Selasa, 28 September 2010

RAKYAT DI MALYSIA SUDAH CELEK...IA TAHU SIAPA KAKI TEMBERANG DAN MEMENTINGKAN DIRI

Habib buka hotel yakin ekonomi Kelantan
Rizal Tahir

KOTA BHARU, 28 Sept: Habib Jewels memilih Kelantan sebagai negeri pertama untuk pelaburannya dalam bidang perhotelan kerana yakin dengan perkembangan ekonomi yang pesat di negeri ini.

Pengurus Besar Habib Jewels Holding, Abdul Razak Abdul Kader, berkata setelah setahun pihaknya membuat kajian berhubung perkara itu, akhirnya bulan Ogos lalu, hotel yang bercirikan ‘butik’ itu beroperasi di Kelantan.

Bagaimanapun, menurutnya, ianya akan dibuka secara rasmi pada 14 Oktober ini di mana satu majlis perasmian akan diadakan.

Menurutnya lagi, berdasarkan maklumat yang diperolehi peluang ekonomi di Kelantan akan bertambah maju pada masa akan datang.

“Kerana itu kami sebagai orang bisnes sanggup melabur di negeri ini dalam eset yang lain pula,” ujarnya.

Tambahnya, pada masa yang sama ianya juga bakal memberi peluang pekerjaan pada masyarakat Kelantan apabila sebahagian besar pekerja di hotel tersebut termasuk ‘show room’ Habib Jewels dan kilang terdiri dari masyarakat Kelantan.

Sambung Razak lagi, sambutan orang ramai terhadap hotelnya hampir memenuhi sasaran sebagaimana yang dijangkakan walaupun baru sebulan dibuka.

Ini kerana, katanya lebih 50 peratus pengunjung telah mendiami hotel tersebut yang terdiri dari ahli perniagaan, kakitangan kerajaan Persekutuan dan pelancong tempatan.

Hotel Habib menawarkan dua pilihan kepada pelanggannya iaitu superior dengan harga RM130 dan deluxe RM150 dengan jumlah keseluruhan sebanyak 32 bilik.

Kedudukannya yang begitu strategik di tengah bandar Kota Bharu dijangka akan mendapat sambutan yang lebih hebat pada masa akan datang.


PAS anggap pertahan Galas suatu cabaran
Dzulfikar Mashoor

KUALA LUMPUR, 28 Sept: Usaha mempertahan kerusi Dun Galas yang dikosongkan ekoran kematian Chek Hashim Sulaima semalam dianggap sebagai suatu cabaran besar oleh PAS, kata naib presidennya, Salahuddin Ayub.

Salahuddin berkata demikian berdasarkan pemerhatian geo-politik, iaitu BN mempunyai kekuatan di peringkat Parlimen Gua Musang dan dua Dun dalam parlimen itu.

Parlimen Gua Musang diwakili oleh Tengku Razaleigh Hamzah dari Umno, manakala Dun Paloh dan Nenggiri masing-masing diwakili oleh Datuk Norzula Mat Diah dan Mat Yusoff Abdul Ghani juga dari Umno.

"Saya rasa itu suatu cabaran besar untuk PAS mempertahankan kerusi (Dun Galas)," ujarnya tengah hari tadi di Pejabat Agung PAS (gambar).

Disebabkan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian secara peribadi tidak memandang rendah pada kemampuan Umno/BN.

"Saya tidak memandang rendah dan meremehkan kekuatan di pihak lawan," ujarnya.

Sebaliknya, beliau berkata, PAS mungkin menurunkan sebahagian jentera yang sebelum ini dipersiapkan sempena menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) pada pilihan raya kecil tersebut.

"Parti telah membuat persiapan awal, bukan sekadar buat persiapan untuk Galas (kerana) parti sedang siapkan untku hadapi pilihan raya umum.

"3 hari bulan (Oktober) ini akan diadakan mesyuarat PAS Pusat, saya yakin persiapan di Galas antara agenda penting yang akan diperbincangkan," ujarnya.

Sementara itu, seorang lagi naib presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar kanan) berkata, PAS bersama Pakatan Rakyat akan bekerja keras bagi memastikan kemenangan yang ada dikekalkan.

"Saya yakin seluruh jentera parti akan turun ke Galas bagi menjayakan hasrat ini," katanya kepada Harakahdaily.

Dalam kenyataan itu, beliau juga mengigatkan mahkamah untuk menyegerakan pilihan raya kecil Kota Seputih, Kedah yang telah sekian lama dibiarkan kosong tanpa wakil rakyat.

"Tidak sepatutnya perkara ini terjadi. Rakyat kawasan Kota Seputeh dibiar tanpa mempunyai wakil yang sah," katanya.

Agak malang, katanya, bila mahkamah rayuan langsung tidak memulakan proses penghakiman, dalam tempoh yang panjang dan akhirnya rakyat pun telah melupai kes yang begini penting.

"Kita tidak mahu ia menjadi satu perkara biasa membiarkan rakyat dalam sesuatu kawasan Parlimen atau Dun tanpa mempunyai wakilnya," tambah beliau



Bajet 2011: Pemuda PAS mahu pendidikan diutamakan
Hazayani Zakaria

PUTRAJAYA, 28 Sept: Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) hari ini menyerahkan memorandum mengandungi 10 harapan anak muda terhadap Bajet 2011 kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Memorandum berkenaan diserahkan oleh Ketua DPPP, Nasrudin Hassan dan diterima oleh Setiausaha Sulit Kanan Menteri Kewangan, Datuk Mohd Fauzi.

Memorandum berkenaan antaranya menggesa kerajaan agar mengekalkan peruntukan terhadap sektor pendidikan dan pembinaan modal insan sebagai antara penerima peruntukan yang terbesar dalam bajet yang akan dibentangkan di Parlimen, Oktober ini.

"Peruntukan tersebut tidak harus dibelanjakan bagi pembinaan infrastruktur dan materialistik semata-mata, sebaliknya diseimbangkan dengan perbelanjaan terhadap aktiviti-aktiviti latihan, pemikiran, kepimpinan dan jatidiri yang sebenar," kata Nasrudin kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum itu.

Berikut adalah kandungan penuh memorandum tersebut.

Introduksi

Allah SWT berfirman (bermaksud), Dan carilah apa yang telah dianugerahkan oleh Allah SWT kepada kamu di negeri akhirat, dan janganlah kamu lupa habuan kamu dari dunia, dan hendaklah kamu berbuat baik sebagaimana Allah berbuat baik kepada kamu, dan janganlah kamu membuat kerosakan di bumi, sesungguhnya Allah tidak suka kepada mereka yang membuat kerosakan(Surah Al-Qasas : 77)

YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak,

Bersempena pembentangan bajet tahunan yang dijadual akan dibentangkan pada 15 Oktober 2010 ini, Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) ingin menyenaraikan 10 Harapan Anak Muda Terhadap Bajet 2011 yang berteraskan kepada ekonomi bersepadu yang berpaksikan kepada penerapan nilai akhlak dan pembangunan kemajuan Malaysia selari dengan usianya yang telah melangkaui separuh abad ini.

Secara prinsipnya, Islam telah menggariskan ciri-ciri ekonomi yang mampu menjamin kepentingan hidup manusia disamping menuju kepada kegemilangan hidup yang sebenar. DPPP optimis bahawa ciri-ciri berikut mesti diaplikasikan dalam perangkaan perancangan ekonomi, skop pengurusan dan pengagihan kekayaan negara, penggunaan dan pembangunan kebendaan. Ciri-cirinya adalah ketuhanan, kemanusiaan, akhlak dan keseimbangan atau kesederhanaan.

YAB Dato’ Seri,

Sepanjang dipertanggungjawabkan untuk menerajui pentadbiran negara Malaysia sejak April 2009, rakyat sebagai amanah dan pembayar cukai serta majikan dalam konsep demokrasi hari ini telah mula menilai pentadbiran kabinet Malaysia bersandarkan kepada beberapa fakta yang dikemukakan oleh agensi kerajaan, penganalisis, parti politik, pertubuhan bukan kerajaan dan pihak-pihak yang lain.

Antaranya, pertama mengenai integriti pentadbiran yang rapuh. Pada awal Januari 2010, Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mendakwa bahawa gejala rasuah dalam sektor pembinaan terutamanya projek-projek besar, mewah dan bernilai tinggi di negara ini telah berada dalam situasi yang serius. Kegagalan projek-projek kerajaan termasuk kelewatan, terbengkalai dan kemerosotan kualiti adalah asas indikator yang membuktikan berlakunya amalan rasuah sehingga ia menjejaskan kepentingan umum dan memburukkan imej negara.

Selain itu, Dewan Negara juga telah dimaklumkan pada bulan Julai yang lalu bahawa terdapat seramai 190 penjawat awam yang ditangkap kerana rasuah atau 38 peratus daripada jumlah keseluruhan yang dilakukan oleh SPRM pada tahun 2009.

Malah yang terbaru, kenyataan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang mendakwa terdapat campur tangan politik dalam struktur pentadbiran dan arahan pihak polis sehingga merencatkan operasi mereka. Ini dikhuatiri akan berlakunya pendakwaan kes-kes terpilih untuk melindungi pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab dan tidak bermoral.

Kedua, perbelanjaan dan penggunaan kerajaan yang tidak pruden sepertimana yang dilaporkan oleh Laporan Ketua Audit Negara 2008 dan media-media perdana membuktikan bahawa kerajaan tidak menitikberatkan mengenai konsep integriti, penjimatan dan berhemah. Contohnya, Projek Landasan Berkembar Elektrik Antara Rawang dan Ipoh yang telah mengalami kerugian sebanyak RM 1.14 bilion, pembelian pokok dan tanaman seni oleh Kementerian Pelajaran untuk Sekolah Kebangsaan Bukit Jawa 2, Pasir Putih, Kelantan menerusi pembelian terus daripada pembekal tempatan yang bernilai RM 4,550 bagi 13 pokok kemboja dan RM 9,000 bagi 12 pokok pinang merah. Sedangkan, ia boleh dibeli dengan harga yang jauh lebih murah dalam pasaran sedia ada. Begitu juga pembelian sebuah komputer riba oleh Kolej Kemahiran Tinggi Mara, Balik Pulau, Pulau Pinang berharga RM 42,320 bagi seunit.

Ketiga, kenaikan harga barang-barang keperluan yang terus menghimpit rakyat. Ia dikenal pasti telah bermula pada awal tahun 2010 apabila kerajaan mengumumkan kenaikan harga gula sebanyak RM 0.20 daripada RM 1.45 sen sekilo kepada RM 1.65 sen di Semenanjung Malaysia. Kemudian, ia disusuli dengan kenaikan sekali lagi pada bulan Julai yang lalu sebanyak RM 0.25 sen sekilo. Harga petrol juga turut dinaikkan bersama sebanyak RM 0.05 sen seliter dan begitu juga minyak LPG turut sama dinaikkan pada kadar RM 0.10 sen sekilo.

Keempat, kebejatan gejala sosial yang terlalu membimbangkan. Mengikut Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)), Datuk Alwi Ibrahim, seramai 17,303 anak luar nikah Melayu atau tidak sah taraf didaftarkan di seluruh negara sepanjang tahun lalu. Bilangan itu meningkat 762 kes berbanding tahun sebelumnya. Pada 2008 pula, seramai 16,541 anak luar nikah didaftarkan di JPN manakala pada 2007 seramai 16,100 orang.

Selain itu, berdasarkan kepada laporan rasmi, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) pula telah melaporkan terdapat lebih 257,000 sijil kelahiran didaftarkan tanpa catatan nama bapa, sejak tahun 2000 hingga pada bulan Julai 2008.

Pemasalahan ini tertakluk kepada beberapa institusi sosial yang jelas semakin runtuh untuk menangani kerencaman kehidupan rakyat pada hari ini. Pihak polis, institusi keluarga, sekolah, institusi agama seolah-olah gagal membentuk keperibadian masyarakat pada hari ini. Tidak dapat dinafikan, antara faktor utama berlakunya perkara ini adalah berpunca daripada kemelaratan hidup, kesempitan kewangan dan kekosongan jiwa.

10 Harapan Anak Muda Terhadap Bajet 2011

1. Mendesak kerajaan supaya urus tadbir yang dilakukan mesti berpandukan kepada amalan terbaik, ketelusan dan akauntabiliti yang tinggi supaya seluruh urusan negara dapat dijalankan dengan penuh tanggungjawab, adil dan berkebajikan.

Perkara ini dapat dicapai menerusi penghayatan terhadap Islam yang baik, mendaulatkan undang-undang negara, penerapan akhlak mulia disamping pemulihan terhadap polisi yang lain seperti memperkasakan amalan pemisahan kuasa, pindaan atau pemansuhan terhadap akta-akta zalim seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri, Akta Rahsia Rasmi, Akta Universiti dan Kolej Universiti, Akta Percetakan dan Penerbitan serta Akta Polis.

Pemimpin-pemimpin kabinet negara yang dilantik menerusi sistem pilihanraya di Malaysia ataupun melalui pelantikan daripada Dewan Negara mestilah bebas dan bersih daripada sebarang krisis moral, dakwaan korupsi dan sebarang unsur negatif yang boleh menjejaskan penghormatan dan imej negara di mata rakyat dan peringkat antarabangsa.

2. Meletakkan prioriti pembangunan dan pelaburan atas neraca yang adil selaras dengan keperluan rakyat supaya perbelanjaan negara tepat kepada golongan sasaran, mengelakkan pembaziran, tidak menindas rakyat serta memberikan kesan gandaan yang positif.

Ini bagi memastikan bahawa kek ekonomi negara dapat diseimbangkan antara kos perbelanjaan pembangunan dan kos perbelanjaan pengurusan. Penelitian semula atau penjimatan terhadap kos perbelanjaan pengurusan mampu meningkatkan perbelanjaan dalam pembangunan supaya ia mampu melonjakkan rangsangan ekonomi negara. Kerajaan juga disarankan supaya meningkatkan dana simpanan negara bagi menghadapi tamparan unjuran krisis ekonomi yang semakin kritikal diperingkat global serta memberikan keselesaan terhadap generasi negara akan datang.

3. Menyarankan kerajaan supaya mengkaji semula penswastaan terhadap utiliti asas rakyat seperti eletrik dan air supaya tidak berlaku peningkatan tarif yang tidak releven disamping mengekalkan subsidi bagi meringankan beban rakyat.

Ini termasuk juga memastikan penggunaan yang pruden terhadap khazanah yang diperoleh negara contohnya daripada institusi Petronas seperti dividen, royalti dan cukai supaya tidak berlaku inflasi yang keterlaluan dalam harga petrol, diesel dan barang-barang keperluan yang lain. Sementara itu, perkara yang sama turut ditekankan dalam konsesi yang ditandatangani antara pihak kerajaan dan swasta mengenai puluhan lebuhraya di Malaysia supaya kadar-kadar tol yang membebankan dapat dihapuskan secara berperingkat.

4. Mengkaji semula sistem cukai yang diamalkan oleh negara ini dari aspek keperluan pelaksanaannya, kadar penetapan cukai (jika perlu), serta golongan yang dituntut untuk membayar cukai. Kerajaan seharusnya memiliki keazaman dalam memastikan rakyat di negara ini tidak terbeban dengan penetapan cukai yang dikenakan ke atas mereka. Ini termasuk mendesak kerajaan supaya Rang Undang-Undang Cukai Barang dan Perkhidmatan ditarik semula yang dijangka akan dibahas dan diwartakan dalam sesi mesyuarat ketiga Parlimen sepanjang Oktober hingga Disember ini.

Pihak DPPP juga menyarankan agar pihak kerajaan dapat menilai kebarangkalian menyelaras pelaksanaan sistem kutipan zakat dan pengurusan baitulmal di peringkat negeri-negeri supaya usaha membantu golongan sasar atau asnaf dapat diuruskan dengan lebih efektif dan efisyen. Disamping itu, kerajaan Persekutuan dan Majlis Agama Islam Negeri-Negeri juga seharusnya lebih proaktif untuk memperkasakan konsep wakaf kerana didapati ia banyak memberikan manfaat kepada rakyat serta mampu mengislamisasikan ruang dan bandar seperti pembinaan kota wakaf.

5. Menggesa kerajaan agar dapat menguruskan termasuk memelihara dan memulihara sumber alam seperti perhutanan, tanah, pasir, sungai, laut, lombong, minyak, gas dan lain-lain dengan baik supaya ia dapat menampung aset negara disamping mengekalkan warisan untuk generasi akan datang. Tragedi bencana yang berlaku di Pakistan, China, Ireland dan Indonesia akhir-akhir ini seharusnya dijadikan iktibar penting supaya langkah pencegahan dan persiapan menghadapi bencana alam dapat diuruskan dengan sistematik.

Pihak DPPP menyambut baik usaha teknologi hijau yang telah dibangunkan sebelum ini bagi menangani ancaman pemanasan global, krisis makanan dan bencana alam. Manakala, peningkatan produktiviti yang bersandarkan kepada penggunaan bahan kimia yang keterlaluan mestilah dipantau dan diambil tindakan yang sewajarnya bagi membendung masalah kesihatan, manipulasi pasaran dan keuntungan sesetengah pihak semata-mata.

6. Ekoran daripada krisis kewangan global yang melanda Eropah dan khususnya Amerika Syarikat sebelum ini, Malaysia seharusnya mengambil iktibar dan mengurangkan kebergantungan kepada ekonomi dan hubungan perdagangan dengan negara-negara tersebut. Tambahan pula, polisi luar mereka cenderung menyokong operasi kerajaan haram Israel membantai umat Islam dan rakyat Palestin sehingga ke hari ini. Malah, Amerika Syarikat juga dilihat agresif memberikan tekanan kepada negara-negara umat Islam seperti Iran dan Iraq.

Sebaliknya, pemilihan rakan strategik perdagangan harus diluaskan kepada negara-negara sedang membangun seperti di negara Timur Tengah, ASIA dan ASEAN bagi membentuk rangkaian kuasa ekonomi yang baru di dunia. Disamping itu, kerajaan harus melipatgandakan kajian dan meningkatkan kehendak politik untuk melaksanakan sistem matawang dunia baru yang lebih baik dan berpotensi seperti dinar emas.

7. Melihat kepada kerisauan rakyat terhadap jatidiri dan peribadi golongan muda yang semakin kritikal, DPPP menggesa agar peruntukan terhadap sektor pendidikan dan pembinaan modal insan dikekalkan sebagai antara penerima peruntukan yang terbesar dalam Bajet 2011 kelak. Peruntukan tersebut tidak seharusnya dibelanjakan bagi pembinaan infrastruktur dan materialistik semata-mata, sebaliknya diseimbangkan dengan perbelanjaan terhadap aktiviti-aktiviti latihan, pemikiran, kepimpinan dan jatidiri yang sebenar.

Pengagihan peruntukan antara institusi pendidikan terutamanya diperingkat sekolah seharusnya dilakukan dengan lebih adil supaya ia memenuhi tuntutan semasa demografi rakyat yang berbilang agama dan bangsa. Begitu juga prasarana sekolah-sekolah di kawasan pendalaman Semenanjung Malaysia, Labuan, Sabah dan Sarawak dapat ditingkatkan dari masa ke semasa supaya jurang kepada akses pendidikan dapat dikurangkan jika dibandingkan di kawasan bandar dan pinggir bandar.

Di peringkat pengajian tinggi pula, pihak DPPP masih optimis bahawa pinjaman pendidikan seperti PTPTN boleh dikurangkan malah dihapuskan dan diberikan biasiswa secara percuma. Golongan graduan tidak seharusnya dibebankan dengan pinjaman hutang yang secara puratanya mencecah RM 20,000 selepas tamat belajar dan mula membina kehidupan yang baru. Inilah kesulitan hidup yang dialami oleh golongan mahasiswa yang diburu dengan bayangan hutang selepas graduasi meskipun baru berjinak-jinak dalam dunia kerjaya dan keluarga yang sebenar. Oleh sebab itu, pihak DPPP juga bertegas supaya pihak kerajaan dapat mengkaji semula cadangan PTPTN untuk mengenakan potongan wajib daripada gaji menerusi Lembaga Hasil Dalam Negeri baru-baru ini.

Sementara itu, kerajaan juga harus menitik beratkan terhadap pembinaan syakhsiyah jatidiri mahasiswa disamping mengejar tuntutan serta kehendak industri. Dalam soal ini, penghayatan terhadap falsafah pendidikan negara seharusnya disegarkan semula agar rakyat yang dilahirkan daripada sistem pendidikan negara ini memenuhi aspirasi falsafah tersebut.

8. Berdasarkan kepada wabak penyakit yang semakin kritikal seperti Influenza A (H1N1), demam denggi, chikungkunya, meliodosis dan leptospirosis akhir-akhir ini, DPPP menggesa agar pihak kerajaan dapat menyediakan pre-emptive plan bagi menangani penularan wabak penyakit tersebut.

Sistem pengesanan wabak dapat dikemaskinikan dengan baik disamping peruntukan yang besar dapat disediakan bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan penemuan kajian-kajian terbaru. Begitu juga negara Malaysia tidak sewajarnya kehilangan tenaga-tenaga pakar supaya tenaga atau nisbah seorang doktor dan rakyat dapat dijarakkan. Pelaburan yang besar mesti diperuntukkan agar keperluan terhadap tenaga pakar tempatan sentiasa ada dan sekaligus dapat mengurangkan pergantungan kepada tenaga kerja asing.

Selain itu, memandangkan isu kesihatan adalah isu asasi yang penting, DPPP mendesak agar sebarang bentuk penswastaan terhadap perkhidmatan kesihatan dan hospital mestilah dimansuh dan ditolak. Malah, kerajaan seharusnya membiayai perkhidmatan kesihatan untuk golongan kanak-kanak, pelajar dan ibu mengandung.

9. Pihak DPPP menyokong penuh sebarang usaha yang dilakukan oleh kerajaan untuk mengurangkan kadar pengangguran semasa iaitu 3.3 peratus (Julai 2010) kepada tahap paling minima. Jika merujuk kepada perangkaan kadar pengangguran dikalangan mahasiswa pula, pada tahun 2008 ia telah mencatatkan kira-kira 80,000 orang ataupun 13% daripada jumlah keseluruhan kadar pengangguran di Malaysia.

Bagi memastikan kepentingan golongan pekerja terutamanya daripada golongan anak muda ini terbela, pihak DPPP mendesak supaya kerajaan segera menetapkan kadar gaji minimum bagi mencukupkan mereka memenuhi keperluan asas dan menikmati taraf hidup yang adil.

10. Persekitaraan kehidupan yang materialistik menjerat kebanyakan golongan muda sehingga ramai dikalangan mereka berstatus muflis. Menurut kenyataan daripada Jabatan Insolvensi baru-baru ini, golongan muda yang berumur 25 tahun hingga 44 tahun adalah paling ramai yang diisytiharkan bangkrap iaitu sejumlah 38,357 orang sejak 65 bulan yang lalu. Trend ini dipengaruhi dengan kehendak mereka yang gemar berhutang menggunakan instrumen kad kredit, pinjaman pembelian kenderaan dan pinjaman peribadi.

Pergantungan golongan muda terhadap kemudahan kredit oleh institusi kewangan amat membimbangkan. Mereka akan terlibat samada dengan transaksi riba’ dan credit rating rendah yang akhirnya menzalimi mereka ataupun kontrak perbankan Islam yang bersifat sebaliknya. Oleh yang demikian, DPPP menyarankan agar pihak kerajaan dan Bank Negara Malaysia dapat sentiasa meneliti semula kontrak-kontrak perbankan Islam supaya ruh pinjaman dan perniagaan menurut perspektif Islam selari dengan maslahah yang dijamin kepada rakyat.

Di samping itu, pihak DPPP berpendapat kadar pembelian aset hartanah dan perumahan di negara ini terutamanya di kawasan Lembah Klang terlalu tinggi sehingga telah menyukarkan golongan muda untuk memilikinya. Maka, satu mekanisme yang bersepadu perlu dibentuk dan digarap supaya keperluan terhadap pemilikan perumahan oleh golongan muda dapat dibantu dan dipermudahkan.

Penutup

Allah SWT berfirman (bermaksud), “Wahai manusia, sesungguhnya telah datang kepadamu bukti kebenaran dari Tuhanmu, dan telah Kami turunkan kepadamu cahaya yang terang (Al-Qur’an), adapun orang-orang yang beriman kepada Allah dan berpegang teguh kepada agamaNya, nescaya Allah akan memasukkan mereka ke dalam rahmat dan limpahan kurniaNya, dan menunjukkan mereka jalan yang lurus” (Surah An-Nisa’ : 174-175)

DPPP berharap agar seluruh harapan yang telah dinyatakan ini dapat dipertimbangkan demi memberikan kemaslahatan kepada agama, rakyat dan negara.



SPRM digesa buka kertas siasatan skandal MAS
Dzulfikar Mashoor

KUALA LUMPUR, 28 Sept: Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub menggesa Pengerusi Jawatankuasa Khas SPRM, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad membuka kertas siasatan berhubung kes penipuan dalam Syarikat Penerbangan Malaysia Berhad (MAS) yang bernilai RM8 bilion.

Gesaan Salahuddin yang juga mengganggotai jawatankuasa khas SPRM itu ekoran tindakan SPRM merujuk aduan eksklusif MAS kepada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJK), Bukit Aman.

Berdasarkan surat rasa kecewa Tetuan Lee Hishammuddin Allen & Gledhill bertarikh 2 Ogos lalu, beliau berkata, SPRM itu seakan melakukan suatu a breach of conduct dan wajar dipandang serius.

Sehubungan itu, beliau yang juga Naib Presiden PAS mencadangkan supaya SPRM, Tetuan Lee Hishammuddin Alan & Gledhill serta kumpulan eksekutif MAS dipanggil untuk memberi keterangan kepada Jawatankuasa Khas Parlimen Mengenai Rasuah dalam masa terdekat.

Beliua juga meminta Pengerusi PAC, Datuk Seri Azmi Khalid supaya membuka kertas siasatan di bawah kuasa Parlimen berhubung skandal MAS itu.

Ini kerana, katanya, kes penipuan tersebut melibatkan tiga institusi berkaitan kerajaan iaitu polis, SPRM dan MAS sendiri




Umno dengan judi macam kembar siam

Idris Ahmad

PAS merasa harian tindak tanduk pemimpin Umno yang menuduh Kerajaan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang yang memberi RM100 wang ehsan kepada warga emas telah diambil daripada sumber judi.

Tuduhan itu dibuat oleh Ketua Penerangan Pemuda Umno, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang mendedahkan kerajaan Pulau Pinang menerima sumbangan sebanyak RM500,000 daripada Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang yang merupakan sebuah kelab yang mengendalikan pertaruhan lumba kuda di negeri itu.

Bagaimanapun, Lim Guan Eng berkali-kali menafikan dakwaan itu, dan Setiausaha Politiknya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Komtar, Ng Wei Aik membuat laporan ke atas penulis blog itu kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Malahan Ketua Menteri Pulau Pinang menjelaskan wang ini ialah daripada lebihan perbelanjaan kerajaan Pulau Pinang hasil daripada jimat cermat sebanyak RM35.41 juta, daripada sinilah diambil RM20 juta untuk diagihkan kepada warga emas

PAS sebagai sebuah Parti Islam yang berdasarkan kepada Islam, tidak mengiktiraf judi sebagai sumber yang sah, malahan ketika PAS mula memerintah Kelantan 1990, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat telah mengarahkan supaya jangan ada lagi premis di Kelantan dibenarkan menjalankan aktiviti judi.

Tindakan ini dibuat apabila Tuan Guru Nik Aziz diberitahu oleh semua tokoh agama Kristian, Hindu dan Bhuda, judi adalah haram di sisi agama mereka.

PAS berpandangan Umno dengan judi ini seperti kembar siam yang sukar dipisahkan. Malahan daripada awal lagi Umno sudah hidup dengan judi. Ini terbukti apabila kalangan ulamak di dalam Umno membantah loteri kebajikan adalah haram.

Pemimpin Umno tidak mempedulikan bantahan ulamak dalam Umno, berakhir dengan episod penubuhan PAS pada 24 November 1951. Sampai sekarang kita tidak dengar suara membantah secara agresif dalam Umno supaya judi dihapuskan, malahan baru sahaja kerajaan Umno BN meluluskan lesen judi bola 2010 sempena pertandingan Piala Dunia kepada syarikat Ascot Sport Tan Sri Vincent Tan, Berjaya Group pada 6 Mei 2010.

PAS mendesak Umno kena berusaha dahulu membersihkan diri daripada najis judi kerana membiarkan orang Melayu menjadi Lembaga Pengarah Resort Wold Bhd dan Genting Berhad.

Sepatutnya pemimpin Umno kena sedar bahawa “bapa judi” ialah kerajaan pusat di bawah pimpinan Umno BN. Perjuangan untuk menghapuskan judi perlu dimusnah di peringkat pusat. Bapa jangan marah kalau anak ketagih judi, kerana bapa adalah taik judi. Sepatutnya ini yang perlu diselesaikan dahulu oleh pemimpin Umno.

Jangan biarkan orang bukan Islam tertawa dengan Umno, kalau hendak bercakap bab judi biarlah kamu itu tinggal dulu menjadi pendokong kerajaan judi.

PAS berpandangan Umno yang memang mempolitikkan apa sahaja peluang untuk menaruh kebencian rakyat kepada kerajaan Pakatan Rakyat dan melaga-lagakan isu agama dan kaum supaya Pakatan Rakyat retak dan senang untuk BN meluluskan banyak lagi lesen judi.

Kebiasaannya, suatu hukum akan berubah apabila pemimpin Umno buat. Contohnya, judi halal kalau yang buat itu ialah kerajaan Umno BN, tetapi berubah menjadi haram kalau lain daripada kerajaan Umno BN.

Begitu juga hukum orang bukan Islam masuk masjid menjadi haram kerana berhadas besar kalau Cina DAP, tetapi suci lagi menyucikan jika yang masuk itu India MIC, Kamalanathan, ahli parlimen Hulu Selangor


Si sepet, si botol: Itulah wajah sebenar Umno
Dzulfikar Mashoor

KUALA LUMPUR, 28 Sept: Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub menganggap api perkauman yang ditiupkan Biro Tata Negara (BTN) semalam dengan gelaran menghina kaum Cina dan India amat menjijikkan.

Anggapan itu merujuk kepada ucapan seorang pegawai BTN yang dilaporkan memberikan gelaran rakyat berbangsa Cina dan India masing-masing sebagai 'si mata sepet' dan 'si kaki botol' dalam induksi dalaman Puteri Umno Malaysia di PWTC.

"Membuat suatu analogi yang begitu menjijikkan, itulah wajah sebenar Umno. Mereka akan jadi lebih rasis, mereka akan jadi lebih ekstrem dalam memainkan isu perkauman," ujarnya di Pejabat Agung PAS.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, insiden terbaru yang dialporkan itu seakan mengulangi tindakan rasis Datuk Nasir Safar, pegawai khas bagi Perdana Menteri pada Konvensyen 1Malaysia di Melaka.

Nasir pada 2 Februari dulu dilaporkan mencemuh rakyat berbangsa Cina sebagai 'wanita jual tubuh', manakala kaum India dihina sebagai 'pengemis' di tanah air.

"Satu lagi kesalahan berulang, tidak cukup yang dilakukan oleh Datuk Nasir Safar, seorang pegawai khas Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak)," ujarnya.

Baginya, slogan 1Malaysia yang dipopularkan oleh Najib, Presiden Umno merangkap Pengerusi BN sebelum ini sekadar untuk menutup wajah sebenar Umno.

"Mereka sebenarnya telah terlalu benci kepada orang Cina dan India dalam negara kita, cuma mereka cuba sembunyikan perasaan mereka itu di sebalik 1Malaysia.

"Itulah wajah sebenar mereka, mereka tidak pernah menghilangkan warna diri mereka yang sebenar," katanya.

Sehubungan itu, beliau menyuarakan rasa yakin bahawa rakyat sama ada Melayu, Cina, India dan kaum-kaum lain kian sedar dengan bahaya politik perkauman yang ditiupkan oleh Umno dan BTN itu


Si sepet, si kaki botol: MCA mahu BTN dirombak
Sep 28, 10 3:32pm

MCA hari menggesa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) supaya menyiasat dan bertindak ke atas timbalan pengarah Biro Tata Negara, Hamim Husin jika terbukti beliau mengeluarkan kata-kata yang berbaur perkauman terhadap masyarakat Cina dan India.

“Jika perlu, polis harus mendakwa Hamim mengikut Akta Hasutan 1960 kerana menghina masyarakat itu.

“Sudah tiba masanya menghentikan tindakan bongkak dan tidak bertolak ansur di kalangan fanatik itu,” kata timbalan ketua biro publisiti MCA, Loh Seng Kok dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Loh, MCA terkejut seorang pegawai kanan kerajaan yang tanggungjawab utamanya untuk memupuk semangat patriotik di kalangan rakyat boleh menjadi sebegitu rasis dan provokatif terhadap komuniti minoriti di negara ini.

“Apabila masyarakat berkembang, adalah memalukan seorang kakitangan awam yang digajikan oleh Biro Tata Negara yang melatih bakal kakitangan awam sanggup menggunakan kata-kata menghina seperti 'si sepet mata dan 'si kaki botol' ke atas rakyat Malaysia berbangsa Cina dan India.

Hamim semasa sesi tertutup dengan Puteri Umno semalam dilaporkan oleh portal berita the Malaysian Insider sebagai berkata adalah menjadi hak Melayu untuk memerintah negara dan menggesa mereka untuk bersatu mempertahankan hak mereka.

“Hak Melayu adalah untuk memerintah negara. Melayu mesti bersatu menghadapi anacam,” katanya.

Hamim didakwa berkata: “Melayu tidak boleh memerintah sendirian. Sebab itu kita berkawan dengan MCA dan MIC.

“Si mata sepet tidak pernah menjejak ke masjid atau surau tetapi mempunyai satu undi. Si botol hanya tahu naik dan turun ke Batu caves dan juga mempunyai satu undi,” Hamin dilaporkan berkata


Tiada ulasan:

Catat Ulasan