Sabtu, 28 Ogos 2010

SABAR DAN TABAH ENCIK MUDA...DULU IA PERLU KITA...DAH BOLEH BERDIKARI IA TAK PERLU KITA...ALLAH ITU MAHA ADIL...KITA TUNGGU KEPUTUSAN ALLAH...

30 tahun rindu anak

Oleh Nazdy Harun

2010/08/28

MARANG: Seorang bapa terkilan kerana anak tunggalnya tidak pernah datang menjenguknya sejak 30 tahun lalu sedangkan mereka tidak pernah bersengketa.

Bapa berkenaan, Muda Ismail, 86, dari Kampung Sungai Kerak, di sini, mendakwa tiada salah faham berlaku antara mereka sebelum anaknya mengambil keputusan tidak lagi menemuinya.

“Tiada sengketa, perbalahan dan salah faham antara saya dan anak yang kini berusia 49 tahun, sebelum dia mengambil keputusan tidak pulang ke rumah dan menemui saya sejak 30 tahun lalu,” katanya.

Menurutnya, anaknya itu bagaikan melupakan jasa dia membesarkannya, memberikan pendidikan hingga ke menara gading dan kini memegang jawatan penting dalam satu organisasi di ibu kota.

“Bukan saya tidak rindu kepadanya dan hati ini memang mengingatinya setiap hari, malah perkembangan keluarga anak saya itu pun saya tahu.

“Tapi, mungkin pintu hatinya belum terbuka untuk datang menemui saya di sini,” katanya

Muda berkata, selepas berumahtangga, anaknya mula menjauhkan diri sebelum mereka tidak lagi berhubung langsung.

“Anak saya itu anak tunggal. Namun apabila diingatkan yang saya ini mempunyai tujuh cucu hasil perkahwinan anak saya itu, membuatkan hati saya ini hiba kerana kami anak-beranak belum pernah berkumpul menyambut Aidilfitri,” katanya yang pernah menemui seorang cucunya

Menurutnya, akibat terlalu merindui anaknya, dia sering berjumpa dengan saudara terdekat bagi mengetahui perkembangan anak tunggalnya itu.

Katanya, setiap kali menjelang Aidilfitri dia berharap anaknya pulang menjenguknya di kampung, bagaimanapun hajatnya masih belum kesampaian sehingga kini.
“Sebelum saya menutup mata buat selamanya, saya berharap anak saya itu akan pulang menemui saya kerana hubungan anak dan ayah tidak akan putus walaupun ke akhir hayat,” katanya.

Muda berkata, dia dulu peniaga ikan, namun selepas tidak menjalankan perniagaan sejak lebih 20 tahun lalu, dia kini bergantung hidup dengan wang bantuan JKM RM200 sebulan.

“Saya bercerai dengan bekas isteri iaitu ibu kepada anak saya itu ketika anak masih dalam kandungan ibunya 50 tahun lalu, sebelum mengambil keputusan berkahwin dengan Chik Mohd Zin, yang kini berusia 75 tahun.

“Walaupun bercerai, saya tidak melupakan tanggungjawab saya sebagai bapa termasuk membantu anak saya daripada segi kewangan ketika dia belajar di universiti.

“Saya turut mempunyai tiga anak angkat berusia 40, 45 dan 50 tahun yang tinggal berhampiran rumah saya,” katanya yang berharap dapat berkumpul bersama anak kandung dan cucu ketika Aidilfitri nanti

Tiada ulasan:

Catat Ulasan