, tanpa cuti, sejak 15 Julai tahun lalu.

Notis kekosongan tersebut telah dihantar ke SPR Jumaat lalu untuk memaklumkan mengenainya dan suruhanjaya itu mempunyai 60 hari untuk mengadakan pilihan raya kecil dari tarikh notis tersebut dikeluarkan.

Badrul Hisham diwakili oleh adalah peguam Umno, Hafarizam Harun.




Soi Lek tak faham, Muhyiddin pun bersalam juga
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 24 Jan: Dalam pilihan raya kecil Tenang, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek telah membangkitkan isu kecil seperti bersalam dengan mahram menjadi besar.

Ketua Penerangan Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kaiat (gambar) berkata, jawapan balas daripada PAS dan PR telah menyebabkan masyarakat bukan Islam dapat memahaminya dengan baik.

Kesannya, kata beliau adalah masyarakat bukan Islam semakin memahami ajaran agama Islam sebenar.

Ini, tambahnya terbukti apabila calon PAS, Cikgu Mala dalam kempennya tidak menghadapi masalah dengan masyarakat lelaki bukan Islam semasa beliau berkempen di pasar Labis.

“Jika Datuk Seri Dr Chua Soi Lek tidak membangkitkan isu ini saya yakin ramai masyarakat bukan Islam tidak berpeluang memahami isu ini terutamanya di Labis. Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada beliau kerana membangkitkan isu ini,” ujarnya.

Walaubagaimana pun, katanya terdapat satu persoalan yang perlu dijawab oleh Soi Lek mengapa beliau membangkitkan isu itu.

“Apakah kerana keuntungan politik atau kerana ketidak fahamannya terhadap ajaran Islam?” soalnya.

Baginya, jika kerana keuntungan politik, maka Soi Lek adalah seorang pemimpin yang sanggup merendahkan agama Islam untuk kepentingan politik.

“Pemimpin seumpama ini boleh membawa malapetaka kepada kepada negara. Pemimpin seumpama ini wajib ditolak oleh semua masyarakat dalam negara,” tegasnya.

Sebaliknya, kata beliau jika Soi Lek melakukannya kerana ketidakfahamannya maka perlu dipersalahkan kepada Datuk Abdul Ghani Othman dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mereka, katanya sudah lama berkawan di Johor tetapi tidak menyampaikan larangan-larangan dalam ajaran agama Islam ini.

Tambahnya, mungkin mereka sukar memberi kefahaman kepada Soi Lek kerana mereka berdua juga bersalam dengan bukan mahram.

“Saya perhatikan Lim Kit Siang dan Boo Cheng How sudah memahami isu ini dengan baik, mungkin sejak DAP bersama dalam PR,” katanya.

Jika Soi Lek masih kurang memahami isu itu, ujarnya Pemuda PAS Pusat sanggup memberi khidmat nasihat kepada beliau berkenaan ajaran agama Islam sebenar.





P'raya Tenang: Isu 'jabat tangan' makan diri?
Kow Gah Chie
Jan 24, 11
4:26pm


Pemimpin dan jentera pilihan raya kecil MCA di Tenang meningkatkan serangan terhadap PAS berhubung isu negara Islam dan keengganan calonnya, Normala Sudirman (bawah) bersalam dengan orang lelaki. Persoalannya ialah sama ada strategi itu akan berjaya mengalih sokongan 5,766 pengundi Cina kepada BN.

NONETinjauan Malaysiakini di kalangan pengundi Cina di kawasan pilihan
raya Tenang menunjukkan bahawa dua isu tersebut memberi kesan minimum terhadap mereka.

Sebaliknya, apa yang lebih penting pada mereka ialah prestasi kedua-dua calon berkenaan.

Mereka yang ditemui Malaysiakini menegaskan bahawa undi untuk PAS tidak bermakna menyokong parti Islam itu, mahupun menyokong
agendanya mengenai negara Islam.

Mereka juga berkata, mereka telah diabaikan oleh bekas ADUN dari Umno, Datuk Sulaiman Taha.

Tinjauan itu dijalankan semalam di bandar Labis Tengah dan Tenang Station - yang merupakan dua daripada lima kawasan majoriti pengundi Cina di Tenang - mendapati hampir semua yang ditemui berpendapat MCA tidak seharusnya memainkan isu berjabat tangan itu kerana ia melibatkan agama calon.

Ditanyakan mengenai rancangan PAS untuk mengisyatiharkan Malaysia sebagai negara Islam, sesetengah daripada mereka mengakui merasa takut ketika isu itu pertama kali dibangkitkan dalam pilihan raya umum 1999 tetapi selepas bertahun berlalu, kini perasaan itu tidak seperti dahulu lagi.

mahathir responses to suaram report 02Sebahagiannya menceritakan mengenai pengumuman mantan perdana menteri Dr Mahathir Mohamad pada 21 September 2001 mengisytiharkan Malaysia sebagai negara Islam, yang menurut mereka, tidak membawa banyak perubahan terhadap negara ini.

Yang lainnya pula berpendapat jika dan bila benar-benar diisytiharkan sebagai 'negara Islam', mereka tidak ada masalah selagi ia tidak menjejaskan sistem pendidikan Cina, hak untuk makan, alkohol dan berjudi, dan selagi kerajaan terus melayan masyarakat Cina dengan baik.

Isu negara Islam yang dimainkan oleh MCA mungkin boleh menarik sokongan pengundi yang berumur tetapi generasi muda pula mempunyai pandangan yang berbeza.

Tinjauan itu juga memberi gambaran mengenai sikap sebahagian pengundi di situ.

NONE"Pengundi di Tenang selama ini menyokong MCA di peringkat parlimen (kerusi Labis), tetapi menyokong pembangkang di peringkat DUN (Bekok dan Tenang), bagi mewujudkan semak dan imbang," kata salah seorang pengundi yang ditemui.

Pengundi Cina merupakan 38.6 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi di Tenang. Dalam pilihanraya umum lalu, PAS memperolehi sokongan lebih daripada separuh pengundi di tiga kawasan majoriti Cina, iaitu bandar Labis Timur, bandar Labis Tengah dan Labis.




Talkin Umno Perlis': Ali sahut cabaran debat
Muhayat Jasmin

KANGAR, 24 Jan: Cabaran debat dalam isu ' talkin untuk Umno Perlis' antara bekas Ketua Penerangan Umno Perlis, Datuk Hashim Suboh, dengan Ahli Jawatankuasa Umno bahagian Padang Besar, Ali Ismail mungkin menjadi realiti menjelang Februari yang akan datang.

Menurut sumber dalaman Umno Perlis, konflik yang berlarutan antara Hashim dan Ali sudah hampir mencapai klimaksnya apabila Ali dikatakan sanggup menerima cabaran dari Hashim untuk mengadakan debat pada 3 Februari.

"Kalau segala persiapan berjalan lancar, Ali tidak ada apa-apa masalah untuk berdebat," kata sumber itu.

Bagaimanapun Harakahdaily difahamkan ada pihak daripada Umno tidak bersetuju dengan perdebatan tersebut kerana menyifatkan Hashim tidak layak untuk bersemuka dengan Ali untuk membicarakan masalah kepimpinan Umno negeri kerana beliau (Hashim) tidak memegang apa-apa portfolio dalam parti, sedangkan Ali masih lagi AJK Umno bahagian.

Dalam perkembangan lain, Ali dilaporkan telah membidas Hashim kerana mendakwa tidak memahami erti sebenar debat yang dilaung-laungkan.

"Debat ini adalah untuk memberi penjelasan sebenar kepada masyarakat tentang konflik yang timbul, ini termasuklah isu mentalkinkan Umno Perlis sepertimana yang dibangkitkan oleh Hashim dalam beberapa kenyataan beliau sebelum ini, " ujarnya.

Isu debat mengenai mengenai' talkin untuk Umno Perlis' yang mencetuskan konflik dalaman Umno Perlis itu dikaitkan rentetan daripada pertembungan antara 'team' Menteri Besar, Dr. Md Isa Sabu dengan ' team' bekas Menteri Besar, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Pertembungan kedua-dua kumpulan tersebut semakin parah apabila Shahidan dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Umno Perlis manakala Md Isa dikekalkan sebagai pengerusi - satu jawatan yang pernah disandang oleh Shahidan sebelum ini.

Dikatakan beberapa usaha telah dibuat oleh Umno Pusat untuk meredakan kemelut di negeri utara tanah air itu namun masih menemui jalan buntu.



Najib diajak berdiskusi, jika tak mahu debat
Abdul Rahim Sabri
Jan 24, 11
1:16pm
Naib Presiden PAS Salahudin Ayub berkata pilihan raya kecil DUN Tenang merupakan pentas terbaik untuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berdebat dengan ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai program 100 hari sekiranya menawan Putrajaya.

Menyifatkan debat itu sebagai "Debat Agung", Salahudin berkata Najib tidak wajar menolak cabaran tersebut sekiranya beliau "konsisten, berani dan tidak berdolak-dalik dalam komitmen beliau untuk menyaksikan rakyat diberikan maklumat dan informasi yang telus".

"(Saya) mengulangi atas nama Pakatan Rakyat, Najib wajar menerima tawaran ini.

"Tidak ada hujah beliau menolak cabaran ini. Malah dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Pakatan Rakyat bersetuju, jika beliau (Najib) takut untuk menggunakan perkataan debat, pentas yang sama boleh diubah menjadi diskusi ilmiah.

"(Ini kerana) rakyat perlu diberikan kefahaman. Kita yakin pemimpin Pakatan Rakyat mampu menjelaskan apa hujah dan substancenya," katanya dalam satu sidang media di bilik operasi PAS di Tenang pagi ini.

Salahudin yang juga ahli parlimen Kubang Kerian berkata tawaran debat itu dibuat sekali lagi ekoran pelbagai kecaman dan tuduhan jahat termasuk dakwaan negara akan bankrap seandainya Pakatan Rakyat mengambil alih Putrajaya.

Sebelum ini Anwar mencabar Najib yang juga presiden Umno untuk berdebat mengenai cadangan Pakatan Rakyat itu, tetapi ditolak oleh Najib.

Malah, Anwar juga tetap terus mencabar Najib dalam satu ceramahnya di Felda Tenang setelah Najib menyindirnya Anwar 'akan demam' sekiranya Najib "mendedahkan semua maklumat" tentang Anwar.

"Kami dari jentera pilihan raya PAS dan Pakatan Rakyat bersedia untuk memberikan pentas bebas dan wibawa serta ruang seluasnya bagi pemimpin meyakinkan rakyat dengan seluruh penghujahan mereka atas isu mengapa Pakatan Rakyat atau BN yang wajar disokong rakyat," kata Salahudin.

"Najib jangan lari daripada cabaran (ini). Beliau telah memperlekeh mencemuh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Kita tidak mahu (debat) isu soal peribadi," katanya.







Tiada ulasan:

Catat Ulasan