Selasa, 9 Mac 2010

KHILAFIAH ITU RAHMAT

Punca perbezaan pendapat



2010/03/07


ADA yang keliru mendengar pelbagai fatwa dan pandangan ulama diberikan dalam satu-satu isu sama ada membabitkan cabang akidah, lebih-lebih lagi dalam isu hukum ibadat. Sebenarnya, perbezaan ini bukan wujud di kalangan imam empat mazhab saja malah sudah bermula ketika hayat Rasulullah SAW lagi.

Terlalu banyak sebab dan punca kepada perbezaan ini dan ia bukan sesuatu yang negatif. Ia hanya akan menjadi negatif apabila orang ramai tidak memahaminya, taksub kepada sesuatu pandangan serta tidak pandai mengendalikannya. Di ruangan terhad ini saya ingin memberikan beberapa contoh sebab perbezaan itu berlaku sejak zaman hayat Rasulullah SAW lagi. Antaranya: 1. Arahan Rasulullah SAW yang berbeza untuk individu tertentu.


Sebagai contoh dalam isu fiqh ibadat. Imam Muslim meriwayatkan terdapat sahabat yang buta mengatakan: “Aku tidak ada pemandu untuk ke masjid bagi solat berjemaah maka berilah aku keizinan untuk menunaikannya di rumah saja,” dan baginda memberikan keizinan.


Namun, apabila baginda mengetahui sahabat ini tinggal berhampiran masjid sekadar-kadar boleh mendengar laungan azan, baginda menarik semula keizinannya (Sahih Muslim, no 1486).


Bagaimanapun, pernah diriwayatkan baginda ada memberi keizinan kepada seorang sahabat lain bernama 'Itban bin Malik (Sahih Muslim, no 1496).


Begitu juga halnya baginda pernah memberikan izin kepada Abu Bakar as-Siddiq untuk mendermakan keseluruhan hartanya sedang baginda tidak mengizinkan seorang sahabat lain untuk melakukan hal sama (Riwayat Abu Daud, no 1678 dan no 3319).

Kedua-dua kes contoh ini bukanlah kes terpencil malah ia berlaku dalam kekerapan yang banyak. Ia jelas menunjukkan Rasulullah SAW memberikan arahan dan keputusan berbeza kepada individu berbeza. Tentunya ia mempunyai hubung kait dengan latar belakang individu yang bertanya. Atas sebab itulah, muncul ulama yang memberikan fatwa berbeza disebabkan perbezaan dalam mengambil dalil.


Jika ingin difahami, Rasulullah SAW membenarkan Abu Bakar mensedekahkan keseluruhan hartanya kerana baginda mempunyai keyakinan terhadap iman Abu Bakar di samping yakin beliau mampu untuk istiqamah walau dalam keadaan seluruh harta sudah disedekah. Namun keyakinan yang sama tiada bagi individu yang kedua, menyebabkan baginda melarangnya (The Differences of Imam, Syeikh Zakariyya An-Kandahlawi, White Thread Press, London, 2004, p 22).


2. Arahan khusus dilihat sebagai arahan umum.


Terdapat juga ketikanya, Nabi Muhammad SAW memberikan arahan khusus bagi individu tertentu namun ia didengar oleh sahabat lain lalu menganggapnya sebagai arahan umum buat semua lalu menyebarkannya.


Sebagai contoh: Ibn Umar meriwayatkan baginda bersabda: “Mereka yang mati akan diazab kerana ratapan si hidup,” (Al-Bukhari, no 1287).


Isteri baginda, Aisyah RA menolak kandungan hadis ini untuk kegunaan umum dengan pendapat beliau ia kes khusus untuk seorang wanita Yahudi (Al-Bukhari, no 1289). Selain itu, Aisyah juga membawakan ayat al-Quran yang jelas menolak beban dosa si hidup ditanggung oleh si mati.


Selain itu juga, seorang sahabat baginda yang miskin, Sulayk al-Ghartafani, memasuki masjid ketika khutbah disampaikan. Baginda mengarahkannya menunaikan solat tahiyyatul masjid dua rakaat terlebih dulu (Sahih Muslim, no 2023).


Terdapat ulama yang memahami arahan baginda sebenarnya khas untuk sahabat miskin ini saja. Ia khusus untuknya kerana baginda ingin sahabat yang lain melihat tahap kemiskinan sahabat berkenaan seterusnya tergerak untuk membantunya kelak. Atas keyakinan ini, Mazhab Hanafi melarang sesiapa solat tahiyyatul masjid ketika khatib berkhutbah. Berbeza dengan beberapa mazhab lain yang menganggap kebenaran itu untuk semua umat Islam dan umum. 3. Perbezaan kefahaman dan persepsi.


Agak kerap juga berlaku, sesuatu ibadat dilakukan baginda dilihat oleh ramai sahabat di waktu yang berlainan. Keadaan ini menghasilkan kefahaman yang berbeza terhadap apa yang perlu diikut.


Contoh, ketika baginda menunaikan haji. Sebahagian sahabat mengatakan baginda melaksanakan Haji Ifrad kerana mendengar baginda menyebut “Labbayka bi hajjatin.” ertinya (Aku mempersembahkan diriku untuk Mu wahai Allah untuk melaksanakan haji,” Sunan an-Nasaiae dan Al-Bayhaqi, no 8830).

Ramai ahli hadis mengatakan jalur periwayatan hadis ini sahih, namun sebahagian sahabat lain pula meriwayatkan bahawa baginda melaksanakan Haji Qiran (Rujuk Sohih al-Bukhari, no 1563: Muslim no 2995).


Kedua-dua periwayatan ini kelihatan bertembung kerana kedua-dua jenis haji adalah berlainan antara satu sama lain. Masalah membesar apabila Haji Qiran juga boleh dimulakan dengan lafaz yang sama. Di ketika itulah wujudnya peranan ulama mujtahid sama ada dari kalangan sahabat baginda atau selepasnya. Mereka bertanggungjawab untuk mengharmonikan nas yang kelihatan bertembung ini dan menjelaskan kekeliruan. 4. Satu perkataan yang mempunyai pelbagai maksud.


Sudah menjadi kebiasaan dalam apa juga bahasa, satu perkataan boleh saja mempunyai dua tiga atau lebih maksud. Sama ada perbezaan itu berdasarkan bahasa rasmi dan persuratan ataupun terpengaruh oleh dialek setempat.


Dalam hal ini, perkataan wuduk adalah jelas satu perbuatan ibadat khusus untuk menunaikan solat dan memegang al-Quran. Namun begitu, dari sudut bahasanya, wuduk juga membawa maksud membersih, membasuh tangan dan boleh membawa maksud wuduk pada istilah ibadat. Imam at-Tirmidzi menyebut dalam kitab beliau, Shamail, seorang sahabat, Salman, satu hari bertanya kepada Rasulullah SAW. Katanya menurut kitab Taurat, wuduk selepas makan boleh membawa berkat, lalu beliau meminta komen baginda. Nabi Muhammad SAW menjawab: “Wuduk sebelum dan juga selepas makan adalah sumber keberkatan dalam makanan itu,” (Shamail, no 186).


Dalam hadis yang disebutkan oleh Salman ini, majoriti ulama berpendapat lafaz wuduk yang digunakan merujuk kepada basuh tangan dan bukan wuduk pada istilah fiqh.


Majoriti berpegang kepada erti wuduk secara bahasa iaitu basuh saja. Atas dasar dan sebab ini serta banyak lagi sebab yang lain, hukum di dalam bab fiqh Ibadat juga turut terkesan dan mempunyai pandangan dan ijtihad yang berbeza dari seorang alim kepada yang lain.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan