Sabtu, 30 Oktober 2010

POLITIK ISLAM BERTUNJANG TAUHID....BUKAN EMOSI DAN TIPU DAYA ...JIKA DE DUA...TENTU ADA SATU BENAR ...DAN SATU TAK BENAR...TAK BOLEH DUA2 BENAR....

Umno peralat agama, orang agama untuk politik
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 30 Okt: Umno bukan sahaja mahir memperalat agama, malah orang agama juga dipergunakan untuk kepentingan politik mereka, kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad.

Katanya, dakwaan berhubung perkara itu bukan fitnah, tapi realiti yang sudah diketahui umum.

Beliau merujuk kepada cara kempen Umno di Galas yang memainkan isu agama.

"Ustaz-ustaz Umno disuruh berkempen untuk menghalalkan apa yang Umno buat.

"Merekalah orang yang mencari dalil untuk menghalalkan arak, judi dan program maksiat yang ditaja oleh kerajaan umno BN," katanya.

Namun apa yang menghairankan katanya, ketika isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor menjadi penaung kepada Festival Fesyen Islam di Monte Carlo, Monarco pada 9 Ogos 2010, orang agama di dalam Umno membisu, seolah-olah mulut penuh dengan sagon, tidak berani tegur.

"Mana suara ustaz umno apabila kerajaan BN di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Razak yang mahu menjadikan Malaysia sebuah hub pusat hiburan malam bagi memacu industri pelancongan mengikut Program Transformasi Ekonomi (ETP)?," soalnya.

Katanya, banyak lagi bukti orang agama di dalam Umno hanya menjadi tukang baca doa dan marhaban sahaja tidak lebih daripada itu.

Orang agama di dalam umno ujarnya hanyalah membesarkan tembolok sahaja.

Mereka hanya mencari hujah untuk melawan dengan PAS.

Ianya termasuk isu orang bukan Islam masuk masjid yang dibenarkan melalui keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan.

"Hujah berkenaan dengan sumber judi telah makan diri sendiri.

"Rakyat mula berkata, umno haram duit judi, tetapi halalkan lesen judi," katanya.

Beliau turut mempersoal ke mana pergi orang-orang agama di dalam umno yang berkelulusan tinggi, seperti Dr Hamid Osman, Dr Abdullah Mohd Zin, Dr Yusuf Nor, Ustaz Zainal Abidin Abd Kadir, Datuk Dasuki Haji Ahmad, Ustaz Fadhil Hanafi, Dr Amran Kasimin.

"Kenapakah isteri Presiden Umno tidak bertudung mereka membisu," katanya.


Pergi baju merah, pulang baju hijau
Hafiz Irwan

GUA MUSANG, 30 Okt: Ketua Pemuda PAS Kelantan, Abdul Latiff Abdul Rahman mengingatkan 200 penyokong bola sepak Kelantan dari Dun Galas yang akan ke Bukit Jalil supaya menjaga disiplin sebagai seorang penyokong yang berhemah.

Katanya, para penyokong seharusnya menjaga kewajipan sebagai seorang Islam sebagaimana tuntutan agama.

"Islam tidak menghalang umatnya menyertai apa-apa aktiviti termasuklah bermain atau menonton apa jua bentuk permainan sukan termasuk bola sepak asalkan ia tidak bercanggah dengan norma-norma agama.

"Sebab itu kerajaan PAS sentiasa menyokong aktiviti yang boleh mendatangkan manfaat kepada semua ummah. Cuma satu perkara yang perlu kita jaga ialah, elakkan diri daripada keghairahan yang melampau sehingga menyebabkan kita lalai terhadap kewajipan kita sebagai umat Islam," katanya.

Beliau berkata demikian ketika melakukan pelepasan konvoi lima buah bas membawa 200 penyokong bola sepak Kelantan ke Stadium Nasional Bukit Jalil pagi tadi, untuk menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia antara Kelantan dan Negeri Sembilan.

Hadir sama calon PAS, Dr Zulkefli Mohamed serta barisan kepimpinan Pemuda PAS negeri.

Abdul Latiff mengharapkan Kelantan dapat mencipta sejarah menerusi aksi perlawanan akhir yang akan berlangsung malam ini untuk menjulang juara piala Malaysia yang sememangnya menjadi idaman rakyat Kelantan selama ini.

"Insya Allah kita akan bertemu dengan dua kemenangan selepas ini. Satu, menang Piala Malaysia. Kedua menang Pilihan Raya Kecil di Galas.

"Jadi, hari kita pergi dengan memakai baju merah sebagai tanda sokongan kepada skuad bola sepak kita, insya Allah pulang nanti dengan memakai baju hijau," katanya sambil disambut laungan takbir.

Beliau turut mengingatkan para penyokong yang mengikuti rombongan tersebut agar selain pergi dengan semangat kesukanan tetapi tidak lupa untuk menjaga sembahyang sebagai ibadat fardhu.

Abdul Latiff berkata, Pemuda akan menempatkan seorang wakilnya sebagai ketua pada setiap buah bas yang membawa rombongan bagi menjaga segala keperluan yang berkaitan.

"Wakil Pemuda ini akan menyusun segala perisian yang perlu kepada penyokong seperti menjaga waktu sembahyang dan tazkirah semasa dalam perjalanan," jelasnya.

Sementara itu, dalam ucapan ringkas Dr Zulkefli berpesan kepada para penyokong supaya menjaga akhlak diri ketika menyaksikan perlawanan akhir yang dilihat agak sengit ini.

"Jaga disiplin. Jaga nama baik negeri kita, negeri Kelantan. Saya doakan selamat pergi dan selamat kembali untuk meneruskan perjuangan bagi memastikan pilihan raya kecil Galas menjadi milik kita," ujarnya



Bekas calon BN maki hamun Tok Guru
Wartawan Kita

GUA MUSANG, 30 Okt: Bekas calon BN Pengkalan Chepa, Nor Idris memaki hamun Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika menziarahi rumah bekas Adun Galas, Haji Omar Mohamad, petang ini.

Kejadian yang mengejutkan itu berlaku ketika Tuan Guru Nik Abdul Aziz menziarah bekas wakil rakyat Dun Galas dari Semangat 46 di Kampung RPT Sungai Terah selepas merasmikan mesyuarat agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru-Guru (PIBG) Maahad Muhammadi Gua Musang.

Rombongan Menteri Besar yang turut disertai anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Mohd Amar Abdullah, calon PAS, Dr Zulkefli Mohamed dan pegawai-pegawai kanan Yayasan Islam Kelantan (Yik).

Sebaik sahaja Tuan Guru Nik Abdul Aziz tiba, Haji Omar yang berada di dalam rumah keluar menyambut mesra kehadiran Menteri Besar dan rombongannya.

Kemudian tuan rumah mempersilakan Tuan Guru Nik Abdul Aziz masuk dan diikuti anggota rombongan. Bagaimanapun ketika tiba di ruang tamu Nor yang juga bekas pensyarah Akademi Islam Universiti Malaya enggan bersalam dengan Menteri Besar.

Sebaliknya beliau terus menengking dengan mempersoalkan mengapa PAS berkawan dengan DAP.

“Ana tidak mahu bersalam dengan anta selagi PAS berkawan dengan DAP,” kata Nor dengan suara nyaring.

Dengan suara yang keras dengan dilaungkan sekuat hati beliau mengajak Mursyidul Am PAS berdebat.

Ekoran itu Mohd Amar cuba menenangkan keadaan dan meminta Ustaz Nor bertenang, namun pada awalnya beliau enggan dan terus menegangkan urat lehernya.

Beliau yang memakai baju kameja biru tertera gambar 1Malaysia enggan mendengar nasihat anggota Exco terbabit sehingga menyebabkan anggota rombongan lain cuba menangkan keadaan.

“Sebagai tetamu kita hendaklah menghormat tuan rumah. Kita sama-sama tetamu. Saya datang bukan hendak berbahas dengan sesiapa cuma hendak menziarahi tuan rumah,” kata Menteri Besar.

Ustaz Nor terus menengking dengan mengatakan semuanya hendak berpolitik.

Ketika tuan rumah mengangkat air, Menteri Besar meminta Ustaz Nor minum air dahulu bagi menyejukkan emosinya.

Haji Omar hanya memerhati telatah Ustaz Nor yang dianggap boleh mencemarkan imejnya sebagai tuan rumah kerana menengking Menteri Besar yang datang ke rumahnya.

Beliau merupakan bekas Adun Semangat 46 Dun Galas dua penggal pada 1990 dan 1995. Bagaimanapun kerusi itu dirampas semula BN pada pilihan raya 1999 dan 2004 melalui Mohd Saufi Deraman.

Ustaz Nor pernah bertanding di kerusi parlimen Pengkalan Chepa menentang Mohd Amar.

Mohd Amar yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan ketika ditemui kemudian melahirkan rasa kesal di atas sikap pemimpin Umno terbabit yang langsung tidak menghormati tetamu yang berkunjung.

“Beliau bukannya tuan rumah untuk menengking tetamu yang datang. Tuan rumah tidak ada masalah cuma Ustaz Nor yang tidak ada kaitan dengan tuan rumah tiba-tiba tidak dapat menahan emosi,” katanya.

Seorang pegawai Yik menyifatkan orang yang waras tidak mungkin menengking orang lain tak tentu pasal.

Insiden yang berlaku itu menambah lagi koleksi ketempangan kempen Umno. Ia secara langsung mencemarkan moral Umno yang masih terkial-kial mencari arah



PAS-DAP: Kempen Umno makin terdesak di Galas
Nazri Abdullah

GUA MUSANG, 30 Okt: Siri kempen Pilihan Raya Kecil Galas memperlihatkan Umno terus terdesak apabila cuba menyamakan bentuk kerjasama Umno-MCA dengan PAS-DAP.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, bentuk kedua-dua kerjasama tersebut adalah sangat jauh berbeza di mana Umno perlu wala' (patuh) kepada MCA biarpun terpaksa menggadai perinsip Islam.

Manakala dalam hubungan PAS-DAP, kedua-duanya hanya bertahaluf (berkerjasama) atas perkara yang sependapat, tanpa menyentuh atau menggadai perinsip Islam.

"Ada dua kerjasama- kerjasama tahaluf, iaitu satu kesefahaman di dalam menentang kezaliman dengan tidak menggadaikan prinsip Islam yang telah ditetapkan oleh Allah.

"Kerjasama kedua ialah kerjasama wala' yang memberi kelonggaran kepada Islam dengan menggadaikan ketetapan Islam sehingga sanggup menentang Islam," katanya.

Beliau menjawab dakwaan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika berkempen di kawasan masyarakat Orang Asli Galas bahawa, PAS hanya membuat fatwa ‘ikut suka’ demi kepentingan diri.

Timbalan Perdana Menteri itu merujuk kepada kenyataan Abdul Hadi pada satu ceramah di sini yang menjelaskan kerjasama PAS-DAP adalah tidak salah dan berbeza dengan kerjasama Umno-MCA.

Semalam, memberi respons isu sama, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz melahirkan rasa hairan di atas sikap ‘buat-buat tak faham’ Umno melihat perbezaan tersebut.

"Kadang-kadang terfikir juga pasal apa tak faham sangat Umno ini pada hal telah berkali-kali kita beri penjelasan.

"Kerjasama PAS dengan DAP dalam Pakatan tidak pernah menjejaskan prinsip PAS sebagai sebuah gerakan Islam.

"PAS masih dengan agenda Islamnya bahkan kami di Kelantan setiap tahun meraikan Hari Hudud," katanya.

Mengulas lanjut, Nik Aziz berkata kerjasama dengan DAP yang dikatakan sebagai chauvinis Cina tidak pernah menjejaskan prinsip PAS sebagai sebuah gerakan Islam.

Beliau menyifatkan Umno masih berfikir dengan kerangka perjuangan Melayu yang sempit sehingga tidak tahu menilai kesyumulan Islam secara keseluruhan.

"Melayu pun tidak terbela, Islam pun tidak terjaga. Umpama Lebai Malang, ke hilir pun berlapar, ke hulu pun tidak kenyang. Kononnya, bila Melayu dan Islam ialah perkara yang sama.

"Apa yang mereka tahu, hanya mengkritik orang saja," jelasnya

Tiada ulasan:

Catat Ulasan