Sabtu, 18 Disember 2010

JANGAN KITA GADAI MARUAH SERTA AGAMA DEMI KEPENTINGAN DIRI SERTA KEMEWAHAN@KEDUDUKAN...KITA JUGA AKAN MATI...TAKUT TAK BOLEH JAWAB

Ambil pedoman Al Quran sepakatkan Pakatan
Salmah Mat Husain

KOTA BHARU, 18 Dis: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, menyeru anggota konvensyen Pakatan Rakyat mengambil pedoman dari falsafah yang ditonjolkan Islam menerusi al-Quran bagi menjaga kesepakatan hubungan dalam Pakatan Rakyat.

Tuan Guru juga seterusnya berkata, bersesuaian dengan Islam agama perpaduan, anggota Konvensyen Pakatan Rakyat perlu meletakkan keagamaan sebagai asas dalam menguruskan Pakatan.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan harapan kepada perwakilan Konvensyen Ke-2 Pakatan Rakyat yang bakal berlangsung pada 19 di Kepala Batas, Pulau Pinang.

2000 perwakilan dan pemerhati dari PAS, PKR dan DAP akan menyertai konvensyen yang akan diadakan di Dewan Millenium Kepala Batas bermula jam 8.30 pagi hingga malam itu.

Konvensyen ini dijangka mempersembahkan cerita kejayaan Pakatan Rakyat dalam mentadbir beberapa negeri di samping merancang bersama persiapan menghadapi pilihan raya.

“Anggota konvensyen perlu mengambil pedoman daripada falsafah al-Quran itu sendiri sebagai penghubung penyelesaian ummah di samping meletakkan asas keagamaan teratas dalam menguruskan Pakatan Rakyat,”ujarnya lagi.

Beliau seterusnya berkata, Allah telah menciptakan manusia dalam sifat yang berbeza.

Sebagai contoh katanya, 10 manusia yang diciptakan Allah, didapati 10 kepala (pemikiran) yang bebeza.

“Bagaimanapun, rupa yang berbeza dan pendapat yang berbeza itu tidak akan memberi masalah sekiranya ia berpandukan ajaran Islam dan al-Quran, kerana Islam itu untuk semua,” ujarnya lagi.

Katanya, manusia akan selamat kehidupan mereka dunia dan akhirat sekiranya mengikut kehendak Islam yang syumul.

BERIKUT KENYATAAN PENUH NIK ABDUL AZIZ

KENYATAAN RASMI TUAN GURU NIK ABDUL AZIZ NIK MAT

Harapan Konvensyen PR ke-2: Islam sebagai asas

Bersempena dengan Konvensyen Pakatan Rakyat Ke-2 pada 19 di Kepala Batas, Pulau Pinang ini, semua pimpinan dan perwakilan hendaklah mengambil pedoman dari falsafah kesepakatan menurut Islam, iaitu mengutamakan peri pentingnya menjaga hubungan sesama anggota di dalam Pakatan Rakyat.

Ia juga bersesuaian dengan keutamaan ajaran Islam sebagai agama perpaduan, maka Konvensyen Pakatan Rakyat perlu meletakkan keagamaan sebagai asas dalam menguruskan kesepakatan politik.

Pimpinan dan perwakilan parti-parti Pakatan Rakyat––PAS, KEADILan dan DAP––yang menghadiri konvensyen itu nanti perlulah mengambil pedoman daripada maksud al-Quran yang sewajarnya dijadikan rujukan dan penghubung di dalam penyelesaian permasalahan ummah. Justeru ajaran Islam dan asas-asas keagamaan dapat dijadikan rujukan utama dalam menguruskan kesepakatan hubungan antara parti-parti Pakatan Rakyat.

Bagi PAS, amat meyakini bahawa Allah telah menciptakan manusia dalam sifat yang berbeza-beza. Misalnya, sepuluh manusia yang diciptakan Allah, didapati sepuluh kepala (pemikiran) yang bebeza. Bagaimanapun, perbezaan itu tidak akan memberi masalah sekiranya ia berpandukan ajaran Islam dan menjadikan al-Quran sebagai panduan, kerana Islam itu untuk semua kaum. Firman Allah SWT (surah Ali-Imran ayat 103):

Bermaksud: “...dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara...”

Sewajarnya juga kita mengambil pengajaran dari sabda Nabi Muhammad SAW:

Maksudnya: “Janganlah saling benci membenci, saling iri hati dan saling membuat keracunan. Jadilah hamba-hamba Allah yang saling bersaudara, dan tidak boleh seorang Muslim menghindari saudaranya lebih dari tiga hari.”

Demikian lagi, firman Allah SWT (surah al-Maidah ayat 48):

Maksudnya: “Bagi tiap-tiap umat yang ada di antara kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu Syariat dan jalan agama (yang wajib diikuti oleh masing-masing) dan kalau Allah menghendaki nescaya Dia menjadikan kamu satu umat (yang bersatu dalam agama yang satu), tetapi Dia hendak menguji kamu (dalam menjalankan) apa yang telah disampaikan kepada kamu. Oleh itu berlumba-lumbalah kamu membuat kebaikan (beriman dan beramal soleh). Kepada Allah jualah tempat kembali kamu semuanya, maka Dia akan memberitahu kamu apa yang kamu berselisihan padanya”

Oleh itu, atas nama kesepakatan politik yang berpandukan hubungan antara parti di dalam Pakatan Rakyat yang mengutamakan asas-asas keagamaan hendaklah bersetuju dan bekerjasama di dalam setiap perkara yang memberi manfaat bersama untuk ummah di Malaysia hari ini. Sehubungan itu, saya yakin manusia akan selamat sepanjang hidup mereka di dunia dan sejahtera di akhirat kelak sekiranya mengikut kehendak Islam yang syumul.

Selamat berkonvensyen, semoga berjalanlah ia dengan keberkatan Allah SWT.

TUAN GURU NIK ABDUL AZIZ NIK MAT,

Al-Mursyidul Am PAS.

Kota Baharu, Kelantan.

12 Muharam 1432H/18 Disember 2010M.



Ancak: Nizar cabar 'fatwa' Harussani
Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 18 Dis: Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin (gambar) mencabar penjelasan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria hari ini, yang tetap mempertahan tindakan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dalam isu ancak sebagai tidak khurafat.

Nizar yang juga bekas Menteri Besar Pakatan Rakyat negeri itu berkata, penjelasan yang dibuat Harussani itu tidak lebih dari menjaga kepentingan pihak tertentu.

"Yang saya bangkitkan dalam sidang Dun baru-baru ini ialah saya menuntut penjelasan mufti sama ada upacara yang dilakukan Zambry itu syarie atau tidak.

"Tak kisah la letak ancak ke (kiri), renjis tepung tawar ke, yang penting syarie atau tidak," katanya kepada Harakahdaily semasa dihubungi, hari ini.

Biarpun dipertikai banyak pihak, Harussani seperti dilapor sebuah akhbar hari ini, bertegas bahawa tindakan Menteri Besar BN Perak itu, termasuk merenjis dan menepung tawar dalam upacara memasang ancak tiang seri baru-baru ini adalah amalan biasa dalam masyarakat Melayu dan tidak bercanggah dengan syarak.

Penjelasan terbaru itu dibuat Hasrussani selepas Nizar yang juga Adun Pasir Panjang membangkitkan semula perkara itu pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) baru-baru ini.

"Semasa saya bangkitkan dalam sidang Dun itu, Zambry cuba alih isu kata saya tuduh dia pasang ancak, sedangkan kata dia, dia hanya tepung tawar.

"Saya nak tahu syarie ke tidak, dan kenapa lebih dua bulan baru mufti nak bersuara, dan mengatakan tidak khurafat?" soalnya.

Pakatan Rakyat sebelum ini mendakwa amalan meletakkan ancak tersebut adalah khurafat, bercanggah dengan ajaran Islam dan boleh menjejaskan akidah si pelakunya.

Isu tersebut juga telah panjangkan oleh Dewan Pemuda PAS Perak kepada Sultan Perak, selaku ketua agama negeri.

Biarpun banyak pihak berpendirian sama, namun hanya Harussani setakat ini dilihat lantang mempertahan tindakan Zambry itu.

Nizar sebelum ini turut mempertikai tindakan Harussani yang dilihat cepat menghukumkan 'haram' kepadanya dan Adun Titi Serong, Drs. Khalil Idham Lim kerana berada di majlis nyalaan lilin sebagai memprotes ketidakadilan dalam kes kematian pembantu exco Selangor, Teoh Beng Hock.

Lebih malang kata Nizar, tindakan menghukum yang dibuat Harussani itu tanpa mendengar penjelasan dari mereka berdua dahulu.

Berbeza dalam kes Zambry, Harussani katanya dilihat seperti terdesak dalam mengeluarkan 'fatwa'nya sehingga memanggil dan mendengar penjelasan Menteri Besar Perak itu.

Namun menurutnya, hasilnya adalah seperti dijangkakan, iaitu perbuatan Zambry itu 'dihalalkan' oleh Harussani.

Tindakan Harussani itu, katanya lagi bukan sahaja boleh mengelirukan umat Islam di negara ini, malah turut mencalarkan kredibiliti ulamak termasuk mufti.

"Saya waktu isu nyala lilin itu, bukan menteri besar lagi pun.

"Tapi kes Zambry ini kesannya sangat besar sebab dia exco agama, menteri besar lagi, ada doktor falsafah yang didakwa dalam bidang agama dan juga ada penasihat agama.

"Lebih bahaya, perbuatan dia itu dibuat di dalam kawasan kampung yang sekaligus memberi gambaran amalan itu boleh terus diamalkan dan tidak khurafat," katanya.

Selain itu, Nizar juga mahu Harussani menyatakan pendirian berhubung isu Zambry membenarkan bomoh mengasapkan kemenyan di dalam dewan persidangan Dun yang pernah dibangkitkan oleh Khalil Idham.

Khalil Idham kini dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan ekoran membangkitkan perkara itu.



Umno guna masjid cari pengaruh
Ahmad Danial

BUKIT KATIL, 18 Dis: Umno jelas biadap dan tidak beretika apabila terus menggunakan masjid sebagai medan untuk mencari pengaruh.

Selasa lalu, Umno tanpa segan silu memasang bendera Umno dan BN di pagar Masjid Saidina Ali, Bukit Katil untuk menyambut kedatangan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang hadir untuk merasmikan masjid tersebut.

Setiausaha Dewan Muslimat PAS Negeri Melaka, Hajjah Kintan Man (gambar) berkata sikap Umno ini memang biadap dan tidak sepatutnya berlaku kerana Umno sering kali menuduh PAS mempolitik masjid tetapi pada hakikatnya merekalah yang berbuat demikian.

“PAS tidak pernah menggantung atau memasang bendera atau kain pemidang di pagar masjid, jauh sekali dari menjalankan program parti di masjid, namun apa yang berlaku Umnolah yang melakukan perkara tersebut.

“Apa hak Umno untuk berbuat demikian, kenapa Umno boleh gantung kalau betul mereka mahu masjid bebas dari politik, terbukti mereka mahu menggunakan institusi masjid untuk mencari pengaruh dan mengabui mata rakyat kononnya merekalah pembela Islam” ujar Kintan yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa Dewan Muslimat PAS Pusat.

Kintan berkata Umno sering menuduh PAS menggunakan masjid untuk mencari pengaruh tetapi tuduhan itu tidak pernah dibuktikan, namun begitu Umno sering kali menggunakan masjid untuk menganjurkan program-program parti mereka.

“Tindakan Umno ini umpama menepuk air di dulang terpercik ke muka sendiri,” ujarnya lagi.

Sehubungan itu, Dewan Muslimat PAS Melaka menggesa Umno Melaka menghentikan tindakan mereka menggunakan masjid untuk mencari pengaruh.

“Kita bimbang kesucian masjid tercemar dengan perangai dan program anjuran Umno yang kebanyakan bertentangan dengan Islam,” katanya.

Tambahnya, ramai di kalangan wanita Umno dan Puteri Umno tidak menutup aurat dengan sempurna, program mereka pula biasanya melibatkan percampuran lelaki dan wanita yang sudah tentu mencemarkan kesucian masjid.

“Jadi kita harap Umno menghentikan sikap buruk mereka ini serta merta, jangan ulangi lagi kerana ianya jelas mencemarkan Rumah Allah,” ujar Kintan.



BN bimbang 'skandal besar' negara?
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 18 Dis: Parti Islam SeMalaysia (PAS) merasa kesal dan sangat terkejut dengan tindakan penggantungan Ahli Parlimen dari Pakatan Rakyat dan berkemungkinan kerana pemimpin BN takut akibat terlibat dengan 'skandal besar' negara?

Tindakan sedemikian telah menunjukkan bahawa Barisan Nasional (BN) sedang berada pada tahap paranoid dan takut kalah serta sudah hilang pertimbangan waras dalam tindakannya.

Demikian kata kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bagi mengulas pergantungan empat pemimpin utama Pakatan dari PKR dan DAP semalam dari DEwan Rakyat.

Mereka yang digantung selama enam bulan adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim (Permatang Pauh), Karpal Singh (Bukit Gelugor), Azmin Ali (Gombak) dan R Sivarasa (Subang).

PAS, katanya, menganggap kebimbangan berlebihan Umno dan BN ini menyebabkan mereka akan melakukan apa sahaja tindakan terdesak walaupun melanggar norma perundangan dan batas-batas demokrasi di Malaysia.

PAS yakin, BN tidak akan berhenti dengan 'tragedi demokrasi' di
parlimen sahaja, bahkan akan bertindak lebih daripada itu. Ini terbukti dengan tragedi 'rampasan kuasa' di Perak tidak lama dahulu.

Kini mereka bertindakmerampas suara rakyat di Parlimen Malaysia pula, tambahnya.

Mungkinkah kerana mereka gusar dengan konsep keadilan menyeluruh yang hendak dilaksanakan oleh PAS bersama dengan Pakatan Rakyat sehingga wujud kebimbangan di kalangan pemimpin-pemimpin BN yang berkemungkinan terlibat dengan 'skandal besar' negara?, tambah Abdul Hadi yang juga anggota Parlimen Marang.

"Saya menyeru kepada UMNO supaya kembali ke pangkal jalan dan beriman dengan Al Quran yang menyatakan bahawa tidak ada kuasa yang kekal di atas dunia ini termasuklah kekuasaan kerajaan nabi-nabi dan juga orang zalim," katanya.

Nabi Sulaiman AS yang dikurniakan kekuasaan yang meluas meliputi kerajaan manusia, haiwan dan jin itupun sudah tidak ada sekarang ini. Begitu juga dengan kerajaan zalim Firaun.

Bahkan kuasa besar dunia juga tumbang. Apatah lagi kekuasaan UMNO-BN yang ada pada hari ini, tambah beliau.

"Oleh itu, saya menyeru pemimpin UMNO-BN supaya segera insaf dan bersedia untuk menyerahkan kuasa secara terhormat sebelum kekuasaan itu ditarik oleh Allah SWT dengan jalan yang tidak disangka-sangka," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan