Selasa, 30 November 2010

SEMUA KERJA DIKIRA IBADAH KECUALI KERJA YANG HARAM DISISI ISLAM...DENGAN SYARAT KERJA IKUT PERATURAN ALLAH SERTA DIBUAT KERANA ALLAH..BERSIFAT ADIL

Pusat hakis hak negeri, dasar tidak pro rakyat
Harakahdaily

SHAH ALAM, 29 Nov: Menteri Besar dan Ketua Menteri negeri Pakatan Rakyat menyedari kebelakangan ini berlaku amalan Kerajaan Pusat yang semakin menghakis hak-hak negeri di sebalik pembuatan dasar-dasar yang tidak pro-rakyat.

Di samping itu, berlaku keterbatasan kuasa negeri di sebalik amalan federalisme yang mendiskriminasikan negeri dan mereka mengakui ada beberapa kekangan kuasa dalam berhadapan dengan kuasa Pusat.

Demikian antara kandungan resolusi Persidangan Menteri Besar dan Ketua Menteri Negeri Pakatan Rakyat yang bertemakan ‘Meneruskan Cita-cita Rakyat’ yang dibentangkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, malam ini.

Pada persidangan yang diadakan di sini sejak pagi tadi, selain Khalid, Menteri Besar Kelantan dan Kedah, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Datuk Seri Azizan Abdul Razak serta Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mengemukakan pandangan masing-masing.

Namun demikian, mereka percaya dengan memiliki kepemimpinan yang baik dari segi visi dan arah tuju dalam mentadbir negeri, maka mereka bersepakat untuk mewujudkan penyelarasan pelaksanaan dan perkongsian pengalaman serta pewujudan jawatankuasa bersama demi pembangunan negeri dan kemajuan rakyat.

Justeru, siri forum berkala melibatkan exco dan pegawai masing-masing negeri akan dilaksanakan bagi meningkatkan komitmen ke arah meneruskan cita-cita Pakatan Rakyat, demi memenuhi keperluan, keinginan dan harapan rakyat.

Berikut ialah resolusi penuh persidangan tersebut.

Kami, Menteri Besar dan Ketua Menteri Negeri Pakatan Rakyat yang menyertai Persidangan Menteri Besar/Ketua Menteri pada hari ini, 29 November 2010 di Shah Alam, Selangor, telah memberi perhatian dan mengambil persetujuan atas semua pembentangan yang meliputi aspek ekonomi, sosial, politik dan pentadbiran.

Hasrat

Setelah mengambil kira hasrat pihak kami yang membentang dan menerima hasil perbincangan peserta persidangan yang begitu mendalam, bernas dan konstruktif berasaskan perkongsian pengalaman semua peserta, dengan ini kami menegaskan:

Untuk terus memimpin kerajaan negeri dan bertekad bagi memenuhi keperluan, keinginan dan harapan rakyat;

Untuk mempraktikkan prinsip-prinsip pentadbiran yang terbuka, mengutama nilai-nilai berteraskan agama dan norma-norma yang disepakati bagi menzahirkan ketelusan, akauntabiliti dan tadbir urus cemerlang;

Untuk menentang dan membebaskan amalan rasuah dan salah urus dana awam serta memastikan pengurusan kewangan yang berhemat menurut prinsip integriti;

Untuk mengamalkan falsafah ekonomi yang adil dan saksama untuk semua lapisan rakyat, mengutamakan golongan miskin dan terpinggir ke arah mewujudkan masyarakat madani; dan

Untuk memastikan sumber kekayaan negeri diurus secara beramanah, lestari dan mengutamakan kesetabilan berterusan.

Janji

Kami, dengan ini berjanji di atas prinsip kesepakatan:

Membentuk sebuah pakatan ekonomi antara Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat;

Menyediakan persekitaran mesra pelaburan, tidak terlalu birokrasi dan tiada karenah pentadbiran (red-tape);

Melaksana apa-apa dasar pembangunan yang boleh disepakati bersama terutama dalam bidang sosial, ekonomi dan politik;

Meneruskan penambah-baikan pengurusan dan pentadbiran, sama ada secara rasmi atau tidak rasmi menerusi penglibatan pemimpin, pembuat dasar dan pegawai-pegawai antara Negeri Pakatan Rakyat; dan

Memastikan amalan persefahaman dan kelunakan hubungan antara politicians dan pentadbir ke arah memantapkan hubungan kepimpinan parti dengan kerajaan negeri.

Komited

Kami selanjutnya komited untuk “meneruskan cita-cita rakyat” berpandukan satu set dasar awam dan agenda bertindak:

Mengurangkan peningkatan kos hidup khususnya kepada golongan masyarakat berpendapatan rendah;

Mengiktiraf hak rakyat menerima maklumat, dengan cara menggubal Enakmen Kebebasan Maklumat;

Mengiktiraf kepentingan untuk menangkis serangan media BN, dengan menubuh satu badan yang dilengkapi infrastruktur media yang boleh berkongsi berita antara Negeri Pakatan Rakyat;

Mengiktiraf hak rakyat untuk pemilikan tanah, dengan mempercepat proses pemberian hak milik tanah kepada yang layak;

Mengiktiraf hak rakyat menikmati prasarana sempurna demi keselesaan hidup, dengan cara meningkatkan kecekapan perkhidmatan Pihak Berkuasa Tempatan dan mana-mana agensi di bawah Kerajaan Negeri;

Memberi keutamaan kepada projek perumahan rakyat dengan peruntukan kewangan yang munasabah, menerusi penubuhan task-force perumahan di peringkat Negeri dan Daerah;

Menjamin ‘security’ makanan negeri, dengan cara amalan sistem pengagihan bantuan dan pengeluaran standard membantu nelayan, petani, dan penternak.

Memastikan pelaburan berlaku dalam projek-projek ekonomi, dengan cara Negeri Selangor menyediakan dana pemula (seed money) sebanyak RM10 juta dalam “dana kelab” (club deal) bagi membantu Negeri-negeri Pakatan Rakyat yang lain;

Mengiktiraf hak rakyat menggunakan kebebasan memilih, dengan mengusahakan pilihan raya kerajaan tempatan menjadi kenyataan;

Mencipta persekitaran yang berterusan dan didiami melalui persekitaran selamat, bersih, dan hijau.

Kami menyedari kebelakangan ini berlaku amalan Kerajaan Pusat yang semakin menghakis hak-hak negeri di sebalik pembuatan dasar-dasar yang tidak pro-rakyat; berlaku keterbatasan kuasa negeri di sebalik amalan federalisme yang mendiskriminasikan negeri; dan kami mengakui ada beberapa kekangan kuasa dalam berhadapan dengan kuasa Pusat.

Namun demikian, kami percaya dengan memiliki kepemimpinan yang baik dari segi visi dan arah tuju dalam mentadbir negeri, maka kami bersepakat untuk mewujudkan penyelarasan pelaksanaan dan perkongsian pengalaman serta pewujudan jawatankuasa bersama demi pembangunan negeri dan kemajuan rakyat.

Justeru siri forum berkala melibatkan exco dan pegawai masing-masing negeri akan dilaksanakan bagi meningkatkan komitmen ke arah meneruskan cita-cita Pakatan Rakyat, demi memenuhi keperluan, keinginan dan harapan rakyat.

Adalah kami Menteri Besar/Ketua Menteri Negeri Pakatan Rakyat menerima resolusi ini untuk dilaksanakan



Dasar pertanian negara cacamarba
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 29 Nov: Tindakan kerajaan mengadakan kerjasama strategik untuk mewujudkan tapak pengeluaran makanan di luar negara membuktikan dasar pertanian negara yang cacamarba dan tidak mempunyai perancangan strategik.

Demikian kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengani perkara itu.

Menurut Najib, ia sebagai satu usaha untuk membendung kemungkinan berlakunya krisis makanan yang berpunca daripada kenaikan harga yang melampau dan kekurangan bekalan

“PAS konsisten daripada dahulu sampai sekarang meminta kerajaan menjadikan negara ini jangan mengenepikan sektor pertanian,” kata Idris dalam satu kenyataan.

Justeru, katanya PAS mengingatkan kepada kerajaan bahawa sektor pertanian bukan sahaja untuk mengurangkan kadar import yang menyebabkan wang negara mengalir keluar.

Lebih daripada itu, tambahnya sektor pertanian mesti dianggap sebagai sektor keselamatan dalam pemakanan.

“Sekiranya berlaku sesuatu di dalam negara insya Allah rakyat selamat kerana bekalan makan mencukupi. Tetapi dalam keadaan sekarang siapa boleh memberi jaminan jika berlaku sesuatu,” ujarnya.

Menurutnya, cadangan Perdana Menteri untuk menanam makanan di luar negara seolah-olah negara ini gurun Sahara yang hanya boleh tumbuh pokok kaktus sahaja sedangkan bumi Malaysia adalah bumi yang subur dan tidak perlu merempat ke negeri lain untuk mengemis tanah.

Katanya, satu ketika dahulu di Kedah di bawah pimpinan Tan Sri Sanusi Junid menanam padi atas bumbung, seolah-olah negeri Kedah berada di atas planet.

Beliau menambah, keresahan Najib akan berlaku krisis makanan di negara ini menunjukkan pemimpin negara celaru dan bertindak tanpa merujuk kepada pakar ekonomi ketika melaksanakan dasar pertanian negara.

Rakyat Malaysia, ujarnya tentu masih ingat kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir bahawa negara lebih ekonomik mengimport makanan daripada menanam sendiri.

Analogi yang beliau buat, seekar tanah pertanian hanya boleh memberi pekerjaan kepada lima orang, tetapi jika mendirikan kilang, akan memberi peluang pekerjaan kepada 500 orang.

Menurut Kementerian Pertanian nilai import makanan dalam lima tahun telah meningkat daripada tahun 2005 sebanyak RM17.7 bilion kepada RM26.7 bilion iaitu peningkatan purata tahunan 10.2%.

“Berapa banyak wang negara mengalir keluar negara.

“Alangkah baiknya jika kita mempunyai pemimpin yang mempunyai wawasan yang jauh seperti pemimpin PAS, wang negara pun selamat dan keselamatan negara juga akan selamat,” kata Idris lagi



Khalid dakwa Shaziman gagal selia projek sakit
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 29 Nov: Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad mendakwa Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor gagal melaksanakan tugas dalam mengawal selia projek sakit.

Khalid berkata, kegagalan itu dapat dilihat dalam tiga aspek iaitu tender runding terus yang masih diamalkan, mekanisme menyelamatkan projek sakit serta kualiti sesuatu projek itu.

"Yang pertama budaya rundingan terus yang menyebabkan kontrak diberi kepada orang yang kemungkinan tidak ada kelayakan dan dengan harga yang tinggi.

"Sudah banyak kali isu ini dibangkitkan, tetapi sehingga kini tiada penyelesaian. Saya difahamkan, kontraktor yang dilantik telah dihentikan kerana gagal siap, serta ditender semula projek ini dan tentunya akan meningkatkan lagi kos projek tersebut," kata beliau dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Kata beliau, projek Hospital Shah Alam yang sepatutnya disiapkan November 2010 kini masih terbengkalai hampir satu tahun ekoran kegagalan kontraktor yang dilantik untuk menyiapkan projek tersebut

"Budaya memberi projek kepada OKU (orang kuat Umno), tanpa runding terbuka terus dipertahankan. Seperti yang kita ketahui, cara ini hanya menyebabkan kos semakin tinggi tetapi kualiti rendah seperti yang berlaku pada projek Istana Negara, Hospital Shah Alam dan Institut Kanser Negara," katanya.

Katanya, mekanisme yang diambil kerajaan hanya menamatkan khidmat kontraktor, selain menawarkan tender baru yang boleh meningkatkan kos projek.

Malah, tambah Khalid menteri turut berbangga dengan mekanisme yang diambil hingga melupakan matlamat untuk menyiapkan projek seperti yang dijadualkan.

Dalam pada itu, Khalid mendakwa menteri turut membuktikan dirinya gagal apabila isu kualiti sesebuah projek itu tidak dapat diselia dan dipantau sebaik-baiknya.

"Isu kualiti merupakan satu lagi kegagalan menteri. Isu kualiti ini bukan soal 'design' tidak betul, tetapi apabila dibina tidak mengikut 'design'. Inilah kelemahan yang perlu dibaiki menteri," tegas beliau.

Sebelum itu, Timbalan Speaker, Datuk Ronald Kiandee menolak usul Khalid agar gaji menteri dipotong RM10 atas kegagalan yang didakwanya itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan