Jumaat, 24 Disember 2010

JANGAN ABAIKAN ISLAM SERTA SURUHAN DAN JUGA HUKUMNYA..DEKATKAN DIRI DENGAN ALLAH...MENUNTUTLAH ILMU ISLAM DENGAN GURU MURSYID


APABILA PENGANTUNGAN TIDAK LAGI PADA ALLAH...LAMA TELAH MENINGGALKAN IBADAH ATAU MENGAMBIL ILMU YANG SESAT...MENDEKATKAN DIRI DENGAN ALLAH ADALAH UBAT YANG PALING MUJARAB UNTUK SAKIT JIWA ATAU TEKANAN PERASAAN....

Kenapa pilih bunuh diri?

MUNGKINKAH ia kebetulan, bermusim atau ketentuan? Kejadian membunuh diri dengan acara terjun bangunan sejak akhir-akhir ini mencetuskan persoalan apakah ia satu fenomena baru untuk menamatkan riwayat sendiri dengan cara mudah dan cepat.
Dalam tempoh dua bulan iaitu November dan Disember ini, sekurang-kurangnya lima kes terjun bangunan dilaporkan sekali gus menyebabkan kehilangan nyawa.

Dalam kes terbaru, 13 Disember lalu, seorang lelaki dipercayai mengalami tekanan jiwa maut selepas terjun dari tingkat 19 sebuah pangsapuri di Gat Lebuh Maccalum di Georgetown, Pulau Pinang.
Mangsa berusia lingkungan 50-an didakwa ke pangsapuri itu semata-mata untuk membunuh diri. Namun, tidak dapat dipastikan punca sebenar lelaki berkenaan mengambil keputusan sedemikian.

Pada hari sama juga dilaporkan seorang wanita terjun dari tingkat 19 sebuah kondominium mewah di Mount Kiara, Kuala Lumpur dipercayai akibat tidak tahan menanggung penderitaan iaitu penyakit hilang ingatan yang dihadapinya.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, wanita berkenaan dikatakan turut mempunyai masalah keluarga dan dia didakwa menghidap penyakit hilang ingatan selepas terbabit dalam kemalangan di Sungai Petani, Kedah, beberapa minggu lalu.

Pada 11 Disember lalu, seorang bekas mekanik maut selepas terjun dari rumahnya di sebuah pangsapuri di Jalan Perak, Georgetown, Pulau Pinang. Mangsa didakwa mengalami tekanan jiwa sejak dua tahun lalu dan perkara itu disahkan ahli keluarganya.

Pada 23 November 2010, seorang lelaki orang kelainan upaya (OKU) maut selepas dikatakan terjun dari tingkat 17 sebuah pangsapuri di Lebuh Maccalum, Pulau Pinang.

Mangsa yang menetap di Lebuh Nordin kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian ditemui berlumuran darah dalam keadaan terlentang oleh orang ramai sebelum memaklumkan kepada polis.

Pada 18 November 2010, seorang pelajar sebuah sekolah antarabangsa di Damansara, Selangor ditemui dalam longkang berhampiran Kondominium Vista Kiara, Mont Kiara dipercayai terjatuh dari tingkat 26 kondominium berkenaan.

Difahamkan, anak tunggal pasangan warga Jepun dan Fillipina itu dipercayai mempunyai masalah peribadi atau tekanan perasaan berdasarkan keterangan beberapa pihak.

Itu antara beberapa kes yang dilaporkan media dan mungkin ada kes seumpama itu berlaku, tetapi tidak diketahui atau menjadi tajuk berita.

Berdasarkan kes berkenaan, kebanyakan mangsa dilaporkan menghadapi tekanan jiwa sehingga mengambil keputusan nekad bertindak demikian. Kehilangan nyawa dengan cara seperti itu pastinya ditangisi ahli keluarga. Jika seorang lelaki yang sudah berkeluarga, isteri atau anak ditinggalkan begitu saja dan perkara sama berlaku kepada wanita yang sudah berkahwin.

Bagi mangsa yang belum berkahwin, kematiannya ditangisi ahli keluarga terutama ibu dan bapa yang pastinya bersedih kerana anaknya pergi dalam keadaan menyayat hati. Gejala membunuh diri dilihat menjadi pilihan terakhir seseorang untuk menamatkan kesedihan dan kekecewaan akibat sikap putus asa atau menghadapi masalah yang sukar diatasi. Dikaitkan gejala itu bukan saja berpunca daripada tekanan perasaan atau masalah sakit jiwa, tetapi faktor ekonomi dan persekitaran.

Ahli perniagaan, pelabur atau penghutang misalnya yang menderita akibat beban hutang yang tidak mampu dibayar tidak mustahil memilih jalan sedemikian untuk keluar daripada masalah dihadapi. Tekanan hidup sama ada daripada ahli keluarga, tempat kerja, rakan serta persekitaran juga boleh mendorong seseorang bertindak di luar batasan apabila gagal menanganinya dengan berkesan.

Gejala bunuh diri dijangka menjadi faktor kedua tertinggi menyumbang kepada jumlah bilangan kematian di negara ini selepas penyakit kardiovaskular dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang. Fenomena bunuh diri ini bukan saja berlaku di negara ini malah di negara maju seperti Eropah yang mencatat kadar bunuh diri yang tinggi.

Islam melarang umatnya membunuh diri malah sudah jelas Islam adalah penyelesaian semua masalah dalam kehidupan. Firman Allah dalam surah Al-Baqarah, ayat 2: “Janganlah kamu menjatuhkan diri kamu dalam kebinasaan.” Selain itu, dalam surah Al-Nisa, ayat 4, bermaksud: “Janganlah kamu membunuh diri kamu, sesungguhnya Allah Sangat Penyayang kepada kamu.” Rasulullah s.a.w dalam satu hadis bersabda: “Sesiapa yang membunuh dirinya dengan sesuatu di dunia ini, maka dia akan diazabkan dengannya pada hari kiamat nanti.” (Riwayat Muslim).

Sebagai umat Islam, kita perlu percaya kepada qada dan qadar. Setiap masalah ada jalan penyelesaian dan dengan kembali kepada Allah, jiwa manusia menjadi tenang.

Penceramah bebas, Hassan Mahmud al-Hafiz berkata membunuh diri adalah perbuatan terkutuk yang sangat dilarang Allah dan berdosa besar atau haram. Orang yang membunuh diri akan diazab pada hari akhirat nanti.

Menurutnya, nyawa serta fizikal adalah milik Allah dan Dialah yang menghidup atau mematikan seseorang, bukannya orang itu sendiri yang menentukan hidup dan matinya.

“Hukum bunuh diri adalah haram dan berdosa besar. Nyawa serta anggota fizikal bukan kita punya sebaliknya ia milik Allah. Kita datang daripada Allah dan kembali jua kepada-Nya,” katanya.

Beliau berkata, membunuh diri boleh disamakan seperti orang Islam yang murtad malah jenazah mangsa bunuh diri sepatutnya tidak boleh dikebumikan seperti orang Islam.

Katanya, sebagai orang Islam, seseorang itu perlu berpegang kepada agama dan ajarannya malah jika menghadapi sesuatu masalah, cara terbaik ialah kembali kepada Allah.

“Jika menghadapi sesuatu masalah, kita perlu berani menghadapinya serta sabar. Setiap masalah mesti ada jalan penyelesaian,” katanya.

Sebelum ini, laporan akhbar pada 2001 ada menyatakan, kira-kira 60 hingga 65 peratus kanak-kanak di negara ini terdedah kepada tekanan manakala 20 hingga 25 peratus orang dewasa mempunyai masalah mental.

Kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Universiti Harvard pada tahun sama pula mendapati lima daripada 10 kes penyakit serius berpunca daripada masalah mental. Hari ini, golongan muda terutamanya turut tidak terkecuali apabila terdedah kepada masalah berkaitan kesihatan mental atau disebut penyakit mental.

Antara penyakit mental yang sering dialami golongan muda adalah ‘eurosis’ (penyakit was-was), ‘anxiety disorder’ (penyakit gelisah dan panik), ‘eating disorder’ (penyakit membabitkan tabiat pemakanan) dan ‘adjustment disorder’ (personaliti yang tidak dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran).

Pakar psikiatri, Prof Dr Azhar Md Zain dipetik sebagai berkata, beberapa penyakit mental yang sebelum ini jarang dikaitkan dengan golongan muda semakin kerap berlaku kepada mereka. Malah, risiko menghidap penyakit sedemikian lebih tinggi jika mereka bersikap alpa terhadapnya.

“Peredaran zaman mengubah segala-galanya. Sebagai contoh, jika dulu masalah kemurungan lebih banyak dialami golongan tua, tetapi kini semakin ramai golongan muda mengalaminya.

“Berdasarkan kajian 15 hingga 20 tahun lalu, seseorang mengalami masalah kemurungan disebabkan tidak mendapat perhatian ibu dan bapa, terutama ibu. Kebanyakannya kehilangan ibu bapa disebabkan kematian. Namun hari ini puncanya masih sama. Walaupun kebanyakannya bukan disebabkan kematian, tetapi secara simbolik kebanyakan ibu bapa sibuk mencari rezeki sehingga anak-anak terabai,” katanya.

Dr Azhar berkata, keadaan itu menyebabkan anak-anak berasa seolah-olah kehilangan ibu bapa kerana jarang bersua.

Beliau berkata, golongan muda yang berdepan masalah kesihatan mental juga boleh terbabit dengan gejala negatif seperti penyalahgunaan dadah, minum arak dan menghidu gam sebagai cara melepaskan tekanan.

Menurutnya, kaedah penyelesaian utama adalah dengan pendidikan kesihatan melalui pelbagai saluran.

“Masalah penyakit jiwa di kalangan golongan muda perlu ditangani sebaik mungkin kerana mereka pewaris pemimpin negara. Banyak jalan penyelesaian, tetapi ia perlu dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan dirancang dengan teliti,” katanya.
Penulis wartawan Harian Metro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan